| 1...kepada penyelesaian ekonomi makro dan mikro dalam menghadapi penularan virus covid-19 yang...
TRANSCRIPT
Langkah Strategik Kerajaan Mendepani Krisis Covid-19 | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Penularan virus Covid-19 telah menjadi suatu topik global yang hangat ketika ini.
Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan setakat 27 Mac
2020, jumlah pesakit Covid-19 seluruh dunia adalah 532,150 kes, 24,084 kematian
dan telah melanda 196 buah negara. Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kini
merupakan epicenter kepada wabak tersebut.
AS paling terjejas teruk dengan peningkatan kes-kes baru melebihi kes yang
dicatatkan di China iaitu 85 ribu kes. Dalam masa yang sama, kes-kes positif di
China hampir tidak menunjukkan perubahan yang ketara jika dibandingkan kes-kes
di AS dan beberapa negara Eropah yang lain khususnya Itali, Sepanyol, Jerman,
dan Perancis.
Malaysia tidak terkecuali menghadapi peningkatan kes-kes positif yang ketara. Sejak
gelombang kedua penularan Covid-19 bermula pada 27 Februari 2020 sehingga hari
ini (26 Mac 2020), Malaysia mencatatkan 2,031 kes dengan kluster tabligh
mencatatkan 1,117 kes, kluster Persons Under Investigation (PUI) 364 kes, kontak
rapat 496 kes dan lain-lain 54 kes.
Kebanyakan negara menggunakan pendekatan pembendungan dan mitigasi bagi
meredakan peningkatan kes-kes baharu. Pendekatan yang diambil tidak hanya
melibatkan dasar-dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan, bahkan juga memerlukan
kerjasama sepenuhnya daripada rakyat supaya rantaian penularan virus berkenaan
dapat diputuskan.
Strategi Kerajaan Menghadapi Covid-19
Kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan drastik menghadapi peningkatan
kes Covid-19 khususnya ketika menghampiri pertengahan bulan Mac yang lalu, kira-
kira dua minggu selepas Kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN)
mengambil alih.
Pada peringkat awal, Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan bagi memberi fokus
kepada penyelesaian ekonomi makro dan mikro dalam menghadapi penularan virus
Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengambil
langkah proaktif bagi menghalang peningkatan kes dengan gelombang lebih besar
dan mula memperkenalkan slogan penjarakan sosial (social distancing) selain
Langkah Strategik Kerajaan Mendepani Krisis Covid-19 | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
memastikan kontak rapat kepada kluster PUI dan tabligh tampil melakukan saringan
jika mempunyai simptom yang berkaitan.
Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 sehingga 31 Mac 2020 di
bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis
1967. Perintah Kawalan Pergerakan bagaimanapun dilanjutkan sehingga 14 April
2020.
Secara umumnya Kerajaan telah mengambil dua pendekatan strategik dalam
menghadapi gelombang kedua penularan virus Covid-19:
i. Langkah pembendungan (containment).
Pihak KKM telah membahagikan kepada tiga kluster besar yang perlu disaring.
Pertama adalah kluster Persons Under Investigation (PUI) iaitu mereka yang
mempunyai sejarah pernah ke luar negara dalam tempoh sebulan terakhir dan
mempunyai simptom berkaitan. Kedua adalah kluster daripada jemaah tabligh yang
menyertai himpunan di Masjid Sri Petaling. Ketiga adalah kluster kontak rapat
dengan kedua-dua kluster.
ii. Langkah mitigasi (mitigation).
Tindakan ini bertujuan memutuskan rantaian penularan kes-kes positif Covid-19
khususnya dalam kalangan masyarakat awam. Hal ini disebabkan peningkatan kes-
kes baharu yang drastik pada pertengahan Mac selain penambahan kluster jemaah
tabligh yang turut dijangkiti wabak berkenaan. Perintahan Kawalan Pergerakan
merupakan sebahagian daripada langkah mitigasi.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa, beberapa pendekatan
strategik pentadbiran telah diambil oleh Kerajaan sebagai mana berikut:
Pertama, KKM bergerak secara kekuatan penuh (full force) bagi memastikan
kesihatan awam dan mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 menerima
perkhidmatan kesihatan yang terbaik. KKM turut melaksanakan sidang media pada
setiap hari bagi menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan virus Covid-
19 di Malaysia.
Kedua, Perintah Kawalan Pergerakan ditadbir di bawah seliaan Majlis Keselamatan
Negara (MKN). Ia diterajui oleh Perdana Menteri sendiri dengan dibantu
Kementerian-kementerian kanan. Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan
Sukarelawan Malaysia (RELA) diberikan tanggungjawab menguatkuasa perintah
berkenaan kemudian dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan
Langkah Strategik Kerajaan Mendepani Krisis Covid-19 | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pertahanan Awam Malaysia (APM). Secara umumnya, pasukan RELA dan APM
lebih memfokuskan wilayah di luar bandar.
Ketiga, Kementerian dan agensi lain beroperasi secara minimal. Jabatan
Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan garis panduan mengenai panduan bekerja
dari rumah (BDR) serta hanya melibatkan operasi perkhidmatan penting (essential
services) sahaja. Fungsi Kementerian juga lebih menjurus ke arah membantu KKM
dalam menghadapi penularan virus Covid-19 selain memastikan rakyat mematuhi
Perintah Kawalan Pergerakan.
Keempat, penstrukturan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh
Perdana Menteri. Badan ini dianggotai oleh Menteri Kanan Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Menteri Kewangan, Gabenor Bank Negara Malaysia dan
beberapa tokoh yang lain. Setakat hari ini, Majlis Tindakan Ekonomi telah
mengumumkan 8 inisiatif utama termasuklah penangguhan pembayaran balik oleh
institusi perbankan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. Penubuhan Majlis
Tindakan Ekonomi memastikan dasar fiskal dan monetari dapat digerakkan secara
bersepadu.
Efektif dan Efisyen Jadi Teras Dasar-Dasar Kerajaan
Kerajaan memerlukan dasar-dasar yang bukan sahaja efektif bahkan juga efisyen.
Hal ini demikian disebabkan penularan virus Covid-19 semakin meruncing dan
memerlukan perhatian yang serius dan komprehensif.
Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan terhadap
implementasi dasar-dasar Kerajaan dalam tempoh yang kritikal ini adalah:
i. Impak yang besar kepada golongan sasar khususnya golongan
barisan hadapan (frontliners), golongan pekerja yang terjejas,
golongan miskin relatif khususnya di bandar-bandar utama yang
berada dalam zon merah serta golongan luar bandar dan pendalaman
yang terjejas teruk.
ii. Efisyen dalam sistem penyampaian (delivery system) bantuan
Kerajaan supaya sampai ke golongan sasar. Perkara ini termasuklah
peruntukan RM120 juta di bawah Employee Retention Programme
(ERP), peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri serta sebahagian
besar bantuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat
(PRIHATIN) seperti yang diumumkan Perdana Menteri.
Langkah Strategik Kerajaan Mendepani Krisis Covid-19 | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
iii. Mengoptimumkan peranan agensi-agensi Kerajaan untuk membantu
secara terus atau melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat
(CSR) dalam menangani krisis yang berlaku. Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama) telah mengambil langkah proaktif dengan
memperkenalkan #MusaadahCovid-19. Program ini telah menyelaras
kesemua agensi di bawah kementerian tersebut dan mengumpul
sejumlah RM29.01 juta untuk disumbangkan kepada golongan yang
layak.
iv. Memastikan penyaluran maklumat yang sahih kepada masyarakat
dengan pantas. Penularan berita tidak benar yang masih berleluasa
telah menimbulkan reaksi tidak senang dalam kalangan masayarakat
meskipun pelbagai tindakan tegas telah pun diambil. Penubuhan
Pasukan Respon Pantas di bawah Kementerian Komunikasi dan
Multimedia sedikit sebanyak membantu memberikan penegasan
terhadap berita palsu yang tersebar, namun ia memerlukan jaringan
capaian yang lebih luas supaya dapat menjawab segera berita-berita
palsu yang telah tersebar.
v. Mengoptimumkan peranan kajian dan inovasi bagi membantu Kerajaan
mencapai tujuan utama Perintah Kawalan Pergerakan. Ini antaranya
berkaitan dengan fasa tracing kluster-kluster yang terlibat serta
meningkatkan kapasiti ujian saringan sehingga 16 ribu sehari seperti
yang dihasratkan oleh KKM.
Kesimpulan
Kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan strategik sama ada melalui operasi
pentadbiran yang lebih berkesan serta pengumuman pakej ransangan ekonomi yang
menjurus kepada golongan yang terjejas teruk disebabkan oleh Perintah Kawalan
Pergerakan. Malah, Perdana Menteri turut menjelaskan akan mengumumkan Pakej
Ransangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 27 Mac
akan datang.
Namun, dasar-dasar serta pakej rangsangan yang dikemukakan perlu memberi
impak kepada golongan sasar, memastikan ia benar-benar sampai kepada penerima
yang sepatutnya, mengoptimumkan kesemua agensi di peringkat persekutuan dan
negeri dan tidak kurang juga memastikan penyaluran yang tepat dan sahih
disampaikan kepada masyarakat dalam berhadapan penyebaran berita palsu oleh
mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesemua ini memerlukan perhatian yang
serius daripada pihak Kerajaan.
Langkah Strategik Kerajaan Mendepani Krisis Covid-19 | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020).
World Health Organisation. (2020).
Pejabat Perdana Menteri. (2020, Mac 18). Kenyataan Media MKN: Perincian
Perintah Kawalan Pergerakan. Retrieved from Pejabat Perdana Menteri
(PMO).
Pejabat Perdana Menteri. (2020, Mac 23). Kenyataan Sidang Media YB Perdana
Menteri: Mesyuarat MTEN Melibatkan Covid-19. Retrieved from Pejabat
Perdana Menteri (PMO).
Pejabat Perdana Menteri. (2020, Mac 25). Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman
Bank dan Penyusunan Semula Baki Kad Kredit Serta Pinjaman Korporat.
Retrieved from Pejabat Perdana Menteri (PMO).