etika hakim mahkamah syariah
DESCRIPTION
UNTUK BACAAN UMUMTRANSCRIPT
-
ETIKA HAKIM MAHKAMAH SYARIAH YANG DIANJURKAN SYARAK DI
DALAM MAHKAMAH SYARIAH
PENDAHULUAN
Institusi kehakiman telah diletakkan satu nilai yang tinggi padanya di mana hakim
memainkan peranan yang penting dalam memberikan keadilan yang diputuskan dalam
keputusan hakim yang arif. Seorang hakim menghayati tatatertibnya yang tersendiri yang
berlainan dengan tatatertib seorang manusia yang biasa dalam menjalani kehidupan seharian.
Kehebatan seorang hakim itu terletak di sebalik etika yang diamalkannya di manaetika hakim
telah menjadi sebutan kesan dari keunggulan seorang hakim Islam yang melaksanakan
amanah yang telah ditugaskan dan memastikan keputusan yang dibuat adalah keputusan yang
seadilnya.
Etika atau tatatertib kehakiman berdasarkan kitab-kitab Arab disebut adab al-Qadi.
Adab didefinisikan sebagai tingkah laku yang baik dan indah serta sifat-sifat yang terpuji di
dalam pergaulan seseorang. Qadi pula bermaksud orang yang menjatuhkan hukuman atau
orang yang membuat keputusan di dalam sesuatu perkara berlandaskan hukum syarak dan ia
wajib diterima, dilaksanakan dan dipatuhi. Jika digabungkan perkataan adab dan qadi ini,
maka ia akan memberi maksud iaitu perkara-perkara yang lazim dilakukan oleh seorang qadi
dalam melaksanakan tugasnya atas dasar keadilan, menolak kezaliman, meninggalkan
kecenderungan nafsu, memelihara ketentuan syarak dan mengamalkan segala yang ditetapkan
di dalamnya.
Sewajarnya seorang hakim itu mempunyai kehebatan bersopan santun, jauh dari
sesuatu yang boleh menjejaskan maruah dan yang tidak layak dengan kedudukannya sebagai
hakim dan elakkan setiap yang perkara yang boleh menghilangkan kehebatan dan kehormatan
orang kepadanya baik dari segi perbuatan serta percakapan. (Dr. Abdul Karim Zaidan, 2000).
Para fuqaha telah memberi ingatan hal yang demikian dan dan mereka juga menyebut perkara-
perkara yang perlu dijauhi oleh seorang hakim tentang kelakuan dan perjalanan dalam kerja-
kerja mereka. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan
hakim lagi masuk syurga. Yang masuk syurga ialah yang mengetahui kebenaran hukum dan
-
mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang hak tapi tidak
mengadili dengan hukum tersebut, bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara,
maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang tidak mengetahui yang hak dan
memutuskan perkara berdasarkan kejahilannya, maka dia juga masuk neraka.
(Hadith riwayat Abu Dawud dan Ath-Thahawi)
Tatatertib atau etika kehakiman dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu etika
umum seorang hakim, etika hakim yang khusus di dalam mahkamah, dan etika hakim di
luar mahkamah. Etika hakim di dalam mahkamah dibincangkan dengan lebih khusus di
mana etika hakim di dalam mahkamah menurut syarak dan akan dibandingkan dengan etika
hakim mahkamah syariah yang terpakai pada hari ini dari sudut persamaan dan perbezaannya.
ETIKA KEHAKIMAN MENURUT PERSPEKTIF PERUNDANGAN SEMASA
Beberapa etika hakim yang terpakai masa kini adalah bersandarkan syarak Islam.
Persamaan yang dikenalpasti telah dihuraikan dengan lebih lanjut di dalam perbincangan di
bawah. Perundangan bertulis mengenai etika hakim boleh dilihat di dalam Arahan Amalan
No. 1 Tahun 2001, Arahan Amalan No. 4 2012 dan Arahan Amalan No. 5 Tahun 2005.
Kod Etika Hakim ini diperkenalkan bertujuan untuk memastikan perjalanan kes-kes di
Mahkamah Syariah lancar di samping ingin mengurangkan kritikan masyrakat mengenai
kelembapan proses di Mahkamah Syariah berbanding Mahkamah Sivil. Menurut Ketua
Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Arahan Amalan ini akan
menjadikan sistem pentadbiran dan pengurusan di Mahkamah Syariah lebih tersusun (Datuk
Sheikh Ghazali Abdul Rahman, 2001).
Hakim mempunyai tugas-tugas dan tatatertib yang khusus dan tersendiri semasa
bertugas di mahkamah yang merangkumi persekitaran atau suasana tempat bertugas dan juga
tingkah laku atau tindakan hakim ketika menjalankan tugasnya. Persekitaran atau suasana
tempat bertugas berkait rapat dengan fungsi mahkamah iaitu sebagai tempat untuk
mengembalikan hak yang hilang dan menghukum orang yang salah. Mahkamah mestilah
terletak di kawasan yang strategik supaya dapat memudahkan orang ramai untuk mencari dan
juga hadir ke mahkamah. Mahkamah juga perlu mempunyai ruang yang khusus untuk
-
keselesaan hakimdi mana hakim hendaklah ditempatkan di tempat yang lebih tinggi dan jelas
posisinya di dalam kamar perbicaraan.
Seseorang hakim itu terikat kepada banyak etika yang merangkumi etika berkaitan
dengan perlantikan, permohonan, gerak laku di dalam mahkamah dan di luar mahkamah
secara umum dan khusus (Abdul Monir, 2001). Dalam membincangkan tingkah laku atau
tindakan hakim ketika menjalankan tugasnya sebagai pengadil dalam mengendalikan kes,
ulama fiqh telah membincangkan hal ini dengan terperinci dan telah memutuskan beberapa
etika yang perlu dipatuhi seseorang hakim dalam menjalankan tugasnya di mahkamah.
1) Berasaskan Hukum Quran
Setiap hukuman hendaklah berasaskan hukum-hukum yang ada di dalam Al-Quran.
Jika tidak didapati hukumannya di dalam Al-Quran, hendaklah dicari hukumnya di dalam
hadith Rasulullah s. a. w dan jika tidak ada juga hendaklah berijtihad. Perkara ijtihad ini pada
zaman sekarang sangat sukar hendak didapati maka sebab itulah kita menerima pendapat
Imam Ghazali di mana boleh diterima perlantikan hakim yang tidak sampai ke peringkat
Mujtahid dan apabila keadaan seperti ini berlaku, hakim berkenaan hendaklah merujuk
kepada IjmaUlama (kata sepakat Ulama) yang muktabar dan jika ini juga tidak diperolehi,
boleh menggunakan Qiyas. Ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah s. a. w kepada Muaz
Ibn Jabal sebelum dihantar menjadi hakim ke Yaman.
Baginda bertanya kepada Muaz: Apakah caranya engkau menghukum jika engkau
dikehendaki memutuskan sesuatu kes?
Muaz menjawab: Aku akan menghukum dengan kitab Allah.
Nabi bertanya lagi: Jika engkau tidak menemuinya?
Muaz menjawab: Dengan sunnah Rasulullah s. a. w.
Nabi bertanya lagi: Jika engkau tidak menemuinya dalam Kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah?
Muaz menjawab: Aku akan berijtihad berdasarkan pendapatku dan tidak akan aku biarkan.
(Hadith riwayat Ahmad dan Daud)
Satu syarat yang diangkat menjadi hakim adalah memiliki kemampuan berijtihad dan
bersungguh-sungguh mencari hak dengan berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Hukum
yang wajib dilakukan terlebih dahulu adalah menurut yang tertulis dalam Al-Quran. Jika tidak
-
terdapat dalam Al-Quran, barulah dari dalam hadith, jika tidak ditemukan dalam hadith,
dicari Illah dan persamaannya, inilah yang disebut dengan ijtihad. Jika tidak terdapat dalam
Al-Quran tetapi mempunyai ikatan atau persamaan dengan perkara lain yang hukumnya ada
dalam Al-Quran dan hadith, maka hukumnya disamakan dan inilah yang disebut sebagai
qiyas dimana orang yang melakukan hendaklah yang pandai berijtihad menurut syarak.
Diadaptasikan daripada hukum syarak kepada Arahan Amalan yang digunakan
sekarang, Kod 4(a) memperuntukkan mengenai keperluan hakim untuk melaksanakan
keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak. Seseorang hakim perlulah
sesorang yang mengambilkira ciri-ciri yang berlandaskan syariah Islam dalam menetapkan
sesuatu kehakiman. Hakim mestilah mendengar keterangan kedua-dua belah pihak sebelum
membuat keputusan. Di dalam Kod 4(b) pula memperuntukkan mengenai keperluan
seseorang hakim untuk menjalankan tugas mengikut Hukum Syarak dan memberi
penghakimannya berdasarkan undang-undang berkaitan. Di Malaysia, undang-undang Islam
yang diterima pakai adalah berbeza mengikut negeri masing-masing. Sebagai contoh, di
Negeri Selangor, undang-undang Islam yang terpakai adalah Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003 bagi kes mal dan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi kes
jenayah.
2) Tenang
Seseorang hakim tidak boleh mengadili sesuatu kes dalam keadaan-keadaan yang
dinyatakan dalam hadith Rasulullah yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw : Dari
Abdurahman bin Abu Bakrah r. a berkata ia: bersabda Rasulullah saw: hakim tidak boleh
menjatuhkan hukuman kedua orang yang berperkara ketika ia sedang keadaan marah. Dan
jangan sampai menjatuhkan hukuman dalam keadaan :
1) ketika dalam keadaan marah
2) ketika dalam keadaan lapar dan dahaga
3) ketika sangat gembira atau berdukacita
4) ketika kurang sihat
5) ketika menahan buang air besar atau kecil
6) sedang mengantuk
Sangat panas atau sangat dingin juga tidak boleh kerana semua itu dapat mempengaruhi
ketenangan fikiran dan boleh mengakibatkan ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman
-
Seseorang hakim tidak boleh mendengar atau menjatuhkan hukuman sesuatu kes
ketika dalam keadaan marah kerana marah ini akan datang dengan hawa nafsu, dan hawa
nafsu biasanya membawa kepada kebinasaan dan kezaliman. Seorang hakim tidak boleh
membiarkan perasaan atau emosinya mempengaruhi keputusannya. Ini berdasarkan hadith
yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah r. a. sabda Nabi s. a. w. yang
bermaksud:
Hakim tidak boleh menjatuhkan sesuatu hukuman ke atas dua orang (Plaintif dan Defendan)
ketika hakim itu dalam keadaan marah.
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan maksud hadith di atasini, dapat dinyatakan bahawa etika yang perlu
dipatuhi oleh seorang hakim di dalam mahkamah ialah hakim hendaklah sentiasa tenang
semasa perbicaraan berlangsung. Merujuk Kamus Dewan edisi ke-4 penerangan kedua,
tenang adalah tidak gelisah, kacau, rusuh hati serta dalam keadaan aman tenteram. Mengenai
keperluan untuk tidak mendengar kes ketika marah boleh dilihat di dalam Kod 4(c) Arahan
Amalan yang menerangkan mengenai keperluan seseorang hakim untuk tidak mendengar
perbicaraan di dalam keadaan tidak tenang dan di dalam Kod 4(e) itu memperuntukan
keperluan seseorang hakim untuk memberi penghakimannya apabila dia berkeadaan tenang.
Ketenangan adalah perkara utama yang perlu ada pada jiwa dan fikiran para hakim
sewaktu di dalam kamar perbicaraan dan hanya melalui ketenangan, daya tumpuan akan lebih
jelas dan hakim akan lebih bersedia untuk memutuskan keputusan. Keadaan tenang atau
runsingnya seseorang hakim itu digariskan oleh para fuqahadan Baginda Rasullullah sendiri.
Antara hadis yang diriwayatkan, baginda telah bersabda:
Seseorang Hakim (pengadil) jangan sekali-kali membuat keputusan di antara dua orang
sedangkan ia dalam keadaan marah
3) Tidak terpengaruh dengan orang-orang di sekeliling
Etika yang ketiga ialah hakim mestilah tidak terpengaruh dengan orang-orang di
sekeliling dalam memutuskan penghakimannya. Seorang hakim hendaklah berhati-hati
dengan orang-orang di sekelilingnya, contohnya hakim mestilah bersikap tegas dengan
peguam sekiranya peguam tidak mematuhi etika-etika dalam mahkamah. Selain itu, hakim
-
juga hendaklah tidak mudah terpengaruh dengan pengakuan pihak-pihak yang berbalah dan
saksi-saksi sekiranya ia boleh mendatangkan akibat yang buruk dalam mahkamah. Oleh itu,
hakim janganlah sekali-kali memberi kelonggaran terhadap orang-orang di sekelilingnya bagi
mengelakkan hakim mudah terpengaruh sebelum memutuskan penghakimannya.
Hakim mestilah berhati-hati dengan pihak yang terlibat iaitu seorang hakim itu tidak
seharusnya terpedaya dan tertipu dengan telatah atau tindak tanduk pihak-pihak yang terlibat
kerana ianya mungkin dilakukan sebagai satu cara untuk memperdaya hakim atau bertujuan
untuk mempengaruhi hakim tersebut. Di dalam Arahan Amalan, Kod 4(g) telah
memperuntukan mengenai keperluan seseorang hakim untuk bertindak tegas dan adil dan
tidak dipengaruhi oleh keadaan atau orang yang hadir di hadapannya. Contohnya, hakim
perlulah berhati-hati dengan sikap pihak-pihak yang terlibat seperti menangis untuk
mendapatkan simpatinya. Dalam situasi ini, hakim tidak boleh terpengaruh kerana ini akan
mempengaruhi juga keputusan hakim nanti. Sebagaimana hadith Rasulullah yang bermaksud:
Sesungguhnya kamu telah datang mengadukan perkara ini kepada aku sedangkan
aku ini seorang manusia. Mungkin ada di antara kamu yang lebih pintar dalam
menghuraikan hujahnya daripada yang lain. Aku hanya memutuskan berdasarkan apa yang
aku dengar daripada keterangan yang kamu berikan. Maka barang siapa yang aku berikan
hukuman untuknya (kerana kepetahannya berhujah) sesuatu dari hak saudaranya, bermakna
aku telah memberikan kepadanya sepotong api neraka, dan dia akan menggantung apa yang
aku hukumkan untuknya itu dilehernya untuk dijadikan alat pembakar api pada hari kiamat.
(Hadith riwayat Aththusi).
4) Memberi layanan yang sama
Selain itu, etika lain yang ditentukan oleh ulama fiqh ialah hakim hendaklah memberi
layanan yang sama. Menurut etika ini, sikap seseorang hakim di dalam menjalankan sesuatu
perbicaraan adalah penting kerana sikap itu boleh mempengaruhi seseorang hakim di dalam
memutuskan penghakimannya sama ada secara langsung atau tidak. Oleh itu, hakim
hendaklah sentiasa bersikap adil, di mana seorang hakim wajib memberi layanan yang sama
di antara kedua pihak yang berbalah di dalam sesuatu perbicaraan di mahkamah. Pihak yang
mendakwa dan yang didakwa hendaklah duduk di hadapan hakim. Kedua-dua mereka tidak
boleh duduk sebelah menyebelah kerana antara kiri dan kanan ada keistimewaannya (Abdul
-
Ala al-Autwah, 1969). Di bawah etika ini juga, hakim hendaklah menyamakan dari segi
pandangannya ke arah kedua belah pihak yang berbalah.
Hakim hendaklah menyamakan tempat duduk, pertanyaan dan sebagainya di antara
Plaintif dan Defendan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a.
katanya yang bermaksud:
Rasulullah s. a. w. telah menjatuhkan hukuman di mana kedua-dua pihak yang bersengketa
itu berada di hadapan Hakim.
(Hadith riwayat Abu Daud dan disahkan oleh Al-Hakim)
Jelas hakim atau kadi tidak dibenarkan membezakan di antara dua orang yang
berselisih dalam perkara tempat duduk, hakim mestilah mendudukkan mereka sama-sama di
hadapan, bukan dua-dua di sebelah kanan atau dua-dua di sebelah kira dan jika salah satu ini
dilakukan bermakna seorang akan berada lebih dekat pada hakim dan yang seorang lagi jauh.
Begitu juga tidak boleh mendudukkan seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah
kiri kerana yang duduk di kanan tentu saja akan berperasaan dia lebih terhormat daripada
lawannya yang di kiri. Sampai begitu sekali Islam memperinci keadilan, adakah ini terdapat
di dalam undang-undang lain, adakah ia juga turut diambil kira oleh undang-undang ciptaan
manusia akan disiplin atau etika seumpama ini, rasanya tidak.
Keperluan untuk memberi layanan sama rata kepada pihak-pihak dan peguam-peguam
dapat dilihat di dalam Kod 4(l) Arahan Amalan. Hakim juga hendaklah memuliakan saksi
tanpa mengira dari pihak mana sekalipun hendaklah diberi layanan yang sama dan dihormati.
Hakim juga tidak boleh menghasut saksi atau mengajar saksi salah satu pihak. Tetapi dalam
kes di mana keterangan saksi-saksi adalah diragui dan disifatkan tidak munasabah, maka
hakim boleh menyoal saksi-saksi sama ada secara terbuka atau tertutup (Abdul Ala al-Autwah,
1969). Peruntukan bagi memuliakan saksi pula dapat dilihat di dalam Kod 4(k).
Keperluan ini termasuk etika hakim untuk mendengar keterangan dari kedua-dua pihak
dengan penuh perhatian sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ali r. a, sabda
Rasulullah s. a. w. yang bermaksud:
Apabila dua orang (Plaintif dan Defendan) minta sesuatu hukuman kepada engkau, maka
janganlah engkau putuskan hukuman bagi orang yang pertama (Planitif) sebelum engkau
-
mendengar jawapan (keterangan) orang yang kedua (Defendan). Maka dengan itu engkau
mengetahui cara menghukum mereka.
(Hadith riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Proses ini terpaksa dilalui terlebih dahulu di mana hakim mendengar dahulu setiap
keterangan berdasarkan jawapan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak. Kemudian
barulah mahkamah yang membuat keputusan. Sekiranya mahkamah merasakan keterangan
afidavit kedua-dua pihak yang dikemukakan sudah memadai, maka keputusan berhubung kes
akan dibuat berdasarkan pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang mengadili.
5) Jangan memanjangkan perbicaraan
Etika hakim di dalam mahkamah yang seterusnya ialah jangan memanjangkan
perbicaraan. Perbicaraan janganlah dipanjangkan tanpa keperluan kerana perbicaraan yang
sengaja dipanjangkan boleh menjejaskan keadilan dan mendatangkan kebosanan. Secara
umumnya, apabila sesuatu perbicaraan itu sudah memuaskan hati hakim, maka hakim wajib
membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman dengan segera tanpa membuat penangguhan.
Jika seorang hakim tidak mematuhi etika ini, maka hakim tersebut boleh dipecat dari
jawatannya kerana melambat-lambatkan hukuman boleh mendatangkan kemudaratan kepada
manusia dan menjejaskan kepentingan mereka (Muhammad Salam Madkur, 1982).
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian kepada etika ini, di mana hakim boleh
atas budi bicaranya menangguhkan perbicaraan atas sebab-sebab yang munasabah seperti
untuk membuat penyiasatan yang lebih rapi, atau terdapat permohonan dari mana-mana pihak
yang berbalah untuk menangguhkan perbicaraan. Tetapi ulama menghadkan tempoh
penangguhan itu tidak melebihi dua hari. Oleh itu, di sini seorang hakim harus
memanjangkan perbicaraannya untuk menyiasat saksi, menyiasat dakwaan yang dibawa dan
juga sekiranya terdapat permintaan dari pihak-pihak yang terlibat (Muhammad Salam Madkur,
1982).
Pemakaiannya di Mahkamah Syariah kini juga dapat dilihat di mana seorang hakim
syarie perlu menyegerakan kes dan ini diperuntukan di dalam Kod 5 yang menjelaskan
bahawa Hakim hendaklah bersungguh-sungguh dan tidak melengah-lengah tanpa alasan yang
munasabah menyelesaikan kes-kes, memberi keputusan, menulis alasan penghakiman dan
mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie dari masa ke semasa.
-
Penangguhan kes ke satu tarikh tertentu adalah supaya hakim berpeluang membuat keputusan
dengan ijtihadnya berdasarkan keterangan tertuduh dan saksi-saksi yang ada dalam catatannya
(Ibnor Azli Ibrahim, 1999).
6)Tidak menghakimkan kerabat
Selain itu, ulama fiqh juga menetapkan seorang hakim supaya tidak menghakimkan
kerabatnya di dalam sesuatu perbicaraan di dalam mahkamah. Hakim hendaklah
mengelakkan dirinya dari segala tohmahan dan prasangka yang boleh menimbulkan
kesangsian orang ramai terhadap keadilannya. Oleh sebab itu, seorang hakim tidak boleh
menghakimi kes yang melibatkan dirinya atau kerabatnya seperti anaknya. Jika hakim itu
mengadili juga kes itu, maka penghakimannya dikira batal dan tidak boleh diterima (Al-
Mawardi, 1978).
Menurut Arahan Amalan ini, ia juga telah melarang seseorang hakim untuk
membicarakan apa-apa kes di mana pihak yang terlibat itu ialah musuhnya atau orang lain
yang berkemungkinan akan mempengaruhi tugas kehakimannya sebagai seorang Hakim
Syarie. Larangan ini jelas telah diperuntukan di dalam Kod 4(f)
7) Damaikan dahulu sebelum diselesai menerusi penghakiman/bicara
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau
tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di
antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi
mereka daripada bercerai-berai) sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak
ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik
-
(dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya
Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
(Surah An-Nisa : 128)
Seorang hakim syarie zaman ini juga perlu untuk menggalakkan pihak-pihak
menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sulh dalam kes-kes
mal di mana-mana peringkat sebelum dia memberi penghakiman dan ini diperuntukan di
dalam Kod 4(j). Dinyatakan dalam Risalah Umar al-Khattab, hakim hendaklah utamakan
untuk menyelesaikan sesuatu kes itu secara sulh kerana jika selesai melalui kehakiman akan
menimbulkan dendam di antara kedua-dua belah pihak yang berbalah. Oleh itu, hakim tidak
bolehlah tergesa-gesa untuk meneruskan perbicaraan tanpa memberi keutamaan untuk
berdamai dahulu. Walau bagaimanapun, menurut Al-Shaibani, tidak wajar sulh jika pihak
tidak mahu. Imam Malik Bin Anas pula menyatakan adalah tidak wajar jika hakim memaksa
supaya sulh diadakan.
8) Hakim perlu mengikut tatacara kehakiman
Etika hakim yang seterusnya memerlukan seorang hakim untuk mengikut tatacara
yang telah ditetapkan di dalam mahkamah. Tatacara yang perlu dipatuhi ialah seperti pihak-
pihak bercakap mengikut giliran. Kemudian perbicaraan akan dimulai dengan mendengar
dakwaan atau tuduhan dahulu. Pembuktian dakwaan juga perlulah dibuat menerusi kaedah
shahadah, bayyinah dan iqrar. Hakim juga boleh mengarahkan penggunaan sumpah untuk
kes tertentu bagi pihak yang kena tuntut atau pihak yang didakwa.
Seseorang hakim juga perlu memastikan prosiding di Mahkamah berjalan dengan
teratur menurut peraturan Mahkamah dan hakim adalah perlu untuk mengawal keadaan di
dalam Mahkamah supaya perbicaraan antara pihak-pihak bertikai dapat berjalan dengan
lancar. Keperluan ini diperuntukan di dalam Kod 4(i) di mana sesorang hakim adalah
dikatakan merupakan seseorang yang paling berkuasa di dalam Mahkamah sehingga digeruni
oleh pihak-pihak yang terlibat dan oleh yang demikian mempunyai berkuasa untuk mengawal
keseluruhan keadaan Mahkamah. Sekiranya pihak-pihak yang terlibat tidak mengikut
prosiding Mahkamah, hakim boleh membuat teguran secara berdepan atau secara
perseorangan. Hakim juga boleh menyuruh pihak yang menghina Mahkamah keluar dari
perbicaraan sekiranya dirasakan perlu.
-
9) Pakaian
Tujuan hakim berpakaian bukan sahaja untuk menutup aurat, tetapi haruslah
membawa sifat hibah. Menurut Al-Mawardi, pakaian hakim itu harus dapat membezakannya
daripada orang kebiasaan yang digaulinya. Seseorang hakim itu juga haruslah mengikut
kebiasaan adat kepada para hakim yang lain iaitu memakai kopiah, serban hitam dan baju
panjang yang bewarna hitam.
Menurut Arahan Amalan No 6 Tahun 2005, keputusan Mesyuarat Arahan Amalan
Mahkamah Syariah telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan
pakaian Hakim Syarie dalam Mahkamah Rendah Syariah (MRS), iaitu berpakaian kemas dan
sopan, bersongkok hitam, berbaju melayu hitam dan bersampin hitam dan / atau berkot hitam,
berkemeja putih, bertali leher gelap dan berseluar panjang hitam serta berkasut hitam. Akan
tetapi Arahan Amalan Tahun 2005 ini telah dimansuhkan oleh Arahan Amalan No 4 Tahun
2012 di mana pakaian hakim syarie di MRS kini adalah berpakaian kemas dan menutup aurat,
iaitu lelaki bersongkok hitam, berbaju melayu hitam dan bersampin hitam dan/atau berkot
hitam, berkemeja putih, bertali leher gelap, berseluar panjang hitam serta berkasut hitam.
Manakala perempuan pula berkot hitam, berbaju kurung berwarna gelap/bercorak hitam putih
atau berblaus putih dan berkain hitam bertudung hitam, berstokin dan berkasut hitam yang
bertutup. Garis panduan pakaian hakim syarie dalam Mahkamah Rayuan (MR) dan
Mahkamah Tinggi (MT) pula digariskan dalam Arahan Amalan No 5 Tahun 2005 dimana
pakaian Hakim Syarie dalam MR dan MT ialah berpakaian kemas dan sopan, bersongkok
hitam, berjubah, berbaju melayu hitam dan bersampin hitam atau berkot hitam,
ETIKA KEHAKIMAN YANG DIANJURKAN OLEH HUKUM SYARAK
1) Adil
Hakim sebagai orang tengah tidak boleh memihak kepada pihak tertentu dan
hendaklah bersifat adil dalam penghakiman. Firman Allah yang bermaksud:
Dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia, Allah menyuruh kamu
menghukum dengan adil. (Surah An-Nisa:58)
-
Seorang hakim tidak akan berlaku adil jika dia condong untuk menjaga kepentingan
suatu pihak terutama yang mempunyai pengaruh dan kedudukan di dalam masyarakat.
Golongan pemimpin, hartawan dan bangsawan biasanya akan menggunakan pengaruh mereka
sama ada wang atau hubungan baik untuk mendapat sokongan dan bantuan para hakim untuk
memberi kemenangan bagi pihak mereka walaupun mereka berada dipihak yang bersalah.
Nabi S. A. W sungguh murka apabila ada sahabat yang cuba menggunakan pengaruh
peribadinya yang baik dengan Rasulullah s. a. w untuk menyelamatkan seseorang wanita
bangsawan yang telah sabit kesalahan mencuri. Seorang wanita di zaman Rasulullah S. A. W
sesudah pembukaan kota Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah S. A. W memerintahkan agar
tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah S. A. W untuk meminta
keringanan hukuman bagi wanita tersebut. Mendengar permintaan Usamah, wajah Rasulullah
s. a. w langsung berubah. Baginda lalu bersabda maksudnya: Apakah kamu akan minta
pertolongan untuk melanggar hukum-hukum Allah Azza Wajalla? Usamah lalu menjawab,
Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulullah.
Etika ini adalah tidak dimasukkan di dalam Kod Etika Hakim zaman ini kerana di
dalam pemilihan seseorang hakim syarie di Malaysia, sifat adil ini adalah ditekankan dan oleh
yang demikian etika adil ini bukan suatu keperluan tetapi suatu kewajipan yang perlu ada bagi
seseorang hakim.
2) Percakapan
Etika yang seterusnya ialah dari segi percakapan seorang hakim. Antara adab lain bagi
seorang hakim sewaktu prosiding berjalan adalah ia harus mengawal tempoh, nada dan
penggunaan bahasanya. Adalah perlu untuk seorang hakim memaparkan karekter yang tegas
dan berkeperibadian tinggi. Gaya percakapan haruslah seimbang untuk mencapai matlamat
Hakim untuk menegur kesilapan dan pada masa yang sama dihormati. Namun, hakim
tidaklah perlu berperwatakan bengis dan membentak setiap masa. Hakim juga tidak boleh
terbawa-bawa dengan suasana perbicaraan, seperti menangis, tertawa atau memarahi mana-
mana pihak.
Percakapan juga haruslah diterhadkan dan tidak bersembang sesama hakim. Etika ini
adalah tidak perlu untuk dimasukkan di dalam Kod Etika Hakim kerana proses peredaran
-
masa ditambah pula dengan ikutan turun temurun menjadikan hakim kini mengetahui
mengenai etika ini tanpa perlu diperundangkan.
3) Giliran perbicaraan kes
Selain daripada etika-etika yang telah disebut di atas, perkara-perkara lain yang perlu
diambil perhatian adalahbagaimana etika hakim dalam menentukan kes yang mana perlu
dibicarakan dahulu. Apabila satu-satu kes itu telah dicatat di mahkamah, maka hakim perlu
mengambil perhatian terhadap kes yang telah dicatatkan terdahulu untuk dibicarakan. Kes
yang dikemukakan dahulu hendaklah dibicarakan lebih awal. Sekiranya kes itu dikemukakan
serentak maka hakim hendaklah mengadakan undian untuk menentukan mana yang patut
dibicarakan terlebih dahulu. Tetapi, menurut Al-Syarakhsi dalam kes di mana orang yang
ingin membicarakan kes itu datang dari tempat yang jauh, maka ia perlu didahulukan atau
kes-kes yang melibatkan saksi-saksi yang ramai atau saksi-saksinya melibatkan kaum wanita
kerana kebenaran keluar adalah tertakluk kepada kebenaran pihak suami. Etika ini tidak
dimasukkan di dalam Kod Etika Hakim kerana berkemungkinan ia tidak sesuai untuk
digunakan pada zaman ini. Hal ini adalah kerana lokasi-lokasi mahkamah syariah yang
terletak di setiap daerah serta negeri telah memudahkan orang awam untuk datang dan pergi
tanpa ada sebarang masalah. Selain itu, kaum suami masa ini adalah lebih bersifat terbuka
dan memahami dan tidak terlalu mengongkong pergerakan isteri yang kebanyakan
mempunyai kerjaya tersendiri.
4) Bermusyawarah
Perkara lain yang turut ditetapkan oleh ulama fiqh ialah jika perbicaraan itu
melibatkan kes yang berat dan memerlukan pengadilan yang teliti, maka hakim bolehlah
bermusyawarah dengan pembantu-pembantunya. Tetapi segala keputusan hakim hendaklah
tidak bercanggah dengan mujma alaihi.
-
ETIKA KEHAKIMAN YANG DIANJURKAN OLEH JABATAN KEHAKIMAN
SYARIE
1) Etika lain di dalam Arahan Amalan
Seorang hakim juga menurut para 4(d) tidak boleh meninggalkan Mahkamahnya pada
waktu pejabat tanpa alasan yang munasabah atau tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan
daripada Ketua Hakim Syarie. Seseorang hakim syarie adalah terikat dengan konsep
kebertanggungjawaban terhadap kes yang akan didengari tanpa boleh memindahkan atau
meminta untuk penukaran kes atas hakim lain tanpa alasan yang munasabah. Ini adalah bagi
memudahkan proses pemutusan pertikaian apabila hakim yang sama yang mendengar
pertikaian dari mula. Era kemodenan ini, terlalu banyak perkara yang boleh menghilangkan
fokus dan konsentrasi seseorang hakim. Namun begitu, sifat kebertanggungjawaban perlu
ditekankan agar seorang hakim tidak bersikap lewa dan mengabaikan tanggungjawabnya
dengan berada di tempat lain pada waktu pejabat. Di samping itu, hakim perlu bersifat
terbuka dan sabar semasa mendengar keterangan dan hujah-hujah dari pihak-pihak dan ini
dapat dilihat di dalam Kod 4(h).
Kod 4(m) pula memperuntukan mengenai keperluan untuk mengadakan perbicaraan
dalam Mahkamah terbuka kecuali di dalam keadaan khas yang dibenarkan oleh undang-
undang. Keadaan khas dapat dilihat di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Negeri Sabah) 2004, seksyen 47 yang memperuntukan mengenai keadaan khas seperti
membolehkan penyampaian kepada seseorang orang tak berkeupayaan hendaklah dibuat
kepada penjaga ad litemnya, jika ada, atau penyampaian kepada seseorang di dalam penjara
hendaklah dibuat kepada pegawai yang menjaga penjara itu dan bagi penyampaian kepada
mana-mana anggota Angkatan Tentera hendaklah dibuat kepada pegawai pemerintah atau
adjutan unitnya. Pada zaman dahulu, perbicaraan adalah didengar di tempat-tempat yang
terbuka dan tidak spesifik seperti sekarang. Oleh yang demikian, hal keadaan khas tidak
relevan pada zaman Rasulullah S. A. W tetapi menjadi suatu perkara yang perlu ditekankan
pada zaman ini.
-
KESIMPULAN
Hakim adalah seseorang yang melakukan kekuasaan kehakiman yang diatur menurut
undang-undang, seseorang yang memutuskan suatu perkara secara adil berdasarkan bukti-
bukti dan keyakinan yang ada pada dirinya sendiri. Seorang hakim harus memiliki
keperibadian yang tidak tercela, jujur, adil, professional, dan berpengalaman dalam bidang
undang-undang, agar tidak keliru dalam memutuskan suatu perkara. Tanpa sifat adil, integriti
dan ketokohan seorang hakim pasti akan mendapat kritikan dan keluhan dari
masyarakatSecara umumnya telah banyak perkara yang digariskan syarak telah dimuatkan di
dalam arahan amalan yang mengikat hakim-hakim yang dilantik Malaysia. Masih terdapat
beberapa perkara tidak dimasukkan ke dalam Arahan Amalan, namun segala amalan itu
adalah menjadi adat kebiasaan untuk diamalkan dan diikuti oleh hakim-hakim yang baru
dilantik walaupun tanpa undang-undang bertulis.
Terdapat dua perkara yang perlu kita perhatikan untuk mengetahui samada kita boleh
mengeluarkan pendapat terhadap sesuatu keputusan hakim dan jika kita dapat berpegang
kepada dua prinsip ini, kita akan selamat. Jika kita alpa padanya, kita mungkin menerima
padah.
Pertama, kita perlu pastikan sama ada kes yang hendak kita perkatakan itu masih lagi
berjalan ataupun sudah selesai didengar dan diputuskan oleh mahkamah. Sekiranya kes itu
masih lagi berjalan, adalah lebih baik kita mendiamkan diri dan tunggu sehingga kes
diputuskan. Jika kita terburu-buru membuat komen mengenai kes yang sedang berjalan,
dikhuatiri apa yang kita lakukan itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada mahkamah.
Kedua, kita perlu bezakan antara perbuatan mengkritik penghakiman (keputusan itu)
dengan perbuatan mengkritik hakim itu sendiri. Kritikan atau ulasan terhadap sesuatu
penghakiman itu, tidak boleh dibuat dengan andaian yang boleh memungkinkan kita dianggap
menghina seseorang hakim. Badan kehakiman bersikap lapang dada dan bersedia menerima
apa sahaja teguran dan kritikan jenis pertama dari semua pihak asalkan kritikan itu dibuat
dengan suci hati, secara jujur, dan menggunakan asas-asas yang betul.
Namun begitu, teguran serta hukuman terhadap hakimhakim ini masih tidak banyak
sedangkan kritikan yang membina ini adalah perlu bagi pemantapan jawatan kehakiman ini.
-
Jumlah hakim yang masih tidak seimbang dengan peningkatan kes yang dibawa ke mahkamah
syariah di Malaysia kini, tidak boleh dijadikan lesen untuk terlalu berkompromi dengan
tindakan segelintir hakim yang kurang menepati panduan syarak. Sebaliknya sistem
perundangan harus membantu hakim-hakim ini dengan penambahan sistem sokongan yang
kuat untuk hakim, dengan menambah tenaga kerja bantuan serta penambahbaikan terhadap
sistem teknologi dan maklumat supaya melancarkan tugas hakim.
-
RUJUKAN
1. Ibnor Azli Ibrahim. 1999. Sistem Kehakiman Islam di Malaysia, Perlaksanaan, dan
Prosedur Perbicaraannya. Tesis Dr. Fal. Jabatan Syariah. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
2. Abdul Karim Zaidan. 2000. Sistem Kehakiman Islam. Terj. Mohd Salleh Haji
Ahmad. Jilid 1. Kuala Lumpur:Pustaka Haji Abdul Majid.
3. Abdul Munir Yaacob. 2001. Sistem Kehakiman Islam. Kuala Lumpur:Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
4. Haron Din. Kehakiman Islam. Bangi:Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia.
5. Abdul Karim Zaidan. 1993. Prinsip-Prinsip Pendakwaan dan Pembuktian dalam
Sistem Kehakiman Islam. Terj. Mohd Salleh Haji Ahmad. Shah Alam:Penerbitan
HIZBI
6. Utusan Online. 2001. Kod Etika Hakim Syarie Diteliti Semula. http://www. utusan.
com.my/
utusaninfo.aspy=2001&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_
04. htm [28 November 2013].
7. Arahan Amalan No. 1 Tahun 2001. Kod Etika Hakim Syarie
8. Arahan Amalan No. 4 Tahun 2012. Garis Panduan Pakaian Hakim Syarie Dalam
Mahkamah Rendah Syariah
9. Arahan Amalan No. 5 Tahun 2005. Garis Panduan Pakaian Hakim Syarie Dalam
Mahkamah Rayuan Dan Mahkamah Tinggi Syariah