faktor masyarakat kurang membaca

4
Mengapa Masyarakat Malaysia Kurang Membaca? Ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” begitu signifikan dengan gerakan membaca yang diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Meskipun ungkapan ini dianggap suatu klise apabila memperkatakan perihal pemupukan budaya membaca, namun tidak dapat tidak, membaca merupakan wahana dan penghubung ke arah kelangsungan budaya ilmu dan peradaban bangsa dalam mendepani gelombang maklumat kontemporari. Ironinya masyarakat di negara kita belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Tatkala penguasaan informasi menjadi indikator dalam penentuan keterampilan intelektual, masyarakat yang kurang membaca akan selama- lamanya menjadi seperti melukut di tepi gantang pada era ledakan informasi kini lebih-lebih lagi apabila bersaing dengan masyarakat di negara-negara maju contohnya masyarakat di negara-negara Eropah. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa purata jumlah dua buah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia merupakan suatu angka yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Memperkatakan tentang hal ini, sesungguhnya kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara puratanya dibaca oleh rakyat Malaysia setahun? Tidakkah angka dua itu merupakan suatu angka yang sinonim dengan perkataan sedikit? Mengapakah tiada sebarang pengimplementasian yang bersifat pragmatik bagi memperkasakan lagi tabiat ini? Tentunya bersebab. Secara tuntasnya ada benarnya jika dikatakan bahawa masyarakat di negara kita belum boleh menjadi simbolik masyarakat pembaca. Pernyataan ini dikonkritkan lagi dengan peningkatan kadar buta huruf dalam pelbagai lapisan masyarakat dan usia di negara ini. Di samping itu, masyarakat Malaysia juga sering mengalami krisis untuk bersaing dengan masyarakat glokal di pentas antarabangsa. Sesungguhnya semua kekangan ini timbul lantaran kurangnya motivasi diri dalam kalangan masyarakat di negara kita

Upload: ahmad-shaihan

Post on 27-Jun-2015

4.849 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Page 1: Faktor Masyarakat Kurang Membaca

Mengapa Masyarakat Malaysia Kurang Membaca?

Ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” begitu signifikan dengan gerakan membaca yang diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Meskipun ungkapan ini dianggap suatu klise apabila memperkatakan perihal pemupukan budaya membaca, namun tidak dapat tidak, membaca merupakan wahana dan penghubung ke arah kelangsungan budaya ilmu dan peradaban bangsa dalam mendepani gelombang maklumat kontemporari. Ironinya masyarakat di negara kita belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Tatkala penguasaan informasi menjadi indikator dalam penentuan keterampilan intelektual, masyarakat yang kurang membaca akan selama-lamanya menjadi seperti melukut di tepi gantang pada era ledakan informasi kini lebih-lebih lagi apabila bersaing dengan masyarakat di negara-negara maju contohnya masyarakat di negara-negara Eropah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa purata jumlah dua buah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia merupakan suatu angka yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Memperkatakan tentang hal ini, sesungguhnya kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara puratanya dibaca oleh rakyat Malaysia setahun? Tidakkah angka dua itu merupakan suatu angka yang sinonim dengan perkataan sedikit? Mengapakah tiada sebarang pengimplementasian yang bersifat pragmatik bagi memperkasakan lagi tabiat ini? Tentunya bersebab.

Secara tuntasnya ada benarnya jika dikatakan bahawa masyarakat di negara kita belum boleh menjadi simbolik masyarakat pembaca. Pernyataan ini dikonkritkan lagi dengan peningkatan kadar buta huruf dalam pelbagai lapisan masyarakat dan usia di negara ini. Di samping itu, masyarakat Malaysia juga sering mengalami krisis untuk bersaing dengan masyarakat glokal di pentas antarabangsa. Sesungguhnya semua kekangan ini timbul lantaran kurangnya motivasi diri dalam kalangan masyarakat di negara kita berkaitan dengan kepentingan amalan membaca dalam membentuk masyarakat glokal.

Daripada pemerhatian dan pembacaan saya, didapati bahawa tidak menjadi budaya orang Malaysia untuk membaca. Mengapakah situasi ini berlaku? Mungkin kerana masa kita dihabiskan untuk bekerja dan berada di jalan raya untuk ke tempat kerja. Apabila kembali ke rumah, mereka dalam kondisi penat dan letih. Justeru kekangan masa inilah yang sering kali menjadi mauduk alasan yang membataskan mereka daripada amalan membaca. Lain pula senario masyarakat di negara Jepun, waima mereka mempunyai masa bekerja hampir empat belas jam sehari, ironinya kekangan masa ini belum boleh dijadikan alasan yang membataskan mereka dengan buku. Oleh hal yang demikian maka tidak hairanlah masyarakat Jepun sinonim dengan amalan membaca kerana amalan ini telah mendarah daging dalam kehidupan masyarakat mereka sejak azali.

Page 2: Faktor Masyarakat Kurang Membaca

Di samping itu, faktor lain masyarakat Malaysia tidak membudayakan amalan membaca dalam kehidupan ialah tiadanya pengaruh ibu bapa atau keluarga dalam menitikberatkan perihal budaya membaca terhadap anak-anak mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak pernah menghadiahkan buku kepada anak mereka bahkan lebih mengeruhkan keadaan sekiranya mereka tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting sebagai medium memupuk minat anak mereka membaca. Daripada sudut yang berbeza pula, pengaruh media massa yang semakin meluas kini telah menjauhkan masyarakat dengan buku. Pengaruh ibu bapa dalam keluarga telah dilunturkan secara evolusi oleh media massa yang bersifat hegemoni dan dominan dalam merubah kerangka pemikiran masyarakat.

Daripada perspektif yang lain pula,pengaruh suasana dan faktor sekeliling turut membataskan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca di tempat sunyi sepertimana yang sering kali menjadi amalan dalam sesebuah perpustakaan yang suruh diam.Tidak salah, tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca dalam kondisi yang sunyi. Justeru, agak sukar untuk kita membudayakan amalan membaca di tempat awam. Di samping itu persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca terutamanya di tempat-tempat awam adalah perbuatan menunjuk-nunjuk dan memberi gambaran negatif bahawa ulat buku sukar dibuat kawan kerana saban hari masa mereka hanya dihabiskan dengan berkepit dengan buku.Ulat buku juga mungkin dianggap antisosial dan antisukan. Persepsi sedemikian amat berbahaya kerana secara jangka panjang akan menjauhkan masyarakat dengan buku.

Selain itu, mungkin sifat merasakan ketidakpentingan membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas pelajar atau seorang bekas mahasiswa universiti, kebanyakan kita telah hilang selera untuk memegang buku apatah membacanya. Hal ini juga satu kemungkinan kerana daripada pemerhatian saya, terutamanya daripada kenalan-kenalan saya, didapati amat kurang daripada mereka yang masih berminat dengan amalan membaca kerana beranggapan bahawa meraka telah melepasi takuk pendidikan yang ditetapkan oleh kerajaan. Mereka juga beranggapan bahawa buku tidak akan memberikan sebarang faedah secara langsung lagi kepada mereka jika dibandingkan dengan perkara lain. Di samping itu mereka kelihatan lebih mementingkan kepuasan dari segi nilai estetik dan kemewahan berbanding kepuasan memperoleh ilmu menerusi amalan membaca.

Daripada aspek yang lain pula, wujud alasan yang kurang relevan dalam kalangan masyarakat berhubung amalan membaca. Mereka mempersoalkan tentang kos bahan-bahan ilmiah di pasaran yang semakin meningkat kedewasaan ini. Kemungkinan harga buku meningkat lantaran faktor-faktor lain seperti kadar tukaran mata wang asing yang menyebabkan harga buku import

Page 3: Faktor Masyarakat Kurang Membaca

menjadi mahal di samping kos pencetakan dan penerbitan yang tinggi. Bagi saya kos sesebuah buku tidaklah terlalu mahal sehingga membebankan pembaca tetapi perkara yang boleh dijadikan mauduk utama ialah keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Sesungguhnya jika dibandingkan, kos yang kita bayar untuk membeli sesebuah buku tidak memadai dengan ilmu yang kita peroleh menerusi bahan ilmiah tersebut.

Konklusinya, rakyat Malaysia sebenarnya berpotensi besar untuk ditabalkan sebagai masyarakat pembaca. Sehubungan itu, rakyat di negara ini haruslah komited dalam bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat pembaca yang dapat menaikkan imej negara ke peringkat global. Semua pihak mestilah mempunyai keiltizaman yang tinggi untuk merealisasikannya supaya masyarakat dan negara kita sentiasa siap siaga untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain. Usaha ini mesti dimulakan dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu perlu bermula dengan langkah yang pertama!