dakwah kepada oku, apa peranan kita
Post on 22-Jan-2018
761 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
1
Sokongan Sosial Terhadap Anak Remaja Bermasalah Pembelajaran dalam
Mengamalkan Nilai-nilai Islam
Azura Binti Awang1
Yusmini Binti Md. Yusoff2
Abstrak
Sokongan sosial amat diperlukan dalam membantu sesebuah keluarga muslim
menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak-anak termasuk kepada anak remaja bermasalah
pembelajaran. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk melihat bagaimana sokongan sosial
boleh memberi impak dalam proses penerapan nilai Islam iaitu iman, ibadah dan akhlak
kepada anak-anak remaja bermasalah pembelajaran. Penulisan artikel ini juga bertujuan
membincangkan pendekatan yang diambil ibu bapa bagi mendapatkan sokongan sosial
yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, kumpulan ibu bapa, guru-
guru dan pihak kerajaan dalam usaha yang murni ini. Kajian kualitatif yang bersifat
deskriptif ini telah menemubual enam orang informan ibu bapa yang memiliki anak remaja
bermasalah pembelajaran. Anak remaja informan kajian berumur antara 13 tahun hingga 19
tahun yang sedang menjalani Program Pendidikan Khas Intergrasi di Sekolah Menengah
Kebangsaan Cheras Jaya, Selangor. Dapatan kajian dianalisis secara tematik menggunakan
perisian Atlas.Ti versi 7. Hasil kajian mendapati bahawa sokongan-sokongan sosial ini
telah memberi impak yang positif kepada ibu bapa dalam usaha menerapkan nilai-nilai
Islam kepada anak remaja bermasalah pembelajaran mereka. Ibu bapa juga telah
menunjukkan usaha bagi mengatasi cabaran yang dihadapi khususnya apabila berhadapan
karenah masyarakat yang boleh mengganggu proses penerapan nilai-nilai Islam ini.
Kata kunci: Sokongan sosial, nilai-nilai Islam, kajian kes, anak remaja bermasalah
pembelajaran
Abstract
Social support is needed to help a Muslim family applying Islamic values to children including on adolescents with learning difficulties. The objective is to look at how
social support can have an impact in the implementation process of inculcating iman, worship and akhlak to adolescents with learning difficulties. This article al discuss the approach taken by parents to obtain social support consisting of family members, relatives,
neighbors, groups of parents, teachers and the government in this noble cause. This qualitative case study interviewed six parents who have adolescents with learning
1Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam,
Bangi, Selangor. 2 Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
2
difficulties in the slow learner category, aged 13 years to 19 years who are undergoing
Special Education Integration Programme at SMK Cheras Jaya, Selangor. The findings were analyzed thematically using ATLAS.ti software version 7. The study found that the
social support has a positive impact on parents in order to implement Islamic values to their adolescents with learning difficulties. Parents also have shown efforts to overcome the challenges facing the ills of society, especially in the face that can interfere with the
application of the values of Islam.
Keywords: Social support system, values of Islam, case study, adolescents with learning difficulties.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
3
Pendahuluan
Sokongan masyarakat sangat diperlukan dalam membantu sesebuah keluarga dalam
usaha menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak-anak khususnya anak remaja bermasalah
pembelajaran.3 Sokongan sosial dalam proses penerapan nilai-nilai Islam kepada anak-anak
remaja bermasalah pembelajaran bermaksud peranan masyarakat yang menyokong usaha-
usaha memperkukuhkan pegangan agama supaya mereka dapat sama-sama mengamalkan
ajaran Islam seterusnya dapat berinteraksi dengan masyarakat dengan baik.4 Ini merupakan
salah satu usaha dakwah yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim bagi
menunjukkan keprihatinan terhadap individu kurang upaya dalam bersama-sama
mengamalkan nilai-nilai Islam. Hal ini sesuai dengan pendapat Abdul Karim Zaidan5 yang
menyatakan bahawa tiga ciri dalam sistem sosial Islam ialah mengutamakan nilai akhlak,
berpegang kepada konsep keadilan dan melindungi institusi keluarga.
Berdasarkan pandangan sarjana Barat iaitu Grant Carson6 pula, kegagalan atau
kejayaan sesuatu proses penerapan nilai dan pendidikan anak-anak remaja bermasalah
pembelajaran adalah bergantung kepada sokongan sosial masyarakat yang diberikan.
Model Ketidakupayaan Sosial oleh Liz Carr, Paul Darke dan Kenji Kuno7 menyatakan,
orang kurang upaya tanpa mengira sebarang bentuk kecacatan berhak untuk menjadi
sebahagian daripada komuniti dalam sesebuah masyarakat. Hakikatnya, masyarakat Islam
perlu mengubah persepsi negatif terhadap golongan kurang upaya bukan golongan kurang
upaya tersebut mengubah takdirnya.8 Oleh itu, setiap individu dalam sesebuah masyarakat
muslim seharusnya berperanan dan saling menyokong serta bersama-sama membantu ibu
bapa dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam kepada generasi anak-anak khususnya
kepada anak remaja bermasalah pembelajaran.
3 Saedah Sumrah Salwan Sudirman dan Roslee Ahmad, “Kaedah Menangani Kanak-kanak Bermasalah
Tingkahlaku”, ( makalah Seminar Kaunseling Keluarga 2008),91. 4 Mustafa Daud, “Pendidikan Keibubapaan : Satu Pengenalan”, (makalah, Seminar Antarabangsa Nilai Dalam
Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC 2004), 4-6 September 2004, Hotel City Bayview Langkawi), 5 5 Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah : Sistem-sistem Islam, (Kuala Lumpur : Pustaka Salam,2011) 173-226. 6 Grant Carson, The Model of Disability Scottish Accessible Information Forum, (Ireland:The Stationery
Office, 2009), 10. 7 Liz Carr, Paul Darke and Kenji Kuno, Training Them and Us: A Guide to Social Equality for Society,
(Utusan Publications, Kuala Lumpur, 2008), 86. 8 Colin Barnes, The Social Model of Disability : Valuable or Irrelevent The Rootledge Handbook of Disability
Studies, (London : Rootledge, 2012), 4-6.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
4
Objektif Kajian
Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk melihat bagaimana sokongan sosial boleh
memberi impak dalam proses penerapan nilai Islam iaitu iman, ibadah dan akhlak kepada
anak-anak remaja bermasalah pembelajaran. Penulisan artikel ini juga bertujuan
membincangkan langkah-langkah yang diambil ibu bapa bagi mendapatkan sokongan
sosial dan mengatasi cabaran yang dihadapi dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam
kepada anak-anak ini.
Latar Belakang dan Permasalahan Kajian
Umum mengetahui bahawa ibu bapa merupakan agen sosial utama kepada anak-anak. Ibu
bapa yang merupakan pemegang amanah Allah S.W.T bertanggungjawab memelihara dan
mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh, berguna kepada kedua ibu bapa dan
berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Ibu bapa perlu sentiasa memastikan agen-agen
sosialisasi yang bertentangan dengan ajaran agama tidak menyerap masuk ke dalam jiwa
anak-anak.9 Sesuai dengan sifat anak yang dilahirkan dalam keadaan bersih dan suci
umpama kain putih, tanggungjawab ibu bapa adalah dengan menerapkan nilai-nilai Islam
kepada anak-anak termasuk anak remaja bermasalah pembelajaran.
Bagi merealisasikan tanggungjawab ini, ibu bapa sangat memerlukan sokongan ahli
keluarga dalam usaha penerapan nilai-nilai Islam kepada anak-anak remaja bermasalah
pembelajaran. Didikan agama perlu juga diterapkan ke dalam diri anak yang lain bagi
menyemai perasaan kasih sayang, saling memahami dan sikap ingin membantu terhadap
adik-beradiknya.10 Hubungan yang baik di kalangan ahli keluarga boleh diwujudkan
melalui cara interaksi atau komunikasi yang baik, mengamalkan amalan kerohanian
bersama di rumah, mengisi waktu senggang atau waktu lapang bersama dengan aktiviti
yang sihat, bersifat terbuka dalam menerima kekurangan diri adik-beradik dan
sebagainya.11
Peranan ibu bapa untuk mendapatkan sokongan masyarakat adalah menjelaskan
kepada masyarakat bahawa anak-anak remaja bermasalah ini juga layak mengamalkan
ajaran Islam seupaya mungkin.12 Pandangan negatif mereka seperti mencemuh, merendah-
rendahkan orang lain, menghina anak-anak remaja bermasalah pembelajaran boleh
membawa kesan buruk kepada jiwa dan perasaan mereka.13 Hal ini sejajar dengan misi
Kementerian Kebajikan Masyarakat iaitu ingin melahirkan masyarakat Malaysia yang
penyayang, saling menghormati, membantu dan bersimpati dengan golongan kelainan
upaya dalam segenap kehidupan termasuk usaha menerapkan nilai-nilai Islam seperti ini.
Ibu bapa yang memiliki anak remaja bermasalah pembelajaran sangat memerlukan
perkhidmatan dan bantuan sokongan seperti kewangan, kemudahan pengangkutan,
kemudahan kesihatan, kelebihan pendaftaran kad OKU (Orang Kelainan Upaya), 9 Siti Fatimah Abdul Rahman, Asas-asas Masyarakat Cemerlang, (Kuala Lumpur:Institusi Kefahaman Islam
Malaysia),56. 10 K.A Razhiyah, Anak Istimewa Panduan bagi Ibu Bapa Membesarkan Anak Istimewa, (Kuala Lumpur : PTS
Profesional Publishing Sdn Bhd, 2006), 178-179. 11 Abdul Razak Zakaria dan Noraini Mohd Salleh, “Konteks Keluarga dan Hubungannya dengan Penglibatan
Ibu bapa dalam Pendidikan Anak-anak Sekolah Menengah, Jurnal Pendidikan Malaysia , Bil 36 (1), 35-44.
Lihat juga Mohd Fadzilah Kamsah, “Keibubapaan :Perspektif seorang Bapa”, dalam Keluarga Islam,
Kemahiran Keibubapaan dan Cabaran Semasa , peny. Azrina Sobian, (Selangor: MPH Group
Publication,2008),117-122. 12 Abdullah Nasih ‘Ulwan, Pendidikan Anak -anak Menurut Pandangan Islam, terj, Jil.1, (Kuala
Lumpur:Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1998), 475. 13 Ibid.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
5
maklumat-maklumat berguna, khidmat-khidmat pakar agama, para pendakwah Islam dan
apa-apa sahaja yang boleh membantu usaha penerapan nilai-nilai Islam kepada anak-anak
remaja bermasalah pembelajaran ini sangat diperlukan oleh ibu bapa. Perkhidmatan dan
keperluan sokongan seperti ini menjadikan ibu bapa lebih cekal dan tabah menghadapi
cabaran dalam usaha pemupukan dan memperkasakan jiwa anak-anak remaja bermasalah
pembelajaran dengan nilai-nilai Islam.14 Maka, dengan adanya Akta Pendidikan 1996 (Bab
8)15 melalui agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan Khas (JPK), Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain dapat memberi peluang kepada ibu bapa
memberi pendidikan berlandaskan Islam dan kehidupan yang terbaik bagi menjamin kualiti
hidup anak-anak remaja bermasalah pembelajaran.16
Kajian Mohd Mokhtar Tahar dan Aliza Alias;17 Mohamad Khairi Othman dan
Asmawati Suhid18 menunjukkan bahawa sekolah dan guru memainkan peranan serta
mempunyai pengaruh yang besar dalam menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak remaja
bermasalah pembelajaran ini. Hal ini kerana kejayaan anak-anak remaja ini sangat
bergantung kepada kualiti perkhidmatan pendidikan khas di sekolah.19 Peranan kumpulan
sokongan ibu bapa (parents support group) juga sangat membantu ibu bapa dalam memberi
idea dan sumbangan kewangan bagi memudahkan usaha penerapan nilai-nilai Islam.20
Melalui sistem kumpulan sokongan atau badan kebajikan seperti ini, ibu bapa dan pihak
sekolah boleh merancang sebarang aktiviti yang menyelit elemen penerapan nilai-nilai
Islam dalam kehidupan harian anak-anak remaja bermasalah pembelajaran.
Kesimpulannya, artikel ini ditulis bagi mengkaji sejauhmana ibu bapa yang memiliki anak
remaja bermasalah pembelajaran mendapat sokongan sosial yang sepatutnya diperoleh
dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak remaja bermasalah pembelajaran.
Metodologi Kajian
Kaedah pensampelan yang dipilih dalam menjalankan kajian ini ialah kaedah pensampelan
bertujuan. Pengkaji memilih kaedah pensampelan bertujuan (purposive sampling) yang
merujuk kepada kumpulan informan ibu bapa yang mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu
memiliki anak remaja bermasalah pembelajaran sebagai responden kajian ini.21 Kajian
kualitatif bersifat deskriptif ini menggunakan instrumen temubual mendalam (in-depth)
bagi memahami bagaimana ibu bapa iaitu informan kajian bertindak, berinteraksi dan
menjalankan kehidupan seharian bersama anak remaja bermasalah pembelajaran melalui
media elektronik dalam aspek penerapan nilai-nilai Islam.
14 Pua Yoke Fang, “Intervensi untuk Kanak-kanak Autisme : Satu Tinjauan dari Perspektif Ibu bapa”, (Projek
Penyelidikan Ijazah Sarjana Kebangsaan Pendidikan, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005),54-55. 15 Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, Jil.41, No.26, Tambahan
No.94, Perundangan (A) 1998. 16 Wong Huey Siew & Sandiyao , “Pendidikan Komuniti Orang Kurang Upaya Penglihatan di Malaysia : Satu
Analisi daripada Perspektif Sejarah”, Jurnal Masalah Pendidikan , Jil. 25, (2002), 160. 17 Mohd Mokhtar Tahar dan Aliza Alias, “Isu Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam Pelajar
Berkeperluan Khas” dalam Perkaedahan dan Pengajaran Pendidikan Islam : antara tradisi dan inovasi.
(Pascasidang Wacana Pendidikan Islam siri 3, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia 2003).
32-51. 18 Mohamd Khairi Othman dan Asmawati Suhid, “Peranan Sekolah dan Guru dalam Pembangunan Nilai
Pelajar Menerusi Penerapan Nilai Murni: Satu Sorotan ”, MALIM-SEA Journal Of General Studies, (Bil. 11,
2010),121. 19 Noorafizah Hussin, Noorazlina Hussin dan Mohd Mokhtar Tahar, “Kepuasan Ibu bapa Terhadap
Perkhidmatan Program Pendidikan Khas Intergrasi Bermasalah Pembelajaran Negeri Melaka”, 9 dalam Mohd
Hanafi Mohd Yasin et al., Prosiding Seminar Internasional Pasca Siswazah Pendidikan Khas UKM-UPI, Siri
4 (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,2014) ,9. 20 Mohd Nur Adzam Rasdi et al., “Pengajaran al-Quran Braille : Isu dan Cabaran Semasa”, International
Journal on Quranic Research (IJQR), Vol.3, No.4 June (2013), (Kuala Lumpur: Centre of Quranic Research
(CQR), Universiti of Malaya, 2013), 89-90. 21 Chua Yan Piaw, Kaedah Penyelidikan, Siri Kaedah dan Statistik Penyelidikan,Buku 1, Edisi 2,
(Selangor:Mc Graw Hill (Malaysia) Education, 2011),226.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
6
Informan yang menjadi sampel kajian ini adalah ibu bapa beragama Islam yang
memiliki anak bermasalah pembelajaran kategori slow learner. Kesemua anak remaja
bermasalah pembelajaran informan ditempatkan dalam Program Integrasi Pendidikan Khas,
di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya. Sampel ini bukan merupakan sampel
rawak tetapi dipilih sendiri oleh pengkaji. Sepanjang proses mendapatkan data, teknik
pensampelan bertujuan ini dikembangkan kepada pensampelan bola salji (snow ball
sampling). Persampelan ini berlaku apabila seorang informan yang menjadi sampel kajian
pengkaji telah mencadangkan seorang informan lain yang mempunyai ciri-ciri yang sesuai
dan menepati kriteria yang diperlukan oleh kajian.
Pengkaji menggunakan teknik analisis data tematik dengan meneliti tema-tema
utama daripada data-data yang diperoleh. Penganalisisan data kajian ini adalah dengan
menggunakan proses tematik induktif dan deduktif. Pengkaji menganalisis transkripsi temu
bual dengan pencarian tema-tema utama dan melakukan proses-proses pengekodan. Untuk
tujuan itu, perisian Atlas.ti versi 7 telah digunakan untuk menganalisis kandungan transkrip
temu bual tersebut.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
7
Sokongan Sosial yang Diterima Ibu bapa dalam Usaha Penerapan Nilai-nilai Islam
kepada Anak Remaja Bermasalah Pembelajaran
Berdasarkan dapatan awal kajian, empat daripada enam orang informan mula memberikan
penjelasan berkenaan anak remaja bermasalah pembelajaran semasa didapati berlaku salah
anggapan dalam kalangan anak-anak informan. Salah faham ini berlaku apabila anak-anak
normal berasa cemburu apabila adik-beradik bermasalah pembelajaran diberi lebih
perhatian. Oleh itu, penjelasan diberikan bagi menasihati anak-anak normal yang lain
supaya lebih memahami tentang situasi yang berlaku.
Beberapa informan juga turut menunjukkan reaksi bimbang terhadap kebajikan
masa hadapan anak remaja bermasalah pembelajaran terutama jika informan sudah
meninggal dunia. Dapatan menunjukkan reaksi dan usaha-usaha yang dilakukan oleh para
informan dalam memberi penjelasan kepada anak-anak normal:
“Saya beritahu pada adik lelakinya, “Abang kamu tidak sama seperti orang lain. Walaupun badan dia besar, umurnya lebih tua, tetapi pemikirannya masih seperti kanak-kanak lagi. Kamu mesti tolong abang. Dia bukan orang lain, abang kamu sendiri. Along tidak seperti orang lain, dia tidak sempurna. Adik mesti protect dia.”
(Informan C)
“Saya bercakap kepada adik-adiknya, “Jika kamu semua sindir, mempermainkan dia, memperlekehkan dia, bagaimana pula keadaan dia dengan masyarakat luar? Orang lain akan memperlekehkan dia. Kalau kita tidak menjaganya, siapa lagi yang akan jaga?” “Kalau mama tidak ada, siapa hendak jaga dia? Kalau kamu semua tidak pedulikan dia, habislah dia. Terbiarlah dia. Tiada siapa yang mahu pedulikan dia!”
(Informan F)
Berdasarkan dapatan di atas, semua informan cuba memberi penjelasan dan nasihat
kepada anak-anak normal supaya mengambil berat tentang kebajikan adik-beradik mereka
yang mengalami masalah pembelajaran dengan menjaga dan melindungi mereka sewaktu
dewasa kelak. Anak-anak normal ini turut diberi pendedahan dan penerangan bahawa
pemikiran adik-beradik mereka yang mengalami masalah pembelajaran adalah tidak sama
dan tidak boleh dibandingkan dengan pemikiran manusia yang sempurna akalnya.
Dapatan kajian turut mendapati, dua orang informan menyatakan anak remaja
bermasalah pembelajaran mereka juga menerima sokongan ahli keluarga dalam
melaksanakan ibadat. Mereka menjalani ibadah solat bersama-sama di surau mahupun di
rumah. Anak-anak normal informan ini tidak malu untuk menyertai aktiviti kerohanian
bersama adik-beradik mereka yang mengalami masalah pembelajaran. Mereka bersama-
sama ke surau atau ke masjid dengan menaiki motosikal dan sebagainya untuk menunaikan
solat Jumaat, Solat Maghrib dan Isyak. Berikut adalah dapatan temu bual yang
menggambarkan situasi ini:
“Abangnya yang kedua itu selalu membawa dia pergi ke surau. Anak saya yang kedua, ketiga dan keempat semuanya ialah lelaki. Mereka sembahyang sama-sama, pergi surau atau masjid menaiki motor. Solat Jumaat, dia ikut ayahnya. Semua perkara-perkara itu, kita buat setiap hari.”
(Informan F)
“Ayah atau abangnya bawa dia pergi ke masjid untuk Sembahyang Jumaat kalau hari tidak sekolah. Sama juga kalau hari dia bersekolah tetapi lambat dia sampai ke masjid.Jika di sekolah, dia akan sembahyang Jumaat.Dia akan pergi sama ada bersama ayahnya atau abangnya.”
(Informan E)
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
8
Dapatan di atas menunjukkan bahawa bentuk sokongan yang diterima oleh ibu bapa
adalah lebih berbentuk sokongan moral dan fizikal daripada ahli keluarga lain. Menurut
Mohd. Sharani Ahmad,22 bentuk-bentuk sokongan yang diberikan seperti ini secara tidak
langsung mampu meringankan bebanan ibu bapa dalam usaha penerapan nilai-nilai Islam
kepada anak remaja bermasalah pembelajaran.
Kajian juga mendapati, interaksi positif antara ibu bapa dan anak-anak remaja
bermasalah pembelajaran dengan saudara terdekat lain turut berlaku. Penglibatan ini secara
tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim atau hubungan persaudaraan antara anak-
anak remaja bermasalah pembelajaran dengan saudara-saudara terdekat. Informan kajian
cuba melibatkan anak remaja bermasalah pembelajarannya yang bernama Haikal (bukan
nama sebenar) dengan ahli keluarga lain khususnya pada Hari Raya Aidilfitri seperti
dapatan berikut:
“Kami selalu bersama dalam aktiviti kekeluargaan. Apabila ada perjumpaan keluarga, saya bawalah Haikal. Pada setiap Hari Raya, kami berkumpul di satu rumah di Klang. Kami buat bacaan yasin. Kami adik-beradik akan bermalam pada malam hari raya di situ. Itulah tempat pertemuan semua adik-beradik. Itulah pertemuan tahunan kami.”
(Informan D)
Dapatan ini sangat bersesuaian dengan pandangan Azmi Shaari, Noor Hayati Che
Harun dan Tengku Noaswita Tengku Besar yang menyatakan bahawa ibu bapa seharusnya
tidak perlu malu memiliki anak-anak remaja bermasalah pembelajaran dengan
‘menyimpan’ mereka di rumah.23 Ibu bapa perlu melibatkan anak remaja ini dengan
masyarakat sekeliling mereka. Kajian mendapati, penerimaan positif juga diterima oleh
seorang informan kajian ini apabila anak remaja bermasalah pembelajaran iaitu Nazri
(bukan nama sebenar) dilibatkan dengan aktiviti kekeluargaan yang besar berdasarkan
penerangan informan di bawah:
“Sejak dari kecil, anak saya tinggal dengan emak saya. Emak saya sememangnya sudah biasa dengannya. Adik-beradik saya juga memang memberi sokongan padanya. Ipar-ipar adik saya ini, jika Nazri datang, mereka seronok. Adik-beradik saya, mereka sangat memberi sokongan.”
(Informan C)
Keprihatinan pihak jiran tetangga juga perlu untuk mengawasi tingkah laku dan akhlak
anak-anak.24 Sikap jiran yang prihatin dapat menggalakkan penerapan nilai akhlak dalam
diri anak-anak remaja bermasalah pembelajaran seperti berkasih sayang, kemesraan dan
semangat kejiranan. Tiga orang informan mendapat reaksi yang positif daripada jirannya
yang menunjukkan keprihatinan terhadap anak-anak remaja bermasalah pembelajaran
dengan bertanya khabar, bertukar juadah dan bertegur sapa. Berikut adalah dapatan temu
bual yang menunjukkan reaksi positif sedemikian:
“Jiran-jiran suka pada anak saya ini. Apabila dia keluar, mereka sapa dia, “Pergi mana Miza?” “Pergi main bola.” “Miza pergi mana?” “Pergi kedai hendak makan.” “Hari ini pergi sekolah belajar apa?” Mereka suka sapa dia.Mereka suka juga melayannya. Tidak adalah orang yang buat tidak tahu sahaja pada dia.”
(Informan F)
22 Mohd Sharani Ahmad, Mengurus Kanak-kanak yang Susah Belajar, (Kuala Lumpur: PTS Publications &
Distributors, 2004), 185. 23 Azmi Shaari, Noor Hayati Che Harun dan Tengku Noaswita Tengku Besar, “Faktor yang Mempengaruhi
Penglibatan Keluarga Penjaga di Sekolah dan Kesannya ke atas Pencapaian Akademik Anak Cacat
Penglihatan”, Jurnal Pembangunan Sosial, Jil.4&5, Jun & Disember (2002)15-26. 24 Mohd Yusof Hussain, Mohamad Shaharudin Samsurijan, Suraiya Ishak, dan Abd Hair Awang. "Hubungan
kejiranan dalam Membentuk Kesejahteraan Hidup Masyarakat ‘kampung bandar’: Kes Kampung Berjaya dan
Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia." Malaysia Journal of Society and Space 7 (2011), 36-44.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
9
Anak-anak remaja bermasalah pembelajaran informan didapati seronok dan hidup
dengan tenang apabila jiran sekeliling turut mengambil berat, bersimpati dan memahami
kekurangan yang dihadapi. Dapatan ini sangat menyokong pandangan Ainur Zaireen
Zainudin dan Jalaluddin Abdul Malek25 yang menyatakan bahawa suasana kejiranan yang
selamat adalah kejiranan yang bebas daripada semua ancaman mental, sosial dan fizikal.
Bebas dari ancaman mental dalam konteks kajian ini bermaksud anak remaja bermasalah
pembelajaran berasa mereka dihargai, tidak dicemuh dan disisihkan. Suasana harmoni ini
menyebabkan mereka terus bersemangat menyertai komuniti masyarakat luar bagi
meneruskan kehidupan berlandaskan syariat Islam.
Walau bagaimanapun, seorang informan berkongsi pengalamannya bersama jiran
berkenaan penerimaan anak beliau sebagai anak Autisme seperti kisah informan di bawah:
“Semasa mula-mula sebelum doktor diagnos dia sebagai Autisme, budak-budak di situ semua berkawan dengan anak saya. Ibubapa di situ tidak kisah(sebelum anak saya didiagnoskan lagi) jadi mereka berkawanlah seperti biasakan. Selepas doktor sudah diagnos anak saya adalah anak Autisme, kita pun beritahu kepada mereka. Sejak itu, mereka tidak benarkan anak mereka berkawan dengan anak kita. Ketika itu pula, kita baru sahaja terima berita itu, jiran pula buat kita seperti itu, kita lagi tertekan. Saya beritahu mereka bahawa penyakit ini tidak berjangkit. Semasa itu, anak saya bersekolah rendah Darjah 1 sehingga Darjah 4. Sehingga saya sendiri pula terpaksa pergi jumpa psikiatri untuk minta nasihat. Ketika umur anak saya 10 tahun, saya pindah ke sini, semuanya sudah baik.”
(Informan C)
Pengalaman informan ini adalah sama seperti yang dinyatakan oleh Mohd Sharani
Ahmad dan Ismail Maakip26 yang menyatakan bahawa, ibu bapa akan mengalami tiga
tahap perasaan setelah mendapat pengesahan pakar perubatan tentang anak bermasalah
pembelajaran. Tahap pertama ialah ibu bapa akan terkejut dengan berita yang diterima,
tahap kedua ialah mereka kecewa dengan perkara yang berlaku manakala tahap ketiga,
mengadaptasi diri dengan permasalahan yang dihadapi.
Pada tahap adaptasi, informan ini memberi penerangan kepada jiran-jiran yang
menyisihkan anak beliau bahawa Autisme bukanlah penyakit yang berjangkit. Informan
juga berusaha untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar psikiatri untuk beliau
mendepani cabaran emosi yang dialami ketika itu. Informan C juga mendapat sokongan
daripada seorang ustaz yang memberi dorongan dan kata-kata semangat supaya terus
bersabar dan mendidik anak remaja bermasalah pembelajaran seperti ini:
“Orang-orang surau sahaja yang memberi sokongan (sewaktu disisihkan oleh jiran-jiran). Ustaz itu memberi saya pandangan, “Belalah anak ini. Anak ini tidak ada dosa. Dia anak istimewa. Kalau orang ada anak macam ini, in sha Allah, malaikat masuk, sentiasa ada dalam rumah.” Ustaz itu berikan saya semangat.”
(Informan C)
Selain sokongan ahli keluarga, sanak saudara dan masyarakat, sokongan pihak
kerajaan mahupun swasta juga penting dalam mengatur atau merancang program-program
pengisian berbentuk kerohanian kepada anak remaja bermasalah pembelajaran untuk
menghayati nilai-nilai Islam.
Lima daripada enam orang informan berpendapat bahawa tiada program berkaitan
pendidikan Islam tambahan untuk anak remaja bermasalah pembelajaran yang dianjurkan
oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Hanya seorang sahaja informan yang mengakui
25 Ainur Zaireen Zainudin dan Jalaluddin Abdul Malek. "Keberkesanan Program Bandar Selamat Dari
Persepsi Penduduk Kajian Kes: Bandaraya Shah Alam."Jurnal Teknologi 53.1 (2012), 13-34. 26 Mohd Sharani Ahmad dan Ismail Maakip, “Kanak-kanak Istimewa dan Penerimaan Ibu bapa” dalam
Pembangunan Kanak-kanak: Teori, Isu dan Cabaran, ed. Khaidir Ismail, Lukman Z.M dan Hanina H.Hamsan,
(Selangor : Arah Publications, 2008),272-273.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
10
terdapat sebuah organisasi Islam yang mengadakan program membaca al-Quran untuk anak
remaja bermasalah pembelajaran.
Dengan merujuk kepada Akademi Fakeh,27 informan bersama rakannya cuba untuk
melibatkan diri dengan program yang dianjurkan oleh pihak tersebut. Namun, penglibatan
bersama organisasi berkaitan tidak mendapat sambutan oleh para ibu bapa yang lain kerana
pihak organisasi memerlukan lima atau enam orang anak remaja bermasalah pembelajaran.
Mengumpulkan lima atau enam orang anak remaja bermasalah pembelajaran dengan
persetujuan ibu bapa adalah sukar disebabkan kekangan masa dan aktiviti kehidupan ibu
bapa yang pelbagai. Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh informan ini:
“Ada usaha kita untuk menyertai akademi ini. Kawan saya ada berhubung dengan orang itu. Tetapi pihak akademi tetapkan syarat iaitu kami perlu mencari mana-mana premis seperti sekolah atau surau untuk laksanakan program mengaji ini. Usaha untuk dapatkan lima atau enam orang ibubapa yang berminat juga, bukan senang. Kadang-kadang ibubapa banyak kerja.”
(Informan E)
Walau bagaimanapun, tiga daripada enam orang informan mengakui bahawa
kemahiran dan penghayatan agama anak remaja bermasalah pembelajaran adalah berkesan
dan banyak diperolehi melalui guru-guru di sekolah dalam Program Intergrasi Pendidikan
Khas (PIPK) Bermasalah Pembelajaran yang diwujudkan oleh pihak kerajaan. Oleh itu,
kajian akan meninjau bagaimana sokongan guru-guru di sekolah bersama program PIPK ini
dapat membantu ibu bapa dalam menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak remaja
bermasalah pembelajaran.
Penglibatan ibu bapa di sekolah juga penting dalam usaha penerapan nilai-nilai
Islam kepada anak remaja bermasalah pembelajaran. Kajian ini mendapati semua informan
cuba menjalinkan hubungan baik dengan guru demi menerapkan nilai keimanan, nilai
ibadah dan nilai akhlak dalam jiwa anak remaja bermasalah pembelajaran. Keprihatinan ibu
bapa dan guru dalam usaha ini menyebabkan anak remaja bermasalah pembelajaran berasa
diri mereka dihargai, mampu menangani kekurangan diri di samping cuba mengamalkan
nilai-nilai yang menjadi lambang hidup sebagai seorang mukmin.28 Data berikut
menunjukkan cara guru membantu Mimi (bukan nama sebenar), mengatasi kekurangan
dirinya:
“Dia suka bernasyid. Tetapi dengan keinginan dia sendiri. Jika cikgu suruh sertai, baru dia sertai. Pada tahun lepas, cikgu suruhnya sertai (pertandingan), dia pun sertai. Dia seorang yang pemalu. Dalam sesuatu perkara, jika dia rasa dia boleh dan yakin boleh buat, dia akan buat. Jika cikgu suruh, dia akur. Ibubapa suruh dia tidak akur. Kalau saya suruh, dia kata dia tidak boleh buat. Dia kata,semua dia tidak boleh. Cikgu dia ada minta izin daripada saya, “Kakak, bolehkah Mimi masuk acara nasyid?” Saya tidak ada masalah sekiranya cikgu suruh. Apabila saya suruh, Mimi tidak akan buat. Cikgu suruhlah. Dia memang suka nasyid.”
(Informan A)
Kajian Mohamad Khairi dan Asmawati mendapati, sekolah dan guru memainkan
peranan yang besar dalam menerapkan nilai-nilai murni supaya pelajarnya berakhlak,
bermoral dan mengamalkan budaya hidup beragama.29 Dapatan kajian mendapati, peranan
27 Akademi Faqeh ialah ialah sebuah yayasan berdaftar yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Yayasan ini
dikenali dengan nama Yayasan Faqeh adalah sebuah yayasan yang membantu golongan OKU iaitu seperti
autisme, pekak dan down sindrom untuk mendekati dan mempelajari al-Quran dengan kaedah tersendiri di
samping mencari keredhaan Allah. ( Sumber: Laman Facebook rasmi Akademi Faqeh) 28 Hamidah Sulaiman, Siti Salina Abdullah & Farrah Dina Yusop, “Peranan Ibu bapa dan Guru dalam
Membantu Pelajar-pelajar yang Menghadapi Masalah Pencapaian Akademik”, Jurnal Masalah Pendidikan ,
Jil.27. (2012), 82. 29 Mohamad Khairi Othman dan Asmawati Suhid, “Peranan Sekolah dan Guru dalam Pembangunan Nilai
Pelajar Menerusi Penerapan Nilai Murni: Satu Sorotan, ” MALIM - SEA Journal Of General Studies, (Bil. 11,
2010),121.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
11
guru dalam menerapkan nilai-nilai Islam ialah dengan memberi kepercayaan kepada anak
remaja bermasalah pembelajaran melibatkan diri dalam aktiviti sekolah yang berunsur
kerohanian. Aktiviti tersebut ialah seperti pertandingan bercerita Kisah Para Nabi, nasyid,
tilawah Al-Quran, tulisan khat dan sebagainya dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ)
peringkat daerah.
Lima daripada enam anak remaja bermasalah pembelajaran dalam kajian didapati
aktif dan melibatkan diri dalam aktiviti kerohanian seperti ini. Manakala peranan informan
sebagai ibu bapa adalah memberi sokongan terhadap usaha para guru dengan melibatkan
diri dalam aktiviti anak remaja bermasalah pembelajaran mereka di sekolah. Kajian ini
mendapati, penglibatan aktif informan ialah dengan menunjukkan sikap keprihatinan
terhadap keperluan guru dalam menjayakan sesuatu program:
“Dalam membuat persiapan anak saya ke Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ), saya akan bertanya guru, keperluan yang perlu. Guru-guru di sekolah ini sangat bertolak ansur. Mereka suka jika kita bertanya mengenai sesuatu aktiviti yang anak kita terlibat. Disebabkan anak kita terlibat, jadi kita hendak lebih tahu. Kita tidak mahu ketinggalan apa-apa.”
(Informan C)
Seorang informan yang mengusahakan restoran menunjukkan penglibatan beliau
bersama guru dengan menyediakan makanan yang ditempah dengan harga yang berpatutan.
Makanan dan minuman disediakan untuk para guru dan pelajar yang menyertai program-
program di sekolah seperti MTQ, Majlis Berbuka Puasa, Jamuan Hari Raya dan
sebagainya.
Selain itu, sokongan guru-guru dapat dilihat melalui program Hari Akademik. Hari
Akademik adalah hari yang ditetapkan oleh pihak sekolah yang diadakan dua kali setahun
bagi membincangkan prestasi anak remaja bermasalah pembelajaran dalam sesuatu mata
pelajaran. Berdasarkan temu bual bersama pengkaji, informan E adalah seorang yang tegas
dan sangat menitikberatkan pendidikan agama:
“Semasa mengambil kad laporan tempoh hari, seorang cikgu memberitahu saya, “Pelajar lain sudah membaca Iqra' 3. Zali masih membaca Iqra' 2.” Perkara itu yang saya mahu dengar, walaupun perkara itu negatif tetapi saya mahu dengar dan saya mahu tahu.”
(Informan E)
Melalui perbincangan bersama guru mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah anaknya
ini, informan telah mengambil tindakan susulan dalam membantu anak menguasai
kemahiran membaca buku Iqra’ dengan mengulang pengajaran guru di rumah. Peranan
yang dimainkan oleh informan E ini perlu dicontohi oleh ibu bapa yang lain bagi
memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam menguasai bacaan Iqra’, Muqaddam30 dan
Al-Quran dengan baik.
Dapatan-dapatan di atas membuktikan bahawa, penglibatan ibu bapa dengan pihak
guru dan sekolah seperti yang dinyatakan di atas adalah usaha yang sangat baik dalam
mendorong anak-anak remaja bermasalah pembelajaran menguasai nilai-nilai Islam.
Menurut Manisah Mohd. Ali dan Noorfaziha Hassan,31 sokongan guru dapat mencipta
pengalaman dan pengetahuan yang sangat berguna dalam membentuk peribadi mulia
pelajar bermasalah pembelajaran terutama melalui aktiviti ko-kurikulum yang dilaksanakan
di sekolah. Oleh itu, perhatian yang khusus daripada guru sebagai antara individu yang
30 Muqaddam ialah naskhah nipis yang mengandungi 36 surah dari juzuk 30 dalam al-Quran al-Karim iaitu
dari surah an-Naba’ hingga ke surah an-Nas. Manisah Mohd. Ali dan Noorfaziha Hassan, “Perspektif Guru
Terhadap Keterlibatan Akademik dalam Kalangan Murid dengan Ketidakupayaan Penglihatan, Jurnal
Pendidikan Malaysia, 39 (2), (2014),109-114. 31 Manisah Mohd. Ali dan Noorfaziha Hassan, “Perspektif Guru Terhadap Keterlibatan Akademik dalam
Kalangan Murid dengan Ketidakupayaan Penglihatan, Jurnal Pendidikan Malaysia, 39 (2), (2014),109-114.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
12
paling signifikan dalam kehidupan anak remaja bermasalah pembelajaran adalah sangat
penting demi memastikan anak-anak ini terus berminat mengamalkan nilai-nilai Islam
dengan keupayaan mereka tersendiri.
Selain guru-guru, ibu bapa juga memerlukan kehadiran orang lain yang rapat dalam
kehidupannya untuk bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan untuk melahirkan
rangsangan motivasi diri yang sihat.32 Rangsangan motivasi diri yang sihat dalam konteks
kajian ini ialah semangat ibu bapa yang tidak mengenal erti jemu dalam mendidik anak-
anak mengamalkan ajaran Al-Quran. Memilih rakan yang memahami, sokongan pasangan
dan mewujudkan komunikasi yang sihat dapat meransang proses penerapan nilai-nilai
Islam tersebut.33 Berdasarkan dapatan temu bual, semua informan bersependapat bahawa
mereka memilih rakan-rakan yang turut sama memiliki anak remaja bermasalah
pembelajaran dan bermotivasi tinggi dalam perkembangan pendidikan anak-anak
berteraskan syariat Islam. Sebagai contoh dengan memetik dapatan daripada informan C, B
dan A ini:
“Kami timba pengalaman bersama-sama (bersama kaum ibu). Sebab itu kami suka bercerita dan luahkan masalah. Jika ada masalah dan rasa mahu menangis, di sinilah kami menangis. Kami mahu cerita kepada siapa lagi? Orang yang memahami masalah anak kita adalah kita sendiri.”
(Informan A)
“Saya bertukar pendapat dengan rakan yang mempunyai anak yang sama kategorilah. Ada juga berkongsi pandangan semasa saya tinggal di PGA. Kita pun bercerita berdasarkan pengalaman. Banyak juga kebaikan yang boleh saya praktikkan untuk anak saya. Pengalaman saya pun, mereka boleh praktikkan juga. Kita berkongsi juga pengalaman cara kita ajar anak membaca. Mereka pun cuba melakukan perkara seperti kita.”
(Informan B)
“Kita berkongsi pengalaman dengan kawan yang faham dengan kita, yang setuju dengan kita.”
(Informan C)
Selain rakan-rakan, suami dan isteri juga merupakan teman dalam kehidupan
berkeluarga. Informan D menceritakan bahawa isterinya pernah berkecil hati dan mengadu
kepada beliau yang anak remaja bermasalah pembelajaran mereka iaitu Haikal (bukan
nama sebenar) pernah dituduh kafir kerana tidak menunaikan solat. Perkara ini berlaku di
majlis perjumpaan keluarga besar informan. Anak remaja bermasalah pembelajaran mereka
sahaja yang tidak bersolat ketika ahli keluarga dan anak-anak yang lain solat berjemaah.
Informan cuba menenangkan isterinya dengan menyatakan bahawa tuduhan daripada anak-
anak normal yang tidak memahami, tidak perlu dipedulikan. Pasangan ini mengambil
langkah dengan mendiamkan diri demi menjaga hubungan kekeluargaan seperti diceritakan
informan:
“Pernah saya terdengar, anak-anak sebaya dengan anak saya bercakap, “Eh, adakah Haikal ini kafir kerana dia tidak mahu sembahyang?” Apabila orang sedang sembahyang, Haikal ini duduk bersila sahaja. Saya ini selalu jumpa dengan adik-beradik saya. Apabila solat berjemaah, saya yang menjadi imam. Haikal ini hanya duduk sebelah saya dan bermain. Jadi, tergurislah hati ibunya apabila tahu anaknya dikafirkan. Walaupun (perkara ini) kelihatan bergurau, kita yang mendengar ini terasa hati juga. Bukan saya tidak mengajaknya bersolat, kita ajak tetapi dia tidak mahu.”
(Informan D)
32 Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa, “Peranan Komunikasi dalam Hubungan
Kekeluargaan”, (makalah, Seminar Kaunseling Keluarga 2008, Universiti Teknologi Malaysia),82-84. 33 Amran Hassan, Fatimah Yusooff dan Khadijah Alavi. "Pengaruh Faktor Kesepaduan (Kefungsian
Keluarga) dan Kemahiran Keibubapaan Terhadap Kesejahteraan Psikologi dalam Kalangan Ibu Bapa dan
Anak." Sains Humanika 3”, no. 1 (2014),101.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
13
Komuniti ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengoptimumkan kesejahteraan
seseorang individu dan masyarakat melalui campur tangan yang sihat.34 Campur tangan
yang sihat bermaksud amalan komuniti ibu bapa yang saling menasihati dan bantu-
membantu ke arah proses penerapan nilai-nilai Islam dalam diri anak remaja bermasalah
pembelajaran. Dalam menekankan aspek penerapan nilai akhlak, kajian mendapati
informan F menceritakan bahawa rakan beliau iaitu informan A yang juga merupakan
sampel kajian ini, pernah berkongsi pandangan bersamanya dan melahirkan kerisauan
tentang pengaruh media terhadap akhlak dan peribadi anak remaja bermasalah
pembelajarannya.
Kebimbangan ini dikongsi bersama rakan ibu bapa yang turut sama memiliki anak
remaja terutama dalam mendepani cabaran sosial yang sangat membimbangkan. Kata-kata
nasihat diberikan agar mereka bersama-sama terus tabah dan sabar mendidik anak. Berikut
adalah dapatan seperti yang disampaikan oleh informan :
“Kawan saya pernah mengadu, “Buntulah saya, kakak.” “Kenapa?” Saya bertanya. “Miza ini jika menggunakan internet dan facebook, sungguh leka dia.” “Ana takutlah.” Anak dia ialah orang yang lurus bendul. “Buatnya budak-budak ambil kesempatan membuat perkara yang bukan-bukan.” Dia cakaplah. Saya dengar dan memberi sedikit nasihat. Itulah antara perkara yang kami sembang.”
(Informan F)
Ibu bapa perlu prihatin dengan perkembangan anak remaja masa kini kerana mereka
membesar dengan suasana moden dan cabaran teknologi maklumat yang boleh merosakkan
nilai-nilai diri seseorang mukmin.35 Akhlak-akhlak yang keji dan tercela dikhuatiri lahir
dalam diri remaja melalui penyalahgunaan media massa seperti memdedahkan diri dalam
keadaan tidak menjaga aurat, berbicara topik-topik yang memberahikan dan sebagainya.
Oleh itu, pemantauan aktiviti remaja perlu diberi perhatian oleh para ibu bapa sebelum ia
menular dan sebati dalam jiwa anak remaja mereka.
Cabaran Sokongan Sosial dan Langkah-langkah yang Diatasi oleh Ibu bapa dalam
Usaha Menerapkan Nilai-nilai Islam kepada Anak Remaja Bermasalah pembelajaran
Dalam usaha menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak remaja bermasalah pembelajaran,
cabaran masyarakat sekeliling turut dihadapi oleh empat daripada enam orang informan kajian. Cabaran yang dihadapi berfokus kepada cara informan menghadapi dan menangani sikap, pandangan serong dan sinis serta penerimaan masyarakat yang negatif. Penerimaan
yang negatif seperti ini boleh mengganggu usaha penerapan nilai-nilai Islam kepada anak remaja bermasalah pembelajaran. Walau bagaimanapun, Hadas Doron dan Adi Sharabany
menyatakan ibu bapa perlu bersabar dan menghadapi setiap masalah dan cabaran hidup mereka dengan cara penyelesaian tersendiri.36
Tiga orang informan melahirkan kebimbangan tentang layanan masyarakat dalam memberi kebebasan kepada anak remaja bermasalah pembelajaran menuntut di institusi pendidikan. Cabaran ini boleh mengganggu dan membataskan proses penerapan nilai-nilai
pendidikan yang penting untuk masa hadapan anak-anak. Informan A sangat bimbang dengan keselamatan anak remaja perempuannya ekoran sikap segelintir masyarakat yang
tidak menunjukkan rasa hormat terhadap insan yang kurang upaya:
34 Amran Hassan, Fatimah Yusooff, and Khadijah Alavi. "Keluarga Sihat Melahirkan Komuniti Sejahtera:
Satu Ulasan,"Malaysia Journal of Society and Space Bil.8 Issue 5, Themed Issue: Masyarakat, Ruang dan
Alam Sekitar (MATRA), GEOGRAFIA OnlineTM, (2012),52.
35 Wan Norina Wan Hamat, Zaharah Hussin, Ahmad Fakrudin Mohamed Yusoff, dan Ahmad Arifin Sapar,
"Pengaruh Media Massa Terhadap Penampilan Akhlak Pelajar Islam Politekn ik Malaysia", Online Journal of
Islamic Education, Jil.1, no. 1 (2013), 17-27. 36 Hadas Doron dan Adi Sharabany,"Marital Patterns among Parents to Autistic Children." Psychology 4, no.
04 (2013), 445-446.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
14
“Memanglah penting untuk menghantar anak saya ini ke mana-mana pusat
kemahiran atau kolej vokasional yang menerima anak-anak seperti ini. Bagi saya, saya khuatir untuk melepaskan anak saya dalam keadaan masyarakat
sekarang. Ada yang suka mengambil kesempatan dengan dia. Bermacam-macam perkara negatif kita dengar seperti OKU dirogol. Saya khuatir benda yang tidak elok berlaku pada dia”.
(Informan A)
Dalam usaha mendidik anak berjinak-jinak dengan tempat ibadah, informan B, E dan D melahirkan kebimbangan apabila pernah menerima reaksi negatif daripada ahli
jemaah di sebuah masjid atau surau. Informan D menceritakan pengalaman beliau mengenai sikap jemaah di sebuah surau yang tidak memahami keadaan anaknya yang tidak mahu berganjak dari saf di ruang solat. Sikap anaknya itu melahirkan perasaan tidak puas
hati jemaah tersebut dengan menunjukkan mimik muka yang mengecewakan informan sebagai ibu bapa:
“Pernah terjadi, anak saya duduk di saf hadapan. Orang itu menyuruh dia ke tepi sedikit tetapi anak saya duduk diam dan buat tidak tahu sahaja (tidak
mahu berganjak dari saf orang yang mahu solat).Apabila orang tersebut melihat dia, kelihatan mukaanak saya seperti orang biasa dan tidak seperti
orang OKU. Orang itu pun menunjukkan wajah tidak senang dengan anak saya ini. Terasa juga hati kita. Saya cuba mahu berikan penjelasan tetapi tidak sempat. Jika pergi ke mana-mana tempat, pandangan orang yang
positif tu ada, tetapi percentnya kecil sahaja.”
(Informan D)
Berdasarkan senario yang berlaku di atas, Wan Nasyrudin Wan Abdullah dan
Hisham Ahmad37 menyatakan bahawa masyarakat seharusnya menerima kehadiran anak remaja bermasalah pembelajaran dan seumpamanya. Sokongan harus diberikan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian sama ada mereka berada di masjid, di pusat
membeli belah, di taman rekreasi dan sebagainya kerana anak-anak ini tidak mampu untuk hidup walaupun dalam dunia mereka sendiri. Oleh itu, masyarakat tidak boleh bersikap
prejudis atau diskriminasi sebaliknya perlu melayan anak-anak ini sesuai dengan kekurangan atau kelebihan yang terdapat dalam diri mereka.
Informan B dan E pula menceritakan situasi menyakitkan hati yang pernah berlaku ke atas anak remaja bermasalah pembelajaran yang lain dan bimbang keadaan demikian
berlaku ke atas anak mereka berdasarkan kisah mereka ini:
“Suami saya beritahu, ada seorang budak OKU, budak itu rajin ke surau, dia
menyapu, bentang sejadah, dia suka membersihkan surau ini. Kadang-kadang, orang ramai main-mainkan dia. Disebabkan itulah saya tidak melepaskan anak saya, saya takut. Pernah terjadi, seorang orang tua
menampar budak OKU tersebut kerana mengambil saf dia di hadapan sekali.“Janganlah anak aku orang buat begitu,” dia katakan. Sudah tahu anak
itu datang awal, dia punya tempat, hormatlah dia. Hormat dia, biar dia rasa dihargai. Tetapi bukan semua orang seperti itu. Kerana itu, kita perlu ajar anak kita yang mana negatif dan mana positif. Budak OKU teruklah juga
dibuat orang. Dia boleh azan, dia akan berebut-rebut peluang mahu azan. Hari-hari biasa, dapatlah dia azan. Maghrib dan Isyak tidak boleh dia azan
kerana orang lain sudah azan. Dia azan pun kadang-kadang orang marah dia.
(Informen B)
Kita faham anak-anak seperti ini mahu dihargai, tetapi bukan semua masyarakat memahami keadaan mereka.”
37 Wan Nasyrudin Wan Abdullah dan Hisham Ahmad, Aku Bersyukur Anakku Autisme, (Kuala Lumpur :
Telaga Biru, 2013),29.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
15
(Informan E)
Dua situasi penerimaan masyarakat masjid atau surau di atas adalah bersesuaian dengan pandangan Shukeri Mohamad dan Mohamad Azrien Mohamed Adnan38 yang
mengatakan, penerimaan negatif masyarakat masjid ini berlaku apabila kanak-kanak atau remaja itu tidak dibiasakan dengan rumah ibadah seperti ini. Sikap masyarakat yang tidak
berminat menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan dan pendidikan anak-anak juga menjadi faktor penyumbang. Senario penerimaan negatif oleh masyarakat seperti ini menjadi cabaran yang besar oleh ibu bapa terutama dalam mendidik anak remaja
bermasalah pembelajaran mencintai masjid sebagai rumah kedua mereka.
Cabaran penerimaan kaum kerabat dan sanak-saudara terdekat juga terhadap anak remaja ini juga dikenal pasti dalam kajian ini. Kaum kerabat dan sanak saudara yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah sokongan ibu bapa mentua termasuk ipar duai.
Golongan ini dikaji kerana mereka mempunyai tali persaudaraan dan paling hampir dengan kehidupan ibu bapa dan anak remaja bermasalah pembelajaran. Menurut Lazer, Y dalam
Hadas Doron, segala bentuk sokongan sama ada berbentuk material mahupun spiritual daripada golongan ibu bapa terdahulu adalah penting untuk memberi keselesaan dan ketenangan dalam hidup.39 Oleh itu, sokongan dan penerimaan mereka sangat diperlukan
ke arah peningkatan pendidikan anak-anak remaja bermasalah pembelajaran sebagai generasi pelapis akan datang.
Walau bagaimanapun, dua daripada enam orang informan menghadapi cabaran daripada ibu mertua masing-masing dalam usaha penerapan nilai-nilai Islam kepada anak
remaja bermasalah pembelajaran. Ibu mertua bagi kedua-dua informan ini tidak dapat menerima kehadiran cucu mereka yang mengalami masalah pembelajaran. Kedua-dua
mereka mengatakan bahawa kehadiran anak seperti ini merupakan balasan dosa silam yang pernah dilakukan. Ibu mertua ini juga menyatakan cucu mereka adalah orang yang tidak siuman dan sebagainya. Kesukaran ibu mertua dalam menerima keadaan cucu mereka
melahirkan perasaan sedih dan kecewa kepada informan- informan ini:
“Kadangkala bergaduh juga suami saya dengan emaknya. Emaknya
bercakap, anak saya disampuk, terkenan monyet dan dia suruh pergi jumpa bomoh. Dia tidak mahu menerima keadaan cucu dia seperti itu. Dia kata dia
tidak ada keturunan seperti ini. Keturunannya semua baik-baik. Maksudnya, keturunan sebelah saya yang tidak baik. Ketika itu, saya berasa sangat sedih dan kecil hati. “Suami saya cakap pada ibunya, “Ini bahagian kami. Kami
mesti terima. Anak saya tidak gila. Anak saya sempurna.”
(Informan C) “Mertua saya pernah cakap pada saya semasa dapat anak seperti ini, “Itulah, kau dapat anak seperti itu kerana kau banyak dosa pada suami. Sebab itu
Tuhan bagi anak seperti itu. Saya rasa sangat kecewa.”
(Informan E)
Kedua-dua informan ini mengambil langkah mendapatkan sokongan pasangan masing-
masing untuk memberi penjelasan kepada ibu mertua bahawa anak remaja bermasalah pembelajaran ini adalah sempurna dan boleh diberi didikan dengan baik. Kedua-dua informan ini juga cuba mengelak daripada berjumpa dengan ibu mertua itu bagi
mengurangkan tekanan emosi. Tindakan mereka adalah wajar sebagai langkah mengelak daripada pengaruh yang boleh menghalang proses penerapan nilai-nilai Islam kepada anak
remaja bermasalah pembelajaran sebagai tanggungjawab yang perlu diutamakan.
38 Shukeri Mohamad dan Mohamad Azrien Mohamed Adnan, “ Modul Pendidikan Kanak-kanak dan Remaja
Melalui Institusi Masjid,”.(makalah, Prosiding Seminar Pengurusan Masjid Inovatif Peringkat Ant arabangsa,
Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia dan Pusat Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, 23-24
April 2011), 379-387 . 39 Hadas Doron dan Adi Sharabany,"Marital Patterns among Parents to Autistic Children." Psychology 4, no.
04 (2013),445-446.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
16
Kesimpulan
Berdasarkan hasil kajian di atas, sokongan sosial yang diterima oleh ibu bapa adalah positif
seterusnya mempercepatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam kepada anak remaja
bermasalah pembelajaran. Bentuk-bentuk sokongan yang diterima ialah sokongan daripada
ahli keluarga, pihak kerajaan, guru-guru dan kumpulan sokongan ibu bapa. Kajian turut
mendapati semua informan ibu bapa bersikap sensitif dalam keadaan-keadaan yang berlaku
di persekitaran sekolah dan tempat tinggal, di samping berusaha mengatasi cabaran
masyarakat sekeliling yang boleh mengganggu usaha penerapan nilai-nilai Islam ini. Oleh
itu, setiap anggota masyarakat harus menyedari bahawa individu yang memiliki
ketidakupayaan juga berhak menyertai masyarakat untuk bersama-sama mengamalkan
syariat Islam. Masyarakat harus memberi sokongan dan layanan positif kepada setiap
individu yang mengalami. Pengkaji juga mengesyorkan kepada organisasi dakwah bahawa
ajaran Islam itu tidak hanya disampaikan kepada sesebuah komuniti, tetapi perlu memberi
lebih kesedaran kepada anggota masyarakat tentang tanggungjawab penerapan nilai-nilai
Islam kepada anak-anak remaja bermasalah pembelajaran. Organisasi dakwah perlu
membantu mengupaya masyarakat dengan lebih aktif dalam memberi bantuan dan
sokongan bagi menjayakan usaha dakwah sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga,
sokongan moral dan sebagainya.
Seminar Kesedaran Pendidikan Islam Orang Kelainan Upaya (OKU) Zon Tengah, Anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, dengan kerjasama Yayasan Al-Quran Anak-anak Istimewa (FAQEH), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) & Persatuan Orang Buta Islam Malaysia (PERTIS), 4 Mei 2016, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
17
Rujukan
Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah : Sistem-sistem Islam, (Kuala Lumpur : Pustaka Salam,
2011).
Amran Hassan, Fatimah Yusooff, and Khadijah Alavi. "Keluarga Sihat Melahirkan
Komuniti Sejahtera: Satu Ulasan,"Malaysia Journal of Society and Space Bil.8 Issue 5, Themed Issue: Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar (MATRA), GEOGRAFIA
OnlineTM, (2012).
Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa, “Peranan Komunikasi
dalam Hubungan Kekeluargaan”, (makalah, Seminar Kaunseling Keluarga 2008, Universiti Teknologi Malaysia).
Colin Barnes, The Social Model of Disability : Valuable or Irrelevent The Rootledge Handbook of Disability Studies, (London : Rootledge, 2012).
Grant Carson, The Model of Disability Scottish Accessible Information Forum, (Ireland:The Stationery Office, 2009), 10.
Liz Carr, Paul Darke, and Kenji Kuno, Training Them and Us: A Guide to Social Equality for Society, (Utusan Publications, Kuala Lumpur, 2008).
Manisah Mohd. Ali dan Noorfaziha Hassan, “Perspektif Guru Terhadap Keterlibatan
Akademik dalam Kalangan Murid dengan Ketidakupayaan Penglihatan, Jurnal Pendidikan Malaysia, 39 (2), (2014).
Mustafa Daud, “Pendidikan Keibubapaan : Satu Pengenalan”, (makalah, Seminar Antarabangsa Nilai Dalam Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC 2004), 4-6 September
2004, Hotel City Bayview Langkawi).
Hadas Doron dan Adi Sharabany, "Marital Patterns among Parents to Autistic
Children." Psychology 4, no. 04 (2013).
Saedah Sumrah Salwan Sudirman dan Roslee Ahmad, “Kaedah Menangani Kanak-kanak
Bermasalah Tingkahlaku”, ( makalah Seminar Kaunseling Keluarga 2008).
Shukeri Mohamad dan Mohamad Azrien Mohamed Adnan, “ Modul Pendidikan Kanak-kanak dan Remaja Melalui Institusi Masjid,”(makalah, Prosiding Seminar Pengurusan Masjid Inovatif Peringkat Antarabangsa, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia
dan Pusat Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, 23-24 April 2011).
Wan Nasyrudin Wan Abdullah dan Hisham Ahmad, Aku Bersyukur Anakku Autisme,
(Kuala Lumpur : Telaga Biru, 2013).
Wan Norina Wan Hamat, Zaharah Hussin, Ahmad Fakrudin Mohamed Yusoff dan Ahmad Arifin Sapar, "Pengaruh Media Massa Terhadap Penampilan Akhlak Pelajar Islam Politeknik Malaysia", Online Journal of Islamic Education, Jil.1, no. 1 (2013).
top related