laporan pemerhatian pilihan raya kecil dun n32 … 3. kempen pilihan raya pemerhati-pemerhati bersih...
Post on 02-Mar-2019
234 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Laporan Pemerhatian
Pilihan Raya Kecil
DUN N32 Seri Setia
3 Oktober 2018
1
Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Kecil
DUN N32 Seri Setia
1. LATAR BELAKANG
Pilihan Raya Kecil DUN N32 Seri Setia telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
berikutan kematian ahli DUN tersebut, Dr Shaharuddin Badaruddin. Tarikh hari penamaan
calon telah ditetapkan pada 18 Ogos 2018, hari mengundi awal pada 4 September 2018 dan
hari mengundi biasa pada 8 September 2018.
BERSIH 2.0 telah menghantarkan seramai 18 orang pemerhati untuk memantau perjalanan
PRK Seri Setia. Mereka terdiri daripada ahli jawatankuasa pemandu, sekretariat dan
sukarelawan BERSIH 2.0.
Skop pemerhatian PRK Seri Setia adalah seperti berikut:
1) Penamaan calon
2) Kempen pilihan raya
3) Pengeluaran kertas undi pos
4) Semakan isi peti undi awal
5) Pengundian awal
6) Semakan isi peti undi biasa
7) Pengundian biasa
8) Pengiraan undi berkelompok
9) Pengiraan undi biasa
10) Pembukaan sampul dan pengiraan undi pos
11) Penjumlahan rasmi undi dan pengisytiharan keputusan pilihan raya
Pemerhatian BERSIH 2.0 memberi fokus kepada masalah-masalah yang bertentangan
dengan prinsip-prinsip pilihanraya yang bersih dan adil dan kesalahan-kesalahan pilihan raya
yang berlaku sepanjang pilihan raya.
2. PENAMAAAN CALON
Lokasi penamaan calon adalah sesuai dan luas dan dapat memuatkan ramai penyokong dari
kedua-dua parti. Proses penamaan calon berlaku dengan begitu lancar. Namun kereta
Timbalan Perdana Menteri didapati dalam kawasan 50 meter pusat penamaan calon.
2
3. KEMPEN PILIHAN RAYA
Pemerhati-pemerhati BERSIH 2.0 telah mencatat sebanyak 7 kes yang berkenaan dengan
insiden salah laku atau kesalahan pilihan raya sepanjang kempen pilihan raya.
Insiden/Kesalahan Pilihan Raya Bilangan laporan yang diterima
Penjamuan makanan dan pemberian hadiah
atau barangan 6
Lain-lain 1
Jumlah 7
3.1 Penjamuan makanan dan pemberian hadiah atau barangan
Penjamuan dalam kempen pilihan raya ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta
Kesalahan Pilihan Raya 1954. Pengaruh tidak wajar seperti memberi hadiah atau barangan
percuma untuk mendapat undi juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta
Kesalahan Pilihan Raya 1954. BERSIH 2.0 telah mencatat 6 kes yang melibatkan penjamuan
dan pemberian hadiah seperti berikut.
● Calon PAS Halimah Ali memberi hamper kepada penduduk sekitar Surau Darul Hidayah
ketika beliau menziarah dan berkempen di kawasan tersebut (23.8.2018)
3
● Calon PAS Halimah Ali memberi 'goodie bag' yang berlogo PAS kepada penduduk PPRT
Lembah Subang ketika beliau berkempen (23.8.2018)
● Terdapat aktiviti penjamuan makanan di kawasan ceramah umum PAS di Kg Lindungan,
PJS 6, Desa Mentari (01.09.2018)
4
● Sewaktu ceramah Pakatan Harapan dijalankan di Kg Lindungan, PJS 6, Desa Mentari
terdapat pemberian baju T-shirt berwarna putih secara percuma kepada penduduk yang
hadir, dan terdapat sedikit makanan dan air yang disediakan(04.09.2018)
● Sewaktu ceramah PAS berlangsung di sekitar Block 4, Desa Mentari, terdapat penjamuan
makanan seperti ayam dan ikan bakar (04.09.2018)
5
● Terdapat jamuan besar-besaran ketika ceramah Pakatan Harapan di padang letak kereta
Jalan PJU 1A/39, Ara Damansara berlangsung (06.09.2018)
3.2 Lain- lain
● Bendera PKR dan Pakatan Harapan didapati dalam kawasan 50 meter Dewan
Serbaguna Dato Hormat yang merupakan sebuah pusat mengundi (18.8.2018)
6
Cadangan Penambahbaikkan:
● Pihak SPR perlu memantau aktiviti-aktiviti kempen calon-calon secara pro-aktif
untuk memastikan kempen mereka dijalankan tanpa melanggar undang-undang
pilihan raya.
● Pihak SPR sepatutnya mengawal bahan kempen agar tidak diletakkan di dalam
kawasan tempat mengundi.
● PP-KPR perlu diperkuatkan supaya rondaan lebih kerap untuk memastikan
semua bahan kempen mematuhi undang-undang. Talian PP-KPR perlu
diumumkan supaya orang awam boleh buat aduan dengan lebih senang.
4. UNDI POS
4.1 Pengeluaran kertas undi pos
Proses pengeluaran undi pos dijalankan dengan lancar
4.2 Pembukaan sampul dan pengiraan undi pos
Proses undi pos dijalankan dengan lancar.
7
5. UNDI AWAL
5.1 Semakan isi peti undi awal
Proses semakan isi peti undi awal berjalan dengan lancar.
5.2 Pengundian awal
● Petanda untuk keluar masuk agak mengelirukan disebabkan posisi pintu. Pengundi tidak
tahu jalan keluar dan petugas tidak membantu pengundi untuk jalan keluar.
● KTM di pusat pengundi TUDM didapati tidak memahami borang- borang yang patut diisi
selepas masa tamat buang undi, dan perlu minta bantuan pengawai SPR.
● Selepas kertas undi diarahkan masuk ke dalam peti undi untuk disimpan, semua peti undi
tidak diarahkan untuk ditutup ataupun dimeteraikan dengan tali putih dan pelekat SPR
mengikut prosedur yang ditetapkan. Ia hanya diarahkan diletak ke dalam beg kuning dan
dizipkan. Selepas mendapat teguran dari pemerhati barulah pegawai bertugas
mengarahkan 6 KTM mengikat dengan “cable tie”.
● Semasa peti undi awal dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya, menurut Puan Norlinah, mangga
untuk mengunci lokap tidak berfungsi. Pegawai SPR, En. Ibrahim mengarahkan
kakitangannya untuk membeli manga baru.
● Pengundi saluran 1 telah memasukkan kertas undi ke saluran 2 di pusat mengundi awal
TUDM kerana kedua-dua saluran terlalu berdekatan.
Cadangan Penambahbaikkan:
● Petanda masuk/keluar saluran menggunakan warna merah supaya mudah dilihat.
● Perlu ada penjelasan yang lebih terang mengenai cara peti undi awal disimpan di
balai polis.
● Meminta agar pemerhati-pemerhati dibenarkan masuk ke balai sehingga peti undi
awal selamat di simpan di dalam lokap.
● Pegawai SPR yang bertugas seharusnya memastikan dahulu mangga kunci
tersebut boleh digunakan.
● Memastikan KTM fasih tentang borang-borang SPR.
5.3 Pengiraan undi berkelompok
Ketika proses pengiraan undi berkelompok, dilihat kerani pengundi membuat hal mereka
sendiri. Selebihnya proses berjalan dengan lancar.
8
6. UNDI BIASA
6.1 Semakan isi peti undi biasa
● Proses semakan isi peti undi biasa sepatutnya bermula pada pukul 9.00 pagi namun
ditangguhkan ke 9.30 pagi. Semua yang berkaitan hanya dibenarkan masuk pada pukul
10.00 pagi. Apabila petugas-petugas masuk, mereka terus ke tempat semakan peti undi
yang ditugaskan dan tidak mendengar arahan yang dikeluarkan.
● Keadaan nampak kelam kabut kerana seorang pegawai yang memberi arahan dan tidak
banyak dibantu oleh pegawai SPR yang lain sedangkan ramai lagi pegawai SPR yang
berada di dalam dewan.
● Terdapat kelonggaran dari segi kawalan pihak polis terhadap kawasan yang dari pintu
masuk/keluar.
Cadangan penambahbaikkan:
• Keselamatan dewan semakan isi peti undi awal perlu diperketatkan. Pihak polis
diminta agar lebih komited dalam melakukan tugas mereka.
• Sepatutnya mengikut masa yang telah ditetapkan agar proses berjalan dengan
lancar.
6.2 Pengundian biasa
BERSIH 2.0 telah menghantar sekurang-kurangnya seorang pemerhati ke setiap pusat
mengundi untuk menjalankan pemerhatian. Beberapa masalah telah diperhatikan pada hari
mengundi:
6.2.1 Berkempen pada hari mengundi
• “Pondok panas” PAS dan Pakatan Harapan didapati didirikan di luar 6 pusat mengundi
iaitu Dewan D'Kelana Komplek Sukan Kelana Jaya, SRA Kampung Medan, Dewan
Serbaguna Taman Dato' Hormat, SJKT Seaport, SK Taman Tun Dr Ismail Jaya dan Dewan
Komuniti Jalan PJS
9
Gambar menunjukkan pondok panas PAS dan Pakatan Harapan di Dewan D'Kelana Komplek
Sukan Kelana Jaya
Gambar menunjukkan pondok panas di Dewan Komuniti Jalan PJS
10
Gambar menunjukkan pondok panas di SK Taman Tun Dr Ismail Jaya
Gambar menunjukkan wakil PAS memberikan air mineral, kipas dan belon kepada pengundi
di sekitar SK Kg Lindungan
11
Penyokong PAS di kawasan SMK Lembah Subang Kelana Jaya cuba mempengaruhi pengundi
untuk mengundi calon PAS di luar pusat mengundi.
● Calon PAS Dr Halimah Ali merayu undi bagi dirinya sendiri di laman Facebook beliau
pada pagi hari mengundi. Beliau menyatakan secara jelas dalam status Facebook
bahawa “Jangan lupa untuk mengundi Dr Halimah Ali bagi N.32 Dun Seri Setia”
12
● Calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar juga didapati berkempen di laman
Facebooknya pada hari mengundi. Beliau berkata “UNDILAH SAYA CALON NO 1 PAKATAN
HARAPAN Halimey Abu Bakar” dalam status beliau.
● Terdapat juga aktiviti berkempen masih berjalan di kawasan tempat mengundi iaitu di SK
Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam, SRA Kampung Medan, Dewan Serbaguna Taman
Dato' Hormat dan SK Kelana Jaya 1, SS 5/2 PJ di mana wakil-wakil PAS dan Pakatan
Harapan memberi air dan belon dan memakai T-shirt logo parti masing-masing.
6.2.2 Bahan berkempen di kawasan 50 meter luar pusat mengundi
● Kereta calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar yang ada logo Pakatan Harapan
berada kurang dari 50 meter daripada kawasan tempat mengundi di SK Kg Lindungan
13
● Satu sepanduk untuk calon PAS yang besar terdapat di seberang jalan dari tempat
mengundi yang anggaran jaraknya adalah 50 meter di Dewan Komuniti Jalan PJS 6
6.2.3 Isu kerahsiaan undi
● Di Dewan Komuniti Jalan PJS 6, kebanyakan saluran berada di dalam satu dewan dan
hanya dipisahkan oleh partition. Namun partition yang digunakan untuk memisahkan
setiap saluran adalah sangat rendah dan apabila semua kerani pengundi 1 membacakan
maklumat pengundi, menjadikan suasana tempat mengundi bising dan mengelirukan
pengundi. Tempat mengundi untuk saluran 4 dan 5 membelakangi antara satu sama lain.
● Di SJKT Seaport, partition membuatkan kawasan menjadi sedikit sempit dan
menyusahkan pengundi yang memakai kerusi roda.
14
● Di SMK Lembah Subang Kelana Jaya, saluran 8 dan 9 kotak undi terlalu dekat dengan
pintu dan boleh dilihat jikalau berdiri di tepi pintu.
● Di Politeknik Salahuddin, ejen PAS merekod semua pengundi yang hadir dengan kod
bersiri. Hal ini melibatkan pelanggaran Seksyen 5(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
6.2.4 Kesilapan lain petugas-petugas pilihan raya
● Kerani 3 di dua saluran di SK Sri Kelana didapati mencop semua kertas undi dan
diberhentikan oleh KTM. Kerani tersebut memberitahu ini arahan dari pegawai SPR agar
mempercepatkan proses pengundian pada waktu pagi.
● Terdapat seorang KTM yang tidak mengetahui peraturan bahawa pemerhati boleh
dibenarkan masuk ke kawasan mengundi namun telah diuruskan oleh pihak SPR. Ini
berlaku di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
● Saluran 1 - 4, SMK Lembah Subang Kelana Jaya KTM meletakkan buku kertas undi
tambahan di atas meja dan sepatutnya tiada buku kertas undi tambahan dimana-mana
meja.
● Di SMK Lembah Subang Kelana Jaya di satu saluran, kerani 2 mencelup jari pengundi
sebelum nama pengundi dipanggil.
● Di SK Kg Lindungan, poster sekolah yang terlalu banyak menyebabkan petanda SPR sukar
dikesan. Petanda SPR perlu menggunakan warna yang lebih mudah untuk dilihat
contohnya warna merah agar pengundi tidak keliru.
6.2.5 Isu infrastruktur untuk golongan OKU dan warga emas
● Ramp yang disediakan untuk golongan OKU di SK Kg Lindungan kurang selamat.
15
● Tiada ramp disediakan di SK Sri Kelana.
Cadangan Penambahbaikkan:
● Perlu menyediakan infrastruktur yang mesra kepada OKU dan warga emas agar
mereka mudah untuk mengundi
● Pihak SPR sepatutnya mengambil tindakan yang wajar terhadap‘pondok panas’
parti dan pengagihan bahan kempen dalam kawasan 50 meter pusat mengundi.
● Nombor-nombor saluran petunjuk perlu dicetak sekurang-kurangnya saiz A2
agar dapat dilihat dari jauh.
● Memohon pihak SPR meletakkan petanda keluar/masuk saluran di dalam bilik
pusat mengundi juga agar pengundi tahu di mana pintu keluar.
● Kedudukan saluran haruslah dijarakkan agar pengundi dapat beri perhatian
apabila namanya dipanggil.
● Kerani-kerani perlu dilatih dengan jelas prosedur pemeriksaan nama dahulu
sehingga habis baru pencelupan jari.
6.3 Pengiraan undi biasa
Secara keseluruhan, proses pengiraan undi biasa berjalan dengan lancar hasil daripada
bantuan pegawai SPR yang hadir dan KTM yang cekap.
16
Cadangan Penambahbaikkan:
● Kesemua petugas-petugas yang terlibat haruslah tahu proses dan undang-
undang tentang Borang 14 iaitu cuma perlu tandatangan sahaja dan tidak perlu
cop.
7. PENJUMLAHAN UNDI RASMI DAN PENGISYTIHARAN KEPUTUSAN RASMI
Keputusan di setiap saluran tidak dipaparkan untuk orang umum.
Cadangan Penambahbaikkan:
• Keputusan setiap saluran perlu dipaparkan di skrin untuk pemeriksaan ejen
mengira undi dan dimuatnaikkan di laman web SPR.
8. KESIMPULAN
Secara keseluruhan, PRK Seri Setia dijalankan dengan lancar dengan pelbagai
penambahbaikkan daripada pihak SPR.
Namun begitu, masih terdapat pelbagai kesalahan pilihan raya contohnya pemberian
hadiah, penjamuan, berkempen waktu hari mengundi.
Peratus keluar mengundi kurang memuaskan namun oleh itu usaha lanjut perlu diteruskan
untuk meningkatkan kesedaran mengundi di kalangan seluruh warga Seri Setia.
Beberapa penambahbaikkan yang positif telah dilakukan oleh SPR dalam pengurusan pilihan
raya:
1. Memanjangkan tempoh berkempen iaitu selama 21 hari.
2. Pihak SPR hadir di setiap saluran dan membantu petugas-petugas yang ada masalah telah
melicinkan gerak kerja ketika hari mengundi.
BERSIH 2.0 mengalu-alukan langkah penambahbaikkan yang telah dilakukan oleh SPR.
top related