Download - Ulasan Tentang Gejala Ponteng Sekolah
ULASAN TENTANG GEJALA PONTENG SEKOLAH
FAKTOR
Seorang guru di Puchong, Bibiana John mengatakan bahawa terdapat
beberapa punca yang menjadi peluru kepada berlakunya sikap ponteng sekolah
dalam kalangan pelajar. Antaranya ialah mereka tidak mempunyai minat atau
motivasi yang mendalam untuk pergi ke sekolah. Hal ini disebabkan oleh
kurangnya kesedaran bahawa betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam
menjalani kehidupan seharian. Mereka mengambil ringan tentang perkara ini dan
menganggap sekolah sebagai suatu tempat yang membosankan. Mereka lebih
menjurus kepada perkara-perkara yang menyeronokkan seperti melepak di
pusat hiburan dan melayari internet di siber kafe.
Hasil daripada kajian beliau menyatakan bahawa kurang berminat
terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah juga dapat menyumbang kepada
aktiviti ponteng sekolah. Keadaan ini berpunca daripada isi kandungan sukatan
pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang
memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, geografi,
pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat
kerana mereka tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna akibat
daripada kelemahan diri mereka sendiri. Pelajar seperti ini biasanya mudah
berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana
menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang
minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan
pelajar yang lebih cerdas.
3
Menurut beliau, pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi
oleh guru biasanya akan ponteng dan bersembunyi dengan melepak di
kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan
pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan
hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.
Keadaan ini memberikan rangsangan kepada pelajar berkenaan untuk terus
memontengkan diri sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya.
Ibu bapa yang tidak mengambil tahu tentang aktiviti-aktiviti anak-anak
mereka juga turut menyumbang ke arah masalah ponteng sekolah ini. Biasanya
pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang
melakukan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang
ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu tidak mendapat respon yang
diharapkan. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa
pelajar berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak
mereka. Ibu bapa mereka lebih mementingkan urusan harian atau kerja daripada
anak mereka sendiri.
Selain itu, beliau menambah bahawa terdapat juga pelajar yang ponteng
kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi keluarga yang
rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai pembantu di
kedai makan, dan tidak kurang pula yang bekerja sebagai peniaga makanan di
pasar malam. Malah masih ramai dalam kalangan pelajar yang bekerja secara
sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya
untuk bangun awal ke sekolah terutamanya yang bekerja pada waktu malam.
4
Melalui pandangan umum, Gee Wai Cheak mengatakan bahawa punca
utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah disebabkan oleh keruntuhan
institusi keluarga seseorang pelajar itu. Hal ini demikian, timbulnya
pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan anak-anak mereka tidak
dihiraukan. Gee Wai Cheak menegaskan lagi bahawa dalam sesebuah keluarga
yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan
untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih
oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka
dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan.
Seterusnya, Gee Wai Cheak juga mengatakan pengaruh rakan turut
menjadi satu punca berlakunya masalah ponteng sekolah dalam kalangan
pelajar-pelajar. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah
akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional.
Mereka hanya akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka
tanpa berfikir panjang. Fenomena ini berlaku kerana rakan-rakan yang
bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang
dianggap munasabah bagi mereka. Pelajaran di sekolah dikatakan
membosankan dan aktiviti ponteng sekolah untuk menenangkan fikiran menjadi
alasan untuk tidak hadir ke sekolah. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan
menjadi salah satu faktor berlakunya ponteng sekolah dalam kalangan pelajar-
pelajar sekolah.
5
KESAN
Menurut cikgu Bibiana, kesan yang paling ketara sekali akibat daripada
ponteng sekolah ialah pelajar berkenaan akan ketinggalan pelajaran yang
sepatutnya diajar kepada mereka. Seterusnya mereka akan hilang minat untuk
belajar dan menceburkan diri dalam perkara-perkara yang tidak memberi faedah
kepada mereka. Berdasarkan pengalaman beliau, akibat pelajar ponteng bukan
sahaja ketinggalan dalam pelajaran, malah lebih teruk lagi mereka juga terbabit
dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme, gangsterisme,
minuman keras, seks bebas, perjudian dan melepak.
Seterusnya, perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang
sifat bertanggungjawab. Hal ini akan menyebabkan prestasi akademik pelajar itu
merosot. Secara tidak langsung, perkara ini akan menjejaskan imej serta
kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kerana sekolah tidak
lagi dianggap sebagai tempat yang kondusif untuk proses pengajaran dan
pembelajaran dan juga tempat untuk menjalankan aktiviti yang berfaedah.
Sementara itu, Tan Soo Hooi (2002) mengatakan bahawa kesan daripada
aktiviti ponteng sekolah ini akan menyebabkan pelajar tersebut sering
menghadapi masalah konflik kendiri. Mereka kurang jelas dengan peranan diri
sendiri sebagai seorang pelajar terutama yang mempunyai masalah pelajaran
dan peribadi. Mereka akan berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan
diri dengan persekitaran di sekolah.
Di samping itu, natijah daripada keadaan ini menyebabkan negara kita
kekurangan pemimpin pelapis negara yang berwibawa untuk memacu negara ini
pada masa akan datang. Fenomena ini juga akan menyebabkan pelajar tersebut
dipandang hina oleh masyarakat dan tidak diberi kepercayaan untuk memerintah
negara yang sudah mencapai kemerdekaan setengah abad ini. Seterusnya,
pelajar akan disisih oleh masyarakat dan sukar untuk memperoleh pekerjaan
untuk meneruskan kehidupan.
6
LANGKAH
Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bagi
membasmi gejala ponteng sekolah ini. Namun pun begitu, peratusan bilangan
pelajar yang terbabit dengan gejala ini semakin meningkat. Cikgu Bibiana telah
menegaskan bahawa pembentukan sahsiah seseorang pelajar bermula daripada
institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting bagi
mendidik anak-anak mereka tentang perkara yang betul dan yang salah.
Tanggungjawab ibu bapa sangat jelas iaitu dengan cara memastikan
anak-anak selamat dalam perjalanan ke sekolah dan selamat sampai ke
sekolah. Ibu bapa perlu memastikan walau dengan apa cara sekalipun, agar
anak mereka tidak melencong ke tempat lain, seperti pusat hiburan dan
kompleks membeli belah jika di bandar dan rumah kosong atau tepi sungai bagi
pelajar di luar bandar. Ibu bapa perlu memerhatikan gerak geri anak-anak
mereka, kerap berhubung dengan pihak sekolah dan sering bertanyakan rakan
anak-anak mereka.
Selain itu, pihak-pihak pengusaha pusat hiburan juga perlulah lebih
bertanggungjawab dan tidak menjadikan notis melarang pelajar sekolah
memasuki pusat hiburan sebagai hiasan dinding semata-mata. Pihak kerajaan
juga perlu memainkan peranan dengan menguatkuasakan undang-undang yang
diwartakan . Umpamanya mendirikan tempat-tempat pengaduan HEP, melarang
pelajar-pelajar berpakaian sekolah mengunjungi pasaraya, pusat hiburan, dan
‘cybercafe’ pada waktu sekolah.
7
Beliau juga menambah bahawa masalah ponteng sekolah ini dapat
ditangani dengan mengetatkan peraturan sekolah. Hukuman yang lebih berat
seperti digantung sekolah dan dibuang sekolah patut diwujudkan bagi pelajar-
pelajar yang mempunyai kekerapan tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang
munasabah. Sistem pengesanan amalan ponteng sekolah yang lebih efektif
perlu dilaksanakan supaya pelajar-pelajar yang kerap ponteng sekolah dapat
dikesan dengan lebih cepat dan lebih berkesan. Seterusnya, khidmat kaunseling
perlu diberikan kepada mereka yang sering ponteng sekolah bagi memastikan
masalah yang mereka hadapi agar langkah membantu boleh dilaksanakan.
Tambahan pula, masyarakat sekeliling turut bekerjasama dalam usaha
menangani masalah ini dengan melaporkan kes-kes ponteng sekolah di luar
sekolah jika dapat dikesan. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing perlu dikikis dalam kalangan masyarakat. Kerjasama ini sedikit
sebanyak dapat membantu dalam mewujudkan kesedaran dalam diri pelajar-
pelajar mengenai keburukan gejala ponteng.
Beliau menyatakan lagi bahawa pihak sekolah juga perlu bekerjasama
dan sama-sama membendung masalah ini. Antara langkah-langkah yang boleh
dilakukan ialah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti luar sekolah seperti
perkhemahan dan lawatan. Guru-guru juga perlu mesra dengan para pelajar dan
berkebolehan dalam menyampaikan ilmu dengan berkesan serta ada kalanya
bergurau senda. Hal ini dapat menambah minat pelajar untuk ke sekolah.
Justeru, mata pelajaran yang membosankan perlu diajar dengan cara yang
pelbagai.
8