1kertas kerja seminar kefahaman islam mengenai …
TRANSCRIPT
1 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
“MAKANAN TIRUAN : TERJAMINKAH KESELAMATAN MAKANAN
DI MALAYSIA?”
Mohd Salim bin Dulatti1
Badruzzaman bin Abdul Rahim2
Nurul Huda binti Aziz3
ABSTRAK
Kawalan makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan adalah amat penting untuk
mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan memastikan makanan yang dijual
adalah selamat. Di Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM),
Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan badan utama yang bertanggunjawab
dalam kawalan makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan. Selain BKKM,
agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut berperanan
dalam kawalan makanan di peringkat ladang dan pintu masuk manakala pihak
berkuasa tempatan (PBT) turut mempunyai peranan yang tersendiri. Di negara ini,
kesemua kategori makanan dikawal oleh Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan
di bawahnya. Setiap kategori makanan telah ditetapkan standard tertentu bagi
memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat. Hasil pemantauan berterusan
BKKM dan agensi-agensi berkaitan tahap keselamatan makanan di negara ini adalah
sentiasa terjamin.
1Pengarah Kanan BKKM, Kementerian Kesihatan Malaysia
2Ketua Penolong Pengarah, BKKM, Kementerian Kesihatan Malaysia
3Penolong Pengarah Kanan, BKKM, Kementerian Kesihatan Malaysia
2 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
PENGENALAN
Keselamatan makanan merujuk kepada cara pengendalian, penyediaan dan
penyimpanan makanan untuk mengurangkan sebaik-baiknya risiko orang ramai
daripada mendapat penyakit bawaan makanan1. Faktor-faktor yang menyumbang
kepada kewujudan mudarat dalam makanan termasuklah amalan pertanian yang
kurang baik; amalan kebersihan yang kurang baik di sepanjang rantaian bekalan
makanan; kurang langkah pencegahan dalam pemprosesan dan penyediaan makanan;
penyalahgunaan bahan kimia termasuk aditif yang dilarang dalam makanan; bahan
mentah, ramuan dan air yang tercemar; penyimpanan makanan yang tidak betul; dan
sebagainya. Dalam hal ini, bidang keselamatan makanan menjadi semakin mencabar
pada masa kini disebabkan globalisasi perdagangan makanan khususnya dengan
kewujudan e-dagang, pertambahan populasi dunia, perubahan cuaca, kepesatan
kemajuan dalam teknologi makanan dan kesedaran pengguna yang semakin
meningkat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 600 juta orang sakit
selepas mengambil makanan yang tercemar yang menyebabkan hampir 420,000
kematian di seluruh dunia pada setiap tahun2. Bagi meningkatkan kesedaran orang
ramai terhadap kepentingan keselamatan makanan, WHO telah menetapkan tarikh 7
Jun sebagai “Hari Keselamatan Makanan Sedunia” mulai tahun 2019. Sebagai
permulaan, WHO telah menetapkan tema “Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019”
adalah “Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Semua”3.
Tema tersebut adalah sangat relevan kerana semua pihak iaitu pengeluar makanan,
kerajaan dan pengguna mempunyai tanggunjawab masing-masing untuk memastikan
bahawa tahap keselamatan makanan di sesebuah negara adalah sentiasa optimum.
Pengeluar makanan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa makanan yang
dihasilkan adalah selamat, berkualiti dan mematuhi kehendak undang-undang.
Kerajaan bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem kawalan makanan yang dapat
melindungi pengguna tetapi pada masa yang sama dapat memudahcara pengeluar
3 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
makanan dalam urusan perdagangan. Pengguna pula bertanggungjawab memilih dan
membeli makanan dari premis makanan yang bersih; meneliti keadaan pembungkus
makanan dan membaca label sebelum membeli sesuatu makanan yang diproses;
mengamalkan pengendalian, penyediaan dan penyimpanan makanan yang bersih di
rumah; dan menjadi informer kepada pihak kerajaan sekiranya terdapat situasi di mana
makanan yang dijual mungkin boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Sistem kawalan makanan yang berkesan adalah penting untuk melindungi keselamatan
dan kesihatan pengguna. Di samping itu, ia juga kritikal untuk membolehkan sesebuah
negara memastikan makanan mereka yang dieksport adalah selamat dan mematuhi
kehendak negara pengimport. Kawalan makanan boleh ditakrifkan sebagai satu aktiviti
penguatkuasaan perundangan yang mandatori oleh pihak berkuasa kebangsaan atau
tempatan untuk menyediakan perlindungan kepada pengguna dan memastikan semua
makanan semasa pengeluaran, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan dan
pengedaran adalah selamat, berkhasiat dan sesuai untuk kegunaan manusia;
mematuhi keperluan keselamatan dan kualiti; dan dilabel dengan jujur dan tepat seperti
ditetapkan oleh undang-undang4.
Bagi memastikan sesuatu sistem kawalan makanan adalah berkesan, ia perlu
dilaksanakan di semua peringkat di sepanjang rantaian bekalan makanan iaitu dari
ladang ke meja makan di mana ia melibatkan pelbagai agensi kerajaan dengan bidang
kuasa berbeza yang saling melengkapi di antara satu sama lain. WHO telah memilih
tema “Dari Ladang ke Meja Makanan, Jadikan Makanan Selamat” sebagai tema Hari
Kesihatan Sedunia 2015 sebagai mengiktiraf kepentingan kawalan di sepanjang
rantaian bekalan makanan5.
Seperti dinyatakan di awal penulisan ini, antara cabaran yang dihadapi dalam bidang
keselamatan makanan adalah kesedaran pengguna yang semakin meningkat. Ini dapat
dilihat dengan penularan isu-isu keselamatan makanan melalui media sosial seperti
WhatsApp dan Facebook dan di antara isu yang sering ditularkan adalah berkaitan
premis makanan yang kotor, pencemaran bendasing seperti serangga dalam makanan
dan makanan tiruan atau palsu.
4 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
Dalam konteks keselamatan makanan, makanan tiruan atau palsu boleh meliputi
makanan-makanan seperti berikut:
a) Model atau replika makanan yang dihasilkan daripada plastik, lilin, resin atau
bahan-bahan serupa6;
b) Makanan yang dihasilkan dengan menggunakan ramuan makanan berbeza dari
makanan asal untuk memenuhi kehendak pengguna tertentu, contohnya
makanan vegetarian;
c) Makanan yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya daripada bahan
makanan dan bukan makanan yang jika dimakan, boleh memudaratkan
kesihatan, contohnya telur palsu dan beras palsu; dan
d) Makanan yang dihasilkan menggunakan bahan yang berkualiti rendah tetapi
menggunakan cap dagangan atau jenama yang terkenal, contohnya Milo tiruan.
Kertas ini akan membincangkan senario keselamatan dan kualiti makanan di Malaysia
secara retrospektif dari perspektif Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM),
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pihak yang bertanggungjawab untuk
memastikan bahawa makanan yang dijual di Malaysia adalah selamat dan berkualiti.
PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG
Di Malaysia, Akta Makanan 1983 (Akta 281) merupakan undang-undang induk yang
diwujudkan khusus untuk kawalan makanan dan ia terpakai di seluruh Malaysia
termasuk Sabah dan Sarawak. Tujuan penggubalan akta ini adalah untuk melindungi
orang ramai dari kemudaratan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan
penggunaan makanan serta perkara-perkara lain yang bersampingan atau berkaitan
dengannya7. Perkara-perkara lain yang bersampingan atau berkaitan dengannya
merujuk kepada premis di mana makanan disedia, dikendali, disimpan, dibungkus,
diedar atau dijual; mereka yang terlibat dalam penyediaan, pengendalian,
pembungkusan, penyimpanan, pengedaran, penjualan atau pengiklanan makanan;
perkakas atau peralatan yang digunakan untuk penyediaan, pengendalian,
5 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
pembungkusan dan penyimpanan makanan; bahan pembungkus makanan; label
makanan dan iklan makanan.
Di bawah Akta Makanan 1983, terdapat tujuh (7) peraturan diwujudkan iaitu:
a) Peraturan-Peraturan Makanan 1985;
b) Peraturan-Peraturan Makanan (Notis di Bawah Seksyen 32B) 2007;
c) Peraturan-Peraturan Makanan (Pengeluaran Sijil Kesihatan Bagi Eksport Ikan
dan Keluaran Ikan ke Kesatuan Eropah) 2009;
d) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009;
e) Peraturan-Peraturan Iradiasi Makanan 2011;
f) Peraturan-Peraturan Makanan (Fi Analisis Makanan) 2016; dan
g) Peraturan-Peraturan Makanan (Pengkompaunan Kesalahan) 2017.
Terdapat dua (2) peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 yang boleh digunakan untuk
mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam
penjualan makanan tiruan atau palsu iaitu:
a) Sekiranya makanan tiruan atau palsu tersebut mengandungi bahan yang boleh
memudaratkan kesihatan, pihak yang terlibat dalam penjualan makanan tersebut
boleh didakwa di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika sabit
kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau
penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya; dan
b) Sekiranya makanan itu bukan dari jenis, bahan atau kualiti bagi makanan
tersebut untuk menipu pengguna, pihak yang terlibat dalam penjualan makanan
tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 14(1), Akta Makanan 1983 di mana
jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara tidak melebihi
lima (5) tahun atau kedua-duanya.
Di samping itu, Akta Juruanalisis Makanan 2011 dan Peraturan-Peraturan Juruanalisis
Makanan turut diwujudkan untuk mengawal selia aktiviti analisis makanan untuk
6 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
memastikan semua keputusan analisis makanan dikeluarkan oleh mereka yang
berkelayakan dan berintegriti.
Bagi memantapkan kawalan di sepanjang rantaian bekalan makanan di negara ini,
terdapat juga undang-undang yang dikuatkuasakan oleh agensi-agensi di bawah
Kementerian Pertanian seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian,
Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Undang-undang yang
dikuatkuasakan oleh agensi-agensi tersebut adalah khusus untuk kawalan di peringkat
ladang dan pintu masuk kecuali FAMA yang menguatkuasakan undang-undang
berkaitan penggredan, pembungkusan dan pelabelan hasilan segar.
Di peringkat kerajaan tempatan pula, semua pihak berkuasa tempatan (PBT)
mempunyai Undang-undang kecil masing-masing yang turut mempunyai peruntukan
berkaitan kawalan makanan. Dalam hal ini, PBT yang berkemampuan seperti Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya
turut menjalankan aktiviti penguatkuasaan berkaitan kawalan makanan di kawasan
masing-masing.
Bagi makanan yang diperolehi melalui kaedah bioteknologi moden atau dikenali
sebagai makanan terubahsuai genetik (GMF), event yang digunakan untuk
menghasilkan makanan tersebut perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan
Biokeselamatan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di bawah undang-undang
yang dikuatkuasakan oleh agensi tersebut. Manakala penipuan dari segi cap dagangan
pula dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
7 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
ISU MAKANAN TIRUAN ATAU PALSU
Semenjak tahun 2011, pelbagai dakwaan kewujudan makanan tiruan atau palsu di
pasaran negara ini ditimbulkan sama ada melalui media arus perdana, internet atau
media sosial seperti WhatsApp dan Facebook. Sebagai badan yang bertanggungjawab
dalam kawalan makanan di negara ini, BKKM sentiasa peka dengan isu-isu berkaitan
makanan yang ditimbulkan dan telah menjalankan siasatan ke atas semua isu tersebut.
Berikut disenaraikan beberapa isu makanan tiruan atau palsu yang pernah ditangani
oleh BKKM.
Isu Penjualan Telur Tiruan di Pasaran Tempatan8
Isu ini mula mendapat perhatian media tempatan dan orang ramai pada tahun 2011. Ia
berkaitan dakwaan beberapa pengguna di Pulau Pinang yang mendakwa telah membeli
telur tiruan di sebuah pasar di negeri tersebut. BKKM telah mengambil empat (4)
sampel telur terbabit dan hasil analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia
mendapati kandungan protein sampel telur tersebut adalah sama dengan telur ayam.
Analisis DNA mengesahkan sampel telur tersebut adalah telur ayam. Walau
bagaimanapun, terdapat beberapa dakwaan susulan berkaitan penjualan telur palsu di
pasaran tempatan dan hasil siasatan BKKM mendapati semua dakwan tersebut adalah
tidak berasas.
Isu Beras Palsu9
Dakwaan kewujudan beras palsu di negara ini telah bermula pada tahun 2015 yang
ditularkan melalui media sosial bahawa 'beras palsu' dikeluarkan di China menerusi
campuran kentang manis dan resin plastik .telah dieksport ke beberapa negara Asia
termasuk Malaysia. Hasil semakan yang dilakukan oleh BKKM dengan pihak Padiberas
Nasional Berhad (BERNAS) mendapati sebahagian besar beras import Malaysia dari
Vietnam, Thailand dan Pakistan. Jumlah import beras dari China didapati sangat kecil
iaitu kurang 0.01 peratus daripada import keseluruhan 800,000 tan bagi memenuhi
permintaan daripada restoran Jepun dan Korea untuk bijiran beras jenis japonica.
8 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
Isu Madu Tiruan10
Akhbar Berita Harian bertarikh 19 November 2017 melaporkan bahawa kira-kira 80%
pasaran madu lebah di negara ini adalah madu tiruan dan hasil kajian makmal didapati
madu tiruan diperbuat daripada gula, kanji dan tepung jagung yang boleh
memudaratkan kesihatan pengguna terutamanya pesakit diabetes. Madu merupakan
sejenis manisan yang dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga. Peraturan
130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 telah
menetapkan antaranya madu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 60% gula
penurunan (reducing sugars) dan mempunyai kandungan gula sukrosa tidak melebihi
daripada 10%.
Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun
2016 sehingga November 2017, sebanyak 77 sampel produk madu dengan pelbagai
jenama telah diambil di pasaran tempatan. KKM mendapati bahawa tujuh (7) sampel
produk (9.1%) tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan
Makanan 1985.
Isu Air Zam Zam Palsu11
Akhbar Utusan Melayu bertarikh 31 Mei 2017 telah menyiarkan laporan bertajuk “Arab
Saudi Musnah Ratusan Ribu Air Zam Zam Palsu”. Air zam zam diperolehi dari bawah
tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah
Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral
semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada
pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma
kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam
kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi. Sehubungan itu, penjualan air
9 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
zam zam tidak dibenarkan di Malaysia memandangkan tiada jaminan tentang ketulenan
dan keselamatan air zam zam yang dijual.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengambil tindakan
penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam semenjak tahun 2012 dengan
menjalankan aktiviti rampasan mengikut kuasa di bawah Seksyen 4(1)(f), Akta
Makanan 1983.
Isu Stevia Palsu12
Akhbar Berita Harian bertarikh 27 Mac 2017 telah menyiarkan artikel bertajuk “Awas
Stevia Palsu”. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah
menjalankan pemantauan ke atas produk stevia di pasaran dan mendapati satu sampel
yang dilabel sebagai produk stevia tidak mengandungi stevia. KKM telah mengarahkan
syarikat terlibat memanggil balik produk tersebut dari pasaran dan tindakan mahkamah
telah diambil ke atas syarikat berkenaan di bawah Akta Makanan 1983.
Isu Susu Tiruan13
Susulan daripada rampasan sejumlah 210 kotak susu rumusan bayi tiruan oleh pihak
KPDNHEP di lima (5) lokasi berbeza di Johor pada bulan Disember 2017, KKM telah
mengambil sampel susu terbabit untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati produk
tersebut adalah selamat. Walau bagaimanapun, produk berkenaan tidak mencapai
standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah
Akta Makanan 1983 iaitu dari segi kandungan lemak.
10 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
AKTIVITI-AKTIVITI KAWALAN MAKANAN OLEH BKKM
Aktiviti Penguatkuasaan
Bagi mempertingkatkan tahap kebersihan premis makanan di seluruh negara, BKKM
sentiasa menjalankan aktiviti pemeriksaan premis makanan sama ada secara rutin atau
operasi khas / bersepadu untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang seperti
berikut terhadap pemilik premis makanan yang tidak bersih iaitu:
1) Penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta
Makanan 1983 di mana mereka yang engkar kepada arahan ini boleh didakwa di
mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh
tidak lebih daripada lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya; dan
2) Kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Di bawah
peraturan ini, terdapat 33 kesalahan yang boleh dikompaun yang meliputi aspek
kebersihan am dan kebersihan khusus premis makanan, kebersihan pengendali
makanan dan pengendalian makanan.
Pada tahun 2018, sebanyak 2,302 (1.8%) premis makanan telah ditutup di bawah
Seksyen 11, Akta Makanan 1983 daripada 126,896 premis makanan yang telah
diperiksa. Di samping itu, sebanyak 12,183 kompaun telah dikeluarkan terhadap
pengusaha premis makanan dan pengendali makanan yang tidak mematuhi keperluan
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) di bawah Akta Makanan
198314.
Di samping itu, bagi memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan
mematuhi standard yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985, aktiviti
pensampelan makanan turut dijalankan di sepanjang rantaian bekalan makanan. Jika
sampel makanan yang dianalisis didapati tidak mematuhi mana-mana peruntukan di
bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan di mahkamah akan
diambil ke atas penjual, pengeluar, pengedar, empunya hak untuk mengilang atau
11 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
pengimport makanan tersebut. Di samping itu, bagi produk makanan proses, notis
memanggil balik (recall) di bawah Seksyen 13C(1), Akta Makanan 1983 turut
dikeluarkan kepada pengeluar, pengedar, empunya hak untuk mengilang atau
pengimport makanan tersebut. Sekiranya pihak yang diberi notis tersebut enggan atau
gagal melaksanakan arahan berkenaan, tindakan pendakwaan boleh diambil di mana
jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000.00 atau
penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pada tahun 2018, daripada 29,809 sampel makanan yang telah diambil dan dianalisa,
1,497 (5.0%) sampel didapati melanggar peruntukan Akta Makanan 1983 dan
Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Sebanyak 72 kes pelanggaran berkaitan telah
dikenakan hukuman denda yang berjumlah sebanyak RM109,63514.
Selain daripada itu, pemeriksaan turut dijalankan ke atas produk makanan proses yang
dijual di pasaran untuk memastikan pematuhan dari segi pelabelan dan bahan
pembungkus. Makanan yang tidak mematuhi kehendak pelabelan atau bahan
pembungkusnya telah rosak akan dirampas. Di samping itu, notis kompaun juga boleh
dikeluarkan kepada penjual produk makanan tersebut sebagaimana diperuntukkan di
bawah Peraturan-Peraturan Makanan (Pengkompaunan Kesalahan) 2017.
Aktiviti penguatkuasaan turut dijalankan di semua pintu masuk negara yang meliputi
penahanan; penarikan balik; pengeksportan semula; prosedur tahan, uji dan lepas;
penolakan pengimportan; pemusnahan konsainan makanan yang didapati melanggar
perundangan makanan; prosedur pelabelan semula; dan prosedur pemprosesan dan
pembaikan mutu makanan import. Aktiviti kawalan makanan import meliputi 47 lokasi
pintu masuk seluruh negara dengan dibantu oleh Sistem Maklumat Keselamatan
Makanan Malaysia (FoSIM). FoSIM merupakan satu sistem jaringan di antara setiap
pintu masuk seluruh negara. Sistem FoSIM yang disepadukan dengan Sistem
Maklumat Kastam (SMK) ini membolehkan kakitangan penguatkuasaan di setiap pintu
masuk seluruh negara meneliti secara berterusan semua konsainmen makanan yang
memasuki negara ini. Alert makanan akan diedarkan secara atas talian untuk
12 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
mengelakkan pengimport daripada mengimport barangan yang sama di pintu masuk
berlainan (fenomena port-hopping).
Imej 1: Gambaran Skematik Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia Bagi Kawalan Import Makanan
Pada tahun 2018, sejumlah 120,188 (46%) konsainan makanan import telah diperiksa
dan 6,909 (5.7%) konsainan telah dibuat pensampelan untuk pelbagai jenis parameter
analisis. Daripada jumlah bilangan pensampelan yang telah dibuat, 74 (1%) sampel
makanan didapati telah melanggar perundangan makanan14. Selain daripada tindakan
pendakwaan ke atas pengimport makanan dan mengeluarkan notis arahan memanggil
balik produk makanan kepada pengimport makanan tersebut, tindakan pemeriksaan
tahap 5 iaitu tahan, uji dan lepas akan dikenakan ke atas konsainan makanan
berikutnya bagi sampel makanan import yang didapati melanggar perundangan
makanan.
13 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
Aktiviti Pensijilan
Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mengkehendaki semua
premis pemprosesan makanan untuk melaksanakan program jaminan keselamatan
makanan seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Mudarat dan Kawalan
Titik Kritikal (HACCP). Justeru, bagi membantu industri makanan khususnya Enterprise
Kecil dan Sederhana (EKS) melaksanakan program jaminan keselamatan makanan,
Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) telah
diperkenalkan. Skim ini diberikan secara percuma kepada industri dan KKM berperanan
memberi khidmat nasihat teknikal kepada industri bagi mematuhi keperluan skim
tersebut secara berperingkat. Selain itu, skim pensijilan GMP dan HACCP juga turut
ditawarkan kepada industri bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan yang
dihasilkan di samping memudahkan urusan pengeksportan makanan.
Sehingga 31 Disember 2018, sebanyak 4,447 industri makanan telah mendapat
pensijilan MeSTI; sebanyak 701 industri makanan telah mendapat pensijilan GMP; dan
sebanyak 655 industri makanan telah mendapat pensijilan HACCP14.
Imej 2: Logo-logo Skim Pensijilan di Bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk Program Jaminan Keselamatan Makanan
Di samping itu, BKKM telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pengiktirafan
“Bersih, Selamat dan Sihat” (BeSS) pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan kepada
premis outlet makanan bagi menggalakkan pengusaha premis outlet makanan
menyediakan makanan yang bersih dan selamat serta menyediakan pilihan makanan
yang lebih sihat kepada pelanggan.
14 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
Secara umumnya, terdapat empat (4) kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh
pengusaha premis perkhidmatan makanan sebelum mendapat pengiktirafan iaitu:
a) Pengusaha premis outlet makanan yang mengekalkan premis yang bersih;
b) Pengusaha premis outlet makanan yang menyediakan makanan yang selamat;
c) Pengusaha premis outlet makanan yang menyediakan pilihan makanan yang
lebih sihat; dan
d) Pengusaha premis outlet makanan yang mempromosikan saiz hidangan yang
sesuai mengikut keperluan individu.
Pengiktirafan BeSS terbuka kepada premis outlet makanan seperti gerai penjaja, gerai
makanan di medan selera, restoran / kedai makan, kafeteria, kantin, dapur asrama,
katering dan kenderaan menjual makanan sedia dimakan.
Pengiktirafan BeSS adalah percuma dan ia sah dalam tempoh 3 tahun. Permohonan
boleh dibuat dengan mengisi borang yang boleh diperolehi daripada Ibu Pejabat
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Jabatan
Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah atau melalui laman sesawang
http://fsq.moh.gov.my. Sehingga 31 Disember 2018, sejumlah 5,999 premis
perkhidmatan makanan telah mendapat pengiktirafan BeSS14.
Imej 3: Logo Skim Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS)
15 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
BKKM juga telah mengambil inisiatif menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik
mulai tahun 2017. Skim pensijilan ini ditawarkan kepada industri makanan yang
memenuhi keperluan Peraturan 18 (2), PPM 1985 iaitu tiada sesuatu label yang
memperihalkan sesuatu makanan boleh mengandungi perkataan ‘autentik/tulen’ atau
apa-apa perkataan lain yang mempunyai makna yang sama melainkan:
(a) Makanan itu adalah dari kekuatan, keautentik/tulenan atau kualiti yang
ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan adalah bebas daripada
bahan tambahan lain selain daripada bahan tambahan yang diperlukan untuk
pemprosesan makanan tersebut; dan
(b) Tidak terdapat peruntukan nyata dalam Peraturan-Peraturan ini yang melarang
kemasukan pernyataan itu pada label bagi makanan.
Pada masa ini, skim pensijilan ini hanya ditawarkan kepada empat (4) industri makanan
berikut iaitu sarang burung walit, madu, daging dan kopi dengan dikenakan yuran
tertentu. Maklumat lanjut berhubung skim pensijilan ini boleh diperolehi di laman
sesawang BKKM iaitu http://fsq.moh.gov.my.
Imej 4: Logo Skim Pensijilan Makanan Autentik
16 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
KESIMPULAN
Hasil pemantauan berterusan yang dilaksanakan oleh BKKM sebagai badan yang
dipertanggungjawabkan dalam kawalan makanan di sepanjang rantaian bekalan
makanan di negara ini dengan kerjasama daripada agensi-agensi lain yang berkaitan,
dapat disimpulkan bahawa keselamatan makanan di negara ini adalah sentiasa
terjamin.
RUJUKAN
1. What is Food Safety. Australian Institute of Food Safety. www,foodsafety.com.au
2. WHO Estimates of the Global Burden of Foodborne Diseases. Foodborne Disease
Burden Epidemiology Reference Group 2007 – 2015. World Health Organization
2015
3. Celebration of World Food Safety Day. World Health Organization.
https://www.who.int/news-room/events/detail/2019/06/07/default-
calendar/celebration-of-world-food-safety-day
4. Assuring Food Safety and Quality: Guidelines for Strengthening National Food
Control System. FAO Food and Nutrition Paper 76. Food and Agriculture
Organization of the United Nations and World Health Organization
5. World Health Day 2015: From farm to plate, make food safe. World Health
Organization. https://www.who.int/mediacentre/news/releases/2015/food-
safety/en/
6. Food Model. Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Food_model
7. Akta Makanan 1983 (Akta 281). Undang-Undang Malaysia. Versi Atas Talian Teks
Cetakan Semula Yang Kemas Kini. 1 April 2012
8. Isu Penjualan Telur Tiruan di Pasaran Tempatan. Kenyataan Akhbar YB Menteri
Kesihatan. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/22/125
17 KERTAS KERJA SEMINAR KEFAHAMAN ISLAM MENGENAI MAKANAN SUNNAH DAN MAKANAN MODEN
Tajuk : “Makanan Tiruan : Terjaminkah Keselamatan Makanan di Malaysia””
9. Kementerian Kesihatan Pantau Beras Palsu. BH Online. 22 Mei 2015.
http://www.bhplus.com.my/node/56444
10. Isu Madu Tiruan. Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. 20
November 2017. http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?s=kenyataan-media
11. Isu Air Zam Zam Palsu. Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.. 9
Jun 2017. http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?s=kenyataan-media
12. Isu Stevia Palsu. Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.. 26 April
2017. http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?s=kenyataan-media
13. Susu Tiruan Dirampas Tidak Ikut Kualiti Standard Akta Makanan. Astro Awani. 28
Disember 2017. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/susu-tiruan-dirampas-
tidak-ikut-kualiti-standard-akta-makanan-kkm-164180
14. Laporan Tahunan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan Tahun 2018.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?id=2114
15. Laporan Tahunan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Tahun 2008.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.