1
UCAPAN BAJET 2013
OLEH
Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HJ. AMAN KETUA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN SABAH
DI
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA
19 OKTOBER 2012 (JUMAAT)
“PENYATUAN USAHA KE ARAH
KESEJAHTERAAN RAKYAT YANG BERTERUSAN”
2
Bismillahir Rahmannir Rahim,
Tuan Speaker,
01. Saya mohon mencadangkan Bajet Negeri Sabah bagi tahun 2013
untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.
Pendahuluan 02. Alhamdulillah, sukacita saya merafakkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan
kehendak dan izin-Nya jua, dapatlah saya menyempurnakan amanah
serta tanggungjawab dalam membentangkan Bajet Negeri Sabah bagi
tahun 2013 di Dewan yang mulia ini.
Tuan Speaker, 03. Seperti yang kita sedia maklum, pembentangan Bajet Negara
telah disempurnakan pada 28 September 2012. Telah menjadi
pengetahuan umum bahawa Bajet Negara 2013 menyediakan pelbagai
manfaat kepada semua golongan masyarakat. Tidak ketinggalan, negeri
Sabah juga telah diberikan fokus melalui strategi-strategi dan
peruntukan-peruntukan khusus dalam usaha meningkatkan lagi
pembangunan dan kemajuan negeri ini. Untuk itu, saya bagi pihak
Kerajaan Barisan Nasional Negeri, ingin mengucapkan terima kasih
yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk
Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang kita kasihi di atas
segala bantuan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Jumlah
3
peruntukan besar yang disediakan untuk negeri Sabah melalui Bajet
Negara tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya amat besar ertinya
kepada rakyat di negeri ini dalam mana mereka dapat bersama-sama
mengecapi nikmat pembangunan berterusan yang sentiasa
diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
04. Negeri Sabah, bumi bertuah yang kita warisi turun temurun ini,
bukan sahaja terkenal dengan kepelbagaian dan keharmonian suku
kaum dan etniknya, tetapi juga tersohor dengan kekayaan khazanah
alamnya yang unik dan menarik. Dengan keindahan dan
keistimewaannya yang tersendiri, Sabah termasyhur kerana puncak
Kinabalunya dan juga gugusan pulau-pulaunya yang indah. Sabah
begitu sinonim dengan kehijauan khazanah hutan tropika dan kebiruan
khazanah samuderanya. Lebih daripada itu semua, Sabah tersohor
kerana kekayaan budaya, adat resam, keramahan, perpaduan dan
kemuliaan pekerti rakyatnya.
05. Keamanan, keharmonian dan sikap toleransi di kalangan
penduduk negeri ini merupakan suatu keunikan dan kelebihan bagi
negeri Sabah yang boleh kita banggakan. Faktor-faktor ini juga adalah
antara penyumbang kemakmuran dan kemajuan di negeri ini. Dengan
kepesatan pembangunan yang telah dan sedang berlaku sekarang,
Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat akan terus menggembleng usaha
dan perancangan bagi mempertingkatkan lagi kemajuan dan kualiti
hidup rakyat di negeri yang tercinta ini.
4
Tuan Speaker,
06. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan
mengutamakan kepentingan rakyat semasa menentukan sasaran dalam
program-program pembangunan yang dirancang. Pelaksanaan
program-program secara telus, efisien dan yang membawa manfaat
kepada rakyat, adalah agenda utama Kerajaan Negeri. Kekayaan
sumber alam semulajadi dimantapkan lagi dengan Dasar Halatuju dan
dasar pembangunan kerajaan yang padu dan jitu, membolehkan kita
membuat perancangan yang teratur dan strategik selaras dengan visi
dan misi kerajaan negeri. Dengan Akaun Hasil Disatukan yang kukuh
melebihi RM3 bilion, ditambah pula dengan rekod hasil negeri yang
tertinggi dalam tahun 2011 sebanyak RM4.369 bilion serta disokong
oleh jentera pentadbiran awam yang cekap, membolehkan kita untuk
meningkatkan tahap pembangunan secara berterusan. Kapasiti
Kerajaan Negeri untuk membelanjakan peruntukan yang disediakan
memberi jaminan bahawa setiap program dan projek yang dirancang
dapat dilaksanakan secara berkesan demi kebaikan dan faedah kepada
rakyat. Ini telah terbukti melalui pencapaian pada tahun 2011 di mana
Kerajaan Negeri telah merekodkan perbelanjaan mengurus tertinggi
berjumlah RM4.4bilion. Inilah prestasi cemerlang dan komitmen tinggi
Kerajaan Barisan Nasional dalam memastikan “Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan”. Justeru, dengan berlatar belakangkan
keistimewaan, keunikan dan kemakmuran bumi bertuah ini, bajet yang
akan saya bentangkan ini adalah untuk memastikan kesinambungan
kemakmuran dan kesejahteraan hidup yang kita nikmati selama ini,
insyaAllah.
5
Tuan Speaker,
Ekonomi Dunia
07. Kadar pertumbuhan ekonomi dunia dijangka meningkat daripada
3.5 peratus pada tahun 2012 kepada 3.9 peratus pada tahun 2013.
Ekonomi Amerika Syarikat dijangka berkembang pada 2.3 peratus pada
tahun 2013 berbanding dengan 2 peratus pada tahun 2012. Disebabkan
krisis hutang di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU), kadar
pertumbuhan ekonomi di negara-negara berkenaan secara
keseluruhannya diramal agak lembab bagi sebahagian besar tahun
2012 dan mungkin hanya meningkat 0.7 peratus pada tahun 2013.
08. Pertumbuhan ekonomi Jepun dijangka berkembang sederhana
pada kadar 1.5 peratus untuk tahun 2013 berbanding 2.4 peratus pada
tahun 2012. Secara keseluruhannya, ekonomi negara-negara maju
dijangka meningkat daripada 1.4 peratus pada tahun 2012 kepada 1.9
peratus pada tahun 2013. Pertumbuhan ini adalah disebabkan oleh
dasar-dasar kewangan yang liberal ( liberal monetary policies ) dan
langkah-langkah pelonggaran kuantitatif yang dilaksanakan oleh
beberapa negara.
09. Negara-negara ekonomi baru muncul dijangka berkembang pada
kadar 5.9 peratus pada tahun 2013, berbanding 5.6 peratus pada tahun
2012. Dalam kes negara China, ekonominya diunjurkan meningkat
daripada 8 peratus pada tahun 2012 kepada 8.5 peratus pada tahun
2013. Sementara itu, kadar pertumbuhan ekonomi India dijangka
meningkat daripada 6.1 peratus pada tahun 2012 kepada 6.5 peratus
pada tahun 2013. Pertumbuhan ekonomi ASEAN 5 (Indonesia,
6
Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam) diunjurkan pada 6.1 peratus
dalam tahun 2013, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2012.
Tuan Speaker,
Ekonomi Malaysia
10. Malaysia sebagai sebuah negara dengan ekonomi terbuka adalah
dipengaruhi oleh keadaan pasaran yang tidak menentu dan berhadapan
dengan cabaran ekonomi global. Namun, Malaysia mampu mencapai
kemajuan seterusnya ke arah negara berpendapatan tinggi pada tahun
2020. InsyaAllah, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka
berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus pada tahun 2012.
Peningkatan ini disebabkan oleh prestasi yang stabil bagi semua sektor
kecuali sektor pertanian. Sektor pembinaan merupakan sektor utama
yang memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini dengan
kadar pertumbuhan 15.5 peratus, diikuti dengan sektor perkhidmatan
pada kadar 5.5 peratus dan 4.2 peratus untuk sektor pembuatan.
Pencapaian ini telah meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap
Malaysia dengan kemasukan pelaburan langsung asing (Foreign Direct
Investment ) berjumlah RM13.6 bilion pada suku pertama tahun ini.
11. Ekonomi negara dijangka kukuh dengan unjuran pertumbuhan
antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2013. Pertumbuhan
ekonomi negara didorong oleh peningkatan pelaburan swasta sebanyak
13.3 peratus dan penggunaan swasta dengan kadar 5.7 peratus. Kadar
pengangguran juga dijangka menurun daripada 3.1 peratus pada tahun
2012 kepada 3 peratus pada tahun 2013. Penekanan akan diberikan
kepada beberapa usaha, termasuk meningkatkan aktiviti pelaburan,
7
menggiatkan inovasi dan produktiviti, memajukan pendidikan dan latihan
serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Tuan Speaker,
Ekonomi Negeri Sabah
12. Ekonomi negeri Sabah berorientasikan perdagangan yang
didorong oleh eksport komoditi khususnya minyak sawit dan petroleum
mentah. Bagi sektor makanan dan tenaga pula, permintaan untuk
kedua-dua komoditi ini dijangka akan kekal stabil walaupun ekonomi
global adalah lembab. Pertumbuhan ekonomi bagi rakan-rakan
perdagangan eksport terbesar Sabah iaitu China, Australia dan India
juga diramal akan kekal stabil. Untuk tempoh lima bulan pertama pada
tahun ini, eksport negeri terus berkembang pada kadar 7.2 peratus
dengan nilai mencecah RM20.7 bilion, manakala import pula telah
meningkat pada kadar 30 peratus dengan jumlah mencecah RM16
bilion. Import bagi jentera serta kelengkapan pengangkutan dan barang-
barang keluaran kilang, masing-masing telah berkembang sebanyak 45
peratus dan 65 peratus. Pertumbuhan tinggi tersebut mencerminkan
pelaburan besar oleh sektor swasta iaitu sebanyak RM10 bilion pada
suku tahun pertama tahun ini yang mana ianya juga merupakan
pelaburan swasta yang tertinggi di Malaysia. Jumlah pelaburan yang
diluluskan di bawah sektor pembuatan untuk tujuh bulan pertama pada
tahun ini ialah sebanyak RM5.7 bilion. Sebahagian besar daripada
jumlah pelaburan ini disumbangkan oleh Petronas melalui projek
Ammonia Dan Urea Sabah (SAMUR). Pelaburan dalam Koridor
Pembangunan Sabah juga semakin aktif dengan jumlah pelaburan
terkumpul direalisasikan (cummulative realized investment) melalui
8
Projek-projek Permulaan (Entry-Point Projects) setakat bulan Julai 2012
sebanyak RM9.43 bilion.
Tuan Speaker,
13. Berdasarkan unjuran, senario ekonomi negeri pada masa hadapan
adalah cerah dan mempunyai prospek yang baik di mana beberapa
projek swasta berimpak tinggi yang dibiayai melalui kerjasama awam
dan swasta dijangka akan memainkan peranan dan menjadi pemangkin
dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri. Pada masa ini, terdapat
pelbagai projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan yang
merangkumi beberapa sektor termasuklah sektor minyak, gas dan
tenaga, pelancongan, pertanian dan pembangunan hartanah bersepadu
berkos tinggi (high end integrated real estate development). Pada masa
yang sama, dengan pelaksanaan pelbagai program seperti Program
Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP),
Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan mengambil kira pelbagai
inisiatif seperti yang telah diumumkan dalam Bajet Nasional 2013,
pertumbuhan ekonomi Negeri dijangka akan dapat ditingkatkan lagi.
14. Walaupun pertumbuhan sektor luaran diramalkan akan tumbuh
sederhana di sebalik cabaran-cabaran ekonomi global, ekonomi negeri
Sabah dijangka akan kekal stabil disebabkan oleh sokongan daripada
pelaburan awam dan swasta serta penggunaan domestik yang kukuh.
Oleh yang demikian, ekonomi negeri diunjurkan berkembang di antara 5
hingga 6 peratus pada tahun 2013.
9
PRESTASI KEWANGAN NEGERI SABAH Tuan Speaker,
15. Selaras dengan peraturan-peraturan kewangan yang ditetapkan,
sumber dan perbelanjaan kewangan negeri ini sentiasa diurus secara
berhemat, berkesan dan efisien. Ketua Audit Negara telah mengiktiraf
negeri Sabah sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai rekod
terbaik dalam pengurusan kewangan. Dengan kecemerlangan ini, bagi
tahun 2011, negeri Sabah sekali lagi telah dianugerahkan “Sijil Tanpa
Teguran” ( Clean Bill ) yang menjadikan penganugerahan ini
mencatatkan rekod selama 12 tahun berturut-turut.
16. Bilangan Jabatan dan Agensi yang mencapai penarafan empat
bintang di bawah Indeks Akauntabiliti telah meningkat dua kali ganda
untuk penilaian tahun 2011. Ini menunjukkan lebih banyak
jabatan/agensi yang telah mengamalkan sistem pengurusan kewangan
yang baik dan teratur. Sukacita saya memaklumkan di Dewan yang
mulia ini bahawa enam (6) jabatan/agensi yang telah berjaya mendapat
penarafan empat (4) bintang pada tahun 2011 ialah:
i. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri;
ii. Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri;
iii. Jabatan Bendahari Negeri Sabah;
iv. Jabatan Cetak Kerajaan;
v. Lembaga Bandaran Kudat; dan
vi. Korporasi Pembangunan Desa.
10
Syabas dan tahniah diucapkan kepada jabatan/agensi berkenaan dan
sesungguhnya mereka inilah yang akan menjadi ‘role model’ kepada
Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi lain untuk menambahbaik
pengurusan kewangan masing-masing.
17. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, negeri Sabah adalah
sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Khazanah
itu termasuklah bahan mineral, biodiversiti tanah pertanian dan warisan
budaya yang merupakan asas atau tulang belakang terhadap
pertumbuhan ekonomi negeri ini. Dengan mengambilkira kekayaan
berkenaan serta kedudukan fiskal negeri yang mantap serta kapasiti
untuk melaras kutipan hasil negeri, RAM Rating Services Berhad sekali
lagi telah memberikan penarafan “AAA” ( Triple A ) kepada negeri
Sabah untuk 4 tahun berturut-turut. Manakala, untuk pengurusan dan
proses bajet negeri yang teratur dan mematuhi peraturan, Moody
International pada tahun 2012 ini telah sekali lagi memberikan pensijilan
MS-ISO 9001:2008 yang mana ini merupakan pencapaian cemerlang
selama 4 tahun berturut-turut.
18. Dengan galakan, pengiktirafan dan rekod pencapaian yang
cemerlang seperti dinyatakan tadi, kita perlu terus berusaha untuk
memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi untuk manfaat
semua lapisan rakyat tanpa mengira bangsa, agama, umur, gender,
status, kedudukan, sektor dan kawasan.
11
OBJEKTIF DAN STRATEGI BAJET 2013
Tuan Speaker,
19. Dalam memastikan matlamat untuk memberi kesejahteraan dan
kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini melalui Bajet 2013, saya
meminta semua Kementerian dan Jabatan untuk mengurus dan
melaksanakan bajet 2013 demi mencapai objektif utama seperti berikut:
i. mengukuhkan kedudukan kewangan negeri ;
ii. menambah baik infrastruktur asas dan prasarana awam;
iii. mempercepatkan pencapaian halatuju;
iv. membangunkan belia dan modal insan yang bernilai dan
berkualiti tinggi;
v. membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf kualiti hidup
rakyat; dan
vi. mencapai pembangunan wilayah yang seimbang.
HASIL NEGERI
Tuan Speaker,
20. Hasil Negeri Sabah dianggarkan berjumlah RM3.828 bilion pada
tahun 2013 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 3.73 peratus
dibandingkan dengan anggaran asal tahun ini berjumlah RM3.690
bilion. Dengan mengambilkira bahawa hasil purata Negeri Sabah bagi
tempoh tiga tahun yang lalu (2009-2011) yang berjumlah dalam
lingkungan RM3.8 bilion setahun, maka Kerajaan Barisan Nasional
12
Negeri yakin bahawa sasaran kutipan hasil yang ditetapkan pada tahun
hadapan adalah munasabah. Oleh yang demikian, Kerajaan tidak
berhasrat untuk memperkenalkan cukai baru atau meningkatkan kadar
cukai sedia ada.
21. Berdasarkan prestasi kutipan hasil negeri setakat ini, anggaran
hasil disemak bagi tahun 2012 dijangka mencapai RM4.022 bilion iaitu
meningkat sebanyak 8.97 peratus berbanding anggaran asal. Royalti
Petroleum yang merupakan salah satu sumber utama hasil negeri telah
merekodkan penerimaan berjumlah RM941.25 juta berbanding
anggaran asal berjumlah RM774.6 juta. Di samping itu, beberapa
sumber hasil yang dijangkakan dapat menyumbang lebih daripada
anggaran asal termasuklah Cukai Jualan, Hasil Tanah, Terimaan
Daripada Pejabat-pejabat Daerah dan Pemberian daripada Kerajaan
Persekutuan. Sekiranya keadaan seperti ini berterusan ke tahun
hadapan maka kita berkeyakinan penuh bahawa Kerajaan Negeri akan
terus menikmati kutipan hasil negeri pada tahap RM4 bilion.
22. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Hasil Negeri Sabah
diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan
Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka menyumbang
sebanyak RM1.225 bilion atau 32 peratus. Sumber utama dalam
kategori ini ialah Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah yang
dijangka menyumbang sebanyak RM1.05 bilion atau 27.43 peratus
daripada jumlah keseluruhan hasil negeri pada tahun 2013. Hasil
Bukan Cukai dianggarkan berjumlah sebanyak RM2.26 bilion atau
59 peratus. Dua penyumbang utama dalam kategori ini ialah
Royalti Petroleum dengan anggaran sebanyak RM1 bilion atau 26.2
peratus serta Faedah dan Perolehan dari Pelaburan sebanyak
13
RM691.56 juta atau 18.06 peratus daripada jumlah hasil. Selebihnya
sebanyak RM343.28 juta atau 9 peratus lagi adalah dari kategori
Terimaan Bukan Hasil yang sebahagian besarnya adalah
Pemberian dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan.
Tuan Speaker,
23. Sejak tahun 2008, penyumbang utama kepada hasil negeri
Sabah adalah Cukai Jualan atas Minyak Kelapa Sawit dan Royalti
Petroleum yang mana kedua-dua sumber ini dijangka menyumbang
sebanyak 51.33 peratus pada tahun ini dan 53.63 peratus daripada
jumlah hasil pada tahun hadapan. Usaha Kerajaan Negeri memberi
lebih fokus dalam pengurusan pelaburan agar tidak terlalu
bergantung kepada kedua-dua sumber tersebut, sedikit sebanyak
telah membuahkan hasil. Ini terbukti dengan kutipan hasil sebanyak
RM928.03 juta pada tahun 2011 melalui "Faedah dan Perolehan dari
Pelaburan". Untuk tahun ini pula, hasil melalui sumber ini dijangkakan
dalam lingkungan RM820 juta diikuti dengan anggaran sebanyak
RM691.56 juta pada tahun hadapan.
TEMA BAJET 2013 “PENYATUAN USAHA KE ARAH
KESEJAHTERAAN RAKYAT YANG BERTERUSAN”
Tuan Speaker,
24. Hasil kesinambungan usaha pembangunan yang dibuat melalui
Bajet tahun-tahun sudah, negeri Sabah semakin makmur dan kualiti
kehidupan rakyat kini bertambah baik dan bertambah sejahtera. Dengan
14
unjuran hasil berjumlah RM3.828 bilion bagi tahun 2013 yang
merupakan satu anggaran yang tertinggi dalam sejarah penyediaan
bajet negeri ditambah lagi dengan kedudukan Akaun Hasil Disatukan
negeri yang kukuh melebihi RM3 bilion, maka kita mampu merancang
dan menyediakan satu bajet yang besar demi pembangunan,
kesejahteraan dan kemakmuran berterusan negeri yang dicintai ini.
Untuk siapakah semua ini kalau bukan untuk rakyat dan warga Sabah
yang kita kasihi !
Tuan Speaker,
25. Momentum pembangunan negeri ini bukan sahaja perlu
dikekalkan malah hendaklah diperhebatkan. Sehubungan itu,
Kerajaan Barisan Nasional Negeri menyediakan peruntukan yang
terbesar dan lebih tinggi pada tahun 2013 berbanding Bajet Tahun
2012. Strategi Bajet 2013 telah disusun dan dirangka dengan
memberi penekanan kepada usaha-usaha murni yang akan
menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat yang
berterusan. Maka dengan itu Tuan Speaker, bertepatan dengan
tema Bajet 2013 iaitu “PENYATUAN USAHA KE ARAH
KESEJAHTERAAN RAKYAT YANG BERTERUSAN”, izinkan saya
membentangkan Perbelanjaan Perbekalan bagi tahun 2013 yang
merupakan satu bajet yang terbesar dalam sejarah kewangan
negeri ini iaitu sebanyak RM4.088 bilion!
15
ANGGARAN PERBEKALAN DAN PEMBANGUNAN TAHUN 2013
ANGGARAN PERBEKALAN Tuan Speaker,
26. Cadangan Anggaran Emolumen bagi tahun 2013 adalah sebanyak
RM663.17 juta, pertambahan sebanyak RM39.51 juta atau 6.34 peratus
berbanding dengan anggaran sebanyak RM623.66 juta dalam tahun
2012. Peningkatan perbelanjaan emolumen ini adalah berpunca dari
keperluan pelarasan gaji kakitangan kerajaan yang dilaksanakan pada
tahun 2012.
27. Sebanyak RM1,087.93 juta adalah disyorkan untuk Perbelanjaan
Berulang bagi tahun 2013. Anggaran Perbelanjaan Berulang bagi tahun
hadapan berkurangan sebanyak RM32.92 juta atau 2.94 peratus
berbanding dengan anggaran Perbelanjaan Berulang Tahun 2012
sebanyak RM1,120.85 juta. Pengurangan ini adalah disebabkan
pendekatan perbelanjaan yang lebih berhemat melalui pengawalan
perbelanjaan yang tegas dan pengurusan perbelanjaan yang cekap.
28. Bagi Perbelanjaan Khas, sebanyak RM2,337.38 juta adalah
dicadang untuk dibelanjakan pada tahun 2013. Peningkatan peruntukan
bagi Perbelanjaan Khas antaranya disebabkan oleh peningkatan dalam
jumlah Caruman Wang Pembangunan daripada RM500 juta dalam
tahun 2012 kepada RM800 juta dalam tahun 2013. Ini merupakan
caruman terbesar yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri.
16
ANGGARAN PEMBANGUNAN
Tuan Speaker,
29. Seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi, momentum
pembangunan negeri ini bukan sahaja perlu dikekalkan malah
hendaklah terus diperhebatkan. Sehubungan itu, sejumlah RM2.42
bilion adalah disediakan untuk Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun
2013. Anggaran ini melibatkan sebanyak RM1bilion pembiayaan
Kerajaan Negeri dan RM1.42bilion adalah sumbangan peruntukan
daripada Kerajaan Persekutuan.
30. Sumbangan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan
melibatkan Peruntukan Imbuh Balik Persekutuan sebanyak RM
35.4 juta, Pinjaman Persekutuan sebanyak RM186.07 juta dan
Pemberian Secara Langsung (Geran) berjumlah RM1.19bilion. Saya,
bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat di
atas sumbangan ini.
Tuan Speaker,
31. Sebahagian besar daripada Anggaran Pembangunan tahun 2013,
iaitu sebanyak RM2.07 bilion atau 85.71 peratus adalah diperuntukkan
kepada sektor ekonomi yang mana di antaranya adalah untuk
kemudahan asas yang diperuntukkan sebanyak RM988.23 juta,
RM763.7 juta untuk infrastruktur dan perhubungan manakala sebanyak
RM234.9 juta lagi untuk pertanian dan pembangunan tanah.
17
32. Daripada jumlah RM988.23 juta anggaran pembangunan yang
dicadangkan untuk kemudahan asas, RM480.67 juta adalah untuk
program bekalan air, RM400 juta untuk bekalan elektrik luar bandar dan
RM95.56 juta untuk projek-projek pembetungan. Sementara peruntukan
sebanyak RM12 juta adalah untuk menampung perbelanjaan
Sumbangan Modal berkaitan dengan projek-projek bekalan air dan
elektrik.
Tuan Speaker,
33. Pembangunan infrastruktur dan perhubungan disediakan
sebanyak RM763.7 juta. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak
RM742.95 juta adalah untuk jalanraya dan jambatan, RM13.5 juta untuk
pelabuhan dan dermaga dan RM7.25 juta untuk perkhidmatan keretapi.
34. Antara program utama di bawah pertanian dan pembangunan
tanah ialah program pengairan dan saliran diperuntukkan sebanyak
RM72.72 juta, projek-projek pengembangan pertanian sebanyak
RM42.06 juta dan program perkhidmatan haiwan sebanyak RM34.87
juta.
35. Sejumlah RM291.16 juta atau 12.03 peratus daripada jumlah
anggaran pembangunan tahun 2013 adalah diperuntukkan untuk sektor
sosial. Sebanyak RM181.92 juta daripada jumlah berkenaan adalah
untuk pembangunan luar bandar dan masyarakat yang akan
dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan
Jabatan Ketua Menteri. Manakala sejumlah RM71.66 juta
diperuntukkan untuk pembinaan dan penaiktarafan bangunan
keagamaan, kompleks-kompleks sukan dan pusat-pusat kebudayaan.
18
36. Sektor Pentadbiran Am diperuntukkan sebanyak RM29.75 juta
atau 1.23 peratus untuk pembiayaan projek-projek yang dilaksanakan
oleh Jabatan Tanah & Ukur dan pembinaan bangunan-bangunan
kerajaan.
37. Selaras dengan peranan, tanggungjawab dan fungsi masing-
masing sebagai agensi pelaksana utama Kerajaan, agihan peruntukan
Perbekalan dan Pembangunan 2013 yang dicadangkan mengikut
Kementerian adalah seperti berikut:
Kementerian Agihan
Perbekalan (RM) juta
Pembangunan (RM) juta
01. Kementerian Kewangan 1,893.57 27.00
02. Kementerian Pembangunan Infrastruktur 716.50 368.51
03. Jabatan Ketua Menteri 443.97 203.43
04. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 306.88 156.13
05. Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
139.49 8.50
06. Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
108.25 17.53
07. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
87.92 32.20
08. Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat
87.89 6.93
09. Kementerian Pembangunan Luar Bandar 68.00 103.92
10. Kementerian Belia dan Sukan 58.34 29.60
11. Kementerian Pembangunan Perindustrian 10.38 21.26
12. Perbelanjaan yang tidak termasuk dalam Kementerian-kementerian
23.63
13. Perbelanjaan Tanggungan 143.66
14. Simpanan Luar Jangka 25.00
Jumlah 4,088.48 1,000.01
19
PERUNTUKAN MENGIKUT SEKTOR Tuan Speaker,
38. Bajet 2013 akan terus memberi penekanan dan keutamaan
kepada program-program yang bertujuan memakmurkan negeri dan
mengukuhkan lagi kesejahteraan rakyat. Program-program berkenaan
termasuklah pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, program-
program dalam sektor Halatuju Negeri yang meliputi sektor pertanian,
pelancongan dan pembuatan, program pembangunan luar bandar
(membasmi kemiskinan), program pembangunan modal insan serta
program-program sosial dan kebajikan am.
Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Asas
Tuan Speaker,
39. Peruntukan sebanyak RM1.412 bilion adalah disediakan pada
tahun hadapan untuk membiayai pelbagai program pembangunan
infrastruktur dan kemudahan awam yang akan memberi impak
maksima ke arah meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat, khasnya
para penduduk di luar bandar. Ini juga sekaligus membantu merapatkan
jurang pembangunan di antara bandar dan luar bandar.
40. Program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam
termasuk projek-projek jalanraya untuk memberi kemudahan asas
kepada kawasan-kawasan yang dikenalpasti boleh merangsang
pertumbuhan sosio-ekonomi di samping memperluaskan lagi aksesibiliti
ke kawasan-kawasan terpencil. Prasarana bekalan air pula akan
dipertingkatkan untuk menampung peningkatan keperluan bekalan air di
20
samping mengatasi masalah-masalah bekalan air di beberapa kawasan
di negeri ini. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan
pembangunan infrastruktur maritim, baik dalam penyediaan kemudahan
maritim awam mahupun kemudahan pemunggahan kargo yang lengkap
di pelabuhan-pelabuhan utama di Sabah. Fokus ini adalah sejajar
dengan hasrat untuk membolehkan pelabuhan-pelabuhan di negeri ini
berdaya saing di kalangan pelabuhan-pelabuhan di rantau Asia.
Perkhidmatan keretapi sebagai pengangkutan alternatif yang moden
dan selesa juga akan terus dipertingkatkan.
Pembangunan Sektor Pembuatan
Tuan Speaker,
41. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sebanyak RM97.27 juta
untuk membiayai usaha-usaha yang akan memacu pertumbuhan sektor
pembuatan negeri. Usaha-usaha ini termasuklah pelaksanaan projek-
projek sokongan sektor pembuatan seperti penyediaan infrastruktur
asas pembuatan di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada seperti
Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC)
di Lahad Datu dan Sandakan, serta Sipitang Oil and Gas Industrial Park
(SOGIP). Sukacita saya memaklumkan bahawa dari bulan Januari
hingga Jun 2012, 24 syarikat perkilangan telah diluluskan dengan
jumlah pelaburan sebanyak RM4.86 bilion dan kesan daripada ini,
sebanyak 1,765 peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Daripada jumlah
pelaburan ini, RM4.69 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan
RM177.44 juta adalah daripada pelaburan asing.
21
Pembangunan Sektor Pertanian
Tuan Speaker,
42. Kerajaan Barisan Nasional Negeri amat komited untuk
memantapkan sektor pertanian negeri. Kementerian Pertanian dan
Industri Makanan selaku pemangkin dalam pembangunan sektor
pertanian memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan
kelangsungan projek pembangunan pertanian yang dilaksanakan oleh
kementerian itu dan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di
bawahnya.
43. Pelaksanaan program pembangunan pertanian yang akan dapat
meningkatkan produktiviti komoditi pertanian, meningkatkan tahap sara
diri komoditi makanan dan perluasan syer pasaran produk di pasaran
domestik dan antarabangsa akan diteruskan. Ini termasuklah program
pertanian yang dapat meningkatkan keluaran produk pertanian yang
ditambah nilai; pengeluaran produk-produk pertanian yang baru;
meningkatkan eksport produk-produk pertanian dan mengurangkan
import terutamanya produk makanan; meningkatkan produktiviti,
kecekapan, dan kemahiran para petani; serta meningkatkan program
inovasi dan pemprosesan produk. Pada masa yang sama juga, adalah
dijangkakan program pertanian yang dilaksanakan akan dapat
memberikan galakan terhadap penyertaan sektor swasta dalam aktiviti
pertanian dan diharapkan lebih ramai lagi usahawan sektor pertanian
yang mempunyai daya saing di peringkat global dapat diwujudkan.
22
44. Sebanyak RM375.58 juta diperuntukkan untuk pembangunan
sektor pertanian yang meliputi perikanan, haiwan dan pengairan.
Daripada jumlah tersebut, RM185.91 juta adalah untuk perbelanjaan
mengurus dan RM189.67 juta untuk pembiayaan program
pembangunan. Dengan peruntukan yang disediakan dan
penggemblengan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
dan jabatan/agensi di bawahnya, kerajaan yakin sektor pertanian negeri
akan terus agresif, berorientasikan komersial, berdaya saing dan dapat
menjamin kelestarian bekalan makanan negeri. Usaha ini dimantapkan
lagi dengan program-program yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan
seperti pewujudan ‘jelapang padi’ di Kota Belud yang diumumkan oleh
YAB Perdana Menteri dalam Bajet Negara baru-baru ini.
Pembangunan Sektor Pelancongan
Tuan Speaker,
45. Sektor pelancongan akan terus memainkan peranan penting
sebagai salah satu penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi
negeri. Bagi tahun 2012, Sabah menyasarkan seramai 2.93 juta
ketibaan pelawat dengan anggaran pendapatan sejumlah RM 5.191
bilion. Jumlah ketibaan pelawat ke Sabah untuk tempoh Januari hingga
Jun 2012 adalah seramai 1,372,525 orang. Jumlah tersebut
mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.7 peratus berbanding
tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dengan anggaran terimaan
daripada sektor pelancongan sebanyak RM 1.088 bilion. Dengan
pertumbuhan yang memberangsangkan ini, kita yakin sasaran ketibaan
pelancong tahun ini akan tercapai.
23
46. Bagi tahun 2013, Sabah menyasarkan seramai 3.105 juta ketibaan
pelawat dengan anggaran pendapatan berjumlah RM5.51 bilion. Bagi
mencapai sasaran ini, kerajaan akan terus berusaha dalam meyakinkan
syarikat penerbangan untuk meningkatkan jaringan aksesibiliti udara
dengan menambah penerbangan antarabangsa ke negeri Sabah sama
ada penerbangan terus (direct flights), penerbangan terus sewa khas
berjadual (Scheduled chartered flights) mahupun penerbangan terus
sewa khas (chartered flights).
47. Hasil daripada usaha yang berterusan melalui Lembaga
Pelancongan Sabah, Sabah kini mempunyai 116 penerbangan terus
antarabangsa dengan 16,210 kapasiti tempat duduk seminggu yang
menghubungkan Sabah dengan destinasi seperti Brunei, Hong Kong,
Shenzhen, Jakarta, Manila, Clark, Singapura, Seoul, Taipei dan Tarakan
yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia
Airlines (MAS), AirAsia, Royal Brunei Airlines, Dragon Air, Silk Air, Cebu
Pacific, Eastar Jet, Aseana, Korean Air, Tiger Air dan MASwings.
Pemeliharaan Alam Sekitar
Tuan Speaker,
48. Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, kita harus peka
dan prihatin terhadap perlindungan alam sekitar dan memastikan
dimensi alam sekitar disepadukan sepenuhnya dalam perancangan
pembangunan dan eksploitasi sumber-sumber semulajadi selaras
dengan prinsip pembangunan lestari. Ini penting kerana alam sekitar
bukan sahaja merupakan aset utama kepada sektor pelancongan negeri
tetapi ianya juga mendukung sektor ekonomi lain seperti pertanian dan
24
pembuatan dalam mencapai kestabilan dan kemajuan yang berterusan
di Sabah. Kerajaan juga akan terus berusaha bagi memantapkan lagi
langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang wajar dalam melindungi
kelestarian alam sekitar dan sumber-sumber asli di Sabah. Usaha murni
kerajaan ini dalam memelihara dan melindungi keindahan khazanah
hutan dan alam sekitar, telah menarik ramai pelancong dan para
penyelidik dari dalam dan luar negara. Ini termasuklah kunjungan
daripada pasangan diraja Britain, Duke and Duchess of Cambridge iaitu
Putera William dan isterinya Kate Middleton. Tujuan mereka
mengunjungi Sabah semata-mata hendak melihat sendiri dan menikmati
keindahan alam semulajadi yang terdapat di Lembah Danum dalam
daerah Lahad Datu. Pasangan diraja berkenaan telah terpegun dan
memuji usaha-usaha konservasi hutan hujan tropika yang sedang
dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan dengan
kerjasama Royal Society of London, United Kingdom. Sesungguhnya,
lawatan diraja tersebut telah memperkukuhkan lagi posisi negeri Sabah
di persada antarabangsa sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf
dunia.
Perkembangan Kebudayaan
49. Kebudayaan merupakan satu komponen penting bukan sahaja
sebagai pembentuk sahsiah diri dan tamadun suatu kaum tetapi juga
berperanan untuk membentuk jati diri serta mendorong ke arah bangsa
yang bersatu padu, cintakan seni budaya serta menghargai warisan
bangsa. Justeru, usaha pemeliharaan dan memperkasakan khazanah
warisan budaya akan dimantapkan lagi. Dengan itu, kerajaan melalui
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bersama-
sama jabatan dan agensinya, iaitu Jabatan Muzium Sabah dan
25
Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan meneruskan usaha
mempertahan, mengekalkan dan memelihara khazanah warisan
budaya, sejarah dan tamadun negeri Sabah serta menerapkan nilai-nilai
murni budaya etnik Sabah kepada masyarakat umum, terutamanya
generasi muda.
50. Bagi memantapkan sektor pelancongan, perkembangan
kebudayaan dan pemeliharaan alam sekitar, Bajet tahun 2013
menyediakan peruntukan sebanyak RM159.13 juta yang meliputi
RM141.6 juta perbelanjaan mengurus dan RM17.53 juta bagi
pembiayaan program pembangunan berkaitan pelancongan,
kebudayaan dan alam sekitar yang akan diagihkan kepada
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta enam
(6) agensi di bawahnya dan juga kepada Jabatan Perhutanan serta
Pusat Biodiversiti Sabah.
Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Luar Bandar Dan Membasmi
Kemiskinan Tegar
Tuan Speaker,
51. Agenda untuk pembasmian kemiskinan akan diteruskan di bawah
Rolling Plan ke tiga RMKe 10. Dalam Bajet 2013, peruntukan sebanyak
RM202.12 juta disediakan untuk pelaksanaan program-program
pembasmian kemiskinan dengan matlamat sasaran pensifaran miskin
tegar dan pengurangan miskin relatif.
26
52. Sukacita saya menekankan bahawa program-program
pembasmian kemiskinan tegar seperti program Mini Estet Sejahtera
(MESEJ) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar
Bandar dan Ladang-Ladang PPRT, satu program usahasama kerajaan
negeri dengan Kumpulan Sawit Kinabalu yang diperkenalkan sejak
beberapa tahun yang lalu telah menampakkan impak yang ketara dan
kini sedang mengeluarkan hasil .
53. Peserta-peserta Ladang PPRT Tongod dan Ladang PPRT
Kalabakan terdiri daripada 1,167 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT)
kini sedang menerima dividen masing masing bernilai RM400 sebulan
yang merupakan tambahan kepada pendapatan bulanan mereka
sekaligus membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan tegar.
54. MESEJ Sungai Laba, Pulau Sebatik di daerah Tawau dan MESEJ
Bunang 1 di daerah Keningau sudah mengeluarkan hasil sejak akhir
tahun 2011. MESEJ Bunang 2 (Liawan) di Keningau; MESEJ Labang
di Nabawan dan MESEJ Balat di Kinabatangan dijangka akan
mengeluarkan hasil dalam masa terdekat. Memandangkan
keberkesanan MESEJ sebagai mekanisme pembangunan
kesejahteraan rakyat khususnya Ketua Isi Rumah Miskin Tegar,
kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada program tersebut.
Pada tahun 2013, 4 buah MESEJ baru masing-masing di daerah
Beaufort, Kinabatangan, Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut akan
dilaksanakan sebagai tambahan kepada 44 buah MESEJ yang sedia
ada di seluruh negeri Sabah.
27
55. Selain program-program pembasmian kemiskinan yang saya
sebutkan tadi, kerajaan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM),
menyediakan kemudahan pinjaman kepada golongan miskin, mudah
miskin dan miskin tegar yang sebahagian besarnya melibatkan
golongan wanita. Kemudahan pinjaman diberikan untuk menjalankan
aktiviti keusahawanan dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan,
perniagaan jual beli, pemprosesan, pertukangan, jahit menjahit dan
perkhidmatan. Sehingga kini, YUM telah mengeluarkan pinjaman
kepada seramai 22,861 orang peminjam wanita termasuk ibu tunggal
yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM149 juta dengan kadar
bayaran balik pinjaman melebihi 95%. Syabas saya ucapkan kepada
golongan peminjam wanita ini. YUM akan terus membantu usahawan
wanita dengan menyasarkan penyerahan pinjaman berjumlah RM40 juta
pada tahun hadapan yang bakal dimanfaatkan oleh hampir 10,000
orang peminjam. Untuk membolehkan YUM memperluaskan
operasinya, maka dalam Bajet 2013, pemberian sebanyak RM7.5 juta
dicadangkan kepada YUM.
56. Kerajaan yakin dengan pelaksanaan pelbagai program
pembasmian kemiskinan ini dan disokong lagi oleh program-program
pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan
di negeri ini, masalah kemiskinan khususnya kemiskinan tegar di negeri
Sabah akan dapat ditangani dengan berkesan.
28
Pembangunan Modal Insan Dan ICT
Tuan speaker,
Modal Insan
57. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan pembangunan
Modal Insan. Modal Insan yang berkualiti, yang berkemahiran dan
terlatih adalah amat penting untuk memastikan pembangunan negeri ini
berjalan lancar. Pada tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak
RM261.27 juta untuk melaksanakan program-program latihan untuk
semua golongan rakyat khususnya belia. Kajian Sabah Manpower
Planning Requirement 2010-2025 Fasa 2 yang akan dilaksanakan
bertujuan untuk merangsang pembangunan modal insan yang lebih
kompeten dan memenuhi keperluan industri dan pembangunan negeri.
58. Dalam memupuk minat membaca di kalangan masyarakat,
Kerajaan akan terus mempergiat dan memantapkan pelaksanaan
program dan aktiviti ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan dalam
bidang keilmuan untuk pelbagai golongan masyarakat. Sebanyak
RM18.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perpustakaan Negeri untuk
memantapkan dan meningkatkan koleksi perpustakaan sesuai dengan
keperluan maklumat kepada rakyat.
59. Kerajaan juga akan membina beberapa buah bangunan
Perpustakaan baru pada tahun hadapan, antaranya di Tambunan dan
Kota Kinabalu. Cadangan pembinaan Perpustakaan baru Wilayah Kota
Kinabalu yang canggih, bercirikan teknologi hijau dan mesra pengguna,
dianggarkan menelan belanja dalam lingkungan RM40 juta. Pembiayaan
29
bagi pembinaannya adalah secara pembiayaan bersama antara
Kerajaan dengan syarikat konsesi air, Lahad Datu Water Supply Sdn.
Bhd, yang merupakan suatu tanggungjawab sosial korporat syarikat
berkenaan. Bangunan perpustakaan tersebut yang bakal dibina
bersebelahan dengan pusat riadah Taman Perdana Tanjung Aru, akan
menjadi pusat tumpuan ramai, sama ada mereka yang datang untuk
beriadah atau menimba ilmu pengetahuan di perpustakaan yang moden
itu.
60. Sebagaimana yang kita ketahui, Kementerian Pelajaran Malaysia
menyediakan Skim Bantuan Buku Teks untuk subjek akademik di
semua sekolah rendah dan menengah. Oleh kerana sekolah agama
islam yang ditadbir oleh kerajaan negeri tidak diliputi dalam skim
tersebut, maka saya mencadangkan peruntukan berjumlah RM3.625
juta dalam Bajet 2013 bagi pembelian buku teks untuk kegunaan
sekolah agama Islam di Sabah. Disamping itu, kerajaan juga akan
mengkaji masalah kekurangan guru-guru agama untuk sekolah-sekolah
agama di Sabah.
Pembangunan ICT
Tuan Speaker,
61. Sebanyak RM73.49 juta disediakan untuk pembangunan ICT pada
tahun 2013. Seiring dengan kemajuan teknologi masakini, penumpuan
dan penekanan akan terus diberikan untuk mempertingkatkan kualiti
perkhidmatan maklumat khusus untuk memenuhi permintaan yang
meningkat daripada masyarakat yang mendambakan maklumat dan
ilmu dengan cepat dan efisien. Dengan peruntukan sebanyak RM28
30
juta, kerajaan akan meneruskan usaha untuk merapatkan jurang digital
antara bandar dan luar bandar melalui penganjuran Latihan dan Kursus
ICT; Program memperkasakan Usahawan Tekno serta Program Kreatif
Arama-IT di semua daerah. Satu kajian awal mengenai pewujudan
Knowledge Park juga akan dijalankan. Di samping itu, usaha
peningkatan rangkaian Sabah.Net ke semua pejabat Kerajaan di seluruh
negeri akan diteruskan. Untuk itu, sejumlah RM29.5 juta diperuntukkan
bagi meneruskan Program E-government.
Pembangunan Belia dan Sukan
Negeri Sabah aman sentosa
Masyarakat hidup seia sekata
Belia progresif harapan bangsa
Mereka pewaris negeri tercinta
Tuan Speaker,
62. Dalam Bajet 2013, sebanyak RM80.07 juta disediakan untuk
program pembangunan belia dan sukan di bawah Kementerian Belia
dan Sukan. Dengan memfokuskan kepada pembangunan sukan untuk
semua dan sukan berprestasi tinggi, teras utama Perkhidmatan
Pembangunan Kecemerlangan Sukan adalah: Penglibatan aktif
Persatuan Sukan Peringkat Negeri; Pengukuhan Sukan Berprestasi
Tinggi; Pembangunan Industri Sukan; Pembangunan Kejurulatihan dan
Kepegawaian Sukan, serta penyediaan kemudahan dan kelengkapan
sukan. Ini adalah seiring dengan harapan kerajaan untuk mewujudkan
generasi yang terdiri daripada ahli sukan yang mampu mengharumkan
31
nama negeri dan negara di persada sukan kebangsaan dan juga
antarabangsa.
Tuan Speaker,
63. Kerajaan menyedari hakikat bahawa belia adalah aset terpenting
dan pewaris pucuk kepimpinan negeri di masa hadapan. Komuniti belia
adalah kelompok terbesar yang berpotensi memacu pembangunan dan
kemakmuran negeri khususnya dan negara amnya. Justeru, kita
mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan landasan dan asas
yang kukuh serta persekitaran yang kondusif untuk mencetuskan
transformasi pembangunan belia perkasa dan modal insan yang
mempunyai mindset yang tepat. Peruntukan sebanyak RM14.46 juta
disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan khusus bagi
pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia pada tahun 2013,
seperti Program Pembangunan Kepimpinan, Program Pembangunan
Kemahiran dan Keusahawanan; Program Jaringan Kerjasama dan
Program Pembangunan Sosial dan Perpaduan. Kerajaan juga
menyediakan peruntukan sebanyak RM240.68 juta untuk pelaksanaan
pelbagai program yang melibatkan belia yang akan dilaksanakan oleh
kementerian dan jabatan lain seperti Kementerian Pembangunan
Sumber dan Teknologi Maklumat, Jabatan Pembangunan Sumber
Manusia, Jabatan Pertanian dan lain-lain lagi.
32
Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am
Tuan Speaker,
64. Kerajaan juga amat prihatin untuk meringankan beban rakyat yang
memerlukan bantuan. Bajet 2013 memperuntukkan sejumlah RM87.05
juta untuk membiayai program Pembangunan Sosial dan Kebajikan Am
serta pelaksanaan pelbagai skim bantuan kepada rakyat. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak RM57.95 juta disalurkan kepada Jabatan
Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk melaksanakan pelbagai
program seperti Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak Yatim dan
Miskin, bantuan untuk orang kurang upaya dan kanak-kanak istimewa,
bantuan alat-alat ortopedik, tabung derma dan penyelenggaraan
bangunan warga emas.
Tuan Speaker,
Pembangunan Wanita
Bersukaria di kebun nyonya
Bawa sejambak bunga Melati
Golongan wanita apa kurangnya
Sentiasa menyumbang menabur bakti
65. Sumbangan wanita memberi impak yang besar dalam pelbagai
aspek pembangunan negeri. Sebagai sumber modal insan yang penting,
kerajaan adalah komited dalam usaha memperkasa kaum wanita yang
meliputi semua golongan termasuklah ibu-ibu tunggal, ibu-ibu bekerja,
suri rumah dan pelajar. Melalui jentera sedia ada termasuk pertubuhan
33
atau persatuan-persatuan wanita, pelbagai program telah dirancang
untuk dilaksanakan supaya wanita terus aktif dalam pembangunan dan
memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Bajet 2013
memperuntukkan sebanyak RM10.96 juta untuk melaksanakan
program-program pembangunan wanita. Program-program kepimpinan,
keusahawanan, keilmuan, perundangan, akan terus dilaksanakan di
samping memperkukuh aspek kesihatan dan sosio-ekonomi golongan
wanita. Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan
merangkumi bantuan kewangan, khidmat bimbingan dan nasihat serta
kemudahan berniaga dan perlindungan untuk kesejahteraan wanita.
Kuasa Tempatan
Tuan Speaker,
66. Dalam Bajet 2013, peruntukan sejumlah RM109.08 juta disediakan
kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Daripada jumlah peruntukan
tersebut, sebanyak RM76.88 juta adalah untuk perbelanjaan di bawah
perbekalan dan RM32.2 juta untuk program pembangunan. Kerajaan
akan memastikan peruntukan yang disediakan ini dibelanjakan dengan
lebih berhemat dan menumpukan kepada enam strategi utama iaitu:
Memantapkan pembangunan dan penyediaan infrastruktur serta
kemudahan-kemudahan asas; Meningkatkan program sosio-ekonomi
untuk membantu golongan kurang bernasib baik; Memartabat dan
memperkasakan Institusi Mahkamah Anak Negeri; Menyediakan
program-program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah;
dan Membangunkan pekan-pekan baru di beberapa daerah.
34
67. Kerajaan juga akan mengkaji semula keberkesanan dan
seterusnya mengemas kini Pelan Struktur Sabah 2020 sebagai
instrumen meminda-arah pembangunan secara makro di Sabah serta
menjalankan kerja dan menyediakan dasar dan strategi mengenai
Pengurusan Zon (Zone Management) untuk memastikan habitat dan
khazanah alam semulajadi di sepanjang kawasan pesisir pantai dan
negeri ini sentiasa terpelihara dan terjamin selamat.
Badan Berkanun, Syarikat Kerajaan Negeri Dan Syarikat Berkaitan
Kerajaan
Tuan Speaker,
68. Setakat hari ini, dividen yang diterima oleh Kerajaan Negeri ialah
sebanyak RM655.91 juta. Antara badan berkanun negeri, syarikat
kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri yang membayar
dividen pada tahun 2012 ialah Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah
Development Bank Berhad, Innoprise Corporation Sdn. Bhd,
Perbadanan Pinjaman Sabah, Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd., Sabah
Energy Corporation Sdn. Bhd., Progressive Insurance Berhad, Saham
Sabah Berhad, Desa Plus Sdn. Bhd.; Desa Lestari Sdn. Bhd. dan Suria
Capital Holdings Bhd. Saya amat berbangga kerana mereka telah
menunaikan dan melaksanakan tanggung jawab mereka kepada
kerajaan. Untuk itu, sukacita saya mengucapkan syabas kepada
syarikat-syarikat yang telah saya sebutkan tadi. Saya menjangkakan
beberapa agensi yang lain juga akan mengisytiharkan dividen kepada
kerajaan negeri sebelum penghujung tahun ini.
35
69. Dalam usaha berterusan untuk menerapkan amalan baik tadbir
urus korporat, kursus untuk ahli lembaga pengarah yang pertama kali
dianjurkan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 2011,
kini dijadikan program tahunan. Program ini bertujuan untuk
memperkasakan dan meningkatkan kefahaman serta keupayaan
(capability) ahli-ahli tentang hala tuju dan pengurusan strategik badan
berkanun selaras dengan amalan terbaik (best practices) tadbir urus
korporat.
Tuan Speaker,
70. Selain itu, Jawatankuasa Polisi dan Pengawasan Tadbir Urus
Korporat untuk Badan Berkanun Negeri telah ditubuhkan dan berfungsi
sepenuhnya. Jawatankuasa ini bertujuan untuk menilai kesesuaian dan
seterusnya mencadangkan kajian semula ke atas enakmen, pekeliling
dan garispanduan yang sedang digunapakai oleh Badan-badan
Berkanun Negeri. Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk
menambahbaik tadbir urus badan berkanun negeri.
Tuan Speaker,
Pengumuman Khas
71. Terdapat sepotong pepatah Melayu lama yang berbunyi "Sebahar
Budi Kedapatan, Sepanjang Hayat DiSanjung Kenang". Justeru saya
gembira kerana Ahli-ahli Yang Berhormat, khususnya para wakil rakyat
Barisan Nasional telah menjalankan tanggungjawab mendengar,
menyuarakan, memperjuangkan dan seterusnya sentiasa berusaha
untuk mengatasi setiap permasalahan masyarakat di kawasan yang
36
mereka wakili. Saya juga amat berterima kasih kepada setiap peringkat
kepimpinan masyarakat seperti Pengerusi JKKK/JKDB, Ketua-ketua
Daerah, Ketua-ketua Anak Negeri, Ketua-ketua Kampung, Ketua-ketua
Masyarakat Cina, Ketua-ketua Agama, Kepimpinan Belia dan Wanita
serta seterusnya kalangan masyarakat yang sentiasa berjuang bersama
wakil rakyat Barisan Nasional untuk membangunkan negeri Sabah yang
kita cintai ini. Oleh yang demikian, sebagai salah satu pemangkin
kejayaan dalam melaksanakan pembangunan dan sebagai
kesinambungan usaha membantu meringankan bebanan rakyat di
setiap kawasan, maka saya mencadangkan supaya Peruntukan Khas
sejumlah RM1 juta dikekalkan kepada setiap kawasan Dewan
Undangan Negeri. Di samping itu, melalui Bajet 2013 ini, sukacita saya
mencadangkan agar peruntukan Sentuhan Kasih sebanyak RM500 ribu
diagihkan sekali lagi kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.
Semoga inisiatif murni ini akan menyemarakkan lagi semangat dan
iltizam Ahli-ahli Yang Berhormat untuk terus berkhidmat dan berbakti
kepada rakyat, khususnya terhadap golongan akar umbi yang kita
kasihi.
72. "Umpama aur dengan tebing" – demikianlah kata perumpamaan
untuk menggambarkan hubungan baik dan jalinan kerjasama antara
pemimpin kerajaan dengan para penjawat awam. Jika tidak kerana
penjawat awam, maka tiadalah pelaksana atau penggerak program-
program pembangunan yang kita rancangkan. Penjawat awam
merupakan tonggak utama dan nadi dalam pengurusan negeri ini. Jasa
dan sumbangan mereka amat dihargai dan disanjung tinggi. Justeru,
bagi menghargai penat lelah serta pengorbanan mereka selama ini, dan
sebagai suatu suntikan semangat agar mereka terus berkhidmat dan
berbakti dengan lebih berdedikasi, beramanah dan berintegriti, maka
37
setiap penjawat awam yang berjasa ini sewajarnya diberikan ganjaran
yang sepadan dan setimpal. Selain daripada pemberian bonus setengah
bulan gaji yang telah dibayar pada bulan Ogos yang lepas, maka saya
dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus satu bulan gaji
lagi kepada mereka. Pembayaran Bonus ini akan dilaksanakan dengan
dua kali ansuran iaitu pada bulan Disember tahun ini dan Januari 2013.
Inilah kelebihan dan keistimewaan Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan
yang prihatin, jujur dan ikhlas dalam perjuangan, telus dan realistik
dalam pentadbiran. Kebolehpercayaan inilah yang menjadikan Barisan
Nasional sebuah parti dan Kerajaan yang menjadi pilihan dan harapan
rakyat pada keseluruhannya.
Tuan Speaker,
73. Dengan mengambil kira kenaikan harga kenderaan pada masa ini
dan bagi memberi peluang dan kemampuan kepada anggota
perkhidmatan awam untuk memiliki kenderaan, maka had kelayakan
maksima Skim Kemudahan Pinjaman Kenderaan anggota perkhidmatan
awam negeri perlulah disemak semula. Sehubungan dengan itu, saya
mencadangkan agar had pinjaman maksima bagi pembelian kenderaan
oleh anggota perkhidmatan awam negeri dinaikkan antara 15 hingga 33
peratus mengikut kategori pegawai. Selain itu, kadar faedah pinjaman
juga akan diturunkan daripada 4 kepada 3 peratus dan had maksima
tempoh pinjaman dipanjangkan daripada tujuh kepada sembilan tahun,
berkuatkuasa mulai 01 Januari 2013.
38
Mari melancong ke Pantai Timur
Bersama keluarga membeli belah
Negeri ditadbir aman dan makmur
Penjawat awam tetap dibela!
PENUTUP Tuan Speaker,
74. Seperti mana yang saya sebutkan tadi, sesungguhnya Bajet 2013
adalah merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah negeri Sabah.
Rakyat perlu menghakimi dan menilai secara jujur dan ikhlas
kemampuan dan prestasi Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa
berhati-hati, berhemat dan telus dalam mengurus kewangan negeri
Sabah. Oleh yang demikian, saya ingin mengimbau dan menyoroti
prestasi pengurusan kewangan negeri Sabah bagi tempoh 12 tahun
yang lepas.
75. Pada tahun 2001 Akaun Hasil Disatukan hanya berjumlah lebih
kurang RM100 juta sahaja. Teringat saya pada suatu ketika dahulu di
mana kita tidak berupaya untuk membayar kenaikan gaji dan bayaran
bonus kepada anggota perkhidmatan awam negeri sebagaimana yang
dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Alhamdullillah, dengan
Pengurusan Bajet dan Pengurusan Hasil yang berhemat dan bijak,
Akaun Hasil Disatukan telah meningkat dari tahun ke tahun dan semakin
kukuh. Pada tahun 2011, Akaun Hasil Disatukan telah meningkat
kepada RM3.3 bilion dan ini merupakan catatan tertinggi dalam sejarah
kewangan negeri Sabah.
39
76. Kedudukan hasil pada awal tahun 2001 pula ialah sebanyak
RM1.2 bilion sahaja. Hasil tahun 2011 telah meningkat empat kali ganda
iaitu mencecah jumlah RM4.4 bilion. Untuk makluman Dewan yang
mulia ini, jumlah hasil yang telah dikutip sejak tahun 2001 hingga tahun
2011 adalah berjumlah RM28.14 bilion.
Tuan Speaker,
77. Manakala bagi rekod perbelanjaan negeri pula, pada tahun 2001
jumlah perbelanjaan hanya berjumlah RM1.15 bilion sahaja. Sejak dari
itu perbelanjaan negeri terus meningkat dari tahun ke tahun sehingga
mencecah RM4.36 bilion pada tahun 2011. Ini membawa jumlah
keseluruhan Perbelanjaan sepanjang tempoh tersebut sebanyak
RM24.93 bilion. Walaupun dengan perbelanjaan yang meningkat setiap
tahun namun kita masih berjaya mengukuhkan Akaun Hasil
Disatukan negeri melebihi RM3 bilion.
78. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan padu serta
dukungan rakyat Sabah khasnya dan Malaysia amnya, alhamdullillah,
Kerajaan Barisan Nasional telah melakarkan sejarah kegemilangan
seperti yang dijelaskan tadi. Rakyat sendiri boleh menilai prestasi dan
kecemerlangan yang dihasilkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama
ini.
Tuan Speaker,
79. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang prihatin dan peka
terhadap keperluan dan kehendak rakyat. Tidak akan wujud Kerajaan
ini jika tidak dengan sokongan dan dukungan rakyat. "Umpama air
40
dicincang tidak akan putus, ibarat isi dengan kuku" – demikianlah
dekatnya kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan.
80. Namun Kerajaan sedar akan wujudnya dalang-dalang tertentu
yang sentiasa menghasut, mengadu domba dan mengapi-apikan rakyat,
supaya rakyat membenci dan memusuhi Kerajaan dengan membuat
tuduhan, tohmahan, hasutan serta menabur fitnah. Niat jahat mereka ini
termasuklah yang disebarkan menerusi media siber dengan tujuan
untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan. Ini ditambah lagi dengan
janji-janji manis pembangkang melalui pembentangan bajet mereka
yang bercita-cita besar atau ‘ambitious’ kononnya Sabah akan
menikmati kadar royalti minyak yang berlipat kali ganda serta pelbagai
janji kosong yang mengasyikkan. Hakikatnya janji-janji populist itu bukan
sahaja tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata umpama angan-
angan Mat Jenin yang boleh memufliskan serta menghancurkan masa
depan negeri dan negara, akibatnya rakyat juga yang akan sengsara
dan menderita.
Apa diharap padi seberang
Padi disemai rosak binasa
Apa diharap pada pembangkang
Janji manisnya bohong belaka
Apa diharap padi seberang
Tidak berisi bertangkai condong
Apa diharap pada pembangkang
Bercakap bohong berjanji kosong
41
Tuan Speaker,
81. Kerajaan Barisan Nasional tidak menjanjikan bulan dan bintang.
Kerajaan Barisan Nasional juga tidak berani berjanji kepada rakyat jika
kerajaan tidak mempunyai kesanggupan atau kemampuan untuk
menunaikan janji. Lagi pun, apa guna berjanji jika tidak boleh ditepati?
Kita berjanji berdasarkan keupayaan dan pertanggungjawaban. Walhal
pembangkang berjanji hanya untuk menyedapkan telinga rakyat
sedangkan janji mereka adalah janji palsu yang sebenarnya mustahil
untuk dipenuhi.
Tuan Speaker,
82. Rakyat adalah segala-galanya dalam perjuangan ini. Rakyatlah
yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Pada masa
sama, negeri tercinta ini adalah warisan turun temurun yang wajib dijaga
dan dipelihara daripada para petualang yang ingin menghancurkan
segala kemajuan dan pencapaian yang telah kita bina sejak sekian
lama.
83. Kita akan pastikan bahawa keharmonian, keamanan, kemakmuran
dan kemajuan pesat yang sedang kita nikmati kini kekal terpelihara demi
masa depan anak-anak dan cucu cicit kita. Tidak ada lagi warisan yang
paling berharga untuk kita hadiahkan kepada generasi akan datang,
melainkan sebuah daerah, negeri dan negara yang aman sentosa, maju
dan permai, yang dapat menjamin sebuah masa depan yang
menjanjikan kemakmuran dan kebahagiaan yang berkekalan hasil
daripada titik peluh serta perjuangan bangsa yang merdeka, berdaulat
dan berjaya.
42
Tuan Speaker,
84. Sempena pembentangan Bajet ini juga, saya mengambil
kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada semua pihak; para pemimpin, warga perkhidmatan awam,
sektor swasta, NGOs dan seluruh lapisan rakyat di seluruh pelosok
negeri ini di atas sokongan, kerjasama dan muafakat yang telah
diberikan sehingga kita berupaya melonjakkan pembangunan dan
kemajuan negeri Sabah ke tahap yang membanggakan pada hari ini.
85. Sesungguhnya, kami sedar dan menginsafi betapa rakyat telah
memberikan harapan tinggi dan mandat besar kepada kita dalam PRU-
12 2008. Sebagaimana tingginya harapan dan besarnya mandat rakyat
itu, begitu jugalah tingginya komitmen dan iltizam kami untuk
menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan
oleh rakyat kepada kita selama ini.
86. Oleh itu, sekali lagi kami dengan penuh tanggungjawab dan
keinsafan memohon kepada seluruh rakyat untuk terus meletakkan
harapan dan memberikan kepercayaan, mandat dan sokongan yang jitu
dan padu kepada Kerajaan Barisan Nasional bagi meneruskan
kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat dan memacu
pembangunan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi lagi untuk
kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama serta generasi yang akan
datang.
43
Berkilau indah batu permata
Tinggi nilainya jadi idaman
Demi rakyat dan negeri tercinta
BN berjuang sepanjang zaman
Tuan Speaker,
Saya mohon mencadang.