web viewkasta diertikan sebagai lapisan masyarakat atau tingkatan golongan ... kebudayaan barat...
TRANSCRIPT
PENGARUH ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU
KANDUNGAN
1. Pendahuluan
2. Penyebaran Islam di Tanah Melayu
3. Pengaruh Islam ke atas Masyarakat Melayu
4. Islam Semasa Penjajahan Inggeris
5. Kesimpulan
Rujukan
0
1. Pendahuluan
Berdasarkan kajian sejarah mendapati Islam telah bertapak dan berkembang di
Tanah Melayu sejak sekian lama. Pelbagai teori dan hujah telah dikemukakan oleh
sarjana-sarjana tempatan dan Barat berhubung tarikh kedatangan awal Islam di Tanah
Melayu. Namun yang penting Islam telah bertapak di beberapa buah negeri dan diterima
baik oleh masyarakat Melayu. Islam dikatakan mula berkembang apabila kerajaan
Melayu Melaka bertindak menyebarluas pengaruh Islam di seluruh Tanah Melayu.
Kedatangan Islam telah membawa suatu pembaharuan kepada kehidupan
masyarakat Melayu yang sama sekali berbeza dengan sebelumnya iaitu terbentuknya
suatu peradaban baru berteraskan Islam. Pengaruh Islam bukan sahaja berjaya merubah
kepercayaan tetapi juga sosio-budaya masyarakat Melayu dari sudut pemerintahan,
pendidikan dan kebudayaan. Namun perkembangan dan pengaruh Islam menghadapi
cabaran apabila kuasa Barat khususnya Inggeris (British) menjajah Tanah Melayu dengan
mencampuri hal ehwal pentadbiran di negeri-negeri Melayu dengan memperkenalkan
beberapa dasar bercorak sekular dan moden dalam pelbagai aspek sehingga secara
perlahan meminggirkan pengaruh Islam. Situasi ini telah membangkitkan kesedaran
orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah menuntut kemerdekaan demi
kesinambungan peradaban Islam yang telah lama bertapak di negara.
1
2. Penyebaran Islam di Tanah Melayu
Penyebaran Islam secara berencana dan menyeluruh di Tanah Melayu berlaku di
Melaka apabila munculnya kerajaan Melayu Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di
samping sebagai pusat perdagangan yang terpenting di rantau Alam Melayu. Peranan
yang dimainkan oleh kerajaan Melayu Melaka dalam menyebarkan Islam ini telah
menyebabkan Islam berkembang pesat di beberapa buah negeri jajahannya di Tanah
Melayu. Oleh kerana perkembangan dan penyebaran Islam yang dilakukan oleh Melaka
ini begitu ketara dan menyeluruh, maka tidak hairanlah kenapa sejarawan Barat
beranggapan Melaka sebagai negeri yang mula-mula menerima Islam di Tanah Melayu
pada abad ke-15M apabila rajanya yang pertama memeluk Islam pada tahun 1414M.1
Namun pandangan ahli sejarah Barat ini disanggah oleh ahli sejarawan tempatan
kerana terdapat beberapa negeri selain Melaka telah menerima Islam lebih awal seperti
Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang sekitar abad ke-7 dan ke-8 Masihi.2 Namun
pertapakan Islam di negeri-negeri tersebut pada waktu itu dianggap sebagai peringkat
masa tunas dan kedudukan Islam tidak kukuh untuk berkembang. Orang-orang Islam
hanya merupakan kelompok-kelompok kecil yang hidup bersendirian dan tidak ada bukti
menunjukkan usaha pengembangan dan penyebaran Islam secara meluas dan menyeluruh
di Tanah Melayu dari negeri-negeri tersebut pada waktu itu melainkan hanya Melaka
diperakui berperanan bertindak menyebarluas Islam di rantau ini. 3
1Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu), Petaling Jaya: Al-Rahmaniah, hlm. 70-71.2Mahayudin Haji Yahaya (1998), Islam Di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 15.3Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 515.
2
Proses pengislaman dalam kerajaan Melaka adalah lebih menyeluruh sifatnya
iaitu bermula dari pihak istana. Oleh yang demikian, proses penyebaran agama Islam di
kalangan rakyat negeri Melaka dan jajahan takluknya menjadi meluas. Pahang,
Terengganu, Johor dan Kedah adalah antara negeri yang berjaya ditakluki Melaka dan
tersebar Islam di sana. Bendahara Tun Perak4 adalah orang yang bertanggungjawab
disebalik kejayaan peluasan kuasa kerajaan Melaka dan penyebaran agama Islam ke
seluruh Tanah Melayu.
Pada masa pemerintahan Sultan Muzafar Shah umpamanya, kedudukan agama
Islam semakin kukuh dan berkembang apabila baginda mempergiatkan lagi penyebaran
agama Islam menerusi kuasa politik. Dasar berbaik-baik dengan kuasa-kuasa asing
seperti Siam, Majapahit dan China yang dibuat oleh pemerintah selepas itu, iaitu Sultan
Mansur Shah, membolehkan kerajaan Melaka menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap perkembangan Islam di dalam dan di luar negeri. Justeru itu, Melaka menjadi
sebuah pusat kerajaan Melayu yang terbesar dan pusat penyebaran agama Islam yang
terpenting di Nusantara pada masa pemerintahan Sultan Mansur Shah. Runtuhnya
kerajaan Majapahit di Jawa adalah hasil gerakan dakwah Islam oleh Melaka.5
Selain faktor politik dan penaklukan, penyebaran Islam di Tanah Melayu turut
disumbang oleh faktor perkahwinan, perdagangan dan gerakan dakwah oleh golongan
sufi.6 Walaubagaimana pun, faktor terpenting tersebarnya Islam secara meluas adalah
4Bendahara Tun Perak dianggap tokoh teragung dalam sejarah Melaka kerana kejayaannya menguatkan kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan dan penyebaran agama Islam di samping kejayaannya meluaskan wilayah Melaka.5 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 99-100.6 Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm. 36.
3
kerana agama itu sendiri di mana sifat-sifatnya dan kandungannya adalah dengan mudah
dapat mendorong orang mengikutinya.7
Sungguhpun, tarikh sebenar kedatangan Islam di Tanah Melayu masih kabur,
namun kedatangan dan penyebaran agama Islam yang berlaku di negeri-negeri Melayu
ini yang menjangkau masa yang lama dan tidak henti-henti telah membawa pengaruh
yang cukup besar dan bermakna kepada masyarakat Melayu dari aspek pembentukan
peradaban mereka.
3. Pengaruh Islam Ke Atas Masyarakat Melayu
Islam yang sampai ke Alam Melayu telah membuka satu lembaran sejarah baharu
iaitu zaman bertamadun dan berkemajuan.8 Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas,
Islam mempunyai pengaruh yang amat besar, mendalam dan meluas di Alam Melayu
sehingga berjaya mencabut akar umbi pengaruh Hindu-Buddha. Kedatangan Islam bukan
sahaja menandakan kedatangan zaman baharu, bahkan permulaan suatu zaman moden di
rantau ini. Ujarnya, segala-galanya berpunca daripada tamadun yang dibawa oleh Islam
berasaskan kepada rasionalisme dan kebebasan cara berfikir berbanding dengan zaman
sebelumnya yang tidak berasaskan kepada rasionalisme dan akal fikiran masyarakat
dibelenggu oleh kepercayaan yang salah.9
7 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, Kota Bharu: Masfami Enterprise, hlm. 35.8 Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37.9Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 3-4.
4
Pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas ini secara tidak langsung menolak
beberapa pendapat sarjana barat yang mengatakan bahawa pengaruh Islam di Alam
Melayu itu adalah suatu yang tipis iaitu hanya kulit sahaja sedangkan di dalamnya adalah
unsur Hindu dan Buddha. Anggapan sarjana Barat ini telah mengelirukan. Bagaimana
boleh dianggap penyebaran Islam itu secara tipis sedangkan orang-orang Melayu itu
menganut dan terlibat secara dalaman dengan Islam.10 Sebenarnya pengaruh unsur Hindu
dan Buddha itulah yang tipis kerana agama Hindu dan Buddha hanya didalami dan
diamalkan oleh golongan istana sedangkan rakyat bawahan tidak mempunyai kefahaman
yang tepat berkenaan dengan agama-agama tersebut.11
Sejak orang Melayu menerima agama Islam, dapat ditegaskan ia mempengaruhi
secara mendalam dan melibatkan keseluruhan cara hidup harian anggota masyarakat itu
dan tidak hanya pada sistem kepercayaan sahaja. Perubahan yang berlaku ini merupakan
suatu revolusi yang telah sama sekali mengubah corak sosial dan politik masyarakat
tersebut.12 Umumnya kedatangan Islam telah membawa pengaruh yang cukup besar ke
atas masyarakat Melayu sehingga mencorakkan lanskap peradaban mereka. Pengaruh
Islam ke atas masyarakat Melayu dapat dilihat pada aspek-aspek berikut:
a. Aspek Akidah (Kepercayaan)10Wan Abdul Kadir (1992), Pembinaan Tradisi Dan Budaya Ekspresif: Budaya Melayu, Petaling Jaya: Masfami Enterprise, hlm. 25.11 Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, hlm. 12.12Mohammad Redzuan Othman (2005), Islam Dan Masyarakat Melayu, hlm. 1.
5
Kesan paling ketara dengan kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu ialah
bertukar agama daripada beragama Hindu atau Buddha atau kepercayaan animisma
kepada berakidah Islam yang mentauhidkan dan menyembah Allah s.w.t,13 di samping
menyakini kewujudan malaikat, perutusan para nabi, penurunan kitab-kitab, kewujudan
hari akhirat dan ketentuan qadha dan qadar. Cara kehidupan mereka juga telah berubah
kepada cara hidup beragama dengan mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam
kehidupan mereka.14
Pandangan masyarakat Melayu terhadap kehidupan juga menjadi benar iaitu
semata-mata untuk beribadah kepada Allah s.w.t bukan untuk tujuan-tujuan lain selain
dari itu. Amalan berakidah tidak hanya terikat pada amalan ibadah-ibadah yang
diwajibkan sahaja tetapi juga pada setiap tindakan dan perbuatan. Kefahaman tauhid
yang menjadi asas akidah Islam berjaya meresap masuk ke dalam jiwa orang Melayu
sehingga sukar untuk digugat keislaman mereka. Sebab itu, cubaan untuk menyeberluas
agama Kristian oleh penjajah ke atas orang Melayu tidak memberi kesan. Malahan
sampai kini, hubungan antara Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.15
b. Aspek Politik dan Pentadbiran
13 Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 540.14 http://pismpmathc5ipgkba.blogspot.com/2010/02/kesan-dan-pengaruh-islam-dalam-tamadun.html15Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam ITM, hlm. 223.
6
Kesan segera pengislaman di Tanah Melayu ialah kemunculan kerajaan Islam
seperti kerajaaan Islam Melaka. Sebelum kedatangan Islam, sistem politik Hindu telah
mempengaruhi sistem pemerintahan di mana raja dianggap mempunyai kuasa luar biasa
kerana dikatakan berasal daripada keturunan dewa dan jelmaan tuhan.16 Dengan
kedatangan Islam, sistem politik dan pentadbiran kerajaan Islam telah memperkenalkan
sistem pemerintahan empayar Uthmaniyah dengan meletakkan ‘sultan’ sebagai ketua
negara dan ketua agama Islam. Di dalam perlaksanaan pentadbiran, sultan dijadikan
‘Khalifah Allah di bumi’ dibantu oleh golongan penasihat yang terdiri daripada alim
ulama dan mufti.17 Berbeza dengan sistem kerajaan sebelum Islam di mana golongan
agama tidak mendapat tempat yang istimewa di dalam istana.
Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah
dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu yang perlu disembah.
Sultan bertanggungjawab menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara bagi
mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi penyebaran,
pentadbiran dan perlaksanaan hukum-hukumnya.18
Sultan juga bertanggungjawab memperkenalkan dan melaksanakan undang-
undang berdasarkan hukum syariah Islam dalam pentadbirannya bagi menjamin keadilan
dan kesaksamaan, walaupun di dalam beberapa perkara tidak begitu sempurna dan
kurang memuaskan. Hukum Kanun Melaka dan Hukum Laut Melaka adalah antara 16 http://www.studymode.com/essays/Kesan-Pengaruh-Islam-Di-Tamadun-Melayu-656496.html17Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (2004), Cetakan ke Empat, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 168.18 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 131-132.
7
contoh undang-undang bertulis yang mengandungi hukum syariah Islam yang
dikuatkuasakan dan dilaksanakan di dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka. Di
dalam undang-undang berkenaan telah dicatatkan beberapa peruntukkan undang-undang
mengikut perundangan jenayah Islam seperti hukuman mencuri, membunuh, zina dan
sebagainya. Selain itu, dimuatkan juga peruntukkan tentang soal nikah kahwin,
pembahagian pusaka (faraid), hal yang berkaitan dengan muamalah seperti urusan jual
beli dan sebagainya juga dilaksanakan menurut sistem Islam. 19
c. Aspek Pendidikan dan Keilmuan
Mengenai sistem pendidikan dan ilmu pengetahuan ternyata agama Islam telah
membawa beberapa perubahan dan pembaharuan kepada peradaban Melayu. Oleh sebab
agama Islam menerima naungan daripada istana raja-raja Melayu, maka istana telah
dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan. Begitulah halnya yang
berlaku di Melaka, bermula daripada sultannya yang pertama sehingga sultan yang
terakhir sebelum tahun 1511M mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan
pendidikan Islam.20 Pernah diceritakan Sultan Mahmud Shah pernah mengunjungi rumah
maulana Yusuf untuk mempelajari kitab ”Maklumat”, di samping belajar dengan
maulana Sadar Johan.21
19 Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 541-542.20 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 141.21 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, hlm. 402.
8
Institusi-institusi pendidikan sama ada rasmi atau tidak rasmi seperti pendidikan
di peringkat madrasah, pondok atau pesantren, masjid dan surau telah wujud. Ini
menunjukkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang
untuk mendapat dan mempelajari ilmu pengetahuan terutama mengenai ajaran Islam.
Kesannya, ramailah masyarakat Melayu yang celik huruf berbanding sebelum kedatangan
Islam di mana ilmu pengetahuan hanya dipelajari oleh golongan istana sahaja. Kesan lain
ialah muncullah golongan intelektual terutama alim ulama di beberapa pusat tamadun
Melayu Islam dengan karya-karya utama mereka terutama karya-karya berbentuk
keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan sastera kitab.22
Ulama dalam bidang agama ini tidak hanya berperanan sebagai guru agama,
pengarang kitab-kitab dan penasihat raja-raja malah turut berjihad sebagai pahlawan di
medan perang. Oleh itu, golongan ini sentiasa mendapat penghormatan yang tinggi di
kalangan masyarakat dan juga pemerintah.23
Dari segi bahasa, selepas kedatangan Islam bahasa Arab mula mengambil alih
bahasa Sanskrit. Huruf Arab telah digunakan bagi menggantikan huruf Kawi dan Nagari.
Bahasa Melayu telah mengalami perubahan yang pesat dengan peniruan kata-kata Arab
sehingga bahasa Melayu menjadi media kepada ilmu pengetahuan seperti teologi,
falsafah, etika dan sebagainya.24 Selain itu, martabat bahasa Melayu turut diangkat
sebagai salah satu bahasa ilmu pengetahuan dan penyebaran dakwah di Alam Melayu
22 Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Asia (2004), hlm. 168.23 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 404.24 http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-kebudayaan.html
9
dan dianggap sebagai Lingua-Franca di rantau ini. Justeru itu, Islam dikatakan
bertanggungjawab mengasaskan sistem pendidikan yang terawal di Alam Melayu.25
Dengan kemasukan Islam juga telah menjadikan bahasa Melayu daripada bahasa
lisan kepada bahasa persuratan, apabila tulisan jawi diperkenalkan, melalui pengajaran
yang berasaskan kepada al-Quran. Secara kebetulan huruf-huruf jawi yang diperkenalkan
oleh tulisan Arab amat sesuai sekali dengan cara bahasa Melayu dituturkan.26
Penglibatan pedagang dan mubaligh Islam dari Arab dalam usaha menyebarkan
Islam di Alam Melayu secara tidak langsung turut mempengaruhi penggunaan istilah dan
perkataan bahasa Arab dalam bahasa Melayu. Penggunaan istilah dan perkataan tersebut
bukan sahaja dapat dilihat pada perkara yang berkaitan dengan akidah, syariah dan
akhlak tetapi juga merangkumi segala aspek kehidupan yang lain seperti perkataan sultan,
ilmu, kitab, masjid, hisab, alam, sedekah dan lain-lain yang dipinjam dari bahasa Arab.27
Hal ini tentunya memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa Melayu dan menjadi
simbol kekuatan Islam menerusi bahasa.
d. Aspek Sosial
25 Syed Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu., hlm. 41.26 Mustafa Hj. Daud (1987), Pengantar Tamadun Islam, Petaling Jaya: Media Indah , hlm. 118. Lihat juga http://pismpmathc5ipgkba.blogspot.com/2010/02/kesan-dan-pengaruh-islam-dalam-tamadun.html27 Dasuki bin Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 544.
10
Walaupun tidak sepenuhnya unsur-unsur sosial Islam mempengaruhi masyarakat
Melayu, namun sudah terdapat nilai-nilai persamaan taraf antara manusia, tidak wujud
lagi sistem perhambaan dan amalan kasta28 sebagaimana yang diamalkan sebelum
kedatangan Islam. Sungguhpun masih kedapatan perbezaan status antara golongan
bangsawan dengan rakyat tetapi perbezaan itu tidaklah begitu ketara.29
Islam mengajar anggota-anggota masyarakat Melayu mengeratkan hubungan
persaudaraan sesama Islam, bantu-membantu dan tolong-menolong. Peraturan dan
panduan hidup adalah berasaskan kepada agama Islam.30 Unsur-unsur metafizik yang
berkaitan dengan rukun iman dan perkara-perkara sam’iyyat31 serta hukum syarak yang
terdapat dalam ajaran Islam seperti wajib, sunat, makruh, haram dan harus amat
mempengaruhi pemikiran orang-orang Melayu di mana segala kegiatan yang dilakukan
semata-mata didorong untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dalam kegiatan ekonomi
misalnya, amalan riba, merampas dan penipuan dalam jual beli tidak lagi diizinkan. Bagi
mendapat keredhaan Allah s.w.t dan kepentingan umum, kekayaan yang diperolehi
hendaklah dikeluarkan zakat dan digalakkan berwakaf dan melakukan amal jariah.32
Demikianlah pengaruh agama Islam dalam membentuk masyarakat dan budaya Melayu
yang lebih kukuh, yang belum pernah berlaku sebelum ini.
e. Aspek Kesenian
28Kasta diertikan sebagai lapisan masyarakat atau tingkatan golongan dalam masyarakat, lihat Kamus Dewan (1996), Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka29 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 133.30 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, hlm. 39.31Sam’iyyat ialah beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti percaya adanya siksaan kubur selepas mati adalah perkara benar dan tetap akan berlaku kepada orang yang telah meninggal dunia.32 Ibid., hlm. 134-135.
11
Pengaruh Islam dalam bidang kesenian meliputi pelbagai aspek, seperti arkitektur,
epigrafi, kaligrafi, seni ukir, seni logam dan sebagainya.33 Aspek arkitektur atau seni bina
dapat dilihat pada bangunan masjid, surau atau madrasah, istana, rumah, kota dan
sebagainya. Khusus tentang masjid yang merupakan pusat ibadat umat Islam mempunyai
beberapa ciri asasi pengaruh kesenian Islam seperti bumbung kubah, mihrab dan mimbar,
menara dan tulisan-tulisan khat yang menghiasi dinding-dinding masjid.34
Epigrafi seperti prasasti atau batu bersurat dan batu-batu nisan kebiasaannya
terdapat tulisan-tulisan kalimah Arab dan potongan ayat-ayat al-Quran serta angka-angka
Arab. Batu nisan di Langgar Kedah misalnya terdapat catatan kalimah Syahadah dengan
tulisan khat kufi. Manakala prasasti di Terengganu terdapat nasihat dan perintah bagi
mentaati hukum-hukum syarak.35
Salah satu kesenian Islam yang terpenting muncul selepas kedatangan Islam ialah
kaligrafi atau seni khat Islam. Seni khat dikatakan memainkan peranan penting dalam
memartabatkan masyarakat Alam Melayu kerana sebelum kemasukan Islam masyarakat
Melayu tiada mempunyai apa-apa kesenian khat.36 Seni khat Islam ini dapat dilihat pada
bangunan-bangunan masjid, batu nisan atau batu bersurat, di samping tertulis pada
benda-benda lain seperti tembikar, mata wang, pakaian dan lain-lainnya.37
33 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 390.34 Ibid., hlm. 391.35 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 135.36 http://minkhat92.blogspot.com/37 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 394. Lihat juga http://www.intelorganization.ml.my/2013/01/pengaruh-islam-di-alam-melayu-dalam.html
12
Adapun tentang seni logam, antara jenis-jenisnya ialah mata wang dan senjata-
senjata. Tentang mata wang, ianya menonjolkan nilai Islam dalamnya, dengan
menekankan sifat keadilan kepada raja-raja. Demikan juga pada senjata keris, dari segi
fungsi dan motif-motif ragam hias khususnya daripada ayat-ayat al-Quran yang terukir
pada hampir keseluruhan senjata ini yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.38
4. Islam Semasa Penjajahan Inggeris
Inggeris atau British adalah penjajah Tanah Melayu paling lama iaitu bermula
mengambil alih Tanah Melayu daripada penguasaan pihak Belanda menerusi Perjanjian
Inggeris-Belanda pada tahun 1824 sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Pada peringkat awal penjajahan, dasar pihak Inggeris ialah tidak mahu mencampuri
urusan yang berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi pentadbir British,
agama Islam yang telah sebati dalam kebudayaan orang-orang Melayu bukanlah satu
ancaman. Jika mencampuri urusan agama seperti mengembangkan agama Kristian
mungkin akan mencetuskan ketegangan yang boleh mendatangkan masalah besar kepada
kepentingan ekonomi mereka. Oleh yang demikian mereka meletakkan urusan yang
berkaitan dengan hal-hal agama di bawah kuasa sultan sebagai penaung.39
Menurut Muhammad Redzuan Othman, perluasan penjajahan British ke atas
Tanah Melayu ternyata tidak banyak mengubah amalan Islam dalam kalangan orang
Melayu, malah komitmen mereka terhadap agama pula tidak pernah terjejas pada bila-
38 Ibid., hlm. 395.39 Mohammad Redzuan Othman (2005), Islam Dan Masyarakat Melayu, hlm. 17.
13
bila masa.40 Namun begitu, penyerapan pengaruh Barat tetap berlaku apabila Inggeris
campurtangan dalam urusan pentadbiran dan undang-undang kerajaan Melayu sehingga
menghakis sedikit demi sedikit pengaruh Islam. Seperti yang diungkapkan oleh Ahmad
Ibrahim;
“Walaupun ada fasal yang menyatakan bahawa Raja-raja Melayu bersetuju menerima semua nasihat British kecuali dalam hal-ehwal mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu namun British sama ada secara langsung atau tidak langsung telah campurtangan dalam hal-ehwal agama dan pentadbiran. British secara tidak langsung telah membawa masuk undang-undang Inggeris menggantikan sebahagian besar pemakaian undang-undang Islam dan adat Melayu”.41
Menurut Ahmad Ibrahim lagi dengan memetik kenyataan R.J Wilkinson, tidak boleh
diragui lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu
sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya.42
Ekoran campurtangan Inggeris dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu dengan
memperkenalkan undang-undang Inggeris sehingga mengenepikan sebahagian besar
undang-undang Islam telah membangkitkan kemarahan di kalangan orang-orang Melayu
terutama dari golongan nasionalis Melayu dan juga golongan ulama’. Namun semua
gerakan penentangan ini dapat dipatahkan oleh pihak penjajah. 43
Sungguhpun gerakan penentangan ini dapat dipatahkan, namun sedikit sebanyak
membuatkan pihak Inggeris mempertimbangkan kedudukan undang-undang Islam
dengan bertindak mengubah struktur pentadbiran agama Islam dan undang-undang
40 Ibid., hlm. 23.41 Ahmad Mohamad Ibrahim (1986), Sistem Undang-undang Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 49.42 Ibid.43 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 201.
14
Mahkamah Syariah yang sedia wujud di samping menubuhkan Majlis Agama Islam serta
menggubal undang-undang untuk dilaksanakan di mahkamah tersebut.44
Menurut Kassim Thukiman, pada zaman penjajahan Barat, Islam tidak memberi
kesan ke atas sistem politik masyarakat Melayu dan hanya dijadikan sebagai agama rasmi
di setiap negeri Melayu. Perkembangan agama Islam juga semakin merosot dan terhad
pemakaiannya. Ini kerana kerajaan British telah menginstitusikan bidang agama
menyebabkan ia menjadi sangat birokratik.45
Akibat campurtangan Inggeris, aspek-aspek lain turut terjejas seperti ekonomi,
pendidikan dan budaya. Proses modenisasi yang menjurus kepada mementingkan
kemajuan kebendaan yang dilakukan oleh pihak Inggeris dalam pelbagai aspek ini telah
mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu. Kesannya, berlakulah suatu pemisahan
dalam cara hidup di mana Islam hanya pada ibadah ritual sahaja. Ini bermakna Inggeris
berjaya menerapkan budaya sekular dalam sistem pentadbiran dan kehidupan masyarakat
Melayu. Di bidang ekonomi misalnya, pihak Inggeris telah memperkenalkan sistem
kapitalis yang menekankan aspek kebendaan bukannya aspek spiritual sebagaimana
dalam Islam. Pengaruh kapitalis ini mula tersebar di bandar-bandar moden di negara ini
kerana ia merupakan ukuran kemajuan Barat.46 Oleh itu, untuk mencapai kemajuan
seperti kemajuan orang-orang Barat masing-masing berusaha mengejar kebendaan atau
material.
44 Ibid., hlm. 202.45 Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, hlm. 48.46 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, hlm. 48.
15
Begitu juga dalam sistem pendidikan di mana sistem pendidikan sekular
mengambil-alih sistem pendidikan tradisional. Stamford Raffles dikatakan pelopor sistem
pendidikan sekular ini, kerana dialah yang mula-mula menganjurkan supaya pelajaran
bahasa Melayu diasingkan dari dasar pelajaran al-Quran.47 Sistem pendidikan Inggeris ini
secara halus mula menanam sikap, nilai dan wolrdview Barat kepada murid-murid
tempatan. Barat menyalurkan nilai-nilai Barat dan melakukan proses modenisasi atau
pembaratan menerusi sistem pendidikan. Akibatnya lahirlah golongan yang cenderong
kepada budaya Barat apatah lagi dari segi psikologinya kedudukan orang Inggeris pada
waktu dipandang tinggi. Ini kerana kemajuan yang dicapai oleh Barat dari aspek luaran
seperti teknologi, sains dan ilmu pengetahuan dengan sendirinya meletakkan kedudukan
orang-orang Barat di atas.48
Pengaruh budaya Barat juga disebarkan melalui penayangan filem-filem Barat
yang ternyata mendapat sambutan di kalangan muda-mudi Islam sehingga mengabaikan
amalan cara hidup Islam. Perlakuan, pakaian, fesyen dan seumpamanya yang ditonjolkan
menerusi filem-filem Barat selalu menjadi ikutan orang-orang muda yang kebiasaannya
mendapat tentangan dari golongan tua. Ini kerana nilai-nilai dalam budaya Barat itu
bertentangan dengan nilai-nilai tradisi dan agama Islam.49
Menurut Haji Dasuki Haji Ahmad, sekurang-sekurangnya dua kesan ditinggalkan
oleh penjajah; pertamanya, melemahkan pengaruh Islam di Tanah Melayu di mana
kedatangan penjajah Barat dan penerapan kebudayaan Barat serta kemajuan Barat dalam
47 Abdul Rahman Haji Abdullah (1984), Sejarah Dan Pemikiran Islam, Damansara Utama: Penerbitan Pena, hlm. 357.48 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 49.49 Ibid., hlm. 50-51.
16
bidang sains dan teknologi telah menambah kemerosotan pengaruh Islam. Keduanya,
memundurkan kehidupan orang Islam akibat penguasaan ekonomi tempatan oleh
penjajah Barat di samping pembangunan yang dibawa oleh penjajah tidak memberi
faedah kepada orang-orang Melayu.50
5. Kesimpulan
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu jelas telah membawa pengaruh yang cukup
besar kepada masyarakat Melayu. Islam yang tersebar ke seluruh Tanah Melayu melalui
beberapa faktor telah berjaya merubah kepercayaan, pemikiran dan cara hidup orang-
orang Melayu sehingga membentuk satu peradaban Melayu yang berbeza dengan
sebelumnya. Pengaruh Islam ini terus berkembang dengan baik dalam tempoh yang agak
lama.
Namun begitu pengaruh Islam telah terjejas apabila pihak Barat datang menjajah
terutama penjajah British atau Inggeris yang telah berjaya mencampuri urusan hal-ehwal
orang-orang Melayu dengan memperkenalkan dasar-dasar Barat menerusi sistem
Residen. Akibatnya nilai-nilai tradisi dan agama Islam yang mewarnai politik,
perundangan, ekonomi dan pendidikan dalam masyarakat Melayu semakin terhakis dan
terpisah.
Walaupun penjajahan Inggeris telah menjejaskan pengaruh Islam dan
membantutkan perkembangannya dalam pelbagai aspek, namun dari aspek kepercayaan 50Dasuki Haji Ahmad (1980), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 16-17.
17
dan pegangan akidah orang-orang Melayu tidak terjejas dan tetap dipertahankan. Akidah
Islam yang sudah tertanam dalam diri dan sebati dengan jiwa orang Melayu sejak sekian
lama telah membangkitkan kesedaran dan semangat di kalangan mereka untuk berjuang
menentang penjajahan Barat ini sehinggalah membawa kepada kemerdekaan tanahair
pada tahun 1957. Selepas mencapai kemerdekaan, pengaruh dan perkembangan Islam
kembali mewarnai peradaban Malaysia.
Rujukan
Abdul Rahman Haji Abdullah (1984), Sejarah Dan Pemikiran Islam, Damansara Utama: Penerbitan Pena.
___________________ (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu), Petaling Jaya: Al-Rahmaniah.
Ahmad Mohamad Ibrahim (1986), Sistem Undang-undang Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
18
Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (2004), Cetakan ke Empat, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Kamus Dewan (1996), Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Mahayudin Haji Yahaya (1998), Islam Di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka .
Mustafa Hj. Daud (1987), Pengantar Tamadun Islam, Petaling Jaya: Media Indah.
Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Abdul Kadir (1992), Pembinaan Tradisi Dan Budaya Ekspresif: Budaya Melayu, Petaling Jaya: Masfami Enterprise.
_______________ (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, Kota Bharu: Masfami Enterprise.
Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat
Pendidikan Islam ITM.
http://www.studymode.com/essays/Kesan-Pengaruh-Islam-Di-Tamadun-Melayu-
656496.html
http://pismpmathc5ipgkba.blogspot.com/2010/02/kesan-dan-pengaruh-islam-dalam-tamadun.html
http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-kebudayaan.html
http://www.intelorganization.ml.my/2013/01/pengaruh-islam-di-alam-melayu-dalam.html
19
http://minkhat92.blogspot.com/
20