Download - Teks Puisi Dan Syair Pertandingan Sm
PUISI-PUISIPILIHAN UNTUK PERTANDINGAN DEKLAMASI PUISI
SEKOLAH MENENGAH
KANDUNGAN
BAHAGIAN A- SAJAK
TAJUKPENULISMUKA SURAT
1. Aduhai Anak-Awang Abdullah5
2. Bahasa Kita-Abizai6
3. Berjalan di Bumi Merdeka-Ahmad Razali7
4. Tanah Airku-Dharmawijaya8
5. Hang Tuah-Suhaimi Haji Muhammad9
6. Di Sini di Tanah Ini-Zam Ismail10
7. Keroncong Merdeka-Gunawan Mahmood11
8. Kita Telah Tinggalkan Jauh di Dalam Sejarah-Abdul Aziz H.M12
9. Namaku Inderaloka-Djazlam Zainal13
10. Negeri Ini, Anak-Marsli N.O14
11. Pada Setiap Kau Tiba, Ogos-Kemala15
12. Pagi-Jamaludin D16
13. Perkebunan Tanah Air-Rahimidin Zahari17
14. Pilihan Kami-Ahmad Sarju18
15. Suara Anak Merdeka-Zaidin Abadi19
16. www.sibermerdeka.com-Abdul Ghafar Ibrahim20
17. Genta Cinta -Lim Swee Tin21
18. Bahasa Kita Biarlah Bahasa Cinta-Peter Augustine Goh22
19. Catatan Buat Serikandi Bahasa-Chai Loon Guan23
20. Doa Anak Merdeka-Shaari Awang Besar24
21. Sebuah Istana Empat Belas Balai-Moh Azam Rezali25
22. Sajak dari Menara Langit-Abdul Aziz Mahmood26
23. Lestari -Ghazali Lateh27
24. Pohon Ilmu -A. Ghani Abdullah28
25. Bahtera Merdeka-Mohd Shahriza Mohd Tahir29
26. Menggarap Mimpi Kelak-Hanipah Nokman30
27. Di Bawah Rimbun Merdeka-Saadin Abdullah31
28. Warisan Ibunda-Nazri Hussein32
29. Suara Generasi-Aminudin Mansor33
30. Sumpah Anak Bangsa-Yusmiyani Yusof34
BAHAGIAN B SYAIRTAJUKMUKA SURAT
1. Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman36
2. Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah37
3. Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)38
4. Perang Saudara di Pahang39
5. Syair Mendapat Gembala Naga40
6. Syair Li-Attar Ghib41
7. Syair Panduan Untuk Remaja42
8. Syair Berbuat Jasa43
9. Syair Definisi Orang Berakal44
10. Syair Siti Sianah45
11. Syair Makna Riak46
12. Syair Pemberontakan Patani47
BAHAGIAN ASAJAK
ADUHAI ANAK
Awang Abdullah
Aduhai anak
ini rumah kita
pilarnya kebebasan
memancang daulat bumi warisan
bumbungnya kemerdekaan
memayungi sumpah anak watan.
Aduhai anak
halaman nan luas tempat bermain
pernah jadi ladang bara
disambar panas lidah berpucuk api
ladang pusaka
dihampar saujana teka-teki
Aduhai anak
jejak-jejak hari sudah
disiat pisau duka
hari kelmarin yang syahdu
tertusuk perih yang sembilu
Keranda 152 pernah diarak ke kuburan bahasa
namun atas nama cinta segala perkasa
maruah bahasa kembali ke takhta bangsa
demikian bahasa asal tanah Sriwijaya
telah menyimpan berkat di pejal batu bersurat
memahat janji di lapis misteri
lalu menebarkan mimpi dan wawasan baru
ke daerah pesisir pulau-pulau Melayu.
Aduhai anak
marilah kita kumpulkan lelah
dari musim payah
dengan misi dan visi baru
jadikanlah Malaysiaku kota astakona
Dari juringan cahaya
bukannya taman-taman kristal
berimba kaca
Aduhai anak
jangan biarkan kemelut dan fobia wawasanisme
terus memahat kesangsian kita
di tugu utopia
Aduhai anak
perjalanan ini
tak selamanya berduriBAHASA KITAAbizai
Bahasa kita
berkurung menjadi tulang-temulang
membina tubuh tamadun panjang
sebagai pusaka warisan
yang tak kunjung lebur
oleh panahan matahari zaman
yang tak pernah luntur
ditikam hujan dugaan
bicara yang ramah di lidah
menjadi lisan utama di tanah ibunda
dan seluas banjaran nusantara.
Bahasa kita
berputik cantik berkembang jelita
harum sopan mekar di kelopaknya
berbisik lembut bersenandung merdu
mengundang asyik dan rindu
dalam lirik dan lagu.
Bahasa kita
kaya dengan isi dan hiasan
penuh kiasan sarat tamsilan
memperagakan corak bijak
di sebalik pantun dan gurindam.
Bahasa kita
bukan sekadar bahasa lembah
terpencil dan lembah
tapi bahasa bersayap bestari
mampu terbang tinggi
menyahut cabaran awan teknologi
menyambut seruan langit globalisasi.
Bahasa kita
jambatan kukuh tempat menyeberang
ke pulau perpaduan bersatu haluan
agar di setiap sukma warga
berdenyut cinta serupa
di mana bumi didiami
di situlah bahasa dikasihi.
Bahasa kita
urat dan darah perjuangan bangsa
jangan sesekali berani mengaku
sebagai anakanda yang setia
jika bahasa segan mengalir di bibir
jika bahasa tiada mesra di jiwa.
BERJALAN DI BUMI MERDEKAAhmad Razali
Mari kita ungkap kembali
makna dan tafsir kemerdekaan
negara bangsa yang sering menyelinap
di saujana luas kehidupan kita
bumi merdeka bumi tercinta.
Mari kita ungkap kembali
sejarah bangsa yang berlari
di landas kekuatan dan tembok halangan
yang mencengkam harapan dalam
menusuk-nusuk jantung kemerdekaan
tersula dendam membara cengkam.
Berjalan di bumi merdeka ini
tidak seperti laluan di lebuh raya
yang mudah kita menemui destinasi
untuk mengangkat kejayaan mimpi
berpaut di pohon kejituan waktu
terbalar tubuh dibakar sumpah
tercalar maruah bangsa dirasuk sejarah
melimpah kekuatan ke puncak harapan.
Mari kita kuatkan kembali
pulau-pulau fikir yang berselerak
di laut dan bumi merdeka
jadikan sebuah pulau gagah
yang dapat mengatur sejalur fikir dan tafsir
tanpa sempadan waktu yang berang.
Mari kita dirikan kembali
makna dan tafsir kemerdekaan
di halaman alaf baru ini
mari kita sama-sama isikan kemerdekaan
dari kekuatan yang kita bina sendiri
untuk mengangkat dendam cita-cita
jangat bangsa yang bermaruah dan berwibawa
kita rempuh dunia tanpa sempadan
dengan cengkam tangan kita
mengatur langkah peribadi.
TANAH AIRKU
Dharmawijaya
I
tanah airku
ini kunyanyikan lagu
setiarela yang padu
ke bumi jantungmu.
telah melimpah sudah
citawaja dan keluhuran sumpah
dengan kasih wangi
di ini hati budi anak peribumi.
lantas teguh-utuhlah
kujunjung mahkota keagunganmu
bersama air mata dan darah
dan tenang-tenteramlah
ku hirup udara kemakmuranmu
bersama keringat basah.
II
tanah airku
meski dikau telah mengukir ucap-puja kemerdekaan
kudengar jua rintih sendu
anak-anak dalam meminta-minta
di ruang dadamu yang kaya raya!maka dari sari yakin yang dianugerahkan
akan kukembangkan sayap kesedaran
di tari-siang dan mimpi malamnya
tentang harga diri yang penuh makna
bahawa ini kemerdekaan
adalah meminta pengorbanan
pada yang memberi dan menerima
tanpa mengenal putus-asa
III
tanah airku
hari ini telah kutau
dan anak-anakmu bisa mengaku
bahawa milik hidup yang diburu bimbang
antara senyum dunia yang molek
pipih tidak datang melayang
bulat tidak datang menggolek.
IV
tanah airku
dalam jatuh bangunmu
anak-anakmu telah lama menjadi kuda-pacu
maka sekali ini bersama restumu
ia akan hidup berpawai bertanjak di mana-mana
ia akan mati mengusung nisan yang bernama.
HANG TUAH
Suhaimi Haji Muhammad
Sesalnya bermula dari sikap si jebatyang enggan menjadi payung istana
Dengan ayunan kaki yang lemah
meredah hutan sesal yang aneh
Bunga mawar dalam taman larangan
memerhatinya dengan rasa terharu
Ia cuba lemparkan hatinya
ke daun cendana hijau
Dan gunung ledang menjadi saksi
pokok padi berbuah lalang.
Setianya menjadi jarum
yang menempa baju sultan Melaka
adunan indah pakaian beradab.
Adik dinanti menjadi hempedu kijang
buat santapan raja berdaulat.
Di atas singgahsana yang unggul
dengan tangannya yang perkasa
diletaknya perlahan tengkolok kurniaan.
Sejuta kata terpendam di hati
merasa segala kesal yang terjadi.
Di hutan ia menoleh ke batu dingin
yang mengalirkan air turun ke daun.
Betapa murni setianya seorang hulubalang
melangkah juga ia sendiri
keluar dari pekarangan istana.
Rumput-rumput pun mulai tumbuh
dalam jantung yang semakin sempit.
Duri-duri pun mulai menajam
di rumpun belukar di dalam mata.
Di bawah akar diurutnya dada bidang
di sungai kecil bercermin diri
dilihatnya kejora gugur di lembah
bunga lalang cuma ada di pinggangnya.
Ia sudah pastikan jalan berlubang
dan buat menenangkan rasa sesal
mulai dikenangnya bunga lalang di pinggang
Sambil menatap mega mendung sedih
yang tersorok jauh di celah daun
mengalir si air mata berabad.
DI SINI DI TANAH INI
Zam Ismail
Di bumi inilah
tiada lain
nasi dan lauknya
sawah ladang segenggam
menjadilah gegunung perak.
Bukankah tanah ini
sawah ladang ini
yang memberikan nafas
dan anak-anakmu yang menginjak
memamah lumat daging tulang
tanah sejengkal ini
kasihmu masih berbelah
hatimu di bumi lain
asing bagai ikan-ikan di gurun.
Mengucaplah mereka yang wajar mengucap
dengan dua bibir hatimu sendiri
di sinilah udara yang kau hirup
usahlah hembuskan kembali
dengan racun yang berbisa
membunuh pucuk yang baru bertunas
menginjak dahi para wali
yang kepadanya kau berikan kepercayaan.
Tiada kematian yang lebih nikmat
dari mengasihi tanah keramat ini.KERONCONG MERDEKAGunawan Mahmood
Kami memilih kebebasan
walau terpaksa berbaju sukar
aduhai keroncong merdeka
usaha kautanya mengapa
tanpa soal jawab
perjuangan harus berjalan terus
menuntut keringat dan darah.
Ini zaman baru
aduhai keroncong merdeka
jangan bermain bianglala sejarah
berpijaklah di rumput kenyataan
bebat luka lama
ubat luka baru
bertanyalah siapa kita
di negara merdeka
Hidup adalah kerja keras
aduhai keroncong merdeka
kemajuan bukan milik tukang cerita
kembali ke tanah tandus
menggalas cangkul, ayuh!
mari kita mulakan
tatih-tatih pembangunan.
Tak selamanya berada di dunia kecil
kita akan bangkit membesarkan
ruang lingkup baru
buka gerak langkah perkiraan
awas racun khianat mendendam
tajamkan keris pemikiran
mari kita amuk
gelanggang ketidakadilan.
Tak pernah gentar pada ugutan
tak pernah gusar pada cabaran
ini barisan baru
pakar dan kekar
kita hanya kembali
dengan makam-makam wangi.
Keroncong merdeka
nyanyikan, nyanyikan dengan lantang
tapi sederhana dan mempesona.KITA TELAH TINGGALKAN JAUH DI DALAM SEJARAHAbdul Aziz H.M
Kita telah tinggalkan
jauh di dalam sejarah
jasa orang-orang tua kita
membina dan membangun
kota dan desa
kini dalam tangan dan genggaman fikir
kita cipta sejarah hari depan tidak dengan marah
sengit perang dan hanyir darah
tidak dengan pedang lembing kelewang
yang menghangus lebur
anak dan penerus akan datang.
Masa lalu
adalah jendela waktu
untuk merenung ke belakang
dan kini adalah muara peradaban
yang mengalirkan jasanya
ke setiap jengkal tanah bumi ini.
Tanpa pintu melihat ke belakang
dan gerbang merenung ke depan
kita akan tersesat membina zaman ini
kerana masa lalu
adalah sejarah untuk tumbuh
dan masa kini
adalah pohon rendang
memayung langkah
dan derap hari depan bangsa ini.
Bangsa yang gemilang
adalah bangsa
yang menghargai
perjuangan orang tua mereka
dan generasi kini
yang setia pada cita-cita mulia.
Kita telah letakkan
harga perjuangan itu
dengan erti yang mahal
dan cita-cita membangun
dengan makna setia
dari lubuk niat
paling murni dan kukuh.
Kerana kita telah dicanai
menjadi sinar dari wap zat matahari
menjadi debur dari ombak laut bebas
menjadi bayu dari pusat taufan yang panas
menjadi aku:
yang tahu
makna
kemerdekaan ini.
NAMAKU INDERALOKADjazlam Zainal
Siapakah yang mengangkat cinta setinggi gunung
akulah sang pemuja yang bangun menyusun
taburan cinta dan bunga-bunga
menghiasi anjung Semenanjung dan ceruk rantaunya.
Siapakah yang menyebar bau harum cinta anggun
hingga terbangun sang unggas dan warga faunanya
titiplah salam dan sayang kesuma di hujung senyum
aku tak resah datang salam mengucup hujung daun.
Kalau warga dunia merasa iri dan cemburu
itulah tanda aku berjaya menghiasi negeri ayuku
kalau muncung fitnah dan pulau itu menghala
tangkis tak lebih baik dari senyum dan belaakhirnya mereka akan tersimpuh di Inderaloka.
Akulah yang bernama Inderaloka
negeri timur jauh yang aman sentosa.
Telah lama mencipta sejarah sendiri
berabad sudah memutar catur perintahakulah yang melepas panah pesona bestari
pada warga dunia dan bijak senteri.
Kayu-kayan hutannya
hijau rimbun desanya
kilau pencakar langit kotanya
itulah lambang keunggulan wajah bersulam takwa
akulah sang ayu yang memahkotakan diri mempesona
di tengah jalur peta selat dan segentingnya
tak terdaya menepis caci-cerca datangnya.
Sekiranya itu ujian menabahkan
aku rela memperjuangkan hayat kemerdekaan
tidak kulerai ikatan yang membuah
akulah tanah ibunda berabad menyulam
telah kenal sejarah
meredah dengan penuh tabah.
Aku yang bernama Inderaloka
negeri timur jauh yang aman sentosa.NEGERI INI, ANAKMarsli N.O.Negeri ini, anak, adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sanga pertapa yang lemas ditikam bayang!
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang
dari berputih mata, kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau diperkosa warga tidak bernama. Meski
darah dan tulang jadi gantian. Kerana baginya:
negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.
Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan. Tanpa mengira
kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama:
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Di negeri ini, anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa
berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau
hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita
dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.PADA SETIAP KALI KAU TIBA, OGOS
Kemala
Pada setiap kali kau tiba, Ogos
bumi dan hati ini
melapangkan ruang buat kata hikmah
harga diri
awan hitam semalam
awan hitam belenggu
terbenam di kaki hari
Bukan gerimis
tapi taufan
bukan pesimis
tapi pahlawan
seribu, dua ribu tak bernama gugur tak bertanda
memeluk kemerdekaan dalam diam
syahdu yang datang adalah sepi hening
bukan nestapa
tapi gelegak
bukan duka
tapi ombak
gelegak ombak penampil bicara
pada setiap kali kau tiba, Ogos
siapa lagi bakal melihat dirinya
analisa ini
di ganggang siang
di tampuk malam
dewasa pancaroba serba
ini ketentuan
inti pencarian yang nikmat
dimensi gerak fikir daya
pada setiap kali kau tiba, Ogos.
PAGI
Jamaludin D.
Pagi ini kita bukan kesuntukan waktu
seperti lazimnya, kita tetap memesrai
susur galur kehidupan dan denyut nadi insan.
Pagi ini waktu-waktunya merangsangkan keceriaan
bening keinsafan meraut
seraut wajah kejernihan
ingat kembali pohon diri
dalam belantara maknawi.
Pagi janganlah kita biarkan
api menyala membakar hutan harmoni
mengelar menghiris denai-denai laluan
ke ladang pohon cinta
belukar sayang
gugus-gugus rimba kasih
bumi tumpah lembap air mata.
Pagi ini kita cantumkan pucuk-pucuk
kecubung-kecubung
menara-menara
angkasa terlalu luas, kita lebarkan kalbu jiwa
jadi rasa satu rumpun keinsafan
kembali diikat berkas
jari-jari
gerigis-gerigis
bilah-bilah
lidi-lidi
himpunan penunjang ketuanan
hak kepada yang hak
milik di tangan, jangan lagi dilepaskan
cakuk ke bila-bila
pegang ke bila-bila.
PERKEBUNAN TANAH AIRRahimidin Zahari
Hujan renyai
membisiki suara liris
perkebunan tanah air jadi harum
menyusur alur sukma
dari lembah ke lembah manis
syair anggur menderu
dipuput pucuk pohon
angin pesisir
dan ranjang kembara
jadi mutiara putih.
Dari usus laut
dan paksi pulau
suara kecil yang terkumpul
melantun lukisan gunung
antara sobekan kata
mengalir sungai indah
cebisan sumpah
dan air darah
disalak langit
bukit tidak meruntuh
melupa pedoman angin
membawa nisbah usia ke mari
tersuluh titik cahaya
kunci cicir,
kami raung mencari arah.
Tuhan kami, sempadankan
jarak hitam dan putih terang
kami memandang rintik kecil
dan senja lebur
jalan sekerat, selekohnya patah.
PILIHAN KAMIAhmad Sarju
Memang pilihan kami
bersampan melawan ombak
berperahu menongkah arus
agar kami tak mudah lemas
menyerah pada gelombang ganas.
Memang pilihan kami
bertahan mewarisi pertiwi
berkampung di tebing kali
bernegeri di bumi sendiri
agar kami tak diusir lagi
menjadi buruan setiap hari.
Memang pilihan kami
belayar ketika laut bergelombang
berlabuh di tambatan berkarang
agar kami tak mudah kecundang
tunduk bukan bererti kami menyerah
diam bukan menggadaikan maruah.
Memang pilihan kami
berteriak di medan terbuka
bertikam tanpa senjata
agar kami menjadi lebih perkasa
berpadu menjauhkan sengketa.
Memang pilihan kami
menukar watak di atas pentas
berbahasa kasar meningkah tindak
sering berlembut hampir dipijak
agar kami tidak kehilangan akar
menang bersuara kampung terbakar.
Memang pilihan kami
berkampung dan bernegeri di bumi sendiri
jika kau usir lagi
kami tak akan menyerah
kami rela darah kami tumpah ke tanah.
SUARA ANAK MERDEKA
Zaidin Abadi
Setapak derap ini melangkah
tidak mungkin berhenti lagi
dan selagi itulah laung keramat ini
saban musim
bergema ke segenap relung bumi
memantul dalam diri
kerana derap dan laungan ini
adalah benih kebebasan yang tumbuh
membesar dan tidak mati-mati.
Langkah demi langkah menginjak
bumi merdeka ini
menghirup angin bebas
di puncak siang di hujung malam
adalah sebenarnya langkah pejuang
bagai jejak pendekar purba membela
maruah bangsa tercinta.
Kitalah anak warisan merdeka
bangun mengibar panji-panji
dengan suara lantang menggegar angin
kebebasan dan berdiri megah
di setiap sudut tanah bertuah ini
bagai pagar-pagar berduri
penghalang tombak-tombak petualang.
Selagi darah ini mengalir dan merah
bumi ini tidak mungkin dirampas ganas
biar seribu gegaran menerjah
biar sejuta taufan menyanggah
kami tetap berdiri di sini, kerana
kamilah anak pewaris zaman
penebus maruah.Musim demi musim bertukar
kami tabur lagi benih kasih di persisiran ini
biar tumbuh sejuta pohon rendang
tempat berteduh segala kecintaan
setia dan taat tak terbelah
pada tanah bertuah.
Kamilah bakal mengisi petak-petak nikmat
hasil jerih semangat perjuangan
peneroka zaman silam dan zaman ini
dan kamilah penerus kegemilangan
yang diwariskan.
Kini kami atur sejuta derap
mara bersama laungan gempitamenyongsong angin merdeka,
khabarkan pada dunia, kami bisa berlari
bebas mengibar bendera merdeka.WWW.SIBERMERDEKA.COM.MYAbdul Ghafar Ibrahim
Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam.
Dalam parlimen diriku
aku bahas isu onak dan enak
untukku merdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotak-katikkan.
Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman
untuk menguji amal dan iman.
Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.
Dalam pentas diriku
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya.
Dalam dewan diriku
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.
Apabila siber merdeka sampai
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermusyawarah
menyokong berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri
untuk tidak mengulangi kekalahan.
Kini kapal diriku telah berlabuh
di pangkalan usia
aku turun darinya
menghadapi hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan siber merdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan:
Elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan.GENTA CINTALim Swee Tin
Burung-burung hitam itu
biarlah melayang ia, jauh-jauh
ke tengah rimba
di sini taman terlalu permai
untuk dititiskan duka
di sini halaman terlalu damai
untuk ditaburkan sengketa.
Tidak akan pernah ada
di sini serpihan-serpihan kaca
sejuta duri menikam
sembilu berbisa
benci dan prasangka
anak-anak kita terlalu muda
untuk menatap apa saja
wajah sengsara.
Kankah sejak silam
telah dicanangkan
genta cinta
peri kita memapahi nasib bersama
menyusur sejarah tak berbeza
dan jalan hidup kita pun
telah diwarnakan sentosa.
Angin liar itu
biarlah menyusup ia
jauh-jauh ke celah akar zaman
di sini bumi terlalu hijau
untuk dicalarkan luka
di sini langit terlalu biru
untuk dipalitkan nestapa.
BAHASA KITA BIARLAH BAHASA CINTA
Peter Augustine Goh
Bahasa kita biarlah bahasa cinta
terbenih di mata
tersemi di jiwa
terpokok di hati
mengatasi nafsu-nafsi
Cinta bukan mainanbagai manis terbisik
di telinga sang perempuan
juga bukan keinginan
yang bijak terlafaz
di bibir sang lelaki
pun bukan perasaan
laksana kerap terpendam
dalam kalbu seorang pencinta
ketika jauh melamar rindu
apabila berdepan kerap keras bicara.
Hendaklah kita
harus bersopan pada sebuah bahasa
membetulkan yang tersasar
mengenapkan yang kurang
agar elok dipandang mata
agar manis didengar telinga
agar syahdu meresap dalam jiwa.
Bahasa kita biarlah bahasa cinta
harus halus dan mulia
bergema di empat penjuru dunia
terpahat cita rasa
terpelihara budi bicara
terhapus segala sengketa
berfikir jauh dan luas
bagai langit di angkasa
dan laut tak bertepian.
Dewan Budaya, Januari 1998CATATAN BUAT SRIKANDI BAHASAChai Loon Guan
Dikau bagaikan sang tukang ukir yang mahir
Antara pahat metafora dan tukul personifikasi
Tabah dan cekal mengukir
Jalur-jalur seni pada ukir bahasa
Untuk tatapan generasi zaman-berzaman.
Dikau bagaikan seorang petani
Dari daerah pedalaman yang bening
Antara cangkul diksi dan sabit puisi
Gagah tabah tanpa mengenal lelah
Benih-benih bahasa ibunda kausemai akrab
Di kebun nusa dan bangsa.
Dikau bagaikan seorang tukang jahit zaman
Antara jejarum frasa dan bebenang klausa
Kau cipta kuntum-kuntum bahasa di sketsa busana
kehidupan
Agar ceria mewangi dekad demi dekad
Meniti peradaban dan ketamadunan
Dikau bagaikan srikandi bangsa
Antara darah merah perjuangan dan keris budaya
temurun
Kau langkah gagah di puncak wacana
Melahirkan anak-anak wawasan yang ceria
Srikandi bahasaku, dikau persis kandil ilmu
Melebarkan sinar menerangi buana zulmat
Terampil dan wibawa menongkah arus cabaranDikau persis kalam
Menarikan jutaan ilmu kata
Di pentas minda manusia
Dirgahayu srikandi bahasaku
Keranamu, anak-anak generasi menghargai nilai
martabat bahasa MelayuBahasa jiwa bangsaku:MALAYSIA!DOA ANAK MERDEKAShaari Awang Besar
Sejahtera anak-anak warisan
menyedut udara merdeka
mewah di bumi Malaysia
adalah usaha gigih pejuang bangsa
mematah penjajah mamah kuasa
memulih negara ternoda
mendaulat raja bertakhta
membela rakyat hina tercela.
Bermula 31 Ogos 1957 adalah sejarah
kembali indah bangsa bermaruah
mari kita harumkan ini taman merdeka
di bawah rimbunan keinsafan
pada generasi bakal dilalui.
Malaysia sebenarnya sebuah bahtera
muatan kargonya harta terkaya
nilai emas bersinar permata
tercambah dari minda waris bangsa
pedagang labur serata dunia
untung laba makmur jelata
adalah jasa tuah limpah ari mata.
Dalam pelayaran menuju hala
setia di bawah layar perpaduan
jangan terkoyak ribut taasub
jangan patah tumang sauh
dimamah karat kelalaian
bimbang hanyut di samudera sengketa
kita lemas tenggelam di pantai penyesalan.
Atas kemerdekaan berdaulat
teguh azam keyakinan sepakat
melawan badai menangkis gelombang
jangan berulang sejarah kejatuhan
pecah perintah tidak diundang
tidak pernah disambut datang.
Waspadalah kejayaan dalam kerinduan
penyangak mata wang tanpa sempadan
berhelah jajah dalam penipuan.
Dalam pelayaran tuju destinasi
suara nakhoda menusuk telinga alam
wangi wawasan tercium salam pertemuan
ucap kata membuka pintu dunia
Malaysia sejahtera ukir acuan
Inilah nikmat keramat merdeka
kita panjatkan doa aman berkekalan
Jalur Gemilang berkibar sehayat zaman.
SEBUAH ISTANA EMPAT BELAS BALAI
Moh Azam Rezali
Sebuah istana empat belas balai
tegaknya ditunjang beribu tiang
daripada beribu hutan duri
nan tidak kenal erti kasihan
tidak kenal erti tawar-menawar.
Sebuah istana empat belas balai
terbina setelah berjuta pengorbanan
atas dasar perjuangan setia
daripada rasa cinta menebal
untuk memiliki istana sendiri.
Sebuah istana empat belas balai
hasil lelah generasi terdahulu
yang memerah keringat
yang menitis darah
yang berendam ari mata.
Sebuah istana empat belas balai
menghendakkan kita sebagai warisnya
menjaga dan mengawal, juga mengisi
agar tiada yang berani menceroboh
menabur paku dan kaca.
Sebuah istana empat belas balai
pewarisnya harus setia menebal
harus miliki semangat waja
sebagaimana moyang poyang kita
menuntut istana ini.
Sebuah istana empat belas balai
jangan dibiar herot
kerana kita berpecah belah
sambil terlupa betapa sukarnya
membina istana empat belas balai.
SAJAK DARI MENARA LANGIT
Abdul Aziz Mahmood
Kita seakan bersatu dengan kalbu pawana
mendongak ke atas lapisan tinggi tak terjangkau terlah
kerdil kita
melihat ke bawah sayup dan kalbu
hanya gumpalan awan pelbagai bentuk: bukit sungai atas
lurah
mari kita merendah dan meredah
terlihat paku-paku alam terpacak gagah
garis-garis air terpeta persis ular dipaluhutan hijau yang nyaman
kepala gondol yang hodoh
ladang rumah yang mewah
dan kota mandian cahaya.
Kita negara kecil
memiliki bangunan ganjil
kita negara rendah
memiliki bangunan gagah
kemiskinan tinggalan penjajah
bertukar menjadi kemewahan warganya.
Inilah hasil tuaian tanaman orang tua kita
daripada pohon bijaksana di ladang usaha
bertapa sukar mencambah benih
di atas bumi gersang
tiada titisan air menyejuk tanah
tiada baja menyubur tanaman
sedang musuh berkeliaran
menunggu peluang membaham
tapi upaya memerah minda
membakar keringat
menghancur tulang
mengecai daging
dan menyiram merah darah pahlawan
maka terhasillah buah keramat itu.
Itulah sedikit harga kebebasan
menghakis tebing usia para pejuang
selebihnya tidak dapat dinilai dengan kata-kata
tapi apalah maknanya
jika laungan hanya bermukim di bibir
jauh di sudut minda dan nurani
kita masih belum merdeka.
LESTARI
Ghazali Lateh
Jauh sudah kita melangkah
meninggalkan detik agung
yang terpahat di anjung sejarah
berhentilah sejenak
untuk meninjau kembali perjalanan
sebelum terus melangkah
ke hari depan.
Lima dasawarsa sudah
usia ibunda terbebas daripada cengkaman tajam
kerikil penjajah yang kejam
betapa luas ruang terimbau
terbuku bebas minda meninjau
dan mata memantau.
Dalam jarak waktu membangun tugu
langkah terpecah oleh kucar seteru
lalu kita mengacung amarah
gelora pun memecah
mencetus resah di sukma gundah.
Betapa harga perpaduan terlalu tinggi
untuk direbut daripada busuknya iri
dan rakusnya harga kepentingan diri
kental hasad ingin menguasai
melontarkan sejahtera ke dasar simpati
membilas muhibah di birai hati.
Hilang jua satu detik
ketika nafsu berputik
kini kembali memetik kecapi perjuangan
melebar angan-angan
sewangi puspa di jambangan.
Lima dasawarsa ini
kita sudah mengerti setiap warna pelangi
dan plot cerita setiap babak mimpi
lantas kita mampu berdiri
bersama semangat berani
dan perisai jati diri
mendepani segala ilusi.
Segala sudah tersedia di sini
hanya kemahuan dan semangat cinta pertiwi
perlu kita pupuk di dada generasi
demi kemerdekaan lestari
seribu tahun lagi.POHON ILMUA. Ghani Abdullah
Berserulah taufan akan kehadirannya
Melintasi pohon rimbun di negeri bernama
Awasilah daun-daun akan berguguran
Dahan ranting akan patah berdenting
Akar akan tercabut berasingan
Bersedialah menerima kenyataan
Bahawa yang datang adalah
Percubaan ujian getir dan menyeksakan
Bagi menentukan kekukuhan atau kehancuran
Sebuah kehidupan terus tegak berdiri
Atau tumbang mati!
Dan tersenyum taufan akan pohon rimbun itu
Dalam diri manusia lagu berseru
Tidak akan roboh atau patah atau gugur
Atau tercabut akarnya si pohon rimbun
Pohon rimbun manusia akan
Terus rendang dan berjasa
Menabur ilmunya ke serata dunia
Menyilau cahaya
Harapan antarabangsa
Ke jalan bertakhta, bermahkota
Dan terbilang mencipta
Serta membangunkan bangsa
Merdeka setia berharga.
Taufan kepada pohon rimbun manusia
Tidak dipinta berlindung di mana-mana
Hanya pohon rimbun ilmuTelah memberi perlindungan
Bagai kebalnya manusia
Tidak dimakan peluru
Bagai kebalnya janji setia
Tidak akan diputus lalu
Bagai kebalnya undang-undang
Mempertahankan hak terjulang
Kebaikan akan menang
Hak kejahatan menerima malang
Rimbun pohon alam diri
Mengatur alam fikir
Berkuasa dan tahu menentukan jalan
Yang dongeng dan yang nyata!
BAHTERA MERDEKAMd. Shahriza Mohd Tahir
Bahtera merdeka
Ke mana tujuanmu
Padang lautan biru terbentang luas di depanmu
Ombak memukul di kiri kananmu
Apakah sang bahtera sanggup menunggu
Hempasan badai dan ombak ganas di sampingmu.
Bahtera merdeka,
Mencongak impian dalam satu wawasan
Biarpun bergolek rintangan ditusuk api cabaran
Pandangan tekad meneruskan nawaitu pelayaran
Biar ku genggam bara api menjadi debu di tangan
Agar tidak putih mataku ditelan kegagalan.
Bahtera merdeka
Ke mana arahmu
Utara dan selatan menghembus penuh kedinginan
Timur dan barat menyambut penuh kegersangan
Mampukah akal nakhoda menyusun peranan
Mengemudi ilmu pelayaran tanpa ditemani bayu angin.Bahtera merdeka
Mengejar kemajuan dalam satu perjuangan
Agar derita kesusahan tiada dalam kamus kehidupan
Bukan calang akal memimpin perpaduan
Lahirnya daripada muafakat di bawah satu barisan
Dipapah oleh semangat keikhlasan dan kesabaran.Bahtera merdeka
Di mana kekuatanmu
Luaranmu diwarnai rambut yang serupa
Dalamanmu diwarnai hati yang berbeza
Tidakkah punah-ranah ditelan masa dan usia
Hingga karam menyembah ke dasar lautan murka.
Bahtera merdeka
Mendukung kedamaian dalam satu pegangan
Sehati sejiwa disemai ke lantai persahabatan
Isi akal mendambakan rasa semangat setia kawan
Bermandikan peluh darah menggapai penghormatan
Agar bahtera merdeka terdampar di dermaga kejayaan.
MENGGARAP MIMPI KELAK
Hanipah Nokman
Hari ini, kita mengenang sejarah silam
mengulum pengorbanan kelmarin
moga pengalaman menjadi mahaguru
yang sering memaafkan.
Esok, kematangan kita bertambah sehari lagi
angin dingin dinihari esok
di kalbuku mengilir cinta perjuangan.
Benar ayah, pertimi ini telah setengah abad merdeka
kami tidak mahu lagi melihat sungai mengalir darah
atau pada tanah bernanah dan gunung terbongkah
cukuplah seorang J.W.W Birch tersungkur di sini
cukuplah seorang Tuk Janggut dituduh menderhaka
aku tidak mahu lagi melihat Nadim dibunuh semua.
Benar umi, watan ini telah lima dekad berdikari
kami tidak mahu bermimpi dentuman peluru memburu
atau pada bumi ini bergaris sadis
cukuplah dengan satu Bosnia- Herzegovina
bermurung durja
cukuplah dengan satu Palestin
menanggung duka berjela
cukuplah
aku tidak mahu lagi sejarah Temasik berulang di depan
mata
Ayah, kaudengarkah, nyaring seruling di hutan siangmu
sayup memecah jiwa
umi, kaudengarkah, gesekan biola di jenggala kelammu
sabuk mengheret sukma
dunia, kaudengarkah, tingkahan rebana di rimba kabutmugeger menusuk nuraga.
Esok, bila pagi terjaga
akan kubicarakan pada anak-anakku
bahawa inilah halaman kembang mawarku
halaman tanpa sumba sengketahalaman tanpa onak sengsarahalaman putih selamanya
dan jangan kaucemari
dengan kabut kelabu.
DI BAWAH RIMBUN MERDEKA
Saadin Abdullah
Sekian lama membalut luka derita bersama
mendaki lereng sengsara dan cerun duka
meredah onak dan duri pancaroba
kini kita telah berjaya menjejaki puncak
sambil berehat di bawah rimbunan merdeka
melihat jauh pandangan saujana dan samudera raya
dengan segala keindahan tersedia.
Kita telah melukis peta perjalanan sendiri
dari sebuah desa terpencil menuju pekan
bertukar bandar dan menjadi kota metropolitan
kita warnai dinding dan lantai rumah
dengan warna pilihan kita bersama
mencipta suasana meriah dan bahagia.
Bertapa kita menyedut udara nyaman di laman terbuka
landskapnya pepohon dan bunga beraneka
sambil menjahit seluruh robek pada baju sendiri
kita belajar menjadi penyabar dan tidak iri hati
kerana nenek moyang yang telah mendahului kita
tika sama-sama membina rumah seindah ini.
Pohon merdeka yang subur dan rendang ini
tegak berdiri megah di sisi rumah pusaka
kini telah menjadi miliki kita bersama
mari kita bajai akarnya biar terus menunjang kejap
kita bunuh serangga yang hinggap merayap
pada dahan, ranting, daun dan pucuknyabiar selamanya menjadi tempat bercanda
kerana kitlah yang tahu menilai makna redup
tika mentari memancar panasnya.
Di bawah pohon merdeka ini
kita belajar mengenal makna kesetiaan hakiki
nilai sebuah kebebasan batasnya adalah kesatuan
dan beranda rumah pusaka pasti menjadi medan
kita mencambah fikir membentuk arca peribadi
mengirim segunung warna ke pelangi kesturi
menjana sinar gemilang di langit lazuardi.
WARISAN IBUNDA
Nazri HusseinDi tanah warisan ibunda bertuah ini
kita kucup makna merdeka dengan harum setia
sesudah lima puluh usia berhembus angin sejahtera
mencicipi cinta anak-anak wawasan
di bumi pusaka sentosa
di bawah naungan mahkota lima perwira bangsa
yang berdiri memakmuri tanah watan dengan kibaran
gemilang
memperkasa generasi agar bersalut akal budi
merubah wajah zaman mendaki gunung cemerlang
merentas langit dunia menjulang tinggi angkasa raya
di situ anak bangsaku yang berakal intelektual
mengepal azam mengibar sayap ketamadunan
sebagai warga bermaruah.
Di tanah mekar menguntum indah ini
kita hirup setanggi hidup dengan nafas bahagia
sesudah lima dekad usia melaungkan suara merdeka
berlidahkan bahasa yang harmoni perkasa
di bawah rimbunan bijaksana lima pahlawan terbilang
yang mengayun keris perjuangan dengan semangat waja
menghambat musuh petualang mengusir wajah kefakiran
yang berabad melebat di rumpun generasi
kini mengalir kemakmuran merentas jagat masa
menjulang peradaban pada tanah perkebunan bangsa
di halaman ibunda meredup kuntum-kuntum maju jaya
SUARA GENERASI
Aminudin Mansor
Di dada bumi ini
masih terngiang suara
generasi pertama pencetus
kemerdekaan negara tercinta
darah ada air mata mereka
membasah tiap ruang bumi kita
menyusun peradaban budaya
menegak kedaulatan bahasa
memperkasa perpaduan bangsa.
Generasi kedua gagah perkasa
memahami realiti hidup di Malaysia
sopan susila berbudi bahasa
merapatkan muafakat masyarakat
mengungkap kata bertegur sapa
menjauh balah ribut sengketa
menajam akal pancaran minda
memegang glokal meneroka dunia.
Generasi ketiga cekal semangatnya
berani merempuh gelombang globalisasi
tak gentar meneroka langit terbuka
bisa menjelajah ke angkasa raya
mendaki puncak semangat memuncak
perjuangan mendaulat martabat
demi kesatuan dan keutuhan bangsa
memperbaharui azam kejap iltizam.
Bangsaku, bersatulah
dalam satu suara berani
demi cinta pada bumi ini
tanah indah tanah damai
di dunia sebelah sini.
Bumi bertuah menempa sejarah
membina peradaban gemilang
kekal namamu dijulang
gah di singgahsana kemakmuran
Malaysia tanah air terbilang.
SUMPAH ANAK BANGSA
Yusmiyani Yusof
Suara keramat kemerdekaan berdesir ke pelosok maya
menghimpun seluruh duka yang berabad terpalit
pada lumpur perjuangan para perwira berpusaradalam ratap tangis penuh air mata
bergenang dalam kolam kesyahduan mengenangi
jasad pahlawan bangsa yang kecundang diratah
rakus peluru-peluru penjajah
tanggal Ogos tercipta seharah tanah watan ini sejahtera
merdeka
berkemilau rahmat sentosa di wajah anak-anak bangsa
melaung gema keramat pada bumi yang dipijak
berselubung pada langit dijunjung
mencipta saujana tamadun bukan lagi berkokok di bawah
tempurung
mengusir jelaga kedaifan di gubuk kemiskinan
dengan sergam kemakmuran melestari tanah negeri
bangsa bermaruah yang berganding merentas era globalisasi
dengan genggam jari-jemari harmoni para generasi
menggapai bintang di puncak langit tinggi
watan gemilang yang bertunjang kukuh jati diri.
Telah separuh abad kita teguk manis kemerdekaan
menghirup wangi madu keselesaan
telah lima puluh usia kita hitung aksara bahagia
mengepal erat kuntum kemakmuran
pada setiap langkah melewati batas perancangan
mengatur pelan pembangunan
merancakkan landskap kemajuan
silih berganti wajah perkasa para hulubalang bangsa
menebas rimba kefakiran dengan pedang iltizam
cekal mencantas selumbar berduri kemunduran
hingga jagat raya ini tersohor seantero dunia
BAHAGIAN B
SYAIR
SYAIR KEMANGKATAN SULTAN SULAIMAN
Deli tua negerinya itu
Kotanya kukuh berpagar batu,
Pasarnya ramai bukan suatu,
Tiada bertanding di zaman itu.
Baginda berputera tiga orang jua,
Laki-laki konon putera yang tua,
Puteri cantik putera kedua,
Parasnya elok jarang tersua.
Putera yang bongsu laki-laki jua,
Parasnya elok tiadalah dua,
Menarik hati orang semua,
Dikasihi rakyat muda dan tua.
Adapun akan dulu baginda,
Isterinya lama sudah tiada,
Banyak dicari gadis dan janda,
Hati baginda penuju tiada.
Beberapa lama demikian itu,
Di atas takhta konon sang ratu,
Dengan kehendak Tuhan yang satu,
Baginda pun gering suatu waktu.
Baginda nan gering bukan kepalang,
Badannya kurus tinggallah tulang,
Tabib pun selalu datang berulang,
Mengubati baginda raja terbilang.SYAIR WASIAT AYAHANDA SITI ZAWIYAHAda kepada suatu hati,
Sakit saudara laki isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.
Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.
Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.
Serta harta aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan
Faedahnya akan diberikan.
Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.
Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah fana,
Hanyalah tinggal badan merana.
SYAIR NASIHAT
(PENGHUJUNG THAMARAT AL-MUHIMMAH)
Abu Hassan Sham (Penyelenggara)
Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat kebajikan ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan ngeri.
Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.
Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.
Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.
Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.
SYAIR PERANG SAUDARA DI PAHANGMohd. Yusof Nor & Abd. Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Kisah nan tidak hamba panjangkan,
Ceritanya banyak lagi disebutkan,
Ini sekadar sahaja ringkaskan,
Kisah berperang pula diceterakan.
Putera laki-laki yang tuanya,
Ialah memangku paduka ayahandanya,
Perintah negeri terserah kepadanya,
Bendahara Tun Tahir konon namanya.
Encik Engku Ahmad seorang anakanda,
Putera yang tengah taja berida,
Lima orang laki-laki paduka anakanda,
Sikapnya elok lakunya syahda.
Selang tiada berapa lama,
Encik Engku Ahmad keluar mengembara,
Pergi belayar ke Singapura,
Sambil menghibur hati yang lara.
Pelayaran tiada berapa lamanya,
Sampailah sudah konon dianya,
Di Kampung Gelam tempat berhentinya,
Di dalam kota tempat diamnya.
Duduk bersama putera Sultan,
Tengku Jaafar namanya tuan,
Itulah konon menjadi taulan,
Duduk di sana terlalu hairan.
Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.SYAIR MENDAPAT GEMALA NAGAAnwar Ridhwan dan Rahman Shaari (Penyelenggara)
Dewa pun duduk ia bercerita,
Asal mulanya dapat sengsara,
Oleh disakitkan saudara,
Setahun sudah di dalam penjara.
Sekalian habis diceritakan,
Suatu tidak dilindungkan,
Terlalu belas naga mendengarkan,
Diambil gemalanya lalu diberikan.
Ambillah tuan muda bestari,
Gemala ini nenek memberi,
Harganya itu tujuh buah negeri,
Apa kehendak keluar sendiri.
Jikalau orang terkena bisa,
Airnya sapukan beri berasa,
Jika ditolong Tuhan Yang Esa,
Dengan seketika beroleh sentosa.
Atau cucuku hendak berperang,
Di dalam gemala keluarlah orang,
Beribu keti banyaklah orang,
Dua belas hulubalang yang garang-garang.
Setelah dewa mendengarkan kata,
Terlalu suka di dalamnya cita,
Lalu bermohon keduanya serta,
Menuju jalan tanah yang rata.
SYAIR LI-ATTAR GHIBAbu Hassan Sham (Penyelenggara)
Wahai sayangnya akan saudara,
Sebab bersama-sama mengembara,
Tiada pernah muafakatnya cedera,
Segala pekerjaan segala perkara.
Dengan kehendak Tuhan yang mulia,
Dua orang saudara meninggalkan dunia,
Hendak disusahkan tiada berdaya,
Kerana perbuatan Tuhan yang sedia.
Melainkan hamba berbanyak sabar,
Akan perintah Wahid al-Khahar,
Ialah Tuhan bersifat Jabbar,
Akan hambanya kecil dan besar.
Kita pun kelak demikian itu,
Meninggalkan dunia juga yang tentu,
Tidak memilih raja dan ratu,
Semuanya itu pergi ke situ.
Hendaklah kita tunduk tengadah,
Lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah,
Adil dan insaf jua berfaedah,
Menaikkan kita pangkat saadah.
Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
Kesenangan hidupnya dikira-kira,
Istimewa pula sanak saudara,
Jangan sekali diberi cedera.SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJAHarun Mat Piah (Penyelenggara)
Ingat pesanku wahai belia,
Jangan berdusta jangan perdaya,
Jangan fikir kasihkan kaya,
Jangan boros yang sia-sia.
Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.
Judi dan arak jangan biasa,
Lucah dan cabul jangan selesa,
Usah bertemu ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.
Jalan meminjam jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung pada orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.
Meminta jangan meminjam pun jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan mutah pandangan.
Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.
SYAIR BERBUAT JASA
Harun Mat Piah (Penyelenggara)
Buatlah jasa wahai teruna,
Hidupmu biar memberi guna,
Kamu yang mati jasa tak fana,
Asalkan buahnya elok sempurna.
Banyakkan khidmat besar dan seni,
Serahkan kepada Tuhan Rabbani,
Jasa yang kekal berfaedah murni,
Umur yang kedua bagi insani.
Hidup manusia jangan percuma,
Buatlah bakti budi utama,
Selagi baiknya kekal menjelma,
Si mati hidup selama-lama.
Buatlah baik sedaya upaya,
Hidup berbakti memberi cahaya,
Sumbu pelita tidak sia-sia,
Terbakar dirinya menerangi raya.
Jangan menilik balas dan puji,
Atau pahalanya dikaji-kaji,
Rasa demikian tamak dan keji,
Padalah baiknya tinting dan uji.
Pahala dan balas jangan dihitung,
Ataupun bintang di dada beruntung,
Asalkan jasamu padat berdentung,
Cukuplah di situ mulai tergantung.SYAIR DEFINISI ORANG BERAKALOrang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.
Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam-macam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.
Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.
Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.
Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.
Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.
SYAIR SITI SIANAH
Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di keningnya,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.
Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ia elok tiada terhingga.
Setengah perempuan sangat pesolek,Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
Kanan dan kiri dibelek-belek.
Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batangnya,
Seperti buaya besar mulutnya.
Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuhi rambut kepala,
Rambut yang sikit disiputnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.
Terkadang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan, lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.
SYAIR MAKNA RIAK
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.
Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.
Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.
Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.
Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ia cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.
Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.SYAIR PEMBERONTAKAN PATANIMohd Yusof Md Nor dan Abd. Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Laksamana dititahkan Betara,
Ke negeri Patani berjalan segera,
Mendapat cogan Raja Senggora,
Akan menerima hukum dan dera.
Barang yang hendak dihukumkan,
Sekalian tidak boleh disalahkan,
Kesalahan pinta dimaafkan,
Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.
Setelah demikian titah Betara,
Laksamana tiada berani dura,
Kerana negeri hendak dipelihara,
Kelak menjadi huru-hara.
Bonda Duli Mahkota Indera,
Pada Laksamana emak saudara,
Sakit terlantar hampir bermara,
Meninggalkan dia tiada terkira.
Daripada kerja terlalu berat,
Ke atas negeri hendak mudarat,
Jadilah dititahkan duli hadirat,
Bimbang dan masyghul disuruh kerat.
Tiada lagi terkata-kata,
Sudah dengan titah Sang Nata,
Diputuslah hati yang bercinta,
Kepada Allah diserah semata.
RUJUKAN
A. Ghafar Ibrahim (Penyelenggara), 1992. Suara Anak Merdeka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Kamal Abdullah dan Ahmad Razali Haji Yusoff (penyelenggara), 1988. Malaysia dalam Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Kamal Abdullah dan Ahmad Razali Haji Yusoff (penyelenggara),1990. Puisi Baharu Melayu 1961-1986. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan PustakaAhmad Sarju, 2007. Permata Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bunga Kekasih, 2009. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chai Loon Guan, 2008. Di Padang Kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Di Atas Mimba Merdeka, 1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peter Augustin Goh, 2007. Cetusan Kalbu Seorang Penyair. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamaruzzaman A. Kadir (penyelenggara), 1990. Lagu Kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zalila Sharif dan Hasni Abas (penyelenggara), 2005. Tanah Airku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber Syair
Antologi Teks Komsas Tingkatan Satu: Kasut Kelopak Jantung
1. Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman
2. Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah
Antologi Teks Komsas Tingkatan Dua: Gema Sepi Gadis Genius1. Syair Nasihat (Penghujung Thamarat al-Muhimmah)
2. Perang Saudara di Pahang
3. Syair Mendapat Gemala Naga
Antologi Teks Komsas Tingkatan Tiga: Harga Sebuah Lukisan1. Syair Li-Attar Ghib2. Syair Panduan untuk Remaja
3. Syair Berbuat Jasa
Antologi Teks Komsas Tingkatan Empat: Harga Remaja
1. Syair Definisi Orang Berakal
2. Syair Siti Sianah
Antologi Teks Komsas Tingkatan Lima: Dirgahayu Bahasaku1. Syair Makna Riak
2. Syair Pemberontakan Patani
49