yusof gajah
Post on 08-Dec-2015
239 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
http://yusofgajah.blogspot.sg/2008/05/citra-naive-malaysia.htmlFriday, May 30, 2008
CITRA NAIVE MALAYSIA
Menghampiri penghujung dekad pertama alaf 2000 ini, kerja-kerja seni catan lebih
daripada dua puluh orang pelukis gaya naive Malaysiadiperagakan dalam satu
pemeran besar. Pameran dengan tema Malaysia Naive Art Showcase 2008 adalah
suatu pameran penting yang memperlihatkan perkembangan muktahir seni catan tanah
air di alaf 2000.\
Pameran berkumpulan seni catan naive pertama di Malaysia telah diadakan pada tahun
1998 yang hanya diwakili oleh empat pelukisgaya naive Zila Zain, Shima, Azmi S.H dan
Yusof Gajah. Pameran naive kedua telah berlangsung pada tahun 2001 di mana Yusof
Gajah bergandingan dengan Mat Dollah dan Adeputra dengan tema Appear Innocent.
Kedua-dua pameran naive telah diusahakan oleh Yusof Gajah. Selepas pameran ini
berakhir pelukis-pelukis naive yang terlibat dalam kedua-dua pameran ini membawa
haluan masing-masing menghidupkan citra naive secara bersendirian. Namun atas
usaha Yusof Gajah pelukis unggul Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bapa Pelukis
Naive Malaysia, beliau sekali lagi telah mengikhtiarkan kesinambungan pameran
penting ini.
Tujuan utama pameran Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini pertamanya adalah
untuk meletakkan seni catan gaya naive dilandasan yang sewajarnya sebagai suatu
pergerakan seni yang penting dalam perkembangan seni catan tanah air. Selama ini
seni catan gayanaive di Malaysia bukan sebahagian daripada arus perdana seni catan
kontemporari tanah air. Seni catan gaya naive tidak mendapat tempat malah tidak
diiktiraf dengan sewajarnya. Keadaan ini berlaku antaranya disebabkan oleh sifat karya
seni catan gaya naive yang dipersepsikan sebagai gaya seni catan yang kebudak-
budakan dengan penampilan citra yang tidak serius lagi terlalu “mudah” sifatnya.
Ringkasnya karya-karya gaya naive sebegini dilihat sebagai gaya karya seni catan yang
tidak mencabar dengan alasan ia boleh dilakukan, dicipta, direka oleh sesiapa sahaja.
Tetapi realitinya membuktikan seni catan gaya naive tidak mudah dilakukan. Ia turut
mempunyai ramuan-ramuan formalistik seni catan yang harus dipelajari, dilatih sebelum
dapat dikuasai. Menghasilkan karya gaya naive memerlukan ketrampilan, kemahiran
yang bukan sedikit. Ini hakikat yang perlu diterima.
Pameran Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini memperagakan kepelbagaian karya-
karya citra naive. Kepelbagaian citra naive dapat dilihat dari pengolahan subject-
matter dalam kemeriahan pesta warna-warni yang kelihatan bagai tidak berkesudahan.
Citra lanskap gayanaïve ditampilkan antaranya dengan banjaran gunung, bukit bukau
beralun yang dipenuhi dengan hutan rimba, ladang pertanian serta aliran sungai,
takungan air di kolam, tasik dan pemandangan tepi laut. Mergastua yang berkeliaran di
udara, darat dan air menambahkan lagi keasyikan citra gaya naïve ala romantism.
Khalayak di bawa ke alam fantasi yang dipenuhi dengan spektrum warna-warna segar,
ceria yang kelihatan begitu dekat tetapi realitinya tidak begitu.
Gaya penceritaan secara visual turut menambah keragaman citra gaya naïve dapat
dilihat dalam pameran ini. Kemeriahan, kesibukan suasana kehidupan di luar bandar
dan bandar dengan pelbagai aktiviti turut dirasai malah dapat diidentifikasikan dengan
mudah kerana citra naïve yang dipaparkan mewakili sebahagian daripada pengalaman
yang pernah kita semua lalui pada masa kini dan masa lalu. Persembahan
visual gaya penceritaan secara ini mencetuskan kenangan-kenangan silam dalam
bentuk nostalgia emotif yang memudahkan kefahaman serta apresiasi terhadap karya-
karya gaya naive.
Menerusi Malaysia Naive Art Showcase 2008 ini terkesan dengan jelas unsur-unsur
pribumi Melayu Nusantara yang secara ketara sekali dapat mencipta
identiti gaya naive Malaysia. Citra rumah-rumah lama Melayu tradisional, pengolahan
caragaya kehidupan masyarakat pribumi seperti kelompok etnik Bajau di Sabah.
Bangunan-bangunan rumah kedai yang dibina sebelum meletusnya Perang Dunia
Kedua yang kini menjadi sebahagian daripada warisan sejarah seni bina tanah air di
olah secara naïve menjadikan citra karya nampak nyata dan bukan kesan daripada
ekspresi imaginasi melulu tanpa rujukan.
Unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara gaya naive ini adalah citra yang wajar sekali
diteruskan, dimantapkan malah diperkasakan bagi memperlihatkan kelainan, keunikan
serta dapat menjadi identiti citra gaya naive Malaysia. Orientasi pengolahan,
persembahan subject-matter citra gaya naive yang begitu terperinci sifatnya adalah
suatu kelebihan yang membolehkan unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara dicipta,
diolah secara kreatif. Banyak lagi unsur-unsur pribumi Melayu Nusantara yang masih
menunggu untuk diterokai secara visual bagi meneruskan kelangsungan seni
catan gaya naïve Malaysia yang lebih kreatif dan segar. Ini adalah cabaran yang
menyediakan ruang bagi pelukis gaya naïve Malaysia.
Prof . Madya Mahzan Musa
Jabatan Psikologi & Kaunseling
Kolej Sastera & Sains
Universiti Utara Malaysia
Sintok, 06010
Kedah Darul Aman
16 April 2008
top related