esaimen

Upload: jaded-jade

Post on 10-Mar-2016

20 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

7 habits

TRANSCRIPT

Berdasarkan pembacaan saya daripada beberapa sumber, saya mendapati Stephen R.Covey telah berjaya mengemukakan tujuh tabiat orang yang berkesan dengan sempurna. Ulasan yang diberi bertepatan untuk menjadi seorang manusia yang berguna dan berjaya di dunia ini. Kriteria-kriteria ini juga sudah tentu terdapat dalam setiap ajaran agama. Setiap agama sudah menerangkan dan memberi ajaran yang baik kepada para penganutnya. Sebagai contoh, dalam agama Islam, kita menggariskan Rasulullah sebagai contoh tauladan. Hal ini kerana, pada diri Rasulullah itu sendiri terdapat suri tauladan yang baik. Namun begitu, orang yang benar-benar boleh menghargai Rasulullah hanyalah orang yang mempunyai tiga cirri iaitu, hidup bermatlamat kerana Allah, ganjaran daripada amalan yang dilaksanakan ialah ganjaran pada hari akhirat kelak, serta konsisten dan sentiasa mengingati Allah.Ciri-ciri ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan tabiat orang yang berjaya yang dikemukakan oleh Stephen R. Covey. Mungkin terma yang digunakan berlainan namun hakikatnya ciri-ciri ini mempunyai persamaan untuk mendidik manusia ke arah kemajuan diri, masyarakat dan negara. Tabiat-tabiat yang telah dikemukakan oleh Stephen R. Covey untuk menjadi orang yang berkesan ialah bersikap proaktif, bermula dengan wawasan di dalam minda, utamakan perkara yang utama, fikirkan menang-menang, dengar dahulu sebelum berkata, menyepadukan usaha serta menajamkan gergaji. Berikut merupakan kesimpulan ringkas bagi kesemua tabiat-tabiat yang telah dikemukakan oleh beliau.

JADI SEORANG YANG PROAKTIFProaktif bermaksud, sebagai manusia kita hendaklah bertanggungjawab ke atas kehidupan kita sendiri, bukannya orang lain. Kita tidak boleh bertindak menuding jari kepada orang lain atas kesalahan ataupun kesusahan yang kita hadapi. Keadaan kehidupan kita sekarang bergantung kepada tingkah laku serta keputusan yang telah kita tetapkan untuk diri sendiri. Oleh hal yang demikian, tiada sebab untuk menyalahkan keadaan mahupun orang sekeliling di atas perkara yang berlaku kepada diri kita. Sebagai contoh, sekiranya kita gagal dalam pelajaran disebabkan tidak suka akan bidang yang dipilih, maka kesalahan tersebut tidak boleh disandarkan kepada ibu bapa kita seratus peratus yang mungkin memaksa kita memilih bidang tersebut. Namun, tidakkah kita terfikir bahawa kita sebenarnya yang bersalah kerana tidak mengambil inisiatif lain dalam menangani masalah tersebut. Contohnya, sebelum memulakan pengajian adalah lebih baik kita terangkan perkara yang sebenar kepada kedua-dua orang tua kita yang kita tidak menyukai bidang tersebut mahupun mengmbil jalan lain dengan cuba untuk menyukai bidang tersebut dengan berfikiran positif ke arahnya. Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru.Terdapat tiga nilai utama dalam kehidupan iaitu, pengalaman yakni perkara yang terjadi kepada kita, kekreatifan yang mana kita membawa hala tuju hidup kita kepada realiti dan juga tingkah laku iaitu tindak balas yang kita lakukan untuk mengharungi liku-liku kehidupan. Namun, apa yang paling penting ialah apa yang kita lakukan untuk mengharungi perkara yang kita hadapi dalam kehidupan. Sesungguhnya kegagalan pada masa lalu dapat memberi kekuatan kepada kita untuk mengharungi masalah yang sama pada masa akan datang. Kita tidak boleh berputus asa dalam apa jua keadaan dan hanya menyerahkan segalanya kepada takdir. Sesungguhnya, tiada apa yang boleh dilakukan oleh kita sebagai hamba Allah untuk menghalang takdir yang telah ditetapkan kepada kita. Namun, sekurang-kurangnya kita perlu berusaha untuk mengubah takdir tersebut kerana Allah juga pernah berfirman di dalam al Quran yang bermaksud, Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum., melainkan kaum itu sendiri. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan.Orang yang proaktif tidak mudah melatah, dia tidak mudah bertindak mengikut apa yang meransangnya, tetapi dia bertindak mengikut akal. Hal ini amat berbeza dengan orang yang reaktif yang selalu bertindak mengikut keadaan. Sekiranya berada dalam emosi yang baik, maka semua orang akan ditegurnya, jika berada dalam emosi marah, semua orang mahu ditengkingnya. Sikap ini amat buruk terutamanya sebagai bakal pendidik. Sudah tentu murid-murid akan menjadi takut dengan guru mereka sendiri sekiranya guru selalu memarahi mereka tidak tentu masa. Oleh itu, secara automatik mereka akan mengabaikan pengajaran guru tersebut kerana bagi mereka guru hanya tahu untuk marah tanpa mendengar penjelasan yang ingin diberi. Oleh hal yang demikian, untuk menjadi guru yang berjaya, guru yang mampu memikat hati murid-murid, guru yang mampu menyampaikan ilmu dengan baik, maka seseorang itu hendaklah bersikap proaktif.

BERMULA DENGAN WAWASAN DALAM MINDATabiat ini menyuruh kita untuk sentiasa letakkan matlamat yang ingin dicapai sebelum memulakan langkah untuk menggapai matlamat tersebut. Sesuatu kerja tidak mungkin dapat disiapkan dengan sempurna sekiranya tiada wawasan dan matlamat untuk melaksanakan kerja tersebut. Sebagai contoh, seorang guru yang mengajar di dalam kelas, namun beliau tidak meletakkan apa-apa matlamat yang ingin dicapai daripada pembelajaran tersebut, maka pembelajaran tersebut mungkin tidak bererti dan menjadi sia-sia sahaja. Sekurang-kurangnya dengan mempunyai matlamat sebelum mengajar, guru tersebut tahu objektif sebenar beliau masuk ke kelas untuk mengajar sesuatu topik sehingga semua murid faham dan menguasai topik yang diajar tersebut. Tabiat kedua yang dikemukakan oleh Stephen R.Covey ini amat bermanfaat untuk kehidupan kita. Biarlah buat sesuatu dengan hala tuju supaya jelas dan tepat. Sebelum melibatkan diri dengan sesuatu hubungan, cuba bayangkan kesudahan daripada perhubungan tersebut dengan meneliti kesemua perkara yang terlibat dengannya. Contohnya, seseorang guru yang ingin melaksanakan sesuatu program untuk para pelajarnya seharusnya meletakkan matlamat akhir yang ingin dicapai daripada program yang ingin dilaksanakan itu. Maka, tabiat melakukan sesuatu berteraskan visi dan misi yang jelas lagi tepat mampu menjadikan kehidupan seseorang lebih terancang. Selain itu, dengan mempunyai matlamat kehidupan kita lebih terarah. Hidup tanpa arah ibarat layang-layang terputus tali, kehidupan tanpa arah tuju yakni tidak tentu arahnya, ke hilir ke hulu. Oleh itu, untuk melaksanakan sesuatu perkara, matlamatnya perlu diperjelaskan terlebih dahulu. Mulakanlah langkah di kehidupan ini dengan merenung sebuah perjalanan terlebih dahulu. Dengan itu, persiapan untuk untuk menghadapi onak-duri sepanjang perjalanan sudah pasti dapat diatasi dengan kejayaan.

Namun begitu, masih ada individu yang masih keliru tentang matlamat dan juga angan-angan. Mungkin mereka hanya memandang matlamat sebagai angan-angan ataupun sebaliknya. Ketahuilah bahawa, matlamat amat berbeza dengan angan-angan. Mempunyai matlamat sahaja namun tiada usaha ke arah matlamat tersebut itulah yang disebut angan-angan, manakala matlamat yang sebenar disertakan dengan usaha yang cukup mantap untuk mencapai impian tersebut.

UTAMAKAN APA YANG UTAMATabiat ketiga yang disarankan oleh Stephen R. Covey ialah utamakan apa yang utama. Manusia sememangnya seringkali alpa tentang masa yang telah dipinjamkan oleh Allah kepada mereka. Oleh itu, hanya manusia yang cemerlang sahaja yang mampu menguruskan masa mereka dengan baik yang mana sekiranya sekumpulan manusia yang berlumba lari di trek perlumbaan, orang yang mengutamakan perkara yang utama inilah yang akan tiba segera dan sejahtera di akhir garisan penamat. Dalam kehidupan ini, menutamakan perkara yang utama amat berkait rapat dengan sistem penilaian kita terhadap sesuatu. Sistem penilaian menentukan perkara yang berharga dan tidak berharga dalam hidup ini. Sudah tentu dalam kehidupan, perkara yang berharga akan diberi keutamaan, manakala yang kurang berharga akan dipinggirkan. Begitulah lumrah kehidupan.Covey telah membahagikan beberapa kategori mengikut kepentingan. Kategori pertama merupakan perkara yang penting dan mesti dilaksanakan dengan segera. Sebagai contoh, tugasan kerja kursus yang perlu dilaksanakan sebelum sampai tarikh tamat tempoh. Kategori ini hendaklah diberi fokus yang utama kerana perkara-perkara yang tersenarai merupakan perkara yang penting, bernilai dan perlu dilaksanakan dengan segera. Kategori yang kedua pula merupakan perkara yang penting tetapi tidak mustahak. Contohnya, pembinaan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Perhubungan ini perlu difikirkan kerana perkara ini merupakan perancangan kita untuk masa hadapan, namun begitu perkara tersebut tidaklah begitu mustahak kerana kita perlu mengambil masa untuk mengenali pasangan kita sebelum akhirnya membina hubungan suami dan isteri. Kategori yang berikutnya ialah perkara yang tidak penting tetapi perlu dilaksanakan dengan segera. Perkara ini seringkali disalah anggap sebagai perkara yang amat penting. Hal ini menjadikan segolongan daripada kita lebih mementingkan perkara ini daripada perkara yang sepatutnya. Kita ambil contoh, rancangan siaran langsung bola sepak yang menjadi kegemaran kita. Seringkali kita mengabaikan tugasan yang diberikan semata-mata untuk meluangkan masa menonton rancangan siaran langsung bola sepak yang tiada siaran ulangannya. Kategori yang terakhir merupakan perkara yang tidak penting dan tidak mustahak. Perkara ini seharusnya diabaikan terus untuk menjadi manusia yang bijak merancang masanya. Antara aktiviti yang tergolong dalam kategori ini ialah membeli-belah, berbual-bual kosong dan tidur yang berlebihan.Sebagai manusia yang inginkan kejayaan yang sebenar, kita seharusnya bijak merancang penggunaan masa. Selain itu, kita juga perlu bijak untuk memilih perkara mana yang perlu diutamakan. Gunakanlah masa dua puluh empat jam yang dibekalkan oleh Allah seoptimum yang mungkin. Tiada alasan untuk mengatakan kita tiada masa sekiranya gagal menyiapkan sesuatu tugasan kerana setiap individu memiliki bilangan masa yang sama. Antara kebaikan merancang masa dengan baik ialah kita mampu menyiapkan tugasan yang diberi pada masa ditetapkan. Kita juga dapat mendisiplinkan diri dengan melakukan perkara yang berfaedah sepanjang masa. Ingatlah bahawa masa itu ibarat emas, amat rugi sekiranya tidak menggunakan masa sebaiknya. Pepatah juga ada mengatakan masa ibarat pedang, bisa memotong sesiapa sahaja yang tidak menghargainya.

BERFIKIR MENANG-MENANGKita sememangnya membesar dengan satu gambaran bahawa sekiranya hendak memenangi sesuatu, sudah tentu perlu ada yang kalah. Sekiranya tiada siapa yang mahu beralah maka kita memilih untuk kalah-kalah. Sebagai contoh, dalam akademik sudah pasti kita mahu mendapat pertama dalam setiap peperiksaan. Alasannya mudah sahaja, siapa yang pandai akan masuk ke kelas yang pandai, yang kurang pandai maka tercampaklah mereka ke kelas hujung yang menempatkan para pelajar yang nakal. Namun, hakikatnya kehidupan bukanlah merupakah suatu pertandingan yang memerlukan kita untuk berlumba-lumba untuk memenangi pertandingan tersebut. Kehidupan merupakan suatu realiti yang boleh kita menangi bersama-sama. Oleh hal yang demikian, berfikir menang-menang merupakan salah satu tabiat orang yang berkesan.Namun begitu, sangat sukar untuk berfikir secara menang-menang sebagaimana sukarnya untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Hal ini mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan pemikiran menang-kalah, menang hanya kerana kekalahan orang lain, maka kemenangan bukanlah membawa makna. Sebagai contoh, sebagai seorang guru kita sudah terbiasa dengan memberi ganjaran kepada murid-murid yang selalu menunjukkan prestasi yang baik aktiviti yang diadakan. Tanpa kita sedar perkara ini merupakan permulaan untuk murid-murid kita berfikir bahawa dalam kehidupan ini semuanya merupakan pertandingan. Jadi, mereka juga mempraktikkan perkara yang sama, selalu berfikir untuk menang. Oleh itu, berusahalah untuk berfikir secara menang-menang agar kita dapat menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada murid-murd. Titik tolaknya, kesemua tabiat yang telah dikemukakan oleh Covey dari tabiat yang pertama hingga ketiga mampu untuk mewujudkan pemikiran menang-menang ini.

Menjadi seorang yang proaktif bermaksud individu tersebut juga memiliki pemikiran yang positif dan cenderung kepada manfaat dan penyelesaian. Dorongannya merupakan bermula dengan matlamat di minda yang mana kalah-kalah merupakan kesudahan bagi mereka yang selalu memikirkan menang-kalah. Langkah untuk mempraktikkannya pula merupakan mengutamakan apa yang utama yakni mengutamakan kejayaan bersama dan kepentingan masyarakat, bukan hanya mementingkan diri sendiri dan duduk seperti enau dalam belukar yang tidak mahu mengambil kisah terhadap kesusahan orang lain. Kesimpulan kepada kesediaan kita untuk berfikir secara menang-menang ialah sejauh mana hati kita luas dengan perasaan kasih sayang serta tanggungjawab. Kasih sayang kerana kita bersaudara atas iman. Tanggungjawab iaitu memikirkan masalah masyarakat yang harus dibendung, maka terdidiklah individu yang sentiasa berfikiran menang-menang.

BERUSAHA UNTUK MEMAHAMI, SEBELUM DIFAHAMILumrah manusia itu seringkali mahukan perhatian daripada orang lain. Kita memerlukan sahabat mahupun teman yang memahami kehendak diri kita. Namun sedar ataupun tidak bahawa seringkali juga kita mengabaikan mereka dan sentiasa mengambil lewa tanpa berusaha sedikitpun untuk memahami diri mereka. Acapkali kita cuba untuk menasihati seseorang, namun mereka tidak mengendahkan nasihat yang diberi sekaligus menjadikan kita merasakan bahawa mereka pula tidak memahami diri kita sedangkan kita hanya mahukan yang terbaik untuk mereka. Tanpa sedar, kita tidak berusaha untuk memahami diri mereka terlebih dahulu bahkan mengharapkan mereka yang bermasalah yang memahami diri kita. Salahnya bukan pada nasihat yang kita beri, tapi nasihat yang diberi mungkin tidak sesuai dengan masa, suasana dan konteksnya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang datang mengadu akibat ibunya sakit, kita pula sibuk untuk memberi nasihat supaya mereka bersabar sebelum sempat mereka meluahkan derita di hati, sudah tentu nasihat yang diberikan hanya dibiarkan begitu sahaja. Oleh hal yang demikian, sebelum sibuk untuk menasihati orang lain, lebih baik kita melatih diri untuk menjadi pendengar yang baik terlebih dahulu. Allah juga pernah berfirman dalam surah al Zumar ayat 18 yang bermaksud, Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut apa yang terbaiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. Dengan ini, maka terbuktilah sememangnya kita perlu untuk meneliti setiap perkataan yang dikeluarkan oleh seseorang terlebih dahulu tanpa perlu sibuk untuk memberi komen di atas perkara yang disampaikan olehnya. Analisis dahulu perkara tersebut, kemudian barulah beri pandangan. Namun begitu, jangan biasakan diri dengan cara mendengar yang songsang, hanya mendengar tetapi tidak membantu malah memburukkan keadaan. Sebelum ini, kita seringkali didedahkan dengan kemahiran-kemahiran membaca, menulis dan bercakap. Kemahiran mendengar selalu dipinggirkan, akibatnya kita jarang mendengar kerana setiap kali berlaku percakapan kita akan sibuk menyediakan diri untuk memberi hujah-hujah yang hebat, sibuk untuk menilai dan menapis percakapan mengikut paradigma kita sendiri. Sikap inilah banyak menjejaskan hubungan kita sesama manusia. Antara contoh pendengaran yang songsang ialah nampak tekun mendengar, namun hakikatnya tidak mendengar. Tabiat sebegini menyebabkan kita kehilangan reputasi dan kepercayaan daripada rakan-rakan kita kerana kita tidak mampu untuk meminjamkan telinga sekalipun. Selain itu, kita juga perlu elakkan daripada berpura-pura mendengar. Perkara ini akan menyebabkan teman kita percaya bahawa perkara yang disampaikan oleh mereka tidak memberi sebarang makna kepada kita. Oleh itu, mereka tidak akan pernah untuk berkongsi masalah dengan kita lagi. Untuk menjadi seorang pendengar yang baik juga kita tidak boleh sesekali menghukum apa yang dikatakan oleh sahabat kita. Hal ini kerana, dengan cepat membuat hukuman kita mungkin sahaja terlepas peluang untuk memperoleh kebaikan. Sebagai contoh, seseorang mendatangi kita dengan tujuan untuk mempromosikan barangan kesihatan kepada kita. Sepatutnya kita perlulah mendengar apa yang hendak disampaikan oleh beliau terlebih dahulu sebelum menghukum terlebih awal dengan mengatakan produk tersebut merupakan produk tiruan. Mungkin sahaja barangan yang dipromosikan merupakan barang yang berkualiti dan mampu untuk menghilangkan penyakit yang dihidap oleh kita. Untuk menjadi seorang pendengar yang baik, dengarlah dengan mata, hati dan telinga. Menurut kajian, telinga yang menangkap perkataan yang mewakili tujuh peratus maksud pengucapan, sedangkan makna yang berbaki terkandung kepada intonasi, gaya badan dan ekspresi muka. Cuba untuk menerima apa yang sedang diperkatakan oleh penyampai. Di samping itu, kita hendaklah meletakkan diri kita di tempat orang yang sedang bercakap tersebut. cuba bayangkan apakah perasaan mereka jika kita sekadar mendengar acuh tidak acuh. Jika perkara tersebut terjadi kepada kita, sudah semestinya kita akan berasa marah, sama seperti mereka. Kita juga hendaklah berlatih untuk cermin-mencermin. Berfikirlah seperti cermin, tidak menghukum, tidak menilai, tidak mengkritik, tidak memberi nasihat. Sebaliknya cermin hanya memberikan refleks. Semoga dengan apa yang kita praktikkan ini dapat menajmin perhubungan kita sesame manusia.

SINERGISinergi adalah kemuncak kepada tabiat-tabiat yang telah dibincangkan sebelum ini. Sinergi adalah Sunnatullah yang telah menyuburkan kehidupan manusia, lantas seluruh kehendak syariat mendororng manusia untuk saling berkerjasama. Sebagai contoh, untuk makan sepinggan nasi yang berlaukkan ikan, terdapat banyak tenaga manusia yang telah digunakan sebelum dapat memberi kita sepinggan nasi tersebut. Antaranya ialah nelayan, pemandu lori, pesawah, peraih dan ramai lagi yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam penyediaan sepinggan nasi tersebut. Itulah hasil daripada sinergi manusia. Malah, daripada sinergi tersebut kita hanya perlu membayar beberapa ringgit sahaja untuk menikmati hidangan nasi tersebut. Sesungguhnya seluruh alam juga bersinergi. Lihat sahaja rantaian makanan, haiwan karnivor akan makan pemangsanya yang selalunya merupakan haiwan herbivor mahupun omnivor, manakala haiwan tersebut makan tumbuh-tumbuhan, tumbuh-tumbuhan mendapat zat-zat daripada tanah dan baja daripada najis haiwan. Memang terang lagikan bersuluh, sesungguhnya seluruh alam ini bergantung hidup antara satu sama lain. Jika kurangnya populasi sesuatu pihak, maka populasi lain juga turut terjejas. Sama juga seperti tubuh badan, apalah gunanya jari sekiranya tangan tidak dapat bergerak. Semua alam bersinergi untuk keperluan masing-masing. Namun begitu, hanya manusia yang diberi pilihan sama ada mahu menjadi sebahagian daripada sistem atau tidak.Kejadian manusia itu asasnya pada kepelbagaian dan perbezaan. Lelaki dan perempuan tidak sama, suku, bangsa juga tidak serupa. Oleh hal yang demikian, manusia memiliki pelbagai perbezaan pada rupa, bahasa, kecenderungan, selera, cara berfikir dan budaya yang lahir daripada mereka. Terpulang kepada kita untuk melihat perbezaan tersebut sebagai salah satu punca masalah, yang mana perkara ini akan menjadikan permasalahan akan sentiasa berlaku. Maka lihatlah perbezaan tersebut sebagai proses kenal-mengenal dan ambil seberapa banyak manfaat daripadanya. Sinergi bukan bermaksud berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan. Tetapi sinergi bermaksud sama-sama memberi pandangan, dan berbincang untuk memilih yang mana yang lebih baik antara kesemuanya. Kompromi pula merupakan pandangan yang berlainan, sama-sama mengikut pandangan yang berbeza tanpa ada pergaduhan. Namun, kompromi merupakan jalan penyelesaian yang hanya bersifat sementara, perbezaan tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya setiap puak gembira dengan apa yang pada diri mereka. Ianya tiada sinergi yang mana sinergi mampu untuk menggembirakan semua pihak. Bersinergi bermaksud tidak lagi begitu taksub dengan cara yang difikirkan betul oleh diri sendiri, dan begitu taksub menolak cadangan orang lain yang difikirkan salah, sebaliknya mencari jalan yang terbaik untuk menyatupadukan kesemua pihak. Jika kerja berpasukan ini dijadikan amalan, maka pencapaian kita boleh digandakan. Sekiranya bekerja secara individu hanya mendapat hasil satu, namun bekerja secara berkumpulan mampu menggandakan hasilnya bukan setakat kepada dua, tapi tiga bahkan boleh mendapat lebih. Hal ini kerana, faktor kekuatan berkumpulan lebih daripada kekuatan individu.

TAJAMKAN GERGAJIManusia diibaratkan sebagai gergaji. Semakin lama dipakai, diguna untuk memotong kayu, semakin tumpul mata gergaji tersebut. Oleh hal yang demikian, mata gergaji tersebut hendaklah selalu diasah untuk memastikan kesan yang diperoleh berpanjangan dan tabiat yang diamalkan sentiasa istiqomah dan berkekalan. Kesemua tabiat yang sebelum ini diterangkan hendaklah diamalkan untuk mengembalikan dimensi fizikal, spiritual, mental dan sosioemosi kita. Mengembalikan dimensi fizikal bermaksud menjaga kesihatan diri, tidak terlalu fikirkan kerja sehingga mengabaikan waktu rehat. Dimensi fizikal juga merupakan salah satu daripada Muwasafat Tarbiyyah iaitu badan yang sihat. Cuba kita bayangkan sekiranya badan tidak cergas dan cerdas bagaimana kita mampu untuk menjadi individu yang berkesan. Ibarat seorang yang menjual produk kecantikan, namun dirinya sendiri juga mempunyai raut wajah yang bermasalah. Sudah tentu tiada siapa yang akan membeli produk kecantikan tersebut. Dimensi spiritual pula bermaksud kekuatan dalam yang terdapat dalam diri kita. Cuba sedaya upaya untuk terus memotivasikan diri sendiri dan jangan mudah putus asa. Gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya. Percayalah pada diri sendiri. Dimensi mental pula merupakan salah satu dimensi yang perlu diasah ketajamannya. Sebagai contoh, banyakkan membaca untuk memperoleh pengetahuan yang luas. Kita juga perlu meningkatkan kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam diri kita seperti kemahiran komunikasi, kemahiran mendengar, kemahiran membaca dan juga kemahiran menulis. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah bahkan menjaga hubungan dengan manusia. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya mempertingkatkan kemahiran sosial dan pandai mengawal emosi. Hal ini supaya, kita dapat menyesuaikan diri kita ke dalam masyarakat dengan sempurna. Pembangunan kendiri hendaklah dibina secara seimbang untuk memenuhi keempat-empat dimensi fizikal, spiritual, mental dan sosial emosi.

Kesimpulannya, ketujuh-tujuh tabiat orang yang berkesan ini amat penting untuk dilaksanakan untuk memastikan kita berjaya menjadi individu berkesan. Tabiat yang pertama hingga ketiga lebih kepada pembinaan individu itu sendiri, manakala tabiat keempat hingga keenam melibatkan individu dengan masyarakat sekeliling. Tabiat ketujuh merupakan tabiat yang paling penting untuk memastikan kesemua tabiat tadi diamalkan secara berterusan bukan berkala dan untuk memastikan lahirnya individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

REFLEKSIBerdasarkan pembacaan saya mengenai tujuh tabiat orang yang berkesan hasil tulisan Stephen R. Covey, saya mendapati hanya satu sahaja amalan yang benar-benar saya amalkan iaitu bermula dengan wawasan dalam minda. Saya tahu kepentingan meletakkan matlamat sebelum memulakan sesuatu perkara. Hal ini supaya kita sentiasa berada dilandasan yang betul untuk cuba memperoleh apa yang dihajati. Benar, saya memang selalu menginginkan kesempurnaan dalam hidaup saya dan saya rasa semua orang inginkan perkara yang sama. Jadi tidak salah untuk meletakkan matlamat asalkan kita tahu kemampuan kita dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut. Saya pernah meletakkan matlamat untuk mendapat tempat ke tiga puluh sekurang-kurangnya dalam tingkatan pada masa saya bersekolah di sekolah berasrama penuh dahulu dan Alhamdulillah saya berjaya merealisasikannya. Pada tiap-tiap kali peperiksaan dari tingkatan satu hingga lima saya tidak pernah mendapat tempat lebih daripada tiga puluh. Bagi saya, meletakkan satu matlamat di hadapan membawa kita kepada kejayaan. Kita juga dapat merancang masa depan dengan sebaiknya. Hal ini kerana, kita mampu untuk melihat ke hadapan dengan meletakkan matlamat sebelum melaksanakan sesuatu perkara.Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan, sekiranya kita gagal mencapai matlamat yang telah disasarkan, sudah pasti kita berasa lemah, gagal sama sekali. Saya juga pernah menghadapi masalah yang sama. Matlamat yang telah saya tetapkan yakni untuk mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak tepat. Akhirnya, saya yang kecewa kerana sudah menjadi impian saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pembinaan dan belajar di luar negara. Namun, saya sedar bahawa usaha saya ke arah matlamat yang telah ditetapkan kurang. Jadi, tiada guna untuk menyesal perkara yang sudah berlalu. Saya menerima takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan dan saya juga telah meletakkan matlamat untuk menjadi guru yang cemerlang suatu hari nanti. Semoga apa yang impikan akan menjadi kenyataan pada suatu masa nanti.Sekiranya berpeluang sudah tentu saya ingin mengamalkan kesemua tabiat yang telah disarankan oleh Covey. Namun, kiranya diberi pilihan, tabiat yang paling hendak saya amalkan ialah tabiat yang ketiga dan juga kelima iaitu tabiat utamakan yang utama dan juga berusaha untuk memahami sebelum ingin difahami. Saya memilih tabiat yang ketiga kerana bagi saya tabiat ini merupakan tabiat yang paling penting untuk merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan. Sudah tentu matlamat hanya sia-sia sekiranya tiada perancangan yang rapi untuk mencapai matlamat tersebut. Sebagai contoh, matlamat untuk menyiapkan tugasan dalam masa dua hari akan tinggal angan-angan sekiranya asyik menonton televisyen. Hal ini membuktikan perancangan masa yang baik mampu melahirkan individu yang efektif. Kategori-kategori yang diperkenalkan amat membantu saya dalam mengenalpasti perkara yang sepatutnya saya utamakan dan yang sebaliknya. Semoga saya dapat belajar untuk mengurs masa dengan baik dengan mengamalkan utama perkara yang utama. Saya juga ingin mengamalkan tabiat berusaha untuk memahami sebelum ingin difahami. Sebagai seorang manusia biasa, sudah tentu kita inginkan teman-teman serta sahabat handai memahami kehendak diri kita. Saya juga tidak terlepas daripada perkara tersebut. Namun apa yang menyedihkan ialah saya bukan pendengar yang baik yang mana sebelum saya tidak tahu kepentingannya untuk menjadi pendengar yang baik. Bagi saya, tabiat ini merupakan tabiat yang terbaik untuk membina hubungan yang baik sesama manusia. Sememangnya Allah mengarahkan manusia untuk sentiasa berpesan-pesan ke arah kebaikan tetapi kita haris tahu pendekatan yang sewajarnya digunakan untuk menasihati seseorang. Kita tidak boleh berlagak pandai dan memerlukan masa, keadaan dan konteks yang sesuai, bukan sekadar redah sahaja. Saya memilih tabiat ini kerana bagi saya tabiat ini mampu untuk mendidik saya untuk menjadi orang yang lebih sabar. Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Saya amat berharap saya dapat mengamalkan tabiat-tabiat ini secara konsisten. Semoga suatu hari nanti saya berjaya menjadi salah seorang pendidik yang berkesan. InsyaALLAH.