Seminar Kaedah dan Penulisan Sejarah 2015
PENYELIDIKAN SEJARAH, SUMBER-SUMBER SEJARAH DAN BIDANG-
BIDANG DI DALAM KAJIAN SEJARAH
Mardiana Nordin
Jabatan Sejarah
Universiti Malaya
Pengenalan
‘Sejarah’ sebagai salah satu disiplin ilmu adalah satu cabang yang penting. Istilah sejarah
membawa kepada beberapa pengertian dan makna. Sejarah dalam pengertian umum boleh
dilihat daripada definisi-definisi berikut. Prof. Khoo Kay Kim mendefinisikan sejarah itu
sebagai satu hakikat yang merujuk kepada masa. Beliau juga menyatakan, yang sudah lepas
itu adalah sejarah.1 Kamus Dewan pula mendefinisikan sejarah itu sebagai asal-usul
(keturunan), salasilah atau peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau; kisah,
riwayat, tambo (cerita yang disangka dongeng itu menjadi fakta) – sesudah dijumpai bukti-
bukti yang mengesahkannya, atau ilmu – kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-
peristiwa yang telah lalu.2
Dilihat dari aspek bahasa, istilah sejarah itu dikatakan berasal dari bahasa Yunani yang
bermaksud ‘penyelidikan’. Definisi ini juga memberi makna yang, peristiwa-peristiwa yang
pernah berlaku pada masa yang lalu dan juga ingatan-ingatan yang tercatit mengenai masa
lalu.3 Manakala R. G. Collingwood di dalam bukunya Idea Sejarah pula menyebut bahawa
1 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan: Satu Pembicaraan Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur: Universiti
Malaya, 1979, hlm. 1. 2 Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm. 1411-1412. 3 Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 4.
1
sejarah itu adalah satu bentuk pemikiran yang khusus.4 Justeru itu beliau bersetuju yang sejarah
itu juga satu bentuk penyelidikan atau penyiasatan.5 Collingwood juga berpendapat, kebolehan
sejarah itu untuk berkembang adalah dengan penafsiran bahan bukti atau sumber. Daripada
keseluruhan pendefinisan sejarah yang diberikan, maka boleh disimpulkan keupayaan sejarah
itu berkembang adalah dengan adanya penyelidikan dan penafsiran sumber. Maka itulah
perlunya beberapa pendekatan penyelidikan di dalam bidang sejarah.
Pendekatan Penyelidikan Sejarah
Penyelidikan sejarah secara umumnya melibatkan pendekatan kualitatif dan kuantitatif,
biasanya. Kaedah kualitatif lazimnya lebih dominan kerana penyelidikan sejarah berkembang
atas kajian fenomena, konsep, gagasan, perkembangan, implikasi dan yang seumpamanya.
Situasi ini bersesuaian dengan takrif kualitatif itu sendiri iaitu, kajian tingkah laku manusia
berkait proses atau bagaimana sesuatu perkara itu berlaku dalam satu-satu suasana yang dikaji.
Kaedah kualitatif ini juga akan memfokus pada proses dan hasil. Biarpun begitu, ia tidaklah
bermaksud penyelidikan sejarah tidak boleh atau tidak sesuai langsung dengan pendekatan
kuantitatif. Sebenarnya dalam banyak keadaan, hasil dari penyelidikan kuantitatif dapat
melengkapkan dapatan sumber. Ini kerana kaedah kuantitatif biasanya akan menghasilkan
data-data bernombor atau statistik yang boleh dijadikan bukti untuk mengukuhkan hujah dan
interpretasi. Contohnya dalam kajian keberkesanan Dasar Ekonomi Baru atau Potensi
Pelancongan negara. Data-data kuantitatif amat membantu memantapkan kajian. Justeru,
4 R. G. Collingwood, The Idea of History, London: Oxford University Press, 1967, hlm. xxxi. 5 Apabila ilmu ini menuntut penyelidikan, maka sejarah juga boleh digolongkan kedalam bidang sains kerana
sesuatu penyelidikan itu akan membawa kepada persoalan-persoalan dan usaha untuk menjawab dan
menyelesaikan persoalan tersebut. Lihat, Ibid., hlm. xlii.
2
gabungan kedua-dua pendekatan ini dalam penyelidikan sejarah akan menghasilkan penulisan
yang lebih berautoriti dan autentik.
Kaedah Penyelidikan Yang Boleh Diaplikasikan Dalam Bidang Sejarah
Di dalam perolehan bukti, penyelidik-penyelidik sejarah tidak akan lari dari
menggunakan kaedah kepustakaan. Kaedah ini memberi makna, seseorang penyelidik itu
berusaha mendapatkan dan mengumpul bukti-bukti atau lebih selesa disebut sebagai sumber
di institusi-insitusi penyelidikan yang berkenaan dengan bidang penyelidikan masing-masing.
Sumber yang diperolehi daripada kaedah keperpustakaan ini penting di dalam bidang sejarah
kerana ia boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan.6 Sumber itu
berbeza dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber
boleh dirujuk secara ilmiah apabila diperlukan.7
Di dalam penyelidikan bidang sejarah, penyelidik-penyelidik biasanya tidak akan dapat
menjauhkan diri dari insitusi tertentu yang amat sinonim dalam tanggung jawab mereka
menyimpan, memelihara sekaligus mengkatalogkan sumber-sumber sejarah. Kaedah
Kepustakaan yang datang dari kata asal ‘pustaka’ itu merujuk kepada peranan institusi terbabit
yang menjadi ‘pustaka’ atau pusat sumber ilmu. Institusi yang dimaksudkan misalnya yang
terutama adalah Arkib Negara. Malahan penyelidik perlu mengenal pasti lokasi sumber yang
diingini di arkib-arkib tertentu kerana di Malaysia ini terdapat sebelas buah arkib yang
bertanggungjawab dalam penyimpanan dokumen khazanah negara ini. Arkib-arkib yang
dimaksudkan adalah Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta di Kuala Lumpur, Arkib Negara
6 Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, hlm. 7. 7 Badriyah Hj. Salleh, Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1996, hlm. 155.
3
Malaysia Cawangan Johor Bahru, Arkib Negara Malaysia Cawangan Melaka, Arkib Negara
Malaysia Cawangan Sarawak, Arkib Negara Malaysia Cawangan Sabah, Arkib Negara
Malaysia Cawangan Terengganu, Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang, Arkib Negara
Malaysia Cawangan Kelantan, Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah-Perlis, Arkib Negara
Malaysia Cawangan Pulau Pinang dan Arkib Negara Malaysia Cawangan Perak.8 Penyelidikan
di arkib-arkib ini pastinya amat bermanfaat kerana setiap satu ia menyimpan khazanah sumber
negara sama ada bersifat persekutuan mahupun negeri masing-masing sejak dari era penjajahan
sehinggalah selepas negara mengecap kemerdekaan.
Selain itu, penyelidik sejarah juga lazimnya akan berkunjung ke muzium-muzium bagi
tujuan penyelidikan sama ada untuk mendapatkan dokumen mahupun melihat artifak dan
diorama yang dipamerkan sekaligus mengumpul fakta yang dipamer bersama pameran
tersebut. Muzium yang dimaksudkan adalah muzium negara, muzium-muzium negeri dan
muzium-muzium khas yang lain seperti Muzium Polis, Muzium Seni Islam, Muzium Seni
Asia, Muzium Wilayah Persekutuan, Muzium Sejarah Nasional, Muzium Nelayan, Muzium
Bugis, muzium di daerah-daerah seperti Muzium Lukut, Muzium Jugra dan sebagainya.
Seterusnya, bersesuaian dengan nama kaedah itu sendiri, adalah tidak lengkap
seseorang peneliti sejarah itu tidak melakukan penelitian ke perpustakaan-perpustakaan
tertentu. Walaupun bahan yang dapat dikumpulkan lebih berupa sumber yang bersifat sekunder
namun terdapat juga sesetengah perpustakaan yang menyimpan bahan primer. Perpustakaan
Umum Universiti Malaya misalnya penyimpan sumber primer yang banyak terutama di dalam
bentuk mikrofilem. Selain itu, Perpustakaan Za’ba, Universiti Malaya juga ada menyimpan
manuskrip-manuskrip Melayu salinan yang asal bertulisan jawi, selain koleksi akhbar dan
8 Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1989, hlm. 25.
4
majalah lama yang amat bermanfaat untuk diteliti oleh penyelidik sejarah. Perpustakaan
Negara juga wajar dimanfaatkan terutama misalnya wujud satu jabatan dipanggil Pusat
Manuskrip Melayu yang menyimpan banyak sekali naskhah-naskhah lama dalam pelbagai
bidang sama ada sejarah, ketatanegaraan, undang-undang, kitab agama malahan perubatan
yang semuanya boleh dimanfaatkan oleh penyelidik sejarah.
Kajian keperpustakaan juga seharusnya tidak ketinggalan untuk terus mendapatkan
bahan ke badan-badan tertentu yang menjadi fokus dalam sesuatu penyelidikan. Misalnya jika
sesebuah kajian itu berhubung kait dengan sesuatu pertubuhan, sesebuah institusi ataupun
badan-badan kerajaan / berkanun / swasta, maka menjadi suatu kaedah yang paling wajar untuk
peneliti tersebut berkunjung terus ke pejabat, urusetia ataupun sekretariat pihak terbabit untuk
mendapatkan sumber yang terhampir dengan bidang kajiannya.
Perlu juga diingatkan bahawa sumber-sumber sejarah biarpun berkait dengan
maklumat sejarah dalam negara sebenarnya juga banyak tersimpan di luar negara. Ramai
penyelidik sejarah yang mengambil peluang membuat kajian hingga ke National Archieve di
Kew Garden, London kerana banyaknya dokumen negara tersimpan di sana. Di London juga
beberapa institusi seperti British Library, Royal Asiatic Society, Perpustakaan School of
Oriental and African Studies (SOAS), University of London dan beberapa institusi lain turut
menyimpan khazanah negara yang masih boleh diterokai. Selain United Kingdom, banyak lagi
‘pustaka-pustaka’ di luar negara yang menjadi tumpuan penyelidik sejarah seperti Belanda,
India, Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain.
Selain Kaedah Kepustakaan, kaedah lain yang bersesuaian dengan penyelidikan sejarah
adalah seperti wawancara. Proses mendapatkan sumber melalui wawancara boleh dilakukan
sama ada secara individu mahupun berkelompok. Sumber yang diperoleh dari wawancara
5
dianggap sebagai utama. Responden yang boleh diwawancara pula, mungkin berupa saksi
utama atau saksi mata, orang ketiga mahupun para penyelidik/sarjana yang mahir dengan
bidang kajian tersebut. Penyelidik sejarah yang berkomitmen tinggi juga wajar melakukan
kaedah pemerhatian supaya dapat melakukan tafisran yang lebih tepat. Ianya bermaksud,
penyelidik ‘turun padang’ atau membuat lawatan ke sesebuah lokasi yang berkait dengan
bidang kajian sejarahnya. Contohnya, mengunjungi tapak-tapak ibu kota kerajaan Melayu,
makam diraja, tapak pelabuhan dan sebagainya. Sebagai melengkapi kajian, sebarang dapatan
yang memerlukan data sebagai pengukuhan tafsiran, penyelidik boleh menyediakan borang
soal-selidik atau survei untuk mendapatkan sumber kuantitatif.
Sumber-Sumber Utama Dalam Kaedah Keperpustakaan
Menurut Kamus Dewan, sumber didefinisikan sebagai, ‘asal, mula atau punca’. Oleh
itu, jika direlatifkan dengan sejarah, sumber sejarah boleh diertikan dengan beberapa takrif
iaitu; 1) Sesuatu punca, dokumen atau rekod. 2) Sebuah karya yang menyediakan maklumat
atau bukti berkenaan sesuatu fakta, kejadian atau hal-hal lain. 3) Keterangan yang bertulis atau
bercetak yang boleh dijadikan bukti. 4) Sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu
lahiran pemikiran dan penulisan. 5) Sekumpulan bahan-bahan yang khusus seperti terdapat di
arkib-arkib, perpustakaan, muzium, pejabat menyimpan rekod, istana, rumah perseorangan
yang mempunyai minat menyimpannya dan sebagainya. Keseluruhannya, sumber itu boleh
diertikan sebagai kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan dan mana-mana bidang
keilmuan.9
9 Lihat tulisan-tulisan berikut; Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam:
Karisma Publications Sdn. Bhd., 2004, hlm. 8, John Tosh, The Pursuit of History: Aims, Methods and New
Direction in the Study of Modern History, England: Longman, 2000, hlm. 30, R.G. Collingwood, Idea of History,
6
Sumber sejarah boleh dikategorikan kepada dua iaitu sumber primer dan sumber
sekunder. Sumber Primer membawa pengertian, sekumpulan sumber (bahan rujukan) yang
keadaannya masih asli, belum ditafsirkan dan diperlengkapkan. Sumber primer adalah sumber
yang bukan hasil kajian seseorang. Ianya masih mentah dan belum dikupas oleh mana-mana
sarjana atau penulis. (Sejarawan cenderung untuk menggunakan sumber primer kerana ia
merupakan maklumat first hand dan peneliti mempunyai hak dan bebas untuk membuat
tafsiran – yang munasabah ke atas sumber tersebut).10 Manakala Sumber Sekunder pula
membawa pengeritan, hasil kajian atau penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang
mahupun kumpulan tentang sesuatu peristiwa, tokoh dan sebagainya. Sumber sekunder adalah
kajian yang ditulis hasil dari pemerosesan dan penggunaan dari sumber primer tadi. Oleh itu
sumber sekunder boleh berbentuk propaganda, komunikasi, peribadi, reaksi, kreativiti ataupun
hanya maklumat umum. Sumber sekunder yang boleh dirujuk adalah berupa buku, makalah,
majalah, akhbar, tesis, jurnal dan yang seumpama dengannya.11
Penyelidikan sejarah yang akan membawa kepada pengumpulan sumber-sumber
primer yang bersifat dokumen iaitu sumber bertulis termasuklah ilustrasi, peta, gambar dan
yang seumpamanya12 dan juga sumber sekunder. Antara sumber-sumber yang dimaksudkan
adalah;
1. Naskhah Melayu (di Malaysia contohnya, banyak tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu,
Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Dewan Bahasa Pustaka, Unit Mikrofilem
hlm. … dan Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, hlm.
72. 10 Lihat Mohd. Majid Konting, Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
1998, hlm. 90 dan Arba’iyah Mohd. Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2002, hlm. 51. 11 Lihat Mohd. Majid Konting, Kaedah Penyelidikan Pendidikan, hlm. 91 dan Arba’iyah Mohd. Noor, Ilmu
Sejarah dan Pensejarahan, hlm. 51. 12 Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, hlm. 123.
7
Perpustakaan Universiti Malaya, Arkib Negara dan Cawangannya).13 Namun telah banyak
juga naskhah Melayu ini yang telah diterbitkan tetapi masih boleh digunakan walaupun
tidak lagi bersifat sumber utama; Contoh: Sejarah Melayu, Misa Melayu, Tuhfat al-Nafis,
Silsilah Melayu dan Bugis, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, Bustanus
Salatin dan lain-lain.)14
Contoh;
Tuhfat al-Nafis
13 Sila rujuk senarai penyimpanan atau daftar manuskirp Melayu yang terkandung di dalam; G.H. Werndly,
Malaesche Spraakkunst, Batavia: Ter lands drukkeriji, 1823; A.T. Gallop, Malay Manuscript Collections in
Malaysia, Singapore and Brunei, 1988; J.H. Howard, Malay Manuscripts: A Bibliographical Guide, Kuala
Lumpur: University of Malaya Press, 1966; A.K. Rony, Malay Manuscripts and Early Printed Books at the
Library of Congress, 1991; Katalogus Koleksi Naskhah Melayu Museum Pusat Dep. P.K., Jakarta: Proyek
Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Nasional, Direktorat Jendral Kebudayaan, 1972, dan lain-lain. 14 Sila rujuk tulisan sarjana-sarjana yang telah meninjau sepintas lalu dan menyenaraikan kewujudan teks-teks
seumpama ini seperti, R.O. Winstedt, A History of Classical Malay Literature, Kuala Lumpur: MBRAS, 1996,
Virginia Matheson, “Concepts of Malay Ethos in Indigenous Malay Writings”, Journal of Southeast Asian
Studies, vol. 10, no. 2, Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Singapura: Pustaka Nasional,
1975 dan Mohd. Taib Osman, Kesusasteraan Melayu Lama, Kuala Lumpur: Penerbit Federal, 1974.
8
Hikayat Hang Tuah Misa Melayu
Naskhah Melayu bersifat salasilah
Naskhah-naskhah Melayu ini juga masih banyak tersimpan di luar negara seperti di
Belanda dan United Kindom.
2. Catatan pelayar atau kerajaan asing – Sejarah awal negara ini banyak sekali terkandung di
dalam catatan-catatan asing misalnya catatan China, (I-Tsing, Laksamana Cheng Ho dan
9
catatan Dinasti Ming), Portugis (Tome Pires dan Eredia), Arab (Ibnu Batuta), Jawa
(Prapanca) dan sebagainya.15
Contoh;
Catatan oleh Godihno de Eredia
15 Sila lihat buku-buku yang telahpun diterbitkan ekoran dari penterjemahan mahupun penggunaan catatan-catatan
ini secara menyeluruh seperti, A. Cortesao, The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East from the
Red Sea to Japan, Written in Malacca and India in 1512-1515, vol. 2, London: Printed for the Hankluyt Society,
1944, Godinho de Eredia Manuel, Eredia’s Description of Malaca, Merdional India and Cathay, Kuala Lumpur:
MBRAS, 1997, Liang Liji, Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-
15, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996, Kong Yuanzhi, Pelayaran Zheng He dan Alam
Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000; Alfonso de Albuquerque, Albuquerque: Caesar
Timur: Teks-teks Pilihan oleh Alfonso de Albuquerque dan Anaknya, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya,
1995 dan banyak lagi.
10
Catatan Pelayaran Laksamana Cheng Ho
3. Rekod-Rekod Kerajaan (Terkini atau Zaman Jajahan)
i. Kerajaan Negeri
ii. Kerajaan Persekutuan
iii. Jabatan-Jabatan Tertentu
4. Rekod Badan Berkanun
5. Rekod Syarikat (Swasta)
(Di dalam perkara 3, 4 dan 5: pelbagai bentuk sumber primer boleh diperolehi misalnya,
Laporan Tahunan, Laporan-laporan lain, Minit Mesyuarat/prosiding, Dasar, Belanjawan,
Perjanjian/Persetian/Triti,16 Surat-Menyurat, Risalah, Warta Kerajaan, Gazzete, Rekod
Badan Agama, Pengisytiharan/Pemberitahuan dan surat-menyurat)
Contoh-contoh;
Laporan Tahunan Surat-menyurat
16 Sila lihat usaha pihak-pihak tertentu yang telah mengkompilasikan perjanjian-perjanjian tersebut di dalam
beberapa buah penerbitan misalnya Muhammad Said Haji Sulaiman, Treaties and Agreements Affecting the State
and Territory of Johore, Johor Bahru: The Government Printing Office, 1925; Surat-Surat Perdjandjian antara
Kesultanan Riau dengan Pemerintah2 V.O.C. dan Hindia Belanda, 1784-1909, Djakarta: Arsip Nasional
Republik Indonesia, 1970 dan J.de Allen, A.J. Stockwell, L.R. Wright, A Collection of Treaties and Other
Documents Affecting the State of Malaysia 1761-1963, London: Oceana Publications Inc., 1981.
11
Perjanjian/Triti Pengisytiharan
6. Surat-surat Persendirian
7. Titah Perintah
8. Akhbar / Majalah17
Contoh,
Akhbar Majlis Akhbar Al-Ikhwan
17 Antara majalah dan akhbar yang boleh dimanfaatkan adalah seperti Al-Imam, Al-Ikhwan, Saudara, Neracha,
Bulan Melayu, Majallah Guru, Panduan Guru, Jawi Peranakan, Pelita, Majlis, Utusan Melayu, Warta Malaya,
Lembaga Melayu dan banyak lagi. Sila lihat usaha sarjana yang mengupas isi kandungan setiap majalah tersebut
dan membuat penyenaraian termasuk lokasi simpanan seperti di dalam Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar
Melayu Sebagai Sumber Sejarah, Kuala Lumpur: Perpustakaan Universiti Malaya, 1984; Khoo Kay Kim, English
Newspapers as Sources of Malaysian History, Kuala Lumpur: Perpustakaan Universiti Malaya, 1985; Ahmat
Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Awal Abad ke Sembilan Belas, Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992; Iskandar Haji Ahmad, Persuratkhabaran Melayu 1876-1968, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980; W.R. Roff, Bibliography of Malay and Arabic Periodicals: Published
in the Straits Settlements and Peninsular Malay States 1876-1941, London: Oxford University Press, 1972.
12
9. Rakaman Audio Visual
10. Diari / Catatan Peribadi
11. Gambar/peta/ilustrasi/lakaran
Di dalam penerokaan sumber-sumber sejarah seperti di atas, peneliti akan sering menggunakan
fail-fail atau katalog penyimpanan dokumen seperti CO (Colonial Office Record), SSR (Strait
Settlement Record), SFR (Sumatra Factory Record), FMSR (Federated Malay State Record),
UMFS (Unfederated Malay State Record), FO (Foreign Office Record), FCO (Foreign and
Commonwealth Office Record), DO (Dominions Office Records), Annual Report/Laporan
Tahunan, bagi negeri-negeri atau persekutuan atau badan-badan yang diteliti, SUK (Fail
Setiausaha Kerajaan Negeri) dan banyak lagi fail-fail yang terbabit.18
18 Lihat sebuah buku hasil usaha C.M. Turnbull berjudul The Straits Settlement, 1826-67, yang telah
menyenaraikan sebelas jenis fail/rekod kerajaan meliputi rekod Kerajaan Negeri-Negeri Selat (yang tersimpan di
National Library, Singapura), rekod Pejabat Tanah Jajahan British, rekod Pejabat Perang British dan rekod
Pejabat Luar Negeri yang kesemuanya tersimpan di PRO (Public Record Office) di London. Di dalamnya banyak
terkandung surat-menyurat Majlis Negeri dengan negeri Selat, laporan-laporan rasmi juga surat-menyurat lain
kerajaan yang bercetak.
13
Lain-lain contoh sumber;
12. Sumber sekunder - buku, makalah, majalah, akhbar, tesis, jurnal dan yang seumpama
dengannya
Kepentingan Penggunaan Sumber Primer
1. Memberi hak kepada mana-mana penyelidik memberikan penafsiran. Dalam penulisan
sejarah, daya kreatif masih lagi diberi perhatian. Oleh itu, walaupun sesebuah sumber primer
itu berulang kali digunakan oleh penyelidik yang berbeza namun setiap individu itu berhak
memberikan intepretasi, pandangan dan tafsiran masing-masing berlandaskan sumber tersebut,
mengikut pemahaman masing-masing tetapi secara ilmiah.19 Dengan ini, pelbagai bentuk
penulisan sejarah dapat dihasilkan, perdebatan dapat dibangkitkan sekaligus menyumbang
memperkayakan khazanah pensejarahan negara.
19 Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, hlm. 22.
14
2. Memastikan penggunaan fakta, data dan statistik yang tepat dan sahih di dalam penulisan.
Sebagai sumber yang mentah dan bersifat asli, fakta-fakta yang terkandung di dalamnya adalah
yang paling diyakini ketepatan dan kebenarannya. Ini kerana lazimnya dokumen tersebut
ditulis pada sesuatu zaman yang berkenaan, hasil kajian yang menyeluruh, hasil laporan saksi
mata dan berbagai situasi lain yang seumpama dengannya. Selain itu, penggunaan terus kepada
sumber primer dapat mengelakkan kesilapan mengambil fakta yang mungkin dilakukan oleh
penulis sumber sekunder sekiranya hanya sumber sekunder yang dirujuk.
3. Mengesahkan fakta sedia ada yang dimiliki atau diketahui daripada sumber sekunder.
Justeru, kesahihan fakta tersebut sukar diragukan.
4. Menghasilkan penulisan sejarah yang lebih berkualiti dan bersifat baru (terutama bagi
sumber primer yang belum pernah digunakan atau penafsiran yang belum pernah diutarakan
sebelum ini). Penulisan yang merujuk kepada sumber sekunder semata-mata hanya
memberikan satu hasil yang mengulangi tulisan sedia ada.
5. Penyelidik juga dapat memberikan satu penafisran dan penjelasan kepada fakta-fakta bisu
yang terkandung di dalam sumber primer. Huraian ini adalah merujuk kepada data-data yang
bersifat tidak menonjolkan diri seperti data yang mengandungi angka. Melalui analisis data ini
suatu gambaran yang lebih subjektif boleh diberikan oleh penulis.
Kelemahan Penggunaan Sumber Primer
Seperkara yang boleh dijelaskan, di dalam penggunaaan sumber-sumber primer ini,
lazimnya penyelidik akan menghadapi beberapa kesukaran. Misalnya, bagi sejarah negara ini
di zaman penjajahan masih terlalu banya sumber tersebut yang tersimpan di luar negara seperti
di England, Belanda, India, Indonesia dan sebagainya. Selain itu banyak juga sumber yang
15
tidak dipelihara dengan baik. Oleh itu sumber-sumber tersebut sudah begitu uzur, rosak dan
tidak boleh digunakan lagi. Sumber-sumber yang terhasil di zaman penjajahan juga ditulis di
dalam bahasa penjajah, contohnya Portugis dan Belanda.20 Oleh itu, penyelidik memerlukan
kepakaran bahasa tersebut untuk memahami sumber yang ingin digunakan. Masalah teknikal
seperti tulisan yang sukar difahami juga memberi cabaran kepada penyelidik. Tulisan tangan
dalam bentuk rumi dan jawi kadang kala sukar difahami lebih-lebih lagi ditulis di dalam bahasa
lama. Selain itu, status sesetengah sumber seperti di Arkib Negara yang masih belum boleh
dibuka (sulit/rahsia) membataskan ruang penyelidikan.
Contoh sumber yang sukar dibaca
Halaman koyak dokumen dari skrin mikrofilem
20 Sumber-sumber Belanda ini misalnya banyak sekali yang boleh digunakan kerana ia mengandungi maklumat
sejarah negara. Antaranya adalah seperti koleksi BKI (Bidragen tot de Taal, land-en Volkenkunde Van
Nedertandsch-Indie), BUB (Bataviaasche Uitgaande Briefboecken), Dagh Register, KA (Koloniaal Archief), KT
(Koloniaal Tijdschrift), KS (Koloniaal Studien) dan lain-lain . Namun begitu telah ada juga sejarawan asing yang
memanfaatkan sumber ini untuk menulis sejarah Malaysia seperti Andaya dalam menghasilkan bukunya yang
berjudul History of Malaysia, London: Palgrave, 2001 dan The Kingdom of Johor, 1641-1728, Kuala Lumpur:
Oxford University Press, 1975, demikian juga Diane Lewis untuk bukunya, Jan Compagnie in the Straits of
Malacca, 1641-1795, Athens: Ohio University Centre for International Studies, 1995.
16
Dakwat tulisan yang kembang dan tulisan tangan yang sukar dibaca
tembus dari halaman belakang
Biarpun wujud masalah-masalah di atas, kesesuaian sumber dan kaedah ini masih lagi
relevan dengan bidang sejarah. Ini kerana dalam memastikan kaedah dan sumber ini boleh
terus disesuaikan dengan penyelidikan, penyelidik seharusnya boleh mengaplikasikan
beberapa teknik dalam kaedah keperpustakaannya. Pertamanya penyelidik seharusnya
membuat kaji banding antara sumber-sumber yang diperolehi untuk memastikan kesahihan
fakta atau mendapatkan fakta yang paling dominan berbanding yang lain. Sumber dari naskhah
Melayu misalnya boleh dibanding dengan sumber catatan pelayar asing atau juga dengan
dapatan dari kajian arkeologi. Selain itu, penyelidik tidak seharusnya menilai sesuatu sumber
itu dari kaca mata zaman diri penyelidik. Oleh itu penyelidik juga boleh menyesuaikan ilmu-
ilmu seperti antropoligi dan budaya dalam memahami kebudayaan dan pemikiran masyarakat
bagi zaman yang dikajinya. Mendalami ilmu filologi dan memahami bahasa bagi tempoh
tertentu juga amat membantu.
17
Bidang-Bidang Kajian Sejarah
1. Peristiwa – boleh meliputi episod yang berlaku dalam sejarah seperti pengasasan
kesultanan/kerajaan, peperangan, pendudukan jepun, kegemilangan sesebuah kerajaan,
kejatuhan, darurat, pendudukan kuasa asing dan sebagainya.
2. Tokoh – membicarakan tokoh yang yang memberi impak terhadap perkembangan sejarah
sama ada yang beraliran positif mahupun negatif dalam pelbagai bidang politik, ekonomi
dan sosial.
3. Pemikiran – kajian yang sering juga dikaitkan dengan tokoh tertentu dalam menjalankan
dasar, pentadbiran, pemerintahan atau kepimpinan. Namun unsur pemikiran juga boleh
dilihat terhadap ideologi, falsafah dan sudut pandangan khususnya para cendikiawan yang
melahirkan aliran pemikiran baru atau berbeza.
4. Institusi/Pertubuhan/Agensi/Jabatan – kajian lazimnya meliputi aspek faktor dan idea
penubuhan, proses penubuhan, organisasi, perjalanan pengurusan, masalah, kesan dan lain-
lain aspek yang berhubung dengan perkembangannya.
5. Naskhah – naskhah boleh lahir dalam pelbagai genre. Selain genre sejarah yang sering
menjadi tumpuan, kajian juga boleh ditumpukan kepada genre undang-undang, tatanegara,
Bahasa, perubatan, kemahiran, nasihat, agama dan sebagainya. Naskhah boleh digunakan
sebagai sumber dan pada masa yang sama boleh dijadikan ‘alat’ utama kajian sejarah.
6. Sukan
7. Dasar/polisi
8. Masyarakat
18
Kesimpulan
Penyelidikan dalam bidang sejarah sebenarnya merupakan suatu proses yang luas. Pelbagai
kaedah boleh dimanfaatkan terutamanya kaedah penyelidikan kepustakaan. Ini kerana kaedah
ini merupakan cara paling tepat dalam pengumpulan sumber yang menjadi sandaran kepada
sejarawan untuk memperoleh bukti sebelum membuat pentafsiran. Kaedah kepustakaan ini
juga kaedah yang paling sesuai dalam menggali sumber-sumber primer. Sesebuah penulisan
sejarah itu boleh dianggap berkualiti dan menyumbang dalam mengkayakan khazanah
pensejarahan negara sekiranya menggunakan sumber-sumber primer ini dengan berkesan.
Justeru, sekiranya timbul sebarang kesulitan dalam kaedah ini, penyelidik masih mempunyai
ruang untuk menanganinya dengan saling dilengkapi dari cabang-cabang ilmu yang lain. Pada
masa yang sama, seorang penyelidik sejarah juga wajar menggunakan kaedah lain seperti
wawancara dan pemerhatian untuk melahirkan tafsiran yang lebih tepat dan boleh
dipertanggungjawabkan. Seorang pengkaji sejarah juga seharusnya lebih kreatif dalam
meneroka bidang-bidang baru yang boleh dicungkil dan ditonjolkan. Oleh itu, sejarah akan
sentiasa hidup, bersifat dinamik dan menjadi satu cabang ilmu yang menarik sekaligus
bermanfaat kepada seluruh masyarakat
Senarai Rujukan
Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Awal Abad ke Sembilan
Belas, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992.
Albuquerque, Alfonso de, Albuquerque: Caesar Timur: Teks-teks Pilihan oleh Alfonso de
Albuquerque dan Anaknya, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1995.
Allen, J.de, Stockwell, A.J., Wright, L.R., A Collection of Treaties and Other Documents
Affecting the State of Malaysia 1761-1963, London: Oceana Publications Inc., 1981.
Andaya, L.Y., History of Malaysia, London: Palgrave, 2001.
19
Andaya, L.Y., The Kingdom of Johor, 1641-1728, Kuala Lumpur: Oxford University Press,
1975.
Arba’iyah Mohd. Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2002.
Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1989.
Badriyah Hj. Salleh, Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1996.
Collingwood, R. G., The Idea of History, London: Oxford University Press, 1967.
Cortesao, A.,The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East from the Red Sea to
Japan, Written in Malacca and India in 1512-1515, vol. 2, London: Printed for the
Hankluyt Society, 1944.
Eredia Manuel, Godinho de, Eredia’s Description of Malaca, Merdional India and Cathay,
Kuala Lumpur: MBRAS, 1997.
Gallop, A.T., Malay Manuscript Collections in Malaysia, Singapore and Brunei, 1988.
Howard, J.H., Malay Manuscripts: A Bibliographical Guide, Kuala Lumpur: University of
Malaya Press, 1966.
Iskandar Haji Ahmad, Persuratkhabaran Melayu 1876-1968, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1980.
Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.
Katalogus Koleksi Naskhah Melayu Museum Pusat Dep. P.K., Jakarta: Proyek Inventarisasi
dan Dokumentasi Kebudayaan Nasional, Direktorat Jendral Kebudayaan, 1972.
Khoo Kay Kim, English Newspapers as Sources of Malaysian History, Kuala Lumpur:
Perpustakaan Universiti Malaya, 1985.
Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah, Kuala Lumpur:
Perpustakaan Universiti Malaya, 1984.
Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan: Satu Pembicaraan Pensejarahan Melayu, Kuala
Lumpur: Universiti Malaya, 1979.
Kong Yuanzhi, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia, 2000.
Lewis, Dianne, Jan Compagnie in the Straits of Malacca, 1641-1795, Athens: Ohio University
Centre for International Studies, 1995.
Liang Liji, Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-
15, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996.
Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Singapura: Pustaka Nasional, 1975.
Matheson, Virginia, “Concepts of Malay Ethos in Indigenous Malay Writings”, Journal of
Southeast Asian Studies, vol. 10, no. 2.
Mohd. Majid Konting, Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1998.
20
Mohd. Taib Osman, Kesusasteraan Melayu Lama, Kuala Lumpur: Penerbit Federal, 1974.
Muhammad Said Haji Sulaiman, Treaties and Agreements Affecting the State and Territory of
Johore, Johor Bahru: The Government Printing Office, 1925.
Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan
Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.
Roff, W.R., Bibliography of Malay and Arabic Periodicals: Published in the Straits
Settlements and Peninsular Malay States 1876-1941, London: Oxford University
Press, 1972.
Rony, A.K., Malay Manuscripts and Early Printed Books at the Library of Congress, 1991.
Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma
Publications Sdn. Bhd., 2004.
Surat-Surat Perdjandjian antara Kesultanan Riau dengan Pemerintah2 V.O.C. dan Hindia
Belanda, 1784-1909, Djakarta: Arsip Nasional Republik Indonesia, 1970.
Tosh, John, The Pursuit of History: Aims, Methods and New Direction in the Study of Modern
History, England: Longman, 2000.
Turnbull C.M., The Straits Settlement, 1826-6: Indian Presidency to Crown Colony,
Singapura: Oxford University Press, 1972.
Werndly, G.H., Malaesche Spraakkunst, Batavia: Ter lands drukkeriji, 1823.
Winstedt, R.O., A History of Classical Malay Literature, Kuala Lumpur: MBRAS, 1996.