dalam mahkamah rayuan, malaysia di putrajaya … · 39b(1)(a) akta dadah berbahaya 1952 dan boleh...
TRANSCRIPT
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA DI PUTRAJAYA
(BIDANGKUASA RAYUAN)
RAYUAN JENAYAH NO. B-05-304-10/2014
ANTARA
INOMA AFUEKWE VIVIAN …PERAYU
DAN
PENDAKWA RAYA …RESPONDEN
(Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya Di Shah Alam
Perbicaraan Jenayah No.45A-47-03/2012
Antara
Pendakwa Raya
Dan
Inoma Afuekwe Vivian)
CORAM:
MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR
TENGKU MAIMUN BT TUAN MAT, HMR
AHMADI BIN HAJI ASNAWI, HMR
2
PENGHAKIMAN
[1] Ini adalah rayuan perayu di atas sabitan dan hukuman mati
mandatori yang telah dijatuhkan ke atas beliau oleh Mahkamah Tinggi di
atas satu kesalahan di bawah s.39B, Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘ADB,
1952’) seperti berikut:
“Bahawa kamu pada 17 September 2011, jam lebih kurang jam 11.30
malam di kawasan tuntutan Bagasi E, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras
3, MTB, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di dalam
daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah memperedar
dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 2,245.9 gram. Oleh
yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen
39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah
seksyen 39B(2) Akta yang sama.”
[2] Kami telah mendengar dan seterusnya menolak rayuan perayu.
Sekarang kami perturunkan alasan-alasan kami.
Kes Pihak Pendakwaan
[3] Pada 17.9.2011, PW-2 (Sarjan Mejar Hairudin) dan anggota-
anggotanya yang sedang membuat pemerhatian rutin di kawasan
tuntutan bagasi telah melihat perayu berdiri berseorangan di kawasan
tersebut. Perayu kemudian bergerak dengan perlahan sambil menoleh
ke kiri dan ke kanan dan ada kalanya berhenti dan bergerak semula serta
3
teragak-agak sambil menolak sebuah troli yang mengandungi 4 buah
bagasi di atasnya.
[4] SP-2 kemudian mengarahkan anggota-anggotanya untuk
memeriksa penumpang-penumpang yang menghala keluar dari kawasan
tersebut menuju ke kawasan pemeriksaan Kastam. SP-2 bersama
Koperal Rusniyah pula telah menghampiri perayu dan selepas
memperkenalkan diri telah mengarahkan perayu untuk menjalankan
imbasan ke atas bagasi-bagasi yang dibawanya di mesin pengimbas
Kastam.
[5] Setelah membuat imbasan, SP-2 telah melihat satu bagasi warna
merah berjenama ‘Success’ (eksibit P10) dalam keadaan yang
mencurigakan. Setelah diarahkan oleh SP-2, perayu telah membuka beg
tersebut dengan menggunakan kunci yang ada padanya. Hasil
pemeriksaan mendapati banyak kotak-kotak yang mengandungi ‘Lip
Gloss’. Perayu kemudiannya telah dibawa ke Pejabat Siasatan Jenayah
Narkotik untuk pemeriksaan lanjut.
4
[6] Bagasi eksibit P10 tersebut mempunyai tag nama perayu di
atasnya. Hasil pemeriksaan di Pejabat Narkotik menunjukkan bagasi
tersebut mengandungi 25 kotak 5D Super Moisturing (eksibit P20 (A
hingga Y)) dan di dalam setiap kotak tersebut terdapat 24 batang
Romantic Super Lip Gloss (eksibit P21C (A hingga X)). Apabila setiap
penutup Lip Gloss itu dibuka terdapat plastik lut sinar (eksibit P22 (A
hingga X)) yang membaluti kertas timah (eksibit P23 (A hingga X)).
Dalam setiap balutan kertas timah tersebut mengandungi bahan-bahan
disyaki dadah.
[7] Perayu telah ditangkap dan barang-barang kes tersebut dirampas.
Pada 18.9.2011, kira-kira lebih kurang jam 6.00 pagi, perayu bersama-
sama dengan barang-barang kes dan Borang Bongkar telah diserahkan
kepada pegawai penyiasat (SP-5, Insp. Eddy Amin Hussin Ala).
[8] Ahli Kimia (SP-3, Dr. Vanitha Kunalan) telah menganalisis bahan-
bahan yang disyaki dadah tersebut dan mengesahkan bahan-bahan
tersebut adalah dadah Methamphetamine seberat 2,245.9 gram (selepas
ini dirujuk sebagai ‘dadah tersebut’). SP-3 juga menyatakan
Methamphetamine adalah disenaraikan dalam Jadual Pertama, ADB,
1952. Laporan beliau adalah eksibit P61.
5
[9] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah
mendapati bahawa dadah tersebut dijumpai tersembunyi dalam bagasi
P10 yang dibawa oleh perayu dan perayu mempunyai kunci bagasi
tersebut. Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa perayu
mempunyai kawalan dan milikan ke atas bagasi tersebut lantaran
perayulah yang telah check in bagasi tersebut bagi penerbangannya dari
Murtala Muhammed Airport, Lagos, Nigeria, ke KLIA, Malaysia. Semasa
ditangkap bagasi tersebut ada dalam jagaan dan kawalan perayu. Pada
akhirnya dalam Alasan Penghakiman di m.s. 11, Jilid 1, Rekod Rayuan
(RR), hakim bicara yang bijaksana mendapati:
“OKT ditangkap sememangnya secara fakta (tak tersangkal) semasa
ada kawalan dan milikan ke atas P10. Di bawah seksyen 37(d), Akta
Dadah Berbahaya 1952 dia adalah ‘deemed to have in his possession of
the drug and to have known the nature of such drug until the contrary is
proved’. Mahkamah membuat pendapat sedemikian.”
[10] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa rantaian
keterangan barang kes tidak pernah terputus bermula daripada rampasan
barang kes tersebut oleh SP-2 dan serahan kepada pegawai penyiasat,
SP-5, sehinggalah penyerahan kepada SP-3 untuk dianalisis dan
seterusnya sehingga dikemukakan di Mahkamah sebagai barang kes
melalui SP-3.
6
[11] Berkaitan dengan perihal pengedaran dadah tersebut, hakim bicara
yang bijaksana mendapati bahawa adalah tidak munasabah
Methamphetamine seberat 2,245.9 gram tersebut adalah untuk kegunaan
perayu sendiri. Hakim bicara yang bijaksana seterusnya mendapati
bahawa berdasarkan kepada cara dadah tersebut disembunyikan dan
dibawa masuk dalam kuantiti yang banyak, maka hanya satu inferen yang
boleh dibuat iaitu dadah tersebut dibawa masuk dengan maksud untuk
tujuan pengedaran. Perbuatan perayu tersebut adalah terjumlah dalam
definisi mengedar dadah di bawah s.2, ADB, 1952. Dengan itu perayu
telah dipanggil untuk membela diri.
Pembelaan Perayu
[12] Perayu memberi keterangan secara bersumpah dan mendakwa
beliau adalah pembawa yang tidak bersalah (innocent carrier) yang tidak
tahu menahu tentang dadah dalam bagasi eksibit P10 tersebut.
[13] Perayu mengaku di Nigeria beliau adalah seorang wedding planner
dan telah datang ke Malaysia buat julung kalinya untuk membeli barang-
barang perkahwinan sambil bercuti. Beliau bercadang untuk membeli
7
beberapa cincin perkahwinan, mahkota perkahwinan dan pakaian-
pakaian perkahwinan seorang Islam.
[14] Beliau hanya membawa USD 3000 walhal budget perbelanjaannya
adalah USD10,000 dan akan meminta wang dari Nigeria sekiranya perlu.
[15] Di lapangan terbang di Nigeria sebelum berlepas ke Malaysia beliau
melihat seorang penumpang telah menangis dan menjerit-jerit kerana
kononnya dia telah diberitahu melalui telefon bahawa ibunya telah
meninggal dunia. Oleh itu penumpang tersebut tidak dapat meneruskan
perjalanannya ke Malaysia kerana terpaksa menghadiri upacara
pengebumian ibunya.
[16] Penumpang tersebut mengenalkan dirinya sebagai Dave dan telah
bertanya perayu sama ada perayu ingin ke Malaysia dan turut bertanya
sekiranya beliau (perayu) boleh membawa bagasinya yang mengandungi
gincu (lip gloss) yang telah tamat tempoh (expired) penggunaannya untuk
dipulangkan kepada pihak Kastam Malaysia.
8
[17] Perayu menyatakan kesanggupannya untuk memenuhi permintaan
Dave. Namun begitu beliau hanya bertanya tentang kandungan bagasi
tetapi tidak pula membuka bagasi tersebut untuk memeriksa sekiranya
benar wujud gincu berkenaan. Perayu juga telah diberi kunci bagasi
tersebut oleh Dave dan perayu turut diberitahu untuk menyerahkan
bagasi tersebut kepada kakak Dave bernama ‘Chuckwunouye’ setibanya
di KLIA, Malaysia.
[18] Setibanya di KLIA, perayu telah ditangkap oleh SP-2. Semasa
ditangkap beliau memiliki secara fizikal bagasi P10 yang telah diberikan
oleh Dave kepada beliau untuk dibawa ke Malaysia. Naratif seterusnya
adalah sama seperti naratif SP-2 di perenggan-perenggan terdahulu.
[19] Hakim bicara yang bijaksana telah memperincikan dalam Alasan
Penghakiman di m.s. 22 hingga 30, Jilid 1, RR, faktor-faktor yang
diambilkira untuk menilai keterangan pembelaan perayu yang didapati
tidak munasabah atau tidak masuk akal khususnya tentang dakwaannya
bahawa kedatangannya ke Malaysia adalah untuk membeli barangan
peralatan perkahwinan dan bahawa beliau bersimpati dengan Dave dan
bersetuju untuk membawa bagasi eksibit P10 tersebut ke Malaysia tanpa
mengetahui isi kandungannya.
9
[20] Di m.s. 30 Jilid yang sama hakim bicara yang bijaksana mendapati:
“Meneliti semua faktor keterangan yang diperturunkan di
atas….Mahkamah ini membuat pendapat bahawa bukan sahaja OKT ada
milikan dan kawalan ke atas P10 dan kandungannya, akan tetapi OKT
mengetahui dan mempunyai niat untuk mengedar dadah yang
tersembunyi secara licik dalam bagasi itu, yang semuanya adalah
terkandung dalam penutup gincu (‘lip gloss’).” OKT adalah jelas ‘wilfully
blind’ dan sememangnya jelas bukan seorang ‘innocent carrier’.
[21] Hakim bicara yang bijaksana seterusnya mendapati watak Dave
adalah satu rekaan semata-mata. Demikian juga dakwaan perayu
bahawa dia telah terserempak dengan Dave semasa beratur di lapangan
terbang di Lagos adalah satu rekaan juga dan watak Chuckwunouye yang
dikatakan kakak Dave langsung tidak boleh dipercayai. Hakim bicara
yang bijaksana pada akhirnya membuat dapatan tidak mempercayai
perayu langsung.
[22] Di akhir perbicaraan, Mahkamah mendapati bahawa pihak
pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan
yang munasabah dan pihak pembelaan telah gagal untuk membangkitkan
apa-apa keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Dengan
demikian perayu telah disabitkan di atas pertuduhan mengedar dadah
yang dikenakan ke atasnya dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati
di atas sabitan tersebut.
10
Alasan Rayuan
[23] Perayu telah mengunjurkan 3 alasan berikut:
(i) anggapan pengetahuan di bawah s.37(d), ADB, 1952 telah
dibangkitkan (invoked) secara salah oleh hakim bicara;
(ii) tidak ada perbuatan nyata (overt acts) dibuktikan untuk
menunjukkan perbuatan pengedaran dadah; dan
(iii) pembelaan perayu tidak dipertimbangkan dengan betul.
Keputusan Kami
Alasan (i) - Anggapan pengetahuan di bawah s.37(d) dibangkitkan
secara salah
[24] Peguambela yang bijaksana menghujahkan bahawa anggapan di
bawah s.37(d), ADB, 1952, tidak boleh dibangkitkan untuk membuktikan
pengetahuan dalam keadaan di mana wujud keterangan langsung
bahawa perayu mempunyai pengetahuan tentang dadah di dalam bagasi
eksibit P10 yang dibawanya dari Nigeria ke KLIA, Malaysia. Ini telah
memprejudiskan perayu kerana beliau perlu memikul beban keterangan
(evidential burden) yang lebih berat untuk mematahkan anggapan
tersebut di atas imbangan kebarangkalian berbanding dengan beban
11
untuk hanya menimbulkan keraguan yang munasabah sekiranya beliau
didapati mempunyai milikan dan pengetahuan mens rea ke atas dadah
tersebut. Seterusnya hakim bicara yang bijaksana juga tidak membuat
dapatan di akhir perbicaraan sama ada perayu telah berjaya mematahkan
anggapan di bawah s.37(d) tersebut atau sebaliknya. Ketinggalan ini
adalah fatal.
[25] Kami telah meneliti keseluruhan keterangan yang diunjurkan
dengan cermat dan kami mendapati tidak wujud sebarang keterangan
bahawa perayu telah mengakui beliau membawa bagasi eksibit P10
tersebut dengan pengetahuan bahawa bagasi tersebut mengandungi
dadah. Timbalan Pendakwa Raya (‘TPR’) yang bijaksana juga tidak
mendakwa perayu ada membuat pengakuan yang sedemikian.
[26] Kami juga mendapati tidak wujud keterangan langsung yang
menunjukkan bahawa perayu telah membawa bagasi tersebut dengan
pengetahuan ia mengandungi dadah. Peguambela yang bijaksana tidak
pula menunjukkan apakah keterangan langsung yang wujud untuk
mengatakan bahawa perayu mempunyai pengetahuan bagasi yang
dibawa tersebut mengandungi dadah.
12
[27] Apa yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan adalah perayu,
ketika ditangkap, mempunyai kawalan dan jagaan ke atas bagasi eksibit
P10 yang mengandungi dadah tersebut. Keterangan juga menunjukkan
beliau telah check-in bagasi tersebut di Murtala Muhammed Airport,
Lagos, Nigeria dan bagasi tersebut diberi nombor tag yang eksklusif atas
nama perayu seorang. Keterangan juga menunjukkan perayu telah
berangkat terbang dari Nigeria bersama bagasi tersebut.
[28] Dalam keadaan yang sedemikian TPR yang bijaksana menyatakan
melalui Ucapan Pembukaannya (di m.s. 261, Jilid 4, RR) bahawa pihak
pendakwaan akan bergantung kepada anggapan di bawah s.37(d), ADB,
1952, untuk membuktikan bahawa perayu mempunyai pemilikan dan
pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai di dalam bagasi eksibit P10
berkenaan dan akan bergantung kepada definisi perbuatan mengedarkan
dadah seperti diperuntukkan di bawah s.2, ADB, 1952 untuk membuktikan
bahawa perayu telah mengedarkan dadah tersebut. Ini merupakan
konsesi pihak pendakwaan bahawa tidak wujud keterangan langsung
(direct evidence) yang menunjukkan perayu mempunyai pengetahuan
bahawa bagasi eksibit P10 yang dibawa itu mengandungi dadah.
13
[29] Pemilikan (possession) yang melibatkan elemen kawalan (control)
atau jagaan (custody) tidak boleh wujud tanpa elemen pengetahuan
(knowledge). Berbeza dengan elemen kawalan atau jagaan yang boleh
dibuktikan melalui keterangan langsung (direct evidence), elemen
pengetahuan yang melibatkan keadaan minda seseorang, amat sukar
untuk dibuktikan melainkan wujud pengakuan yang nyata. Malah
Thomson H (pada ketika itu) dalam kes Chan Pean Leon v PP [1956] 1
LNS 17, menyatakan pengetahuan tidak boleh dibuktikan melalui
keterangan langsung dan hanya boleh dibuktikan melalui inferen dari
keadaan sekeliling yang menyelubungi kes berkenaan (lihat juga Parlan
Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717; Emmanuel Yaw Teiku v PP [2006] 3 CLJ
597; Samurdee Devan Muthu Kerishnan v PP [2010] 3 CLJ 269)
[30] Anggapan undang-undang yang diunjurkan melalui s.37(d), ADB,
1952, adalah sebahagian daripada arsenal yang dimiliki oleh pihak
pendakwaan yang boleh dibangkitkan kerana sukarnya untuk
membuktikan elemen pengetahuan melalui keterangan langsung atau
untuk menutup kelompangan dalam aliran keterangannya seperti yang
dianjurkan oleh Thomson H dalam kes Chan Pean Leon v PP (supra).
Pemakaian anggapan di bawah seksyen ini hanya tertakluk kepada rider
bahawa seseorang yang dituduh tersebut terbukti mempunyai kawalan
14
atau jagaan ke atas apa jua barangan (container) yang mengandungi
dadah tersebut sehinggalah dibuktikan sebaliknya.
[31] Dalam nafas yang sama, anggapan ini tidak dimaksudkan untuk
dibangkitkan dalam keadaan di mana seseorang tertuduh itu didapati
mempunyai kawalan atau jagaan atau milikan ke atas dadah tersebut
secara fizikal, misalnya dadah tersebut berada di dalam genggamannya,
atau di dalam poket seluarnya atau diikat pada badannya atau berada di
dalam perutnya. Dalam keadaan seperti ini di mana kategorinya tidak
pernah tertutup, elemen pengetahuan sememangnya sudah tersedia
embedded dalam keseluruhan rangka (scheme) pengawalan atau jagaan
atau milikan dadah tersebut. Keadaan-keadaan seperti ini pada
kebiasaannya juga boleh menimbulkan inferensi yang kuat bahawa
tertuduh tersebut mempunyai pengetahuan penuh tentang dadah yang
berada dalam kawalan atau jagaan atau milikannya. Juga, di mana wujud
keterangan yang menunjukkan milikan sebenar (actual/mens rea
possession) oleh tertuduh, hakim bicara sewajarnya membuat satu
dapatan positif bahawa tertuduh mempunyai milikan sebenar ke atas
dadah tersebut dan anggapan di bawah s.37(d) tidak sepatutnya
dibangkitkan.
15
[32] Walau apa pun, anggapan di bawah s.37(d), ADB, 1952, bukanlah
satu mechanism automatik bagi menggesa (compel) Mahkamah
membangkitkan anggapan pemilikan dan pengetahuan apabila jagaan
dan kawalan dibuktikan. Dalam kes Emmanuel Yaw Teiku v PP (supra),
Mahkamah Persekutuan menyatakan:
“[14] Hence, under the Act there is no mandatory rule to require for the
invocation of s.37(d) to establish the element of possession on a charge
of trafficking of dangerous drugs. Where the facts and circumstances
warrant, it would be sufficient to establish actual possession cum
knowledge from the totality of the evidence adduced. As to the nature or
kind of evidence required to show knowledge, it would depend on the
facts and circumstances of each case.”
[33] Di dalam rayuan di hadapan kami, pihak pendakwaan nyata telah
berjaya membuktikan perayu mempunyai kawalan atau jagaan penuh ke
atas bagasi eksibit P10 tersebut. Ini adalah persoalan fakta dan juga
dapatan fakta yang diperoleh oleh hakim bicara yang bijaksana. Dalam
ketiadaan keterangan langsung bahawa perayu mempunyai pengetahuan
berkenaan dengan dadah yang terkandung di dalam bagasi tersebut,
yang juga merupakan satu persoalan fakta yang perlu diputuskan oleh
hakim bicara, maka pada hemat kami hakim bicara tidak khilaf dan telah
bertindak dengan betul apabila beliau membangkitkan anggapan di
bawah s.37(d) untuk mengaitkan (fasten) perayu dengan pemilikan dan
pengetahuan ke atas dadah tersebut atau untuk membuktikan bahawa
16
perayu mempunyai pemilikan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut.
Kesemua pre-requisite untuk membangkitkan anggapan tersebut telah
dipenuhi oleh pihak pendakwaan. Maka tidak ada asas untuk
mempertikaikan keputusan hakim bicara membangkitkan anggapan di
bawah s.37(d) tersebut yang memihak kepada kes pendakwaan. Juga,
dalam situasi yang seperti ini, tidak ada undang-undang yang boleh
menghalang hakim bicara dari membangkitkan anggapan tersebut ke
atas perayu.
[34] Berdasarkan kepada segala keterangan yang telah dikemukakan,
kami dapati bahawa hujahan yang dibangkitkan oleh peguambela yang
bijaksana berkenaan dengan isu ini tidak mengandungi apa-apa merit
langsung.
[35] Seterusnya kami bersetuju dengan hujahan peguambela yang
bijaksana bahawa hakim bicara telah khilaf apabila gagal untuk membuat
dapatan sama ada perayu telah berjaya mematahkan anggapan di bawah
s.37(d) yang dibangkitkan ke atasnya atau sebaliknya. Namun
ketinggalan atau kegagalan ini pada hemat kami tidak fatal dan langsung
tidak memprejudiskan perayu. Ini kerana hakim bicara yang bijaksana
telah mengenakan beban yang lebih rendah ke atas perayu untuk
17
menyangkal anggapan tersebut iaitu dengan menggunakan ujian
‘menimbulkan keraguan yang munasabah’ dan tidak (instead of)
menggunakan bebanan yang lebih tinggi iaitu dengan ujian ‘di atas
imbangan kebarangkalian’ – lihat para 16, m.s. 36, 37, Jilid 1, RR. Perayu
sebenarnya telah mengaut faedah (benefit) dari kekhilafan hakim bicara
yang menggunakan ujian yang lebih rendah ke atasnya. Sungguhpun
begitu pada hemat hakim bicara, perayu masih gagal untuk melepaskan
bebanan tersebut. Mengambilkira keseluruhan hal keadaan yang
menyelubungi kes ini, kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan fakta
hakim bicara yang bijaksana tersebut.
Alasan (ii) – tidak ada overt acts dibuktikan untuk menunjukkan
perbuatan mengedarkan dadah
[36] Peguambela yang bijaksana menghujahkan berdasarkan kepada
anggapan pemilikan dan pengetahuan tentang dadah tersebut dan
kuantiti dadah yang cukup besar, hakim bicara yang bijaksana telah
membuat inferen bahawa jumlah dadah yang besar tersebut tidak
mungkin untuk kegunaan sendiri tetapi untuk diedarkan dan dengan itu
telah memanggil perayu untuk membela diri. Peguambela yang bijaksana
lantas berhujah bahawa ini adalah satu kaedah yang digunakan untuk
18
circumvent larangan untuk membangkitkan anggapan berganda seperti
yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammed bin
Hassan v PP [1998] 2 MLJ 273. Seterusnya, tidak ada overt acts telah
dibuktikan terhadap perayu yang menunjukkan beliau telah mengedarkan
dadah tersebut selain memiliki dan membawa dadah tersebut dari Nigeria
ke Malaysia.
[37] Peguambela yang bijaksana telah memperkukuhkan hujahannya
dengan mengunjurkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes
Soorya Kumar a/l Narayanan & Anor v PP [2013] 1 MLJ 1, di mana fakta-
fakta dalam kes tersebut telah dibezakan dengan fakta-fakta yang
terdapat dalam kes PP v Abdul Manaf bin Muhammad Hassan [2006] 3
MLJ 193, lalu diputuskan:
“[28] Accordingly, having considered the facts and circumstances of this
case we are of the view that the learned trial judge should have been
slow in making the inference of trafficking based solely on the
quantity of drug found. This case can be distinguished from that of
Manaf’s case. For instance, except for the large quantity of drug found in
both cases, the circumstances when the drugs were found differed. In this
case the drug was found in bulk inside the plastic sacks. In Manaf’s case
the accused was travelling in a taxi when he was caught with the drug
packed in small packets and tucked at his waist as well as inside the
pockets of his track top and trousers. (Penekanan oleh kami).
[29] It is therefore reasonable and plain common sense to infer in Manaf’s
case that the accused must have known of the existence of the drug and
in view of the large quantity and the manner it was packed it could
reasonably be inferred that it was for sale and thus satisfied the element
of trafficking. In our view there were two factors considered in Manaf’s
19
case that let this court to make the inference of trafficking, namely,
‘the manner the drug was being carried’ and ‘the total amount of the
drug involved’. (Penekanan oleh kami).
[30] But the same cannot be said in the present case. The appellants
merely loaded the plastic sacks onto the lorry. There was no evidence that
they had the opportunity to open any of the plastic sacks to check their
contents. Meanwhile, each of the plastic sacks must have been heavy
since each had to be dragged by the appellants from the river bank onto
the back of the lorry. But such fact proves nothing. No evidence was
adduced to show the comparable weight of one plastic sack of batik
clothes so as to allow an inference that the apparent weight of the contents
of the plastic sacks could not have been batik clothes as asserted by the
appellants.
[31] At best therefore is that the appellants were caught while carrying the
drug from the river bank onto the lorry. And it was said ini Manaf’s case
and which we agree that ‘the mere act of carrying is not sufficient to
constitute the offence of trafficking’.”
[37] Berpandukan kepada nas di atas, peguambela yang bijaksana
lantas menghujahkan ketika ditangkap, perayu dalam kes semasa hanya
membawa bagasi eksibit P10 tersebut dan dengan itu beliau tidak boleh
dikatakan telah mengedar dadah tersebut.
[38] Berhubung dengan hujah bahawa anggapan yang dibangkitkan di
bawah s.37 (d) ADB, 1952 untuk membuktikan pemilikan dan berat dadah
per se telah digunakan untuk membuktikan elemen pengedaran sebagai
satu helah untuk circumvent larangan anggapan berganda, pada hemat
kami isu ini merupakan isu basi yang telah ditangani oleh Mahkamah
Persekutuan dengan muktamad bertahun-tahun yang lalu. Sehubungan
20
dengannya memadai bagi kami untuk hanya merujuk kepada kes PP v
Lim Hock Boon [2009] 3 MLJ 604, di mana Mahkamah Persekutuan
melalui Nik Hashim, HMP, di m.s. 628 telah memutuskan:
“[32] Thus, the reliance placed by the Court of Appeal on Chow Kok
Keong, to hold that the definition section under s.2 of Act could never be
invoked to impose criminal liability, was, with respect, misplaced.
[33] A good example where the definition of trafficking in s.2 of the Act
was invoked is in the case of Public Prosecutor v Abdul Manaf Muhamad
Hasan [2006] 3 MLJ 193; [2006] 2 CLJ 129. There the Federal Court, in
order to avoid contravening the bar against the use of double presumptions
following the case of Muhammed Hassan v Public Prosecutor [1998] 2 CLJ
170, substituted the presumption of trafficking under s.37(da) of the Act
relied on by the trial court, to find trafficking in the dangerous drugs by
carrying under s.2 of the Act. The Federal Court ruled that the Court of
Appeal ought to have applied the proviso to s.60(1) of the Courts of
Judicature Act 1964 and upheld the conviction and sentence
notwithstanding the misdirection by the learned trial judge in applying the
double presumptions under 37(d) and (da) of the Act to convict the
accused.
[34] It is worthy of note that there is only one offence of trafficking under
the Act. However, there are several acts that may constitute the offence.
If the prosecution is not able to bring its case within one of the acts (see
Ong Ah Chuan v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64) under s.2 of the Act,
but is nevertheless able to establish the existence of primary facts that
draw the presumptions under the Act, then the court is enjoined to draw
those presumptions, subject of course to the bar as set out by Muhammed
Hassan.
[39] Dalam kes PP v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan (supra) pula,
fakta kes dan isu yang berbangkit di hadapan Mahkamah Persekutuan
secara ringkasnya adalah sebagaimana dihuraikan dalam head note kes
tersebut seperti berikut:
21
“Responden/tertuduh telah ditangkap semasa menaiki teksi, Paket-paket
kecil mengandungi heroin telah ditemui dalam lipatan seluar di bahagian
pinggangnya, poket sebelah kanan dan kiri baju treknya dan dalam poket
seluarnya. Responden telah dituduh kerana kesalahan mengedar dadah
berbahaya di bawah s.39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta
tersebut’). Beliau telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh
Mahkamah Tinggi.
Semasa merayu ke Mahkamah Rayuan ia telah diputuskan bahawa hakim
perbicaraan telah terkhilaf dalam menggunakan andaian berganda
terhadap responden, iaitu pertama dengan menggunakan s.37(d) Akta
tersebut untuk membuktikan pemilikan dan berikutnya menggunakan
s.37(da) Akta tersebut untuk membuktikan pengedaran. Mahkamah
Rayuan kemudian memutuskan bahawa di bawah penyalaharahan hakim
perbicaraan itu, tertuduh patut didapati bersalah terhadap kesalahan yang
lebih ringan iaitu pemilikan sahaja. Responden oleh itu dijatuhkan
hukuman 16 tahun penjara dan 10 sebatan rotan. Pihak pendakwa telah
merayu ke mahkamah ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan
tersebut.
Pihak pendakwa berhujah bahawa meskipun berlaku penyalaharahan
oleh hakim perbicaraan yang bijaksana dalam menggunakan andaian
berganda itu, adalah wajib untuk Mahkamah Rayuan menimbangkan
keseluruhan keterangan di hadapan mahkamah dan tiba kepada
penemuan sama ada fakta tersebut yang diputuskan oleh hakim
perbicaraan itu menyokong sabitan di bawah s.39B(1)(a) Akta tersebut.
[40] Mahkamah Persekutuan, melalui Arifin Zakaria, HMP (pada ketika
itu) telah mengetepikan anggapan pengedaran di bawah s.37(da) dan
atas fakta-fakta yang telah dikemukakan, menggantikannya dengan
pengedaran dadah dengan cara membawa, salah satu perbuatan
pengedaran di bawah definisi s.2, ADB, 1952, seperti berikut, di m.s. 206:
“[21] In the present case, the drug was carried in small plastic packets
each containing small quantity of the drug. According to the evidence,
39.77g of heroin was found in a number of small plastic packets tucked in
his waist, while 50 small plastic packets containing 9.09g of heroin was
found in the right side pocket and another 30 small plastic packets
22
containing 5.57g of heroin was found in the left side pocket of the track top
he was wearing. 20 small plastic packets were found in each of the right
and left pockets of his trousers, containing a total of 7.66g of heroin.
Judging from the manner the drug was being carried, ie in small
plastic packet and taking into account the total amount of the drug
involved, the reasonable inference that may be drawn is that the
respondent was in fact carrying it for the purpose of trafficking. And
bearing in mind the large quantity of the drug involved, it cannot be
seriously contended that the drug was for his own consumption. In
any event, it was never suggested in his defence that it was so. His
defence was a mere denial that the drug was ever found on him. This was
rejected by the learned trial judge. We are satisfied he was not just a
passive carrier. Armed with these facts, we are satisfied that had the
learned trial judge properly directed himself, he would nonetheless have
come to the same finding. In the circumstances, we hold that the Court of
Appeal ought to have applied the proviso to s.60(1) of the CJA and upheld
the conviction and sentence notwithstanding the misdirection by the
learned trial judge. For the above reasons, this appeal is allowed and the
order of the Court of Appeal is set aside. Accordingly, the conviction and
sentence imposed by the High Court are reinstated and affirmed.”
(Penekanan oleh kami)
[41] Berdasarkan kepada otoriti-otoriti di atas kami dapati hujahan
peguambela yang bijaksana berhubung dengan isu wujudnya usaha
untuk circumvent larangan pemakaian anggapan berganda tidak
mengandungi sebarang merit sama sekali.
[42] Seterusnya kami dapati selain daripada jumlah dadah yang sama-
sama besar, fakta-fakta dalam kes Soorya Kumar (supra) dengan kes
rayuan semasa di hadapan kami dapat dibezakan. Pertamanya, dalam
kes semasa dadah tersebut disorokkan dalam berpuluh-puluh penutup
23
gincu dengan begitu licik sekali manakala dalam kes Soorya Kumar
(supra) dadah hanya dimasukkan dalam karung-karung guni plastik tanpa
diselindungi. Keduanya, perayu dalam kes semasa mempunyai segala
peluang untuk menyiasat apa yang dibawa olehnya atas permintaan
Dave, manakala dalam kes Soorya Kumar, tidak ada keterangan bahawa
perayu telah melihat kandungan guni-guni tersebut selain dari dilihat
memunggah berguni-guni dadah tersebut ke atas lori.
[43] Dalam kes rayuan semasa, hakim bicara yang bijaksana mendapati
tidak terdapat apa-apa keterangan bahawa dadah tersebut adalah untuk
kegunaan perayu dan tidak munasabah dadah seberat 2,245.9 gram
adalah untuk kegunaan perayu sendiri. Seterusnya beliau mendapati
bahawa berdasarkan kepada cara dadah tersebut disembunyikan dan
dibawa masuk dalam kuantiti yang banyak itu, maka hanya ada satu
inferen yang boleh dibuat, iaitu ia adalah untuk tujuan pengedaran – sila
lihat para 6, m.s. 17, Alasan Penghakiman, Jilid 1, RR.
[44] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara di atas.
Beliau tidak bergantung hanya kepada amaun dadah yang besar untuk
membuat inferen bahawa dadah tersebut di bawa masuk ke negara ini
dengan tujuan untuk diedarkan seperti didakwa oleh peguambela yang
24
bijaksana, tetapi juga telah mengambilkira dan mendapati cara dadah
tersebut disembunyikan semasa dibawa hanya menimbulkan satu inferen
bahawa dadah tersebut dibawa dengan tujuan untuk diedarkan, satu
perbuatan yang terangkum di bawah definisi mengedarkan dadah di
bawah s.2, ADB, 1952.
[45] Kami mendapati dalam hal ehwal keseluruhan keadaan yang
menyelubungi kes ini, cara dadah tersebut disembunyikan/disorokkan
semasa dibawa dengan amaunnya yang begitu besar adalah overt acts
oleh perayu untuk mengedarkan dadah tersebut. Dari cara dadah
tersebut disorokkan dalam bagasi eksibit P10 tersebut, adalah nyata niat
perayu adalah untuk mengelakkan dadah tersebut dikesan oleh pihak
berkuasa dan seterusnya membawa masuk dadah tersebut ke negara ini
untuk diedarkan. Selanjutnya perayu telah terbang beribu-ribu batu dari
Nigeria dan transit di tengah-tengah perjalanan sebelum sampai ke
negara ini dengan membawa bagasi yang berisi dadah tersebut.
[46] Situasi yang sama telah ditangani oleh Mahkamah ini dalam kes
Wjchai Onprom v PP [2006] 3 CLJ 724. Kami tidak berhasrat untuk
menyisih (depart) dari keputusan kes tersebut di m.s. 733, para 11, yang
memutuskan:
25
“….Here the appellant was caught conveying a large quantity of cannabis
from Thailand to Malaysia. In view of the amount involved, it is safe to
infer that the drug was intended for a third person or persons, known or
unknown. That other person or persons may, to borrow Lord Diplock’s
words, be the ‘actual consumer or a distributor or another dealer’. So this
is not a case of mere passive possession. There were overt acts done
by the appellant, namely the active concealment of the drug on his person
followed by its conveyance from Thailand into Malaysia which reasonably
supports the existence of criminal purpose proscribed by the Act. We
may add that the very same facts also give rise to a strong inference that
the appellant was aware of his possession, knew the nature of the drug
possessed and had the power of disposal over it.”
[47] Isu yang sama dengan keputusan yang sama juga digarap oleh
Mahkamah ini dalam kes Mohamad Yazri Minhat v PP [2003] 2 CLJ 65,
yang menerima pakai prinsip dalam kes Ong Ah Chuan v PP [1981] 1 MLJ
64, di m.s. 69, bahawa:
“As a matter of common sense, the larger the quantity of drugs involved,
the stronger the inference that they were not intended for the personal
consumption of the person carrying them, and the more convincing the
evidence needed to rebut it.”
[48] Dari segi fakta dan undang-undang seperti diterakan di atas, kami
sebenarnya tidak mempunyai asas untuk mengganggu dapatan hakim
bicara yang bijaksana bahawa amaun dadah yang besar dan cara dadah
tersebut dibawa dengan disorokkan sebegitu licik hanya membawa
kepada satu inferen sahaja iaitu dadah tersebut dibawa dengan tujuan
untuk diedarkan.
26
Alasan (iii) – pembelaan perayu tidak dipertimbangkan dengan betul
[49] Peguambela yang bijaksana menghujahkan ‘Dave’ bukan satu
figura rekaan tetapi benar-benar wujud yang ditemui oleh perayu semasa
beratur di Lapangan Terbang Murtala Muhammed di Lagos. Dave telah
menyerahkan bagasi eksibit P10 yang berisi expired lip gloss kepada
perayu, meminta dihantarkan kepada kakaknya, Chukwononye, di
Malaysia dengan tujuan supaya lip gloss tersebut dipulangkan kepada
pihak kastam Malaysia. Dave juga telah membekalkan perayu dengan
SIM kad Malaysia untuk membolehkannya menghubungi Chukwononye.
Di KLIA perayu telah berjaya menghubungi Chukwononye. Beliau
meminta Chukwononye mengambil bagasi eksibit P10 tersebut. Selepas
ditangkap oleh SP-2, telefon yang mengandungi SIM kad yang dibekalkan
oleh Dave berdering beberapa kali tetapi beliau telah dihalang oleh SP-2
untuk menjawab panggilan-panggilan telefon tersebut.
[50] Perayu mengadu bahawa pegawai penyiasat, SP-5, gagal untuk
menyiasat Dave dan Chukwononye walaupun SP-5 mengakui dalam
kenyataan beramarannya, perayu ada menyatakan bagasi eksibit P10
tersebut kepunyaan Dave dan perayu telah diminta oleh Dave supaya
menghantar bagasi tersebut kepada Chukwononye di KLIA.
27
[51] Perayu turut mengadu bahawa SP-5 gagal untuk menyiasat 3
telefon bimbit yang diserahkan kepadanya oleh SP-2 atas alasan bateri
ketiga-tiga telefon tersebut sudah habis. SP-5 juga gagal untuk
menyerahkan ketiga-tiga telefon tersebut untuk penyiasatan pihak
forensik.
[52] Seterusnya dihujahkan bahawa SP-5 mendakwa perayu gagal
untuk membekalkan butir-butir lengkap berkenaan dengan nama, alamat
tempat tinggal dan passport Dave dan Chukwononye. Sungguhpun
begitu, dihujahkan dengan lantang bahawa ia tetap menjadi
tanggungjawab SP-5 untuk menyiasat pembelaan perayu.
[53] Keterangan menunjukkan watak Dave tidak pernah ditimbulkan
oleh pihak pembelaan kepada SP-2, orang pertama yang confront perayu
dengan dadah tersebut.
[54] Pemeriksaan balas ke atas SP-2 berkenaan dengan Chukwunonye
hanya setakat (di m.s. 57, Jilid 1, RR):
“Put: Masa itu OKT ada kata kepada kamu dia sedang hendak ‘contact’
seorang bernama Chukwunonye.
28
J: Tak benar. Saya tak periksa handphone yang OKT pegang masa
itu.
Put: Beg P10 kepunyaan Chukwunonye dan OKT cuba hubungi dia.
J: Tak tahu.”
[55] Perayu ditangkap oleh SP-2 pada kira-kira jam 11.30 malam pada
17.9.2011 dan hanya diserahkan kepada SP-5 pada jam 6.00 pagi,
18.9.2011. Tidak diketahui bila rakaman percakapan perayu yang
mendedahkan kewujudan Dave dan peranan yang dimainkan oleh beliau
dalam kes ini diambil dan diserahkan kepada SP-5 untuk disiasat.
[56] Pada hemat kami pendedahan tentang Dave dan peranan yang
dimainkan oleh Dave yang dibuat hanya semasa percakapan perayu
dirakamkan merupakan satu belated disclosure yang mencadangkan ia
menjurus kepada afterthought dan rekaan terbaharu semata-mata.
[57] Kelewatan tersebut memberi ruang untuk perayu mereka-reka
cerita. Dave dan peranan yang dimainkan oleh Dave merupakan teras
(core) pembelaan perayu. Maka sewajarnya pembelaan ini
diketengahkan atau didedahkan seawal mungkin iaitu sebaik sahaja
dadah tersebut dijumpai oleh SP-2 dari dalam bagasi eksibit P10 yang
dibawa oleh perayu. Pada waktu itu perayu sepatutnya boleh sahaja
29
memberitahu SP-2 bahawa bagasi tersebut sebenarnya kepunyaan Dave
dan beliau diminta oleh Dave membawa bagi tersebut untuk diserahkan
kepada kakaknya di Malaysia.
[58] Kegagalan untuk memberi notis tentang Dave seawal mungkin
melalui SP-2 memberi kesan tentang keberatan (weight) yang wajar
diberikan ke atas pembelaan yang berteraskan kepada peranan yang
dimainkan oleh Dave tersebut. Dalam kes Teng Howe Sing v PP [2009]
3 MLJ 46 di m.s. 62, Mahkamah Persekutuan memutuskan:
“[30]….The learned trial judge’s comments on the late disclosure of the
real identity of ‘Ho Seng’ at the defence stage merely goes to show the
weight that the court attached to the appellant’s defence which is permitted
by the law. On this point we would like to refer to the case of Public
Prosecutor v Badrulsham bin Baharom [1988] 2 MLJ 585, wherein Lim
Beng Choon J at p 591 said that:
…So we are left with nothing more than the bare oral assertion
of the accused that it was Noor Azlan who asked him to collect
the bag on behalf of the former and that the accused himself
had no knowledge of the contents of P3. If that be the case,
one would hardly imagine that he would not have told either
PW3 or PW5 at the railway station at Alor Setar at the time of
his arrest that P3 belonged to Noor Azlan instead of saying that
there was nothing in P3.
[31] In Badrulsham’s case, the court was of the view that the failure of
the accused to inform the raiding officers that the white plastic bag
belonged to Noor Azlan at the time of his arrest and only revealing this
information during the interrogation two hours after his arrest, goes some
way to support the case for the prosecution.”
30
[59] Selanjutnya kami dapati dalih SP-5 beliau tidak dapat menyiasat
Dave dan Chukwunonye kerana ketiadaan nama lengkap, alamat tempat
tinggal dan passport kedua-dua penama tersebut merupakan dalih yang
munasabah. Tanpa perincian tersebut bagaimana gerangannya SP-5
hendak menyiasat mereka berdua. Berpusing satu dunia pun belum tentu
dapat mengesan mereka.
[60] Berkaitan dengan kegagalan untuk menyiasat ketiga-tiga telefon
bimbit tersebut, kami berpandangan kegagalan tersebut tidak
berkeupayaan untuk menggugat kes pihak pendakwaan. Ini kerana
keterangan tentang telefon tersebut hanyalah bersifat corroborative.
Keterangan substantive datangnya dari keterangan SP-2, SP-3 dan SP-5
dan keterangan mereka tetap utuh hingga ke akhir kes. Lagi pun perayu
telah ditangkap redhanded membawa bagasi eksibit P10 yang
mengandungi dadah tersebut. Ini adalah keterangan substantive yang
cukup kuat. Kegagalan untuk menyiasat telefon-telefon tersebut tidak
dapat mengubah fakta ini. Dan beliau pula gagal untuk mendedahkan
kewujudan Dave dan peranannya seawal mungkin.
31
Pembelaan Innocent Carrier
[61] Di hadapan Mahkamah Tinggi, teras pembelaan perayu ialah beliau
adalah seorang innocent carrier tanpa notis. Hakim bicara yang
bijaksana telah menganalisis pembelaan ini dengan panjang lebar dari
m.s. 22 hingga 36, Alasan Penghakiman, Jilid 1, RR. Kami tidak
berhasrat untuk memanjang-manjangkan penghakiman ini dengan
mengulangi faktor-faktor yang diambilkira oleh hakim bicara yang
bijaksana di dalam keputusannya untuk menolak pembelaan tersebut.
Memadai untuk kami menyatakan bahawa kami bersetuju sepenuhnya
dengan dapatan dan keputusan yang diperolehi oleh hakim bicara yang
bijaksana yang mana ianya jelas disokong oleh fakta-fakta dan
keterangan-keterangan yang dibentangkan di hadapannya. Kami tidak
mempunyai asas sama sekali untuk mengganggu dapatan serta
keputusan hakim bicara yang bijaksana tersebut.
Kesimpulan
[62] Berdasarkan kepada segala alasan di atas kami mendapati sabitan
yang dikenakan ke atas perayu adalah selamat. Dengan itu kami
menolak rayuan perayu seraya mengesahkan dan mengekalkan sabitan
dan hukuman gantung sampai mati dengan menggunakan tali yang diikat
pada lehernya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas beliau.
32
BERTARIKH: 5hb. Jun 2017.
( AHMADI HAJI ASNAWI )
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia
Peguambela Perayu:
Chong Yin Xin
T/N Thong Seng Kong & Assoc.
Peguambela Responden:
Puan Norinna Bahadun
Timbalan Pendakwaraya
Jabatan Peguam Negara