Download - En.malik Ulas Jurnal
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
1.0 Pengenalan: Peranan Guru Dalam Memupuk Kreativiti Pelajar
Negara Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang maju
menjelang Wawasan 2020. Untuk merealisasikan matlamat ini, beberapa elemen penting
telah dirangka di dalam Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010). Salah satu elemen yang
penting ialah pembangunan modal insan yang diberi tumpuan sepenuhnya demi mencapai
matlamat kerajaan. Negara Malaysia perlu bersedia untuk berdaya saing pada peringkat
antarabangsa dan rakyatnya haruslah berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan inovatif
di dalam segala bidang.
Di dalam konteks pendidikan negara kita, kebanyakan kajian yang telah dijalankan
membuktikan banyak tumpuan terlalu diberikan untuk memupuk kepintaran berbanding
aspek pemupukan kreativiti yang masih belum lagi diberi perhatian sewajarnya. Melalui
pendidikanlah kreativiti ini akan dapat dibentuk.
Jurnal ini telah mengenengahkan perbincangan mengenai konsep kreativiti,
bagaimana untuk mengimplementasikan kreativiti di dalam Sistem Pendidikan Malaysia dan
beberapa pendekatan yang boleh diambil oleh guru terutamanya untuk meningkatkan lagi
kreativiti di kalangan pelajar sekolah.
2.0 Kepentingan Kreativiti
Pembangunan kreativiti di kalangan pelajar melibatkan dua peringkat iaitu pertama,
kefahaman tentang kreativiti dan komponen-komponennya dan kedua, kefahaman tentang
interaksi faktor-faktor persekitaran dalaman dan luaran sekolah (Siew Heng Loke et al,
2005). Dalam era globalisasi di mana perubahan, cabaran dan persaingan sedang dan terus
berlaku, semua pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi
mengatakan kretaiviti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup.
1
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
Menjelang tahun 2020, keperluan kreativiti bagi rakyat Malaysia adalah lebih
mendesak. Perkembangan ekonomi akibat perubahan dasar kerajaan telah mengubah taraf
dan corak kehidupan masyarakat keseluruhannya. Kependudukan merupakan faktor penting
dalam proses pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara (Mohd. Fauzi Yaacob,2009).
Rakyat yang semakin bertambah menyebabkan persaingan sering berlaku.
Bidang teknologi dan komunikasi juga turut memberikan kesan kepada cara hidup
penduduk Malaysia. Perkembangan pesat yang berlaku menyebabkan rakyat Malaysia
mengamalkan cara hidup yang lebih canggih. Sehubungan itu, di dalam jurnal ini telah
dicadangkan banyak bimbingan bagaimana untuk menyesuaikan diri seiring dengan
keperluan kepada latihan dan pendidikan serta kreativiti yang turut sama meningkat.
Isu antarabangsa seperti globalisasi atau pensejagatan dunia turut mempengaruhi cara
hidup masyarakat Malaysia. Perkembangan ini memerlukan pendidikan dan latihan tenaga
kerja yang boleh bersaing di peringkat ekonomi antarabangsa. Penulis yang memetik kata-
kata Lee dalam bukunya yang bertajuk Education Change in Malaysia (2002), tenaga kerja
kita bukan sahaja perlu memiliki daya kreatif yang tinggi agar mampu menyelesaikan
pelbagai masalah yang semakin kompleks dalam pekerjaan mereka. Penulis juga turut
memetik kata-kata Tun Mahathir Mohamad yang mencabar komuniti saintis di Malaysia agar
melahirkan seorang pemenang nobel di kalangan rakyat Malaysia dan generasi pewaris abad
ke-21 perlu berfikiran kreatif dan kritis di samping bersifat kaya maklumat serta maju dalam
bidang sains dan teknologi.
Kepentingan kreativiti ini sememangnya telah diakui seawal tahun 1950 dan ramai
para cendiakawan mempersoalkan peranan yang telah dimainkan oleh elemen-elemen
penting dalam pendidikan seperti kurikulum, sekolah dan terutamanya para guru dalam
memastikan kreativiti, kemahiran, sikap dan kemampuan pelajar dapat dibangunkan.
2
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
3.0 Kreativiti dan Pendidikan
Kreativiti dan pendidikan saling berkait rapat di antara satu sama lain. Banyak
perubahan dan pelbagai inovasi dalam bidang kurikulum telah dilakukan oleh Kementerian
Pelajaran supaya ianya selari dengan perubahan dalam masyarakat di dalam atau luar negara.
Bermula dengan penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1982 sehingga
terbentuknya Kurikulum Baru Sekolah Menengah yang digubal berdasarkan Falsafah
Pendidikan Negara yang mana memberikan penekanan ke arah pemupukan potensi individu
secara menyeluruh.
Penulis menterjermahkan objektif KBSR ini telah digubal dan menjadi lebih mesra
kreativiti berbanding dengan Kurikulum Lama Sekolah Rendah. Di sini, aspek pembaharuan
dalam gaya pengajaran guru telah diberi perhatian serius supaya daya pemikiran kreatif
pelajar dapat ditingkatkan kerana sesi pengajaran dan pembelajaran adalah berpusatkan
pelajar. Namun, disebalik perancangan teliti yang telah dilakukan, terdapat kajian-kajian
yang didedahkan penulis menunjukkan KBSR tidak diikuti dan dilaksanakan sepenuhnya.
Sebagai bukti, penulis menyatakan lebih 90% guru yang diperiksa telah terlibat dengan
kursus latihan KBSR mahupun KBSM, tetapi kursus-kursus itu kurang berkesan kerana
terdapat guru-guru yang kurang berpengetahuan dan cekap dalam pengajaran mereka.
Penulis juga menyimpulkan bahawa sekiranya kandungan matapelajaran tidak
dirancang, nescaya pemupukan pemikiran kreatif turut diabaikan. Kajian-kajian yang
dijalankan juga menunjukkan guru banyak mengawal dan menguasai suasana pembelajaran
dalam bilik darjah dan banyak mengemukakan soalan-soalan tertutup. Ini menyebabkan
usaha untuk meningkatkan kreativiti pelajar sukar untuk dipupuk.
Sistem persekolahan di Malaysia masih lagi cenderung untuk menghasilkan pelajar
yang berorientasikan peperiksaan. Pelajar-pelajar kebiasaannya perlu menghafal fakta-fakta
dan digunakan dalam peperiksaan lalu aspek pemikiran kraetif atau kritis dipinggirkan.
3
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
Menurut Balakrishnan (2002) yang telah menjalankan kajian untuk mengenalpasti persediaan
dan pelaksanaan penerapan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) dalam
matapelajaran sejarah tingkatan 4 mendapati guru siswazah kurang melaksanakan penerapan
KBKK ini. Kesemua populasi kajian seramai 16 orang guru ini didapati kurang
melaksanakan unsur-unsur KBKK menerusi teknik penyoalan, penggunaan alat bantu
mengajar serta menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran kerana mereka masih lagi
berasa kurang yakin.
4.0 Pemupukan Kreativiti Melalui Pengajaran
Pemahaman tentang kreativiti adalah penting untuk merekabentuk satu bentuk
pengajaran kreatif yang sesuai dan guru adalah individu yang memainkan penanan penting
dalam menentukan gaya pengajaran kreatif yang sesuai. Namun, penulis telah
mengemukakan dua persoalan utama iaitu sejauh manakah benarnya kreativiti pelajar boleh
dipertingkatkan di dalam bilik darjah dan bagaimanakah guru boleh membantu meningkatkan
kreativiti pelajar sama ada dengan menunjukkan sikap, pendekatan atau tindakan untuk
merangsang kemampuan kreatif pelajar?
Kajian Niu & Sternberg (2003) di dalam jurnal ini telah dilakukan untuk menjawab
soalan yang pertama. Kajian mereka ialah mengenai menganalisa dua cara yang digunakan
untuk meningkatkan kreativiti 96 orang pelajar Sekolah Tinggi di Beijing, China. Pelajar
diminta menghasilkan kolaj dan mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan
pertama tidak menerima arahan untuk menjadi kreatif apabila menghasilkan kolaj, kumpulan
kedua menerima arahan supaya menjadi kreatif apabila menghasilkan kolaj dan kumpulan
yang ketiga telah diajar secara terperinci menghasilkan kolaj yang kreatif. Hasil kolaj akan
diadili secara subjektif dan objektif dan didapati kumpulan pelajar yang diminta menjadi
kreatif telah menghasilkan kolaj yang kreatif berbanding rakan-rakan lain yang tidak
4
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
menerima sebarang arahan. Manakala kumpulan pelajar yang diajar secara terperinci telah
menghasilkan kolaj yang paling kreatif. Dapatan kajian ini telah menunjukkan kreativiti
pelajar boleh ditingkatkan dalam bilik darjah melalui arahan-arahan yang disampaikan oleh
guru kepada pelajarnya.
Melalui jurnal ini juga, penulis telah meletakkan kajian oleh Torrance (1961) yang
mana telah mengajar guru-guru di Amerika Syarikat lima prinsip pengajaran kreatif iaitu
menghormati soalan dan idea-idea imaginatif pelajar, menunjukkan idea-idea mereka
mempunyai nilai tersendiri, membenarkan pelajar melakukan perkara tertentu untuk tujuan
latihan tanpa sebarang penilaian dan mengaitkan sebarang penilaian dengan sebab dan akibat.
Tempoh empat minggu telah diambil untuk para guru menjalankan pengajaran dan
pembelajaran mengikut kelima-lima prinsip ini. Manakala satu lagi kumpulan guru dikawal
telah menjalankan pengajaran mereka mengikut prosedur biasa untuk tempoh yang sama.
Ujian kreativiti sebelum dan sesudah kajian menunjukkan peningkatan yang mendadak
pelajar yang diajar oleh guru menggunakan lima prinsip pengajaran kreativiti berbanding
pelajar yang diajar mengikut prosedur biasa.
Bagi menjawab persoalan kedua, beberapa percubaan telah dilakukan dan secara
keseluruhannya pendekatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kreativiti pelajar
dibahagikan kepada tiga kategori iaitu strategi-strategi umum yang hanya melibatkan
perubahan dalam stail pengajaran guru, pendekatan berstruktur dengan teknik yang khusus
dan pendekatan penyelesaian masalah terhadap isi matapelajaran.
5
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
5.0 Tingkahlaku Guru dan Pengajaran Kreatif
Tingkahlaku yang ditunjukkan di dalam kelas adalah penting untuk meningkatkan
kreativiti pelajar kerana kemahiran guru mengajar secara kreatif akan diukur. Guru yang
menunjukkan tingkahlaku kreatif boleh diklafikasikan kepada dua iaitu tingkahlaku molar
dan tingkahlaku molekul.
5.1 Tingkahlaku Molar
Seperti yang dinyatakan Esquivel (1995) di dalam jurnal ini, Model Pengajaran
Kreatif Inkubasi merujuk kepada tahap dalam proses kreatif apabila unsur tidak sedar dan
separa sedar terlibat dalam asosiatif bebas simbol, imej dan idea. Ia melibatkan tiga fasa yang
berturutan yang membawa implikasi untuk tingkahlaku pengajaran tertentu iaitu tahap
meningkatkan pengharapan, tahap mendalamkan jangkaan dan tahap meneruskan perjalanan.
Manakala Torrance dan Saffer (1990) mencadangkan aktiviti tingkahlaku untuk setiap
tahap. Tahap pertama adalah untuk mendapatkan perhatian pelajar supaya pelajar bersedia,
tenang, bermotivasi dan keadaan minda yang divergen. Aktiviti tingkahlaku yang
dicadangkan beliau ialah persembahan idea-idea yang kabur, bertanyakan soalan untuk
meningkatkan jangkaan, merangsang perasaan ingin tahu, mencari pandangan berbeza dan
bertanyakan soalan provokatif untuk merangsang idea baru.
Tahap kedua melibatkan persembahan keasyikan dalam tugasan kreatif dengan
menganalisa dan membuat refleksi keadaan sebenar masalah. Tingkahlaku yang terlibat ini
akan meningkatkan kesedaran sekaligus menitikberatkan pemikiran divergen dan
membangunkan imaginasi.
Tahap ketiga melibatkan kemampuan pelajar meneruskan usaha-usaha kreatif dan
menguji ketabahan mereka menerima idea-idea baru. Ia memerlukan pelajar mengalihkan
proses kreatif dari dalam bilik darjah kepada persekitaran luar. Pada tahap ini, tingkahlaku
6
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
pengajaran yang terlibat ialah bermain-main dengan kekaburan, menganalisa fantasi mencari
penyelesaian masalah dan menggalakkan perancangan masa depan.
5.2 Tingkahlaku Molekul
Tingkahlaku molekul merujuk kepada tingkahlaku guru yang khusus dalam bilik
darjah dan berdasarkan pendekatan fasafah pengajaran kreatif. Amabile dan Chambers
merupakan dua orang individu yang menyatakan pendirian mereka mengenai pengajaran
kreatif ini. Amabile menyatakan enam faktor yang boleh menyebabkan persekitaran
pengajaran kreatif boleh terbentuk. Ia merangkumi kesan ke atas pelajar dan guru serta
pembelajaran dianggap menyeronokkan kerana merasakan kelas yang diduduki adalah
selamat. Pelajar juga akan merasakan diri mereka dihargai dan boleh membincangkan
masalah secara terbuka. Oleh itu pengalaman pembelajaran mereka yang diolah akan lebih
releven dengan kehidupan pelajar itu sendiri.
Manakala menurut Chambers(1972), beliau telah menjalankan kajian terhadap 397
orang saintis dalam bidang psikologi dan kimia yang dicalonkan sebagai kreatif. Para saintis
kemudiannya mencalonkan 2696 guru yang telah mempengaruhi peningkatan kreativiti
mereka semasa di universiti. Mereka telah diberi 2 jenis inventori tingkahlaku iaitu
tingkahlaku guru yang membantu meningkatkan kreativiti dan tingkahlaku yang
membantutkan kreativiti. Kesimpulan dua inventori yang dinyatakan jelas menunjukkan guru
merupakan pendorong utama dan guru harus bijak menterjemahkan tingkahlakunya kepada
pelajar kerana kesilapan yang kecil boleh membunuh kreativiti mereka.
Menurut kajian di dalam jurnal ini, untuk membantu meningkatkan lagi tingkahlaku
kreatif seperti yang disarankan oleh Shallcross (1981), beliau mengambil kira tiga faktor
utama penyediaan iklim persekitaran iaitu fizikal, mental dan emosi. Ketiga-tiga faktor ini
saling berkait rapat. Berbeza dengan Cropley (1992) yang menekankan tiga aspek dalam diri
7
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
pelajar iaitu kognitif, personaliti dan motivasi. Ketiga-tiga aspek ini merupakan tindakan
yang harus dilakukan guru kepada pelajarnya agar mereka mampu merancang pembelajaran
sendiri dan yakin terhadap diri sendiri. Di sini, guru merupakan model terbaik untuk
menggalakkan kreativiti pelajarnya sama ada secara langsung mahupun secara tidak
langsung. Pemusatan pelajar adalah satu pendekatan pengajaran yang dicadangkan Tan
(1997) kerana persekitaran yang bebas, luwes dan terbuka yang amat diperlukan untuk
merangsang kreativiti. Pelajar secara tidak langsung akan dapat mengekspresikan konsep
kendiri dan bakat yang mereka ada. Pendapat ini seiring dengan Cropley (1997) yang
menyatakan guru sangat bernilai dalam mempromosikan tingkahlaku pelajar.
Dalam konteks psikologi, mazhab kognitif memperkenalkan pengajaran kreatif
sebagai satu cara merangsang kreativiti pelajar yang mana pengajaran kreatif ini merujuk
kepada teknik-teknik yang merangsang pelajar belajar dan membantu mereka menyelesaikan
masalah secara kreatif.
6.0 Ulasan, Pendapat dan Idea
Jurnal ‘Peranan Guru Dalam Memupuk Kreativiti Pelajar’ merupakan tajuk yang
cukup menarik untuk dibaca dan dikaji terutamanya apabila ia melibatkan tanggungjawab
besar kepada semua yang bergelar pendidik. Setiap kritikan, idea, kajian dan saranan yang
diutarakan sangat membantu guru menyedari hakikat yang digalas amat besar. Peranan guru
di dalam memupuk krativiti pelajar ini sangat penting kerana pelajarlah pewaris dan
pemangkin kemajuan negara kita, Malaysia.
Seperti yang telah dinyatakan oleh penulis, pembangunan modal insan telah menjadi
teras utama di dalam Rancangan Malaysia ke-9. Kerajaan Malaysia telah memulakan
pelbagai usaha ke arah membangun dan mengembangkan daya kreativiti rakyat dalam
pelbagai bidang termasuk bidang perniagaan dan pendidikan. Contoh terbaik yang dapat
8
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
dilihat ialah dalam bidang Teknologi Maklumat yang mana kerajaan telah menubuhkan
koridor-raya Multimedia atau Multimedia Supercoridor (MSC) dan juga dengan mewujudkan
sekolah-sekolah bestari. MSC merupakan projek besar dan berani yang telah dilakukan
kerajaan dan dengan projek ini, ia akan mencetuskan perkembangan dan mempelbagaikan
aplikasi kreativiti dalam semua aspek kehidupan rakyat.
Manakala sekolah bestari didirikan untuk meningkatkan daya pemikiran kreativiti
yang kreatif dan kritis serta menjadikan pelajar-pelajar ini dapat berdikari dalam menuntut
ilmu. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2005), pelaksanaan konsep sekolah bestari menjelang
tahun 2000 membawa reformasi pendidikan dalam KBSR dan KBSM yang menggunakan
kaedah terkini dalam pengajaran dan pembelajaran. Sukatan pelajaran diubahsuai dan
disediakan dalam bentuk perisian oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) bersama
dengan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia. Ternyata
pelaksanaan konsep sekolah bestari telah menjadi arus perkembangan pendidikan abad ke 21.
Kepentingan kreativiti di dalam menerima rempuhan globalisasi ini sememangnya
tidak dapat disangkal lagi. Jurnal ini telah dikupas dengan baik dan memberikan satu
gambaran yang jelas akan peri pentingnya kreativiti itu. Dengan kepesatan bidang teknologi
dan komunikasi, pembangunan kerjaya adalah satu aspek yang amat penting bagi membentuk
dan menjadikan masyarakat Malaysia lebih dinamik dan progresif, moden, maju, mempunyai
daya saing dan dapat menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang membangun
sepenuhnya menjelang Wawasan 2020 (Sufean Hussin et al, 2005).
Persoalan mengenai peranan elemen-elemen penting dalam pendidikan untuk
melahirkan pelajar yang kreatif dan berkualiti harus diambil serius oleh semua pihak.
Walaupun dari aspek pendidikan, Malaysia merupakan negara yang mempunyai sistem
pendidikan yang terbaik di negara Dunia Ketiga, kita tidak harus meletakkan tanggungjawab
ini hanya dibahu guru mahupun sekolah kerana perkembangan seseorang pelajar itu
9
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapalah pendorong utama. Menurut Hasan Mohd Ali
(2005), memilih pusat prasekolah yang baik adalah pening kerana pendidikan awal ini akan
membentuk keupayaan minda anak yang lebih baik sekaligus member peluang kepada anak
pintar cerdas mengembangkan kreativiti dan kebolehan luar biasanya.
Pengertian kreativiti sendiri telah membawa maksud yang cukup mendalam serta
pakar-pakar kreativiti telah bersepakat mengatakan kreativiti memiliki tiga unsur teras iaitu
keaslian, keberkesanan dan beretika. Ketiga-tiga unsur teras ini wajib difahami oleh pendidik
kerana pelajar yang kreatif akan mencipta sesuatu produk dengan idea yang kreatif dan
kebiasaanya tindakan ini akan diasaskan dengan matlamat mengapa ia dihasilkan. Bagi De
Bono (1996), pemikiran kreatif adalah sejenis pengendalian maklumat secara logik,
matematik, saintifik dan seumpamanya. Kreativiti tidak hanya berlangsung dalam perkara
berkaitan seni sahaja tetapi merentasi bidang-bidang seperti sains, teknologi dan sains sosial
yang banyak membantu menjana penghasilan produk baru yang kadangkala sukar
digambarkan oleh pemikiran biasa (Yahaya Othman, 2005).
Namun begitu, terdapat sebilangan warga pendidik yang masih gagal untuk
memahami konsep kreativiti ini. Ia juga bukanlah isu yang baru di dalam pendidikan kerana
ia sering dibahaskan. Sebaiknya tanggapan kreativiti ini sukar diaplikasikan di dalam bilik
darjah haruslah diatasi segera. Dengan memahami konsep kreativiti dengan lebih jelas akan
menjadikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Pemahaman betapa
pentingnya pelajar menguasai kreativiti perlu dijelaskan kepada semua pihak yang terlibat
supaya mereka dapat menghayati dan melaksanakan keperluan itu melalui pengajaran dan
pembelajaran.
KBSR yang digubal dalam tahun 1982 merupakan satu inovasi yang berlaku di dalam
pendidikan di Malaysia. Ia membawa satu hasrat yang cukup murni dalam mengembang dan
meningkatkan daya pemikiran kreatif pelajar. Pembaharuan yang berlaku dalam KBSR ialah
10
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
mengenai gaya pengajaran guru yang berpusatkan murid. Pelbagai perancangan teliti telah
dilakukan untuk lebih mewarnai dunia pendidikan namun banyak hasil kajian-kajian yang
dilakukan mendapati KBSR ini tidak diikuti dan dilaksanakan sepenuhnya di dalam kelas.
Kebanyakan guru didapati terlalu mengawal dan menguasai suasana pembelajaran di dalam
kelas sehingga mengabaikan konsep pemusatan pelajar yang amat ditekankan. Sewajarnya
interaksi di antara guru dan murid haruslah melalui dua hala dan perkara ini terus berlanjutan
sehingga tindakan dan tingkahlaku guru di dalam bilik darjah itu telah melumpuhkan
kreativiti pelajar.
Senario yang berlaku merupakan satu kerugian kerana keupayaan pelajar yang tidak
diteroka dan diperluaskan dalam bentuk yang boleh dimanfaatkan untuk generasi akan datang
akan membantutkan usaha membangunkan modal insan yang berkualiti dan gemilang.
Nescaya negara akan ketandusan bakat-bakat belia yang kreatif dalam menyumbangkan idea
untuk kemakmuran negara kita. Sebagai pendidik, apabila seseorang itu tidak berupaya
membangunkan keperluan individu menguasai aspek kreatif, kita sebenarnya telah gagal
membangunkan keperluan pendidikan secara menyeluruh dan seimbang. Falsafah Pendidikan
Negara yang dibentuk khas kepada warga pendidik merupakan pedoman dan paksi yang utuh,
agar mereka akan dapat mengawal pemikiran dan melaksanakan pendidikan supaya hasrat
dan cita-cita bangsa dan negara dapat ditepati.Ia juga menjadi tunjang dan teras sistem
pendidikan kebangsaan supaya semua program dan aktiviti pendidikan menjadi prinsip dan
nilai yang terkandung dalam falsafah itu (Ishak Ramly, 2005).
Tingkahlaku guru yang ditunjukkan terutamanya di dalam bilik darjah dipercayai
boleh meningkatkan kreativiti pelajar. Tingkahlaku molekul dan tingkahlaku molar yang
terdiri daripada teknik-teknik pengajaran guru serta kefahaman dan pendekatan-pendekatan
yang diamalkan oleh guru diyakini dapat memupuk kreativiti pelajar. Semasa di dalam bilik
darjah, guru yang mengamalkan tingkahlaku molekul perlu benar-benar komited dan tahu
11
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
apayang ingin dilakukan. Guru perlu memastiakn kelas itu mempunyai persekitaran
pengajaran yang kreatif. Sebagai ‘role model’ kepada pelajar, adalah menjadi tanggungjawab
guru untuk mendorong pelajar berdikari dan bebas mengekspresi buah fikiran mereka secara
terbuka. Semangat yang ditunjukkan oleh guru akan memupuk suasana yang kondusif dan
positif ke atas pelajar sekaligus kreativiti pelajar akan dapat ditingkatkan.
Berbanding dengan tingkahlaku molekul, tingkahlaku molar lebih kepada
perancangan aktiviti untuk setiap tahap perkembangan aktiviti pelajar. Guru perlu
memastikan kesediaan pelajar-pelajarnya untuk menerima pelajaran pada hari itu. Setiap
perancangan pengajaran pada hari itu haruslah teliti dan guru harus berusaha untuk
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajarannya. Mengekalkan konsentrasi pelajar
merupakan cabaran yang besar kerana kajian mendapati kanak-kanak mempunyai tempoh
tumpuan yang singkat.
Ada beberapa sebab mengapa pelajar cenderung hilang tumpuan dan lupa apa yang
didengarinya. Antara sebab yang paling menarik ada kaitannya dengan kelajuan seseorang
guru bercakap dan kadar yang didengar oleh pelajar. Kebanyakan guru bercakap antara 100
hingga 200 patah perkataan seminit dan persoalan di sini, berapa banyakkah yang didengar
dan diberi tumpuan oleh pelajar? Walaubagaimanapun, ini sebenarnya bergantung pada
bagaimana pelajar mendengarnya. Sekiranya pelajar memberikan sepenuh perhatian, mereka
mungkin berupaya mendengar antara 50 hingga 100 perkataan seminit, ataupun separuh
sahaja daripada apa yang diperkatakan oleh guru tersebut (Mel Siberman, 2009). Ini kerana
pelajar banyak berfikir semasa mereka mendengar. Besar kemungkinan juga pelajar tidak
memberikan tumpuan kerana walaupun bahan intipati pelajaran yang disampaikan adalah
menarik, sukar bagi mereka memberikan tumpuan apa yang diajar dalam tempoh waktu yang
lama. Pelajar mungkin akan berasa bosan dan fikiran mereka mula merayau-rayau. Oleh itu,
sebagai guru kita seharusnya lebih proaktif dan bijak untuk menangani masalah ini. Dengan
12
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
melibatkan diri dengan kursus-kursus pedagogi mahupun latihan dalam perkhidmatan akan
memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.
7.0 Kesimpulan
Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan dan pelbagai gaya pengajaran juga telah
disarankan oleh pakar-pakar. Setiap latihan dalam perkhidmatan dan kursus-kursus pendek
haruslah berterusan kerana guru juga perlu dipersiapkan oleh kemahiran-kemahiran yang
terkini seiring dengan perubahan semasa.
Walaupun perubahan dasar di dalam pendidikan sering berlaku, guru-guru haruslah
menghadapi semua itu dengan berani dan yakin perubahan yang berlaku akan membawa
kepada kebaikan. Pengajaran kreatif menjadi faktor utama pembangunan kreativiti di
sekolah-sekolah. Di sini, untuk mewujudkan pengajaran kreatif, guru haruslah mempunyai
pemikiran kreatif yang menganggap segala sesuatu yang sedia ada boleh mengalami
perubahan dan pengubahsuaian.
Para pentadbir sekolah juga harus memainkan peranan yang penting kerana galakan
yang diberikan akan menyuntik semangat guru-guru. Penyeliaan dan penilaian guru di dalam
kelas juga dilihat sebagai langkah yang baik kerana tujuan utama penyeliaan ialah untuk
menyediakan sokongan kepada guru apabila mereka mengaplikasikan dan memurnikan
amalan-amalan pengajaran baru di dalam bilik darjah (Amin Senin, 2008). Mereka juga
bertanggungjawab membentuk norma, nilai dan jangkaan kepada pembangunan professional
guru. Peranan yang dilakukan cukup kritikal kerana perlu mengekalkan struktur organisasi,
merangsang, menyokong dan mempelbagaikan peluang untuk motivasikan para guru.
Faktor persekitaran di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah juga turut
memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keberkesanan pemupukan kreativiti para
pelajar. Sekolah yang bersih, kondusif dan selamat haruslah dipastikan berada di dalam
13
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
keadaan yang terbaik. Penyediaan sumber rujukan dan suasana yang menjana pemikiran
pelajar amatlah diperlukan agar guru-guru dapat meningkatkan pengajaran mereka. Namun,
penyediaan sekolah yang sempurna dengan kemudahan yang baik juga belum dapat
menjamin peningkatan kreativiti pelajar itu. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan di
Malaysia yang sering berubah dan berorientasikan peperiksaan.
Tanpa disedari, semasa pelajar-pelajar ini membesar, kemampuan kreativiti mereka
telah ditekan melalui latihan dan didikan yang mereka terima atas nama mengembangkan
keupayaan lain. Pendidikan yang mereka terima di sekolah sehingga ke universiti berjaya
mengembangkan keupayaan lain tetapi dengan cara menekan kemampuan kreativiti semula
jadi mereka. Individu kreatif yang kita temui hari ini bukanlah kreatif hasil dari sistem
pendidikan sekarang sebaliknya mereka kreatif disebabkan oleh sistem yang ada.
Rujukan
14
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
Siew Heng Loke, Abu Talib Putih, Lee Siew Eng, Sandiyao Sebatian, Adelina Asmawi
(2005). Pedagogi Merentas Kurikulum, Pahang: PTS Professional Publishing Sdn
Bhd.
Mohd. Fauzi Yaacob (2009). Malaysia: Transformasi dan Perubahan Sosial, Selangor: Arah
Pendidikan Sdn Bhd.
Abdullah Sani Yahaya (20050. Mengurus Sekolah, Pahang: PTS Professional Publishing Sdn
Bhd.
Sufean Hussin, Shahril @ Charil Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md. Som,
Alina Ranee (2005). Pentadbiran Dalam Pembangunan Pendidikan, Pahang: PTS
Professional Publishing Sdn Bhd.
Hasan Mohd Ali (2005). Anak Kita Memang Pintar Cerdas: Panduan Membina Potensi Diri
Anak-anak, Selangor: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Yahaya Othman (2005). Trend Dalam Pengajaran Bahasa Melayu, Pahang: PTS
Professional Publishing Sdn Bhd.
Ishak Ramly (2005). Inilah Kurikulum Sekolah, Pahang: PTS Professional Publishing Sdn
Bhd.
Mel Silberman (2009) - Penterjemah Zainab Ahmad. Pembelajaran Aktif, Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Amin Senin (2008). Pembangunan Professional Guru, Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
15
Ulasan Jurnal: Peranan Guru Memupuk Kreativiti Pelajar
16