Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA
(BIDANG KUASA RAYUAN)
MAHKAMAH RAYUAN RAYUAN JENAYAH NO: W-06A (LB)-8-07/2016
ANTARA
PENDAKWA RAYA ... PERAYU
DAN
1. HARE KRISHNAN A/L K. SUBRAMANIAM (I/14794) 2. JAFFRI BIN JAAFAR (RF/124039) 3. MOHD NAHAR BIN ABDUL RAHMAN (RF/122839) 4. MOHD HASWADI ZAMRI BIN SHAARI (RF/132728) … RESPONDEN-RESPONDEN
(Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya Di Kuala Lumpur, Perbicaraan Jenayah No: 46B-02-09/2013 & 46B-03-09/2013
Antara
Pendakwa Raya
Dan
1. Hare Krishnan A/L K. Subramaniam (1/14794) 2. Jaffri Bin Jaafar (RF/124039)
3. Mohd Nahar Bin Abdul Rahman (RF/122839) 4. Mohd Haswadi Zamri Bin Shaari (RF/132728))
KORAM:
TENGKU MAIMUN TUAN MAT, HMR MOHD ZAWAWI SALLEH, HMR
IDRUS HARUN, HMR
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH
Latar belakang
[1] Responden Hare Krishnan a/l K. Subramaniam (“responden
pertama”), seorang pegawai polis berpangkat Inspektor di Bahagian
Siasatan Jenayah Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur
telah dihadapkan dengan pertuduhan yang berikut:
“Bahawa kamu bersama-sama Jaffri bin Jaafar (RF/124039); Mohd Nahar bin
Abdul Rahman (RF/122839) dan Mohd Haswadi Zamri bin Shaari (RF132728)
pada 21.5.2013 jam lebih kurang 2.20 petang hingga 4.30 petang, di Pejabat
Siasatan Khas (D9), Tingkat 7 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan
Hang Tuah, dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Dhamendran
a/l Narayasamany (No. KP 811028-14-5551). Oleh yang demikian kamu telah
melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302
Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama.”.
[2] Responden-responden Jaffri bin Jaafar (“responden kedua”),
Mohd Nahar bin Abdul Rahman (“responden ketiga”) dan Mohd Haswadi
Zamri bin Shaari (“responden keempat”) pula menghadapi pertuduhan
yang berikut:
“Bahawa kamu bersama-sama Hare Krishnan a/l K. Subramaniam (I/14794)
pada 21.5.2013 jam lebih kurang 2.20 petang hingga 4.30 petang, di Pejabat
Siasatan Khas (D9), Tingkat 7 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan
Hang Tuah, dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Dhamendran
a/l Narayanasamy (No. KP 811028-14-5551). Oleh yang demikian kamu telah
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
3
melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302
Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama.”.
[3] Responden kedua ialah anggota polis berpangkat Sarjan
manakala responden ketiga dan keempat masing-masing berpangkat
Koperal. Mereka merupakan anggota-anggota bawahan responden
pertama.
[4] Kedua-dua kes telah dibicarakan bersama setelah responden-
responden mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan di
atas. Di Mahkamah Tinggi, responden pertama, kedua, ketiga dan
keempat masing-masing dikenali sebagai tertuduh 1, 2, 3 dan 4.
[5] Di akhir kes pendakwaan, responden-responden telah dilepaskan
dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi. Tidak berpuashati dengan
keputusan tersebut, Pendakwa Raya merayu ke Mahkamah ini. Rayuan
Pendakwa Raya telah dibenarkan. Responden-responden telah
diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dikemukakan
terhadapnya.
[6] Selepas mendengar kes pembelaan, Mahkamah Tinggi sekali lagi
melepaskan dan membebaskan responden-responden.
[7] Di hadapan kami ialah rayuan Pendakwa Raya terhadap perintah
pelepasan dan pembebasan di akhir kes pembelaan tersebut. Setelah
mendengar hujahan pihak-pihak dan meneliti rekod rayuan, kami
sebulat suara menolak rayuan Pendakwa Raya dan mengesahkan
perintah pelepasan dan pembebasan responden-responden. Berikut
adalah alasan kami.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
4
Kes Pendakwaan
[8] Secara ringkas, kes pendakwaan ialah seperti berikut.
Responden-responden ialah pasukan yang bertanggungjawab untuk
menyoalsiasat Dhamendran a/l Narayanasamy (si mati) berikutan satu
kejadian tembakan yang dilepaskan akibat pergaduhan dua (2)
kumpulan kongsi gelap kaum India. Pergaduhan berlaku di kawasan
Cheras. Dalam kejadian tersebut, seorang bernama Saravanan a/l
Naguru (SP21) mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital
HUKM, Bandar Tun Razak.
[9] Si mati telah ditangkap oleh Inspektor Mohd Fauzi bin Mohd Sharif
(SP4) pada 12.5.2013 jam 2.12 pagi. Mulai 13.5.2013 sehingga
21.5.2013, si mati ditahan di lokap D9, IPK Kuala Lumpur. Menurut SP4
dan Pegawai Turus D9, IPK Kuala Lumpur, Supt. Yahya bin Abdul
Rahman (SP17), si mati telah ditangkap dan ditahan untuk disiasat
berhubung dengan kes cubaan membunuh. Kes cubaan membunuh itu
disiasat oleh ASP Mohamed Sazif bin Mohamed Subri (SP46).
[10] Sebaik berlaku pergaduhan dan kejadian tembakan terhadap
SP21 dan sebelum si mati ditangkap oleh pihak polis, pada 11.5.2013
jam 9.35 malam, si mati ada membuat laporan polis (eksibit D15). Dalam
laporan polis itu, si mati menyatakan, antara lain, bahawa SP21 telah
memukul beliau dengan “menggunakan helmet, kayu besi dan parang
bertubi-tubi ke arah saya ... mereka berkata mahu membunuh saya ...
saya telah pengsan di sana ... saya mengalami sakit dan bengkak di
kepala, kedua-dua belah tangan, jari tangan kanan dan kedua-dua kaki
saya ...”.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
5
[11] Pada 21.5.2013, si mati ditemui pengsan oleh responden kedua
dalam lokap. Si mati kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh
paramedik. Turut ditemui dalam lokap ialah satu alat inhaler bagi
penyakit asthma.
[12] Isteri si mati, Marry a/p Mariay Susay (SP15), mengesahkan
bahawa si mati mempunyai penyakit asthma. SP15 juga mengesahkan
bahawa beliau yang memberi inhaler kepada si mati ketika beliau
melawat si mati pada 19.5.2013. Selain itu, SP15 menyatakan bahawa
selain bertemu suaminya di lokap pada 19.5.2013, dia juga telah
berjumpa dengan responden ketiga yang membuka gari di tangan si
mati. SP15 juga berjumpa responden keempat di lokap tersebut.
Menurut SP15, ketika melawat si mati pada 19.5.2013, beliau ada
bertanyakan si mati sama ada dia dipukul. Si mati menjawab bahawa
beliau ‘kena pukul sikit saja’ dan ini berlaku sebelum 19.5.2013. SP15
tidak melihat sebarang kecederaan pada si mati. Si mati berbual-bual
dengan SP15 seperti biasa dan makan makanan yang dibawa oleh
SP15.
[13] Detektif Lance Koperal Mohamad Fairul bin Mohd Fauzi (SP41),
anggota dari Unit Komandan bertugas menjaga lokap pada 21.5.2013
mulai jam 3.00 petang hingga 7.00 petang. SP41 mengambil alih tugas
menjaga lokap daripada Lance Koperal Sokongan Mohd Fairus bin
Mohd Shaharuddin (SP45) yang menjalankan tugas pada hari yang
sama mulai jam 11.00 pagi. Menurut SP45, ketika beliau menerima
tugas pada jam 11.00 pagi hari tersebut, lokap D9 adalah kosong. Tiada
orang tahanan dalam lokap tersebut. Oleh sebab itu, SP45 telah diarah
turun untuk membantu tugas di pondok pengawal di pintu masuk ke IPK
Kuala Lumpur.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
6
[14] SP41 yang tiba untuk memulakan tugas di lokap pada jam 2.45
petang telah bertemu SP45 dan penyelia Koperal Norazman bin
Mohamed (SP30) di pondok pengawal. SP41 telah dimaklumkan oleh
kedua-dua SP45 dan SP30 bahawa tiada orang tahanan dalam lokap.
SP41 terus berada di pondok pengawal membantu tugas-tugas
pengawal di pintu keluar masuk IPK Kuala Lumpur.
[15] Pada jam 4.30 petang, SP41 telah diarahkan untuk naik ke tingkat
7 untuk menjaga lokap D9. Arahan telah disampaikan oleh Lance
Koperal Jasmin bin Jasin (SP56). Setiba di pejabat pertanyaan D9,
SP41 dimaklumkan bahawa kunci lokap berada pada responden kedua
yang ketika itu berada di lokap. Apabila SP41 sampai di lokap, beliau
mendapati pintu lokap dan pintu sel dalam keadaan terbuka. Si mati
dilihat dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sel dan responden
kedua sedang mengejutkan si mati. Responden kedua memaklumkan
kepada SP41 bahawa beliau telah memanggil ambulan dan telah
melaporkan kepada pengawal 24 jam, ASP Tay Chew Thwa @ Rico Tay
(SP42), yang sampai ke tempat kejadian tidak berapa lama selepas itu.
[16] SP41 ingin membuat catatan dalam Buku Perharian Balai (eksibit
D37) tetapi telah dihalang oleh responden kedua. Responden kedua
telah mengambil D37 dan membawa pergi dari situ. SP41 kemudiannya
telah membuat laporan polis di Balai Tun HS Lee (eksibit P38).
[17] Koroner Erry Shariman bin Nor Aripin (SP20) melaporkan bahawa
beliau telah memeriksa keseluruhan badan si mati yang meliputi
bahagian kepala, leher, dada, perut, rusuk kiri, rusuk kanan, kedua-dua
tangan dan kaki serta bahagian kemaluan si mati. Kecuali sedikit luka
biasa tanpa lebam di bahagian kanan atas tubuh si mati, SP20
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
7
mendapati tubuh si mati dalam keadaan elok. Tiada sebarang kesan
luka atau lebam ditemui.
[18] Mayat si mati dibedah siasat oleh Dr. Siew Sheue Feng (SP51),
Pakar Perubatan Sains Forensik HKL. Dalam laporan bedah siasat
(eksibit P45), SP51 menyatakan bahawa si mati mati pada 21.5.2013
jam 2.00 petang. SP51 mendapati sejumlah 52 kecederaan luaran pada
si mati, kebanyakannya lebam-lebam dan lebam dangkal di seluruh
badan. Terdapat juga kesan cucukan dipercayai dari besi kokot
(“stapler”) di bahagian kaki dan terdapat stapler yang masih tertanam di
bahagian telinga kiri dan kanan si mati. Terdapat juga kesan darah yang
masih baru di selaput kulit si mati.
[19] SP51 memberi pandangan bahawa kecederaan-kecederaan
lebam dan lebam dangkal yang dialami oleh si mati adalah sepadan dan
diakibatkan oleh benda tumpul dan keras atau hentakan kepada
permukaan yang tumpul dan keras. Kematian si mati adalah berpunca
daripada kehilangan darah dari urat-urat darah akibat trauma terhadap
seluruh badan si mati yang telah mengakibatkan bekalan oksigen ke
organ penting tidak mencukupi. Sebab-sebab kematian disimpulkan oleh
SP51 sebagai “Diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force
trauma.”.
Dapatan di akhir kes pendakwaan
[20] Pihak pendakwaan bergantung kepada peruntukan seksyen
300(c) Kanun Keseksaan dan kepada keterangan ikut keadaan untuk
mendapatkan sabitan terhadap responden-responden. Seksyen 300
Kanun Keseksaan menyebut:
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
8
“300. Murder.
Except in the cases hereinafter excepted, culpable homicide is murder –
(a) ...
(b) ...
(c) if it is done with the intention of causing bodily injury to any person, and
the bodily injury intended to be inflicted is sufficient in the ordinary course
of nature to cause death; or
(d) ...”.
[21] Dalam menimbangkan sama ada suatu kes prima facie telah
dibuktikan terhadap responden-responden, hakim bicara telah menilai
sama ada elemen-elemen berikut telah dibuktikan oleh pihak
pendakwaan:
(a) Berlaku kematian terhadap si mati;
(b) Kematian si mati berpunca daripada kecederaan atau
kecederaan-kecederaan yang dikenakan kepada si mati;
(c) Kecederaan atau kecederaan-kecederaan yang mengakibatkan
kepada kematian si mati telah didatangkan oleh responden-
responden;
(d) Perbuatan responden-responden yang mendatangkan
kecederaan atau kecederaan-kecederaan kepada si mati
sehingga mengakibatkan kematian kepada si mati telah dilakukan
dalam salah satu keadaan berikut, sama ada-
(i) Perbuatan responden-responden itu dilakukan dengan niat
untuk mendatangkan kematian kepada si mati; atau
(ii) Perbuatan responden-responden itu dilakukan dengan niat
untuk mendatangkan sesuatu bencana tubuh yang
responden-responden sendiri ketahui mungkin akan
menyebabkan kepada kematian si mati; atau
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
9
(iii) Perbuatan responden-responden itu dilakukan dengan niat
untuk menyebabkan sesuatu bencana tubuh kepada si mati
dan bencana tubuh yang diniatkan itu adalah cukup pada
lazimnya menyebabkan kepada kematian si mati; atau
(iv) Responden-responden melakukan perbuatan itu dengan
pengetahuan bahawa perbuatan itu adalah satu perbuatan
yang sangat berbahaya sehingga mungkin akan
menyebabkan kematian atau menyebabkan bencana tubuh
yang mungkin membawa kepada kematian si mati dan
responden-responden melakukan perbuatan itu dengan
tanpa apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya yang
menyebabkan kematian atau bencana tubuh sebagaimana
tersebut itu; dan
(e) Responden-responden telah melakukan perbuatan tersebut
dengan niat bersama untuk mematikan si mati.
[22] Hakim bicara mendapati bahawa elemen pertama telah dibuktikan
oleh pihak pendakwaan. Mengenai elemen kedua, setelah menilai
keterangan SP51, hakim bicara berpuashati bahawa kematian si mati
adalah disebabkan oleh kecederaan atau kecederaan-kecederaan yang
didatangkan terhadap tubuh badan si mati dan bukanlah dari sebab atau
punca yang lain. Dengan itu, hakim bicara memutuskan bahawa pihak
pendakwaan juga telah berjaya membuktikan elemen kedua.
[23] Elemen seterusnya yang dipertimbangkan oleh hakim bicara ialah
niat. Dinyatakan oleh hakim bicara bahawa (Rekod Rayuan Jld 1: ms
86-87):
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
10
“[25] Pembuktian elemen niat adalah satu persoalan fakta. Niat boleh
ditemui melalui inferen yang munasabah daripada fakta dan keadaan dalam
sesuatu kes. Niat juga dapat dilihat melalui kecederaan atau kecederaan-
kecederaan yang telah dialami oleh Simati. Dalam kes ini, tidak ada sebarang
saksi mata yang melihat bagaimanakah kecederaan-kecederaan yang telah
dikenakan terhadap tubuh badan Simati. Tidak ada juga walau seorang saksi
pun yang mendengar sebarang jeritan, teriakan atau sebarang bunyi semasa
kecederaan-kecederaan tersebut didatangkan terhadap tubuh badan Simati.
Tidak ada sebarang senjata tumpul ditemui dan dirampas semasa siasatan
pihak polis. Hanya ditemukan beberapa alat stapler di pejabat Bahagian D9
IPK Kuala Lumpur. Stapler adalah pada lazimnya boleh diperolehi di mana-
mana pejabat mahu pun di rumah. Lazimnya stapler bukanlah suatu senjata
maut (lethal weapon). Tidak ada juga keterangan menunjukkan di manakah
tempat atau tempat-tempat di mana Simati telah menerima kecederaan-
kecederaan tersebut.
[26] Oleh itu tidak terdapat cukup keterangan mengikut keadaan yang
dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang memudahkan Mahkamah ini
untuk membuat inferen yang munasabah mengenai persoalan niat para
perlaku jenayah dalam kes ini. Apa yang jelas dari keterangan SP51 bahawa
perlaku yang mencederakan Simati tidak mempunyai niat untuk membunuh
Simati mahu pun untuk mendatangkan bencana tubuh yang secara lazimnya
boleh mendatangkan kematian kepada Simati. Kematian Simati
bagaimanapun berlaku akibat dari kombinasi kecederaan-kecederaan serius
terhadap saluran darah yang telah pecah dan mengalirkan keluar darah dari
pembuluh darah sehingga menyebabkan kekurangan bekalan oksigen
kepada badan Simati. Kecederaan-kecederaan tersebut akibat hentaman
oleh benda tumpul. Tiada keterangan kukuh dan jelas siapakah dan
bagaimanakah kecederaan-kecederaan tersebut telah dikenakan kepada
tubuh badan Simati.
[27] ...
[28] ... Selain ketiadaan keterangan kukuh terhadap bagaimana bencana
tubuh tersebut telah dikenakan terhadap Simati, sekiranya pun diterima
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
11
bahawa Tertuduh-Tertuduh adalah orang yang telah mendatangkan
kecederaan-kecederaan tersebut kepada Simati, kecederaaan-kecederaan
tersebut secara individunya tidak cukup untuk mematikan Simati. Apatah lagi
SP51 bersetuju perlaku tidak mempunyai niat untuk membunuh selain hanya
untuk mendatangkan kesakitan sahaja kepada Simati dan perbuatan itu tidak
secara lazimnya akan membawa kepada kematian Simati. Oleh itu saya
berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan
elemen niat dalam kes ini.”.
[24] Justeru, responden-responden telah dilepaskan dan dibebaskan
tanpa dipanggil membela diri. Bagaimanapun, atas rayuan Pendakwa
Raya, Mahkamah ini telah mengakaskan keputusan hakim bicara
apabila rayuan Pendakwa Raya dibenarkan dan responden-responden
diperintahkan untuk membela diri. Mahkamah ini juga telah
membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk meminda tarikh
pertuduhan dari “21.5.2013” kepada “di antara 18.5.2013 sehingga
21.5.2013.”.
Kes Pembelaan
[25] Kes pembelaan telah dinyatakan secara terperinci oleh hakim
bicara di ms 18-33 Rekod Rayuan Jld 1. Kami tidak berhasrat
mengulanginya secara terperinci di sini. Memadai dinyatakan bahawa
dalam keterangan yang diberikan secara bersumpah, intipati pembelaan
responden-responden ialah alibi di mana kesemua responden
menyatakan bahawa mereka tidak berada di tempat kejadian pada
tarikh dan masa dalam pertuduhan. Untuk menyokong pembelaan alibi
mereka, responden-responden juga masing-masing mengemukakan
saksi-saksi.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
12
[26] Keterangan responden pertama antara lain, ialah bahawa:
(i) beliau tidak pernah pada bila-bila masa dilantik sebagai
pegawai soal siasat terhadap si mati;
(ii) beliau dilantik oleh SP17 sebagai pegawai projek bagi
siasatan kes terhadap si mati;
(iii) sebagai pegawai projek, tugas beliau hanya melibatkan
operasi risikan, serbuan, rampasan dan tangkapan hasil
maklumat yang diberikan oleh pegawai yang menjalankan
soal siasat terhadap si mati;
(iv) beliau tidak pernah memberikan sebarang arahan kepada
anggota pasukan beliau untuk menjalankan soal siasat
terhadap si mati tetapi mengakui memberi kebenaran
kepada SP15 untuk melawat si mati;
(v) beliau menyangkal entri yang dibuat oleh RF 163931 Mohd
Khairul Hafiz bin Mohammad Tarmizi (SP43) yang
mencatatkan bahawa pada 19.5.2015 jam 4.00 petang,
beliau telah memasukkan semula si mati dalam lokap D9;
(vi) pada 19.5.2013, jam 4.00 petang, beliau bersama beberapa
anggota pasukan beliau berada di Klang menjalankan
penyiasatan satu kes colek;
(vii) beliau menafikan ada memberi arahan kepada D/L/Kpl
144682 Mohamad Fairul bin Mohd Fauzi (SP41) untuk
membuat laporan polis THSL 018468/2013 (eksibit P38);
(viii) satu inkuiri telah dijalankan oleh Supt. Choo Lili (SD2) yang
mengesahkan bahawa pada 21.5.2013 antara jam 12.00
tengahari hingga 5.00 petang beliau tidak berada di pejabat;
(ix) keputusan inkuiri oleh SD2 disahkan melalui ‘phone
mapping’ yang telah dilakukan oleh ASP Koh Fei Cheow
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
13
(SD3) yang menunjukkan bahawa pada waktu yang material,
beliau berada di luar kawasan IPK, Kuala Lumpur;
(x) beliau tidak pernah memberi sebarang arahan untuk sentri
membuat entri palsu dalam station diary lokap D9; dan
(xi) keselamatan orang dalam tahanan lokap D9 bukan
tanggungjawab beliau tetapi adalah tanggungjawab Team
Inspector 24 jam.
[27] Intipati keterangan responden pertama seperti di atas disokong
oleh responden kedua, ketiga dan keempat. Dengan kata lain,
keterangan keempat-empat responden adalah konsisten mengenai
tugas dan peranan mereka sebagai anggota pasukan projek yang pada
waktu-waktu material berada di luar pejabat untuk menjalankan siasatan
kes terhadap simati dan kes-kes lain sebagaimana diarahkan dan
bahawa mereka tidak bertanggungjawab menyoalsiasat si mati.
[28] Jamaluddin bin Ali (SD13) adalah salah seorang saksi penting
bagi kes pembelaan. SD13 ditangkap pada tengah malam 19.5.2013
dan dimasukkan dalam lokap D9 pada jam lebih kurang 1.30 pagi
20.5.2013. SD13 berada dalam lokap yang sama dengan si mati.
Keterangan SD13 adalah bahawa pada 20.5.2013, antara jam 7.00
hingga 8.00 pagi, seorang sentri yang kemudiannya disahkan sebagai
L/Kpl Mohamad Adnan Masri bin Safril (SP53) telah memukul si mati
menggunakan getah paip dan telah mendenda kesemua tahanan dalam
lokap termasuk si mati. SD13 menyatakan bahawa beliau nampak si
mati dibawa keluar dari dalam lokap D9 dan ditampar serta dipukul oleh
SP53. Selain itu, si mati juga telah disepak, ditumbuk dan dipukul
dengan getah paip oleh SP53. SD13 juga menyatakan bahawa
sepanjang berada dalam lokap D9, beliau tidak pernah melihat keempat-
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
14
empat responden datang ke lokap tersebut. Walaupun dicabar oleh
pihak pendakwaan, hakim bicara mendapati kredibiliti SD13 tidak
tercalar sehingga pihak pembelaan menutup kes mereka.
[29] Saksi-saksi pendakwaan Sjn. Rahim bin Md Diah (SP19) dan Sjn
Mohd Saad bin Kimbok (SP40) telah dipanggil semula di peringkat kes
pembelaan. SP40 bertanggungjawab menyediakan Jadual Tugas Harian
Cawangan D9 IPK Kuala Lumpur bagi tarikh-tarikh 13.5.2013 (eksibit
D61), 18.5.2013 (eksibit D62), 19.5.2013 (D63), 20.5.2013 (D64) dan
21.5.2013 (D30). Berikut, antara lain, ialah keterangan SP40:
(i) pada 13.5.2013, kesemua responden bertugas ‘standby’
manakala dua (2) anggota iaitu Kpl. Khidir dan Kpl. Azlan
bertugas sebagai anggota soal siasat;
(ii) pada 18.5.2013 kesemua responden menjalankan tugas
escort dan standby dan tiada anggota atau pegawai
ditugaskan untuk soal siasat pada tarikh tersebut; dan
(iii) pada 19.5.2013 dan 20.5.2013, tidak ada anggota atau
pegawai ditugaskan menjalankan soal siasat.
[30] SP40 mengesahkan bahawa sepanjang 18.5.2013 sehingga
20.5.2013, kesemua responden tidak ada menjalankan tugas soal siasat
kerana mereka bertugas dalam Pasukan Projek yang menjalankan
serbuan, risikan, tangkapan dan rampasan. SP40 juga mengesahkan
bahawa pasukan dikenali sebagai “SS” (Siasatan Sulit) atau “Strike
Team” boleh menjalankan tugas soal siasat jika diarahkan oleh Pegawai
Turus D9. Sekiranya ada soal siasat maka proses soal siasat dan
kawalan lokap D9 berada di bawah tugas pegawai/anggota bertugas 24
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
15
jam. Pegawai “SS” terdiri daripada Kpl. Mohd Nazri bin Masrul (SD12)
dan Kpl. Ram Singh.
Dapatan hakim bicara di akhir kes pembelaan
[31] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara mengarahkan mindanya
kepada peruntukan seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah dan kepada
prinsip undang-undang mengenai beban adalah terletak atas pihak
pendakwaan untuk membuktikan kes terhadap responden-responden
melampaui keraguan yang munasabah seperti dinyatakan dalam kes-
kes Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301; PP v Mohd Amin bin Mohd
Razali & Ors [2002] 5 MLJ 406 dan PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16.
Selain itu, hakim bicara juga mengingatkan dirinya mengenai prinsip-
prinsip berkaitan keterangan mengikut keadaan (circumstantial
evidence) sebagaimana dijelaskan dalam kes-kes Sunny Ang v PP
[1966] 2 MLJ 195; Idris v PP [1960] 1 MLJ 296 dan Rajamorgan
Marimuthu v PP [2014] 6 CLJ 850.
[32] Setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada, hakim bicara
memutuskan bahawa keterangan-keterangan mengikut keadaan yang
dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah disangkal oleh pihak
pembelaan satu persatu. Kesimpulannya, hakim bicara mendapati
bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang
munasabah ke atas kes prima facie pihak pendakwaan dan bahawa
pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan pindaan terhadap
responden-responden melampaui keraguan yang munasabah. Berikutan
itu responden-responden telah dilepaskan dan dibebaskan, justeru
rayuan di hadapan kami.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
16
Rayuan
[33] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang terpelajar mengutarakan
satu isu sahaja iaitu bahawa kesemua responden hanya
mengemukakan pembelaan bersifat penafian semata (“bare denial”).
Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, TPR berhujah bahawa
dapat dirungkaikan kesemua responden mempunyai akses kepada
lokap tempat si mati ditahan. TPR bergantung khususnya kepada
keterangan SP17, SP41, SP45 dan SP24 yang menunjukkan bahawa
kesemua responden mempunyai akses dalam urusan soal siasat dan
siasatan terhadap si mati.
[34] Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesemua responden
berpegang kepada pembelaan alibi dan menyatakan tidak berada di
tempat kejadian namun berdasarkan keterangan SP41 yang melihat
responden kedua berada di sisi si mati sewaktu kembali ke lokap
menunjukkan keberadaan responden kedua di kawasan kejadian.
[35] Begitu juga dengan keterangan SP45 dan SP41 yang menyatakan
mereka telah menerima arahan daripada pegawai atasan iaitu
responden pertama untuk mengisi station diary berdasarkan arahan dan
fakta oleh responden pertama dan menyatakan fakta itu merupakan
fakta yang tidak tepat.
[36] TPR juga menghujahkan bahawa hakim bicara tidak membuat
penilaian maksima kepada keterangan ini kerana responden pertama
tidak menyangkal dan memberikan penerangan lanjut tentang
keterangan SP45 dan SP41 tersebut. Oleh itu, keterangan tentang
maklumat yang tidak tepat yang diisi itu kekal dalam naratif pendakwaan
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
17
tanpa disangkal oleh kesemua responden. Dihujahkan seterusnya oleh
TPR terpelajar bahawa oleh kerana responden-responden gagal
menyangkal keterangan saksi pendakwaan tentang fakta maklumat
dalam station diary dan tentang keberadaan responden kedua di sisi si
mati, responden-responden telah gagal untuk menimbulkan keraguan
yang munasabah ke atas kes pendakwaan.
[37] TPR menjemput Mahkamah ini menilai semula keterangan saksi
pendakwaan SP24 di peringkat kes pendakwaan dengan melihat
keterangan SD13. Mengikut SD13, si mati dipukul oleh SP53 di luar
lokap, sedangkan tiada keterangan daripada SP24 yang menunjukkan si
mati dipukul oleh SP53. Apa yang dinyatakan oleh SP24 adalah bahawa
dia mengecam responden kedua, ketiga dan keempat yang membawa si
mati keluar masuk lokap bagi tujuan siasatan dan dinyatakan si mati
pernah memberitahu yang dia ada dipukul oleh pihak polis tetapi tidak
mendedahkan siapa pelakunya. Oleh itu TPR menghujahkan bahawa
perkara ini merupakan satu fakta yang perlu diperhalusi di mana hakim
bicara khilaf kerana tidak menilai dengan wajar keterangan SP24, SP41
dan SP45.
Dapatan/Keputusan kami
[38] Rayuan pihak pendakwaan hanya membangkitkan satu persoalan
untuk pertimbangan kami, iaitu sama ada hakim bicara khilaf kerana
gagal menilai keterangan SP24, SP41 dan SP45 dengan wajar.
Berkaitan keterangan SP24, aspek yang dikatakan gagal dinilai
secukupnya oleh hakim bicara ialah bahawa tiada keterangan daripada
SP24 yang menunjukkan si mati pernah dipukul oleh SP53 di luar lokap.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
18
[39] Berhubung SP41 dan SP45 pula, hakim bicara dikatakan gagal
menilai keterangan mereka mengenai station diary dan mengenai akses
oleh responden-responden kepada si mati.
[40] Jelas bahawa dalam menggesa kami mengakas keputusan hakim
bicara, TPR yang terpelajar bergantung hanya kepada keterangan
bahawa kesemua responden dikatakan mempunyai akses kepada lokap
di mana si mati berada dan juga kepada fakta bahawa responden kedua
adalah orang yang terakhir dilihat bersama si mati.
[41] Pertamanya, kami dengan hormatnya tidak bersetuju dengan
hujahan TPR bahawa pembelaan responden-responden adalah
penafian semata (bare denial). Nas yang seringkali dirujuk berhubung
pembelaan “bare denial” ialah D.A. Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195 di
mana Raja Azlan Shah C.J (Malaya) (Baginda ketika itu) memutuskan:
“The defence was, in effect, a simple denial of the evidence connecting the
appellant with the four boxes. We cannot see any plausible ground for saying
that the four boxes were not his. In the circumstances of the prosecution
evidence, the High Court came, in our view, to the correct conclusion that this
denial did not cast a reasonable doubt on the prosecution case against the
appellant.”.
[42] Berbeza dengan kes D.A. Duncan (supra), pembelaan responden-
responden di sini bukan a “simple denial” sebaliknya responden-
responden telah memberi keterangan atau penjelasan yang mencukupi
dalam menafikan kes pendakwaan terhadap mereka. Kes ini juga
berbeza dengan kes Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 692 di mana
Mahkamah Persekutuan menggariskan prinsip bahawa pembelaan alibi
gagal jika tertuduh dikenalpasti sebagai orang yang terlibat dalam
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
19
jenayah yang dipertuduhkan. Bagi kes semasa, tiada sebarang
keterangan yang menunjukkan responden-responden atau salah
seorang daripada mereka dikenalpasti oleh mana-mana saksi
pendakwaan sebagai orang yang telah memukul atau melakukan
sesuatu kepada si mati yang mengakibatkan kematiannya.
[43] Selanjutnya, sebagaimana diakui oleh ASP Chang Chee Fong
(SP58) notis-notis alibi yang dikemukakan oleh responden-responden
tidak disiasat. Penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Vasan Singh
v PP [1988] 3 MLJ 412 menyebut di ms 414:
“The primary purpose of an alibi notice is to alert the prosecution to the
fact that an alibi might be relied upon so that they may have the opportunity
before the trial of making such investigations as they think fit. It may well be
that the alibi is in fact true in which event the prosecution will either withdraw
the charge or offer no evidence in the case.
The defence of alibi is a legitimate defence and in fact is often the only
evidence of an innocent man.”.
[44] Dalam kes ini, bukan sahaja alibi gagal disiasat, malahan
keterangan responden-responden tentang keberadaan responden-
responden di tempat selain dari di tempat kejadian di lokap D9 pada
tarikh-tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan serta keterangan saksi-
saksi lain pihak pembelaan yang menyokong alibi responden-responden
tidak langsung dicabar oleh pihak pendakwaan. Perlu juga ditekankan
bahawa asas pembelaan responden-responden bahawa mereka tidak
terlibat dengan soalsiasat si mati dan hanya menjalankan tugas
serbuan, risikan, tangkapan dan rampasan disokong oleh saksi
pendakwaan sendiri, iaitu keterangan SP40 seperti dibentangkan di
perenggan [29-30] di atas.
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
20
[45] Keduanya, setelah menimbang dengan cermat hujahan pihak-
pihak dan meneliti rekod rayuan, kami tidak bersetuju dengan TPR yang
terpelajar bahawa hakim bicara gagal menilai keterangan SP24, SP41
dan SP45 dengan wajar. Bertentangan dengan hujahan TPR, kami
mendapati bahawa hakim bicara telah memberi penilaian sewajarnya
kepada keterangan saksi-saksi SP24, SP41 dan SP45 dalam
mempertimbangkan sama ada pembelaan responden-responden
berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes
pendakwaan. Memadai untuk kami petik alasan penghakiman hakim
bicara yang relevan seperti berikut (Rekod Rayuan Jld 1: ms 52-55):
“[47] Tuan TPR yang bijaksana juga berhujah bahawa semua Tertuduh
telah memukul simati. Namun sehingga diakhir kes, tidak ada walau secebis
keterangan dibawa untuk menunjukkan fakta ini. Sebaliknya pihak pembelaan
telah mengemukakan keterangan melalui saksi SD13 bahawa pada awal pagi
20.5.2013, SP53 adalah orang yang telah memukul simati menggunakan
getah paip dan seterusnya mengenakan denda yang cukup berat terhadap
semua tahanan termasuk simati kerana kesalahan simati menghisap rokok di
dalam cell dan menghembus asap rokok kepada SP53. Saksi SP53 mengakui
akan kejadian tersebut sebagai benar berlaku tetapi menafikan ada memukul
simati dan sebaliknya menyatakan hanya mengacah-acah sahaja. SP53 tidak
dapat menjelaskan tentang tindakannya membawa keluar simati dari dalam
cell sekiranya hanya setakat untuk memberi amaran keras kepada simati.
SP53 akhirnya mengakui ada “physical contact” berlaku kepada simati.
Keterangan berkaitan insiden ini turut disebut dalam keterangan saksi
pendakwaan sendiri. SP24 yang turut berada di dalam cell bersama simati
dan SD13 pada masa kejadian itu berlaku mengesahkan kejadian yang
berlaku. Kejadian SP53 memukul simati menggunakan getah kabel ini pada
pagi 20.5.2013 adalah selari dengan keterangan SP51 yang menyatakan
kecederaan yang membawa kepada kematian simati telah berlaku dalam
tempoh 3-4 hari sebelum bedah siasat yang saksi lakukan terhadap jasad
simati (22.5.2013) dan senjata yang telah digunakan menurut SP51 besar
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
21
kemungkinan adalah getah paip, alat yang sama yang telah digunakan oleh
SP53 dalam memukul simati.
[48] Pihak pembelaan juga membawa keterangan bahawa sebagai Ketua
Projek atau Pegawai Projek, tugas dan tanggungjawab Tertuduh 1 dan
anggota pasukannya adalah untuk menjalankan aktiviti risikan, serbuan,
tangkapan dan rampasan. Pihak pembelaan menafikan soal-siasat sebagai
sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab yang dijalankan oleh
Tertuduh-Tertuduh. Keterangan pihak pembelaan ini tidak disangkal oleh
pihak pendakwaan. Tiada saksi “rebuttal” dipanggil terutamanya SP17 untuk
menyangkal keterangan saksi-saksi pembelaan terhadap penyataan ini.
[49] Keterangan saksi pendakwaan SP24 bahawa salah seorang daripada
Tertuduh telah memasukkan simati ke dalam lokap D9 pada satu malam
setelah pulang dari serbuan di Cheras. Dalam keterangan SP24 yang
dihujahkan oleh Tuan TPR adalah bahawa SP24 mendengar anggota D9
tersebut telah mengeluarkan kata-kata amaran terhadap simati dan telah turut
meludah kearah muka simati kerana simati telah memberi maklumat palsu
tentang rakan jenayah bersembunyi disebuah rumah flat. Keterangan ini telah
disangkal oleh pihak pembelaan. Sekiranya benar perbuatan ugutan ada
dikeluarkan, tidak ada keterangan menunjukkan apa yang telah dilakukan
terhadap simati hasil dari ugutan tersebut.
[50] Kes pihak pendakwaan juga diasaskan kepada catitan yang terdapat
dalam Station Diary (D30). Saksi pembelaan dan saksi-saksi pendakwaan
sendiri mengakui bahawa catitan dalam D30 tidak boleh diterima bulat-bulat.
Daripada keterangan saksi-saksi menunjukkan terdapat banyak keraguan dan
kesilapan terhadap catitan di dalam D30 tersebut. Semua catitan dalam D30
telah dilakukan oleh sentri seperti SP53, SP41 dan SP45. Saksi-saksi
tersebut mengakui bahawa catitan dibuat lewat atau kemudian setelah orang
tahanan dibawa masuk atau dibawa keluar. Saksi-saksi juga mengakui setiap
ruangan dalam D30 hendaklah dipenuhkan dan tidak dibiarkan kosong. Oleh
yang demikian mereka akan menulis perkataan-perkataan seperti “dibawa
keluar untuk soal-siasat” sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah tujuan
sebenar orang tahanan itu dibawa keluar. Hatta pada malam haripun jika
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
22
seorang orang tahanan dibawa keluar, mereka akan buat catitan “untuk
tujuan soal-siasat walhal di bawah Peraturan Lokap tidak membenarkan
orang tahanan dibawa keluar pada waktu malam untuk apa tujuan sekalipun.
Begitu juga dengan tulisan mengenai orang tahanan dan keadaan lokap
ditulis sebagai “dalam keadaan baik dan terkawal” ditulis hanya untuk
memenuhi ruangan dalam Station Diary sedangkan saksi-saksi akui tidak
tahu keadaan sebenar orang tahanan di dalam lokap dalam masa tersebut.”.
[46] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara di atas
yang tidak mengandungi sebarang kekhilafan dari segi fakta dan/atau
undang-undang. Berkenaan station dairy, hakim bicara telah menilai dan
memberi alasan kenapa catitan di dalamnya tidak boleh diterima bulat-
bulat. Tidak ada alasan untuk kami campur tangan dalam penilaian
tersebut. Kami juga tidak mempunyai sebarang alasan untuk campur
tangan dalam keputusan hakim bicara yang memutuskan bahawa SD13
adalah saksi yang “credible” dan dalam menerima keterangan SD13
bahawa SP53 telah memukul si mati. Adalah prinsip undang-undang
yang mantap bahawa soal kebolehpercayaan saksi-saksi adalah terletak
pada hakim bicara (lihat Lee Ah Seng & Anor v PP [2007] 6 MLJ 1; Wan
Marzuki Wan Abdullah v PP [2008] 4 CLJ 631; Dato’ Seri Anwar bin
Ibrahim v PP and another appeal [2015] 2 MLJ 293). Dalam hubungan
ini, penting diingatkan bahawa walaupun SP53 menafikan memukul si
mati, SP53 mengakui ada membawa keluar si mati daripada lokap dan
‘mengacah-acah’ si mati dan mengakui ada “physical contact” antaranya
dengan si mati.
[47] Dari segi keberadaan responden kedua di tempat kejadian di
mana pihak pendakwaan bergantung kepada fakta bahawa responden
kedua dilihat bersama si mati, kami mengulangi pendirian Mahkamah ini
dalam kes Rajamorgan Marimuthu (supra), di mana merujuk kepada kes
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
23
Rishi Pal v State of Uttarakhand 2013 (2) ACR 147, Mahkamah ini
menyatakan di ms 860:
“[26] Learned DPP submitted that the fact the appellant and the deceased
being last seen will complete the chain of circumstances for the court to make
a finding that it is consistent only with the hypothesis of the guilt of the
appellant.
[27] With respect, we disagree with the submission. The fact that the
appellant was last seen with the deceased may have created suspicions of his
guilt, but not enough to prove the case against him beyond reasonable doubt.
It is trite that last seen evidence does not by itself necessarily leads to an
irresistible inference that the appellant committed the crime unless the same
is duly supported by other links in the chain of circumstances (sic) evidence
unerringly pointing out the guilt of the appellant. It should also be noted that
the last seen evidence is only relevant evidence to complete the chain of
circumstantial evidence; however the conviction cannot be solely based on
this piece of evidence.”.
[48] Kami juga menerimapakai penghakiman Thakker J dalam kes
Chandrappa & Ors v State of Kamataka [2007] 4 SCC 415 berhubung
kuasa Mahkamah yang mendengar rayuan terhadap perintah
pembebasan dan pelepasan di mana di ms 432 dinyatakan:
“42. ...
(4) An appellate court, however, must bear in mind that in case of
acquittal, there is double presumption in favour of the accused.
Firstly, the presumption of innocence available to him under the
fundamental principle of criminal jurisprudence that every
person shall be presumed to be innocent unless he is proved
guilty by a competent court of law. Secondly, the accused
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
24
having secured his acquittal, the presumption of his innocence is
further reinforced, reaffirmed and strengthened by the trial court.
(5) If two reasonable conclusions are possible on the basis of the
evidence on record, the appellate court should not disturb the
finding of acquittal recorded by the trial court.
Kesimpulan
[49] Kami bersetuju dengan hakim bicara bahawa keterangan ikut
keadaan yang ada tidak mencukupi untuk mensabitkan responden-
responden dengan tuduhan membunuh. Begitu banyak nas yang
menegaskan beban yang perlu digalas oleh pihak pendakwaan dalam
menuntut sabitan bersandarkan keterangan ikut keadaan. Salah satunya
adalah penghakiman Mahkamah ini dalam kes Pathmanthan a/l
Nalliappen & Ors v PP [2016] 1 CLJ 377 yang menyatakan di ms 397-
398:
“[73] ... we keep in mind the following golden principles of the standard of
proof required for recording a conviction on the basis of circumstantial
evidence as laid down in Sharad Birdhichand Sarda v State of Maharashtra
[1984] 4 SCC 116:
(i) The circumstances from which the conclusion of guilt is to be
drawn must be fully established;
(ii) The facts so established should be consistent only with the
hypothesis of the guilt of the accused, that is to say they should
not be explainable on any other hypothesis except that the
accused is guilty;
(iii) The circumstances should be of a conclusive nature and
tendency;
(iv) They should exclude every possible hypothesis except the one
to be proved; and
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
25
(v) There must be a chain of evidence so complete as not to leave
a reasonable ground for the conclusion consistent with the
innocence of the accused and must show in all human
probability the act must be done by the accused.”.
[50] Kami mendapati bahawa prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas
gagal dipenuhi oleh pihak pendakwaan. Lebih-lebih lagi keterangan
pihak pendakwaan sendiri menunjukkan dua versi yang berbeza iaitu
keterangan SP24 bahawa salah seorang responden membawa si mati
keluar/masuk lokap dan keterangan SP40 yang mengesahkan
responden-responden tidak langsung terlibat dalam menyoal siasat si
mati. Oleh itu kami sebulat suara menolak rayuan Pendakwa Raya dan
mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan
membebaskan responden-responden.
Bertarikh: 17hb Julai 2017
signed
(TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT) Hakim Mahkamah Rayuan Peguamcara:
Bagi pihak Perayu: Muhammad Azmi bin Mashud bersama Nurshafini binti Musthafa Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara.
Bagi pihak Responden Pertama: M. Athimulan Tetuan Athimulan & Co. dan
Rayuan Jenayah No. W-06A(LB)-8-07/2016
26
Bagi pihak Responden Kedua: Hisyam Teh Poh Teik Tetuan Teh Poh Teik & Co. Bagi pihak Responden Ketiga & Kemepat: Datuk Baljit Singh Sidhu bersama Mahendren Naidu Tetuan Shukor Baljit & Partners