ict dalm pembelajaran
TRANSCRIPT
Ict dalm pembelajaran
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah
memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang perindustrian
termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia
yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti komputer
riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan
pelbagai alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk
setiap pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama ada yang
berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan
meningkatkan minat dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik
pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak
pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah
mahupun di peringkat sekolah menengah. Justeru, pihak pengurusan
pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa
mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik dalam
usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan
pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi
maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah antara
usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.
Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap Murid
yang mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan satu perkara yang tidak
hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah
dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Koh
Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti
dengan lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana
ianya bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan
program ini melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau
lambat mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-
murid lain yang sebaya dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan
perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha
untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana
yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang sebaya dengan mereka.
Kepentingan Internet Kepada Guru
Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang mengaplikasikan
kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti pengajaran dan
pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad(1996),
abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan
keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi, industri
dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi
multimedia telah meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah
aktiviti pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak manfaat
kepada guru khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet ini juga mampu
membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam
mencapai setiap matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah
dibentuk. Antara kelebihan penggunaan internet dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran kepada guru adalah seperti mana yang berikut:-
o Mengubah Peringkat Membuat Keputusan : Kebiasaannya, penggunaan media
dirancang semasa kurikulum dilaksanakan, bukan semasa peringkat merancang
dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan media secara
sesuka hati tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan
penerimaan teknologi pengajaran pada peringkat perancangan kurikulum,
perancang kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk
menentukan penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara
ini akan lebih menjamin keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum
yang telah digariskan.
o Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran : Teknologi pengajaran boleh
mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia
boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima
sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas.
Teknologi pengajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun.
Sebagai contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan
pengajaran, ia melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan
melalui pembelajaran usaha sama, penyelesaian masalah dan penggunaan
strategi pembelajaran penguasaan. Penggunaan teknologi pengajaran
terutamanya teknologi maklumat, mungkin mengubah cara jadual waktu
dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses
pengajaran dan pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan
pengetahuan dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti pembelajaran dan
menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan pencarian maklumat
menggunakan teknologi baru untukpembelajaran. Pengenalan kepada jadual
waktu anjal oleh KPM pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti dalam
perancangan kurikulum dan strategi pengajaran. Ini membolehkan guru
merancang pelajaran dengan lebih berkesan dan memberi lebih masa bagi guru
menyemak buku latihan dan menangani masalah pembelajaran, sedangkan
jumlah waktu mengajar adalah sama (Yusuf Hashim, 1998).
o Mengubah Pengalaman Pembelajaran : Tanggapan masa kini terhadap
pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak sengaja tetapi sengaja
diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui perancangan yang
rapi. Penggunaan atau aplikasi teknologi pengajaran secara teratur boleh
membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus
(sudah tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara.
Secara amnya, menyifatkan teknologi pengajaran sebagai satu bidang yang
berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini
jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual
seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru dalam
pengajaran di bilik darjah.
Implementasi PPBK Di Malaysia
Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem pendidikan di Malaysia
telah lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan komputer ini tidak hanya terhad
di peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut mencakupi pendidikan pada
peringkat prasekolah. Pengunaan Cakera Padat Interaktif untuk tujuan
pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet untuk tujuan capaian
data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah menjadikan sistem
pendidikan negara semakin berkembang maju. Perubahan positif ini telah
mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan
komputer dan teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan
pembelajaran seperti mana yang akan dibincangkan kemudian.
Ashinida, Afendi dan Mohd. Shabri (2004) adalah antara penyelidik yang ingin
melihat keberkesanan penggunaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan
Komputer (PBBK) dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa asing. Kajian
yang dijalankan mendapati bahawa kesemua 40 respondan yang dikaji
menyatakan bahawa program PPBK boleh membantu meningkatkan kemahiran
pelajar dalam Bahasa, menjimatkan masa dan tenaga semasa proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan serta memudahkan pelaksanaan proses pengajaran
guru. Sementara itu, 90 peratus daripada respondan yang dikaji juga
menyatakan bahawa program PPBK dapat meningkatkan mutu pengajaran guru
dan pembelajaran murid. Statistik ini menunjukkan bahawa para guru
mempunyai persepsi yang sangat positif dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Arab dengan berbantukan komputer. Statistik ini dapat dirumuskan
seperti dalam jadual di bawah:-
Data yang ditunjukkan membuktikan bahawa persepsi guru terhadap
pelaksanaan program ini amatlah baik dan galakan yang diberikan
menunjukkan pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat membantu
pelajar yang mengalami kesukaran dalam memahami pendidikan Bahasa.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan program ini tidak hanya terhad kepada
pendidikan Bahasa semata-mata. Program yang mempunyai potensi untuk
meningkatkan keupayaan dan kemahiran murid-murid yang mempunyai tahap
dan pencapaian akademik yang rendah perlu diperluaskan penggunaannya
khususnya terhadap murid-murid yang menerima pendidikan khas. Rentetan
daripada statistik yang ditunjukkan ini, pengkaji telah membuat keputusan
untuk melihat keberkesanan prorgam Pengajaran dan Pembelajaran
Berbantukan Komputer dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran membaca
pelajar yang menghadapi masalah menguasai aktiviti membaca. Hasil kajian
yang akan dibentuk kelak adalah suatu yang perlu dikaji dengan lebih
mendalam sama ada pelaksanaan program ini dapat meningkatkan pencapaian
dan kemahiran membaca pelajar yang menghadapai masalah pembelajaran atau
sebaliknya.
Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005) mendapati bahawa
penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus diberi keutamaan bagi
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat
beteknologi seperti komputer dalam proses pembelajaran dan pengajaran
adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan
kemahiran. Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui
penggunaan komputer. Hal ini kerana penggunaan komputer dapat
meningkatkan penyerapan maklumat kerana ia melibatkan media grafik
bergambar, video dan sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur.
Kelebihan ini membawa kepada pengatasian had masa dan ruang.
Walau bagaiamanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh lapan orang
pengkaji iaitu Rosen dan Weil (1995), Winnans dan Brown (1992), Dupagne dan
Krendl (1992) serta Hadley dan Sheingold (1993), walau begitu sekali
canggihnya komputer, namun ia perlu dilengkapkan dengan pelbagai perisian
yang berguna seperti “hardware” dan “software” yang dapat membantu guru
meningkatkan kecekapan mereka dalam memaksimumkan proses
memanipulasikan keupayaan komputer. Dengan ini, keyakinan guru meningkat
dan mudah bagi mereka untuk mencurahkan pengalaman mereka dan
seterusnya membantu para pelajar untuk bersedia menggunakan komputer.
Pendapat di atas disokong oleh seorang pengkaji yang bernama Pedretti (1999).
Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan bahawa guru yang bijak
mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam
menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya.
Manakala Cox (1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering
menggunakan komputer dalam melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai
keyakinan yang tinggi dalam mengunakan ICT dan lain-lain alat seperti
projektor, LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya
bahawa penggunaan alat berteknologi seperti itu dapat meningkatkan proses
pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah dan lebih seronok.
Seperti mana yang telah dinyatakan, teknologi pengajaran adalah satu konsep
pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan kemudahan dan peralatan ICT
sebagai salah satu medium utama dalam pelaksanaan aktiviti di dalam bilik
darjah. Penggunaan komputer, laptop, LCD projektor, cakera padat dan
pelbagai elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang dapat
menarik dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk menjalankan sesuatu
aktiviti pembelajaran. Melalui integrasi ICT beberapa perubahan dan
pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah
perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran
berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti
pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan
berdasarkan kepada teori konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya
Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat
mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi
arahan kepada pendekatan ‘hands on’ dan menggunakan sepenuhnya sifat
inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka
meneroka maklumat mengikut kapasiti masing-masing.
Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim 2001),
menunjukkan bahawa ICT dapat membantu mengatasi kelemahan pendidikan
sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan
komputer secara lebih produktif. Guru harus mengintegrasi kemahiran
teknologi dan peluang pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat
keberkesanan penggunaan teknologi. Peranan ICT dalam P&P akan membawa
kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan
penilaian. Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses
transformasi ini. Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi
itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru
dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta
memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.
Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan
mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet,
bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-
bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan
visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan
lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat
menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk
meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui
portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar,
guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat
memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata
pelajaran contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-
satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh
berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal
sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru berbanding
dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).
Melalui penggunaan komunikasi elektronik (e mail), net meeting, chat room dan
sebagainya guru dan murid dapat bertukar-tukar idea sesama sendiri atau
dengan guru dan pelajar dari sekolah yang lain. Pertukaran maklumat dengan
sekolah dari luar negara akan lebih digalakkan memandangkan faedah dari segi
meningkatkan komunikasi guru dan murid disamping mendapat ilmu baru
mengenai kebudayaan dan negara masing-masing. Melalui penggunaan ICT
pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran
pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan
menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi
akan melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam
pekerjaan.
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata
dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang
daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam
kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada
lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam
pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan
animasi. ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan
sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah,
guru, pelajar dan semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet
menyediakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan
daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisi. Menerusi
penggunaan teknologi moden ini, para pelajar dapat menguasai sesuatu
pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang mereka minati dan gemari.
Di samping itu, teknologi maklumat dan Internet juga menyediakan kebolehan
interaktiviti. Berikut merupakan antara kaedah pengajaran dan pembelajaran
berbantukan komputer.
Dalam melihat perkembangan positif yang berlaku dalam sistem pendidikan
kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada tenaga pendidik kini telah
bersedia mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi
maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya kajian yang
dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau mendapati
bahawa masih terdapat lagi di kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu
menggunakan cakera padat interaktif (salah satu bahan banatu mengajar dalam
pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Daripada kajian beliau, sebanyak 42 peratus guru tersebut yang
mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan cakera padat yang
rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka
dan menilai cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian
yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan
pengaplikasian cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan daripada
pendidik ini hanya menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran mereka.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Sathiamoorthy (2000) terhadap kemampuan
mengurus inegrasi komputer di kalangan guru-guru Sekolah Bestari, didapati
bahawa sebanyak 9.8% daripada 205 guru yang dikaji tidak mempunyai
kemampuan dalam merancang integrasi komputer dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemampuan dan
kesediaan guru dalam menggunakan teknologi semasa seperti komputer, cakera
padat dan seumpamanya berada pada tahap yang tinggi.
Dalam pada itu, kajian yang dilakukan oleh Wan Noraini (2002) juga melihat
kemahiran guru terhadap penggunaan komputer, sebanyak 42% daripada 40
orang guru yang dikaji tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap
penguasaan dan penggunaan teknologi CD/DVD dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Walaupun kadar ini tinggi, namun ramai respondan yang tahu
mengaplikasikan teknologi CD/DVD dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
Kesimpulan
Kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat
perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi
yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan
datang. Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan
komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu ekoran daripada
ketidak sediaan para pelajar menerimanya, namun pandangan seperti ini perlu
diperbetulkan agar semua pihak sama ada ibu bapa, penjaga, guru dan
masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan
kemahiran ini pada masa akan datang.
Adalah menjadi tanggung jawab institusi pendidikan untuk mendidik
masyarakat untuk menjadi pelapis yang benar-benar dapat mentadbir negara
dengan baik pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan ini perlu
dilaksanakan pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Penggunaan
komputer dan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran
adalah suatu yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini untuk terus
menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala halangan yang boleh
menghalang mereka dariapda menuntut ilmu.