syababmusafir92.weebly.com · web viewamalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting...
Post on 01-Apr-2018
303 Views
Preview:
TRANSCRIPT
TUGASAN TUTORIAL
Adat Resam & Pantang Larang Masyarakat India
1.0 Adat Resam Masyarakat India1.1 Adat Kelahiran
a) Membisikkan Nama Tuhan
Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang
berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan
“Gayatri Mantiram”, iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi
sebelum tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan
dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi tersebut
kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik
bersalin.
Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan
bayi tadi mendengar nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang
lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut.
b) Potong Tali Pusat
Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di
sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam
dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak
dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir.
c) Menyapu Madu
Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak
sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan.
Minyak “Savvennai” yang merupakan campuran minyak bijan, minyak
lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini
dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang
sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi
dan memudahkan bayi bertutur. Setitik minyak bijan yang dicampur
dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak
menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu
tumbesaran bayi tersebut.
d) Membawa Bayi Pulang Ke Rumah
Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada
hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari
ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan.
Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka
dariapada berlaku.Bagi “upacara aalati” ini, dulang yang mengandungi
serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus
yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan
juga lawan jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya
para “cumanggali” akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang
tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak
masuk ke dalam rumah, isi dulang “aalati” dibuang.
e) Mandi Selepas Bersalin
Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli
keluarga yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga
kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat
mereka kecuali untuk tujuan perubatan.Jika proses bersalin secara
pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama
dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah
kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin
normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin. Beberapa
herba dan dedaun seperti “aadatoodai” dididihkan bersama air. Air
tersebut digunakan untuk mandi. Rambut ibu akan dikeringkan dengan
segera dengan asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala,
selsema dan juga untuk menyegarkan tubuh badan selepas bersalin.
Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang
wanita yang berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram
ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang
kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk
mengelak penyakit sawan atau kuning.
Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit
bayi. Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh
bayi dan tulang belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan
kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan
seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang
ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk
mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi.
Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua
belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan
kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu
dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak
dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain
bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.
f) Mendodoi Bayi
Amalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting dalam
masyarakat India. Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai
“taalaattu” bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan
dengan “ucapan aaraaro aariraro” atau cerita-cerita nasihat. Ia
bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun
amalan ini semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh
generasi tua sahaja
g) Memberi Nama
Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama
dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian
dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang
agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.
Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang
sebagai tanda kesyukuran. Terdapat juga upacara memuja “Dewi
Pecciyamman” dan “Dewi Kaatteeri” dilakukan oleh segelintir
masyarakat India.
Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah
dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan
persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus,
ikan kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam
buaian dan namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara
yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan
jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan
bayi.
Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan
mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek
moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi
bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi
perwatakannya kelak.
1.2 Adat Perkahwinana) Merisik
Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti
faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain
seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti
umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras
dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya
maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang
terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan
saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana
taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan
tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.
b) Kunjungan Ke Rumah Pengantin
Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin
lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat
sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya.
Adat ini dikenali sebagai “Pen Paarttal” atau dalam bahasa Melayu
dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu
datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.
Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan,
bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini
dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan
untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan
akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak,
mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak
boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan
dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu
bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan
dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu
melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami.
Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini
pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, “Adat
Pen Paarttal” juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal
pengantin lelaki.
Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai “Thairumanam
Poruttam Paartal” dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak
terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira
untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara
tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh
masyarakat Hindu iaitu Tina Poruttam/Natcattira Poruttam, Kana
Poruttam, Mahentira Poruttam, Pentiikka Poruttam, Yooni Poruttam,
Raasi Poruttam, Raasiyaati Paati Poruttam, Vaiya Poruttam, Racau
Poruttam dan Veetai Poruttam.
c) Ikat Janji
Ikat janji atau Niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan
kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak
perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa
beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-
buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil
perempuan.
Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa
kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan
tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah
meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara.
Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan
mengikat janji.
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi
menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin
perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan
kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan
menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian
mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang
belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya.
Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan
dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
d) Parisam
Adat Parisam terbahagi kepada dua iaitu Parisam biasa atau Udan
Parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan
lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala Udan Parisam adalah
pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi
sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India,
Parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Adat pemberian
Parisam akan diadakan pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-
dua belah pihak.
Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran
dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang
sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil “Cumanggali”.
Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh
bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional
masyarakat India. Pada masa yang sama alat muzik tradisional seperti
“Natasawaram” dan “Meelam” dimainkan. Pihak perempuan akan
menyediakan buyung yang dikenali sebagai “Puurana Kumbum” yang
diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil sebagai “Kuttu
Vilakku” diletakkan bersebelahan “Puurana Kumbum” sebagai
menunjukkan kurniaan Tuhan.
Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan
terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa
Parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada
masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan
menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah
itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat “Puurana
Kumbum” dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin
perempuan memakai sari Parisam dan dipimpin keluar oleh seorang
wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-
mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin
perempuan. Ini dikenali sebagai “Orrai-Maalai” atau kalungan tunggal.
Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak
pengantin. Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin
(Pen Paartal), adat ikat janji (Niccayam) dan pemberian hadiah
(Parisam) merupakan adat yang sering dilakukan oleh masyarakat
India. Namun begitu ada di kalangan mereka yang tidak lagi
melakukan upacara tersebut untuk mengelakkan pembaziran.
e) Kad Jemputan
Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan
masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak
Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak
dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak
disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.
Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa
bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (Arccanai). Kad
diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang
dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan
sebagai “Paanam Paaku”. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah
pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan
begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan
diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.
f) Penyediaan Thaali ( Tirumaanggalyam )
“Thaali” atau “Tjirumaangalyam” merupakan lambang suci
perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada
thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit.
Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India
seperti “Lingath Thaali”, “Pottut Thaali”, “Tennant Thaali” dan
sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan
masyarakat India.
Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum
hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana,
kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali.
Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang
sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali
akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan
pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar
perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.
Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai
“Thaalippadaiyal”. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis
disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin.
Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini
kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih
selamat dan tidak dicuri orang.
g) Mukuurtta Kaal
Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan.
Adat “Mukuurtta Kaal” ini diadakan pada hari yang baik mengikut
firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang
pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan
Mukurtta Kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter
dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.
Adat mendirikan Mukuurtta Kaal adalah sebagai menandakan
perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan
lazim seperti sirih pinang, kum kum, kunyit dan sebagainya disediakan.
Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya
perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu
diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya.
Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan
kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal
hingga hujung.
Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga
menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam
setengah meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam
lubang tersebut sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara
sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta lima orang perempuan
tersebut.
Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu
minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan
menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam
sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di
rumah pengantin lelaki.
h) Thirumanan
“Thirumanan” bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui
perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir
hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu
“Vaitikat Thairumanam”,” Tamil Thairumanam” dan “Diya
Thairumanam” yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah
berlandaskan aspek suku kaum.
Majlis perkahwinan dimulakan dengan “Upacara Niccayam” (ikat janji)
dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan
disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai
tanda rasmi undangan perkahwinan. “Upacara Kanggenam” iaitu
menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk
kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin
lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari
perkahwinan.
Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya
pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur
sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin.
Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada
benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan
seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua
mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan
menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada
dahi pengantin.
Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu
termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian
atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium
tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti
(bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan
pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan
berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas.
Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi
suami isteri. Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum
upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan
hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan
perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan,
hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang,
jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.
i) Selepas Majlis Perkahwinan
Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India
selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut
ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin
lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai
pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki
pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu
ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan
mengadakan jamuan.
Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan
dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih
sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan.
Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya
jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang
merobohkan khemah perkahwinan. Jamuan perkahwinan tidak
ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan.
Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan
dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di
dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali
daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan
tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.
1.3 Adat Kematiana) Semasa Kematian
Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan
di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah
lampu minyak atau “Kaamaatci Amman Vilakku” dipasang dinyalakan.
Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan
berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai
simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau “Tiruniiru” disapu
pada dahi si mati sebelum disembahyang.
Sepanjang mayat berada di dalam rumah, si mati perlu dijaga dengan
sebaiknya. Kaki dan tangan mayat perlu diluruskan, ibu jari tangan dan
kaki diikat dengan kain putih dan diletakkan ke dada. Mata dan mulut
mayat juga perlu ditutup rapat. Setelah itu barulah si mati dibalut
dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh
kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang
ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan
disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut
diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau.
Untuk menunjukkan kesedihan, gambar-gambar yang tergantung
diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang
tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan
seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah
perkuburan. Tujuannya agar roh si mati sentisa tenang dan aman.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di
ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai
hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air
dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi
atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi
air akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan
habuk memasuki air tersebut.
Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk
memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu
digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir.
Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh
saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk
menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan
sebagaimana lazimnya.
Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur.
Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru
iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki. Mayat
yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai
langkah menghormati tetamu.
b) Upacara Menanggalkan Thaali
“Thaali Vaangutal” merupakan upacara menanggalkan thaali semasa
berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. “Thaali”,
iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri
setelah suamiya meninggal dunia. Dalam upacara tersebut, si isteri
hendaklah duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air
semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian, bunga akan
dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut
dikalungkan pada si mati. Seterusnya seorang wanita yang sudah
berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang
tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan
proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki
meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang yang berisi minyak,
bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini
dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari
leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang
dan disimpan dalam rumah.
c) Upacara Vaaikkarisi
Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke
dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak
berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit
makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang
dinamakan “Vaaikkarisi”. Makanan yang akan dimasukkan ke dalam
mulut mayat berupa beras yang diletakkan di dalam sebuah dulang
dan diletakkan berhampiran kepala mayat. Sebelum dimasukkan ke
dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling
yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih.
Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja.
Upacara Vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah
perkuburan pula, justeru itu kaum perempuan amat dilarang turut serta
ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati mempunyai cucu atau cicit,
mereka dikehendaki memegang neippantam. “Neip” bermaksud
minyak sapi dan “Pantam” adalah obor. Beberapa batang kayu kecil
akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang
disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut
dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali.
Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara yang
terdekat akan memberi sari atau dhoti kepada si mati sebagai hadiah
terakhir. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah
perkuburan, pada masa yang sama ucapan “tenna adudaiya shinanee
pottri” disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut
telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat
mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.
d) Kollic Catti
“Kollic Catti” bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api.
Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang
dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti
dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak
sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak
bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti mengiringi
mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur
rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia
seperti rambut yang baru tumbuh.
Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan
rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-
bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan,
bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai
perlambangan yang tersendiri.
e) Pengebumian
Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan
menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan,
pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah
mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan beberapa kali
sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan
dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian
kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam
kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi
Bumi.
Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat
yang dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit
syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat,
lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat
dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua
yang berada di situ.
Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat
sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus
mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut “sorkam seer,
kaiulaasam seer” berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic
catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak
menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar
dan disusun ke tanah satu persatu. Upacara ini dilakukan untuk
mengurangkan kesedihan keluarga si mati.
Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas
kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan
dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin
ke lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu
ke rumah si mati untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian
sebelum balik ke rumah.
f) Selepas Pengebumian
i- Membersihkan Rumah
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur.
lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat
dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk
membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan.
Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau haiwan yang
tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si
mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu
minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam
disertakan.
Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan
menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang
berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan
selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Bagi
mereka yang membawa kollic catti akan pulang ke rumah untuk
melakukan upacara kollic catti. Pembawa kollic catti hendaklah
mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk
ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic
catti.
ii- Mengumpul Abu Mayat
Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan
keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu
mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian
kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu
yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu
yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan
oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu
mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat
ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan
ke laut.
iii- Berkabung
Tempoh mula berkabung ialah sama ada lapan atau enam
belas hari selepas kematian. Sekiranya mereka berkabung
selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai
akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai
jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-
buahan.
Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati.
Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau
dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang
menarik.
Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan
bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan
dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa
yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. Setelah itu
makanan dihidangkan kepada para tetamu.Berkabung pada
hari keenam belas pula dipanggil sebagai “karumaati” iaitu hari
bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi
didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang
pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat
dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan
dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut
dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar.
Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal
niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama
lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan
sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan
dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama
dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua
dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada
awal pagi. Hari berikutnya pedanda mengambil rumput dan
membuat bentuk seperti keranda.
Rumput akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan
agar roh si mati sentiasa dalam keadaan tenang dan aman.
Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar
dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-
buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.
2.0 Pantang Larang Masyarakat Indiaa) Pantang Larang Dalam Mengandung
Semasa mengandung ibu bagi kaum India mestilah menjaga pantang larang
sebaik-baiknya. Ibu mengandung sangat senditif dengan perkara-perkara
begini kerana mereka berbadan dua dan mental mereka sangat mudah
terganggu. Ada sejenis katak yang melompat tinggi adalah tidak dibenarkan
untuk berjumpa oleh ibu mengandung semasa ia melompat, ini kerana
petanda buruk atau sial akan tiba . Selain itu, ibu mengandung tidak
dibenarkan untuk keluar pada waktu malam kerana banyak roh-roh yang
jahat yang berkeliaran di luar.
b) Pantang Larang Kelahiran
Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga
yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua
minggu pertama , orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan
perubatan. Jika proses bersalim secara pembedahan , ibu yang baru bersalin
tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan
akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi
ibu yang bersalin, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin.
c) Pantang Larang Ketika Tetamu Berkunjung ke Rumah
Tuan rumah tidak boleh membenarkan tetamu yang pertama kali datang
menziarahi melakukan kerja seperti membasuh pinggan. Ini kerana
dipercayai akan membawa sial. Ini kerana tetamu sepatutnya dilayan oleh
tuan rumah.
d) Pantang Larang Dalam Makanan
Apabila makanan hendak dihidang menggunakan daun pisang, air perlu
direnjis dahulu pada daun berkenaan. Kemudian barulah makanan diletak
padanya yang berperanan sebagai pinggan untuk makan. Selesai makan,
terdapat cara daun pisang itu harus dilipat. Sekiranya daun pisang dilipat dari
atas ke bawah, maknanya individu berkenaan berasa puas dengan hidangan
yang dinikmatinya.
Sekiranya daun pisang dilipat dengan cara bahagian bawah (bahagian yang
dekat dengan individu yang sedang makan) dilipat ke atas, isyarat yang
dihantar adalah bahawa kita berpendapat makanan tidak enak dan tidak
berkeinginan untuk berkunjung semula untuk dihidangkan makanan seperti
itu. Selain itu, masyarakat India percaya bahawa sekiranya seorang makan
nasi di temoat yang gelap, maka hantu , penunggu atau roh akan sama-sama
menjamah makanan itu. Akibatnya, individu tadi tidak akan kenyang serta
tidak akan mendapat zat daripada makanan kerana telah diserap oleh "orang
kedua " tadi.
e) Pantang Larang Merisik
Bakal pasangan akan saling membalas kunjungan ketika merisik. Tetapi
ketika rombongan bakal pengantin perempuan, bakal pengantin perempuan
dilarang ikut serta. Hal ini juga kerana ia merupakan perbuatan yang tidak
sopan.
f) Pantang Larang Kematian
i- Gambar si mati tidak boleh digantung secara formal tetapi terbalik.ii- Barang perhiasan perlu dikeluarkan dari ruang tamu.iii- Ahli keluarga perlu mengelilingi mayat sebanyak 3 kali lawan jam
sebagai tanda penghormatan.
iv- Sedikit makanan berupa beras disuapkan sebagai pemberian terakhir “Vaaikkarisi”
BIBLIOGRAFI
Buku
Datin Noor Aini Syed Amir (1991). Malaysian Customs & Etiquette: A Practical Handbook. Petaling Jaya, Selangor: Times Books International
M. Rajantheran & S. Manimaran (1994). Siri Pengetahuan Popular: Perayaan Orang India. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Internet
Ammal. (2010, August 20). Kepelbagaian Bangsa Malaysia – 1 Malaysia, Article 1. Retrieved Mac 28, 2013, from http://ammal90.blogspot.com/2010/08/adat-resam.html
Thanesh. (2010, June 10). Adat Resam Masyarakat India, Article 1. Retrieved Mac 28, 2013, from http://thaneshnesh.blogspot.com/2010/06/adat-resam-masyarakat-india.html
top related