Download - Sorotan kajian
SOROTAN KAJIAN
Penerapan KPS kepada murid sejak peringkat sekolah rendah adalah penting bagi memastikan
pelajar-pelajar di Malaysia dapat mengkaji dan memahami alam, mencari jawapan kepada
sesuatu masalah secara sistematik dan membuat keputusan secara bersistem di samping dapat
menjalankan aktiviti penyiasatan dalam Sains dengan berkesan dan bermakna (Abu Hassan,
2005). Masalah ini dikenal pasti dalam kalangan murid luar bandar (Tahun 4) yang mana mereka
mempunyai masalah dalam kemahiran mengawal pemboleh ubah meskipun mereka adalah
kalangan murid yang pintar.
Subjek Sains dalam KBSR bertujuan membekalkan murid dengan pengetahuan dan
kemahiran sains dan menekankan aspek kemahiran saintifik yang meliputi kemahiran
manipulatif dan kemahiran proses sains yang salah satunya mengenal pasti pemboleh ubah
(Tamby Subahan, 2007). KPS merupakan kunci dan asas dalam mempelajari Sains. Sebelum
sesuatu inferens dinyatakan, hipotesis dibuat dan kesimpulan diputuskan, seseorang itu haruslah
mengenal pasti pemboleh ubah yang terlibat terlebih dahulu. Justeru itu, amatlah penting bagi
seorang guru mengajar kepada para muridnya cara untuk mengenal pasti pemboleh ubah dengan
tepat.
Kajian yang dijalankan ke atas murid sekolah menengah sekolah di salah sebuah bandar
besar di Malaysia menunjukkan penguasaan para pelajar dalam KPS masih di tahap sederhana
(Rohana, 2006). Kajian terhadap penguasaan KPS murid sekolah rendah juga menunjukkan
bahawa ianya masih di tahap lemah (Mohd. Shaifi & Siti Maryam, 2010). Kajian ini juga jelas
menunjukkan bahawa murid di sekolah luar bandar mahupun sekolah di bandar juga mempunyai
masalah dalam menguasai KPS dalam pengajaran Sains di Sekolah.
Kesannya, mata pelajaran Sains dianggap “killer paper” dalam peperiksaan UPSR. Hal
ini dibuktikan apabila Pegawai Pendidikan Daerah Machang, Tn. Hj. Abdullah bin Mat
mengatakan ketika memberi ucapan perasmian “Mesyuarat Agung PISBG Sekolah Kebangsaan
Hamzah 2 Kali ke-19”, bahawa Sains merupakan salah satu mata pelajaran yang kritikal dalam
Daerah Machang selain daripada mata pelajaran Matematik.
Pada masa kini, disebabkan desakan oleh format peperiksaan yang hanya memfokuskan
kepada pencapaian akademik di atas kertas semata-mata telah menyebabkan peluang murid
untuk belajar mata pelajaran Sains secara praktikal (melakukan amali) atau ‘hands on’ yang
mana kaedah pengajaran dan pembelajaran sebegini sebenarnya lebih membantu dalam membina
pengetahuan murid dengan lebih bermakna berbanding dengan kaedah pengajaran berdasarkan
teori dan fakta sahaja tanpa ada pengaplikasian nya (Wynne Harlen, 2007). Bagi meningkatkan
penguasaan murid dalam Sains, kaedah penyampaian kemahiran proses sains perlulah memberi
fokus kepada aktiviti ‘hands on’ yang menarik (Maloney, 2007).
Pembelajaran di luar bilik darjah juga memberi kesan kepada daya tarikan kepada murid
untuk berasa seronok semasa belajar mata pelajaran Sains. Minat bermaksud keinginan iaitu
kesukaan atau kecenderungan kepada sesuatu (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Minat lazimnya
muncul apabila seseorang itu berasa seronok akan sesuatu, justeru itu bagi menarik minat murid
untuk suka mata pelajaran Sains, proses pengajaran dan pembelajaran mestilah menyeronokkan..
Aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah mampu mewujudkan perasaan seronok kerana ianya
jarang-jarang diaplikasikan di sekolah atau dalam kata lain, lain daripada yang lain, justeru minat
murid akan bertambah dengan adanya aktiviti yang menyeronokkan kepada mereka.
Secara kesimpulannya, kemahiran proses sains (KPS) telah lama diperkenalkan dan
terdapat pelbagai kaedah serta pendekatan yang dijalankan bagi memantapkan kemahiran ini
dalam kalangan murid. Walaupun KPS masih lemah dalam kalangan murid terutama murid di
luar bandar, namun masih belum terlewat masanya bagi menjalankan sebarang bentuk rawatan
bagi menyelesaikan permasalahan ini. Oleh yang demikian, diharapkan dengan adanya pelan
tindakan yang sesuai, murid-murid di sekolah mampu menguasai KPS