dalam mahkamah rayuan malaysia …sh)-241-09-2015.pdfmengecamkan bilik itu seperti dalam gambar p19...
Post on 03-Mar-2019
251 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN)
MAHKAMAH RAYUAN (BIDANGKUASA JENAYAH) BIL: W-05(SH)-241-09/2015
CHONG TAT SIONG …. PERAYU
LAWAN PENDAKWA RAYA …. RESPONDEN
DIDENGAR BERSAMA RAYUAN-RAYUAN BERIKUT MAHKAMAH RAYUAN (BIDANGKUASA JENAYAH)
BIL: W-05(SH)-243-09/2015 FOONG KHAR FAI …. PERAYU
LAWAN PENDAKWA RAYA …. RESPONDEN
MAHKAMAH RAYUAN (BIDANGKUASA JENAYAH) BIL: W-05(SH)-244-09/2015
LEE PHAK SENG …. PERAYU
LAWAN PENDAKWA RAYA …. RESPONDEN
MAHKAMAH RAYUAN (BIDANGKUASA JENAYAH) BIL: W-05(H)-247-09/2015
PENDAKWA RAYA …. PERAYU
LAWAN 1. CHONG TAT SIONG 2. FOONG KHAR FAI 3. LEE PHAK SENG … RESPONDEN-RESPONDEN
DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KUALA LUMPUR Perbicaraan Jenayah BIL: 45C-43-10/2012
Antara PENDAKWA RAYA
LAWAN 1. CHONG TAT SIONG 2. FOONG KHAR FAI 3. LEE PHAK SENG
2
CORAM
ZAKARIA BIN SAM, HMR BADARIAH BINTI SAHAMID, HMR
ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR
ALASAN PENGHAKIMAN
Pengenalan
Untuk kemudahan rujukan dalam rayuan ini, perayu-perayu Chong Tat
Siong, Foong Khar Fai dan Lee Phak Seng akan dirujuk sebagai OKT 1,
OKT 2 dan OKT 3 sepertimana rujukan di Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan
[1] Ketiga-tiga perayu OKT telah dihadapkan dengan satu pertuduhan
bersama di bawah seksyen 3 Akta Penculikan, 1961. Pertuduhan dibaca
seperti berikut:
“Bahawa kamu bersama- sama seorang lagi yang masih bebas
pada 27 April 2012 jam lebih kurang 7.30 pagi bertempat di Jalan
Kiara 1, Mont Kiara, di dalam Daerah Brickfields, didalam Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, didalam meneruskan niat bersama
kamu, telah menculik NAYATI MOODLAR (PP NO NRH 411607)
dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000 dan
dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh
3
dihukum dibawah seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989)
(Akta 365) di baca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan”.
Kes Pendakwaan
[2] Ringkasan kes pendakwaan yang berikut dipetik daripada alasan
penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi (HMT), Kuala Lumpur.
[3] Mangsa, Nayati Shamelin Moodilar (SP16) mengikut keluarganya
menetap di Malaysia oleh sebab bapanya, Shamelin Krubagaran
Moodliar (SP17), seorang warganegara Belanda bekerja dengan sebuah
syarikat di Malaysia.Pada jam lebih kurang 7.25 pagi 27.04.2012, mangsa
telah diculik oleh dua orang lelaki dan dilarikan ke Chemor,Perak.
Mangsa telah dikurung disebuah rumah di Tanah Hitam, Chemor
sehingga 3.05.2012.Pada 3.05.2012 mangsa telah dibebaskan dengan
selamat di R & R Rawang setelah SP17 membayar wang tebusan
berjumlah RM300,000 yang dipersetujui oleh para penculik. Pada masa
kejadian, mangsa baru berusia 12 tahun. Semasa memberi keterangan
di Mahkamah, mangsa berusia 14 tahun. Mangsa memberi keterangan
secara bersumpah selepas Mahkamah berpuas hati pra-syarat di bawah
seksyen 133A Akta Keterangan 1950 dipenuhi.
4
[4] Menurut mangsa, pada pagi hari kejadian sekitar jam 7.25 dia
sedang berjalan kaki untuk ke sekolah apabila beliau telah ditarik masuk
ke dalam sebuah kereta oleh dua orang lelaki dan dibawa ke suatu tempat
dan telah dikurung di dalam sebuah rumah. Tidak dipertikaikan bahawa
selepas dilarikan, mangsa telah dikurung dalam sebuah rumah di No. 2,
Jalan Seri Desa 2, Taman Seri Desa, Chemor, Perak. Mangsa telah
mengecamkan OKT1 sebagai salah seorang yang telah menarik beliau
dan melarikan beliau dalam sebuah kereta berwarna hitam. OKT1 telah
duduk bersama beliau di kerusi penumpang bahagian belakang kereta.
[5] Menurut mangsa, semasa di dalam kereta hitam dan pada awal
perjalanan, beliau telah dipaksa oleh OKT1 untuk menelan sejenis cecair
dari dalam satu tin sehingga membuatkan beliau rasa mengantuk. OKT1
kemudiannya telah menutup kedua-dua mata mangsa dengan kain hitam.
Sepanjang perjalanan mangsa telah diarahkan oleh OKT1 untuk
berbaring atas tempat pemijak kaki di bahagian belakang kereta tersebut.
Setelah sampai di tempat yang dituju, mangsa telah dibawa keluar dan
ditempatkan dalam satu bilek kecil dalam sebuah rumah. Tiba di bilik
tersebut, OKT1 telah membuka penutup mata mangsa. Mangsa
mengecamkan bilik itu seperti dalam gambar P19 (gambar 28-32).
5
[6] Sepanjang masa berada di dalam bilik tersebut, mangsa dapat
melihat dan mengecamkan muka pemandu kereta hitam tersebut.
Pemandu kereta itu telah mendapatkan daripada mangsa beberapa
maklumat terutama cara untuk berhubung dengan bapa mangsa.
Pemandu kereta turut meminta nombor akaun Facebook milik mangsa.
Mangsa telah memberikannya kepada pemandu itu bersama kata laluan
“soccer!” Selain daripada OKT1 dan pemandu kereta hitam itu, mangsa
turut mengecamkan OKT2 dan juga OKT3 yang turut masuk ke dalam
bilik di mana mangsa telah dikurung. Mangsa menyatakan kaki beliau
telah diikat dengan tali dan mulut beliau ditutup dengan pita pelekat
semasa berada di dalam bilik itu. Setiap kali OKT-OKT keluar dari bilik
itu, pintu bilik itu akan ditutup rapat. Sepanjang masa dikurung, mangsa
menyatakan ketiga-tiga OKT telah melayan beliau dengan baik dan beliau
telah diberikan tilam untuk tidur, pakaian baru, makanan, minuman,
termasuk diberikan laptop untuk bermain game. Sepanjang ditahan di
rumah itu, mangsa hanya nampak ketiga-tiga OKT dan pemandu kereta
(yang masih bebas) tersebut sahaja dan tidak ada orang yang lain.
[7] Mangsa telah dibebaskan pada awal pagi hari yang ketujuh
(3.05.2012) di R&R Rawang. Sepanjang perjalanan, mata mangsa telah
6
ditutup dan beliau berbaring di kerusi belakang kereta. Setelah sampai,
mangsa telah diberikan satu telefon bimbit berwarna hitam jenama Nokia
model 1280 (P160 A) dan diminta untuk menghubungi bapa beliau.
Mangsa turut diberikan sekeping wang nota RM50 oleh OKT2 sebelum
OKT 2 dan OKT3 (yang memandu kereta Honda WPX 996 berwarna
coklat (P132) beredar dari tempat tersebut. Mangsa telah berjaya
mengecamkan ketiga-tiga OKT dalam kawad cam yang telah diadakan
oleh pihak polis. Mangsa turut memberikan peranan setiap OKT dalam
kes penculikan beliau. Kawad cam tersebut telah dijalankan oleh ASP
Arikrishnan A/L Apparau (SP28) pada 15.5.2012 di Balai Polis Jinjang.
[8] Saksi SP17 menyatakan bahawa pada 27.04.2012 seperti biasa
anaknya, mangsa berjalan kaki pergi ke sekolah pada awal pagi. Sekolah
anaknya hanya jarak 300 meter dari rumah beliau. Sekitar jam 7.30 pagi
beliau terima panggilan telefon daripada sekolah menyatakan anaknya
tidak sampai di sekolah. Beliau telah dibawa melihat rakaman CCTV
yang berada di sekitar tempat kejadian termasuk dari Amaspuri
Kondominium yang dibekalkan oleh saksi Lee Chin Hong (SP22) dan juga
oleh KPL Yusram bin Danis (SP23), Polis Bantuan Sunrise. SP17
mengesahkan setelah melihat rakaman CCTV tersebut bahawa anaknya
telah diculik dan dilarikan oleh dua orang lelaki yang memandu sebuah
7
kereta berwarna hitam. SP17 kemudian terus membuat laporan polis
(P139) tentang kejadian.
[9] SP17 telah memberikan keterangan beliau menerima mesej
melalui laman Facebook atas akaun anaknya. Penculik telah memarahi
beliau kerana telah membuat laporan polis. Para penculik turut meminta
wang tebusan sebanyak RM1 juta untuk membebaskan anaknya.
Selepas beberapa perundingan, para penculik bersetuju untuk menerima
wang tebusan sebanyak RM300, 000 untuk membebaskan anak nya.
SP17 berjaya mendapatkan wang tunai RM300, 000 yang diminta dan
atas arahan para penculik, wang tersebut yang diisikan dalam sebuah beg
hitam telah diletakkan oleh SP17 di tepi tangga di Tingkat 8, Sri Chendikia
Kondo, di Cheras. Pada keesokan paginya, SP17 telah menerima
panggilan daripada anaknya yang menyatakan bahawa dia telah pun
dibebaskan di R & R Rawang arah selatan. SP17 telah bergegas ke sana
dan telah bertemu dengan anaknya. Saksi Insp. Mohd Aizam bin
Mohammad (SP14) dan satu pasukan polis telah memeriksa tempat di
mana beg hitam berisi wang RM300, 000 telah diletakkan oleh SP17.
Tiba di sana, di satu kawasan tangga ke tingkat 9, Kondo Seri Chendika,
Taman Connaught, Cheras, SP14 dan pasukan telah menjumpai semula
8
beg hitam tersebut di tepi tangga. Beg hitam itu telah kosong, tanpa
wang. SP14 turut merampas satu puntung rokok di tempat yang sama.
[10] Beberapa orang saksi awam turut dipanggil untuk memberi
keterangan bagi pihak pendakwaan. Saksi Jonathan Robert Daley (SP1)
ialah seorang guru yang mengajar di Sekolah Mont Kiara International
School, di mana mangsa sedang menuntut dan tinggal di Kondo Johan
Kiara, lebih kurang 200 meter dari sekolah tersebut. Pada hari kejadian
beliau sedang berjalan kaki bersama anak perempuan beliau di hadapan
kondo tersebut apabila beliau mendengar seorang kanak-kanak menjerit
meminta tolong. SP1 terus berkejar ke tempat kejadian dan beliau telah
melihat seorang budak sekolah telah dipaksa masuk ke dalam sebuah
kereta jenis Proton Gen 2 berwarna hitam dan terus dilarikan.
[11] Saksi Puan Mok Yek Yong (SP10) memberitahu Mahkamah
bahawa beliau ialah tuan punya berdaftar rumah satu tingkat berkembar
di alamat No. 2, Jalan Seri Desa 2, Taman Seri Desa, Tanah Hitam,
Chemor, Perak. Beliau telah menyewakan rumah itu kepada Chong Tat
Siong (OKT 1) mulai 16.4.2012. SP10 mengesahkan bahawa OKT1 mulai
tinggal di rumah itu pada 18 atau 19 April 2012. Rumah itu disahkan
berdasarkan siasatan pihak polis sebagai tempat dimana mangsa telah
9
dikurung mulai 27.4.2012 sehingga awal pagi 3.5.2014. SP10
menyatakan kawan beliau, Moo Tai Wai (SD4) telah menyaksikan OKT1
menandatangani perjanjian sewaan (P96) yang dimasuki antara beliau
dengan OKT1.
[12] Puan Ho Mun Chee (SP20) menyatakan bahawa beliau ialah isteri
kepada OKT1. Saksi mengesahkan bahawa kereta Proton Gen 2 dengan
nombor pendaftaran WPV 3132 adalah milik beliau. SP20 sahkan kereta
itu berwarna hitam. SP20 menyatakan dalam tahun 2011 beliau dan
OKT1 tinggal bersama ibu OKT1 di Taman Kelebang Jaya, Chemor,
Perak dan pada sepanjang masa tersebut sehingga OKT1 ditangkap,
mereka tinggal di rumah yang sama. SP20 memberitahu pada masa itu
OKT1 yang menggunakan kereta Proton Gen 2 milik beliau. Saksi
mengesahkan pada sepanjang masa itu OKT1 bekerja sebagai penjual
telefon bimbit dan saksi sendiri tidak berkerja.
[13] Liew Teck Foo (SP11) menyatakan beliau berniaga membuka
bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan. Bengkel beliau berada di
alamat Lot 12591, Jalan Jelapang off Jalan Kuala Kuang, Chemor. Saksi
mengesahkan pada hujung bulan April 2012, OKT1 telah menghantar ke
bengkel beliau sebuah kereta Gen 2 berwarna hitam No. WPV 3132 untuk
10
diketuk dan dicatkan semula. SP11 menyatakan pada 8.5.2012, pihak
polis telah datang ke bengkel beliau dan telah merampas kereta Proton
Gen 2 tersebut. Pada waktu itu kereta tersebut dalam keadaan
sebahagian telah diplaster dengan simen dan kerja-kerja mengetuk dan
mengecat semula kereta itu masih belum selesai. Insp. Zaffrul Asraff bin
Mohd Puzi (SP19) mengesahkan beliau telah mengetuai sepasukan polis
pergi ke bengkel milik SP11 di Chemor pada 8.5.2012 dan telah
merampas kereta Proton Gen 2 tersebut. Selain merampas kereta
tersebut, SP19 turut merampas beberapa barang kes lain yang ditemui di
beberapa bahagian di dalam kereta tersebut. Barang-barang kes
tersebut termasuklah:
(i) Satu botol minuman plastik jenama ‘100 Plus 500 ml’;
(ii) Satu botol minuman plastik jenama ‘Sea Master Drinking
Water’ 1500 ml;
(iii) Satu stoking warna kelabu jenama ‘Puma’;
(iv) Satu botol minuman plastik jenama ‘Spritzer’;
(v) Satu resit tol ‘PLUS ’bertarikh 27.4.2012 jam 9.07 pagi
berjumlah RM24.80;
(vi) Satu buku berwarna merah bertulisan ‘Mont Kiara
International School’ atas nama Nayati Moodilar Field Journal
11
Grade 7 (P 78A) dan terselit satu helai kertas bertulisan “The
Electromagnectic Spectrum’ atas nama Nayati Moodilar.
Barang kes telah dicamkan oleh mangsa;
(vii) Tiga helai rambut (ditanda 8);
(viii) Satu helai seluar jeans warna hitam jenama ‘RIDERS’saiz 34;
(ix) Tiga helai rambut (ditanda 10)
(x) Satu gumpal tisu warna putih yang telah digunakan;
(xi) Satu bilah pisau warna merah/hitam jenama ‘Rigans RG222
Cutter Knife’;
(xii) Sampel cat kereta warna hitam (P93A)
(xiii) Enam (6) kesan cap jari pada kereta;
(xiv) Tiga (3) kesan swabbing air liur pada kereta; dan
(xv) Satu helai rambut pada pisau [ditanda 12(1)].
[14] Kesemua barang kes tersebut termasuk kereta telah dihantar untuk
pemeriksaan dan analisis forensik dan kimia. Nor Ummiza binti
Kamaruzaman (SP 9) , seorang Pegawai Sains Forensik yang bertugas
di Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya mengesahkan telah menerima
sebuah kereta Proton Gen 2 bernombor pendaftaran WPV 3132 ( P131),
dan sampel cat berwarna hitam ( P 93A) yang dikutip oleh SP19 daripada
12
kereta P131. Lain-lain barang kes telah diserahkan kepada Ahli Kimia,
Erizasyira binti Basri (SP8) yang kemudiannya telah menyerahkan
kepada Ahli Kimia yang lain bernama Nur Haliza binti Hassan untuk
dianalisis.
[15] ASP Zuraimi bin Zam Zam ( SP15) telah diarahkan untuk membuat
pemeriksaan di rumah No, 2, Jalan Seri Desa 2, Taman Seri Desa, Tanah
Hitam, Chemor, iaitu rumah di mana mangsa telah dikurung. SP15
bersama pasukan serbuan beliau telah sampai di rumah tersebut pada
jam 11.25 pagi 8.5.2012. SP15 menyatakan rumah itu mempunyai 4 bilik
tidur dan 2 bilik air. Pasukan yang diketuai oleh SP15 telah melakukan
ujian penimbulan cap jari, melukis rajah kasar serta mengumpulkan dan
merampas barang-barang kes yang mempunyai kaitan dengan kes
penculikan mangsa. Gambar-gambar tempat kejadian tersebut turut
dirakamkan oleh D/KPL Che Azmi bin Anan (SP7) sejumlah 146 keping
gambar [P 19 (1-146)]. Terdapat sejumlah 29 kesan cap jari telah berjaya
ditimbulkan dalam rumah tersebut dan sejumlah 64 barang kes turut
dirampas dari rumah tersebut.
[16] D/Sjn. Mohammed bin Dahlan Rose (SP18) telah diarahkan untuk
ke tempat kejadian di mana mangsa telah dilarikan. Saksi dan pasukan
beliau telah sampai di tempat kejadian pada jam 11.15 pagi pada hari
13
kejadian penculikan itu. Di tempat kejadian, SP18 telah menjumpai dan
merampas barang-barang kes berikut:
(i) Satu kasut selipar sebelah kiri berwarna hitam jenama ‘Hush
Puppies’ (P98A);
(ii) Satu helai kain berbentuk baju singlet berwarna putih (P99A)
(iii) Empat helai kertas putih bertulisan Bahasa Inggeris (P 100A-
D) yang dicamkan oleh mangsa sebagai milik beliau yang
jatuh ditempat kejadian sewaktu beliau dipaksa masuk ke
dalam kereta;
(iv) Satu puntung rokok tanpa jenama (P 101 A); dan
(v) Dua puntung rokok jenama ‘Malboro’ (P 102 A dan P103A).
[17] Ketiga-tiga OKT telah ditangkap oleh pihak polis dalam tempoh
satu minggu sahaja selepas mangsa SP16 dibebaskan selepas wang
tebusan dibayar. OKT1 telah ditangkap pada 7.5.2012, OKT2 pada
7.5.2012 dan OKT3 pada 10.5.2015.Sementara seorang lagi suspek yang
memandu kereta Proton Gen 2 semasa mangsa dilarikan telah gagal
ditangkap. Suspek ini telah melarikan diri keluar negara dan masih bebas
sehingga perbicaraan kes ini diselesaikan. Walau bagaimanapun serbuan
dilakukan oleh pihak polis diketuai oleh SP21 ke rumah kediaman suspek
14
tersebut pada 14.5.2012, dan pihak polis telah menemui dan merampas
satu beg plastik warna hitam bertulisan ‘Padini Concept Store’(P196)
yang mengandungi wang tunai note RM100 sebanyak 300 keping
berjumlah RM30,000(P197). Sepasang suami isteri turut ditahan dipremis
tersebut untuk tujuan siasatan.
[18] Insp. Hare Krishnan A/L K.Subramaniam ( SP21) dari Bahagian
Siasatan Khas D9 IPK Kuala Lumpur bersama beberapa anggota serbuan
beliau telah berjaya menangkap OKT2 di Jalan Cheras Hartamas 1,
Taman Cheras Hartamas, Cheras Selangor pada waktu tengah malam
7/5/2012. Daripada OKT2, SP21 telah merampas beberapa barang kes
termasuk sebuah telefon bimbit ( P174) berserta kad SIM ( P 174 A), satu
beg silang jenama ‘Seed’ (P175), satu dompet duit jenama ‘Renoma’
(P176) , satu beg kertas (P177) mengandungi wang note RM50 sebanyak
900 helai berjumlah RM45,000(P178), satu beg laptop jenama ‘Acer’
(P179) serta satu laptop jenama ‘Apple Mac Book’ (P 182)
[19] Pada 10.5.2012 jam 1.00 tengah hari, SP21 bersama pasukan
yang sama telah menyerbu rumah No. 20. Lorong Jentayu 2, Taman
Morib, Banting, Selangor dan telah berjaya menangkap OKT3. Daripada
OKT3, SP21 telah merampas satu telefon bimbit Nokia (P189) serta satu
15
SIM kad Digi (P190 A) dan satu dompet duit (P186) mengandungi My Kad
dan wang note RM50 sebanyak 8 keping berjumlah RM400 (P187).
[20] Menurut keterangan Pegawai Penyiasat , ASP Erwansyah bin
Abdul Basir (SP29), OKT2 telah ditangkap oleh DSP Shazeli bin Kahar di
rumah No.21, Laluan Klebang Jaya 2,Taman Klebang Jaya,Chemor,
Perak. Semasa tangkapan, barang-barang kes berikut turut dirampas
daripada OKT2:
(i) Satu telefon bimbit jenama Nokia 100 RH-130 serta satu
SIM kad Hotlink No. 014-2828287;
(ii) Satu dompet duit warna hitam jenama ‘Bally’;
(iii) Wang tunai RM1000 (note RM 100 satu keping dan note
RM50 sebanyak 18 keping);
(iv) Sebuah jam tangan jenama ‘Patek Phillipe Geneve’; dan
(v) Sebuah kereta Perodua Alza No. AHS 8981 berserta anak
kunci.
[21] SP29 turut mengesahkan wang tunai sejumlah RM45, 000 yang
dirampas daripada OKT2 disahkan sebahagian daripada wang tebusan
RM300, 000 yang dibayar oleh bapa mangsa (SP17). SP 29 juga
mengesahkan wang tunai sejumlah RM 30,000 yang dirampas dari bawah
16
katil dalam bilik tidur suspek yang masih bebas bernama Lee Chung Kee
(KPT No.840830-14-5631) adalah juga sebahagian daripada wang
tebusan yang diserahkan oleh SP17, berdasarkan perbandingan nombor
siri kesemua wang kertas yang dirampas dengan nombor siri wang yang
terdapat dalam salinan fotostat [P 173(1-9] keseluruhan wang tebusan
berjumlah RM300, 000 tersebut.
Dapatan dan Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (HMT)
[22] Pertuduhan terhadap ketiga-tiga OKT adalah satu kesalahan di
bawah seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama dengan seksyen
34 Kanun Keseksaan. Seksyen 3 memperuntukkan seperti berikut:
“Whoever with intent to hold any person for ransom, abducts or
wrongfully confines or wrongfully restrains such person shall be
guilty of an offence and shall be punished on conviction with death
or imprisonment for life and shall, if he is not sentenced to death,
also be liable to whipping”.
[23] Menurut HMT, pihak pendakwaan dikehendakki membuktikan
intipati-intipati pertuduhan terhadap ketiga-tiga OKT, seperti berikut:
(i) Bahawa seseorang mangsa telah diculik;
17
(ii) Bahawa mangsa telah dihalang secara salah dengan niat
bagi maksud untuk mendapatkan wang tebusan;
(iii) Bahawa terdapat permintaan untuk wang tebusan;
(iv) Bahawa OKT-OKT ialah orang yang telah melakukan
perbuatan-perbuatan tersebut di atas; dan
(v) Bahawa OKT-OKT telah melakukan perbuatan-perbuatan
tersebut diatas; dan
(vi) Bahawa OKT-OKT telah melakukan perbuatan-perbuatan
tersebut bersama-sama dengan seorang lagi yang masih
bebas dalam melaksanakan niat bersama mereka di bawah
seksyen 34 Kanun Keseksaan.
[24] Di akhir kes pendakwaan, HMT telah memutuskan bahawa pihak
pendakwaan telah membuktikan satu kes prima facie terhadap ketiga-
tiga OKT atas pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka. Setelah
membuat pertimbangan maksima semua keterangan saksi-saksi pihak
pendakwaan, HMT mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya
diwujudkan terhadap ketiga-tiga OKT atas pertuduhan yang dihadapkan.
HMT juga berpuas hati bahawa keterangan saksi utama SP16, seorang
kanak-kanak, telah disokong (corroborated) oleh keterangan daripada
18
punca-punca dan saksi-saksi yang bebas.Seterusnya, ketiga-tiga OKT
dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.
Kes Pembelaan
[25] Ketiga-tiga OKT telah memilih untuk memberikan keterangan
secara bersumpah. Ringkasan pembelaan ketiga-tiga OKT adalah seperti
berikut:
OKT1
[26] OKT 1 ialah rakan sekerja OKT2 dan OKT 3. Majikan OKT 1 ialah
seorang yang bernama Thomas. Pada sebelah pagi 27.04.2012 OKT 1
telah bersarapan pagi dan membeli peralatan sembahyang bersama
seorang kawan di Bercham .OKT1 telah terima panggilan daripada
Thomas yang akan sampai dari Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan
OKT1 di kedai menjual peralatan sembahyang di Bercham. Tidak lama
kemudian OKT1 telah berjumpa dengan Thomas di kedai tersebut.
[27] Thomas telah meminjam kereta Proton Gen 2 milik isteri
OKT1.OKT1 telah melihat seorang kanak-kanak India di dalam kereta
tersebut.OKT1 telah bertanya kepada Thomas tentang budak itu dan
Thomas menjawab bahawa budak itu ditahan kerana bapa budak itu
berhutang sejumlah wang daripada Thomas. Selepas itu OKT 1 dan
19
Thomas serta budak India itu balik ke rumah yang OKT1 sewa di Tanah
Hitam. Setiba di rumah itu, budak India itu dibawa masuk ke dalam satu
bilik di dalam rumah itu. Thomas telah meminta OKT1 dan dua rakannya
supaya menjaga budak India itu tanpa banyak soal.
[28] Setelah beredar dari rumah itu, Thomas telah menalipon OKT1 dan
memberitahu nya bahawa kereta OKT1 mempunyai calar dan telah
dihantar kesebuah bengkel untuk dicat semula. Thomas memberitahu
OKT 1 alamat bengkel tersebut.
[29] Pada satu pagi apabila bangun daripada tidur OKT1 menyedari
budak India itu tiada lagi di rumah sewa tersebut. OKT 1 diberitahu oleh
dua rakannya melalui telefon bahawa budak India itu telah di bawa ke
Kuala Lumpur.
[30] OKT1 menafikan dia berada di tempat budak India itu diculik pada
pagi kejadian. OKT1 juga menafikan dia ialah salah seorang yang
kelihatan dalam rakaman CCTV yang ditayangkan di mahkamah.OKT1
juga menafikan ada menggunakan akaun Facebook budak India itu untuk
meminta wang tebusan daripada bapa budak India tersebut.
20
[31] OKT1 telah memanggil seorang saksi, Liew Thim Looi (SD5). SD5
telah memberikan keterangan bersumpah dan menyatakan seperti
berikut. SD5 mengenali ketiga-tiga OKT kerana tinggal di kawasan yang
sama di Tanah Hitam, Chemor, Perak. Pada pagi 27.04.2012 SD5 telah
bersarapan pagi dengan OKT1 di kedai kopi SD4. Selepas sarapan
OKT1 dan SD5 telah pergi ke Bercham untuk membeli peralatan
sembahyang. Selepas itu SD5 terus pergi kerja. SD5 tidak tahu apa
berlaku seterusnya ke atas OKT1. SD5 juga mengesahkan antara jam 7
pagi hingga 9 pagi pada 27.4.2012 OKT1 berada bersama-samanya.
OKT2
[32] OKT2 bekerja sebagai bookie bola dan nombor ekor selama 2-3
bulan sebelum kejadian 27.4.2012 dan tinggal bersama OKT1 dan OKT3
disebuah rumah di Tanah Hitam yang disewa oleh OKT1. OKT2 bekerja
di bawah OKT1 dan majikan ialah seorang bernama Thomas yang tinggal
di Kuala Lumpur.
[33] Pada pagi 27.4.2012 OKT2 pergi makan sarapan di kedai SD4.
OKT 3 turut bersarapan di kedai yang sama. Lepas sarapan OKT 2 dan
21
OKT3 pulang ke rumah sewa, disertai SD4. Tidak lama kemudian OKT1
datang menaiki kereta bersama Thomas dan seorang budak lelaki India.
Budak itu dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dalam rumah mereka.
Thomas telah meminta mereka menjaga budak itu.Selama satu minggu
budak itu berada dalam rumah itu, OKT2 hanya memberikan makanan
sahaja kepada budak itu.
[34] Pada satu pagi OKT2 menerima panggilan telefon daripada
Thomas meminta OKT3 menghantar budak itu ke R & R Rawang.
Thomas meminta OKT2 memberikan satu telefon bimbit dan wang RM50
kepada budak itu setelah sampai di sana. OKT2 dan OKT3 telah pergi
menghantar budak itu ke Rawang pada pagi itu juga.Setelah menghantar
budak itu, OKT2 balik ke rumah di Cheras. Thomas telah memberi OKT2
sejumlah wang dalam sebuah beg melalui OKT3.
[35] OKT2 telah ditangkap semasa dalam perjalanan untuk balik ke
rumahnya di Cheras untuk mengambil kereta Honda City milik OKT1 yang
disimpan di rumah OKT2.Pihak polis telah merampas wang yang
diberikan oleh Thomas dan dua buah komputer riba milik OKT2 selain
beberapa barang peribadi OKT2.
22
[36] OKT2 telah memanggil seorang saksi, Moo Tai Wai (SD4). Dalam
keterangan bersumpah, SD4 telah menyatakan beliau tinggal di Kampung
Baru Tanah Hitam dan menjalankan perniagaan sebuah kedai kopi yang
hanya dibuka pada sebelah pagi. SD4 mengenali OKT1 sebagai kawan
sekampung sejak daripada kecil. SD4 mengenali OKT2 dan OKT3
selama lebih kurang 3 tahun dan ketiga tiga mereka tinggal dalam sebuah
rumah sewa dan bekerja sebagai bookie bola dengan seorang majikan
bernama Thomas. SD4 pernah pergi ke rumah sewa ketiga-tiga OKT
untuk menonton perlawanan bola dan urusan perjudian bola sepak.
[37] Pada pagi 27.4.2012 OKT1, OKT 2 dan OKT3 telah datang ke
kedai kopi SD4 dan antara jam 10 hinnga 11 pagi SD4 telah pergi ke
rumah sewa ketiga-tiga OKT tersebut. SD4 ada melihat Thomas dan
OKT1 datang kerumah sewa itu dengan membawa seorang budak lelaki
India dan dibawa masuk tinggal dalam rumah itu. Thomas memberitahu
SD4 bahawa bapa budak itu ada berhutang dengannya. SD4 turut
ditangkap polis bersabit dengan budak lelaki itu tetapi telah dibebaskan
kemudian.
23
OKT3
[38] Sejak bulan April 2012, OKT3 tinggal bersama sama dengan OKT1
dan OKT 2 di sebuah rumah sewa di Tanah Hitam, Chemor. OKT3 diambil
bekerja oleh OKT1 sebagai bookie bola dan judi ekor. Majikan ialah
seorang bernama Thomas.
[39] Pada pagi 27.4.2012, OKT3 melihat OKT1 keluar mengikut seorang
kawan pergi membeli peralatan sembahyang. OKT3 dan OKT2 kemudian
turut keluar pergi bersarapan pagi di kedai SD4. Selepas sarapan OKT3
dan OKT2 balik ke rumah sewa, diikuti oleh SD4. Tidak berapa lama
kemudian OKT1 balik menaiki kereta yang dipandu oleh Thomas.
Seorang budak India turut berada bersama Thomas dan OKT1.
[40] Menurut OKT3, budak India itu masuk ke dalam rumah sewa
dengan sendiri; mata nya tidak ditutup dan tangannya tidak diikat. Tidak
ada sesiapa memegang budak itu masuk ke dalam rumah. Thomas
membawa budak itu masuk ke dalam sebuah bilik dan memberitahu
OKT3 bahawa bapa budak itu ada berhutang dengannya dan meminta
OKT-OKT menjaga budak India itu. Lepas Thomas pergi, bilik budak itu
tidak dikunci.
24
[41] Selama budak India itu berada di rumah sewa mereka, OKT3
hanya memberikan makanan kepada budak India itu. Budak itu bebas di
dalam rumah itu. Apabila OKT3 keluar bekerja, OKT3 tidak tahu apa
berlaku kepada budak itu.
[42] Pada 2.5.2012 waktu tengah malam Thomas ada menalipon OKT3
minta hantar budak India itu ke R&R Rawang bersama dengan OKT2 dan
minta beri telefon bimbit dan wang RM50 kepada budak India itu. OKT3
telah memandu kereta dengan membawa OKT2 dan budak India itu ke
R& R Rawang. Selepas meninggalkan budak India itu di situ, OKT3 dan
OKT2 telah pergi ke rumah OKT2 di Cheras. OKT3 tinggal di rumah sewa
OKT2 selama 4 hari.
[43] Pada 6.5.2012 OKT3 menerima panggilan dari Thomas yang
meminta untuk berjumpa OKT3 di Taman Segar, Cheras. Thomas
beritahu dia akan keluar negara dan memberi OKT3 satu beg berisi
sejumlah wang untuk diberikan kepada OKT1. Thomas mengatakan
bahawa wang itu adalah wang perjudian untuk dibayar kepada pemenang
judi. Pada 7.5.2012 OKT3 telah menyerahkan wang itu kepada OKT2.
25
[44] Pada 10.5.2012 waktu pagi, OKT3 telah ditangkap oleh pihak polis
ketika OKT3 berada di rumah teman wanitanya di Banting. Polis ada
merampas sedikit wang daripada OKT3 namun wang itu bukan wang
tebusan tetapi milik teman wanita OKT3.
[45] OKT3 tidak memanggil sebarang saksi untuk menyokong
keterangan nya.
Dapatan dan Keputusan Di akhir Kes Pembelaan
[46] Di akhir kes pembelaan, HMT, mendapati pembelaan OKT-OKT
gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes
pihak pendakwaan. Ringkasan alasan penghakiman HMT di perenggan
83 Rekod Rayuan Jilid 2 adalah seperti berikut:
“Saya telah menimbangkan keterangan membela diri kesemua OKT
dalam kes ini dan mendapati bahawa pembelaan mereka berbentuk
penafian semata-mata. Semua OKT telah meletakkan segala-galanya
atas seorang yang mereka kenali sebagai Thomas, yang masih bebas
dalam kes ini. Menurut OKT 3, Thomas telah pergi keluar Negara setelah
menyerahkan wang RM45, 000 kepadanya untuk diserahkan kepada
OKT1. Sedangkan ketiga-tiga OKT telah dicamkan oleh mangsa dalam
26
kawad cam yang telah diadakan dan turut dicamkan dalam kandang
tertuduh. Semua OKT telah dituduhkan bersama atas niat bersama
dengan suspek yang masih bebas tersebut. Mangsa turut memberitahu
peranan setiap OKT dalam kes ini.”
[47] Atas alasan-alasan tersebut, HMT telah mendapati ketiga-tiga OKT
bersalah dan disabitkan atas pertuduhan yang dihadapkan kepada
mereka. Selepas menimbangkan faktor-faktor kes, HMT telah
menggunakan budi bicaranya menurut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca
bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk menjatuhkan hukuman
penjara seumur hidup berkuatkuasa dari tarikh tangkap OKT-OKT dan 6
sebatan rotan ke atas setiap OKT.
Rayuan OKT-OKT
[48] Rayuan ketiga-ketiga OKT adalah terhadap sabitan dan hukuman
yang dijatuhkan oleh HMT.
[49] Meskipun petisyen rayuan mengandungi beberapa alasan rayuan,
semasa bicara di hadapan mahkamah ini, peguam perayu telah berhujah
di atas hanya dua isu sahaja iaitu:-
(i) Kebolehpercayaan (credibility) keterangan mangsa;
27
(ii) Niat bersama.
Isu Pertama: Credibility mangsa
[50] Mangsa hanya berumur 12 tahun pada tarikh kejadian. Sebagai
seorang kanak-kanak keterangan mangsa hendaklah disokong
(corroborated) oleh keterangan bebas yang lain untuk menerima
kesahihannya. Dalam kes ini, tiada keterangan sokongan untuk
menyokong keterangan mangsa.
Isu Kedua: Niat Bersama
[51] HMT telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan
elemen niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
[52] HMT telah membuat beberapa inferens mengenai isu niat
bersama, yang diringkaskan seperti berikut:
(i) Bahawa terdapat satu perancangan awal atau satu
pemuafakatan fikiran di kalangan semua perlaku jenayah
(termasuk OKT-OKT) untuk menculik mangsa.
28
(ii) OKT1 telah membenarkan kereta Proton Gen 2 berwarna
hitam milik isterinya untuk digunakan bagi mencapai niat
bersama mereka untuk menculik mangsa.
(iii) Mangsa telah disimpan di sebuah rumah yang telah disewa
khas atas nama OKT1.
(iv) Perayu-perayu telah merancang tempat di mana wang
tebusan akan diserahkan.
(v) Mangsa menyatakan sepanjang masa apabila dibawa
keluar dari bilik di mana mangsa dikurung terutama ke
tandas, mangsa akan dikawal oleh salah seorang OKT. Ini
menunjukkan kesepakatan niat bersama semua OKT
(termasuk yang masih bebas) untuk mengurung dan
menahan mangsa untuk mendapatkan wang tebusan.
Dapatan Mahkamah
[53] Berkenaan isu keterangan sokongan (corroboration) untuk
menyokong keterangan mangsa yang masih kanak-kanak semasa
kejadian, kami berpuas hati bahawa HMT telah mengambil semua
langkah yang perlu berkenaan dengan keterangan mangsa.
29
[54] Sebagai langkah permulaan, HMT telah melakukan proses inkuiri
terhadap tahap kepandaian SP16 dan mendapati SP16 mempunyai tahap
kepandaian dan kecerdikan yang tinggi, dan dapat membezakan antara
fantasi dan realiti. HMT juga mendapati bahawa SP16 faham akan
maksud sumpah dan HMT telah membenarkan SP16 memberikan
keterangan secara bersumpah dengan mematuhi seksyen 133A Akta
Keterangan 1950 dan berpandukan prinsip-prinsip dalam kes Loo Chuan
Huat v PP [1971] 2 MLJ 167 dan Chao Chong & Ors v PP [1960] 26 MLJ
23.
[55] Seterusnya, HMT telah mendapati ada keterangan sokongan yang
mencukupi untuk menyokong keterangan SP16 (perenggan 66-70 Alasan
Penghakiman) seperti berikut:
“Selain keterangan lisan SP1 yang melihat SP16 telah dilarikan oleh
dua orang menggunakan kereta Proton Gen 2 berwarna hitam No.
WPV 3132, juga terdapat keterangan saintifik yang mengaitkan
semua OKT dengan jenayah yang dipertuduhkan. Terdapat bukti
DNA dari rambut dan segumpal kertas tisu yang dijumpai dalam
kereta yang telah digunakan oleh OKT1 dan seorang lagi yang
masih bebas untuk melarikan SP16. Barangan milik pribadi SP16
berupa Gel Rambut (P 161 A) dan Hair Spray (P161B) turut dijumpai
30
dalam kereta yang sama. Kereta WPV 3132 didaftarkan atas nama
saksi SP20, adalah isteri kepada OKT1. Keterangan SP20
menyatakan OKT1 sering menggunakan kereta tersebut
termasuklah pada hari kejadian dimana SP16 mengesahkan OKT1
berada bersama seorang lagi semasa melarikan SP16 ke Chemor,
Perak menggunakan kereta itu.
Keterangan SP16 bahawa OKT2 dan OKT3 selain dari OKT1 dan
seorang lagi berperanan mengurung beliau dirumah di Chemor
disokong dengan bukti forensic. Terdapat DNA dan kesan cap jari
semua OKT dan seorang lagi yang masih bebas berada dibeberapa
tempat dalam rumah tersebut. Saksi SP19 mengesahkan telah
mengutip kesan cap jari setiap OKT yang terdapat dalam rumah
tersebut.Saksi SP10, tuanpunya rumah mengesahkan telah
menyewakan rumah tersebut kepada OKT1 sejak pertengahan
bulan April 2012.
Mengenai permintaan wang tebusan bagi membebaskan SP16,
terdapat keterangan kukuh dan mencukupi diberikan oleh SP17,
bapa mangsa dalam kes ini. SP16 menyatakan bahawa suspek
yang masih bebas telah meminta maklumat peribadi dan kata laluan
akaun Facebook milikbeliau. Maklumat penting tersebut telah
diberikan oleh SP16. SP17 pula mengesahkan beliau telah
31
menerima permintaan untuk wang tebusan dan telah berhubungan
dengan para penculik melalui akaun Facebook anaknya. Setelah
wang tebusan dibayar, mangsa telah dibebaskan. OKT2 dan OKT3
telah membawa SP16 ke R & R Rawang untuk dibebaskan setelah
wang tebusan dibayar. Sebelum membebaskan SP16, OKT2 telah
memberikan satu telefon Nokia dan wang RM50 kepada SP16.
Barang-barang kes tersebut telah kemudiannya ditemui semula
daripada SP16.
Selain itu terdapat saksi bisu yang menyokong keterangan SP16
terhadap fakta SP16 diculik dan dilarikan. Keterangan bisu itu
adalah berbentuk rakaman CCTV yang telah diterima oleh
Mahkamah ini dan telah ditayangkan semasa perbicaraan.SP16
dapat mengecamkan OKT1 dan pemandu kereta hitam yang masih
bebas semasa SP16 ditolak masuk dan dilarikan menggunakan
kereta WPV 3132 tersebut.
Melalui keterangan ASP Zuraini (SP15), beberapa barangan
peribadi SP16 telah ditemui dari dalam rumah tempat SP16
dikurung. Barangan tersebut termasuklah sepasang pakaian
sekolah yang berwarna oren (P42A dan P43A) milik SP16. Ini
konsisten dengan keterangan SP16 bahawa OKT telah menukar
pakaian SP16 setelah sampai dirumah tersebut.”
32
[56] Setelah menilai dapatan HMT, kami berpuas hati bahawa
adanya keterangan bebas yang menyokong keterangan SP16.
[57] Mengenai isu niat bersama tersebut, kami berpuas hati
bahawa adanya keterangan yang kukuh untuk HMT membuat
dapatan niat bersama ketiga-tiga OKT berhubung dengan
pertuduhan terhadap mereka. HMT telah membuat inferens yang
munasabah daripada fakta dan keadaan kes bahawa terdapat satu
perancangan awal atau satu pemuafakatan fikiran di kalangan
ketiga-tiga OKT. HMT dalam alasan penghakimanya menyatakan:
(di perenggan 44-46).
“Fakta bahawa semua perlaku kesalahan tinggal di Chemor,
Perak sedangkan mangsa tinggal di sebuah kediaman mewah
di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Tentu satu perancangan awal
dan teliti telah diatur sejak membuat pemilihan target atau
mangsa yang akan diculik. Termasuklah cara mana dan dari
mana mangsa akan dilarikan dan dikurung sehingga wang
tebusan dibayar kepada mereka sebelum mangsa
dibebaskan. OKT1 telah membenarkan kereta Proton Gen 2
berwarna hitam milik isteri beliau untuk digunakan bagi
mencapai niat bersama mereka untuk menculik mangsa.
33
Kereta itu telah dipandu oleh Lee Chung Kee (Thomas) yang
masih bebas. Setelah dilarikan, mangsa telah disimpan
disebuah rumah yang telah disewa khas atas nama OKT1.
Rumah itu baru disewakan daripada saksi SP10 pada
pertengahan bulan April 2012 dan mula diduduki oleh OKT1,
OKT2 dan OKT3 pada penghujung bulan tersebut. Malahan
Lee Chung Kee turut disyaki tinggal dirumah yang sama
memandangkan keterangan SP29 yang menyatakan terdapat
kesan cap jari beliau dirumah itu. Cap jari ketiga-tiga OKT
turut ditemui dibeberapa tempat dalam rumah sewa tersebut.”
[58] Daripada keterangan, HMT juga telah mendapati kewujudan
pemuafakatan di antara ketiga-tiga OKT. Antaranya, menyembunyikan
kereta yang digunakan untuk menculik mangsa dengan menghantar
kereta itu untuk dicat semula; menggunakan sebuah kereta Honda
berwarna coklat untuk menghantar mangsa ke R & R Rawang,
merancang tempat wang tebusan akan diserahkan oleh bapa mangsa.
[59] Satu pemuafakatan untuk mencapai niat bersama antara ketiga-
tiga OKT boleh didapati daripada peranan yang dimainkan oleh setiap
OKT, termasuk Thomas. Menurut HMT:
34
“…Ini termasuklah tugas OKT1, OKT2 dan OKT 3 untuk menjaga
dan melayan dengan baik mangsa sepanjang dikurung dirumah itu.
Apa yang lebih penting peranan mereka untuk memastikan mangsa
tidak akan dibiarkan lari dari rumah itu. Mereka telah didengar oleh
mangsa bercakap-cakap sesama sendiri dalam Bahasa atau loghat
Cina yang langsung tidak difahami oleh mangsa. Mangsa juga
menyatakan sepanjang masa apabila dibawa keluar dari bilik kecil
dimana mangsa dikurung terutama ketandas akan dikawal atau
diescort oleh salah satu OKT. Ini menunjukkan kesepakatan dan
niat bersama semua OKT termasuk yang masih bebas untuk
mengurung dan menahan mangsa untuk mendapatkan wang
tebusan. Sebaik wang tebusan diperolehi, mangsa terus sahaja
dibebaskan di R & R Rawang”.
[60] HMT juga tidak membuat kesilapan dalam mengambil pendirian
bahawa kehadiran setiap OKT dalam mana-mana bahagian menculik,
melarikan, mengurung dan meminta wang tebusan adalah tidak
diperlukan untuk mencapai niat bersama menurut seksyen 34 Kanun
Keseksaan. Rujukan dibuat pada kes Sabarudin bin Non & 3 Ors v PP
(No. 1) [ 2005]1 AMR 4 dan Krishna Rao a/l Guru murthi v PP [2009] 2
CLJ 603
35
[61] Setelah menilai keterangan serta alasan penghakiman HMT, kami
sebulat suara berpendapat bahawa sabitan ketiga-tiga OKT terhadap
pertuduhan adalah selamat. Oleh itu, kami kekalkan sabitan yang
dijatuhkan oleh HMT dan menolak rayuan ketiga-tiga OKT.
Rayuan Pendakwa Raya terhadap Hukuman
[62] Pendakwa Raya telah merayu terhadap hukuman penjara seumur
hidup terhadap OKT 2 dan OKT3 yang dijatuhkan oleh HMT. Menurut
Pendakwa Raya, hukuman yang lebih berat ia itu, hukuman gantung
adalah lebih bersesuaian memandangkan mangsa hanya kanak-kanak
yang berumur 12 tahun dan telah dikurung selama 7 hari sebelum
dibebaskan.HMT telah mengambil kira bahawa mangsa telah dilayan
dengan baik dan ketiga–tiga OKT tiada sabitan lampau dan akan berada
di dalam penjara sekurang-kurangnya 20 tahun. Berdasarkan faktor-
faktor yang relevan [perenggan 89- 91 alasan penghakiman] HMT telah
menggunakan budibicaranya untuk menjatuhi hukuman penjara seumur
hidup dan 6 sebatan rotan ke atas setiap OKT. Kami berpendapat tiada
sebab untuk mengusik keputusan HMT berkenaan hukuman. Dengan
itu, rayuan Pendakwa Raya terhadap hukuman juga ditolak.
36
[63] Akhir kata, kami kekalkan sabitan dan hukuman terhadap ketiga-
tiga OKT. Sabitan di bawah seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca
bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan dan hukuman penjara seumur
hidup bermula dari tarikh tangkap dan 6 kali sebatan rotan oleh HMT
terhadap Perayu-Perayu disahkan dan dikekalkan.
11 OKTOBER 2017
TT
DR. BADARIAH BINTI SAHAMID HAKIM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA
37
COUNSEL:
W-05(SH)-241-09/2015
ON BEHALF OF APPELLANT:
En Rejinder Singh Rejinder Singh & Associates ON BEHALF OF RESPONDENT: Puan Nurshafini binti Mustafha Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara PUTRAJAYA
W-05(SH)-243-09/2015
ON BEHALF OF APPELLANT:
En Amirul Ridzuan bin Hanif [Dato’ Hanif bin Hashim En Safuan Haslan bersama] Hanif & Co ON BEHALF OF RESPONDENT: Puan Nurshafini binti Mustafha Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara PUTRAJAYA
38
W-05(SH)-244-09/2015
ON BEHALF OF APPELLANT:
En Amirul Ridzuan bin Hanif [Dato’ Hanif bin Hashim En Safuan Haslan bersama] Hanif & Co ON BEHALF OF RESPONDENT: Puan Nurshafini binti Mustafha Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara PUTRAJAYA
W-05(H)-247-09/2015
ON BEHALF OF APPELLANT:
Puan Nurshafini binti Mustafha Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara PUTRAJAYA ON BEHALF OF RESPONDENT: En Rejinder Singh Rejinder Singh & Associates
top related