1
AKAR DAN DASAR KEPIMPINAN
MENURUT HUJJATUL ISLAM1
oleh
Mohd Sani bin Badron
Pendahuluan
Pemikiran universal yang terkandung dalam karya silam mengenai kepimpinan masih
banyak digunakan oleh masyarakat semasa. Umpamanya, The Art of War oleh Sun Tzu,2 yang
ditulis 2,000 tahun yang silam, masih giat dipelajari dalam sukatan mata pelajaran tentera di
negara-negara Asia Timur, seperti Jepun, China, dan Vietnam. Di Barat, karya purba tersebut
turut dimanfaatkan oleh Jabatan Ketenteraan Amerika, Kolej Kakitangan Tentera, Kor Tentera
Laut, Perisikan Tentera, dan CIA; serta KGB di Rusia. Begitu juga karya politik The Prince oleh
Niccolò Macchiavelli yang ditulis lebih 500 tahun yang silam masih digunakan hingga kini,3
1 Dibentangkan di Konvensyen Imam al-Ghazali: Menghidupkan Semula Tradisi Keilmuan Islam dalam Mendepani
Cabaran Baharu. pada 30 September 2017 di Auditorium Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Sabah. Sebahagian terbesar bahan-bahan dalam kertas-Kerja ini telah diterbitkan sebagai Bab 2 dalam karya Mohd
Sani Badron dan Nor Hartini Saari (penyunting bersama), Kepimpinan dan Amanat Peradaban (Kuala Lumpur:
Penerbit IKIM, 2016), 9-45.
2 Lihat, umpamanya, Sun Tzu, The Art of War, disunting dengan prakata oleh James Clavell (New York: Dell, 1983).
3 Rujuk sebagai contoh, Machiavelli, The Prince, terj. W. K. Marriott, jil. 21 Great Books of the Western World, editor
in chief Mortimer J. Adler (Chicago: Encyclopӕdia Britannica, Inc., 2nd. ed. 1990), mss. 1-37.
2
termasuk oleh para bapa pengasas revolusi Amerika seperti Benjamin Franklin, James
Madison, Thomas Jefferson, Alexander Hamilton dan John Adams.
Sejajar dengan itu, bab ini bermatlamat mengungkapkan kembali pemikiran mengenai
kepimpinan oleh Hujjatul Islam al-Ghazali (m. 505/1111), yang karya asalnya mengenai
kepimpinan pernah berpengaruh di negara-negara berbahasa Farsi,4 di samping terjemahan-
terjemahan Nasihat al-Muluk yang banyak dimanfaatkan di negara berbahasa Arab dan Turki,5
hinggalah ke Alam Melayu, iaitu di Acheh seawal tahun 1604.6 Karya al-Ghazali ini masih
menarik para penterjemah untuk memindahkannya ke bahasa Inggeris7 dan Rusia.8
Latarbelakang
Diceritakan dalam tiga tahun terakhir kehidupan Imam al-Ghazali, beliau ada mengarang
karya buat Sultan Muhammad ibn Malik-shah, yang bergelar “Penguasa Timur dan Barat”,
sebagai pemerintah selama lebih sedekad luasan negara Iraq dan negara Farsi. Karya berjudul
4 Al-Ghazali, Kimiya-i Sa`adat, ed. Husayn Khadiv-Jam (Tehran: Shirkat Intisharat ‘Ilmi, ed. kedua, 1982), mss. 525-
542. Penulis mengucapkan terima kasih kepada Dr Mohd Zaidi Ismail yang berkongsikan bahan rujukan ini.
5 Al-Ghazali, Al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, dimuat-turun dari http://ghazali.org/site/oeuvre-s.htm
6 Lihat versi ejaan rumi al-Ghazali, Nasihat al-Muluk: Nasihat kepada Raja-Raja, penyelenggara Jelani Harun (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006). Walau bagaimanapun, penyelenggara banyak melakukan kesilapan;
contohnya perkataan asal dalam ejaan jawi “dirham” menjadi dalam ejaan rumi “darahmu”, “muhal” yang bermaksud
mustahil menjadi “mahal” yang bermaksud tinggi harganya, “nafil” yang merujuk kepada amalan sunat menjadi “adil”.
7 Terjemahan oleh F. R. C. Bagley boleh diakses di http://ghazali.org/books/kingcouncel.pdf
8 Oleh Alexey A. Khismatulin, boleh diakses di http://ghazali.org/books/Nasihat_al-muluk_(05.02.2008).pdf
3
Nasihat al-Muluk itu merupakan bahagian-bahagian yang terpilih, khasnya dari satu bab karya
lainnya Kimiya-yi-Sa‘adat,9 iaitu bab ‘mengenai Kepimpinan dan Pengurusan’, yang
dipersesuaikan untuk kegunaan Sultan.
Menurut rekod sejarah, Muhammad ibn Malik-shah adalah seorang Sultan yang amat
agung, yang diakui oleh sejarahwan ‘Imad al-Din al-Isfahani sebagai “lelaki sempurna bangsa
Saljuq, dan kuda jantannya yang hebat lagi perkasa, yang gagah lagi berani.” Ini kerana
baginda yang menjadi sultan pada umurnya lebih sedikit daripada 20 tahun, telah berjaya
mengangkat martabat Ahli Sunnah, bertindak membendung puak Batiniyyah, dan
memperkukuh kuasa politik kerajaannya, sebelum mangkat dalam usia 36 tahun, iaitu pada
tahun 511/1118.
Justeru karya-karya kepimpinan oleh al-Ghazali ditulis oleh seorang ilmuwan yang
pernah berkhidmat secara langsung selama 20 tahun dengan Sultan Muhammad dan Perdana
Menteri Nizam al-Mulk. Dalam pentadbiran Negara, beliau pernah menjadi duta Sultan yang
memerintah dari Mesir ke Syria kepada khalifah ‘Abbasiyyah, dan menjadi Naib Canselor
Universiti Nizamiyyah di Baghdad dan Naib Canselor Universiti Nizamiyyah di Nishapur.
9 Karya dalam nota 4 di atas telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Jay R. Crook, Alchemy of Happiness, 2 jil.
(Chicago: Great Books of the Islamic World, Inc., 2005).
4
Teras Ilmu Kepimpinan: Keseimbangan Matlamat Dunia dan Akhirat
Akar kepimpinan, dan dasar pengurusan—menurut al-Ghazali—ada dua. Yang pertama,
ilmu kepimpinan dan kedua, amalan kepimpinan; iaitu, ilmu kepimpinan yang bermatlamatkan
jangka panjang, dan kedua, amalan kepimpinan yang adil. Sepuluh amalan asas kepimpinan
yang adil adalah:
1. Memahami Kepentingan Kepimpinan yang Adil dan yang Menurut Perintah Allah
2. Mendapatkan Sebanyak-banyak Pengajaran daripada Ilmuwan yang Mementingkan
Akhirat
3. Mengawal Nafsu Peribadi dan Sifat Berkecukupan
4. Mengawal Diri, Pegawai dan Keluarga
5. Mengawal Nafsu Marah
6. Kasihi Pengikut seperti Diri Sendiri, terutama ketika Kemelut dan Krisis
7. Melaksanakan Tugas Kepimpinan Tanpa Lelah dan Jemu
8. Berperilaku Ramah, Tidak Kejam
9. Pemimpin Mengasihi Rakyat, Rakyat Mengasihi Pemimpin
10. Tidak Menyalahi Agama dan Syariah
5
Ilmu asas kepimpinan itu luas, tetapi Imam al-Ghazali merumuskan bahawa yang paling
asas ialah: seseorang pemimpin perlu tahu apakah tujuannya zahir ke dunia, dan apakah pula
tempat tinggalnya yang abadi? Kehidupan dunia adalah tempat bertugas memimpin dan
mengurus, bukan tempat menetap untuk selama-lamanya.
Dia persis musafir di perjalanan, yang rahim ibu adalah hentian pertamanya, dan liang
lahad adalah hentian atau stesen terakhirnya. Watan atau tanah air seseorang pemimpin
terletak di sebalik stesen terakhir tersebut. Tempat menetapnya wujud setelah menyeberangi ke
sebelah sana liang lahad. Tempat menetapnya bukan dalam kehidupan dunia; tetapi di luar dari
itu. Seperti kata faylasuf Ludwig Wittgenstein, “The solution of the riddle of life in space and time
lies outside space and time.”
Saban tahun, saban bulan, tiap-tiap hari yang berlalu dari umur seseorang pemimpin
adalah satu peringkat dalam perjalanan menuju ke tanah air tempatnya menetap. Dari satu
peringkat ke satu peringkat yang seterusnya, dia bergerak semakin menghampiri tempatnya
menetap. Tanpa terkecuali, semua orang perlu melepasi titian sirat,10 sebelum akhirnya tinggal
berdiam dan menetap.
10 Mengenai titian sirat, lihat Kepimpinan dan Amanat Peradaban, 38-45.
6
Seorang yang menghabiskan masanya membina dan membuat titian jalan, tetapi lupa
tentang tempat yang dituju, bukanlah orang yang berakal. Sebaliknya, orang yang berakal
adalah orang yang tiada terlibat dengan apapun dalam kehidupan dunia, kecuali dalam mencari
perbekalan perjalanan persediaan ke Akhirat.
Kesihatan, ketahanan badan, panjang umur, elok rupa, harta, keluarga, kemuliaan
individu, dan kemuliaan keturunan—cukup bagi seseorang pemimpin itu—“dunia” sekadar yang
dikehendaki dan diperlukan. Dunia yang lebih dari kadarnya adalah racun yang membawa
maut.
Pada detik kematian, segala kuasa dan pengaruh kepimpinan hanyalah debu yang
berterbangan, dan tiada lagi makna emas dan perak. Sebanyak manapun kekayaan yang
dihimpunkan seseorang, bahagiannya hanyalah kadar kecukupannya dalam hidup dunia saja.
Kuasa dan harta-benda yang ditinggalkan selebihnya, hanyalah bibit-bibit kehibaan dan sesalan
diri. Merentapkan rohnya dari dunia yang dicintai adalah amat sukar pada saat kematian.
Bahkan, azab di akhirat itu sendiri adalah berpunca dari rasa sesal dan hiba ini.
Diceritakan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rashid mendekati ajalnya, dia memilih kain
kapannya sendiri. Dan ketika akan meninggal dunia, dia memandang kepada kapannya itu
7
sambil membaca ayat al-Qur’an, “Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah
hilang daripadaku kekuasaanku (sulṭāniah)”.11
﴾٨٢هلك عني سلطانيه ﴿ ﴾٨٢﴿ ما أغن عني ماليه
Tidak mungkin untuk sabar menanggung keinginan dunia, melainkan dengan berusaha
bersusah-payah. Namun, jika iman seseorang itu kukuh, bahawa dia akan hilang kelazatan
akhirat (yang abadi tanpa sebarang derita) disebabkan kelazatan kehidupan ini (yang diselaputi
susah-payah, kekalutan dan kegelisahan) maka menanggung beberapa hari dunia akan
menjadi mudah—jika imannya kukuh.
Tempoh kehidupan dunia bukanlah satu per seribu dari kehidupan di akhirat. Malahan
tiada terbanding antara tempoh dunia dan akhirat, kerana akhirat tiada penghabisan dan
tempoh lamanya keabadian itu tidak dapat dirangkum oleh imaginasi kaum Adam. Kalau
seseorang membayangkan tujuh petala langit dan bumi penuh berisi biji beras, dan tiap-tiap
seribu tahun ada seekor burung mengambil satu biji beras tersebut, beras-beras itu
kesudahannya akan habis juga. Namun sebaliknya, tidak ada apa-apa yang akan kurang
menyusut daripada kehidupan akhirat yang abadi!
11 Al-Hāqqah, 69: 28-29. Harun al-Rashid memerintah selama 24 tahun pada kemuncak zaman kegemilangan
menyeluruh sains, budaya, kesenian, muzik, dan ekonomi. Sejawahwan al-Tabari merekodkan, bahawa ketika Harun
mangkat, terdapat sekitar 900 juta dirham dalam perbendaharaan negara.
8
Maka itu kehidupan manusia. Andaikan, contohnya, dia hidup seratus tahun dan
diamanahkan untuk memimpin kerajaan yang luasnya dari timur ke barat, tanpa tandingan—
berapakah kadar dan nilai kerajaan tersebut bila dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang
tiada kesudahan? Tiap-tiap orang memiliki sebahagian kecil dunia, yang diperolehinya dengan
mengalami susah-payah, resah-gelisah dan kekalutan. Dalam pada itu, terdapat ramai orang
jahat yang memiliki dunia lebih daripadanya. Maka desakan apakah yang mendorongnya untuk
menjual kerajaan akhirat yang kekal abadi dengan kehidupan dunia yang tak berharga, cemar
dan payah?
Memahami hakikat tersebut, pemimpin atau pengurus haruslah menilai dirinya dan
menyegarkan kalbunya, agar mudah untuk mengekang keinginan syahwat dunia, sayang dan
kasihkan pengikut yang dalam jagaannya, berperilaku baik terhadap sesama hamba Allah, dan
menggunakan kuasanya sebagai khalifah Allah.
Memahami hakikat tersebut, pemimpin harus rajin dan giat menyibukkan dirinya dengan
urusan kepimpinan yang adil—seperti yang diperintahkan oleh Allah—dan bukan untuk
kepentingan dunianya semata.
9
Asas Pertama Kepimpinan Adil Menurut Perintah Allah: Kepentingannya
Allah memerintahkan para pemimpin dan pengurus agar melaksanakan keadilan.
Menurut rumusan Imam al-Ghazali, keadilan boleh dilaksanakan dengan mematuhi sepuluh
asas, yang saling bertalian antara setiap satunya dengan yang lain:
Asas pertama adalah kesedaran bahawa memiliki kuasa kepimpinan adalah satu
perkara besar. “Besar,” kerana kepimpinan adalah manifestasi “khalifah Allah” di bumi andainya
berlaku adil. Sebaliknya, apabila kepimpinan hampa dari kasih-sayang dan belas-kasihan
kepada para pengikut (shafaqah),12 maka itulah “khalifah Iblis”. Dia layak digelar khalifah Iblis
kerana dalam pengamatan Imam al-Ghazali “tidak ada penyebab fasad yang lebih besar
daripada kezaliman pemimpin.” Pengamatan al-Ghazali tersebut adalah selaras dengan
sumpah Iblis, bahawa “...demi sesungguhnya aku akan (menghambat) mereka dari jalan-Mu
yang lurus, kemudian aku akan menyerang mereka dari hadapan dan dari belakang mereka,
dan dari kanan dan dari kiri mereka,”13 iaitu dari semua jurusan akan berlaku kefasadan.
هم ومن ﴾ ث لتي ن هم مين ب ي أيدي٦١غوي تن لق عدن لم صراطك المستقيم ﴿قال فبما أ ﴾٦١ن ﴿ول تد أكث رهم شاكري خلفهم وعن أيانم وعن شائلهم
12 Shafaqah merujuk kepada sifat simpati, sangat memperhatikan, dan sangat menginginkan kebaikan pengikut.
Berlawanan dengan sifat bengis dan kejam.
13 Al-A‘raf, 7: 16-17.
10
Seseorang pemimpin harus menyedari bahawa kuasa kepimpinan adalah satu yang
sukar untuk digalas, tetapi menggalas kepimpinan para makhluk Allah itu tugas yang penting
lagi agung. Sesiapa yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinannya dengan baik, maka dia
akan memperolehi kebahagiaan yang tidak terhingga, iaitu kebahagiaan yang abadi, yang tidak
ada kebahagiaan lain yang lebih darinya.
Ini kerana, tiada amal ibadah atau amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah
lebih daripada kepimpinan yang adil. Sabda Rasulullah s.‘a.w. “Satu hari (pemerintahan) yang
adil oleh seorang pemimpin yang adil (sultan ‘ādil) adalah lebih baik [lebih dikasihi Allah]
daripada amal ibadah (khusus) berterusan selama enam puluh tahun.”
Sabda Rasulullah s.‘a.w: “Apabila datang hari kiamat, tiada lagi tempat bernaung dan
berlindung, melainkan naungan Allah. Dan tiada yang bernaung pada naungan-Nya itu
melainkan tujuh jenis manusia:
(1) pemimpin yang adil pada segala rakyatnya (sultan ‘ādil);
(2) orang muda yang rajin ia berbuat bakti pada Tuhannya;
(3) seseorang yang berada dalam pasaran [perekonomian masyarakat] pada hal hatinya
bergantung pada masjid [sentiasa sujud kepada Allah];
(4) dua orang lelaki yang bersahabat kerana Allah;
11
(5) seseorang yang mengingati Allah semasa bersendirian hingga mengalir air matanya akibat
perasaan takut;
(6) seseorang lelaki yang diajak berbuat jahat oleh seorang wanita yang cantik dan kaya tetapi
dia memberitahu “Aku takutkan Allah”; dan,
(7) seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya yang tangan kirinya pun tak tahu
[iaitu, berbuat kebajikan dengan berkesan].”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Setiap hari, amal perbuatan enam puluh orang siddīqīn yang
berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam ibadat (Farsi. mujtahid dar ‘ibādat) diangkat ke
langit untuk seorang pemimpin yang adil (sultan ‘ādil).”
Sabda Baginda s.‘a.w., “Yang paling dikasihi dan paling dekat (diredhai) Tuhan adalah
pemimpin yang melaksanakan keadilan (imām ‘ādil), manakala yang paling dibenci dan paling
jauh daripada Allah adalah para pemimpin yang zalim lagi menyimpang (imām jā’ir)
[menganiayai rakyatnya].”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Demi Tuhan Yang dalam genggaman kuasa-Nya jiwa Muhammad,
setiap hari jumlah amal perbuatan yang diangkat ke langit untuk pemimpin yang adil (wālī ‘ādil)
adalah sebanyak amal perbuatan pengikut atau rakyatnya, dan setiap solatnya dihitung sebagai
70,000 solat.”
12
Oleh itu, tanya al-Ghazali, apakah ni‘mat harta-benda yang lebih besar daripada yang
Tuhan kurniakan kepada seseorang dengan pangkat, jawatan dan kedudukan kepimpinan
(Farsi mansib wilāyah; Arab darajah sultanah), yang satu jam usianya dihitung bersamaan
dengan seluruh jangka hayat orang lain [kerana pemimpin membuat banyak keputusan dan
pelaksanaan yang penting untuk semua]? Apabila seseorang pemimpin tidak menghargai
nikmat ini dan sebaliknya lalai dalam melaksanakan tugas kepimpinannya, tidak mengendahkan
tugas dan pekerjaannya, terlibat dalam kezaliman dan memuaskan hawa nafsunya, jelas
bahawa dia memang patut dibenci lagi layak dimusuhi, dan ditakuti bahawa Allah
menjadikannya antara seteru-Nya, yang akan mendapat kecelakaan yang sangat besar.
Teori kepimpinan konvensional moden mengakui sama ada seseorang pemimpin itu
lebih mementingkan diri atau lebih mementingkan pengikut, sama ada dia tamakkan kuasa atau
prihatin dan cakna—apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang pemimpin akan mempengaruhi
atau menjejaskan kehidupan orang lain. Bagi seseorang pemimpin, pertaruhan dan risiko dalam
mencapai sesuatu matlamat adalah lebih lagi daripada orang biasa.14
Ibn ‘Abbas ada meriwayatkan kisah Nabi s.‘a.w. dengan pemimpin Quraish, kabilah
Arab yang paling berkuasa. Suatu hari Rasulullah s.‘a.w. datang memegang gelang pintu
14 Lihat, umpamanya, Joanne B. Ciulla, “Leadership Ethics,” dalam The International Encyclopedia of Ethics, 9 jil., ed.
Hugh LaFollette (Oxford: Wiley-Blackwell, 2013), 5: 2979-2985.
13
Ka‘bah sewaktu sebahagian kaum Quraish sedang berada di situ. Nabi s.‘a.w. bersabda
bahawa “antara kewajiban tugas kepimpinan itu, termasuklah apabila belas-kasihan diminta
oleh rakyat, maka hendaklah seseorang pemimpin itu mengasihi rakyat; apabila penghakiman
diminta, maka keputusan dan pelaksanaan hukum yang adil perlulah berjalan, dan janji
seseorang pemimpin kepada pengikutnya perlu ditepati [iaitu kata mesti dikota]. Barangsiapa
sengaja tidak melaksanakan amanah kepimpinan tersebut, maka terimalah laknat Allah dan
laknat segala malaikat, dan tidak diterima Allah amalan fardu dan sunatnya.”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Tiga orang yang tidak dipandang oleh Allah pada hari kiamat:
pertama, pemimpin yang dusta (sultān kādhib)...”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Akan datang padamu penaklukan dan penguasaan negara timur
dan barat. Jadilah penguasa yang bertaqwa kepada Allah, berjalan pada jalan taqwa dan
menunaikan amanah.”
Sabda Nabi s.‘a.w, “Barangsiapa yang Allah menyerahkan kepadanya kepimpinan
orang-orang Islam, sedangkan dia mengkhianati mereka, iaitu tidak memelihara mereka seperti
dia memelihara keluarganya, maka Allah mengharamkan pemimpin sedemikian daripada
syurga, dan kekallah mereka itu dalam api neraka.”
14
Sabda Nabi s.‘a.w, “Dua orang daripada umatku diharamkan daripada syafaatku;
pertama, pemimpin yang aniaya (malik zālim)...lagi melampaui segala had Allah.”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Manusia yang paling siksa azabnya pada hari kiamat adalah
pemimpin yang aniaya (sulṭān zālim).”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Terdapat lima orang yang dimurkai oleh Allah. Jika Dia
berkehendak, langsung murka-Nya (dalam kehidupan dunia); dan tempat tinggal mereka dalam
neraka. Pertama, pemimpin (amīr) sesuatu kaum, yang mereka taatkannya, dia ambil haknya
daripada mereka, namun dia tidak melaksanakan kesaksamaan kepada mereka, dan tidak
dihindarkannya penganiayaan daripada mereka. Kedua, pemimpin (ra’īs) sesuatu kaum, yang
mereka taatkannya, namun dia bersikap membeza-bezakan antara yang kuat dengan yang
lemah, dan dia berkelakuan berat sebelah dan pilih kasih (kepada yang kuat). Ketiga, lelaki
yang tidak menyuruh isteri dan anak-anaknya agar taat kepada Allah, dan tidak diajarkannya
urusan agama, dan tidak peduli dari mana makanan mereka berasal. Keempat, orang yang
mengupah pekerja yang menyempurnakan kerjanya tetapi tidak membayar upahnya. Kelima,
lelaki yang menganiayai isterinya dalam urusan mas-kahwin.”15
15 Mas-kahwin adalah pemberian pihak pengantin laki-laki—seperti emas, barang dan sebagainya—kepada
pengantin perempuan pada waktu akad nikah, iaitu pemberian yang berdasarkan kepada perjanjian yang telah
terlebih dahulu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
15
Khalifah ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb setiap malam keluar berkeliling, sehingga baginda melihat
seekor anak kambing yang berkurap maka dirawatnya anak kambing itu. Baginda berkata,
“Jikalau kutinggalkan anak kambing yang kecil ini di tepi parit dan tidak kurawat, sungguh aku
takut akan dipersoalkan tentangnya pada hari kiamat.”
“Lihat olehmu,” kata al-Ghazali, “hai pemimpin, betapa berhati-hatinya ‘Umar, yang
tahap ketaqwaannya dan ketegasannya tidak pernah tercapai oleh seorangpun selepasnya,
betapa fikirannya dan takutnya kepada huru-hara hari kiamat, sedangkan engkau duduk-duduk
sahaja cuai tentang hal ehwal pengikutmu, dan lalai dari memerhatikan orang-orang yang di
bawah jagaanmu.”
Diriwayatkan bahawa Qaisar Rom pernah menghantar utusan khasnya kepada ‘Umar,
supaya memerhatikan keperibadian dan cara hidupnya. Sampai sahaja di Madinah, mereka
bertanya penduduknya, “di manakah rajamu?” Mereka berkata, “Kami tidak ada raja; kami cuma
ada penghulu (amīr), yang telah pergi ke luar kota.” Maka utusan khas itu keluar mencari ‘Umar.
Mereka dapati ‘Umar sedang tidur dalam cuaca panas, di atas tanah berbatu pasir yang panas,
dengan berbantalkan cambuk. Peluh mengalir dari badannya membasahi tanah. Apabila
mereka melihat yang demikian, hati mereka berasa sangat terkejut, bahawa seorang tokoh
yang dikagumi dan digeruni oleh raja-raja di dunia, tidur lena dalam keadaan tersebut. Maka
16
mereka berkata: “Dia telah melaksanakan keadilan, maka dia berasa aman dan tidur lena. Raja
kami berlaku aniaya, maka dia sentiasa berjaga kebimbangan. Kami bersaksi bahawa
agamamu itu agama yang hak, dan kalaulah kami bukan utusan khas, nescaya kami
(mengisytiharkan masuk) Islam. Kami akan kembali lagi kemudian dan (mengisytiharkan
masuk) Islam.”
Untuk mengakhiri perbincangan mengenai asas keadilan yang pertama, al-Ghazali
menyatakan bahawa, bahaya dan kepayahan kepimpinan adalah besar, sementara penjelasan
tentang perkara tersebut adalah panjang. Seseorang pemimpin akan selamat dengan menyertai
para ilmuwan agama yang mendalami perkara tersebut, supaya mereka mengajarkannya jalan
keadilan, agar mudah baginya bahaya urusan kepimpinan.
Asas Kedua: Mendapatkan Sebanyak-banyak Pengajaran daripada Ilmuwan yang
Mementingkan Akhirat
Asas kedua, bahawa pemimpin sentiasa rindu kepada bertemu ilmuwan-akhirat, dan
ingin mendapat sebanyak-banyak pengajaran daripada mereka, sama ada melalui pembacaan,
ataupun secara langsung.
17
Dan hendaklah seseorang pemimpin itu menjauhkan diri daripada ilmuwan yang jahat
yang tamakkan dunia, yang suka memuja, memuji dan merai pemimpin untuk mendapatkan
harta-benda dalam kuasa pemimpin tersebut dengan tipu-muslihat dan penipuan. Ilmuwan yang
saleh adalah yang tidak ingin kepada harta-benda pemimpin, tetapi yang menyampaikan
pengajaran dan perkataan yang memberikan keinsafan.
Pada satu hari Shaqīq al-Balkhī bertemu Hārūn al-Rashīd, yang berkata, “Engkaulah
Shaqīq yang zahid.” “Benar aku Shaqīq, tapi aku bukan zahid,” kata ilmuwan tersohor Khurasan
itu, yang nantinya shahid sebagai panglima tentera di Transoxiana pada tahun 194/809.
Berkata Hārūn, “Berikan aku nasihat.” Berkata Shaqīq, “Bahawa Allah telah
mendudukkan engkau pada tempat Abu Bakar al-Siddīq; maka sesungguhnya Dia menuntut
daripadamu siddiq (kejujuran) seperti yang dituntut daripadanya. Dan Allah telah menempatkan
engkau pada tempat ‘Umar al-Khattab al-Faruq; maka Dia menuntut daripadamu membezakan
antara yang benar dengan yang palsu seperti yang dituntut daripadanya. Dan Allah telah
menempatkan engkau pada tempat ‘Uthman Dhī Nurayn; maka Dia menuntut daripadamu sikap
pemalu, mulia dan pemurah seperti yang dituntut daripadanya. Dan Allah telah menempatkan
engkau pada tempat ‘Alī ibn Abī Ṭālīb; maka dituntut daripadamu sifat berilmu dan adil seperti
yang dituntut daripadanya.”
18
Berkata Hārūn, “Tambahkan lagi nasihatmu.” Berkata Shaqīq, “Bahkan. Sesungguhnya
Allah ta‘ala memiliki satu negeri bergelar Jahannam. Sesungguhnya engkau telah dijadikan
petugas yang menjaga pintu negeri itu—yang diberi tiga perkara: pertama, Perbendaharaan
Awam; kedua, pedang; dan ketiga, rotan / penyebat. Dan engkau diperintahkan agar melarang
segala manusia daripada masuk api neraka dengan tiga perkara tersebut. Maka sesiapa yang
ada hajat keperluan yang datang kepadamu, maka janganlah engkau menghambatnya
daripada Perbendaharaan Awam itu. Dan sesiapa yang menghalangnya, kau pukul penghalang
tersebut, dan kau ajarnya dengan rotan / penyebat. Dan sesiapa membunuh seseorang tanpa
hak, maka kau bunuhnya dengan pedang tersebut dengan izin wali yang dibunuh itu. Maka jika
tidak kau berbuat apa yang disuruh, maka engkaulah pemimpin isi neraka dan negeri yang
binasa.”
Hārūn berkata, “Tambahkan nasihatmu.” Dia berkata, “Engkau ibarat sumber mata-air
yang mengalir dan segala pegawai (yang membantumu mentadbir) alam adalah ibarat parit dan
terusan (yang mengalir dari sumber mata air tersebut). Apabila mata air itu jernih, maka lumpur
pada parit dan terusan tidaklah memberi mudarat; dan apabila mata air itu keruh, maka tiada
harapan jernih pada parit dan terusan.”
19
Sekali Hārūn al-Rashīd keluar bersama al-‘Abbās ibn al-Ahnaf (pujangga istana)
menziarahi ilmuwan terkemuka Fuḍayl ibn ‘Iyāḍ. Ketika sampai di pintu rumahnya, Fuḍayl
sedang membaca ayat al-Qur’an,
ياهم أم حسب الذين اجت رحوا السييئات أن نعلهم كالذين آمنوا و ات سوا عملوا الا ما يكمون ﴿ ومات هم ﴾٨٦سا
“Apakah mereka yang membuat segala kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan
memperlakukan mereka sama seperti Kami akan memperlakukan orang-orang yang beriman
dan mengerjakan kebaktian, iaitu sama kehidupan mereka dan (sama) kematian mereka? Amat
jahatlah apa yang mereka sangka itu.”16 Hārūn berkata, “Jika kami datang untuk menuntut
pengajaran maka (ayat Qur’ān) ini telah memadai”.
Maka Hārūn menyuruh ‘Abbās mengetuk pintu, dan berkata, “Bukakan pintu ini demi
Amirul-Mukminin.” Waktu tersebut adalah malam; Fuḍayl mematikan nyala pelita dan
membukakan pintu. Hārūn masuk menggagau untuk berjabat tangan dengan Fuḍayl. Maka
ketika tersentuh tangannya dengan tangan Fuḍayl, berkata Fuḍayl, “Wah sayangnya tangan
yang lembut ini, jika tidak terlepas daripada seksa Allah!” Maka berkata Fuḍayl, “Hai Amirul-
Mukminin, bersegeralah engkau untuk menjawab kepada Allah ta‘ala pada hari kiamat. Maka
16 Al-Jāthiyah, 45: 21.
20
engkau dituntut berdiri berserta segala orang Islam [di padang mahsyar], satu persatu, dan
dituntut kesaksamaanmu terhadap mereka masing-masingnya.”
Maka menangis Hārūn. Maka ‘Abbās berbisik, “Hai Fuḍayl, engkau mungkin membunuh
Amirul-Mukminin.” “Hai Hāmān,” berkata Fuḍayl, “engkau dan kelompokmulah yang telah
membinasakan baginda, dan engkau tuduh aku yang akan membunuh baginda!” Hārūn berkata
kepada ‘Abbās, “Tidak digelar engkau Hāmān, melainkan kerana engkau telah menjadikan aku
Fir‘awn.” Maka Hārūn mempersembahkan di hadapan Fuḍayl satu ribu dīnār, lalu berkata: “Ini
halal, daripada mas-kahwin ibuku dan harta warisan daripadanya.” Maka berkata Fuḍayl, “Kami
bukan meminta engkau melepaskan hartamu. Kembalilah kepada Tuhan; dengan [kembali
kepada Tuhanlah] engkau mempersembahkannya (ganjaran dalam bentuk pahala) kepada
kami.” Dan Fuḍayl keluar meninggalkan mereka, tanpa menerima apa-apa.
‘Umar ibn ‘Abd al-‘Azīz bertanyakan Muḥammad ibn al-Ka‘b al-Quraẓī—seorang perawi
hadith dalam generasi tabi‘in—agar menerangkan ciri-ciri keadilan kepada baginda. Al-Quraẓī
menjawab,
Kepada setiap yang lebih muda daripadamu, jadikan dirimu bapa; kepada setiap
yang lebih tua daripadamu, jadikan dirimu anak; dan kepada setiap yang sebaya
denganmu, jadikan dirimu saudara. Dan engkau hukumlah sesiapa yang berbuat
21
jenayah setara dengan jenayahnya. Dan berhati-hatilah jangan engkau
menghukum seseorang kerana dengki, maka neraka tempatmu.
Pada suatu hari datang Abu Qilābah (pakar hadith dari bandaraya Bostra) ke majlis
‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz, yang meminta nasihatnya. Dia berkata: “Daripada masa Nabi Adam
hinggalah ke hari ini, tiada seorang rajapun yang kekal.” Bila diminta meneruskan nasihatnya,
dia berkata: “Engkau raja, tetapi raja-raja yang terdahulu telah mati.” Bila diminta lagi untuk
meneruskan nasihatnya, dia berkata: “Jika Allah itu ada bersertamu, maka siapa yang engkau
takut; dan jika tidak Allah itu ada bersertamu, maka ke mana tempat untuk engkau
melindungkan dirimu?” Berkata ‘Umar, “Memadailah padaku apa yang kau nasihatkan itu.”
Al-Ghazali menyatakan: sebaik-baiknya bagi yang memimpin, jadikanlah kisah-kisah ini
sentiasa dalam penelitiannya, dan menerima nasihat-nasihat yang telah diberikan kepada yang
lain sebelumnya. Ketika dia melihat seorang ilmuwan, maka dia meminta nasihat daripadanya.
Dan sepatutnya bagi yang berilmu itu, menasihatkan segala para pemimpin seperti nasihat-
nasihat ini, tanpa lalai dan memungkiri kebenaran hingga bersekutu dalam kezaliman dan
penganiayaan.
22
Asas Ketiga: Mengawal Nafsu Peribadi dan Sifat Berkecukupan
Asas ketiga adalah, pemimpin juga mesti mampu mengawal nafsu dan kehendak
peribadi. Iaitu, sifat mampu untuk memelihara diri, mengawal nafsu dan kehendak peribadi
sehingga apa yang seseorang itu suka atau tidak suka, akan berlandaskan petunjuk akal yang
sihat dan pedoman agama yang benar. Ini penting termasuk dalam mengawal dan
mengendalikan keinginan nafsu kelamin, nafsu makan, dan nafsu yang cintakan harta, pangkat
dan kemegahan. Tanpa sifat berkecukupan dalam keperluan dan mengurangkan keinginan,
sukar untuk pemimpin berlaku adil dan saksama, tanpa menjejaskan kehidupan para pengikut.
Allah menyatakan bahawa “Dan Dia mendapatimu [Nabi] sebagai seorang yang
kekurangan [tanpa harta dan miskin], lalu Dia memberikan kecukupan [dalam keperluan dunia]”
(al-Duha, 93: 8):
﴾٢ووجدك عائل فأغن ﴿
Rasulullah s.‘a.w. pernah menyatakan, berkecukupan itu harta yang tak pernah habis. Dan
salah satu daripada doa-doa Baginda s.‘a.w. ialah, “Ya Allah, kurniakanlah kepada keluarga
kami rezeki, dan [kemudian] kurniakanlah rasa berkecukupan dengan apa yang Engkau
kurniakan.”
23
Sewaktu kaum Quraysh menawarkan harta, wanita atau takhta kepada Rasulullah
s.‘a.w. menerusi bapa saudaranya Abu Talib supaya menghentikan penyebaran Islam, Baginda
menjawab, “Walaupun mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan
kiriku, aku tetap akan meneruskan perjuangan.”
Pernah para Sahabat berada dalam keadaan lapar hingga mengikat batu di perut, tetapi
mereka dapati pemimpin mereka (Rasulullah s.‘a.w. ) lebih lapar lagi hingga mengikat dua batu
di perut.
Dalam tahun 18 Hijriyyah, sewaktu kemarau di Semenanjung Arab, Khalifah ‘Umar tidak
makan daging, minyak sapi, ikan ataupun makanan-makanan lazat yang lain. ‘Umar pernah
berkata, “semakin tinggi jawatan seseorang, semakin banyak khidmat dan tugasnya kepada
rakyat.”
Asas Keempat: Mengawal Diri, Pegawai dan Keluarga
Asas keempat, jangan sekadar diri pemimpin sendiri tidak berlaku aniaya, tetapi
hendaklah memupuk tertib (disiplin) segala pegawai, kakitangan, kawan, teman, ahli keluarga,
dan anak-anaknya. Janganlah seseorang pemimpin itu mendiam atau membiarkan sahaja
mereka melakukan penganiayaan. Sesungguhnya seseorang pemimpin itu akan dipersoalkan
24
bukan sahaja mengenai penganiayaan yang dilakukannya sendiri, tetapi juga mengenai
penganiayaan oleh para pegawainya.
Khalifah ‘Umar ibn al-Khaṭṭāb pernah menulis surat kepada gabenor Rayy, Abū Mūsā al-
Ash‘arī, yang antara lainnya mencatatkan: “Pemimpin paling bahagia adalah pemimpin yang
segala rakyatnya bahagia dengannya, dan pemimpin paling celaka adalah pemimpin yang
segala rakyatnya celaka mendapat kesusahan dengannya. Waspadalah daripada bermewah-
mewah, maka pegawai anda mengikut segala perbuatanmu...”
Tertulis dalam kitab Tawrat, ‘segala penganiayaan oleh pegawai yang diketahui oleh
Sulțān (pemimpin) tetapi didiamkannya, adalah penganiayaan yang dilakukan oleh pemimpin itu
sendiri, dan dihisab atasnya.’
Pemimpin sepatutnya tahu bahawa tiada yang lebih dimurkai oleh Allah daripada orang
yang menjual agama dan akhiratnya dengan harga dunia orang lain. Seseorang pemimpin yang
mendiam atau membiarkan sahaja pegawainya melakukan penganiayaan, adalah seorang
pemimpin yang menjual agama dan akhiratnya dengan harga dunia para pegawainya.
Ini kerana sekalian pegawai dan pesuruh bagi seseorang pemimpin bekerja untuk
kepentingan mereka sendiri di dunia. Mereka menyebabkan penganiayaan tampak baik di mata
pemimpin, lalu menghantar pemimpin tersebut ke neraka asalkan kehendak mereka tercapai.
25
“Apakah musuh yang lebih besar,” tanya al-Ghazali, “daripada mereka yang membinasakanmu
demi wang-ringgit yang mereka harapkan akan mereka perolehi melalui usaha-usaha mereka
yang haram.”
Seharusnyalah, bagi pemimpin yang berkehendak untuk memelihara keadilan kepada
segala pengikut atau rakyatnya, bahawa ditertibkan atas jalan keadilan segala pegawainya,
kakitangannya, ahli keluarganya, dan anak-anaknya.
Tidak ada sesiapapun yang dapat mengusahakan keadilan yang sempurna melainkan
dengan dia terlebih dahulu memelihara keadilan dalam dirinya. Keadilan dalam diri tertegak
dengan mengawal nafsu syahwat dan nafsu amarah supaya bertuankan akal dan agama, dan
jangan akal dan agama yang bertuankan kepada nafsu syahwat dan nafsu amarah.
Sebaliknya kebanyakan manusia menuruti nafsu dan syahwat mereka, dan akal
diperhamba untuk memikirkan tipu dan daya untuk mencapai kehendak nafsu syahwat. Mereka
tidak tahu bahawa akal itu berasal daripada kehalusan malaikat, daripada tentera Allah Yang
Maha Besar, Yang Maha Berkuasa. Dan segala nafsu syahwat dan nafsu amarah itu daripada
tentera Syaitan. Bagaimanakah seseorang yang menjadikan tentera Allah dan tentera malaikat
sebagai tawanan kepada tentera Syaitan, boleh melaksanakan keadilan kepada orang lain?
26
Matahari keadilan itu pertama-tamanya nyata kelihatan dalam dada pemimpin.
Kemudian tertebarlah sinarannya pada ahli keluarganya. Dan dipertanggungjawabkan kepada
segala pemimpin supaya cahaya keadilannya itu menerangi segala pengikutnya. Tetapi untuk
menuntut terang cahaya tanpa adanya matahari, adalah menuntut yang mustahil yang tidak
mungkin diperoleh.
Al-Ghazali memperingatkan:
Ketahui olehmu hai pemimpin, dan harus jelas dalam hatimu, bahawa keadilan
itu terbit daripada kesempurnaan akal. Dan kesempurnaan akal itu adalah
engkau melihat segala sesuatu seperti hakikat adanya, dan engkau dapat
melihat yang sebenar-benar batinnya tanpa dikelirukan oleh yang zahirnya.
Umpamanya, jika engkau menganiayai manusia kerana dunia, maka
pertimbangkanlah apa tujuan dan matlamatmu. Jika tujuanmu adalah untuk
makanan yang lazat, maka wajib kau ketahui bahawa itu adalah tujuan nafsu
syahwat binatang dalam rupa manusia. Sebenarnya, bermatlamatkan kehendak
kepada makanan itu tidak lain dari perangai binatang liar. Jika tujuanmu untuk
menimpakan kemarahan kepada segala musuhmu, maka engkau itu binatang
buas dalam rupa manusia, kerana melepaskan kemarahan secara melampau
dari hati itu tidak lain dari perangai binatang buas. Jika tujuanmu adalah supaya
semua manusia berkhidmat kepadamu, maka sebenarnya engkau bodoh dalam
rupa orang yang berakal. Kerana jikalau benar engkau itu berakal, tentu engkau
27
ketahui bahawa segala yang berkhidmat kepadamu itu sebenarnya berkhidmat
dan menghambakan diri untuk perut dan nafsu syahwat mereka sendiri. Dan
tandanya, jikalau mereka mendengar khabar berita bahawa kepimpinan itu
diambil daripadamu dan diberikan kepada yang lain, tentu semua mereka
berpaling daripadamu, dan berebut-rebut memperkenalkan diri mereka kepada
pemimpin baru itu. Di mana sahaja yang mereka ketahui terdapat wang ringgit, di
tempat itulah mereka berkhidmat dan bersujud. Maka pada hakikatnya engkau
bukanlah tempat mereka berkhidmat tetapi bahan tertawaan mereka. Orang
yang berakal itu melihat semangat dan hakikat segala sesuatu dan tidak tertipu
dengan rupa zahirnya. Dan hakikat kepimpinan adalah yang telah kami sebut
dan nyatakan. Maka segala orang yang tidak percaya akannya bukanlah orang
yang berakal. Dan sesiapa yang tiada berakal, tidak akan berlaku adil, dan
tempat tinggalnya itu api neraka. Sebab itulah modal segala kebahagiaan itu
tidak lain daripada akal.
28
Asas Kelima: Mengawal Nafsu Marah
Asas kelima, bahawa pemimpin tidak seharusnya takabbur membesar diri. Takabburlah
yang menyebabkan kemarahan menguasai diri, sedangkan kemarahan itu seteru yang
membinasa lagi menghentikan akal, dan mendorong kepada membalas dendam kemarahan.17
Apabila kemarahan mencengkam, maka sepatutnya seseorang pemimpin itu cenderung
kepada memaafkan, dan membiasakan diri dengan sifat mengasihani dan bersabar. Maka
apabila terbiasa sedemikian bagi seseorang pemimpin, dia seumpama bayangan segala nabi
dan wali, yang memimpin umatnya dengan sifat mengasihani dan bersabar. Dan apabila
terbiasa bagi seseorang pemimpin itu dikuasai nafsu amarah, dia umpama bayangan binatang
buas dan haiwan liar, yang hidup dalam undang-undang rimba tidak mengenal belas-kasihan.
Disebutkan kepada Rasulullah s.‘a.w. bahawa seseorang itu kuat lagi berani. Maka
Rasulullah s.‘a.w. menyoal, “Bagaimana [kekuatan dan keberaniannya]?” Mereka menjawab,
“Sesiapa pun yang bergelut dengannya akan dapat ditumbangkannya. Semua orang tumpas
kepadanya.” Maka sabda Nabi s.‘a.w., “Yang kuat lagi berani itu adalah sesiapa yang
mengalahkan kemarahannya, bukan yang menumbangkan lawannya [dalam pergelutan fizikal
dengan orang lain].”
17 Lihat selanjutnya, “Kitab Tercelanya Marah,” dalam Bahagian Perbuatan yang Membinasakan, dalam Ihya’
‘Ulūmiddīn, karya al-Ghazali.
29
Nabi s.‘a.w. bersabda, “sesiapa yang ada tiga ciri berikut maka sempurnalah imannya.
Pertama, seseorang yang menahan kemarahannya. Kedua, seseorang yang adil sama ada dia
dalam keadaan gembira mahupun marah. Ketiga, seseorang yang memaafkan apabila dia
marah sedangkan dia berkuasa (untuk membalas kemarahan).”
‘Umar r.‘a. berkata, “Jangan percaya kepada akhlak seseorang hinggalah anda telah
mengujinya ketika dia sangat meinginginkan [membalas kemarahan] atau mendambakan [hak
orang lain].”
Kebanyakan pemimpin sangat marah kepada seseorang yang mencaci maki mereka.
Diceritakan bahawa seorang laki-laki menghamburkan sumpah dan seranah kepada ‘Alī Zayn
al-‘Ābidīn. Maka baginda berkata, “Hai lelaki, antara aku dan neraka Jahannam ada halangan.
Jika berjaya aku melepasi halangan tersebut, maka tidak mengapalah sumpah dan seranahmu
itu; dan jika aku gagal melepasi halangan tersebut maka keadaanku adalah lebih buruk
daripada sumpah dan seranahmu itu.”
Sabda Rasulullah s.‘a.w., “Sesungguhnya seorang yang baik hati dan pemaaf telah
mencapai darjat seorang yang berpuasa lagi mendirikan sembahyang. Dan seorang laki-laki
dicatatkan dalam senarai para pemimpin yang jahat, meskipun dia tidak berkuasa melainkan
hanya ke atas ahli keluarganya sahaja.”
30
Sabda Nabi s.‘a.w., “Bagi neraka itu satu pintu, yang tidak masuk padanya melainkan
orang yang menuruti kemarahannya bersalahan dengan syarak.”
Diceritakan bahawa Iblis pernah datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Hai Musa, tiga
perkara akan kuajarkan kepadamu...[Pertama] Waspadalah terhadap sifat cepat marah, kerana
laki-laki yang panas baran itu melulu fikirannya, dan aku boleh mempermain-mainkannya
dengan mudah, seperti kanak-kanak bermain dengan bola. [Kedua] Berhati-hatilah dengan
lidah, kerana tidak ada perangkap yang aku pasang untuk manusia yang aku bergantung
kepadanya lebih banyak daripada lidah. [Ketiga] Waspadalah terhadap sifat bakhil, kerana aku
mencelakakan orang yang bakhil, kedua-duanya di akhirat dan di dunia.”
Sabda Rasulullah s.‘a.w., “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia
berkuasa untuk membalas kemarahannya, Allah memenuhi hatinya dengan Iman.”
Sabda Nabi s.‘a.w., “Celakalah bagi yang marah dan (celakalah bagi) yang suka kepada
apa yang dimarahi Allah.”
Datang seorang laki-laki kepada Nabi s.‘a.w., dan katanya, “Ajarkan daku amalan, yang
dengannya aku boleh masuk syurga.” Maka sabda Rasulullah s.‘a.w., “Jangan engkau marah!”
31
Asas Keenam: Kasihi Pengikut seperti Diri Sendiri, terutama ketika Kemelut dan Krisis
Asas keenam adalah, dalam setiap keadaan, seseorang pemimpin perlu meletakkan
dirinya di tempat pengikut dan bayangkan kalau pengikutnya yang jadi pemimpin. Apa saja
yang dia tak berkenan untuk dirinya sendiri kalau orang lain jadi pemimpin, maka jangan dia
buat kepada orang lain. Apa saja yang dia tak setuju, tak gembira, tak puas hati, tak senang,
tak suka, tak mahu, dan tak rela untuk dirinya sendiri kalau orang lain jadi pemimpin, maka
jangan dia buat kepada orang lain. Al-Imam al-Ghazali dalam Nasihat al-Muluk dan Kimiya-yi al-
Sa‘adah menyatakan kalau tidak, maka seseorang pemimpin itu telah berkhianat dan
memperdaya pengikutnya.
Dalam tahun 2 H / 624 M, berlaku perang yang pertama antara Nabi Muḥammad s.‘a.w.
dengan kafir Quraish. Pada hari peperangan Badar, Rasulullah s.‘a.w. duduk di tempat yang
ada naungan redup. Maka turun Jibril dan berkata, “wahai Rasulullah s.‘a.w., engkau duduk di
tempat yang redup ada naungan dan semua sahabatmu di tempat yang panas. Macam mana
boleh jadi begini?” Pada waktu kemelut dan krisis, Nabi s.‘a.w. telah ditegur melalui Jibril untuk
kadar perbezaan yang tersebut! Harus diingat, tempat bernaung bagi seseorang pemimpin
adalah naungan Allah—yang pada hari kiamat, pemimpin yang adil pada segala rakyatnya akan
bernaung pada naungan-Nya itu.
32
Sabda Nabi s.‘a.w: “Barang siapa suka untuk lepas dari api neraka dan masuk syurga,
maka hendaklah dia mati dengan kalimat shahadah, dengan niat segala perkara yang tidak
disukai bagi dirinya sendiri, tidak disukainya bagi seseorang Islam yang lain.”
Sabda Nabi s.‘a.w: “Barang siapa bangun pagi dan dalam hatinya itu ada tujuan dan
matlamat selain (daripada keredhaan) Allah, maka tidak ada apa-apa yang akan diperolehinya
daripada Allah, dan barang siapa yang tidak mengasihi segala orang Islam, maka dia bukan
sebahagian daripada mereka.”
Asas Ketujuh: Melaksanakan Tugas Kepimpinan Tanpa Lelah dan Jemu
Asas ketujuh adalah, seseorang pemimpin tidak memandang hina permohonan orang-
orang bawahan yang mempunyai hajat yang betul yang sampai ke pintu pejabatnya. Dia
seharusnya takut kepada bahaya keagamaan, kalau memandang hina kepada keperluan
pengikut dan rakyatnya.
Bagi seseorang pemerintah atau pemimpin, berusaha menunaikan hajat pengikut dan
rakyat lebih afdal dan lebih penting daripada menunaikan ibadat-ibadat yang sunat. Selagi ada
keperluan rakyat yang perlu dipenuhi, seseorang pemimpin itu tidak perlu menunaikan ibadat-
ibadat yang sunat. Mengulangi riwayat Ibn ‘Abbas tentang kisah Nabi s.‘a.w. dengan pemimpin
33
Quraish di atas, Nabi s.‘a.w. bersabda bahawa “Antara kewajiban tugas kepimpinan itu,
termasuklah apabila belas-kasihan diminta oleh rakyat, maka hendaklah seseorang pemimpin
itu mengasihi rakyat; apabila pertimbanganan diminta, maka keputusan dan pelaksanaan
keputusan atau ketetapan yang adil perlulah berjalan, dan janji seseorang pemimpin kepada
pengikutnya perlu ditepati. Barangsiapa sengaja tidak melaksanakan amanah kepimpinan
tersebut, maka terimalah laknat Allah dan laknat segala malaikat, dan tidak diterima Allah
amalan fardu dan sunatnya.”
Satu hari Khalifah ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Azīz menunaikan keperluan rakyatnya sampailah
ke waktu zohor. Maka baginda keletihan dan balik ke rumah untuk berehat. Maka berkata
anaknya, “Macam mana ayah boleh pasti yang ayah tidak akan mati pada saat ini sedangkan di
pintu pejabat [khalifah] ayah ada orang yang menanti untuk keperluannya dipenuhi, dan ayah
belum menunaikan tanggungjawab ayah kepadanya?” Maka kata Umar, “Engkau betul,” lalu
Umar segera bangkit kembali ke pejabatnya.
Ini pastinya mensyaratkan seseorang pemimpin perlu mempunyai daya-tahan;
maksudnya, keupayaan dan kemampuan yang kuat. Untuk memiliki daya-tahan, seseorang itu
mestilah mempunyai keupayaan jasmani dan juga kekuatan akal. Ini akan menghasilkan
peribadi yang teguh, tabah, kukuh dan tekun (persistent), yang tidak mudah goyah dan tidak
34
kenal putus asa. Perintah Allah dalam surah al-Ahqaf (46) ayat 35, “Maka bersabarlah kamu
seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati (ūlū al-‘azmi) dari rasul-rasul telah
bersabar..” فاصب كما صب ر أولو العزم من الرسل
Kekuatan akal dan keupayaan jasmani adalah lebih berharga dari sekadar harta-benda;
badan kita pun ada hak ke atas diri kita, dan hak bermaksud sebahagian dari agama dan
kerohanian. Ilmu dan kesihatan merupakan amanah dari Allah; orang yang kuat dan sihat
adalah bermanfaat kepada orang lain dan beribadah kepada Allah lebih dari yang lemah dan
sakit. Para pemimpin Islam di kalangan para Sahabat, sarjana dan Sufi ramai yang panjang
umurnya, tanpa bantuan antibiotik, pembedahan, ubat bius, vitamin, dan tanpa pengetahuan
sains tentang kuman dan sebagainya.18
Asas Kelapan: Berperilaku Ramah, Tidak Kejam
Asas kelapan, seseorang pemimpin selagi boleh seharusnya berperilaku ramah (al-rifq)
bukan kejam (al-‘unaf) kepada rakyat atau pengikut. Kejam di sini bermaksud bengis, biadap,
kasar, sukakan kekerasan, dan tiada ketertiban.
18 Nuh Ha Mim Keller, Sea without Shore: A Manual of the Sufi Path (Maryland: Amana Publications, 2001), 180.
35
Dalam satu sabda Nabi s.‘a.w., “segala pemimpin yang tidak kasih pada rakyatnya,
maka tiada dikasihi akan dia pada hari kiamat.” Dalam satu doa, Rasulullah s.‘a.w. mendoakan
‘agar Allah berlembut kepada para pemimpin yang berperilaku ramah kepada rakyat dan
pengikutnya, dan agar Allah bengis kepada para pemimpin yang bengis kepada rakyat dan
pengikutnya.’ Dalam satu lagi sabda Nabi s.‘a.w., “kepimpinan itu satu kebajikan kalau
digunakan untuk kebajikan, tetapi kepimpinan itu satu kejahatan kalau digunakan untuk
kejahatan.”
Hishām ibn ‘Abd al-Malik, salah seorang khalifah bani ‘Umayyah, suatu hari bertanya
kepada Abū Ḥāzim, hakim bandaraya Madinah dan antara ilmuwannya yang paling bertaqwa:
“Apakah pentadbiran yang berjaya dalam urusan kepimpinan (al-khilāfah)? Beliau menjawab,
“bahawa jika kau dapatkan wang, dapatkannya daripada sumber yang halal, dan kau berikan
wang itu kepada seseorang yang berhak.” Maka ditanyanya, “Siapakah yang berupaya untuk
berbuat demikian?” Maka jawab Abū Ḥāzim, “Sesiapa yang gemar pada segala nikmat syurga,
dan lari dari seksa api neraka.”
36
Asas Kesembilan: Pemimpin Mengasihi Rakyat, Rakyat Mengasihi Pemimpin
Asas kesembilan, seseorang pemimpin berusaha bersungguh-sungguh sehingga para
pengikut atau rakyat menuruti seseorang pemimpin melalui kemahuannya sendiri, melalui rasa
minat yang mendalam, dan secara suka-rela, dan selaras dengan tuntutan agama dan shari‘ah.
Nabi s.‘a.w. pernah bersabda kepada para Sahabat, “sebaik-baik pemimpin bagi umatku
itu, pemimpin yang mengasihi rakyat dan dikasihi oleh rakyat. Dan sejahat-jahat pemimpin bagi
umatku itu, pemimpin yang dibenci rakyat, dan pemimpin tersebut membenci rakyat, dan
mereka memaki hamun pemimpin mereka dan pemimpin mereka memaki hamun atau
menyumpah seranah pengikut mereka.”
Asas Kesepuluh: Tidak Menyalahi Agama dan Syariah
Asas kesepuluh, pemerintah, pemimpin, pengurus, dan ketua dalam hendak
menyukakan hati para pengikutnya, jangan sampai menyalahi agama dan syariat Islam. Tidak
menjadi masalah kalau ada sedikit rakyat atau pengikut benci sebab kita tak nak menyalahi
syariah.
Dalam zaman para Sahabat, khalifah juga merupakan hakim. Jadi, Saidina ‘Umar ibn al-
Khaṭṭāb selalu menyatakan, “setiap pagi bila aku bangun, separuh manusia yang akan terlibat
37
[kalah] dalam perbicaraan mahkamah tidak suka kepadaku, dan tidak mungkin untuk
memuaskan hati kedua-dua belah pihak dalam sesuatu perbicaraan. Tetapi satu kebodohan
besar kalau kita kesampingkan keredhaan Allah untuk memuaskan hati manusia.”
Pemerintah agung kerajaan Islam yang merentas Afrika Utara hingga ke Lautan Atlantik,
Sudan dan Kepulauan Greece serta selat Dardanellia, Mu‘āwiyah ibn Abu Sufyan, pernah
mengutus surat memohon nasihat kepada ‘Ā’ishah radiallāhu‘anhā. Balasan ‛Ā’ishah,
“Kudengar Rasulullah s.‘a.w. bersabda, barangsiapa mencari keredhaan Allah walaupun
menyebabkan manusia tidak berpuas hati kepadanya, maka Allah akan redha kepadanya dan
Allah akan menyebabkan manusia suka kepadanya; tetapi kalau seseorang pemimpin cuba
memuaskan hati rakyat dengan cara yang dibenci oleh Allah, maka Allah akan membencinya
dan Allah akan menyebabkan manusia benci kepadanya.” Contoh pemimpin yang cuba
memuaskan hati rakyat dengan cara yang dibenci oleh Allah—adalah seseorang pemimpin
yang memberi habuan yang haram kepada pengikutnya, atau yang menjamu pengikutnya
dengan makanan dan minuman yang haram.
38
Penutup
Imam al-Ghazali menegaskan bahawa, pelbagai cerita dan khabar yang mengandungi
nasihat itu cukup bagi kebaikan segala pemimpin. Andainya akar iman itu wujud, kesan cerita
dan khabar itu pasti mantap. Jika ini tidak berkesan, maka itu kerana hati mereka itu telah sunyi
daripada iman, dan kerana tiada iman yang tinggal melainkan sekadar cakap-cakap mulut
sahaja bahawa mereka beriman.
Imam al-Ghazali menyatakan: “Aku tak tahu iman apa yang ada dalam hati seorang
pegawai yang mengambil harta orang Islam (tanpa hak), atau yang memberikannya kepada
orang lain (yang tidak berhak), sedangkan dia diamanahkan dengan harta tersebut untuk
kepentingan awam seluruhnya. Dosanya berkekalan; dan Allah menuntutnya pada hari kiamat.
Hasilnya akan pergi kepada orang lain, sedangkan dosa dan kecelakaan baginya pada hari
Kebangkitan. Inilah sehabis-habis kelalaian seseorang, dan sangat lemah tiada seberapa
agamanya.”