second-cdn.f-static.com · web viewal-adabi iaitu sastera yang terbina daripada jiwa yang halus....
Post on 12-Aug-2021
2 Views
Preview:
TRANSCRIPT
BMP 3073
KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
TAJUK :
TUGASAN INDIVIDU
( SENI BAHASA DALAM CERPEN UDA DAN DARA)
KUMPULAN C
NAMA PENSYARAH : PROF MADYA DR. ADENAN BIN AYOB
NAMA JUNAIDI BIN MANJA
NOMBOR MATRIKS D20171078698
KOD/NAMA PROGRAM AT32 ISMP SEJARAH
SEMESTER 6
1.0 PENGENALAN
Sastera umunya terkait dengan seni dalam berbahasa. Bahasanya indah, elok dan molek
apabila didengar khalayak. Sastera mempunyai sifat yang istimewa, nilainya seni dan
penciptaan bahasanya pula berbeza daripada bahasa yang digunakan dalam perbualan
seharian. Dalam Islam, sastera dikenali sebagai al-adabi iaitu sastera yang terbina daripada
jiwa yang halus. Fungsinya adalah mendidik dan mengasuh hati nurani dengan nilai-nilai
murni supaya hati tadi lembut sifatnya. Secara umum, sastera bolehlah diertikan sebagai
pengucapan masyarakat. Ia diantarakan oleh pengarang dalam bentuk lisan dan
kemudiaannya berkembang menjadi bentuk karya penulisan dan penerbitan. Kandungan
karya-karya dalam sastera khususnya dalam karya-karya sastera dalam masyarakat Melayu
tradisional terbina atas nilai, norma dan gaya hidup orang Melayu itu sendiri ( Samsuddin,
2001 ). Pernyataan ini sememangnya benar. Tidak dinafikan, masyarakat melayu tradisional
sememangnya kaya dengan keindahan bahasanya dan mereka sangat mementingkan seni
dalam kehidupan.
Unsur yang difokuskan oleh pengkaji dalam penulisan ini menyentuh tentang
penerapan jenis-jenis gaya bahasa dalam sesuatu teks sastera. Teks sastera yang dipilih dalam
kajian ialah cerpen yang bertajuk Uda dan Dara hasil karangan sasterawan negara iaitu
Usman Awang. Beliau lahir pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala selidi,
Kota Tinggi, Johor. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu di Kuala Selidi ( 1936 ),
Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar ( 1940 ) hingga lulus Darjah VI. Usman Awang
cukup terkenal sebagai seorang penulis sastera. Beliau banyak menghasilkan karya sastera
yang bermutu dan pernah berkhidmat anggota sidang pengarang majalah Dewan Bahasa,
Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Beliau juga dikenal ramai sebagai
ahli dalam dunia persajakan. Sejak-sajaknya sentiasa segar, indah serta akrab dengan norma
dan budi orang Melayu. Elemen gaya bahasa yang menjadi fokus dalam kajian ini terdiri
daripada bahasa figuratif, bahasa emotif, bahasa sensori, analisis peribahasa dan juga akan
menyentuh berkaitan kesesuaian cerpen yang dikaji untuk diterapkan pembelajarannya di
sekolah. Setiap elemen akan dianalisis disertakan contoh yang terdapat dalam teks cerpen.
2.0 SINOPSIS
Cerpen ini mengisahkan perjuangan cinta antara dua insan. Kumbangnya bernama Uda dan
bunganya bernama Dara. Dara merupakan wanita terpandang. Ia datang daripada keluarga
berada. Memiliki rupa dan hidupnya pula bersayapkan kesenangan. Sementara, Uda pula
berkeadaan sebaliknya. Tegak hidupnya hanya bersandarkan pada tiang kesederhanaan
semata. Namun, cinta tidaklah memandang perbezaan. Rasa sayang dan cinta antara mereka
berdua begitu kuat terbuhul di dalam hati. Masing-masing pun memasanglah hasrat dan
impian supaya kelak disatukan di kemudian hari.
Di suatu hari berikhtiarlah si Uda menghantar perwakilan menyampaikan hajat buat
memperisterikan si Dara. Namun, tiada siapa yang mampu menghalang kehendak takdir.
Ternyata, ibu Dara terlalu memandang darjat dan harta. Mereka orang terpandang. Keturunan
mereka darah berdarjat dan duduk mereka pula duduk bertempat. Ia merasakan tidaklah layak
si Uda memperisterikan anaknya itu. Sebagai akibat, terhalanglah hubungan mereka berdua.
Impian buat membina rumah tangga bersama terkandas jalannya di pertengahan. Uda merasa
sangat kecewa dengan keputusan itu. Dia mulai sedar bahawa dirinya tidak sedikitpun
berharga di mata orang terpandang lantaran keadaan dirinya yang miskin.
Akibat merasakan begitu hina ditanggapi sedemikian, dia pun mulai berubah. Uda
berhasrat merantau ke kota buat mencari ringgit dan harta. Dia berjanji bahawa pulangnya
nanti kelak membawa perbekalan buat mencapai maksudnya yang pertama tadi. Impiannya
terlalu besar dan dan hasrat itu pun dikhabarkannya kepada ibunya dan Dara. Pada awalnya,
ibunya tidak begitu setuju dengan hasrat anaknya itu. Dia tahu niat sebenar anaknya itu yang
terlalu mengikutkan kehendak hati. Apakan daya, hati Uda hati lelaki. Hidupnya perlu
berjuang untuk membela harga dirinya. Lalu dia pun diizinkan untuk pergi.
Uda menjalani hidupnya di kota. Dia kuat membanting tulang empat keratnya mencari
sumber penghidupan. Semata untuk menggapai impiannya yang besar itu, dia pun tidak lagi
memikirkan soal kesihatan dan keadaan dirinya. Beliau tekun bekerja siang dan malam.
Tenaga yang ada tidak disisahkan untuk merehatkan badan yang semakin penat. Berbulan
keadaan itu berlanjutan lalu dia pun jatuh sakit dan kembali ke kampungnya semula.
Keadaannya dirinya semakin hari semakin lemah. Ajal telah menjemputnya tanpa sempat
membelai kekasihnya yang tercinta itu. Dara berduka sepanjang pemergian Uda. Tidak lama
setelah itu, akibat terlalu berduka Dara pun menyusul kepergian kekasihnya yang tercinta itu.
Pusara keduanya disemadikan bersama dengan semangat cinta yang tetap mengalir bersama.
3.0 ANALISIS BAHASA FIGURATIF
Menurut Kamus Melayu-Inggeris Dewan Edisi Pertama 2012, figuratif berfungsi
menunjukkan makna perkataan, rangkai kata dan sebagainya yang lebih abstrak daripada
makna biasanya. Dengan erti kata yang mudah, bahasa figuratif merujuk kepada bahasa yang
menggunakan kata-kata kiasan atau bahasa kiasan. Menurut Za’ba dalam bukunya Ilmu
Mengarang Melayu ( 1965:190 ), bahasa kiasan didefinisikan sebagai bahasa yang
mencakapkan sesuatu perkara dengan mengkiaskannya dengan perkara yang lain, sama ada
dengan menyebutkan bandingan lain di antaranya atau dengan tiada menyebutkan bandingan
lagi. Bahasa figuratif bernada indah apabila didengar. Cara dan maksud penyampaiannya
pula mengandung maksud yang tersurat dan yang tersirat. Antara jenis gaya bahasa figuraif
kesusasteraan Melayu termasuklah personifikasi, metafora, simile dan hiperbola.
3.1 Personifikasi
Personifikasi merujuk kepada gaya bahasa penginsanan. Dalam erti kata yang lain,
kita memberikan sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak
tanduk kepada benda-benda yang mati, idea ataupun hal-hal yang lebih abstrak.
Berikut adalah contoh gaya bahasa personikasi yang dikaji dalam cerpen ini.
Contoh :
1) Angin bernyanyi dengan lagu sunyinya ( ms 7 )
2) Malah bertambah indah apabila cahaya perak menyapu sekeliling bulan ( ms 7)
3) Awan larat tiada lagi menabiri bulan yang sedang tersenyum ( ms 9 )
Penerangan :
Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan pengarang menggunakan bahasa
personifikasi dalam cerpen yang dikaji. Unsur-unsur alam seperti angin, cahaya dan
juga bulan diberikan perwatakan seperti manusia. Pada petikan yang pertama,
pengarang mengandaikan bahawa angin itu seakan menyanyi dengan lagu sunyinya.
Erti sebenar ungkapan ini bukanlah maksudnya angin itu benar-benar menyanyi
seperti manusia. Maksudnya ialah angin itu berhembus dan mengeluarkan bunyi yang
sunyi. Jadi, keadaan ini disamakan dengan perbuatan menyanyi seperti manusia.
Penulis bertujuan untuk memberikan bayangan keadaan latar tempat kepada pembaca.
Begitu juga pada petikan kedua dan juga ketiga pada contoh ayat di atas. Cahaya
perak menyapu sekeliling bulan membawa makna bahawa cahaya bulan itu terang
sehingga cahayanya menebar ke sekililing. Begitu juga pada ayat yang ketiga itu
bulan yang sedang tersenyum membawa erti bahawa bulan itu tetap pada terangnya.
3.2 Hiperbola
Hiperbola merujuk kepada bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu secara berlebih-
lebihan daripada keadaan yang sepatutnya. Tujuan penggunaanya adalah untuk
meluahkan perasaan mahupun tanggapan secara melampau. Ia juga berfungsi untuk
menyampaikan maksud pengarang secara mendalam kepada pembaca. Berikut ialah
contohnya:
Contoh :
1) Lalu tawa pun pecahlah berderai sedangkan Dara diam sahaja, hanya tangannya
yang bermain padi di dalam ambung. ( ms 12 )
2) Seminggu lamanya Uda bermuram durja, pedih benar hatinya disindir orang
orang yang memandangnya rendah tidak sebanding dengan Dara. ( ms 16 )
3) Dara mengeringkan air matanya, matanya merah seperti saga, hatinya marah
bernyala-nyala dia pun berkata ( ms 24 )
Penerangan :
Pada ayat yang pertama, pengarang menggambarkan kepada pembaca kemeriahan
suasana latar masyarakat kampung dalam cerpen ini. Uda dan Dara hidup dalam
suasana masyarakat yang saling membantu dalam mengerjakan sesuatu tujuan. Untuk
menyampaikan keakraban hubungan ini, maka pengarang menggunakan gaya bahasa
hiperbola untuk memberikan kefahaman secara kuat kepada pembaca. Begitu juga
pada ayat kedua yang berunsur hiperbola. Perasaan Uda sangat kecewa setelah
mendapat tahu niatnya terhalang untuk memperisterikan Dara angkara berbezanya
letak darjat antara dua insan. Situasi yang sama juga berlaku pada ayat yang ketiga.
3.3 Simile
Gaya bahasa Simile merujuk kepada bahasa kiasan yang membandingkan sesuatu
benda, keadaan ataupun suasana dengan jelas. Syaratnya, ia perlu mempunyai sifat
persamaan dengan benda, keadaan ataupun suasana yang hendak dibandingkan tadi.
Lazimnya, gaya bahasa ini menggunakan ungkapan kata tertentu iaitu seperti,
umpama, bak, bagai, ibarat dan semisal dengannya.
Contoh :
1) Dara mengeringkan air matanya, matanya merah seperti saga, hatinya marah
bernyala-nyala dia pun berkata ( ms 24 )
2) Si Uda dan si Dara sama cantik sama padan ibarat pinang dibelah dua ( ms 14 )
3) Uda bukan seorang lelaki yang menyimpan kasih sayang, tetapi dia anak lelaki,
keras hatinya seperti besi. ( ms 17 )
Penerangan :
Penggunaan kata seperti dan ibarat pada contoh ayat di atas merupakan unsur bahasa
simile yang diketangahkan pengarang dalam cerpen. Ia bertujuan untuk
menggambarkan keadaan perwatakan antara Uda dan Dara yang sepadan sifanya.
Pengarang juga menggunakan unsur simile untuk menggambarkan perasaan sedih dan
kedukaan yang dihadapi antara kedua watak ini.
4.0 ANALISIS BAHASA EMOTIF
Bahasa emotif merujuk kepada gaya bahasa yang melibatkan unsur emosi. Apabila dibaca,
ayat ini akan menimbulkan unsur emosi kepada pembaca sama ada sedih, gembira, marah,
ketawa dan yang semisal dengannya. Dalam cerpen yang dikaji, pengarang banyak
menerapkan bahasa emotif yang berunsur sedih terutama pada jalan pertengahan dan akhir
cerita cerpen. Timbul juga unsur emosi yang lain tetapi tidak ditinjau secara kerap oleh
pengarang. Berikut adalah contohnya.
a) Dara tunduk tidak menyahut. Perasaannya terharu, dadanya sebak dan
matanya digenangi air. ( ms 10 )
Bahasa emotif yang ditekankan pengarang dalam ayat ini berunsurkan kegembiraan.
Dara berasa sangat gembira apabila Uda mengkhabarkan kepada dirinya bahawa dia
akan meminangnya dalam waktu yang terdekat. Dara tidak dapat menahan perasaan
gembiranya sampai dia tertunduk dan diam. Impian yang dinanti-nanti selama ini
akhirnya sampai kepada tujuan. Tinggal menunggu hari dan waktu sahaja lagi buat
merealisasikannya.
b) Seminggu lamannya Uda bermuram durja, pedih benar hatinya disindir
orang, orang yang memandangnya rendah dan tidak sebanding dengan Dara.
( ms 16)
Pengarang cuba menerapkan unsur sedih dalam ayat ini. Uda sangat sedih dan kecewa
apabila hajatnya buat memperisterikan di Dara tidak kesampaian. Angkara perbezaan
darjat, cinta yang selama ini diperjuangkan terhalang dan terkandas di pertengahan
jalan. Ibu Dara terlalu memandang harta dan ringgit sehingga buta dalam menilai
kemurniaan hubungan anaknya bersama Uda.
c) Dara menangis tersedu-sedu. Hatinya benar-benar tersayat, tersayat oleh
kekecewaanya. ( ms 18 )
Dara tidak dapat menahan kesedihannya setelah mendapat khabar bahawa Uda akan
meninggalkannya untuk satu jangka masa yang lama. Dia berusaha menghalang niat
kekasihnya itu kerana pada firasat hatinya, sesuatu yang buruk bakal menimpa. Dia
risau sekali tidak sempat bertemu di kemudian hari seandainya kekasihnya itu pergi
meninggalkannya. Usahanya gagal, hanya linangan air mata yang mengiringi
pemergian itu.
d) Kami miskin tuan haji. Jika bahagian ini tak dibahagikan apakah yang akan
kami makan? Kasihanilah hamba yang tua ini tuan haji. ( ms 20 )
Dalam ayat ini, bahasa emotif yang ditekankan lebih kepada unsur memujuk. Setelah
kepergian Uda, tinggallah bersendirian ibunya di kampung. Maka, usaha buat
meneruskan hidup terpaksa dilakukan sendiri. Di suatu waktu, ibu Uda mengalami
kesusahan. Hasil padi yang diusahakan tidak mencukupi buat menyara hidup. Dia
cuba meminta bantuan daripada tuan haji, namun gagal. Setelah merayu beberapa
kali, baru sampai niat dan tujuannya itu.
e) Mengapa begini benar kau nak? Kau pergi melangkah muda, kau kembali
melangkah tua. ( ms 21 )
Unsur emosi dalam ayat ini ialah terkejut. Ibu Uda sangat terkejut melihat perubahan
anaknya setelah kembali ke kampung. Kepergiannya selama ini untuk merantau ke
kota, pada jangkaan ibunya baik sahaja, ternyata tidak. Uda sudah berubah
penampilannya. Tubunya yang dahulu gagah melangkah kini kurus dan tinggal
berangka. Maka, pengarang cuba menerapkan unsur suspen di sini apabila Ibu Dara
terkejut melihat perubahan anaknya itu.
f) Di tanah yang masih basah dan merah itu, menyembahlah dia menangis
tersedu-sedu menggoncang bahu. ( ms 23 )
Dara berasa sangat kecewa. Kekasih yang dicintainya selam ini telah pergi
meninggalkan buat selama-lamanya. Kesedihannya tidak tertahan lagi, Lalu secara
bersembunyi, dia pun datang ke pusara kekasihnya itu melepaskan kesedihan yang
jauh terpendam di dalam hati.
g) Ketika angin sepoi membelai, Dara pun menutupkan matanya, pejam untuk
selama-lamanya pergi menurutkan kekasihnya, Uda. ( ms 25 )
Pada ayat ini, pengarang benar-benar berjaya menerapkan bahasa emotif yang
berunsurkan kesedihan kepada pembaca. Kejadian ini pastinya tidak dijangkakan oleh
pembaca. Tetapi rentak cerita dalam cerpen ini benar-benar menimbulkan rasa sedih.
Kedukaan Dara yang selama ini mengenang kepergian kekasihnya itu ternyata
memakan dirinyan juga. Dia ditimpa sakit lalu ajal pun telah menjemputnya pergi
buat selama-lamanya.
5.0 ANALISIS BAHASA SENSORI
Sensori ertinya deria. Deria manusia terdiri daripada lima bahagian iaitu deria sentuhan,
penglihatan, pendengaran, menghidu dan merasa. Bahasa sensori dalam kesusasteraan terkait
dengan penggunaan kelima-lima unsur deria tersebut. Dalam cerpen dikaji, pengarang turut
menerapkan penggunaan bahasa sensori supaya kandungan penceritaan novel menjadi
menarik. Berikut contohnya :
a) Penglihatan
Pengungkapan Penerangan
1) Ratapan seorang gadis yang kehilangan
tempat mencurahkan kasih sayang yang
sejati. ( ms 22)
Ungkapan ini adalah bahasa sensori
yang melibatkan deria penglihatan.
Ratapan seorang gadis di sini merujuk
ratapan Dara yang berduka akibat
kehilangan kekasihnya yang tercinta
iaitu Uda.
2) Menangis ibunya melihat keadaan
puteranya yang dulunya segar bugar,
dalam dalam silat, gagah dalam gerak kini
hanya sebagai rangka ( ms 21)
Unsur sensori dalam ayat ialah melihat.
Ibu Uda terkejut melihat anaknya yang
sekelip berubah setelah kembali ke
kampung yang sebelum ini pergi jauh
merantau ke kota mengubah nasib diri.
3) Uda tersenyum dan melihat-lihat
keliling Dara. ( ms 13 )
Ungkapan ini melibatkan deria
penglihatan iaitu Uda yang melihat
sekeliling kekasihnya dalam satu
perjumpaan antara mereka berdua
4) Uda merenung jauh memandang sawah
yang kering oleh musim kemarau.( ms 18 )
Bahasa sensori di sini dapat
dikenalpasti melalui perkataan
memandang yang melibatkan unsur
penglihatan
5) Ketika itu, setangkai kembang kemboja
kelihatan gugur perlahan . ( ms 23 )
Bahasa sensori di sini dapat
dikenalpasti melalui perktaan kelihatan
yang merujuk kepada deria penglihatan
6) Dipandangnya nisan kayu yang tegak
itu, dilihatnya pohon puding yang
Bahasa sensori dalam ungkapan ini
dikenalpasti melalui perkataan
dicacakkan orang dilihatnya mewakili deria penglihatan
7) Dara tunduk memandang bumi, bumi
tanah air yang dikasihi. ( ms 19 )
Bahasa sensori dalam ungkapan ini
dikenalpasti melalui perkataan
memandang mewakili deria
penglihatan dalam bahasa sensori
b) Pendengaran
Pengungkapan Penerangan
1) Tetapi, baru sahaja dia akan,
terdengarlah suara kecil halus ketawa.
( ms 9 )
Perkataan terdengarlah mewakili unsur
pendengaran dalam ayat tersebut
2) Sedu sedannya terdengar perlahan
keuar daripada pecahan-pecahan dinding
pondok usangnya. ( ms 22
Ibu Uda menangis tersedu-sedu setelah anak
yang disayangi olehnya selama ini telah
meninggalkannya buat selama-lamanya.
3) Suara jengkerik sahut bersahut,
sedang pungguk merayu mendayu. ( ms
13 )
Perkataan suara mewakili unsur
pendengaran dalam ayat tersebut
4) Kemudian bunyi antan saling
bertingkah diselang bunyi padi
membertih melanting-lanting digoreng.
( ms 13)
Perkataan bunyi mewakili unsur
pendengaran dalam ayat ini
5) Jauh di sana, terdengar suara
pungguk. Suara yang berhiba-hiba
menimbulkan kesayuan. ( ms 11 )
Perkataan terdengar mewakili unsur
pendengaran dalam ayat ini.
c) Penghiduan
Pengungkapan Penerangan
katanya lama sudah dia melihat bunga
melati di rumah ini, bunga melati yang
harum baunya ke mana-mana, gah ke
seluruh kampung, tiada tara dan
bandingannya. ( ms 15 )
Perkataan harum baunya mewakili unsur
penghiduan dalam ayat ini.
6.0 ANALISIS PERIBAHASA
Peribahasa merupakan ungkapan pendek, terdiri daripada kata-kata tertentu disertai dengan
makna yang tertentu. Lazimnya, peribahasa bentuknya berkias, berlapik dan tersirat
maksudnya. Menurut Za;’ba ( 1934 ), peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan
makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Menurutnya lagi, peribahasa juga boleh dimaksudkan sebagai segala susunan cakap pendek
yang melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak apabila
didengar. Peribahasa terdiri daripada beberapa jenis iaitu simpulan bahasa, perumpamaan.,
bidalan dan pepatah. Dalam cerpen yang dikaji, pengarang ada juga menyelitkan beberapa
unsur peribahasa sebagai jalan buat menyedapkan lagi bahasa dan jalan cerita dalam cerpen.
Berikut ialah contohnya:
a) Perumpamaan
Pengungkapan Penerangan
1) Seperti aur dengan tebing ( ms 12 ) Kumpulan atau masyarakat yang hidup
saling membantu antara satu sama lain.
2) Ibarat pinang dibelah dua ( ms 14 ) Pasangan yang sama cantik sama padan.
Uda dan Dara diumpamakan pengarang
dalam cerpen seperti pinang dibelah dua.
b) Pepatah
Pengungkapan Penerangan
Orang hendak seribu daya, jika tak
mahu seribu upaya. ( ms 14 )
Jika kita hendak melakukan sesuatu, kita
akan menyempurnakannya dengan
sedaya upaya kita. Begitu juga
sebaliknya.
7.0 ANALISIS GAYA BAHASA
Dalam cerpen yang dikaji, saya mendapati terdapat beberapa unsur gaya bahasa yang
diterapkan oleh pengarang dalam cerpen ini. Berikut adalah contohnya:
a) Anafora
Pengulangan kata atau ungkapan pada awal baris
Pengungkapan Penerangan
1) Kalau pakat sudah bulat, kalau
kata sudah seia ( ms 10 )
Pengulangan kata kalau dan ini merujuk
kepada gaya bahasa anafora yang
diketengahkan pengarang dalam cerpen.
2) Ke sawah tak biasa, ke ladang
hanya bersuka-suka
Ungkapan ini jelas menunjukkan gaya bahasa
anafora iaitu berlaku pengulangan kata ke
pada awal baris ayat.
3) Entahkan untuk menampal
permatang yang runtuh, entahkan
untuk mengemudi kerbau di sawah. (
ms 16 )
Berlaku pengulangan kata entahkan pada
awal baris ayat
4) Anak ibu hanya seorang, anak
bujang memang bertualang, anak
dara menyimpan sayang. ( ms 17 )
Berlaku pengulangan kata anak pada awal
baris ayat
5) Ada yang mengerjakan sendiri,
ada yang bantu-membantu. ( ms 19 )
Berlaku pengulangan kata ada dalam awal
baris ayat
b) Anadiplosis
Pengulangan kata akhir dalam sesuatu klausa pada permulaan klausa yang berikutnya.
Pengungkapan Penerangan
1) Hatinya benar-benar tersayat,
tersayat oleh kekecewaannya. ( ms 18)
Berlaku pengulangan kata tersayat pada
klausa yang berikutnya.
2) Ah, jika hati mencari bimbang,
bimbanglah datangnya. ( ms 18 )
Berlaku pengulangan perkataan bimbang
pada klausa yang berikutnya
3) Dara tunduk memandang bumi, bumi
tanah air yang dikasihi. ( ms 19 )
Berlaku pengulangan kata bumi pada
klausa yang berikutnya
4) Kak Long datang membawa pesan,
pesan orang harus disampaikan, pesan
daripada ibu si Uda. ( ms 15 )
Berlaku pengulangan kata pesan pada
klausa yang berikutnya
c) Sinkope
Gaya bahasa singkatan
Pengungkapan Penerangan
1) Apa boleh buat, lawan tak hendak
diajak damai. ( ms 8 )
Berlaku penyingkatan kata tidak kepada
tak
2) Kalaulah boleh kutemani, Uda, ke
langit biru kita bersama. ( ms 9 )
Berlaku penyingkatan kata aku kepada ku
3) Mengapa begini benar kau, nak? Terdapat dua penyingkatan kata yang
berlaku dalam ayat iaitu kata engkau
kepada kau dan kata nak kepada anak.
4) Kau menyiksa dirimu, kau mensia-
siakan hidumpmu nak. ( ms 21 )
Penyingkatan kata kamu kepada mu
8.0 KESESUAIAN KARYA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
Cerpen ini amat sesuai dibaca dan digunakan oleh guru dan murid dalam pembelajaran
bahasa melayu di sekolah kerana mengandungi nilai-nilai yang boleh diteladani bersama.
Antara nilai tersebut termasuklah sikap membantu antara satu sama lain. Latar masyarakat
yang digambarkan oleh pengarang dalam cerpen terdiri daripada masyarakat kampung.
Kegiatan ekonomi dan hidup mereka bergantung sepenuhnya kepada aktiviti pertanian
semata-mata. Setiap kali musim menuai tiba, mereka akan bekerjasama antara satu sama lain
termasuklah watak utama iaitu Uda. Di sinilah nilai semangat bekerjasama dipaparkan oleh
penulis dalam cerpen. Sikap saling membantu antara satu sama lain perlu dicontohi oleh
setiap murid di sekolah. Sedaya upaya, guru-guru perlulah menyemai sikap ini kepada para
pelajar mereka kerana terbinanya insan yang cemerlang dan bersahsiah tinggi bersandar
sepenuhnya kepada akhak yang mulia. Syarat untuk mencapai tujuan itu tidak lain tidak
bukan adalah dengan cara penyemaian sikap saling membantu antara satu sama lain.
Selain itu, nilai dan teladan yang seterusnya ialah kita janganlah memandang rendah
terhadap kedudukan dan darjat orang lain sehingga buta dalam menilai mana yang benar dan
mana salah. Manusia itu terpecah kepada dua. Pertama, manusia yang tergolong dalam
kalangan yang kaya. Kedua pula ialah mereka yang hidup miskin. Perbezaan antara kedua
darjat ini janganlah sampai memisahkan perhubungan kita sebagai manusia. Misalnya, dalam
watak ibu Dara, beliau sangat memandang darjat dan harta sehingga buta dalam menilai
kesetiaan perhubungan anaknya bersama Uda. Nilai ini sangat sesuai diterapkan dalam diri
murid sekolah. Sikap memandang rendah kepada yang lemah buanglah jauh-jauh. Yang
renggang itu kita rapatkan dan yang jauh itu kita dekatkan. Bak kata pepatah, buang yang
keruh, ambil yang jernih.
Di samping itu, cerpen ini juga dapat menyemai sikap berani dan bersabar dalam diri
seseorang khusunya kepada para pelajar di sekolah. Hal ini jelas dipaparkan melalui watak
Uda sebagai seorang yang berani dan tangkas dalam menghadapi lawan dalam latihan ilmu
persilatannya. Sikap sabar pula ditunjukkan Dara sebagai wanita yang tabah dalam
menghadapi ujian kehidupannya. Dia begitu sayang terhadap Dara. Kesetiaannya tidak
berbelah bahagi. Namun, kehendak takdir mengatakan yang lain sehinggalah mereka berdua
berpisah. Ini tidak samalah sekali menggoncang kesetiannya dan dia hadapai dengan
kesabaran yang sangat tinggi. Sikap berani dan setia perlulah dicontohi murid di sekolah.
PENUTUP
Secara keseluruhannya, cerpen ini sangat menarik untuk dibaca dan dikaji. Selain
mengandungi nilai dan pengajaran, pengarang banyak menerapkan pelbagai jenis gaya
bahasa yang bertujuan untuk memberikan kesan mendalam terhadap pembacaan dan
penghayatan pembaca. Cerpen ini terbina daripada beberapa jenis bahasa figuratif, bahasa
emotif, penggunaan bahasa sensori dan juga unsur peribahasa. Saya amat tertarik dengan
penggunaan unsur peribahasa yang diketengahkan penulis dalam cerpen ini. Nada bahasa
yang sedap didengar sangat memberikan kesan mendalam terhadap pembaca tentang mesej
yang hendak disampaikan penulis kepada pembaca. Penggunaan pelbagai jenis gaya bahasa
dalam cerpen ini sekaligus dapat memudahkan pembaca memahami mesej dan maksud yang
terkandang dalam jalan cerita. Hal ini juga turut membuktikan bahawa penulis cerpen ini
benar-benar menguasai ilmu gaya bahasa dalam penulisan novel.
RUJUKAN
Usman Awang. ( 2019 ). Kami yang Terlibat. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala
Lumpur. Percetakan Mesbah Sdn. Bhd.
Ariff Mohamad. (2018). Kesusateraan dalam pengajaran bahasa melayu. Tanjung
Malim, Perak: Muhibbah Publication.d
Dr Abu Hassan Abdul. ( 2019 ). Ketrampilan Menulis. Jabatan Bahasa dan
Kesusasteraan Melayu. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.
Kamus Dewan Melayu-Inggeris Edisi Keempat. (2012). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur.
Samsudin A. Rahim. ( 2001 ). Media dan identiti budaya: membangunkan industri
kandungan tempatan yang berdaya tahan. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of
Communication 17: 67-80.
Za’ba. ( 1965 ). Ilmu Mengarang Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala
Lumpur.
LAMPIRAN
top related