Download - Kuliah Olahraga
Refleksi Minggu 1 Pengenalan Olahraga
Tarikh : 13 - 1 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada hari ini merupakan hari pertama kami menghadirkan diri ke kuliah WAJ
3121 Kokurikulum - Olahraga. Encik Ng Kheng Loon selaku pensyarah
penyelaras kursus ini telah memberi taklimat kepada semua guru pelatih
mengenai subjek ini dengan jelas.
Pada mulanya, Encik Ng Kheng Loon telah menjelaskan kepada kami
mengenai kerja kursus ataupun tugasan yang akan kami sempurnakan bagi
semester ini ialah folio individu dan folio kumpulan. Kami harus membuat satu
folio olahraga merangkumi semua tajuk yang diajar, mencari jurnal yang
berkaitan serta membuat refleksi. Bagi folio kumpulan, beliau memberitahu kami
bahawa taklimat kerja kursus akan diberikan pada masa akan datang. Beliau
juga mengingatkan kami tentang ujian amali dan ujian bertulis akan diadakan
selepas tamat sesi pengajian kursus ini bagi menguji tahap penguasaan dan
tahap kefahaman guru pelatih terhadap aktiviti-aktiviti olahraga.
Olahraga ialah satu aktiviti fizikal yang bersifat saingan. Ia merangkumi
beberapa acara berlainan yang berasaskan kepada pergerakan-pergerakan
semula jadi seperti berlari, melompat dan membaling. Bentuk awal olahraga
yang dikelolakan secara tersusun telah dikenali pada zaman klasikal
terutamanya Sukan Olimpik Kuno. Sepertimana kita tahu, olahraga bermula dari
Sukan Olimpik Moden pertama di Athens pada tahun 1896 dan kewujudan IAAF
(Pertubuhan Olahraga Amator Antarabangsa) pada tahun 1912. Sejak itu,
program olahraga telah diubahsuaikan dan diperkembangkan secara berterusan.
Refleksi Minggu 2 Aktiviti Lari Pecut
Tarikh : 20 - 1 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, kami mempelajari aktiviti lari pecut. Pada mulanya, pensyarah
pembimbing kami iaitu Puan Rohana dan Encik Khairul Azli telah menerangkan
kepada kami tentang aktiviti ini. Pensyarah pembimbing telah menjelaskan
kepada kami tentang aktiviti ini terdapat dua teknik yang digunakan untuk
memulakan larian iaitu gaya berdiri dan gaya dekam. Kebiasaanya atlet
menggunakan larian gaya berdiri bagi acara lari pecut.
Bagi gaya berdiri dalam aktiviti lari pecut, peserta bersedia beberapa meter di
belakang garisan mula sebelum arahan “ke garisan” diberi. Seterusnya, pelari
bergerak ke hadapan dengan meletak hujung kaki hadapan rapat kepada
garisan mula tanpa menyentuhnya, kaki belakang sedikit ke belakang, kira-kira
30 - 40 cm dan mengimbangkan badan. Pada masa yang sama, pelari haruslah
membengkokkan kaki hadapan dan berat badan lebih pada kaki hadapan. Pelari
juga harus mencondongkan badan ke hadapan. Pada masa ini, kedua-dua belah
tangan berada di sisi dengan tangan bertentangan dengan kaki hadapan.
Semasa arahan “Sedia” diberi, pelari haruslah mencondongkan badan ke
hadapan dan mata pandang ke hadapan. Pelari juga perlu membengkokkan lutut
kaki hadapan dan kaki belakang tolak ke tanah. Pada masa ini, badan tidak
bergerak dan perlu tumpukan perhatian kepada tembakan pistol ataupun tiupan
wisel.
Apabila arahan “Mula” diberi, pelari mula bergerak apabila mendengar bunyi
tembakan dengan menolak kuat kaki hadapan.
Gerakan “ke garisan” Gerakan “sedia”
Refleksi Minggu 3 Aktiviti Lari Jarak Sederhana
Tarikh : 27 - 1 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, kami mempelajari aktiviti lari jarak sederhana. Pada mulanya,
pensyarah pembimbing kami iaitu Puan Rohana dan Encik Khairul Azli telah
menerangkan kepada kami tentang aktiviti ini. Pensyarah pembimbing telah
menjelaskan kepada kami tentang aktiviti lari jarak sederhana boleh dilakukan di
atas trek berturap atau trek berumput. Peserta harus membahagikan lariannya
kerana pelari tidak mampu berlari pada kelajuan maksimum sepanjang lariannya.
Dua ciri utama yang perlu ada pada pelari 800 meter ialah kelajuan dan
ketahanan. Contohnya, pelari di peringkat antarabangsa akan berusaha
mengekalkan ketahanan larian masing-masing hampir sepanjang larian dan
pada masa yang sama cuba meningkatkan kelajuan terutama pada jarak 200
atau 100 meter terakhir.
Gerakan “mula”
Pada fasa permulaan, peserta–peserta ditentukan lorong masing-masing
melalui undian. Peserta akan mara ke garisan permulaan masing-masing .
Permulaan larian ialah gaya berdiri. Peserta berlari dalam lorong masing-
masing hanya untuk 100 meter pertama sahaja. Pelari pada lorong pertama
mempunyai kelebihan iaitu dapat melihat pergerakan peserta-peserta lain kerana
kedudukan peserta-peserta lain adalah di hadapannya. Selepas peserta
melepasi 100 meter pertama, mereka akan memotong masuk ke lorong pertama.
Peserta di lorong luar hendaklah berusaha secepat mungkin memotong masuk
mengikut satu garisan lurus.
Selain itu, terdapat beberapa teknik untuk membuat larian seperti pergerakan
kaki dengan pelari menggunakan permulaan cara berdiri. Dengan ini, ia dapat
memanfaatkan pelari kerana memberi peluang pada kaki untuk diletakkan paling
dekat dengan garisan permulaan dan tangan bebas bergerak serentak dengan
pergerakan kaki. Pengangkatan kaki yang baik akan menghasilkan satu sudut di
antara paha kaki yang dapat menghasilkan jarak jangkauan kaki tanpa
melangkah terlalu jauh. Untuk mempercepatkan pusingan dan jangkauan kaki,
dada mestilah dalam kedudukan ke depan dengan lengan mengayun supaya
dapat memberikan kuasa kepada seluruh badan. Pelari perlu mengangkat kaki
sehingga ke punggung membolehkan pelari meningkatkan kelajuan dan
pergerakan kaki ke depan tanpa menggunakan tenaga yang banyak. Apabila
pelari hendak menukarkan kakinya, seeloknya tapak kaki hendaklah menyentuh
trek pada masa yang sama bagi menjimatkan tenaga.
Pergerakan badan pelari juga amat penting dalam aktiviti lari jarak sederhana.
Kedudukan badan pelari hendaklah dalam keadaan lurus dengan kepala selari
dengan torso sereta dalam keadaan menegak dan seimbang. Pelari juga perlu
mengelakkan daripada menoleh kerana ia boleh mengganggu pergerakan dan
keseimbangan badan serta tumpuan mata sebaik-baiknya 3 meter ke hadapan.
Minggu 4
(3 - 2 - 2015)
Hari Thaipusam
Refleksi Minggu 5 Aktiviti Lari Jarak Jauh
Tarikh : 10 - 2 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, pensyarah kami iaitu Puan Rohana dan Encik Khairul Azli
telah menghadirkan diri ke Program Bina Insan Guru (BIG) yang bertempat di
Kelantan. Tuan Haji Yakath Ali selaku Ketua Unit Kokurikulum telah memberi
arahan kepada semua guru pelatih untuk membuat latihan larian jarak jauh iaitu
larian pertama 400 meter, berjalan 100 meter, larian kedua 300 meter, berjalan
200 meter, larian ketiga 200 meter, berjalan 300 meter, larian keempat 100
meter, berjalan 400 meter.
Acara lari jarak jauh ialah acara yang merangkumi acara 5000 meter hingga 10
000 meter. Contohnya ialah Marathon, lumba jalan kaki, merentas desa, medley
relay, 4 x 1600 meter, 5000 meter dan 3000 meter lari berhalangan. Namun
begitu, acara sukan seperti medley relay, 4 x 800 meter dan 4 x 1600 meter
amat jarang dilakukan di mana-mana kejohanan. Sejarah aktiviti lari jarak jauh
tidak tertulis secara tepat dan terperinci sejak manusia mula berlari sebagai
prestasi atau untuk kejohanan. Malah, terdapat versi yang mengatakan aktiviti
lari jarak jauh ini bermula daripada bangsa Yunani yang sedang dilanda
peperangan antara kaum Yunani dan Persia di kota Marathonas, Pulau Egina
Yunani.
Larian jarak jauh ini terbahagi kepada beberapa acara seperti acara 1000
meter, 2000 meter, 3000 meter, 5000 meter, 10 000 meter perlumbaan
lebuhraya dan merentas desa. Bagi acara 1000 m, tempat larian yang akan
digunakan ialah di gelanggang balapan. Gelanggang balapan ini berbentuk bujur
dan balapan ini dibina daripada rumput dan biasanya mengandungi lapan lorong.
Kedudukan lorong atau permulaan pelari ditentukan dengan undian.
Refleksi Minggu 6 Aktiviti Lontar Peluru
Tarikh : 17 - 2 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, kami mempelajari aktiviti lontar peluru. Aktiviti ini merupakan
acara padang yang melibatkan pergerakan melontar satu bola logam besi berat
sejauh yang boleh. Pada tahun 1950-an, seorang atlet lontar peluru telah
menonjol dalam acara ini iaitu Perry O`Brien dari Amerika Syarikat. Beliau
mencipta teknik lontaran baru, yang akhirnya dijadikan teknik lontaran yang
diterima dan kekal sehingga hari ini.
Mengikut sejarah, aktiviti melontar batu telah dijadikan pertandingan bermula
pada abad ke-19. Orang Scotland dan Ireland telah dianggap sebagai golongan
pertama yang mencipta acara lontar peluru, berdasarkan pertandingan melontar
batu yang mereka lakukan ketika itu. Bagaimanapun, acara lontar peluru ini tidak
dapat diterima sebagai acara sukan di kedua-dua buah negara tersebut. Setelah
diperkenalkan di Amerika Syarikat, acara ini telah mendapat sambutan di
beberapa kejohanan sukan olahraga. Akhirnya sukan ini menjadi acara olahraga
yang dipertandingkan. Dari sini, bermulalah sejarah baru bagi acara lontar
peluru. Pada ketika ini, peluru diperbuat daripada besi seberat 16 paun.
Selain itu, beberapa peraturan yang berkaitan dengan kawasan lontaran telah
dicipta. Pada awalnya, kawasan lontaran berbentuk segi empat sama dengan
ukuran 7 kaki x 7 kaki. Peluru diperbuat daripada besi pejal berbentuk bulat dan
licin. Berat peluru bagi peserta lelaki adalah 7.257 kg dan bagi wanita adalah 4
kg manakala ukuran diameter adalah antara 110 - 130 mm dan 95 - 110 mm.
Perbezaan berat peluru perlu bagi memudahkan lontaran dibuat mengikut
keupayaan peserta berdasarkan peringkat umur.
Gelanggang pula terdiri daripada bulatan melontar dan kawasan mendarat.
Bulatan melontar dikelilingi oleh satu garisan bulat meliputi kawasan yang
berdiameter 2.135 meter. Di bahagian hadapan kawasan melontar dipasang
papan penahan untuk menentukan sama ada lontaran sah atau batal. Jika
peserta memijak atau kaki melepasi papan penahan, lontaran dikira batal.
Kawasan pendaratan peluru hendaklah bebas daripada halangan dan gangguan.
Setiap lontaran hendaklah jatuh di dalam kawasan pendaratan ini, lontaran yang
keluar atau mengenai garisan dibatalkan.
Minggu 7
(24 - 2 - 2015)
Larian Ria
Refleksi Minggu 8 Aktiviti Lari Berganti-ganti
Tarikh : 3 - 3 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, kami mempelajari aktiviti lari berganti-ganti. Pada mulanya,
pensyarah pembimbing kami iaitu Puan Rohana dan Encik Khairul Azli telah
menerangkan kepada kami tentang aktiviti ini. Aktiviti ini dibahagikan kepada dua
jenis iaitu 4 x 100 meter dan 4 x 400 meter. Pelari akan menggunakan baton
yang tidak kurang daripada 50 gram, panjang 28-30 cm, garis lilit 12-13 cm dan
berwarna.
Ianya terdapat dua teknik hantaran baton, gaya popular menghantar baton
ialah gaya selang-seli, iaitu baton ditukar di antara tangan kanan dan tangan kiri
oleh keempat-empat pelari dalam satu pasukan. Dua cara menghantar baton
ialah hantaran atas dan hantaran bawah. Hantaran atas baton bermaksud pelari
dengan baton menghayun baton ke bawah untuk memukul tapak tangan
penerima yang terbuka. Penerima memegang hujung baton semasa
menerimanya. Hantaran bawah pula ialah pelari dengan baton menghayun baton
ke atas tangan penerima yang terbuka dalam bentuk ‘V’ yang dibentukkan
dengan ibu jari dan jari telunjuk penerima. Penerima memegang bahagian
hujung baton yang berhampiran dengan tangan pelari penghantar. Penerima
mengambil alih baton daripada pelari yang masuk.
Selain itu, pelari yang akan menerima baton akan berlari apabila pelari yang
membawa baton melepasi garisan zon penukaran baton. Pelari yang membawa
baton masuk zon penukaran baton akan melaungkan “up” apabila hampir
dengan penerima baton. Pelari membawa baton akan sambil berlari, ketika
melihat ke hadapan, penerima baton akan menghulurkan sebelah tangan ke
belakang dengan tapak tangannya terbuka (menadah) ke atas dalam bentuk ‘V’
yang dibentukkan dengan ibu jari dan jari telunjuk penerima untuk menerima
baton. Penerima baton harus sentiasa meluruskan tangan dan jangan cuba
menggoyang-goyangkannya. Penghantar baton akan menghayun baton ke atas
tangan penerima. Penerima memegang bahagian hujung baton yang
berhampiran dengan tangan pelari penghantar.
Refleksi Minggu 9 Aktiviti Lompat Jauh
Tarikh : 10 - 3 - 2015
Masa : 8am - 10am
Tempat : Padang IPGKSAH
Pada minggu ini, kami mempelajari aktiviti lompat jauh. Pada mulanya,
pensyarah pembimbing kami iaitu Puan Rohana dan Encik Khairul Azli telah
menerangkan kepada kami tentang aktiviti ini. Pensyarah pembimbing telah
menjelaskan kepada kami tentang aktiviti lompat jauh boleh dibahagikan kepada
empat fasa seperti Fasa penujuan. Ianya terdapat beberapa cara untuk
memulakan fasa ini iaitu fasa berlari dari tempat permulaan ke papan lonjak.
Peserta mula berdiri dengan kaki segaris atau kaki depan belakang. Perkara
yang paling penting ialah langkah pertama dari titik permulan mestilah bermula
dengan kaki melonjak. Bilangan langkah ke papan lonjak berbeza seperti 11-15
langkah, 17-19 langkah dan 23 langkah bagi peserta yang berbeza.
Fasa lonjakan pula ialah pelompat seharusnya mencapai kelajuan larian
maksimum setibanya di papan lonjak. Bila kaki memijak papan lonjak, badan
direndahkan sedikit untuk memberi keanjalan dari papan lonjakan itu. Kemudian
badan ditegakkan dengan mengangkat dada ke atas. Fasa yang seterusnya
ialah fasa layangan. Dalam fasa ini, pelompat tidak ada peluang untuk
meningkatkan kederasan. Pelompat menggerakkan kaki dan tangan ke
belakang. Fasa pendaratan berlaku apabila badan mula jatuh, tangan dan kaki
dirapatkan; tangan dan kaki digerakkan ke hadapan. Bila tumit mula mencecah
tanah, tangan digerakkan ke belakang dan kemudian ke hadapan.
Aktiviti lompat jauh adalah sejenis acara olahraga di mana seseorang ahli
sukan atau atlet cuba mendarat sejauh yang boleh dari tempat pelepasan.
Mereka yang bertanding akan berlari di laluan (pada tahap atlet, biasanya
mempunyai permukaan yang sama dengan trek larian) dan melompat sejauh
yang boleh dengan memijak sepintas pada papan kayu ke bahagian yang diisi
pasir atau tanah.
Pensyarah juga menerangkan kepada kami jika seseorang itu memulakan
lompatannya dengan mana-mana bahagian kakinya di depan atau melebihi
papan (satu lapisan plastisin diletakkan dengan segera di depan papan untuk
mengesan ketepatan ini), lompatannya diisytiharkan salah atau batal dan tiada
jarak akan direkodkan. Pembatalan juga akan berlaku dalam keadaan seperti
kaki menyentuh kawasan melepasi papan lonjak, melonjak di luar kawasan
papan lonjak semasa mendarat dan berjalan keluar melalui bahagian terdekat
dari titik pendaratan. Maka, ukuran jarak terdekat dari kesan mendarat ke
bahagian papan lonjakan yang terdekat dengan kawasan mendarat. Kemudian
jarak tersebut direkodkan kepada meter terdekat iaitu 0.01 m di bawah
ketinggian yang diukur. Ini bererti bahagian kurang daripada 1 cm diabaikan.