Penilaian Strategik Pulau Christmas
Kerajaan Australia sedang menyiapkan Penilaian Strategik seluruh pulau di bawah Akta Perlindungan Alam Sekitar Dan Pemuliharaan Biokepelbagaian 1999 (Akta EPBC) untuk melindungi persekitaran yang unik di Pulau Christmas dan menyokong pembangunan ekonominya.
Apa maksudnya Penilaian Strategik?
Pembangunan yang akan meninggalkan kesan yang
ketara terhadap hal-hal yang terlindung oleh undang-
undang alam sekitar negara mesti dinilai di bawah Akta
EPBC. Penilaian Strategik di bawah Bahagian 10 Akta
EPBC membuka peluang mempertimbangkan dan
mungkin meluluskan beberapa usul atau pembangunan
baharu (disebut sebagai ‘tindakan’) pada skala yang jauh
lebih besar dan bagi jangka masa yang jauh lebih
panjang (walaupun pemajunya belum lagi diketahui).
Penilaian Strategik Pulau Christmas akan menghasilkan dua dokumen:
Rancangan penggunaan tanah dan peluang pembangunan masa depan di Pulau Christmas.
Rancangan ini juga akan membentangkan strategi menguruskan kesan yang mungkin ditinggalkan
oleh kegiatan pembangunan terhadap persekitaran aslinya.
Laporan tentang kesan terhadap hal-hal terlindung akibat kegiatan pembangunan yang dicadangkan
serta keberkesanan langkah-langkah pemuliharaan yang dicadangkan.
Mengapa Penilaian Strategik ini dilakukan?
Pulau Christmas adalah suatu keajaiban semula jadi. Di sini terdapat tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang
jarang-jarang ditemui, dan ada antaranya yang tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di dunia. Kepentingan
dan nilai ekologi Pulau Christmas diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan diberi tahap perlindungan yang
tinggi di bawah Akta EPBC.
Penilaian Strategik ini akan menyokong kegiatan ekonomi di Pulau Christmas melalui pertimbangan tentang
penggunaan tanah dan peluang pembangunan masa depan secara terbuka dan telus, dengan itu memberi
pihak-pihak yang terjejas kepastian dan menjamin kejelasan tentang aturan kelulusan alam sekitar sehingga 50
tahun yang seterusnya. Pada masa yang sama, Penilaian Strategik ini juga akan melindungi persekitaran
pulau, termasuklah hutan hujan, burung-burung, dan ketam yang unik di sini.
Penilaian Strategik menawarkan peluang menangani kesan terkumpul terhadap hal-hal yang terlindung oleh
undang-undang alam sekitar negara dan mencapai hasil pemuliharaan dan perancangan pada skala yang jauh
lebih besar daripada apa yang mungkin dicapai melalui penilaian projek demi projek. Setelah Rancangan
Penilaian Strategik ini diluluskan, penilaian yang berasingan di bawah Akta EPBC tidak lagi perlu dilakukan jika
projek yang dicadangkan itu sejajar dengan Rancangan dan terlingkung oleh kelas tindakan yang diluluskan.
Bagaimana cara saya mengemukakan pendapat atau mengetahui lebih lanjut?
Jabatan Infrastruktur, Pembangunan Regional dan
Bandar Raya mengendalikan beberapa rundingan
dengan orang ramai tentang draf Syarat-syarat
Rujukan antara 15 Februari 2019 hingga 29 Mac 2019.
Peluang juga akan diberikan kepada pihak-pihak yang
terjejas untuk mengemukakan komen tentang draf
Rancangan dan draf Laporan setelah disusun kelak.
Kerajaan Australia akan bekerja rapat dengan pihak-
pihak yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan
Penilaian Strategik ini. Jabatan ini mempelawa orang
ramai yang berminat agar mengemukakan komen
masing-masing.
Maklumat selanjutnya tentang Penilaian Strategik Pulau Christmas serta butir-butir tentang cara menyerahkan
komen sepanjang tempoh perundingan boleh didapati pada laman sesawang Jabatan ini, iaitu di
www.regional.gov.au/territories/Christmas/strategic-assessment/.
Maklumat am tentang penilaian strategik, termasuklah Penilaian Strategik Pulau Christmas, boleh didapati
pada laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga, iaitu di
www.environment.gov.au/protection/assessments/strategic.
Soal Jawab
Saya tinggal di Pulau Christmas. Apakah ertinya bagi saya?
Penilaian Strategik ini akan membuka peluang pembangunan yang boleh dilanjutkan di samping menyokong
kegiatan ekonomi di Pulau Christmas. Penilaian Strategik ini juga akan melindungi persekitaran Pulau
Christmas, termasuklah hutan hujan, burung-burung dan ketam yang unik di sini.
Orang ramai boleh menyerahkan komen semasa proses perundingan dengan orang awam melalui laman
sesawang Jabatan ini, iaitu di www.regional.gov.au/territories/Christmas/strategic-assessment/. Ruangan ini
akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa untuk mencerminkan kemajuan Penilaian Strategik ini.
Kawasan manakah yang diliputi oleh Penilaian Strategik ini?
Penilaian Strategik ini akan mempertimbangkan semua tanah di Pulau Christmas semasa Rancangan dan
Laporan disediakan. Walau bagaimanapun, Penilaian Strategik ini tidak akan meluluskan pembangunan di
Taman Negara Pulau Christmas, yang akan terus memerlukan kelulusan yang berasingan di bawah undang-
undang alam sekitar negara dan perlu memenuhi keperluan Rancangan Pengurusan Taman Negara Pulau
Christmas. Selain itu, Penilaian strategik ini tidak akan menjejaskan kelulusan yang telah diberikan di bawah
Akta EPBC.
Apakah ertinya bagi persekitaran di Pulau Christmas?
Penilaian Strategik ini akan mempertimbangkan kesan yang ditinggalkan terhadap persekitaran oleh
pembangunan yang dicadangkan selaras dengan keperluan Akta EPBC, termasuklah prinsip-prinsip
pembangunan yang boleh dilanjutkan dari segi ekologi. Rancangan yang diluluskan akan merangkumi langkah-
langkah pemuliharaan yang berpatutan.
Apakah yang dilindungi oleh Akta EPBC?
Akta EPBC menyediakan rangka kerja perundangan yang melindungi dan menguruskan tumbuh-tumbuhan,
haiwan, komuniti ekologi dan tempat-tempat warisan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Hal-hal yang terlindung di bawah Akta EPBC (‘hal-hal terlindung’) ialah
sembilan hal yang penting dari segi persekitaran negara, iaitu harta warisan dunia; tempat warisan
negara; tanah lembap yang penting pada peringkat antarabangsa (selalunya disebut tanah lembap
‘Ramsar’); spesies dan komuniti ekologi yang terancam pada peringkat kebangsaan; spesies berhijrah
yang terlindung oleh perjanjian antarabangsa; kawasan laut Komanwel; Taman Laut Terumbu Sawar
Besar; tindakan nuklear (termasuklah perlombongan uranium); dan sumber-sumber air, sehubungan
dengan penghasilan gas lipit batu arang dan pembangunan perlombongan batu arang secara besar-
besaran;
persekitaran di tempat tindakan yang dicadangkan atau yang terjejas olehnya, tanah Komanwel dan
alam sekitar; dan
persekitaran yang dicadangkan oleh agensi-agensi Kerajaan Australia untuk diambil tindakan.
Oleh sebab Pulau Christmas dianggap sebagai tanah Komanwel di bawah Akta EPBC, Penilaian Strategik ini
akan mempertimbangkan kesan-kesan yang mungkin ditinggalkan terhadap hal-hal yang penting dari segi
persekitaran negara dan terhadap alam sekitar.
Apakah jenis pembangunan yang dicadangkan dalam Penilaian Strategik ini?
Antara kegiatan pembangunan yang mungkin dijalankan ialah pembangunan kediaman, perindustrian dan
komersial, ekopelancongan, perlombongan dan pertanian. Jabatan ini ingin mendengar pandangan anda
tentang kegiatan pembangunan lain yang boleh dijalankan.
Saya sedang berfikir hendak memajukan tanah di Pulau Christmas. Apakah ertinya
bagi saya?
Penilaian Strategik ini akan mempertimbangkan dan menyusun Rancangan penggunaan tanah masa depan
secara terbuka dan telus, dan akan membuka peluang pembangunan yang boleh dilanjutkan di Pulau
Christmas di luar kawasan Taman Negara Pulau Christmas. Pada masa yang sama, Penilaian Strategik ini
akan melindungi persekitaran, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang unik di Pulau Christmas, serta hutan hujan,
burung-burung dan ketam di sini yang terkemuka di dunia.
Proses kelulusan yang kemas di bawah Rancangan ini akan memberikan kepastian untuk pemaju, pemilik
tanah, perancang, industri dan komuniti tentang pelaburan di Pulau Christmas pada masa hadapan. Dengan
adanya Rancangan Penilaian Strategik ini, penilaian yang berasingan di bawah Akta EPBC tidak lagi perlu
dilakukan jika projek yang dicadangkan itu sejajar dengan Rancangan dan terlingkung oleh kelas tindakan
yang diluluskan.
Bagaimanakah kesan Penilaian Strategik ini terhadap program pelepasan tanah
kerajaan?
Kerajaan Australia mengutamakan pelepasan tanah kerajaan. Penilaian Strategik ini akan dilaksanakan seiring
dengannya sebagai pelengkap usaha pelepasan tanah kerajaan dengan cara memberikan kepastian tentang
peluang pembangunan masa depan. Dengan adanya Rancangan Penilaian Strategik ini, penilaian yang
berasingan di bawah Akta EPBC tidak lagi perlu dilakukan jika projek yang dicadangkan itu sejajar dengan
jenis dan syarat pembangunan yang ditetapkan oleh sesuatu Penilaian Strategik yang diluluskan.
Pembeli mungkin elok memulakan pembangunan setelah selesainya Penilaian Strategik tersebut. Penilaian
Strategik tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang berjaya membeli tanah kerajaan daripada menyerahkan
rujukan untuk dipertimbangkan di bawah Akta EPBC bagi setiap tapak yang berasingan. Maklumat selanjutnya
tentang cara merujukkan tindakan di bawah Akta EPBC yang juga terangkum oleh proses penilaian strategik
boleh didapati pada laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga, iaitu di
www.environment.gov.au/epbc/publications/epbc-act-referrals-policy.
Apakah ertinya bagi pelancongan di Pulau Christmas?
Rancangan yang terhasil daripada Penilaian Strategik ini akan mempertimbangkan pembangunan industri
pelancongan di luar kawasan Taman Negara Pulau Christmas. Rancangan ini juga akan menyokong industri
ekopelancongan Pulau Christmas dengan cara melindungi persekitarannya. Pembangunan yang dicadangkan
di kawasan Taman Negara Pulau Christmas akan terus memerlukan kelulusan yang berasingan di bawah
undang-undang alam sekitar negara dan perlu memenuhi keperluan Rancangan Pengurusan Taman Negara
Pulau Christmas.
Apakah ertinya bagi warisan di Pulau Christmas?
Walaupun terdapat keperluan yang berasingan bagi warisan di bawah Akta EPBC, namun pengurusan warisan
juga akan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada Penilaian Strategik ini. Penilaian Strategik ini akan
merangkumi keterangan nilai-nilai warisan kawasan Penilaian Strategik dan pengenalpastian kawasan-
kawasan warisan yang sensitif. Penilaian Strategik ini akan melindungi tempat-tempat warisan yang penting
serta warisan kebudayaan dan warisan asli Pulau Christmas yang lebih luas.
Bagaimanakah hasil rundingan dengan orang ramai ditangani?
Selaras dengan Perjanjian Penilaian Strategik berkanun, Jabatan ini akan memberi Menteri Alam Sekitar
sesalinan semua komen orang ramai yang diterima serta ringkasan cara dan sama ada komen orang ramai
diambil kira apabila dokumen diserahkan untuk dipertimbangkan ataupun diluluskan.
Jabatan ini juga akan menerbitkan ringkasan pandangan orang ramai selepas penghujung setiap tempoh
perundingan pada laman sesawangnya. Nama pemberi komen tidak akan disertakan dengan ringkasan ini.