Download - Kepercayaan Kaum India
Kepercayaan kaum India
Jika diteliti, akan nampak alasan logik di sebalik setiap daripadanya.
Budaya kaum India kaya dengan pelbagai pantang-larang, amalan dan kepercayaan.
Kebanyakan kepercayaan ini bermula bersama-sama wujudnya konsep tamadun di
Benua Kecil India. Kemudian, segala kepercayaan itu berkembang bersama-sama
perkembangan zaman.
Masyarakat India di Malaysia merupakan generasi kedua, ketiga, keempat dan
seterusnya. Namun, di negara bertuah ini, rata-rata kaum India masih dilabel sebagai
“pendatang” bagi tujuan politik.
Apa pun, budaya dan kepercayaan nenek-moyang yang berasal dari Benua Kecil India
masih berakar-umbi dalam jiwa kaum India di Malaysia dan menjadi jati diri yang
dibanggakan. Begitu juga, banyak budaya India sudah meresap masuk ke dalam
budaya Melayu melalui proses asimilasi sejak sebelum kedatangan Islam.
Kebanyakan “kepercayaan” dianggap tidak logik oleh generasi muda. Lalu, dinamakan
sebagai “kepercayaan karut”. Bagaimanapun, jika diteliti, akan nampak bahawa
sesungguhnya terdapat alasan yang logik di sebalik setiap kepercayaan.
Kepercayaan dalam budaya India biasanya dikaitkan dengan dewa-dewi, unsur alam,
unsur jahat seperti hantu, roh dan penunggu; serta kesan-kesan negatif.
Penampilan unsur-unsur seperti inilah yang menyebabkan masyarakat moden –
khususnya generasi muda – mula menganggap kepercayaan kaum India sebagai tidak
lebih daripada sekadar “kepercayaan karut yang tidak boleh diterima akal rasional”.
Sesungguhnya, memang tidak ada sebarang bukti konkrit dapat dikemukakan bagi
menyokong hujah dalam kepercayaan yang menjadi amalan kaum India sejak zaman
dahulu.
Misalnya, masyarakat India percaya bahawa sekiranya seorang makan nasi di tempat
yang gelap, maka hantu, penunggu atau roh akan sama-sama menjamah makanan itu.
Akibatnya, individu tadi tidak akan kenyang serta tidak akan mendapat zat daripada
makanan kerana telah diserap oleh “orang kedua” tadi.
Pasti sahaja tidak ada kejadian sebenar yang dapat dijadikan bukti untuk menyokong
hujah dalam kepercayaan ini. Misalnya, belum ada individu dalam masyarakat yang
membuat kenyataan bahawa dirinya kurus-kering dan tidak pernah kenyang kerana
setiap kali dia makan di tempat gelap, ada “hantu” yang mencuri makanannya.
Kepercayaan yang menjadi amalan dalam masyarakat India juga sukar dibuktikan
secara saintifik. Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah bahawa “amalan” itu tidak ada
alasan saintifik. Sebaliknya “kepercayaan (karut)” di sebalik amalan itu tidak dapat
dibuktikan secara saintifik.
Sebagai contoh, masyarakat India percaya bahawa sekiranya pensel diasah pada
kedua-dua belah, maka ibu dan bapa dalam keluarga berkenaan akan sentiasa
bergaduh. Atau kepercayaan bahawa perbuatan bersiul pada waktu malam akan
mengudang ular masuk ke dalam rumah.
Tentu sekali “kepercayaan” ini tidak dapat dibuktikan menggunakan teori sains! Sebab
itulah juga generasi muda – atau kelompok yang menganggap diri mereka sudah
“moden” – ketara menganggap segala “kepercayaan” ini sebagai “kepercayaan karut”.
Berfikiran moden
Kalau kita teliti, setiap kepercayaan dalam
masyarakat India akan ada cerita di sebaliknya. Pasti ada hujah yang dikemukakan
untuk semacam menyokong kepercayaan dan pantang-larang yang diamalkan oleh
masyarakat berkenaan.
Sesiapa yang melanggar kepercayaan biasanya dikatakan akan menerima nasib buruk
atau kesan negatif. Sebagai contoh, perbuatan mengasah pensel pada kedua-dua
belah. Natijahnya adalah ibu bapa akan bergaduh.
Tentu sekali kanak-kanak tidak mahu melihat ibu bapa mereka bergaduh. Lalu, mereka
disuakan dengan cerita yang menakutkan ini dengan harapan kanak-kanak berkenaan
tidak akan mengasah pensel pada kedua-dua belah.
Bagi mereka yang makan di tempat yang gelap pula, mereka ditakutkan dengan cerita
bahawa makanan mereka akan dikongsi bersama oleh hantu, roh atau penunggu.
Akibatnya, secara logik, kanak-kanak tidak akan berani makan di tempat gelap dan
tidak diterangi cahaya.
Bagi remaja dan kanak-kanak yang suka bersiul pada waktu malam, mereka ditakut-
takutkan dengan “kepercayaan” bahawa perbuatan mereka akan membawa kesan
negatif, iaitu ular akan masuk ke dalam rumah.
Setiap kepercayaan dalam masyarakat India pasti dikaitkan dengan cerita-cerita yang
menakutkan. Bagi kepercayaan yang bernada positif pula, akan dikaitkan dengan
cerita-cerita yang menggembirakan. Saya pernah menerangkan perkara ini menerusi
sebuah makalah di majalah Dewan Agama & Falsafah (Mei 2004).
Misalnya, masyarakat India – khususnya yang beragama Hindu – percaya bahawa
pada hari-hari perayaan seperti Tahun Baru, Deepavali, Ponggal, Onam dan Ugadi,
setiap individu perlu membuka mata pada waktu subuh dan memandang apa-apa objek
yang dianggap suci. Tindakan itu dikatakan akan membuatkan hidup mereka diberkati
dengan kebahagiaan, kemewahan dan segala macam kebaikan.
Namun, seperti yang dikatakan tadi, rata-rata kepercayaan ini dianggap “karut” oleh
generasi muda yang kononnya berfikiran moden. Mereka tidak dapat menerima alasan
dan cerita yang dikemukakan oleh generasi terdahulu bagi setiap amalan dan
kepercayaan dalam masyarakat.
Pada masa sama, generasi muda ini sebenarnya masih tepu dengan kepercayaan.
Bezanya, mereka menerima kepercayaan dari luar; sama ada daripada masyarakat luar
atau dari negara luar.
Tanpa mereka sedari, generasi muda kaum India yang memperlekehkan kepercayaan
dalam masyarakat mereka sendiri sebenarnya terpengaruh pula dengan kepercayaan
masyarakat lain. Anehnya, kepercayaan dari luar juga memiliki unsur “karut”
sebagaimana yang dikatakan terdapat dalam amalan masyarakat India.
Sebagai contoh, ada kelompok muda kaum India yang mengelakkan nombor atau
angka 4 kerana terpengaruh dengan kepercayaan masyarakat Cina. Entah disedari
atau tidak oleh generasi muda kaum India bahawa kepercayaan masyarakat Cina
terhadap kecelakaan yang dibawa oleh angka 4 juga memenuhi kriteria “karut”
sebagaimana yang dikatakan terhadap kepercayaan dalam masyarakat India.
Walau dalam masyarakat mana sekali pun, setiap amalan dan kepercayaan pasti ada
penjelasan yang logik dan boleh diterima akal. Dalam masyarakat Cina, misalnya,
angka 4 dikatakan membawa sial kerana sebutan angka “empat” hampir sama
bunyinya dengan sebutan “mati”.
Penjelasan yang logik juga dapat dikemukakan bagi setiap amalan dan kepercayaan
dalam masyarakat India. Malangnya, generasi terdahulu melakukan kesilapan yang
amat besar dengan tidak menerangkan “alasan rasional” ini kepada anak-cucu.
Orang tua biasanya hanya menceritakan kepercayaan (misalnya, jangan bersiul pada
waktu malam) serta cerita yang menakutkan (misalnya, ular akan masuk ke dalam
rumah). Mereka tidak menerangkan alasan rasional (misalnya, mengganggu orang
yang mahu tidur atau berehat).
Lama-kelamaan, apabila kepercayaan itu disampaikan pula oleh generasi terdahulu
kepada generasi terkemudian, yang tinggal hanyalah “cerita yang menakutkan” tanpa
disertai “alasan rasional”.
Penjelasan logik
Maka tidak salah jika generasi muda yang berfikiran moden menganggap segala
kepercayaan dalam masyarakat India sebagai “karut” dan tidak boleh diterima akal
rasional.
Rata-rata mereka menolak kepercayaan dan amalan dalam masyarakat India kerana
dikatakan tiada penjelasan saintifik serta tidak ada bukti terhadap “cerita yang
menakutkan” itu.
Sepatutnya, generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran moden perlu berfikir
secara rasional. Generasi terdahulu telah melakukan kesilapan dengan hanya
menyampaikan “cerita yang menakutkan” bagi menyokong segala amalan dan
kepercayaan.
Generasi muda perlu sedar bahawa walaupun tidak akan penjelasan saintifik atau bukti
terhadap “cerita yang menakutkan”, namun pasti ada sebab mengapa nenek-moyang
kita mewujudkan segala macam kepercayaan itu.
Setiap kepercayaan yang dianggap “karut” itu amat wajar diteliti secara rasional untuk
mengungkapkan semula penjelasan logik yang tersembunyi di sebaliknya.
Sebagai contoh, kanak-kanak dinasihatkan supaya tidak mengasah pensel pada kedua-
dua belah. “Cerita yang menakutkan” adalah bahawa ibu bapa akan bergaduh. Tiada
penjelasan saintifik dan bukti konkrit bagi menyokong kepercayaan ini.
Generasi muda yang terpelajar sepatutnya menggunakan akal rasional untuk meneliti
semula kepercayaan ini untuk memahami makna yang tersirat. Pasti sahaja perbuatan
kanak-kanak mengasah pensel pada kedua-dua hujung boleh mengakibatkan dia
tercucuk mata semasa menggunakan pensel berkenaan.
Jika kita makan di tempat yang gelap, kita tidak akan tahu apa yang kita suap ke dalam
mulut. Mungkin ada serangga yang terjatuh ke dalam makanan. Atau mungkin kita akan
tergigit cili padi. Itulah antara penjelasan logik mengapa masyarakat India tidak
menggalakkan orang ramai makan di tempat gelap.
Kalau diteliti, setiap amalan dan kepercayaan dalam masyarakat India mempunyai
penjelasan yang logik dan rasional. Malah begitu juga halnya dengan kepercayaan
dalam mana-mana masyarakat.
Kini, terpulang kepada kebijaksanaan generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran
moden untuk mengkaji dan memahami rasional di sebalik setiap amalan dan
kepercayaan itu.
Suatu hari nanti, mereka diharap mampu menyampaikan “cerita yang menakutkan”
berserta “alasan logik serta rasional” di sebalik setiap “kepercayaan karut” dalam
kalangan masyarakat India.
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang
mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya sejak 1999.
Adat Resam dan Kepercayaan Perayaan Deepavali
Setiap perayaan di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat pelbagai
adat resam dan kepercayaan dalam sesebuah perayaan. Deepavali adalah antara
sebuah perayaan yang mengikut adat resam dan kepercayaan masyarakat India yang
beragama Hindu. Mengikut kepercayaan Hindu, Deepavali dirayakan sebagai tanda
kemenangan kaum tersebut atas kematian seorang raja yang disifatkan seorang yang
jahat dan sering menindas rakyat
pada suatu masa dahulu.
Disebalik kisah dongeng itu terselit pengajaran bahawa setiap kebaikan akan
mengatasi kejahatan. Hal ini bertujuan untuk memberi keinsafan kepada setiap individu
agar tidak melakukan kejahatan.
Pada malam perayaan Deepavali, upacara memasang pelita dijalankan yang disertai
oleh seluruh ahli keluarga. Mereka akan memasang lampu “vilakku”.Lampu “vilakku”
adalah sejenis pelita tradisi yang diperbuat daripada tanah liat. Perayaan Deepavali
juga akan bertambah meriah dengan adanya lampu-lampu moden. Penganut agama
Hindu percaya akan Dewa kekayaan dan kemakmuran iaitu Dewi Laksmi akan datang
melawat rumah mereka pada masa itu. Persiapan tersebut dilakukan untuk menyambut
kedatangan Dewi Laksmi.
Pada pagi hari perayaan Deepavali, penganut Hindu akan menghiasi rumah mereka
dengan “kolams” atau “rangoli” iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras
yang diwarnakan sebelum tertib matahari. Biasanya “kolams”ini dibuat di depan pintu
rumah sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat
kesejahteraan. Kemahiran membuat “kolams” ini biasanya diwarisi secara turun-
temurun. Walaupun nampak susah, tetapi penganut Hindu boleh membuatnya dengan
cantik, unik dan menarik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Upacara ini
membawa maksud yang amat bererti kerana perayaan ini tidak hanya dirayakan oleh
penganut Hindu tetapi juga makhluk lain di dunia ini seperti semut sebagai tanda
ucapan selamat datang kepada para tetamu.
Selain itu, upacara mandi minyak bijan turut dilakukan pada awal pagi sebelum
matahari tertib. Penganut Hindu akan menjalankan upacara mandi minyak bijan
bertujuan untuk penyucian badan dan semangat. Minyak bijan ini akan disapukan ke
atas kepala setiap ahli keluarga oleh mereka yang lebih tua seperti ibu atau nenek.
Kebaikan mandi minyak bijan bagaikan mandi di Sungai Ganges yang suci bertujuan
membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki. Selepas mandi
dimestikan memakai pakaian dan perhiasaan serba baru pada pagi Deepavali bertujuan
untuk menghilangkan segala sifat buruk dan kejahatan dalam diri seseorang.
Penganut Hindu akan mengunjungi kuil untuk bersembahyang selepas menjalankan
upacara penyucian. Penganut Hindu akan mengalungkan Patung Dewa Hindu dengan
kalungan bunga untuk mendapatkan kesejahteraan diri dan keluarga serta
memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selepas sembahyang, mereka
akan dihidangkan dengan pelbagai manisan yang dinamakan “Prasad” sebelum pulang
ke rumah.
Setelah itu, penganut Hindu akan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat
handai. Mereka akan dihidangkan dengan juadah tradisional kaum india yang terkenal
seperti halwa dan laddu. Malah sembilan jenis hidangan sayur-sayuran turut disediakan
pada pagi Deepavali. Antaranya ialah “aloogobi” iaitucampuran ubi kentang dan
kobis bunga, “paneer” campuran masala bersama yourgart dan kari dal. Kuih-muih
tradisional juga tidak ketinggalan seperti maruku, adivasam, payasam dan sebag
Suatu perkara yang sepatutnya (ulang: sepatutnya) sudah diketahui masyarakat
pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India beragama
Hindu tidak makan daging lembu.
Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya akan diberikan
jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu adalah berasaskan budaya
dan kepercayaan tradisional; bukan berikutan tuntutan agama semata-mata.
Kaum India-Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah anugerah Tuhan
kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu dihargai.
Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina akan segera
bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya.
Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera
untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.
Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi; dengan erti
kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung hidup padanya.
Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan lembu dikatakan
mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan menanggung derita demi
“anak-anak”.
Sekiranya kita berpeluang memperhatikan kehidupan petani dan pesawah kaum India
yang masih menggunakan khidmat lembu, maka kita akan lebih memahami sentimen
kaum India terhadap haiwan berkenaan.
Sejak zaman dahulu, lembu memainkan
peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Benua Kecil India. Hasil kajian
arkeologi menemukan bukti kewujudan Tamadun Harappa dan Mohenjo-daro di
Lembah Indus sekitar tahun 2500-1500 SM.
Antara barangan yang ditemui adalah mohor daripada batu yang mempunyai ukiran
lembu jantan dan betina. Tentulah binatang berkenaan mempunyai peranan penting
dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu sehingga diabadikan pada mohor.
Lembu membantu petani dan pesawah untuk membajak. Haiwan itu juga digunakan
untuk mengangkut barang serta menarik kereta lembu.
Ringkasnya, lembu merupakan binatang yang amat diperlukan dalam kehidupan
seharian masyarakat India tradisional. Kita tidak perlu memiliki ijazah Doktor Falsafah
untuk memahami, menyedari dan mengakui hakikat itu.
Hubungan dengan Dewa
Dalam pada itu, bagi orang ramai yang berpeluang membaca teks Sejarah Melayu
(Sulalatus Salatin) secara teliti dan mendalam, pasti tahu mengenai individu yang
dikatakan lahir daripada muntah seekor lembu dan meneruskan jurai keturunan Melayu
yang ada sekarang.
Kalau diteliti dalam teks klasik India yang dinamakan purana iaitu cerita dewa-dewi,
akan dijelaskan bahawa bukan hanya manusia bergantung pada lembu. Dewa-dewi
sendiri mempunyai hubungan rapat dengan mamalia berkenaan.
Misalnya, Dewa Shiva menjadikan lembu sebagai wahana rasmi. Sekiranya kita
berpeluang melawat kuil Dewa Shiva, pasti akan kelihatan patung lembu betina yang
dinamakan “nandhi” di kuil berkenaan.
Lembu turut menjadi wahana serta binatang kesayangan Dewa Krishna. Tidak setakat
itu, purana menggambarkan Dewa Krishna sebagai pengembala lembu.
Terdapat juga sebuah cerita di mana Dewa Krishna mengangkat Gunung Govardhan
semasa hujan lebat supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh
berlindung di bawahnya.
Sejak dahulu, petani kaum India merayakan ponggal iaitu pesta menuai selama
beberapa hari. Hari kedua pesta menuai ini adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas
bagi lembu peliharaan.
Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India kepada lembu
yang amat berguna dalam kehidupan seharian.
Lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng
baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan nasi manis yang dimasak
khas untuknya.
Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan
mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan.
Lembu sesungguhnya memberi sumbangan besar kepada keluarga si penternak.
Lembu jantan biasanya membantu membajak serta mengangkut barang. Lembu betina
pula membekalkan susu yang amat diperlukan untuk diminum, dijadikan susu masam
atau dijadikan minyak sapi.
Lembu turut membekalkan tahi yang dijadikan baja organik. Di India, tahi lembu juga
dijadikan bahan bakar selepas dikeringkan; termasuk sebagai bahan bakar apabila
jenazah dibakar mengikut adat Hindu.
Kajian saintifik membuktikan bahawa tahi lembu mempunyai kandungan bahan kimia
yang mampu menghalau serangga perosak dan membunuh kuman.
Amalan tradisi itu ada saya selitkan pada perenggan pertama cerpen “Doa Tahun Baru”
(Siru Kambam, 1996) sebagai usaha awal menggambarkan budaya kaum India dalam
karya Bahasa Malaysia.
Mungkin orang ramai sedia maklum mengenai Dewi Lakshmi dalam konsep budaya
India dan agama Hindu. Tambahan pula, ramai yang suka menonton filem Tamil dan
Hindi.
Komatha
Dewi berkenaan dianggap sebagai sumber
kekayaan. Namun, tidak ramai – termasuk kaum India beragama Hindu – yang tahu
bahawa Dewi Lakshmi dikatakan menghuni tahi lembu.
Mitos dan purana ini sebenarnya bertujuan menunjukkan bagaimana “kekayaan” (Dewi
Lakshmi) terdapat juga pada tahi lembu yang mungkin dianggap sebagai bahan
buangan yang tidak berguna.
Air kencing lembu turut terbukti secara saintifik mengandungi bahan yang mampu
mengubati beberapa penyakit kulit serta bertindak sebagai bahan antiseptik.
Kelebihan ini ternyata sudah diketahui masyarakat India sejak sekitar tahun 2500 SM!
Air kencing lembu biasanya direnjis pada lantai rumah untuk membersihkannya
daripada kuman.
Tahi lembu yang dikeringkan pula sering dibakar dan asapnya dibiarkan memenuhi
rumah kediaman. Langkah ini bagi membersihkan udara di dalam rumah daripada
bakteria.
Selain itu, khasiat susu lembu adalah suatu hakikat yang sudah diketahui umum.
Secara tradisi, keluarga dalam masyarakat India bergantung pada susu yang
dibekalkan oleh lembu peliharaan keluarga mereka.
Susu lembu menjadi minuman sejak bayi. Maka itulah lembu yang membekalkan susu
tadi dianggap sebagai “ibu susu” bagi anak-anak dalam keluarga berkenaan. Konsep ini
sama sahaja dengan konsep “ibu susu” yang terdapat dalam budaya kaum/agama lain
di seluruh dunia.
Itulah juga antara sebab utama mengapa masyarakat India menganggap lembu
peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga berkenaan.
Malah, lembu digelar “komatha” iaitu gelaran sama seperti “ibu”. Sejak kecil, anak-anak
dididik supaya menyayangi serta menghormati lembu yang dipelihara sebagai
sebahagian daripada ahli keluarga.
Lembu juga menjadi simbol kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan. Apabila
seseorang membeli – atau membina – sebuah rumah baru, maka tuan rumah akan
mengadakan upacara sembahyang khas.
Pada upacara berkenaan, seekor lembu betina akan dibawa masuk ke dalam rumah.
Lembu itu akan dibawa ke setiap bilik dan ruang yang terdapat di rumah berkenaan.
Malah, jika rumah itu merupakan rumah dua atau tiga tingkat, lembu berkenaan akan
dibawa menaiki tangga!
Tindakan ini dianggap sebagai mengundang Dewi Lakshmi (“kekayaan” dan
“kemakmuran”) bertandang ke rumah. Malah, tuan rumah dikatakan amat bertuah
sekiranya lembu itu kencing atau berak semasa berada di dalam rumah berkenaan.
Demikianlah lembu yang pendiam diberi kedudukan yang amat mulia dalam budaya
kaum India sejak dahulu. Atas dasar itulah juga kaum India-Hindu tidak menyakiti,
menganiaya, membunuh – apatah lagi makan! – lembu hingga kini.
Mahatma Gandhi sendiri beranggapan bahawa lembu adalah wakil bagi manusia
memahami dunia binatang yang bisu. Menurut beliau, walaupun “bisu” dan tidak
mampu berkata-kata, lembu mampu berkomunikasi bersama manusia melalui
pergerakan matanya yang besar dan bulat.
Apa yang pasti, kaum India-Hindu di seluruh dunia amat menghargai jasa lembu.
Walaupun tidak ramai petani/penternak kaum India yang masih memelihara lembu,
amalan yang mendarah-daging sejak hampir 4,500 tahun lalu tentu sahaja sukar
dilupakan.
Mungkin ada individu kaum India (khususnya yang tidak mengamalkan ajaran agama
Hindu) yang makan daging lembu tetapi itu adalah kes terpencil yang tidak mewakili
masyarakat India secara keseluruhan.
4.1 Pantang Larang Semasa Pekahwinan Orang India
Perkahwinan kaum india di malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis
iaitu tamil tirumanam ,eliyat tirumanam dan vaitiikat tirumanam . Terdapat banyak adat
dan pantang larang perlu diikut oleh kaum india semasa perkahwinan .
Pantang larang semasa merisik adalah bakal pasangan akan saling membalas
kunjungan ketika merisik. Tetapi ketika rombongan bakal pengantin perempuan, bakal
pengantin perempuan dilarang ikutserta kerana dianggap tidak sopan.
Selain itu, sebelum majlis perkahwinan berlangsung ,kad jemputan perlu disediakan
dan dibuat berdasarkan almanak hindu tanpa kesilapan ,jika terdapat kesilapan
bermakna perkahwinan tersebut akan tidak dapat dijalankan dengan lancar .
Jika jamuan perkahwinan dilakukan di kuil ,maka hanya sayur-sayuran boleh
dihidangkan kepada para tetamu dan makanan lain tidak boleh dihidangkan
terutamanya daging lembu,kerana agama hindu melarang makan daging lembu.
Kesimpulannya ,pada zaman modem sekarang ramai kaum india juga terus mematuhi
adat dan pantang larang yang diwarisi oleh nenek moyang kerana keadaan ini
membuktikan tradisional budaya dan unik terhadap kaum india .
Disediakan Oleh :Tan Chen Hin (204257)