didik hibur dalam pengajaran bm
TRANSCRIPT
Didik Hibur-
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah Yang Lebih
Menyeronokkan
Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan kurikulum baru bagi sekolah
rendah dalam sistem pendidikan negara iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) di
mana ia dimurnikan daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum
tersebut telah dilaksanakan mulai tahun 2010. Antara pemurnian yang dilaksanakan ialah
kemahiran didik hibur. Empat elemen yang terkandung dalam didik hibur ialah nyanyian,
aktiviti bercerita, lakonan dan puisi. Menurut Kamus Dewan (2000), didik didefinisikan
sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar manakala hibur didefinisikan sebagai
menggermbirakan atau meriangkan. Oleh itu, didik hibur dapat dirumuskan sebagai satu
pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur
seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.
Strategi memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) telah diumumkan oleh Menteri
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di semua peringkat sekolah. Kerajaan melalui KPM
memberi fokus dan penekanan kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan
murid menerusi pendekatan modular yang bersepadu, holistik dan seimbang. Ia merangkumi
aspek kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar serta menguasai tatabahasa dan
snei bahasa. Penerapan didik hibur di sekolah rendah berfokus kepada apresiasi bahasa untuk
mereliasasikan hasrat transformasi berikut. Terdapat tiga objektif utama pelaksanaan
pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah iaitu
mengguna dan memahami sesuatu pelajaran secara didik hibur, mengguna dan memahami
bahasa yang indah atau bahasa badan dalam aktiviti dan mengguna dan memahami sesuatu
kemahiran yang ditunjukkan secara didik hibur.
Pengajaran dan pembelajaran berunsurkan didik hibur mestilah memeiliki beberapa
ciri-ciri tertentu. Antaranya sesi pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah bersifat
menyeronokkan di mana terkandung unsur kelakar, kecindan, unsur estetik, permainan
muzik, lakonan dan lain-lain. Didik hibur dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan
ketakutan murid terhadap guru. Ini kerana suasana pengajaran dan pembelajaran yang santai
dan positif akan membuatkan murid tertunggu-tunggu untuk mengikuti sesi pembelajaran
pada hari yang akan datang. Pengajaran dan pembelajaran hendaklah berpusatkan murid
kerana melibatkan seramai murid dalam aktiviti berbahasa. Misalnya, aktiviti lakonan yang
dapat mendedahkan murid dalam kemahiran berdialog dengan baik. Selain itu, penggunaan
ICT dan BBM yang menarik ternyata berkesan untuk menarik minat dan fokus murid
terhadap isi pelajaran yang disampaikan.
Selain itu, antara ciri pengajaran dan pembelajaran didik hibur ialah cenderung
kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tidak
mempunyai unsur kalah atau menang, tiada ganjaran mahupun dendaan sebaliknya lebih
menjurus kepada aktiviti berbahasa. Didik hibur yang dipilih dalam sesuatu aktiviti
hendaklah lebih berfokus kepada aktiviti berkumpulana atau berpasangan kerana akan
mewujudkan semangat kerja berpasukan, toleransi dan kerjasama. Melalui didik hibur murid
didapati bebas bersuara, mengeluarkan pendapat serta idea yang bernas dan logik namun
masih terkawal dalam pengajaran dan pembelajaran.
Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa badan. Bahasa
badan merujuk kepada bahasa gerak di mana ia merupakan sebahagian daripada proses
komunikasi dan berperanan menggambarkan sebarang reaksi dalam menunjukkan sesuatu
aktiviti sama ada positif mahupun negatif. Bahasa badan melibatkan apa jua anggota badan
misalnya mata, kening, tangan, lengan dan bibir. Dalam konteks didik hibur, bahas badan
ialah ‘bahasa gerak badan’ yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya
dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian semasa melakukan sesuatu aktiviti.
Didik hibur dapat dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran dan
pembelajaran sesuatu mata pelajaran dengan memberi fokus kepada aktiviti mengguna dan
memahami penyerapan sesuatu situasi. Penyerapan merujuk kepada proses menyerapkan
pelbagai disiplin ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa
proses pengajaran dan pembelajaran (KPM, 2001). Didik hibur merupakan penyerapan
pelbagai ilmu dan tema. Dalam konteks didik hibur proses penyerapan merupakan pproses
menyerapkan ilmu melalui pelbagai aktiviti secara santai dalam pengajaran dan pembelajaran
sesuatu subjek di sekolah.
Terdapat banyak kaedah untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran
bagi subjek Bahasa Melayu yang lebih menyeronokkan. Nyanyian merupakan salah satu
kaedah yang paling digemari oleh murid kerana iringan muzik memberi impak kepada
nyanyian dan dapat membantu murid menguasai kosa kata, sebutan, intonasi, rima dan
struktur ayat. Aspek nyanyian ternyata dapat menceriakan sesi pengajaran dan pembelajaran,
mengukuhkan aspek kemahiran asas berbahasa serta membantu murid mengingati apa-apa
yang dipelajari dengan mudah. Prinsip semasa melaksanakan kaedah nyanyian ialah guru
memilih lagu yang sesuai (tata bahasa, maksud bahasa), melodi yang mudah diikuti, sesuai
dengan tahap kesediaan dan pencapaian, lagu memiliki jalan cerita, pengajaran, motivasi dan
nilai serta tidak membebankan guru dan murid. Antara lagu yang menarik untuk dinyanyikan
ialah Tiga Kupang, Air Pasng Pagi, Oh Bulan dan Lompat Si Katak Lompat.
Kaedah bercerita merupakan satu kaedah yang amat disukai oelh murid kerana kanak-
kanak amat menyukai mendengar cerita. Guru hendaklah bersedia bercerita secara natural
kerana sesuatu cerita dapat memberi pengajaran, nilai murni dan menyuburkan imaginasi
murid. Kaedah bercerita dapat dibahagikan kepada dua iaitu bercerita tanpa alat dan dengan
alat. Antara tajuk cerita yang boleh disampaikan kepada murid ialah Pemotong Kayu dan
Kapaknya, Gagak Yang Bijak dan sebagainya.
Antara elemen lain dalam didik hibur ialah lakonan. Kelebihan aktiviti lakonan ialah
membolehkan murid bertutur dengan gaya, intonasi, suara, nada dan sebutan yang betul.
Selain itu, lakonan membiasakan murid bertutur menggunakan bahasa yang kemas dan
teratur serta membantu murid berinteraksi dengan orang lain untuk menyatakan perasaan,
keinginan, pengalaman dan fikiran mereka. Antara cadangan aktiviti lakonan ialah membuat
lakonan ringkas seperti memberi ucap tahniah, meniru aksi pendaki, melakonkan semula
situasi seperti penjual ikan, melakonkan dialog yang disediakan, meniru aksi yang pernah
dilihat seperti jatuh, melakonkan semula adegan yang pernah dilihat seperti filem dan
melakonkan dengan menggunakan alatan seperti boneka, kain atau bunga.
Faktor kejayaan didik hibur dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran dipengaruhi
oleh guru dan aktiviti. Menurut Pullias & Young (1982), guru merupakan segala-galanya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Manakala Syed Lutfi (1994)
menyatakan guru yang akan menjalankan pelbagai peranan dalam bilik darjah. Ini
membuktikan bahawa kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran adalah terletak
kepada kebijaksanaan dan kepakaran guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, sebagai guru misalnya guru Bahasa Melayu, terdapat
beberapa perkara yang perlu dipatuhi iaitu perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak
menakutkan murid, bahasa yang digunakan mestilah bersesuaian dengan tahap murid, guru
tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak, guru sebagai seorang
pengurus sesuatu aktiviti yang dilaksanakan, guru berkebolehan melakonkan pelbagai watak
dan membuat pelbagai suara. Selain itu, guru mestilah memberi arahan dengan tepat dan
menarik, prihatin, peka dan tajam daya pemerhatian, guru berkebolehan menukar
penyesuaian mendadak dan memainkan perana sebagai fasilitator yang fleksibel.
Didik hibur juga bergantung kepada kejayaan sesuatu aktiviti yang dirancang. Oleh
itu, semasa merancang sesuatu aktiviti guru hendaklah mengambil kira beberapa aspek
seperti aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar, menjalankan
aktiviti yang murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama, penyerapan didik
hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukkan masa pembelajaran yang fleksibel
dan aktiviti dapat dilaksanakan dan diselesaikan bersama murid tanpa menghadapi banyak
halangan atau masalah. Selain itu, aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan
atau konflik antara murid dalam kelas, guru hendaklah menyediakan arahan yang jelas,
mudah difahami dan aktiviti yang dirancang berjaya memberi kepuasan kepada semua murid
yang menyertainya dan dapat disertai seramai murid.