norhuda binti awang · 2013-11-19 · laporan projek ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian...
Post on 10-Apr-2019
219 Views
Preview:
TRANSCRIPT
PEMBINAAN DAN PENILAIAN KESESUAIAN MODUL
PEMBELAJARAN KENDIRI ELEKTROKIMIA (SIFAT
ELEKTROLIT DAN BUKAN ELEKTROLIT, ELEKTROLISIS
SEBATIAN LEBUR SERTA ELEKTROLISIS LARUTAN
AKUEUS) PADA PERINGKAT TINGKATAN EMPAT
NORHUDA BINTI AWANG
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
PEMBINAAN DAN PENILAIAN KESESUAIAN MODUL
PEMBELAJARAN KENDIRI ELEKTROKIMIA (SIFAT
ELEKTROLIT DAN BUKAN ELEKTROLIT, ELEKTROLISIS
SEBATIAN LEBUR SERTA ELEKTROLISIS LARUTAN AKUEUS)
PADA PERINGKAT TINGKATAN EMPAT
NORHUDA BINTI AWANG
Laporan projek ini dikemukakan
sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat penganugerahan
ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Kimia)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
MAC 2004
iii
DEDIKASI
Khas buat ayahanda (Awang Bin Abu Bakar) dan bonda
(Maimunah Binti Hj Nawi) terima kasih di atas segala pengorbanan.
Ahli keluarga (along,apin,nana,taufik dan ain) serta (kak wan dan
haris) yang banyak memberikan semangat dan dorongan.
Buat rakan-rakan seperjuangan
(zila,bib,na,annur,shima,lela,along,cik yah dan rin) moga
ukhwah yang terjalin disini akan kekal hingga ke akhir hayatku.
Buat semua yang terlibat, kejayaan yang diperolehi ini adalah
kejayaan kita bersama. Terima kasih di atas segala bantuan dan
doa yang diberikan selama ini.
iv
PENGHARGAAN
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya
serta berkat kesabaran, projek penyelidikan Pembinaan Dan Penilaian
Kesesuaian Modul Pembelajaran Kendiri Elektrokimia ( Sifat Elektrolit dan
Bukan Elektrolit, Elektrolisis Sebatian Lebur Serta Elektrolisis Larutan Akueus)
Pada Peringkat Tingkatan Empat ini dapat disiapkan dalam jangka masa yang
telah ditetapkan walaupun melalui pelbagai cabaran.
Ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Madya Dr.
Hj. Shaharom Bin Noordin sebagai Penyelia Projek Sarjana Muda yang sentiasa
memberi bimbingan, pandangan dan teguran yang membina dalam usaha
menyiapkan projek penyelidikan ini.
Seterusnya, terima kasih juga diucapkan khasnya kepada rakan-rakan
seperjuangan dan guru-guru yang terlibat di dalam projek penyelidikan ini.
Penghargaan juga ditujukan kepada semua yang terlibat secara langsung atau
tidak langsung dalam membantu menjayakan projek ini. Semoga jasa anda akan
diberkati oleh Allah S.W.T.
vi
ABSTRACT
The lack of quality learning materials in the teaching ang learning
process was the main factor that initiated this study on the construction of are
more in-depth Self-Learning Module (SLM). This research is done to develop
and evaluate the appropriateness of Self-Learning Module (SLM)
Electrochemistry for form Four Students of chemistry. There are three SLM
develop which are MPK 1: Sifat Elektrolit dan Bukan Elektrolit, MPK 2:
Elektrolisis Sebatian Lebur dan MPK 3: Elektrolisis Larutan Akueus. This SLM
Electrochemistry is develop based on Model Teras – Cabang Shaharom (1994).
These self instructional modules were evaluated by 16 chemistry teachers who
are the respondents in the study through two stage of formative evaluation: one
to one formative evaluation (OFE) and small group evaluative evaluation
(SGFE). Six Chemistry teachers were involved in the OFE and another 10
Chemistry teachers participated in the SGFE. Both formative evaluations were
carried out across two independent variables which are teaching duration and
gender. As an evaluation instrument “Soal Selidik Kesesuaian Modul
Pengajaran Kendiri (Guru) (Shaharom, 1994)” was used. Survey results are
presented in the means of maximum, minimum, mean and mean deviation. The
research indicated that SLM design is very appropriate at both levels of
evaluation the OFE and SGFE. The use of the SLM had offered implications to
the pupils, teachers and curriculum designers and even for the researcher herself.
v
ABSTRAK
Kekurangan bahan pembelajaran yang bermutu dalam proses pengajaran
dan pembelajaran (P&P) telah menyebabkan penyelidik terpanggil untuk
melakukan kajian terhadap pembinaan Modul Pembelajaran Kendiri (MPK)
secara lebih mendalam. Kajian ini dijalankan untuk membina dan menilai
kesesuaian Modul Pembelajaran Kendiri (MPK) Elektrokimia pada peringkat
Tingkatan Empat bagi para pelajar yang mengambil mata pelajaran Kimia.
Terdapat tiga MPK yang telah dibina iaitu MPK 1: Sifat Elektrolit dan Bukan
Elektrolit, MPK 2: Elektrolisis Sebatian Lebur dan MPK 3: Elektrolisis Larutan
Akueus. Modul Pembelajaran Kendiri ini dibina berasaskan Model Teras -
Cabang Shaharom (1994). Seterusnya MPK dinilai kesesuaiannya oleh 16 orang
guru Kimia sebagai responden kajian melalui dua peringkat penilaian formatif
iaitu penilaian formatif satu dengan satu (PFSS) dan penilaian formatif
kelompok kecil (PFKK). Seramai enam orang guru Kimia telah terlibat dalam
PFSS dan 10 orang guru Kimia dalam PFKK. Kedua-dua fasa penilaian formatif
yang telah dijalankan adalah merentas dua pemboleh ubah bebas iaitu tempoh
mengajar dan jantina. Satu set borang Soal Selidik Kesesuaian Modul
Pengajaran Kendiri (Guru) (Shaharom, 1994) dijadikan alat kajian. Analisis
statistik deskriptif berbentuk maksimum, minimum, min dan sisihan min
digunakan untuk menerangkan hasil dapatan kajian. Keputusan kajian
menunjukkan bahawa MPK yang dibina adalah amat sesuai pada fasa PFSS dan
PFKK. Penggunaan MPK ini telah memberi pelbagai implikasi yang positif
sama ada kepada pelajar, guru, penggubal kurikulum mahupun penyelidik
sendiri.
vii
KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
PENGESAHAN STATUS TESIS
PENGESAHAN PENYELIA
HALAMAN JUDUL i
HALAMAN PENGAKUAN ii
HALAMAN DEDIKASI iii
HALAMAN PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL xiii
SENARAI RAJAH xiv
SENARAI SINGKATAN xv
SENARAI LAMPIRAN xvi
BAB I PENGENALAN 1
1.0 Pendahuluan 1
1.1 Latar Belakang Masalah 3
1.1.1 Teks Yang Kurang Penglibatan 4
Pelajar
1.1.2 Gambarajah Yang Kurang 8
Penglibatan Pelajar
viii
1.1.3 Soalan Diakhir Bab Yang Kurang
Penglibatan Pelajar 10
1.1.4 Ringkasan Bab Yang Kurang
Penglibatan Pelajar 12
1.1.5 Aktiviti Yang Kurang Penglibatan
Pelajar 15
1.1.6 Objektif Pembelajaran Yang Kurang
Penglibatan Pelajar 17
1.2 Pernyataan Masalah 19
1.3 Objektif Kajian 19
1.4 Persoalan Kajian 20
1.5 Rangka Kerja Konsep 21
1.6 Kepentingan Kajian 22
1.6.1 Pusat Perkembangan Kurikulum 22
1.6.2 Pelajar 23
1.6.3 Guru 24
1.6.4 Institusi Pendidikan Guru 25
1.7 Skop Kajian 25
1.8 Takrifan 26
1.8.1 Bahan Pembelajran 26
1.8.2 Guru matapelajaran Kimia 27
1.8.3 Kesesuaian 27
1.8.4 Pembinaan 27
1.8.5 Tempoh Mengajar 27
1.8.6 Modul Pengajaran Kendiri 28
1.9 Rumusan 29
ix
BAB II SOROTAN PENULISAN 30
2.0 Pendahuluan 30
2.1 Teori Berkaitan Dengan Pembinaan MPK 31
2.1.1 Model-model Modul Pengajaran
Kendiri 31
2.1.1.1 Model Burns 31
2.1.1.2 Model De Vito 33
2.1.1.3 Model Eijl 34
2.1.1.3 Model Klingstedt 36
2.1.1.4 Model Meyer 38
2.1.2 Model Teras - Cabang 40
2.1.2.1 Bahagian Teras 41
2.1.2.2 Bahagian Cabang 43
2.1.2.3 Rasional Penggunaan
Model Teras - Cabang 47
2.1.3 Pembelajaran Penguasaan 48
2.1.4 Penilaian Formatif 52
2.1.4.1 PFSS 52
2.1.4.2 PFKK 54
2.1.4.3 PL 55
2.2 Kajian-kajian Yang Berkaitan Dengan
Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Bidang Kimia 57
2.2.1 Pembinaan dan Penilaian MPK
Dalam Bidang Kimia Di Dalam
Negara 57
2.2.2 Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Bidang Kimia Di Luar Negara 58
2.3 Kajian-kajian Yang Berkaitan Dengan
x
Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Bidang Fizik,Sains,Biologi dan Matematik 59
2.3.1 Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Bidang Fizik,Sains,Biologi dan
Matematik Di Dalam Negara 59
2.3.2 Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Bidang Fizik,Sains,Biologi dan
Matematik Di Luar Negara 64
2.4 Kajian-kajian yang Berkaitan Dengan
Pembinaan dan Penilaian MPK Dalam
Lain-lain Bidang di Dalam Negara 68
2.5 Rumusan 72
BAB III PENGKAEDAHAN 73
3.0 Pendahuluan 73
3.1 Kandungan MPK 73
3.1.1 MPK 1: Sifat Elektrolit dan
Bukan Elektrolit 74
3.1.2 MPK 2: Elektrolisis Sebatian Lebur 74
3.1.3 MPK 3: Elektrolisis Larutan Akueus 74
3.2 Subjek Kajian 75
3.3 Alat Kajian 75
3.4 Tatacara Kajian 76
3.4.1 Kajian Tahap Satu: Pembinaan MPK 79
3.4.2 Kajian Tahap Dua 81
3.4.2.1 Kajian Rintis 81
3.4.2.2 Penilaian Formatif 83
3.5 Analisis Data 85
xi
3.6 Andaian 86
3.7 Batasan Kajian 87
3.8 Rumusan 88
BAB IV KEPUTUSAN KAJIAN 89
4.0 Pendahuluan 89
4.1 Kajian Rintis 90
4.2 Penilaian Formatif Terhadap Kesesuaian
MPK Oleh Guru Kimia 91
4.2.1 Persoalan Kajian 1 92
4.2.2 Persoalan Kajian 2 93
4.3 Penilaian Formatif Merentas Tempoh
Mengajar 94
4.3.1 Persoalan Kajian 3 94
4.3.2 Persoalan Kajian 4 96
4.4 Penilaian Formatif Merentas Jantina 98
4.4.1 Persoalan Kajian 5 98
4.4.2 Persoalan Kajian 6 100
4.5 Rumusan 101
BAB V PERBINCANGAN, KESIMPULAN
DAN CADANGAN 104
5.0 Pendahuluan 104
5.1 Ringkasan dan Perbincangan 105
5.2 Kesimpulan 112
xii
5.3 Implikasi 113
5.3.1 Pelajar 113
5.3.2 Guru 115
5.3.3 Pengubal Kurikulum 115
5.4 Cadangan 116
5.5 Cadangan Penyelidikan Masa Depan 118
5.6 Rumusan 119
BIBLIOGRAFI 120
LAMPIRAN
Lampiran A – G 127
xiii
SENARAI JADUAL
NO. JADUAL TAJUK MUKA SURAT
1 Penilaian formatif satu dengan satu oleh 92
guru Kimia
2 Penilaian formatif kelompok kecil oleh 93
guru Kimia
3 Penilaian formatif satu dengan satu merentas 95
tempoh mengajar
4 Penilaian formatif kelompok kecil merentas 97
tempoh mengajar
5 Penilaian formatif satu dengan satu merentas 99
jantina
6 Penilaian formatif kelompok kecil merentas 101
jantina
7 Analisis PFSS dan PFKK Pengkaji Dengan 111
Pemboleh Ubah Bebas
xiv
SENARAI RAJAH
NO. RAJAH TAJUK MUKA SURAT
1 Takrifan Indeks 7
2 Rangka Kerja Konsep 21
3 Model Teras-Cabang Shaharom
(1994) 45
4 Rangka Kerja Keseluruhan
(Shaharom, 1994) 78
5 Rangka Kerja Tahap Satu
(Ubahsuai Radiah, 1999) 79
6 Rangka Kerja Kajian Pembinaan MPK
(Ubahsuai Shaharom, 1999) 80
7 Rangka Kerja Kajian Rintis
(Ubahsuai Sam, 1999) 82
8 Rangka Kerja Penilaian Formatif
(Ubahsuai Nor Rahimah, 2003) 84
xv
SENARAI SINGKATAN
FPK - Falsafah Pendidikan Kebangsaan
JERI - Jasmani Emosi Rohani Intelektual
JPK - Jadual Pemeringkatan Kesesuaian
KBSB - Kemahiran berfikir strategi berfikir
KBSR - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
KPM - Kementerian Pendidikan Malaysia
KHB - Kenahiran Hidup Bersepadu
MPK - Modul Pembelajaran Kendiri
P&P - Pengajaran dan Pembelajaran
PFKK - Penilaian formatif kelompok kecil
PFSS - Penilaian formatif satu dengan Satu
PBK - Pembelajaran Berbantukan Komputer
PKEE - Pengajaran Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
PL - Penilaian Lapangan
PPK - Pusat Perkembangan Kurikulum
SPM - Sijil Pelajaran Malaysia
L - Lelaki
P - Perempuan
< - Kurang daripada
≥ - Lebih atau sama daripada
xvi
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA SURAT
A Soal Selidik Kesesuaian Modul Pengajaran 127
Kendiri (MPK) Guru
B Jadual Pemeringkatan Kesesuaian MPK 132
Untuk Guru
C Tajuk Modul Pembelajaran Kendiri (MPK) 133
D Pengesahan Pakar Bidang 135
E Surat Memohon Kebenaran Menjalankan Kajian 136
di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
Surat Jawapan Kebenaran Menjalankan Kajian
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
F Surat Memohon Kebenaran Menjalankan Kajian 137
di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor
Surat Jawapan Kebenaran Menjalankan Kajian
oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor
G Huraian Sukatan Pelajaran Kimia 139
BAB I
PENGENALAN
1.0 Pendahuluan
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan untuk
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
supaya dapat melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan bermoral tinggi .
Hasrat ini telah termaktub di dalam FPK. Dalam merealisasikan pembinaan
insan seperti yang dihasratkan itu, pendidikan Kimia dalam KBSR dan KBSM
diwacanakan agar berupaya membentuk rakyat Malaysia yang seimbang
daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2001).
Apa yang penting untuk membina asas kepada kemajuan Malaysia
menjelang abad ke 21 ialah menyediakan satu masyarakat yang berilmu atau
knowledge society. Ilmu pengetahuan memainkan peranan yang penting dalam
menghadapi perubahan yang akan datang malah telah diakui bahawa ilmu
adalah satu sumber kuasa (Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, "Ke Arah Sistem
Pendidikan Yang Unggul: Cabaran dan Masa Depan", 26 Mei 1994).
Dengan ini, untuk merealisasikan hasrat FPK, Pihak Kementerian
Pendidikan perlulah mengkaji , sejauh manakah bahan pembelajaran yang
terdapat pada masakini sesuai digunakan bagi melahirkan para pelajar yang
berwawasan dan selaras dengan kehendak kurikulum?
Menurut Okey (1978) keciciran pelajar dalam pembelajaran disebabkan
pelbagai faktor seperti bahan pembelajaran yang kurang sesuai, organisasi
kandungan kurang terancang, persekitaran bilik darjah kurang menggalakkan
dan ketidakpelbagaian dalam kaedah pengajaran yang diamalkan oleh guru.
Pada masakini terdapat banyak bahan pembelajaran yang kurang sesuai untuk
para pelajar. Contohnya, bahan rujukan yang terdapat di pasaran kurang bermutu
kerana kandungannya kurang melibatkan pelajar berfikir dan terlibat secara aktif
tetapi lebih banyak kepada konsep ingatan dan hafalan.
Menurut Abdul Shukor & Yunus (1990) "buku teks pula merupakan
salah satu bahan rujukan penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P). Walaupun peranan buku teks dari segi proses P&P pada masakini
menghadapi saingan dari alat-alat atau media elektronik seperti komputer, radio,
television dan video, namun ia masih merupakan bahan yang penting dan luas
digunakan oleh murid dan guru. Oleh itu buku teks masih merupakan bahan
pengantungan bagi guru dan murid".
Namun begitu terdapat pandangan yang berbeza bagi sesetengah para
pelajar dalam penggunaan buku teks. Menurut Abdul Rahman dan Abdul Aziz
(1989) "bagi pelajar yang berjaya dan telah mencapai prestasi yang baik dalam
peperiksaan SPM menyatakan bahawa mereka tidak bergantung kepada buku
teks semasa belajar untuk meghadapi peperiksaan. Sebaliknya pelajar yang
sederhana atau rendah pencapaian dalam peperiksaan SPM menyuarakan
sebaliknya, mereka menyatakan bahawa buku teks adalah penting sebagai bahan
untuk menghadapi peperiksaan".
Oleh itu bahan P&P yang lebih berkesan boleh dibina untuk kegunaan
para pelajar. Bahan P&P yang dimaksudkan disini ialah Modul Pembelajaran
Kendiri (MPK) yang mempunyai banyak kelebihan. Menurut Shaharom & Yap
(1992) antaranya ialah membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran menurut
kadar dan kebolehan sendiri, memilih cara pembelajaran (learning mode) yang
paling sesuai untuk diri pelajar, menyediakan pilihan dalam pelbagai tajuk yang
terdapat dalam sesuatu mata pelajaran dan membolehkan pelajar mengenal pasti
kelebihan dan kelemahan mereka".
1.1 Latar Belakang Masalah
Setiap bahan P&P perlu menekankan aspek yang boleh
memperkembangkan potensi individu supaya para pelajar dapat membentuk
daya pemikiran kreatif, inovatif, logik dan analitis seperti yang dikehendaki oleh
FPK. Buku teks merupakan bahan P&P utama Kimia KBSM. Buku teks ditulis
dengan persembahan maklumat, fakta dan aktivitinya sejajar dengan semangat
dan aspirasi P&P Kimia yang berasaskan pendekatan inkuiri berlandaskan
kesepaduan yang dihasratkan dalam KBSM.
Walaupun begitu bahan P&P yang telah sedia ada mempunyai banyak
kelemahan (Shaharom & Yap, 1992). Oleh itu, kajian tentang bahan P&P perlu
dilaksanakan bagi menghasilkan bahan P&P yang benar-benar dapat membantu
pelajar dalam proses P&P. Di antara kelemahan-kelemahan bahan P&P yang
telah dikenal pasti termasuklah:
1.1.1 Teks Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Penggunaan bahan pembelajaran dalam P&P pada masakini telah banyak
membantu para pelajar untuk dimanfaatkan dalam sesuatu mata pelajaran yang
dipelajari oleh mereka. Namun begitu, tidak semua bahan pembelajaran yang
ada dapat memenuhi tuntutan mereka. Ini disebabkan dalam sesebuah bahan
pembelajaran yang dihasilkan masih lagi terdapat beberapa kelemahan dari segi
isi kandungannya.
Berdasarkan kepada penilaian Abd. Kadir (2001) ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 5 KBSM (Norbani dan Loh , 1997), indeks
penglibatan para pelajar di dalam teks ini ialah It = 0.33. Berdasarkan Jadual 1.1,
nilai indeks ini menunjukkan bahawa teks ini kurang melibatkan para pelajar
untuk berfikir kerana ia banyak melibatkan fakta, tafsiran, rumusan penulis,
arahan untuk menjalankan aktiviti dan tidak mengutarakan isu tertentu yang
memberi peluang kepada para pelajar untuk mereka cipta atau mengemukakan
cadangan aktiviti para pelajar itu sendiri. Selain itu, ia juga lebih bersifat
autoritarian, kurang mencabar dan tidak bersifat inkuiri penemuan. Teks ini
lebih menekankan kepada penghafalan dan takrifan sahaja. Oleh yang demikian,
langkah yang sistematik perlu diambil untuk mempelbagaikan teks di dalam
buku teks yang menekankan kemahiran berfikir dan strategi berfikir di kalangan
para pelajar.
Suriani (2002) pula telah melakukan analisis ke atas buku teks berjudul
Kemahiran Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan para pelajar di dalam teks ini ialah It = 0.06.
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks ini menunjukkan bahawa teks di dalam
buku ini hanya berfungsi untuk menyampaikan pengetahuan dan maklumat
kepada para pelajar. Manakala aras kognitif yang dilibatkan pula terlalu rendah,
iaitu peringkat kefahaman dan pengetahuan sahaja. Teks tersebut adalah semata-
mata berbentuk fakta dan soalan. Teks sebegini adalah kurang mencabar
pemikiran para pelajar. Ini membuktikan penglibatan para pelajar untuk teks
adalah terlalu kurang dan hanya untuk dihafal sahaja. Oleh itu, teks ini perlu
diubahsuai dengan menambah soalan-soalan yang dapat meningkatkan sifat
inkuiri para pelajar dan seterusnya dapat menggalakkan penglibatan para pelajar
dalam proses pembelajaran secara aktif.
Choo (2001) telah membuat analisis kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 4 KBSM (Sulaiman dan Yew , 1991). Indeks
penglibatan para pelajar untuk teks ialah It = 0.05. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai
yang menghampiri sifar ini menunjukkan bahawa teks ini hampir tiada
penglibatan para pelajar. Ia lebih bersifat autoritarian dan kurang mencabar
pemikiran para pelajar. Para pelajar hampir tidak mempunyai peluang untuk
berfikir, meneroka, menemui dan menyiasat. Kebanyakan teks ini hanya
memberi penekanan kepada hafalan dan takrifan sahaja. Oleh itu, buku teks ini
tidak sesuai digunakan oleh guru-guru dan para pelajar dalam proses P&P.
Untuk menggalakkan penglibatan para pelajar di dalam teks, para pelajar
seharusnya diberi peluang untuk menganalisis data, menyelesaikan masalah,
membuat generalisasi, meneroka dan sebagainya. Ini bertujuan untuk
menggalakkan para pelajar berfikir dan menimbulkan sikap ingin tahu di dalam
diri para pelajar.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Berdasarkan Jadual 1.1,
nilai indeks penglibatan para pelajar untuk teks ialah It = 0.03. Ini menunjukkan
kandungan buku ini lebih menjurus kepada penerangan dan penyampaian
maklumat dan terlalu sedikit penglibatan pelajar di dalam teks. Oleh itu, teks
yang mengandungi terlalu banyak penerangan tidak mampu untuk
mengembangkan pemikiran para pelajar yang kritis dan kreatif sebagaimana
yang dikehendaki oleh kurikulum pendidikan negara.
Tan (2002) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Sains (Kamariah dan Lau , 1989). Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks
penglibatan para pelajar untuk teks ialah It= 0.25. Ini menunjukkan kandungan
teks adalah kurang mencabar dan kurang melibatkan para pelajar dalam proses
pembelajaran. Kebanyakan kandungan teks adalah terdiri daripada kenyataan
fakta, kesimpulan, takrifan dan soalan-soalan yang senang. Manakala kenyataan
yang perlu melibatkan tindakan para pelajar adalah kurang seperti soalan
menganalisis data, kenyataan yang perlu merumuskan kesimpulan sendiri dan
soalan aplikasi. Ini akan menyebabkan para pelajar hanya belajar secara hafalan
dan ingatan sahaja. Bloom dan rakan-rakan (1956) telah mencadangkan
taksanomi yang terdiri daripada tiga kelas kemahiran iaitu kognitif, afektif dan
psikomotor. Oleh yang demikian teks dalam sesebuah buku teks sewajarnya
mengandungi tahap-tahap taksonomi berikut.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan , Loo dan Kunaratnam; 1992).
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap teks
ialah It = 0.15. Nilai ini menunjukkan bahawa teks yang telah terkandung dalam
buku teks ini adalah autoritarian dan kurang mencabar. Kandungan teks ini
berbentuk fakta, generalisasi dan takrifan sehinggakan para pelajar tidak
berpeluang untuk merumuskan sesuatu konsep. Oleh itu, teks yang
berorientasikan penglibatan pelajar pasti akan dapat menjana naluri ' ingin tahu',
membetulkan konsep yang salah dan seterusnya mengasah konsep kemahiran
menyiasat yang merupakan intipati kemahiran proses sains.
Jadual 1.1 : Takrifan Indeks
Indeks Tafsiran
0 Tiada penglibatan para pelajar
< 0.40 Autoritarian dan kurang mencabar, para pelajar kurang
dilibatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
1.00 Buku teks yang ideal (seimbang) di antara kenyataan-
kenyataan yang tiada penglibatan para pelajar dengan
kenyataan-kenyataan yang memerlukan pemikiran
para pelajar.
> 1.50 Buku yang tiada isi kandungan dan mengandungi
terlalu banyak soalan. Data dan maklumat untuk para
pelajar belajar dengan berkesan tidak cukup.
Infiniti Setiap kenyataan dan setiap gambarajah memerlukan
para pelajar membuat analisis kerana tiada isi
kandungan.
Sumber : Romey (1968)
1.1.2 Gambarajah Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Suriani (2002) telah melakukan analisis ke atas buku teks bertajuk
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan para pelajar di dalam gambarajah ialah Ig =
0.04. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks ini menunjukkan kebanyakan
gambarajah yang terdapat di dalam buku ini hanya digunakan untuk tujuan
penerangan eksperimen dan teks sahaja. Jumlah gambarajah yang dapat
merangsang para pelajar melakukan aktiviti adalah terlalu sedikit. Boleh
dikatakan gambarajah yang terdapat di dalam buku teks ini kurang merangsang
pemikiran dan aktiviti para pelajar. Oleh itu, kuantiti gambarajah yang dapat
merangsang dan mengembangkan pemikiran para pelajar perlu dipertingkatkan
lagi agar minat para pelajar untuk mempelajari mata pelajaran Kimia bertambah.
Choo (2001) pula telah membuat analisis kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan Yew , 1991). Indeks penglibatan
para pelajar untuk gambarajah ialah Ig = 0.52. Berdasarkan Jadual 1.1, indeks
penglibatan para pelajar untuk gambarajah ini berada di antara tahap yang
kurang memuaskan dengan tahap ideal. Walau bagaimanapun, penglibatan para
pelajar boleh dikatakan masih kurang memuaskan dan tidak mencukupi. Ini
adalah kerana angka 0.52 lebih menghampiri nilai 0.40 (tahap kurang
memuaskan) berbanding nilai 1.00 (tahap ideal). Kebanyakan data yang terdapat
di dalam buku ini hanya bertujuan menerangkan sesuatu konsep, dan bukan
memerlukan para pelajar melakukan aktiviti dan menggunakan data. Oleh itu,
gambarajah yang memberi penerangan sahaja harus diganti dengan gambarajah
yang memerlukan para pelajar melakukan sesuatu aktiviti atau menggunakan
data. Gambarajah yang menarik dan sesuai adalah penting kerana ia bukan
sahaja dapat memudahkan pemahaman, malah berupaya untuk menarik minat
para pelajar terhadap sesuatu konsep yang abstrak.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Berdasarkan Jadual 1.1,
nilai indeks penglibatan para pelajar untuk gambarajah ini ialah Ig = 0.33. Nilai
ini menunjukkan kandungan gambarajah buku ini lebih menjurus kepada
penggunaan gambarajah sebagai mengukuhkan penerangan dan penyampaian
maklumat yang terdapat di dalam teks atau di dalam aktiviti. Hanya sebahagian
kecil daripada gambarajah yang memerlukan para pelajar melakukan sesuatu
aktiviti. Oleh itu, penggunaan gambarajah yang menarik dapat menarik minat
para pelajar untuk mempelajari mata pelajaran Kimia ini.
Tan (2002) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Sains (Kamariah dan Lau , 1989). Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks
penglibatan para pelajar untuk gambarajah ialah Ig = 0.41. Nilai indeks ini
menunjukkan kebanyakan gambarajah adalah untuk tujuan penerangan sahaja.
Manakala gambarajah yang perlu para pelajar melakukan sesuatu aktiviti adalah
sedikit. Ini juga menunjukkan penglibatan para pelajar dalam proses
pembelajaran adalah rendah. Oleh itu, pihak penerbitan seharusnya
meningkatkan lagi penggunaan gambarajah sebagai cara menggambarkan bahan
pengajaran dan pembelajaran serta sebagai asas perbandingan dengan bahan di
dalam buku teks yang lain. Kemahiran membanding ini boleh menghasilkan
pendapat yang berlainan mengenai salah satu tajuk dan membolehkan mereka
membuat penilaian mereka sendiri dengan pemikiran yang kreatif dan kritis.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan , Loo dan Kunaratnam; 1992).
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap
gambarajah Ig = 0.62. Tafsiran indeks ini menunjukkan bahawa gambarajah
yang terdapat di dalam buku ini lebih bertujuan untuk memberi penerangan
sahaja manakala peluang para pelajar melakukan sesuatu aktiviti atau
menggunakan data daripada gambarajah adalah terhad. Implikasinya,
gambarajah yang terdapat di dalam buku ini adalah lebih bersifat autoritarian
dan kurang mencabar kemahiran berfikir para pelajar. Walau bagaimanapun,
gambarajah yang memerlukan penglibatan para pelajar dalam aktiviti atau
penggunaan data perlu diperbanyakkan untuk merangsang para pelajar
melakukan sesuatu aktiviti kerana proses P&P yang disarankan dalam Sains
KBSM adalah berteraskan kepada proses pembelajaran melalui pengalaman atau
aktiviti yang dilakukan secara langsung oleh para pelajar.
1.1.3 Soalan Di Akhir Bab Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Suriani (2002) telah melakukan analisis ke atas buku teks berjudul
Kemahiran Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan pelajar di dalam soalan ini ialah Is = 2.32.
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks penglibatan para pelajar yang besar ini
menunjukkan bahawa buku ini kekurangan isi kandungan dan mengandungi
terlalu banyak soalan. Data dan maklumat untuk para pelajar belajar dengan
lebih berkesan juga tidak mencukupi. Kebanyakan daripada soalan tersebut
adalah aras tinggi yang memerlukan para pelajar untuk menyelesaikan masalah
dan mengaplikasikan pelajaran yang dipelajari ke keadaan yang baru. Bilangan
soalan yang melibatkan pengetahuan dan kefahaman para pelajar juga adalah
agak kurang. Dengan ini, soalan yang mempunyai aras yang tinggi perlulah
diseimbangkan dengan soalan aras rendah agar para pelajar tidak merasakan
bahawa mata pelajaran Kimia adalah subjek yang amat sukar.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Berdasarkan Jadual 1.1,
nilai indeks penglibatan para pelajar untuk soalan di akhir bab ialah Is = 1.79.
Nilai indeks ini menunjukkan soalan yang disediakan di akhir setiap bab
merupakan soalan-soalan yang memerlukan para pelajar menyelesaikan sendiri
masalah yang dikemukakan atau mengaplikasikan pembelajaran kepada keadaan
yang berlainan. Oleh itu, soalan-soalan ini hendaklah diselaraskan aras
ketinggiannya supaya para pelajar dapat menjawab soalan-soalan yang
dikemukakan ini.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan , Loo dan Kunaratnam; 1992).
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap
soalan di akhir bab Is = 0.77. Daripada tafsiran indeks ini, didapati kebanyakan
soalan di dalam buku ini kurang mencabar kerana kebanyakan soalan
memerlukan tafsiran atau jawapan terus daripada teks. Terdapat juga soalan
yang mengkehendaki para pelajar mengaplikasikan pembelajaran dari bab
berkenaan ke situasi yang baru dan soalan berkaitan penyelesaian masalah tetapi
hanya terhad dalam soalan berbentuk stuktur atau esei berbanding dengan jenis
objektif. Dengan ini jawapan segera daripada teks perlulah dikurangkan
sekiranya kemahiran melakukan penyiasatan ingin disuburkan di kalangan para
pelajar.
Wan Norliza (2002) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku
teks bertajuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sains tingkatan 2 (Lim ,
Choo, Poh dan Abdul Razak; 1990). Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar
terhadap soalan di akhir bab ialah Is = 0.25. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks
ini menunjukkan soalan-soalan di akhir bab boleh didapati terus daripada buku
teks. Aras kognitif para pelajar yang dilibatkan adalah terlalu rendah. Soalan-
soalan yang memerlukan para pelajar mengaplikasikan pembelajaran dari satu
bab ke bab yang seterusnya adalah terlalu sedikit. Salah satu cara untuk
membolehkan para pelajar belajar menyelesaikan masalah dan mengaplikasikan
pembelajarannya ke dalam keadaan sebenar ialah dengan mewujudkan soalan-
soalan yang mencabar mindanya dan menggunakan pengetahuan yang telah
dipelajarinya.
Hamimah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sains tingkatan 4 (Lau ,
Kamariah dan Chong; 1998). Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap
soalan di akhir bab ialah Is = 0.16. Berdasarkan Jadual 1.1, tafsiran indeks ini
menunjukkan bahawa buku teks ini menyediakan soalan yang tidak mencabar
minda dan kebolehan para pelajar. Kebanyakan soalan yang disediakan adalah
soalan yang memerlukan hafalan para pelajar dan terdapat di dalam teks yang
disediakan. Soalan-soalan ini juga terdiri daripada aras kesukaran yang rendah.
Soalan-soalan yang terdapat di dalam buku teks tersebut boleh diperbaiki
dengan menambahkan soalan-soalan aras tinggi dalam Taksonomi Bloom
seperti menganalisis, mengsintesis dan membuat penilaian.
1.1.4 Ringkasan Bab Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Menurut Abd Kadir (2001), penilaian yang di buat ke atas buku teks
bertajuk Kimia tingkatan 5 (Norbani dan Loh , 1997), menunjukkan indeks
penglibatan para pelajar dalam ringkasan bab, ialah Ir = 0.09. Berdasarkan
Jadual 1.1, nilai yang diperolehi ini menunjukkan bahawa aspek ringkasan bab
hampir tidak melibatkan para pelajar untuk berfikir dan menyiasat dengan lebih
mendalam. Ini kerana ringkasan bab banyak mengulangi isi penting dan kurang
menimbulkan persoalan atau isu baru yang menarik minat para pelajar untuk
bertanya atau mencari maklumat. Oleh itu, ringkasan bab dalam buku ini kurang
sesuai dan wajar diperbaiki dengan mengutarakan persoalan atau isu yang boleh
menimbulkan rasa ingin tahu dan minat yang tinggi untuk mencari jawapan
sama ada di dalam buku teks atau daripada sumber-sumber yang lain.
Suriani (2002) telah melakukan analisis ke atas buku teks berjudul
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan para pelajar di dalam ringkasan bab ini ialah Ir
= 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1, ringkasan di akhir bab ini hanya mengulangi
semua isi penting kandungan setiap bab tanpa mengemukakan soalan-soalan
baru yang mampu meningkatkan minat dan mencabar minda para pelajar.
Ringkasan bab juga tidak seharusnya hanya mengulangi kesimpulan bab dan
menyenaraikan isi penting pembelajaran sahaja kerana ia boleh menyebabkan
para pelajar berasa bosan disebabkan tiada pengetahuan baru yang diperolehi
oleh mereka. Oleh itu, ia perlu diselitkan dengan soalan-soalan baru yang mana
jawapannya tidak terdapat di dalam teks. Usaha ini penting kerana secara tidak
langsung para pelajar akan berminat untuk mengetahui dan mengkaji perkara
yang berkaitan dengan pelajaran yang dipelajarinya dengan lebih mendalam dan
terperinci.
Choo (2001) pula telah melakukan analisis kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan Yew Gin Gee, 1991). Indeks
penglibatan para pelajar di dalam ringkasan bab ini ialah Ir = 0.00. Berdasarkan
Jadual 1.1, nilai indeks ini menunjukkan bahawa ringkasan bab dalam buku ini
langsung tidak melibatkan para pelajar untuk berfikir. Ia hanya mengulangi
fakta-fakta penting dalam setiap bab untuk memudahkan para pelajar mengenal
pasti isi-isi penting dan seterusnya menghafal fakta yang ada. Oleh itu,
ringkasan bab yang hanya mengulangi fakta-fakta penting dalam teks perlu
diubahsuai dengan mengemukakan soalan-soalan baru yang jawapannya tidak
terdapat di dalam teks. Dengan ini para pelajar hendaklah membuat rujukan
kepada bahan pembelajaran yang lain seperti majalah, surat khabar,
eksaiklopedia dan sebagainya.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Nilai indeks penglibatan
para pelajar untuk ringkasan bab ialah Ir = 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai
indeks ini menunjukkan kandungan ringkasan bab buku ini lebih menjurus
kepada pengulangan dan pengukuhan kepada penerangan dan kandungan teks.
Pada bahagian ringkasan bab ini, ia tidak memerlukan penglibatan para pelajar.
Seharusnya ringkasan bab mengandungi permasalahan yang menguji bab
berkenaan dengan pengalaman pelajar.
Tan (2002) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Sains (Kamariah dan Lau , 1989). Nilai indeks penglibatan para pelajar
untuk ringkasan bab ialah Ir = 0.50. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks ini
menunjukkan hanya sedikit sahaja melibatkan pemikiran para pelajar dalam
proses pembelajaran. Kebanyakan fakta ringkasan adalah hanya mengulangi
kesimpulan bab dan kurang mengemukakan isu-isu semasa yang berkaitan.
Seharusnya ringkasan bab mengandungi permasalahan yang menguji bab
berkenaan dengan pengalaman para pelajar. Ia harus mempunyai pelbagai aras
kemahiran kognitif, afektif dan psikomotor. Cabaran ini akan lebih menarik
minat para pelajar untuk mengkaji dengan lebih mendalam fakta-fakta dari
sumber yang berlainan.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan , Loo dan Kunaratnam; 1992).
Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap ringkasan bab Ir = 0.00.
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai sifar ini menunjukkan bahawa ringkasan bab di
dalam buku ini langsung tidak melibatkan aktiviti para pelajar. Ringkasan bab
ini hanya sekadar mengulangi kesimpulan bab tanpa mengemukakan soalan baru
di mana jawapannya tidak terdapat di dalam buku teks. Justeru, penekanan
kepada 'bagaimana kita mengetahui' dan bukan sekadar 'apa yang kita ketahui'
perlu digarapkan dengan mengemukakan soalan-soalan baru di mana
jawapannya tidak terdapat di dalam buku teks tetapi memerlukan para pelajar
untuk merujuk kepada bahan lain atau melakukan penyiasatan secara kreatif dan
krirtis.
1.1.5 Aktiviti Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Suriani (2002) telah melakukan analisis ke atas buku teks bertajuk
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan para pelajar di dalam aktiviti ialah Ia =0.82.
Berdasarkan Jadual 1.1, indeks penglibatan para pelajar di dalam aktiviti ini
adalah agak memuaskan tetapi perlu diperbaiki lagi. Aktiviti-aktiviti di dalam
buku ini disediakan dalam pelbagai bentuk seperti eksperimen, soalan latihan
dan projek kelas. Namun begitu, aktiviti yang dicadangkan di dalam buku ini
hanya tertumpu kepada aktiviti makmal atau kelas sahaja.
Walaupun penglibatan para pelajar untuk aktiviti agak memuaskan,
namun ia perlu diperbanyakan lagi. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang disediakan
tidak sepatutnya bersifat terlalu formal dan hanya tertumpu kepada aktiviti-
aktiviti yang dilakukan di dalam makmal atau kelas sahaja seperti eksperimen
dan soalan latihan. Sebaliknya aktiviti-aktiviti luaran yang berkaitan dengan
pelajaran yang dapat memupuk minat dan sifat ingin tahu para pelajar perlu
disediakan. Inisiatif ini juga dapat membuka minda para pelajar tentang aplikasi
pelajaran di dalam kehidupan sehariannya.
Choo (2001) pula telah melakukan analisis kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan Yew , 1991). Indeks penglibatan
para pelajar di dalam aktiviti ini ialah Ia = 0.64. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai Ia
yang diperolehi berada di antara tahap yang kurang memuaskan dengan tahap
ideal. Ini menunjukkan bahawa bilangan aktiviti yang terdapat di dalam buku
teks ini kurang mencukupi dan memerlukan penglibatan para pelajar. Oleh itu,
aktiviti-aktiviti yang melibatkan para pelajar harus diperbanyakan lagi. Sebaik-
baiknya, perlu terdapat sekurang-kurangnya satu aktiviti dalam setiap muka
surat. Aktiviti boleh berbentuk perbincangan kumpulan, kerja amali, projek dan
sebagainya.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Nilai indeks penglibatan
para pelajar untuk aktiviti ialah Ia = 0.48. Berdasarkan Jadual 1.1, takrifan
indeks ini menunjukkan kandungan aktiviti buku ini berada di antara tahap yang
kurang memuaskan dengan tahap ideal, di mana aktiviti yang melibatkan para
pelajar adalah kurang mencukupi. Namun begitu ia masih memerlukan aktiviti
yang lebih mencabar dan menggalakkan para pelajar berfikir bagi mengukuhkan
lagi sesuatu konsep yang dipelajari. Aktiviti bukan sahaja merupakan aplikasi
daripada fakta tetapi ia adalah huraian daripada fakta dan diaplikasikan di dalam
kehidupan seharian.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan , Loo dan Kunaratnam; 1992).
Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap aktiviti ini ialah Ia = 1.29.
Berdasarkan Jadual 1.1, nilai indeks ini memberi gambaran bahawa buku ini
agak seimbang di antara kenyataan-kenyataan yang tiada penglibatan para
pelajar dengan kenyataan-kenyataan yang melibatkan pemikiran para pelajar.
Walaubagaimanapun, pengarang buku juga boleh mempelbagaikan bentuk
aktiviti. Contohnya, mengarahkan para pelajar sendiri merangka sesuatu
eksperimen, sekaligus membantu menyuburkan keupayaan mengsintesis dan
mereka cipta bagi para pelajar. Para pelajar perlu diberi kebebasan dan peluang
untuk mereflek dan menerangkan pengalamannya semasa menjalankan aktiviti
dan seterusnya membuat hipotesis, inferens, menganalisis dan mentafsir data.
Winnie (2002) telah membuat penilaian kuantitatif buku teks berjudul
Sains tingkatan 4 (Chong , Law dan Noor Hayatee, 2001). Nilai indeks bagi
penglibatan para pelajar terhadap aktiviti ini ialah Ia =0.37. Berdasarkan Jadual
1.1, ini menunjukkan bahawa buku teks ini masih bersifat autoritarian dan
kurang mencabar. Para pelajar kurang dilibatkan dalam proses P&P. Aktiviti-
aktiviti yang terdapat adalah terhad dan tidak mencabar pemikiran para pelajar.
Kebanyakan aktiviti dalam buku teks ini adalah berbentuk terpimpin, iaitu para
pelajar menurut arahan-arahan yang terdapat di dalam aktiviti yang disediakan.
Oleh yang demikian, aktiviti yang berbentuk seperti penerokaan, penyiasatan
dan perbincangan perlu ditambah agar penglibatan para pelajar dapat
dipertingkatkan.
1.1.6 Objektif Pembelajaran Yang Kurang Penglibatan Para Pelajar
Suriani (2002) telah melakukan analisis ke atas buku teks bertajuk
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan
Yew , 1991). Indeks penglibatan para pelajar di dalam objektif pembelajaran
ialah IO = 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1, tiada sebarang objektif pembelajaran
yang dinyatakan pada mana-mana bab di dalam buku teks kimia ini. Ini
menyebabkan para pelajar belajar tanpa mengetahui matlamat sebenar
pembelajaran mereka. Oleh itu, objektif pembelajaran perlu disediakan pada
bahagian permulaan setiap bab agar para pelajar tahu matlamat pembelajaran
mereka. Dengan ini para pelajar dapat mengesan isi kandungan buku yang
berkualiti dan tidak berkualiti serta dapat menfokuskan pembelajaran dengan
lebih baik lagi.
Choo (2001) pula telah melakukan analisis kuantitatif ke atas buku teks
berjudul Kimia Tingkatan 4 (Sulaiman dan Yew , 1991). Indeks penglibatan
para pelajar di dalam objektif pembelajaran ini ialah Io = 0.00. Berdasarkan
Jadual 1.1, nilai yang diperolehi ini menunjukkan bahawa buku teks ini tidak
menyediakan objektif pembelajaran bagi semua bab yang terkandung di
dalamnya. Oleh itu, tanpa objektif pembelajaran, buku ini tidak sesuai untuk
digunakan oleh guru-guru dan para pelajar. Objektif pembelajaran memainkan
peranan yang amat penting dalam memberi maklumat mengenai apa yang akan
dipelajari dalam sesuatu bab kepada para pelajar. Objektif pembelajaran ini
boleh disampaikan dalam bentuk peta minda. Peta minda dapat menunjukkan
dengan jelas konsep-konsep yang akan dipelajari dan bagaimana konsep-konsep
tersebut berkait di antara satu sama lain.
Maznah (2001) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
bertajuk Kimia Tingkatan 5 (Norbaini dan Loh , 1988). Nilai indeks penglibatan
para pelajar untuk objektif pembelajaran ialah Io = 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1,
nilai indeks ini menunjukkan bahawa buku ini tidak menyediakan objektif
pembelajaran secara khusus. Ia tidak melibatkan para pelajar berfikir secara
aktif. Namun begitu, di bahagian pengenalan bab terdapat sedikit penerangan
yang meliputi keseluruhan bab. Objektif pembelajaran adalah sangat penting
untuk memberi panduan kepada proses pengajaran, menerangkan tujuan
pengajaran kepada orang lain dan memberi arah, panduan dan cara untuk
menilai pembelajaran para pelajar.
Sharifah (2000) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku teks
berjudul KBSM Sains tingkatan 5 (Norhan, Tan, Loo dan Kunaratnam; 1992).
Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar terhadap objektif pembelajaran ialah
Io = 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1, nilai sifar ini menggambarkan bahawa tiada
objektif pembelajaran dinyatakan dalam setiap bab dalam buku ini. Objektif
pembelajaran perlu dinyatakan secara nyata (eksplisit) bukan secara tersirat agar
proses P&P akan lebih berfokus dan berkesan. Sekiranya, pengarang
menentukan objektif yang ingin dicapai terlebih dahulu ini dapat membantu para
pelajar mendalami sesuatu konsep dan proses pembelajaran para pelajar juga
akan terfokus kepada apa yang ingin dicapai.
Wan Norliza (2002) telah membuat penilaian kuantitatif ke atas buku
teks bertajuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sains tingkatan 2 (Lim,
Choo, Poh dan Abdul Razak; 1990). Nilai indeks bagi penglibatan para pelajar
terhadap objektif pembelajaran ialah Io = 0.00. Berdasarkan Jadual 1.1, tafsiran
indeks ini menunjukkan bahawa semua bab di dalam buku teks ini tidak
menyediakan objektif pembelajaran untuk para pelajar. Mereka tidak diberitahu
apa yang sepatutnya mereka pelajari daripada sesuatu bab. Dengan ini mereka
tiada matlamat dalam mempelajari sesuatu bab. Oleh itu, objektif pembelajaran
perlu diterbitkan bagi menentukan hala tuju bab yang akan dipelajari oleh para
pelajar dan guru-guru.
1.2 Pernyataan Masalah
Kajian yang dijalankan adalah untuk mengenal pasti kesesuaian MPK
Elektrokimia yang dibina bagi mata pelajaran Kimia sebagai bahan P&P bagi
sekolah menengah pada peringkat tingkatan empat. Ketiga-tiga MPK yang
dibina bagi tajuk Elektrokimia ini ialah MPK 1 : Sifat Elektrolit dan Bukan
Elektrolit, MPK 2: Elektrolisis Sebatian Lebur dan MPK 3: Elektrolisis Larutan
Akueus
1.3 Objektif Kajian
Di antara objektif kajian ini ialah:
1. Membina tiga MPK bagi mata pelajaran Kimia Tingkatan Empat
bagi tajuk Elektrokimia mengikut Huraian Sukatan Pelajaran KBSM
Tingkatan Empat (KPM, 2001) iaitu:
MPK 1 : Sifat Elektrolit dan Bukan Elektrolit
MPK 2 : Elektrolisis Sebatian Lebur
MPK 3 : Elektrolisis Larutan Akueus
2. Menilai tahap kesesuaian MPK Elektrokimia yang dibina untuk para
pelajar tingkatan empat yang mengambil mata pelajaran Kimia.
3. Menilai tahap kesesuaian MPK Elektrokimia yang dibina untuk para
pelajar tingkatan empat oleh guru-guru merentas tempoh mengajar.
4. Menilai tahap kesesuaian MPK Elektrokimia yang dibina untuk para
pelajar tingkatan empat oleh guru-guru merentas jenis jantina.
1.4 Persoalan Kajian
Di dalam kajian ini, perkara-perkara berikut telah dikenal pasti:
1. Adakah Penilaian Formatif Satu Dengan Satu (PFSS) oleh guru-guru
ke atas MPK Elektrokimia menunjukkan ia sesuai digunakan sebagai
bahan P&P dalam mata pelajaran Kimia untuk tingkatan empat?
2. Adakah Penilaian Formatif Kelompok Kecil (PFKK) oleh guru-guru
ke atas MPK Elektrokimia menunjukkan ia sesuai digunakan sebagai
bahan P&P dalam mata Pelajaran Kimia untuk tingkatan empat?
3. Adakah terdapat perbezaan terhadap status kesesuaian MPK
Elektrokimia dalam Penilaian Formatif Satu Dengan Satu (PFSS)
oleh guru-guru mata pelajaran Kimia merentas tempoh mengajar?
4. Adakah terdapat perbezaan terhadap status kesesuaian MPK
Elektrokimia dalam Penilaian Formatif Kelompok Kecil (PFKK)
oleh guru-guru mata pelajaran Kimia merentas tempoh mengajar?
5. Adakah terdapat perbezaan terhadap status kesesuaian MPK
Elektrokimia dalam Penilaian Formatif Satu Dengan Satu (PFSS)
oleh guru-guru mata pelajaran Kimia merentas jenis jantina?
6. Adakah terdapat perbezaan terhadap status kesesuaian MPK
Elektrokimia dalam Penilaian Formatif Kelompok Kecil (PFKK)
oleh guru-guru mata pelajaran Kimia merentas jenis jantina?
top related