pantun melayu: bingkisan permata
Post on 16-Apr-2017
453 Views
Preview:
TRANSCRIPT
BMS 3022 KARYA AGUNG MELAYU
TAJUK:
PANTUN MELAYU: BINGKISAN PERMATA
AMIE BINTI GABRA D20121057964
WI GEOK MEI D20121057965
MOHAMMAD FAIZOL BIN MOHAMED KHAN D20121057975
WONG NYET YUNG D20121057980
MUHAMMAD ILYAS BIN TALIB D20121057995
AT05: PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
SEMESTER 2
SESI 2015/2016
KUMPULAN A
PENSYARAH
DR. SERI LANANG JAYA BIN HJ ROHANI
ISI KANDUNGAN
Sub topik Halaman
1.0 Pengenalan 1
2.0 Aspek-aspek yang terdapat dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata
2.1 Pemikiran 2
2.2 Falsafah 5
2.3 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup 7
2.4 Estetika dan Kepengarangan 12
2.5 Nilai Ilmu 18
3.0 Kesimpulan 21
RUJUKAN 22
1
1.0 Pengenalan
Bingkisan Permata terdiri daripada 4000 pantun daripada berbagai-bagai jenis dan bentuk,
yang meliputi tema dan isi yang luas dan pelbagai. Harun Mat Piah (2001) menyatakan
bahawa Bingkisan Permata merupakan tajuk kecil daripada judul koleksi ini disesuaikan
dengan konsep “bingkisan” dalam tradisi dan budaya Melayu. Bingkisan bermakna
hadiah atau cenderamata yang disampaikan bersama-sama surat atau warkah. Anologinya
ialah sebuah cerana perak yang diisikan dengan batu-batu permata yang pelbagai jenis
dan warna, dihias dan digubah, disertakan dengan sepucuk surat untuk disampaikan
kepada seseorang yang dikasihi dan dihormati.
Menurut Harun Mat Piah (2001), pantun-pantun dalam koleksi ini merupakan rasa
hati yang secara tradisi disampaikan melaliu lisan tetapi ditulis dan dirakam untuk
disampaikan kepada khalayak yang dihormati. Pantun Melayu juga merupakan suatu
bentuk perlambangan untuk menunjukkan keindahan dan ketinggian mutu ciptaan pantun
sebagai daya cipta dan penglahiran fikiran masyarakat Melayu.
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir(2007:51), pantun merupakan sejenis
puisi Melayu lama yang berangkap yang jika terdiri daripada empat baris bagi setiap
rangkap, maka dua baris pertama itu dikenali sebagai sampiran atau ayat pembayang dan
dua baris yang seterusnya pula mengandungi maksud yang dikenali sebagai ayat maksud.
Terdapat empat pecahan yang dibincangkan dalam Bingkisan Permata. Pecahan pertama
ialah Bingkis Pemula (Awal Bismillah Pembuka Bicara), (Alam dan Kehidupan Kanak-
Kanak) dan ( Teka-teki, Jenaka dan Sindiran). Seterusnya ialah Bingkis Bicara (Adat dan
Etika), (Budi dan Adab), (Agama dan Pengajaran), (Peribahasa, Kiasan, dan Ibarat) dan
( Perantauan dan Nasib) manakala pecahan yang ketiga merupakan Bingkis Kasih ( Cinta
Bersemi), (Hasrat Tercapai) dan (Cinta Terhalang). Pecahan yang terakhir ialah Bingkis
Penutup ( Tanggapan dan Renungan), ( Salam Perpisahan) dan (Harapan).
2
2.0 Aspek-aspek yang terdapat dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata
2.1 Pemikiran
Menurut Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd. Rahman bin Napiah dan Mohd. Rashid
bin Md. Idris (2016), pemikiran di dalam karya bermaksud subjek yang dibawakan oleh
pengarang. Hal ini demikian kerana pemikiran bermula daripada idea dan pengalaman
yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti justeru dijelmakan
menjadi persoalan dan tema sesebuah karya. Jelaslah bahawa daripada situlah ia akan
dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan
idealisme pengarang. Malah tidak dapat dinafikan bahawa setiap pengarang mempunyai
cara yang tersendiri dalam memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian
menjelmakannya pula menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
Pantun Melayu Bingkisan Permata menekankan pemikiran mengenai kepercayaan
dan keimanan kepada Allah sebagai asas kehidupan manusia. Hal ini dapat dibuktikan
dalam pantun Melayu yang ke-875 dan 876 seperti yang berikut:
Asam kandis asam gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang.
Asamnya kandis asam gelugur
Ketiga dengan asam remenia
Nyawa menangis di pintu kubur
Hendak kembali ke dalam dunia.
(Pantun Melayu, 2001:137)
Pantun ini menggambarkan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan kepada
mereka yang tidak mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia.Pantun ini
menjadi pengajaran kepada masyarakat Melayu supaya tidak meninggalkan solat.Hal ini
amatlah penting memandangkan menunaikan solat merupakan rukun Islam yang kedua
dan wajib dilakukan oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam.
3
Contoh lain yang membuktikan bahawa pengarang menekankan pemikiran
mengenai kepercayaan dan keimanan kepada Allah sebagai asas kehidupan manusia
dapat dilihat dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata yang ke- 869 seperti yang berikut:
Angin bertiup kembangkan layar
Haluan menuju ke Pekan
Hendaklah hidup berikhtiar
Kemudian serahkan Tuhan.
(Pantun Melayu, 2001:136)
Pantun di atas ini membawa maksud bahawa masyarakat Melayu yang mendidik anak-
anak muda dan masyarakat supaya rajin berusaha dalam melakukan sesuatu kerja.Malah
selepas berusaha, barulah berserah kepada Allah. Hal ini adalah disebabkan oleh
masyarakat Melayu yang percaya bahawa setiap kerja yang dilakukan dengan
bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil pada akhirnya. Pantun ini juga menjelaskan
bahawa masyarakat Melayu yang percaya kepada qada dan qadar seiring dengan rukun
iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.Jelaslah bahawa pemikiran
mengenai kepercayaan dan keimanan kepada Allah sebagai asas kehidupan manusia telah
ditekankan oleh pengarang dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata.
Selain itu, Pantun Melayu Bingkisan Permata turut menekankan pemikiran
mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam hubungan sesama manusia.Hal ini dapat
dibuktikan apabila segala perlakuan dan tingkah laku masyarakat yang wajar dan tidak
wajar dilakukan telah diungkapkan dalam pantun Melayu tersebut.Tujuan pantun Melayu
yang membawa pemikiran mengenai tingkah laku dan moral manusia adalah untuk
dijadikan sebagai pengajaran dan teladan kepada masyarakat justeru dapat dipraktikkan
dalam kehidupan seharian. Contoh pantun yang menekankan pemikiran mengenai
tingkah laku dan moral dapat dilihat dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata yang ke-
96 iaitu:
Ayun anak ayun
Ayun sampai hujung serambi
Bangun anak bangun
Jangan tidur meninggi hari.
(Pantun Melayu, 2001: 19)
4
Pantun Melayu yang ke-96 ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu yang tidak
membudayakan tidur sehingga lewat hari atau sehingga matahari naik.Hal ini demikian
kerana waktu selepas subuh merupakan masa untuk golongan Melayu mencari rezeki.
Mereka percaya bahawa amalan tidur sehingga lewat hari akan menutup pintu rezeki
mereka.
Antara contoh lain yang menekankan pemikiran mengenai tingkah laku dan moral
manusia dalam hubungan sesama manusia dapat dibuktikan dalam pantun Melayu yang
ke- 141 dan 142. Misalnya,
Burung kenek-kenek
Terbang pokok birah
Pesan datuk nenek
Jangan bantah cakap ayah.
Burung kenek-kenek
Terbang ke pucuk tebu
Pesan datuk nenek
Jangan derhaka pada ibu.
(Pantun Melayu, 2001: 25)
Pantun di atas membuktikan bahawa masyarakat Melayu amatlah menitikberatkan
hubungan anak-anak terhadap orang tuanya tak kiralah sama ada terhadap ibu mahupun
bapa. Hal ini dapat diperjelaskan dengan lebih lanjut lagi apabila generasi-generasi yang
muda dinasihati supaya menghormati kedua-dua ibu bapa kita kerana mereka merupakan
insan yang telah banyak menabur bakti kepada anak-anak di samping adat menghormati
kepada ibu bapa merupakan salah satu budaya yang telah pun ditanam dalam diri
masyarakat.
Seterusnya, pemikiran lain yang dikemukakan oleh pengarang dalam Pantun
Melayu Bingkisan Permata ialah menitikberatkan ilmu pengetahuan. Masyarakat Melayu
amatlah mementingkan pendidikan terutamanya kepada generasi yang lebih muda.Malah
generasi yang lebih tua seperti datuk dan nenek sering memberi pesanan kepada cucunya
supaya sentiasa belajar rajin-rajin. Hal ini dapat dibuktikan dalam pantun Melayu yang
ke-139 seperti yang berikut:
5
Burung kenek-kenek
Terbang atas pagar
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin pergi belajar.
(Pantun Melayu, 2001: 25)
Contoh lain yang menunjukkan bahawa pengarang amatlah menitikberatkan ilmu
pengetahuan dapat dilihat dalam pantun Melayu yang ke-851 seperti yang berikut:
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
Akan bekalan hari kemudian.
(Pantun Melayu, 2001: 134)
Pantun di atas membuktikan bahawa masyarakat Melayu amat mementingkan pendidikan
dan ilmu pengetahuan.Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu digalakkan supaya
menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh justeru dapat menjadikan ilmu pengetahuan
sebagai bekalan pada masa hadapan.Jelaslah bahawa masyarakat amatlah digalakkan
untuk menuntut ilmu kerana masyarakat yang berilmu ini lebih tidak mudah untuk ditipu.
2.2 Falsafah
Menurut Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd. Rahman bin Napiah dan Mohd. Rashid
bin Md. Idris (2016), falsafah membawa maksud cinta kepada ilmu dan kebenaran.
Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk
mendapatkan kebenaran."Berfalsafah" merujuk kepada mencari kebenaran dari
kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir
secara radikal, sistematik dan sejagat.Oleh itu, seseorang itu boleh dikatakan telah
memasuki falsafah apabila seseorang itu berfikir sedemikian dalam menghadapi masalah
dalam hubungannya dengan mencari kebenaran.Mekanisme falsafah secara mudahnya
dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam.Sehubungan
dengan itu, falsafah membincangkan sesuatu secara terperinci dengan tujuan untuk
mendapat jawapan yang benar terhadap sesuatu perkara.
Antara bidang falsafah yang diberi penekanan dalam Pantun Melayu Bingkisan
Permata ialah sosial.Bidang sosial ini dapat dibuktikan apabila pantun Melayu yang
6
dikaji ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu yang lebih menekankan hutang budi
berbanding dengan hutang harta kerana hutang budi membawa nilai yang lebih besar. Hal
ini dapat dilihat dalam pantun Melayu yang ke-633 iaitu:
Anyam ketupat bawa belayar
Diletak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati.
(Pantun Melayu, 2001: 101)
Jelaslah bahawa pantun di atas membawa maksud bahawa masyarakat Melayu
menanamkan prinsip hutang budi yang tidak mampu dibayar dan dibawa
mati.Penegasnya, masyarakat Melayu menekankan bahawa segala jenis hutang-piutang
berbentuk harta benda boleh dibayar tetapi bukan hutang budi.
Manakala contoh pantun yang lain yakni turut menekankan bidang falsafah sosial
pula dapat dilihat dalam pantun Melayu yang ke-1000 seperti yang berikut:
Kapal Anjiman dari China
Singgah bermuat papan jati
Amal dan iman biar sempurna
Tidaklah jadi sesal di hati.
(Pantun Melayu, 2011: 157)
Pantun Melayu ini memberi nasihat kepada masyarakat bahawa amal dan iman seseorang
biarlah sempurna kerana hidup manusia tidak akan sempurna apabila amal dan iman tidak
dimiliki, diasah dan diperbaiki. Amal bererti perbuatan atau tindakan baik yang memberi
manfaat kepada pelakunya di dunia dan balasan pahala yang berlipat di
akhirat.Sebaliknya, iman pula membawa maksud percaya yakni kepercayaan kepada
Allah.Jelaslah bahawa pantun Melayu ini menekankan bahawa golongan masyarakat
Melayu amatlah menitikberatkan amal dan iman dalam kehidupan manusia.
Selain itu, falsafah bidang lain yang dapat dilihat ialah etika. Hal ini dapat dilihat
dalam pantun Melayu yang ke-885 iaitu:
7
Banyak orang pergi menjala
Mencari orang di dalam parit
Jagalah diri jangan tercela
Rosak nama bangsa terpalit.
(Pantun Melayu, 2001: 139)
Pantun di atas memberi pengajaran kepada masyarakat Melayu supaya menjaga maruah
diri.Hal ini termasuklah nilai-nilai murni yang telah tersemai dalam diri anggota
masyarakat sejak turun-temurun. Hal ini amatlah penting kerana akhlah dalam sesebuah
masyarakat sama ada baik ataupun tidak boleh mempengaruhi pandangan masyarakat
yang lain terhadap sesebuah masyarakat tersebut. Sekiranya maruah seseorang itu telah
tercela, secara tidak langsungnya ia turut boleh mempengaruhi sesebuah masyarakat
tersebut.
Penggunaan falsafah bidang etika dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata yang
lain turut dapat dilihat dalam pantun Melayu yang ke-1046 seperti yang berikut:
Menanam bunga di dalam pasu
Bunga melati dan bunga pandan
Jangan ikut hawa nafsu
Kelak nanti binasa badan.
(Pantun Melayu, 2001: 164)
Pantun Melayu yang ke-1046 ini memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak
mengikut hawa nafsu semasa melakukan sesuatu.Hal ini demikian kerana masyarakat
yang mengikut hawa nafsu semasa melakukan sesuatu tanpa memikirkan secara
mendalam terlebih dahulu boleh membawa kepada akibat yang buruk.Lantaran itu,
masyarakat dinasihati supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.
2.3 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Budaya merupakan elemen yang membezakan manusia daripada hidupan yang lain.
Secara umumnya, budaya adalah daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang
merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau
akal.Budaya membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia
secara amnya.Sebaliknya, budaya membawa maksud segala sesuatu yang dibawa atau
dikerjakan oleh manusia dalam pengertian yang luas.Jelaslah bahawa budaya mempunyai
8
hubungan yang erat dengan masyarakat dan segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah
masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki
oleh masyarakat itu sendiri. (Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd. Rahman bin Napiah
dan Mohd. Rashid bin Md. Idris: 2016)
Sebagai tambahan, budaya merupakan sesuatu yang diperturunkan daripada satu
generasi ke generasi yang seterusnya. Budaya turut merujuk kepada keseluruhan
pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan,
keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah
masyarakat. Sehubungan dengan itu, budaya boleh dianggap sebagai satu konsep
menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila,
undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia
sebagai anggota masyarakat. (Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd. Rahman bin
Napiah dan Mohd. Rashid bin Md. Idris: 2016)
Adat resam merupakan salah satu nilai budaya yang boleh didapati dalam pantun
Melayu yang dikaji ini.Antara adat resam yang boleh dilihat ialah adat meminang yang
merupakan adat yang penting dalam golongan masyarakat Melayu.Malah tidak dapat
dinafikan bahawa kehidupan bermasyarakat pada zaman dahulu banyak menerapkan
sikap bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Ekoran daripada itu, pihak yang
terlibat biasanya akan melakukan rundingan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan
itu dibuat. Hal ini bertujuan supaya keputusan yang dibuat mendapat persetujuan
daripada semua pihak yang terlibat. Contoh pantun Melayu yang menekankan adat
meminang dapat dilihat dalam pantun yang ke-501 seperti yang berikut:
Anak India membawa madat
Dari Kedah langsung ke Bali
Hidup manusia biar beradat
Bahasa tidak berjual beli.
(Pantun Melayu, 2001: 79)
Selain itu, adat resam yang turut dapat dilihat dalam pantun Melayu yang dikaji
ini ialah adat menghormati pembesar.Adat ini merupakan adat yang sering diamalkan
apabila sesuatu majlis yang dijalankan melibatkan golongan istana. Contoh pantun
9
Melayu yang menekankan adat menghormati pembesar dapat dibuktikan dalam pantun
yang ke-43 iaitu:
Limau purut jatuh ke lembah
Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh menjunjung duli.
(Pantun Melayu, 2001: 11)
Pantun ini menjelaskan bahawa golongan yang diperintah amatlah menitikberatkan adat
menghormati pembesar ini kepada golongan yang memerintah.Ekoran daripada itu,
rakyat yang biasa ini haruslah menghormati kepada pembesar mahupun sultan apabila
menghadap dengan golongan yang memerintah ini.
Sebagai tambahan, adat mengenang budi turut diberi ukuran yang tinggi dalam
kalangan masyarakat.Hal ini berlaku disebabkan oleh golongan masyarakat Melayu yang
amat mementingkan adat mengenang budi terhadap orang yang telah berjasa kepadanya
di samping supaya tidak diibaratkan sebagai kacang lupakan kulit. Adat mengenang budi
ini dapat dibuktikan melalui pantun Melayu yang ke-687 seperti yang berikut:
Burung empat disangka enam
Ibunya lari membawa sarang
Sakit diubat mati ditanam
Itu budi dikenang orang.
(Pantun Melayu, 2001: 108)
Menurut Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd. Rahman bin Napiah dan Mohd.
Rashid bin Md. Idris (2016), pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai
pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut
pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Sebaliknya, menurut
pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas dalam Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani,
Abd. Rahman bin Napiah dan Mohd. Rashid bin Md. Idris (2016), pandangan hidup
mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu,
pandangan hidup dari perspektif Islam merujuk kepada pandangan tentang realiti atau
hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
10
Pandangan hidup turut merujuk kepada suatu konsep yang dimiliki oleh
masyarakat atau komuniti tertentu dengan tujuan untuk menanggapi dan menerangkan
segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam.Tidak dapat
dinafikan bahawa pandangan hidup masyarakat Melayu lazimnya turut melibatkan
hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama
manusia.Pandangan hidup tentang manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian, iaitu
tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. (Seri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Abd.
Rahman bin Napiah dan Mohd. Rashid bin Md. Idris: 2016).
Pandangan hidup masyarakat Melayu yang dapat dilihat ialah berpegang dengan
institusi kekeluargaan.Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu beranggapan bahawa
institusi kekeluargaan merupakan organisasi yang asas dalam membentuk masyarakat
yang berpegang kepada agama Islam. Hal ini dapat diperjelaskan dengan lebih lanjut lagi
apabila sesebuah institusi kekeluargaan yang wujud sama ada bahagia ataupun tidak
boleh mempengaruhi pegangan agama anak-anak dalam kekeluargaan tersebut. Bak kata
pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya", jelaslah bahawa sesebuah institusi
kekeluargaan tersebutlah yang akan menentukan pegangan agama anak-anak. Contoh
pantun Melayu yang berpegang dengan institusi kekeluargaan dapat dilihat dalam pantun
yang ke-562 iaitu:
Mengala sudah cahaya merata
Lalu sampai ke birai telaga
Muafakatlah seia sekata
Tanda hidup berkeluarga.
(Pantun Melayu, 2001: 90)
Selain itu, masyarakat Melayu turut mementingkan kasih sayang dalam
kehidupan.Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat Melayu telah menggunakan pantun
sebagai alat dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan.Sehubungan dengan itu, ibu
bapa memainkan peranan yang penting sebagai sumber rezeki dalam sesebuah
keluarga.Hal ini amatlah penting supaya segala keperluan anak-anak adalah mencukupi
justeru anak-anak telah diberi kasih sayang dan penjagaan yang baik oleh ibu bapa
mereka.Hal ini selaras dengan matlamat ibu bapa untuk menjadikan anak-anak sebagai
individu yang berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
11
Contoh pantun Melayu yang mementingkan kasih sayang dapat dilihat dalam pantun
yang ke-2288 iaitu :
Pokok pauh dari Surati
Bunga selasih dalam cerana
Jangan susah di dalam hati
Kalau kasih tidak ke mana.
(Pantun Melayu, 2001:353)
Di samping itu, masyarakat Melayu juga amat mementingkan bersatu padu dalam
melakukan sesuatu perkara.Masyarakat Melayu yang berganding bahu secara tidak
langsungnya dapat menangani masalah yang timbul seperti masalah sosial, kebajikan dan
seumpamanya.Tidak dapat dinafikan bahawa sikap bekerjasama dan tolong-menolong
merupakan sifat yang harus dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat tanpa mengira
darjat dan kedudukan. Hal ini demikian kerana amalan kerjasama ini boleh membawa
kepada cara hidup masyarakat yang lebih baik, bertimbang rasa, dan semangat perpaduan
antara satu sama lain. Dengan itu, setiap anggota masyarakat haruslah mengamalkan
sikap muafakat, bertoleransi dan berlapang dada dalam melakukan segala perkara
kebaikan dan meninggalkan amalan yang boleh membawa keburukan dan mudarat
kepada diri dan orang lain. Contoh pantun Melayu yang mementingkan amalan bersatu
padu dapat dilihat dalam pantun yang ke-3803 iaitu,
Ribut-ribut bawa pukat
Melihat gelung di Selat Jawa
Kita hidup tanda muafakat
Tolong-menolong tanda sejiwa.
(Pantun Melayu,2001:578)
Seterusnya, pandangan hidup lain yang dapat dilihat ialah kepentingan menepati
janji. Masyarakat Melayu amat mementingkan amalan menepati janji kerana berpendapat
bahawa janji yang dilakukan perlu ditepati mengikut perancangan dan masa yang telah
ditetapkan. Amalan menepati janji ini melibatkan semua pihak sama ada janji anak
kepada ibu bapa mahupun janji kepada pasangan masing-masing. Janji anak kepada ibu
bapa adalah berusaha untuk menjadi seorang anak yang mampu memberi sumbangan
kepada bangsa dan negara.Sebaliknya, janji kepada pasangan masing-masing adalah
seperti setia dan membuat persediaan ke arah kehidupan yang lebih baik. Contoh pantun
12
Melayu yang menekankan kepentingan menepati janji dapat dilihat dalam pantun yang
ke-3195 iaitu,
Kain batik negeri seberang
Dipakai anak Tanah Melayu
Apa ertinya kasih dan sayang
Kalaulah adik berjanji palsu.
(Pantun Melayu, 2001:486)
2.4 Estetika dan Kepengarangan
Dalam sesebuah karya, aspek estetika dan kepengarangan adalah sangat penting. Menurut
Seri Lanang Jaya Hj.Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016:91),
estetik berhubung dengan aspek keindahan, iaitu yang terdapat pada struktur, pengolahan
dan teknik penulisan.Estetik atau keindahan juga merupakan suatu sifat dan ciri sastera
yang terpenting.Selain itu, estetika juga merangkumi rasa keindahan, keseronokan,
kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang
mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan
terpahat dalam pemikiran.
1. Terdapat beberapa nilai estetika dalam „Pantun Melayu: Bingkisan Permata’.
a.) Pantun terdapat dalam berpasangan dan berangkap. Antaranya ialah pantun dua
kerat,pantun empat kerat, pantun lapan kerat dan pantun empat belas kerat. Contoh bagi
setiap pantun adalah seperti berikut:
i. Pantun dua kerat
Ada hujan ada panas
Ada hari boleh balas.
( Pantun Melayu,2001:15)
ii. Pantun empat kerat
Cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
( Pantun Melayu,2001:26)
13
iii. Pantun enam kerat
Bukit ini Bukit Temenggung
Banyak bergantungan sarang lebah
Diambil, dihantar ke Langsa
Sakit ini tiada tertanggung
Janganlah lagi ditambah-tambah
Kelak badanku rosak binasa.
( Pantun Melayu,2001:469)
iv. Pantun lapan kerat
Buat bangsal di tengah hutan
Tebaslah hutan buat halaman
Di tepi halaman menanam kandis
Diselang dengan pokok papaya
Biarlah sabar dengan perlahan
Itulah tanda tuan beriman
Tidak patah digoncang iblis
Akhirnya tuan menang berjaya.
( Pantun Melayu,2001:82)
v. Pantun empat belas kerat
Karatau madang berbulu
Berbulu berbungan belum
Berbunga ketika repak
Habis repak, bingkuang pula
Bingkuang ambil ke Bengkalai
Bengkalai anak rang Kota Lola
Kota kecil jalan ke Selida
Merantau anak dahulu
Di rumah berguna belum
Berguna ketika sesak
Lepas sesak terbuang pula
Terbuang lagi berpakai
Berpakai waktu kau menolong
Kurang tolong terbuang saja.
( Pantun Melayu,2001:255)
b.) Pantun mengekalkan rima a-b-a-b pada kedudukan akhir tetapi terdapat juga pantun
yang berima a-a-a-a.
14
i. Pola a-b-a-b
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
Akan bekalan hari kemudian.
( Pantun Melayu,2001:134)
ii. Pola a-a-a-a
Anak dara menimba perigi
Putus timba tinggalkan tali
Biarlah jiwa kakanda pergi
Asalkan tuan teguhkan janji.
( Pantun Melayu,2001:374)
c.) Terdapatnya penggunaan unsur-unsur retorik iaitu teknik-teknik keindahan yang
terbina melalui penggunaan majaz, metafora, simile, personifikasi, ironi, hiperbola,
metonimi dan lain-lain. Contohnya adalah seperti berikut:
Tinggi gunung kampong Melayu
Setangan pelekat pinggir Peringgi
Ibarat burung di pohon kayu
Mau dipikat terlalu tinggi.
( Pantun Melayu,2001:371)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat terdapatnya penggunaan simile.Tujuannya
adalah untuk membandingkan sesuatu.Pada baris ketiga, perkataan „ibarat’ merupakan
perumpamaan yang telah digunakan dalam pantun itu.
Limau purut jatuh ke lembah
Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
Jari sepuluh menjunjung duli.
( Pantun Melayu,2001:11)
15
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat terdapatnya penggunaan personifikasi. Menurut
Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2007:87), personifikasi ialah sejenis gaya bahasa
perbandingan, iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang atau sifat-sifat
manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang
yang tidak bernyawa, atau idea yang abstrak. Pada baris ketiga, perkataan ‘pinang’ dan
‘sirih’ ialah benda manakala perkataan ‘mengadap’ dan ‘menyembah’ pula merupakan
sifat manusia. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang telah menggunakan ‘pinang’ dan
‘sirih’ untuk melakukan perbuatan manusia iaitu perbuatan mengadap dan menyembah.
d.) Terdapatnya unsur-unsur perulangan. Contohnya adalah seperti berikut:
Jikalau kena dengan tetaknya
Macam mana nyirih tak rapat
Jikalau kena dengan mintanya
Macam mana sirih tak dapat?
( Pantun Melayu,2001:370)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bahawa perkataan ‘jikalau’ pada baris pertama
telah diulang pada baris ketiga.Begitu juga dengan perkataan „macam mana’ pada baris
kedua juga telah diulang pada baris keempat.Hal ini menunjukkan berlakunya perulangan
dalam pantun tersebut.
Kepengarangan ialah mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk
kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Seri Lanang Jaya Hj.Rohani, Abd.
Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016:91) juga menyatakan bahawa
kepengarangan memperlihatkan bagaimana cara pengarang berkarya dan membina
kekuatan dirinya. Dalam karya Pantun Melayu Bingkasan Permata ini juga
memperlihatkan kepengarangan Harun Mat Piah dalam mengkaji tentang pelbagai pantun.
1. Nilai kepengarangan dalam „Pantun Melayu Bingkisan Permata’.
a.) „Pantun Melayu Bingkisan Permata‟ terbahagi kepada empat bahagian iaitu bingkis
pemula, bingkis bicara, bingkis kasih dan bingkis penutup. Setiap bahagian dalam buku
ini menunjukkan nilai kepengarangan yang tersendiri dan unik. Contohnya adalah seperti
berikut:
16
i. Bingkis Pemula
Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara
( Pantun Melayu,2001:13)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bahawa pantun tersebut boleh digunakan untuk
memulakan bicara, majlis atau warkah.Pantun jenis ini sangat sesuai dipersembahkan
pada awal majlis sebagai mengucapkan selamat datang dalam sesebuah majlis.
ii. Bingkis Bicara
Dari Melaka ke Kuala Lanar
Pergi meraih buah kuran
Jangan takut bercakap benar
Kerana itu tanda kejujuran.
( Pantun Melayu,2001:145)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bahawa pantun tersebut mempunyai unsur
pengajaran yang boleh dipelajari. Pantun ini telah mengajar pembaca untuk bercakap
benar terhadap semua perkara. Hal ini demikian kerana bercakap benar merupakan tanda
kejujuran seseorang itu.Oleh itu, kita harus mengaplikasikan bercakap benar dalam
kehidupan seharian.
iii. Bingkis Kasih
Buah kuini jatuh tercampak
Jatuh menimpa bunga selasih
Biar bertahun dilambung ombak
Tidak kulupa pada yang kasih.
( Pantun Melayu,2001:384)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bahawa pantun tersebut menceritakan tentang
kasih yang tidak pernah dilupa.Pengarang telah menyatakan bahawa walaupun masa telah
berlalu lama tetapi kasih itu tetap tidak dapat dilupakan.
iv. Bingkis Penutup
Ajung landai kemudi landai
17
Landai mari terheret duri
Adik pandai saya pun pandai
Jangan pula meninggi diri.
( Pantun Melayu,2001:540)
Pantun di atas memberikan pengajaran kepada pembaca.Pengajarannya ialah jangan
bersikap sombong dengan kelebihan yang ada. Sekiranya seseorang itu bersikap sombong
dengan kelebihan yang ada, maka mereka akan tidak disukai oleh orang lain. Oleh itu,
kita tidak haruslah bersikap sombong dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri.
b.) Terdapat isi pantun yang pelbagai bentuk
i. Bentuk Jenaka
Apa kena bulan tak terang?
Terlindung pokok kekabu
Apa kena abang tak datang?
Abang terkurung dalam kelambu.
( Pantun Melayu,2001:17)
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat bahawa terdapatnya unsur jenaka dalam pantun
tersebut.Pada baris keempat telah menunjukkan unsur jenaka apabila jawapan yang diberi
ialah abang terkurung dalam kelambu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:710)
menyatakan bahawa kelambu merupakan sejenis kain kasa yang dipasang menyelubungi
tempat tidur.
ii. Bentuk nasihat
Gunung Daik Nampak berjajaran
Nampak dari segala pecan
Jikalau baik ambil akan pelajaran
Jikalau jahat segera buangkan.
( Pantun Melayu,2001:150)
Pantun di atas menunjukkan terdapatnya bentuk nasihat dalam pantun yang dinyatakan
itu.Pantun ini memberi nasihat kepada para pembaca agar mempelajari perkara yang baik
manakala perlakuan yang tidak baik harus kita buangkan dengan segera.
18
iii. Bentuk peribahasa
Harimau belang mengejar rusa
Rusa makan di daun muda
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan merasa.
( Pantun Melayu,2001:207)
Pantun di atas menunjukkan terdapat bentuk peribahasa dalam Pantun Melayu Bingkisan
Permata.Peribahasa yang digunakan ialah „sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan
merasa‟. Maksud bagi peribahasa ini ialah kerana perbuatan orang lain kita dapat
kecelakaannya.
iv. Bentuk sindiran
Apa guna berkain batik
Kalau tidak memakai capal
Apalah guna beristeri cantik
Kalau tak pandai menumbuk sambal.
( Pantun Melayu,2001:55)
Pantun di atas menunjukkan terdapatnya bentuk sindiran dalam pantun tersebut.Dalam
pantun tersebut menyatakan tiada gunanya kalau isteri sangat cantik sedangkan isteri
yang cantik itu tidak pandai memasak.
2.5 Nilai Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081), nilai merujuk kepada darjat, kualiti,
mutu dan taraf. Menurut Seri Lanang Jaya Hj.Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd
Rashid Md. Idris (2016:151), nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik
atau buruk dan betul dan salah.Bagi perkataan „ilmu‟ pula, Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010:567) menyatakan bahawa ilmu merujuk kepada pengetahuan dalam perkara dunia,
akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Secara keseluruhannya, nilai ilmu merupakan taraf
pengetahuan, kepandaian atau kajian tentang sesuatu perkara sama ada secara tersirat atau
tersurat. Nilai ilmu yang terdapat dalam Pantun Melayu Bingkisan Melayu adalah seperti
berikut:
19
a.) Ilmu melalui pantun teka-teki
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1629), teka-teki merujuk kepada soalan
yang dikemukakan secara samar-samar dan rumit yang jawapannya harus diduga. Secara
ringkasnya, teka-teki bertujuan untuk menduga dan menguji keupayaan fikiran dan akal
seseorang.Pada biasanya, jawapan teka-teki adalah menarik dan kelakar.Pantun teka-teki
yang terdapat dalam buku Pantun Melayu Bingkisan Permata merupakan teka-teki
tradisional yang mungkin belum pernah didengar oleh masyarakat kini. Contohnya
adalah seperti berikut:
Bawa kerakap dengan batangnya
Buat bekal pergi ke bendang
Cuba teka apa binatangnya
Berbunyi seperti gong dan gendang.
( Pantun Melayu,2001:55)
Buah kundur di dalam raga
Orang tak tahu mengata semangka
Siang tidur malam berjaga
Kalau tahu cubalah teka.
( Pantun Melayu,2001:57)
b.) Ilmu agama
Nilai ilmu agama turut dimasukkan dalam Pantun Melayu Bingkisan Melayu bagi
dijadikan panduan kepada para pembaca.Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:14)
menyatakan bahawa agama merupakan kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta
kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya.Nilai ilmu agama yang
terdapat dalam sesebuah pantun itu harus dijadikan panduan oleh para pembaca.
Contohnya adalah seperti berikut:
Anak ayam turun satu
Mati seekor habislah sudah
Masuk ke syurga Tuhan Yang Satu
Mudah-mudahan diperkenankan Allah.
20
( Pantun Melayu,2001:135)
Asam kandis asam gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis ,ayat di pintu kubur
Teringat badan tidak bersembahyang.
( Pantun Melayu,2001:137)
c.) Ilmu peribahasa
Dalam Pantun Melayu Bingkisan Melayu, ilmu peribahasa turut diselitkan sebagai
pengetahuan tambahan kepada para pembaca. Menurut Rosli Saludin (2014), peribahasa
merupakan suatu kiasan atau bunga dalam kata-kata yang mampu menggambarkan
sesuatu maksud yang tertentu. Maksud yang dibawa itu berlainan daripada makna
asal.Peribahasa secara umumnya merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah,
bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan yang masing-masing membawa
maksud yang tertentu. Contohnya adalah seperti berikut:
Anak tupai terlompat-lompat
Dari semak ke tepi jalan
Yang dikejar tiada didapat
Yang dikendong berciciran.
( Pantun Melayu,2001:187)
Bunga mawar sedang mekar
Bunga melur jauh terasing
Bagai enau dalam belukar
Melepaskan pucuk masing-masing.
( Pantun Melayu,2001:196)
21
3.0 Kesimpulan
Secara kesimpulan, keempat-empat pecahan dalam Bingkisan Permata ini merupakan
keistimewaan yang terdapat dalam karya Harun Mat Piah. Setiap pecahan juga diselitkan
dengan sub-sub tajuk kecil. Pantun-pantun yang terdapat dalam Bingkisan Permata ini
juga dapat dijadikan panduan dan pengajaran untuk para pembaca yang membaca pantun
tersebut.Tidak dinafikan bahawa pantun tidak begitu lagi dititikberatkan pada masa
kini.Hal ini demikian kerana pantun-pantun seperti ini hanya didedahkan dalam majlis-
majlis tertentu sahaja.Walau bagaimanapun, pantun masih dianggap sebagai khazanah
masyarakat Melayu pada masa ini.
Selain itu, pantun-pantun yang terdapat dalam Bingkisan Permata ini disampaikan
secara halus melalui bahasa yang berangkap dan melalui lambang-lambang tertentu yang
diambil daripada alam tabii, alam fenomena.Lambang-lambang yang digunakan
dilihatnya sebagai unsur yang dapat berharmoni dengan manusia, malah sering kali
dijadikan bahan untuk mentaksirkan kelakuan manusia.Oleh itu, dapat ditaksirkan
bahawa pantun-pantun yang ditulis ini sememangnya berupaya untuk menaksirkan
kelakuan seseorang itu.
Bingkisan Permata ini juga memuatkan isi bentuk pantun yang pelbagai.
Antaranya ialah pantun berbentuk hiburan, jenaka, nasihat, peribahasa, teguran, sindiran
dan lain-lain.Pantun-pantun yang berbentuk nasihat, peribahasa dan teguran dapat
pembaca jadikan sebagai pengajaran atau ikhtibar dalam kehidupan mereka.Oleh itu,
pembaca haruslah menerapkan segala nilai yang dipelajari daripada pantun-pantun ini
dalam kehidupan seharian mereka. Pantun-pantun ini haruslah didedahkan dalam
pelbagai majlis supaya generasi yang akan datang juga akan mempunyai pengetahuan
terhadap pantun-pantun.
22
Rujukan
Harun Mat Piah (2001).Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Kuala Lumpur: Yayasan
Karyawan.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007). Komsas Pegangan Teras Keterampilan.
Kuala Lumpur: Icon Region Sdn Bhd.
Rosli Saludin (2014). Teromba Pengacaraan Majlis. Negeri Sembilan: Persatuan Aura
Anak Seni.
Seri Lanang Jaya Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md. Rashid (2016).
Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
top related