Download - Refleksi Big 'Guru Cemerlang' -Yana
REFLEKSI KENDIRI PROGRAM BINA INSAN GURU (BIG)
Pada 04 Julai 2013 yang lalu, saya telah menjalani Program Bina Insan Guru
(BIG) Siri 6/2013 yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum Institut Pendidikan Guru
Malaysia Kampus Tuanku Bainun dan diadakan di Sekolah Kebangsaan Seberang
Jaya 1. Program Bina Insan Guru ini melibatkan pelajar PISMP Sains dan diiringi
oleh dua orang pensyarah iaitu Encik Mohd Mernan dan Encik Mohamad Nasir.
Program Bina Insan Guru Siri 6 pada kali ini adalah berbentuk aktiviti lawatan
penanda aras benchmarking guru cemerlang. Sepanjang mengikuti program ini,
saya telah menimba banyak ilmu pengetahuan, pengalaman baru serta kesedaran
tentang kepentingan Program Bina Insan Guru (BIG) kepada diri, kerjaya, organisasi
dan komuniti.
Antara kepentingan Program Bina Insan Guru (BIG) pada kali ini adalah
seperti berikut: Melalui aktiviti lawatan penanda aras guru cemerlang, saya telah
memperolehi input yang berguna untuk diri saya semasa menjadi guru kelak. Melalui
aktiviti seperti ini banyak melatih saya dan mengajar saya tentang cara
pengendaliaan sesuatu aktiviti atau program dengan baik walaupun tugas yang
diberikan kepada saya bukanlah salah seorang daripada ahli jawatankuasa tertinggi
bagi Program Bina Insan Guru (BIG) pada kali ini. Bukan itu sahaja, melalui program
ini juga dapat membentuk sikap positif serta nilai-nilai murni dalam diri saya
Misalnya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara saya dengan pensyarah
serta rakan-rakan guru pelatih yang lain bertujuan untuk memastikan bahawa aktiviti
yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu, melalui aktiviti lawatan penanda aras ini juga turut memberi
peluang kepada saya untuk melihat mengenali dengan lebih dekat salah seorang
guru cemerlang di SK Seberang Jaya 1 iaitu Encik Asrof Bin Aziz dalam bidang
Sains. Pemilihan guru cemerlang ini amatlah sesuai memandangkan saya dan
rakan-rakan lain mengambil mata pelajaran major bagi Sains.
Menerusi program ini, guru cemerlang iaitu Encik Asrof telah memberikan
pendedahan mengenai inovasi pedagogi yang telah beliau jalankan sewaktu sesi
pengajaran dan pembelajaran (P&P) sains. Hal ini dapat memberikan ilham kepada
saya untuk menggunakan inovasi pedagogi seperti ya g dilakukan oleh beliau. Encik
Asrof berkata dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, adalah amat penting bagi
seseorang murid untuk memahami isi pelajaran dengan mudah, gembira dengan
subjek yang diajar. Justeru, sebagai seorang guru kita perlu mempelbagaikan alat
bantu mengajar (ABM) yang dapat menarik minat murid serta merangsang pemikiran
mereka mengenai pembelajaran. Guru juga perlu mempelbagaikan teknik mengajar
di dalam kelas agar sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) sains tidak
membosankan.
Selain itu, kami juga berpeluang melawat satu sesi pengajaran dan
pembelajaran (P&P) sains yang dikendalikan oleh Encik Asrof. Di sini kami dapat
melihat sendiri bagaimana seorang guru cemerlang mengendalikan sesi pengajaran
dan pembelajarannya (P&P). Murid-murid kelihatan gembira serta bersemangat
untuk belajar sains di kelas Encik Asrof. Perkara ini merupakan harapan semua
guru, iaitu untuk melihat muridnya bersungguh-sungguh belajar subjek yang diajar
oleh mereka.
Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa objektif BIG Fasa 6 ini
telah berjaya dicapai. Saya berharap program seperti ini akan dapat diteruskan pada
masa akan datang kerana melalui program ini dapat memberikan banyak faedah
kepada saya dan membuatkan saya lebih mencintai profesion yang mulia ini serta
menambahkan lagi semangat saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti bagi
melahirkan modal insan yang seimbang dan sanggup berkorban demi agama
bangsa dan negara.
Disediakan oleh :
_________________________
(NUR LIYANA BINTI ZA’IM)
6 PISMP SAINS