Download - Waj 3106 Hubungan Etnik (Esei 3000 Words)
WAJ 3106 HUBUNGAN ETNIK (ESEI)
Globalisasi boleh menjatuhkan dan globalisasi juga mampu membangunkan.
Globalisasi merupakan salah satu isu utama abad ke-21. Globalisasi adalah satu
proses perubahan kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat
merentasi sempadan ‘geo-politik’ yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi
maklumat di seluruh dunia. Ini bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi
ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan
politik sesebuah negara (Razid). Menurut (Bisan-Gunasegaran, 2003), globalisasi
bermaksud liberalisasi dan ekonomi bebas. Apa yang dimaksudkan dengan ekonomi
bebas? Ekonomi bebas ialah pasaran terbuka dan ini membawa dunia ke arah dunia
tanpa sempadan. Dalam mendepani abad millennium ini globasisasi memainkan
peranan yang amat penting dalam memajukan sesebuah negara untuk menjadi
sebuah negara yang mampu berdiri di atas kaki sendiri. Namun, fokus yang akan
diketengahkan di dalam wacana penulisan ini ialah dasar-dasar yang telah atau
akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk berhadapan dengan globalisasi ekonomi.
Merujuk kepada frasa “globalisasi ekonomi”, apakah yang terkandung dalam
kotak pemikiran anda apabila frasa ini disebut? Ramai pembaca pasti kurang faham
tentang takrif frasa ini kerana frasa ini jarang disebut di dalam kehidupan seharian.
Namun, apa yang pasti ialah frasa ini amat berhubung kait dengan kemajuan
ekonomi di negara Malaysia kita yang tercinta ini. Bagi negara yang mahu terus
maju maka negara itu harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam keseluruhan
ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi
menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan
modal insan turut menjadi global (Razid). Justeru, dapatlah disimpulkan di sini
bahawa globalisasi ekonomi ialah suatu bentuk persaingan untuk negara terus maju
dalam mencapai wawasan 2020.
Agenda 1 Malaysia merupakan suatu agenda kerajaan yang telah
diperkenalkan dalam lingkungan masa beberapa tahun kebelakangan ini. Antara
pepatah penting yang sering diwar-warkan berkenaan agenda ini ialah “Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. 1 Malaysia menuntut setiap warganegara
dan pemimpin memainkan peranan masing-masing. Selain itu, di dalam agenda 1
Malaysia, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop
bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan
mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja.
Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara
yang sama. Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran
baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia lebih merupakan satu konsep dalam bidang
pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas
dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang
membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana
pihak akan dipinggirkan. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan
Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang
memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. (1 Malaysia- Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan) Telah diterangkan tadi bahawa agenda 1 Malaysia
bukanlah suatu agenda baru tetapi merupakan kesinambungan dari usaha yang
telah diperkenalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Oleh itu, pelbagai dasar
telah disediakan oleh kerajaan secara tidak langsung telah memenuhi pencapaian
ekonomi negara dalam menepati kehendak agenda 1 Malaysia ini.
Sejajar dengan globalisasi ekonomi, Malaysia telah mengambil langkah untuk
memperkenalkan dasar-dasar yang dianggap mampu untuk membangunkan negara
dari aspek ekonomi, sosial dan lain-lain. Pendek kata, dasar ialah kerangka,
panduan, pelan. strategi, petunjuk dirangka untuk menterjemahkan wawasan politik
kerajaan kepada program dan tindakan untuk mencapai hasil yang diingini (Armyn
Fahmy Bin Mohd Fahmy). Antara dasar-dasar utama yang telah disediakan dan
diperkenalkan oleh kerajaan untuk pembangunan negara ialah Dasar Ekonomi Baru
(1971-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara
(2001-2010), Dasar Perindustrian Negara, Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar
Penswastaan dan bermacam-macam dasar lagi manakala Rangka Rancangan
Jangka Panjang 1 (1971-1990), Rangka Rancangan Jangka Panjang 2 (1991 ‐ 2000), Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (2001 ‐ 2010) serta Wawasan 2020
(1991-2020) merupakan rangka yang telah mewujudkan dasar-dasar ini.
Antara dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk berhadapan
dengan globalisasi ekonomi ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Asas kepada
pembentukan DEB ini ialah Dasar ‘Pecah & Perintah’ dan Peristiwa 13 Mei 69
(Armyn Fahmy Bin Mohd Fahmy). Menurut (R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, 1992),
hampir keseluruhan pembangunan ekonomi di Tanah Melayu sebelum tahun 1900
dijalankan oleh orang bukan Melayu, terutama sekali oleh orang Eropah dan Cina.
Pedagang-pedagang Cina telah membawa masuk imigran Cina tetapi pada mulanya
imigran-imigran Cina ini datang tidak bertujuan untuk menetap, tujuan mereka
seperti juga pedagang British adalah urituk mendapat keuntungan dan balik semula
ke tanah air mereka. Namun, apabila pertempuran antara orang Cina dengan Jepun
bertambah hebat, kaum imigran telah menetap di sini dan tidak lagi pulang ke China.
Kebanyakan orang India di Tanah Melayu berasal dari India Selatan, sebahagian
besarnya terdiri daripada orang Tamil. Ramai orang India telah 'diimport', seolah-
olah mereka sejenis barang dagangan, untuk bekerja di ladang getah, dan
'dieksport' semula apabila permintaan ekonomi terhadap mereka berkurangan.
Kesan Dasar “Pecah dan Perintah (divide and rule) ” ialah penduduk Melayu telah
dibiarkan di kawasan pedalaman untuk mengerjakan sektor pertanian tradisional.,
kaum Cina ditempatkan di bandar dan lombong bagi menjalankan aktiviti perniagaan
dan perlombongan serta kaum India ditempatkan di estet untuk mengerjakan
ladang-ladang British (Wikipedia). Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam
yang telah mencacat keamanan dan keharmonian rakyat yang berbilang kaum di
negara ini. Bibit-bibit perpecahan kaum ini wujud sejak negara mencapai
kemerdekaan lagi disebabkan ketidakpuasan hati kaum lain terhadap hak-hak
keistiemwan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan
terutamanya yang menyentuh mengenai bahasa dan pelajaran. Rentetan daripada
ketidakpuasan hati itu, maka setiap perkara yang menjurus kepada hak-hak
keistimewaan orang Melayu dipertikaikanm khususnya oleh kaum Cina. Keadaan
kempen yang tidak dikawal ini merupakan punca tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969
(Tahir). Sebelum DEB diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua pada
1971, sebahagian besar daripada pembangunan ekonomi negara yang dibiayai dan
diuruskan oleh sektor awam tertumpu pada usaha menggalakkan pertumbuhan
ekonomi. DEB merupakan satu pendekatan baru dalam rancangan pembangunan
negara, bertujuan membetulkan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi yang wujud
di antara kaum dan wilayah serta kawasan dalam wilayah yang sama di Malaysia.
(INTAN, 2006). DEB adalah satu formula yang telah dilancarkan oleh Kerajaan
Malaysia pada tahun 1970 iaitu menerusi Rancangan Malaysia Kedua. Dasar ini
bertujuan untuk memulihkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud di antara
kaum, antara wilayah dan di antara kawasan dalam wilayah yang sama. Matlamat
utama DEB ialah perpaduan rakyat atau perpaduan negara (Malaysia Kita; Panduan
dan Rujukan Untuk Peperiksaan Awam Malaysia, 2008). Secara amnya, Dasar
Ekonomi Baru ini bertujuan memulihkan dan membetulkan kembali
ketidakseimbangan sosial dan ekonomi yang telah berlaku. Strategi yang telah
dilaksanakan semasa DEB ini ialah membasmi kemiskinan dan penyusunan semula
masyarakat. Di bawah DEB, strategi dan usaha kerajaan mengurangkan dan
seterusnya menghapuskan kemiskinan telah kemiskinan di luar bandar dan
kemiskinan di bandar. Prinsip utama yang telah dijadikan panduan oleh kerajaan
dalam usaha menyusun semula masyarakat Malaysia ialah pelaksanaan usaha yang
tidak merampas hak milik kaum-kaum lain. Penyusunan ini dibuat secara
membahagi-bahagi faedah perkembangan dan kemajuan ekonomi secara adil
supaya keadaan tidak seimbang dapat dikurangkan. Di samping mewujudkan
suasana bagi menggalakkan kemajuan ekonomi semua golongan dan lapisan
rakyat, usaha telah ditumpukan ke arah mempercepatkan kadar kemajuan golongan
bumiputera supaya jurang perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera
dapat dihapuskan. Strategi-strategi yang telah dilaksanakan dalam proses
penyusunan semula masyarakat mengandungi beberapa matlamat. Pertama,
meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar
menerusi pemodenan struktur kawasan luar bandar. Kedua, mengurangkan
keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang ada dengan cara
yang lebih progresif menerusi pertumbuhan ekonomi keseluruhan supaya
penyertaan semua kaum di dalam sektor-sektor utama ekonomi mencerminkan
kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum pada tahun 1990. Ketiga,
meningkatkan pemilikan modal produktif dengan kadar yang segera dalam ekonomi
dan stok sektor syarikat untuk rakyat Malaysia (Malaysia Kita; Panduan dan Rujukan
Untuk Peperiksaan Awam Malaysia, 2008). Pencapaian daripada dasar ini ialah
kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan masyarakat telah dapat disusun semula.
Selain itu, dasar ini juga telah mengurangkan perbezaan ekonomi antara orang
Melayu dan bukan Melayu, merapatkan jurang pendapatan antara kaum, sektor
bandar dan luar bandar, pertanian dan industri, serta kaum-kaum tidak lagi dikenali
mengikut sektor atau pekerjaan (HAMIDAH AB RAHMAN, MUHAMMAD BIN DAUD,
NORLIN BINTI AHMAD). Dasar ini juga telah berjaya merealisasikan salah satu
konsep gagasan 1 Malaysia iaitu memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia
yang berbilang kaum (1 Malaysia).
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dllancarkan oleh Perdana Menteri
Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991. Rangka
Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan
Dasar Pembangunan Nasional (DPN), rnenandakan bermulanya satu lagi era baru
dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun
2020. DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB, iaitu pembasmian
kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki
ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum. Hal ini juga akan menyumbang
kepada pengukuhan perpaduan negara (Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail,
Zaini Othman, 2005). Selain itu, menurut (Armyn Fahmy Bin Mohd Fahmy), strategi
yang telah digunakan di dalam DPN ialah memperbaiki ketidakseimbangan sosial
dan ekonomi antara kaum bagi memperkukuhkan lagi perpaduan negara,
mewujudkan corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek‐aspek kritikal dan juga mengambilkira kemajuan yang telah dicapai di bawah DEB
danmenganalisa kekuatan & kelemahan pelaksanaannya. Tambahan pula, strategi
pembasmian kemiskinan DPN ialah mengurangkan kemiskinan drp 19.1% pada
tahun 1990 kepada 7.2% pada tahun 2000, mengurangkan pengangguran ke tahap
4% pada tahun 2000 dan mempertingkatkan latihan kemahiran kepada belia luar
bandar untuk menggantikan pemberian subsidi kerajaan. Dalam strategi
penyusunan semula masyarakat di bawah DPN pula kerajaan ingin menghapuskan
pengenalan kaum berdasarkan fungsi‐fungsi ekonomi, meningkatkan guna tenaga
dan penyertaan Bumiputera dlm pengurusan sektor moden dgn membentuk
“Masyarakat Perdagangan & Perundustrian Bumiputera” di samping memberikan
latihan dlm pengurusan harta & etika perniagaan termasuk program
UsahawanMuda, penyertaan Bumiputera dlm Industri Kecil & Sederhana (IKS)
menerusi program sub-kontrak dan francais, mewujudkan 2.4 juta pekerjaan baru
dari tahun 1991‐2000, memperkukuhkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk
mengembleng tabungan Bumiputera, misalnya ASB, ASN dan AHB, mewujudkan
harta‐harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera serta
dasar penswastaan digunakan bagi mempercepat & memperluaskan penyertaan
Bumiputera dlm sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal
saham (Armyn Fahmy Bin Mohd Fahmy). Kesan daripada DPN ini, perpaduan
menjadi stabil dan ekonomi pula dapat ditingkatkan. Antara asas 1 Malaysia ialah
perpaduan. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala
tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai. 1 Malaysia
bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di
kalangan rakyat Malaysia (1 Malaysia). Jadi, DPN telah berjaya merealisasikan
salah satu asas di dalam gagasan 1 Malaysia.
Di samping itu, Dasar Wawasan Negara (DWN) adarah dasar yang
dilaksanakan di bawah RRJP3 yang memberi tumpuan kepada beberapa teras
strategik untuk pembangunan mapan. Penggubalan DWN adalah selaras dan
bertepatan dengan kehendak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan ia adalah
hasil perakuan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II). Pandangan
dan cadangan yang dikemukakan oleh gabungan pemikiran pelbagai lapisan
masyarakat termasuk parti politik, kerajaan, pertubuhan swasta, orang awam dan
NGO telah diambil kira dalam penggubalan RRJP3 dan DWN. Teras utama DWN
adalah membangunkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai
masyarakatberasaskan pengetahuan, menjana pertumbuhan yang didorong oleh
sumber dan kekuatan dalam negeri, menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan
perkhidmatan lebih dinamik, membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil
yang miskin, mencapai penyertaan bumiputera yang berkesan serta pemilikan ekuiti
sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010, meningkatkan penyertaan
bumiputera dalam sektor utama ekonomi, dan mengorientasikan semula
pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang
berasaskan pengetahuan. Asas kepada pelaksanaan DWN ini adalah kerana
kerajaan merasakan ekonomi negara yang lemah perlu diperbaiki. Asas ekonomi
negara sekarang adalah sempit kerana terlalu bergantung kepada beberapa
barangan eksport utama, barangan pembuatan yang terhad, rangkaian industri yang
lemah, persaingan yang merosot dan wujudnya beberapa kelemahan dalam system
galakan pelaburan. Pelan Induk perindustrian telah digubal semasa DWN ini
dijalankan untuk mengatasi masalah ini dengan mempelbagaikan asas ekonomi
negara. Dalam menentukan kejayaan pelaksanaan DWN, nilai, cara bekerja dan
amalan pengurusan yang mengutamakan kerajinan, dedikasi, bekerjasama, taat
setia dan sebagainya diterapkan dalam kalangan rakyat (INTAN, 2006). Hal ini
menepati salah satu aspek utama 1 Malaysia iaitu Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
dalam kalangan masyarakat. Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan
tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global
dan ini seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap
yang lebih kukuh dan mantap.
Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia
akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan
corak negara maju yang ada sekarang. Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu
dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial
dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi
cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis
panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam
memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.
Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan akan menjadi sebuah negara merdeka
yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat
akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik,
bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya
ketahanan yang tinggi. Sembilan cabaran Wawasan 2020 ialah pertama,
mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan
dikongsi bersama, kedua, mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram
dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai
serta gagah menghadapi pelbagai masalah, ketiga, mewujud dan membangunkan
masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman
yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi
contoh kepada banyak negara membangun, keempat, mewujudkan masyarakat
yang sepenuhnya bermoral dan beretika, kelima, mewujudkan masyarakat liberal
dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan
dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan
kesetiaan mereka kepada satu negara, keenam, mewujudkan masyarakat saintifik
dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang
bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada
tamadun saintifik dan teknologi masa depan, ketujuh, mewujudkan masyarakat
penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan
masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar
kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh,
kelapan, memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi, dan kesembilan,
mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat
dan kental. Cabaran-cabaran ini telah membangkitkan satu isu penting iaitu
pembentukan satu negara bangsa. Konsep satu negara bangsa mempunyai makna
yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak
dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu
negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya
mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk
kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti
perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah
difahami dan diamalkan (PERSPEKTIF WAWASAN 2020). Bagi meletakkan negara
pada landasan lebih kukuh dalam mendepani pelbagai cabaran untuk mencapai
Wawasan 2020, Perdana Menteri, YAB Dato‘ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul
Razak telah mengumumkan pelaksanakan Program Transformasi Kerajaan (PTK)
yang dirangka berdasarkan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian
Diutamakan. PTK menggariskan secara terperinci objektif, keberhasilan dan set
tindakan permulaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang
Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) bagi meghasilkan perubahan yang
diharapkan melalui pelaksanaan program pembangunan dan sistem penyampaian
perkhidmatan kepada rakyat. Bagi menjayakan PTK, kerajaan dan perkhidmatan
awam saling bergantung dan saling melengkapi antara satu sama lain, khususnya
dalam pelaksanaan NKRA dan MKRA. PTK akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu
Fasa 1 (dari 2010 hingga 2012), Fasa 2 (dari 2012 hingga 2015), dan Fasa 3 (dari
2015 hingga 2020). Fasa 1 menjurus kepada langkah menentukan perubahan dan
menyampaikan keberhasilan dengan cepat kepada rakyat melalui penetapan dan
penyampaian sasaran NKRA dan MKRA manakala untuk Fasa 2, transformasi
kerajaan dilihat lebih melebar serta mendalam dan kehidupan harian rakyat diharap
menjadi lebih baik, manakala struktur ekonomi negara akan berkembang sejajar
dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) dalam menghasilkan sektor-sektor
yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi. Fasa 3 pula menekankan matlamat
Wawasan 2020 akan tercapai di mana rakyat menikmati taraf kehidupan dan
kemakmuran lebih tinggi, manakala kualiti perkhidmatan awam juga meningkat.
Kemuncaknya, setiap rakyat Malaysia memiliki jati diri dan semangat cinta negara
dengan melihat diri masing-masing terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia dan
kemudian barulah mengikut agama, bangsa, kawasan geografi, latar belakang
sosial, ekonomi dan kecenderungan politik (PROGRAM TRANSFORMASI
KERAJAAN (PTK/GTP)). Secara keseluruhannya, Wawasan 2020 bertujuan
merealisasikan aspirasi 1 Malaysia di samping memperkasa ekonomi negara supaya
negara dapat bersaing dengan lebih kompetitif dengan negara-negara lain. Di
samping persaingan yang sihat, rakyat juga digalakkan untuk memiliki nilai-nilai
aspirasi seperti yang terkandung di dalam gagasan 1 Malaysia iaitu budaya
berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan,
kebijaksanaan, dan budaya inovasi. Hal ini penting kerana hasrat kerajaan bukan
sahaja ingin memajukan negara tetapi juga ingin membangunkan jati diri rakyat.
Globalisasi juga boleh mendatangkan cabaran yang amat hebat dari
perspektif sosioekonomi. Kita sudah maklum bahawa situasi sosioekonomi di
Malaysia agak unik. Dalam konteks masyarakat Malaysia, pribumi dan bumiputera
iaitu penduduk asalnya agak terkebelakang di dalam aspek ekonomi dan
perdagangan. Pada zaman penjajahan British, orang Melayu telah dinafikan
penglibatan mereka dalam sektor ekonomi komersil dan bidang pekerjaan
professional. Akibat polisi pecah dan perintah Inggeris, orang Melayu telah
dipencilkan dan hidup di kampung-kampung, menjalani kehidupan tradisional dan
ekonomi sara diri. British nampaknya selesa dengan keadaan ini bagi mengekalkan
kuasa mereka di Tanah Melayu walaupun mereka amat sedar bahawa fenomena ini
akan mendatangkan bahaya kepada masyarakat setempat. Akibat daripada
ketidakseimbangan sosio-ekonomi, ketegangan kaum mula terzahir selepas
kemerdekaan, yang kemuncaknya melahirkan satu peristiwa berdarah dalam lipatan
sejarah hubungan etnik di Malaysia. Pada 13 Mei 1969, akibat daripada ketidak-
puasan hati dalam aspek politik, sosial dan ekonomi antara kaum, meledaklah
rusuhan kaum di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Globalisasi boleh
menggugat keharmonian masyarakat jika kita tidak berhati-hati. Ada tanda-tanda
bahawa kuasa-kuasa konglomerat dan syarikat-syarikat multinasional bakal
mengambil alih peranan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang rataratanya
daripada kalangan bumiputera. Keseimbangan boleh tergugat dan boleh melahirkan
ketegangan kaum seperti yang terjadi pada masa lampau (MUHAMMED FAUZI BIN
OTHMAN, MOHD. KOHARUDDIN BALWI, MOHD AZHAR ABDUL HAMID). Jadi,
globalisasi di sini boleh memberi kesan baik dan juga kesan buruk kepada negara
kita, Malaysia.
Kesimpulannya, dengan pelaksanaan dasar-dasar yang bersesuaian dengan
agenda 1 Malaysia, diharapkan semua rakyat dapat menikmati faedah dan
seterusnya bersyukur dengan segala program yang telah kerajaan lancarkan. Di
samping itu, semua rakyat hendaklah berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan
agenda-agenda yang ingin memecah belahkan rakyat agar Malaysia sentiasa aman
dan penduduknya hidup bersatu padu dengan keharmonian sejagat.
(2987 patah perkataan)
SUMBER RUJUKAN
BUKU:
1. (2006). Bahagian III Dasar-Dasar Utama Negara. In INTAN, Pentadbiran dan
Pengurusan Awam Malaysia (pp. 187-208). Kuala Lumpur: Institut Tadbiran
Awam Malaysia (INTAN).
2. Malaysia Kita; Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Awam Malaysia. (2008).
Petaling Jaya: International Law Book Services.
3. R.S. Milne dan Diane K. Mauzy. (1992). Politik dan Kerajaan di Malaysia.
Ampang/Hulu Kelang: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail, Zaini Othman. (2005). Kenegaraan
Malaysia. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
INTERNET:
1. 1 Malaysia. (n.d.). Retrieved February 24, 2013, from pmo.gov.my:
http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/1Malaysia_B.pdf
2. 1 Malaysia- Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. (n.d.). Retrieved
February 25, 2013, from penerangan.gov.my:
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/474-apa-
itu-1malaysia/7084-1malaysia-rakyat-didahulukan-pencapaian-
diutamakan.html
3. Armyn Fahmy Bin Mohd Fahmy. (n.d.). Dasar-Dasar Kerajaan. Retrieved
February 23, 2013, from pendaftar.uitm.edu.my:
http://pendaftar.uitm.edu.my/latihan/images/stories/Nota_Induksi/Kump1/
dasar_kerajaan.pdf
4. Bisan-Gunasegaran, S. (2003). Globalisasi. Retrieved February 25, 2013, from
penita.org: http://www.penita.org/index.php?
option=com_content&view=article&id=49&Itemid=81
5. HAMIDAH AB RAHMAN, MUHAMMAD BIN DAUD, NORLIN BINTI AHMAD.
(n.d.). PEMBANGUNAN EKONOMI DALAM HUBUNGAN ETNIK. Retrieved
February 24, 2013, from penerbit.utm.my:
http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/2009/malay/Book10/Bab09.pdf
6. MUHAMMED FAUZI BIN OTHMAN, MOHD. KOHARUDDIN BALWI, MOHD
AZHAR ABDUL HAMID. (n.d.). GLOBALISASI DAN HUBUNGAN ETNIK.
Retrieved February 25, 2013, from penerbit.utm.my:
http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/2009/malay/Book10/Bab12.pdf
7. PERSPEKTIF WAWASAN 2020. (n.d.). Retrieved February 25, 2013, from
penerangan.gov.my:
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/88-dasar-
dasar-negara/255-perspektif-wawasan-2020.html
8. PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN (PTK/GTP). (n.d.). Retrieved February
26, 2013, from penerangan.gov.my:
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/466-
pengenalan-nkra/6815-program-transformasi-kerajaan-ptk.html
9. Razid, M. A. (n.d.). Globalisasi ekonomi tuntut negara lakukan transformasi.
Retrieved February 25, 2013, from jasa.gov.my:
http://www.jasa.gov.my/index.php/en/media/articles-collection/3-economy/
398-globalisasi-ekonomi-tuntut-negara-lakukan-transformasi.html
10. Tahir, M. Z. (n.d.). 13 MEI SEJARAH HITAM YANG PERLU DIULANGKAJI &
DIIKTIBARI. Retrieved February 25, 2013, from yazidothman.com:
http://yazidothman.com/content/view/87/12/
11. Wikipedia. (n.d.). Dasar Ekonomi Baru. Retrieved February 25, 2013, from
wikipedia.org: http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru