kajian tindakan (full)
DESCRIPTION
contoh kajian tindakanTRANSCRIPT
SENARAI KANDUNGAN
KANDUNGAN MUKA SURAT
ABSTRAK
1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
1.2 Pendekatan Kajian
1.3 Pernyataan Masalah
1.4 Objektif Kajian
1.4.1 Objektif Umum
1.4.2 Objektif Khusus
1.5 Signifikan Kajian
1.6 Batasan Kajian
2.0 KAJIAN-KAJIAN LEPAS
2.1 Pengenalan Kajian Lepas
3.0 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Reka Bentuk Kajian
3.1.1 Perancangan Kajian
3.1.2 Pelaksanaan Tindakan
3.1.3 Proses Pelaksanaan
3.1.4 Penilaian Dan Refleksi
3.2 Sasaran Kajian
3.3 Alat Instrumen Kajian
3.3.1 Borang Soal Selidik
3.3.2 Latihan Pengukuhan
3.3.3 Ujian Post
3.3.4 Pemerhatian
3.3.5 Temubual
3.4 Etika Kajian Tindakan
4.0 TINJAUAN AWAL
4.1 Mengutip Data Awal
4.2 Analisis Data
4.3 Analisis Pemerhatian Terhadap Pengajaran Guru
4.4 Analisis Hasil Dapatan Daripada Data Pemerhatian
4.5 Analisis Hasil Dapatan Daripada Soal Selidik Dengan Murid
4.6 Persoalan Kajian
5.0 KESIMPULAN
6.0 BIBLIOGRAFI
Tajuk Projek Kajian Tindakan :
Penggunaan Power Point Sebagai Media Bantu Mengajar (MBM) Pengajaran dan
Pembelajaran dan Pembelajaran dalam Kemahiran Hidup.
Nama Penyelidik : Noor Shaziela Binti Mansor
Nama Sekolah : SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor
ABSTRAK
Kajian tindakan ini dijalankan untuk melihat penggunaan teknologi power point sebagai media
bantu mengajar pengajaran dan pembelajaran dalam Kemahiran Hidup di Sekolah Menengah
Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Tujuan kajian ini adalah untuk mengukuhkan
penguasaan guru dalam penggunaan power point terhadap proses pengajaran. Dari aspek
pelajar, kajian ini bertujuan unutk meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran
Kemahiran Hidup. Sasaran kajian ini ialah pelajar Tingkatan 2. Penggunaan teknologi power
point merangkumi elemen-elemen seperti teks, grafik, animasi, video, audio dan hyperlink.
Kajian ini dijalankan selama 2 minggu dan menggunakan pendekatan atau model
konstruktivisme. Hasil kajian ini dijangka dapat meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata
pelajaran Kemahiran Hidup dengan menggunakan teknologi power point. Rawatan yang
digunakan kepada para pelajar ialah pengaplikasian power point sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran. Oleh itu, wajarlah semua guru-guru Kemahiran Hidup mengaplikasikan
teknologi power point dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar terhadap mata pelajaran
Kemahiran Hidup.
1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Perkembangan teknologi maklumat (ICT) di seluruh dunia pada masa kini
semakin luas dan melibatkan semua aspek. ICT ini juga dilihat menjadi satu keperluan
bagi masyarakat dunia dalam menempuh hidup seharian. Penggunaan ICT bukan sahaja
melibatkan internet semata-mata tetapi juga teknologi-teknologi yang dapat memudahkan
pengurusan hidup manusia seharian. Antaranya termasuklah telefon, computer,
kalkulator, I-phone dan sebagainya.
Sektor pendidikan merupakan salah satu bidang yang tidak ketinggalan
menggunapakai ICT dalam menguruskan aktiviti pendidikan termasuklah digunakan
untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Salah satu daripada
teknologi yang digunapakai secara meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran
adalah power point. Jika dilihat pada 15 tahun yang lepas, power point masih belum lagi
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru hanya menggunakan
kapur dan papan hitam untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Selepas itu,
barulah sekolah-sekolah didedahkan dengan penggunaan OHP (Overhead Projektor)
sebagai medium pengajaran. Apabila ICT semakin berkembang, golongan-golongan
pendidik ini mula berpindah kepada penggunaan teknologi-teknologi berkomputer
sebagai medium untuk menyampaikan maklumat.
Power point bukan sahaja digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan
tetapi juga dalam perniagaan, latihan dan sebagainya. Power Point merupakan program
persembahan yang dikeluarkan oleh “Microsoft”. Ia merupakan sebahagian daripada
komponen “Microsoft Office” dan sesuai digunakan oleh sistem operasi “Microsoft
Windows”, “Apple” dan “Mac OS X”. Pada masa ini, bukan sahaja “Microsoft” yang
mengeluarkan program power point tetapi juga terdapat “open source” yang
mengeluarkan program ini sebagai alternative kepada pengguna tanpa mengenakan
sebarang bayaran.
Melalui penggunaan power point, guru-guru dapat meningkatkan mutu
pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pengajaran juga boleh dipelbagaikan untuk
memudahkan pemahaman pelajar.
1.2 Pendekatan Kajian
Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan teori konstruktivisme sebagai satu
pendekatan bagi pelajar-pelajar:
i. Di dalam pengajaran dan pembelajaran di bawah teori konstruktivisme, peranan
guru merupakan penolong, pemudahcara dan perancang, sedangkan pelajar
memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran.
ii. Model pengajaran dan pembelajaran yang sesuai sekali digunakan ialah
pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif. Kaedah dan teknik mengajar
tradisi seperti syarahan, menghafal dan mengingat adalah tidak sesuai digunakan
untuk membentuk ilmu lagi.
iii. Pengajaran dan kesediaan pelajar adalah faktor penting yang mempengaruhi
proses pembentukan ilmu.
iv. Keutamaan pelajaran adalah tertumpu kepada hasil perolehan di dalam bidang
konstruktivisme.
v. Penilaian tradisi tidak sesuai lagi digunakan. Bentuk dan alat penilaian terhadap
pembentukan ilmu hendaklah dibentukkan oleh guru dan murid-murid bersama-
sama.
1.3 Pernyataan Masalah
Penggunaan kaedah “talk and chalk” semata-mata dalam proses pengajaran dan
pembelajaran akan mewujudkan perasaan bosan dan jemu dalam kalangan pelajar. Guru
perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi mewujudkan proses pembelajaran yang
lebih berkesan. Melalui kaedah pengajaran biasa, pelajar akan mula berasa bosan dan
mula hilang tumpuan. Melalui kaedah ini, kebanyakan pelajar hanya dapat member
tumpuan sepenuhnya dalam tempoh 15 minit pertama. Kemudian, mereka akan mula
hilang tumpuan dan melakukan kerja-kerja lain seperti menyiapkan kerja sekolah atau
melukis semasa guru mengajar.
Kebanyakan penggunaan kaedah “talk and chalk” juga kurang menjana pemikiran
pelajar. Keadaan ini terjadi kerana guru hanya menggunakan kaedah percakapan dan
penulisan untuk menyampaikan maklumat secara tradisional tanpa cuba membawa
pelajar menghadapi sesuatu keadaan itu seperti dunia sebenar. Keadaan ini berbeza
sekiranya guru menggunakan alat bantu mengajar seperti power point. Melalui kaedah
power point, pelajar boleh ditunjukkan gambar atau video yang menunjukkan situasi
sebenar sesuatu perkara. Kaedah ini antara lainnya akan dapat meningkatkan lagi
pemahaman pelajar dalam satu-satu perkara.
Selain daripada itu, penggunaan kaedah tradisional ini juga boleh menyebabkan
pelajar cepat mengantuk. Keadaan ini terjadi apabila pelajar telah mula hilang tumpuan
dan tidak mengetahui cara untuk mengisi masa mereka. Bagi mengelakkan mengantuk,
pelajar yang hilang tumpuan akan berbuat bising dan menganggu rakan-rakan sekelas.
Kelas akhirnya akan menjadi bising dan proses pengajaran dan pembelajaran akan
terganggu. Pelajar juga akan mengambil kesempatan ini untuk selalu keluar kelas dengan
alasan ke tandas. Pelajar juga akan mengambil kesempatan untuk makan dalam kelas
bagi menghilangkan rasa mengantuk.
Pada kebiasaannya, kaedah tradisional ini juga menyebabkan pelajar hilang minat
untuk belajar sekiranya kaedah penyampaian seseorang guru itu kurang menarik. Guru-
guru kemahiran hidup terpaksa menghadapi cabaran yang getir dalam menarik minat
pelajar untuk mempelajari subjek kemahiran hidup. Oleh kerana subjek kemahiran hidup
melibatkan banyak amali, cara penyampaian guru mestilah lebih kreatif dan
dipelbagaikan supaya maklumat yang disampaikan dapat diingati, mudah difahami dan
dipraktikkan oleh pelajar.
Kelemahan utama pelajar dalam mempelajari subjek kemahiran hidup adalah
mereka sukar mengingati teori malah lebih kepada amali dalam bengkel. Oleh itu, guru-
guru kemahiran hidup mestilah pandai mengajar pelajar dalam bentuk teori juga di dalam
kelas dengan penyampaian melalui power point yang pelbagai dan bertindak sebagai
pemudah cara. Soalan-soalan kuiz sebelum ini hanya dikemukakan menggunakan kertas.
Keadaan ini menyebabkan penggunaan kertas yang banyak dan guru kemahiran hidup
juga perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan kertas soalan. Keadaan ini
juga boleh diatasi dengan menghasilkan soalan kuiz berbentuk interaktif power point.
Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan kertas tetapi juga masa guru. Kaedah ini antara
lainya juga sangat menarik untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran yang
lebih berkesan.
1.4 Objektif Kajian
1.4.1 Objektif Umum
Meningkatkan penggunaan power point sebagai alat bantu mengajar
(ABM) dalam pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan
pemahaman pelajar dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup.
1.4.2 Objektif Khusus
Memudahkan pelajar untuk mengingati fakta-fakta Kemahiran Hidup.
Meningkatkan kemahiran pelajar dalam menguasai subjek Kemahiran
Hidup.
Mengubah amalan pengajaran guru dalam mengajar subjek Kemahiran
Hidup.
1.5 Signifikan Kajian
Dapatan kajian ini akan didedahkan kepada:
i. Ahli Jawatankuasa penyelidikan tindakan sekolah yang berkenaan.
ii. Guru-guru yang mengajar Pendidikan Kemahiran Hidup Menengah Atas.
1.6 Batasan Kajian
Walaupun kajian ini telah selesai dijalankan tetapi terdapat beberapa batasan
kajian yang tidak dapat dielakkan. Batasan kajian yang pertama adalah tempat kajian
kerana kajian hanya melibatkan sebuah sekolah sahaja iaitu Sekolah Menengah Ampang
Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Oleh itu, sekiranya kajian ini dapat melibatkan
beberapa buah sekolah lagi, maka hasil dapatan kajian juga akan berbeza kerana kajian
akan terdedak kelompok yang lebih ramai dan kajian boleh diperincikan lagi.
Selain itu, had-had masa kajian yang memerlukan kajian ini disipakan dalam
masa tertentu juga telah menyebabkan kajian tidak dapat dilakukan dengan lebih
terperinci. Di samping menjalankan kajian ini, pengkaji turut terlibat dengan beberapa
tugas lain juga yang turut memerlukan komitmen yang tinggi. Oleh itu, dapatan kajian
akan berubah sekiranya semakin banyak tempat kajian dilakukan dan sekiranya terdapat
masa yang cukup, pasti kajian ini akan boleh dilakukan dengan lebih meluas.
Pelajar yang dikaji terbatas kepada 25 orang pelajar dari kelas Tingkatan 2 Intelek
dan 25 pelajar dari kelas Tingkatan 2 Wira sahaja. Pelajar tersebut terdiri daripada pelajar
lelaki dan perempuan yang mempunyai latar belakang pencapaian akademik yang
berbeza iaitu terdiri daripada pelajar lemah, sederhana dan tinggi. Ia bertujuan untuk
menjamin keesahan hasil kajian. Walau bagaimanapun, sekiranya lebih ramai pelajar
yang terlibat seperti semua pelajar tingkatan 2, maka hasil kajian akan lebih meluas
kerana setiap pelajar mempunyai pandangan dan cara penerimaan yang berbeza. Kajian
tidak dapat dilakukan secara menyeluruh ekoran daripada batasan masa yang amat ketara
memandangkan hasil kajian perlu diperolehi dengan cepat.
Jenis subjek Kemahiran Hidup yang diperhatikan bagi maksud kajian ini terbatas
kepada kemahiran memahami dan mengingati teori dan amali penting sahaja. Semua teori
telah diringkaskan dalam pengajaran berbentuk ICT yang menggunakan power point
sebagai ABM bagi memudahkan pelajar memahami dan mengingati teori dan amali
tersebut. Kelemahan yang ingin dilihat di sini adalah perbezaan penerimaan pelajar
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berbentuk tradisional iaitu “talk and chalk”
dan juga sesi pengajaran dan pembelajaran berbentuk ICT. Oleh itu, kajian ini akan
melibatkan aspek yang lebih meluas sekiranya lebih banyak kemahiran dapat dipupuk
daripada pelajar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu,
kajian juga hanya melibatkan satu bab sahaja, hasil kajian akan lebih menarik sekiranya
semua bab Tingkatan 2 dapat dikaji terhadap pelajar.
2.0 Kajian-kajian Lepas
2.1 Pengenalan
Dalam kajian ini, saya telah merujuk kepada beberapa kajian lepas yang berkaitan
dengan tajuk kajian. Kajian-kajian ini telah membantu dan memberi garis
panduan kepada saya menjalankan kajian ini.
i. Persepsi Pelajar Terhadap Penggunaan Elemen-Elemen Multimedia Yang
Terdapat Dalam Perisian Persembahan Microsoft Power Point : Pengajaran
Konsep Abstrak bagi Subtopik Satelitte Motion In A Circular Orbit Dan
Planetary Motion di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Kajian oleh : Faizah bt Ibrahim, Norfizin bt Yusoff dan Mohd Rodhi Bin
Othman dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk melihat persepsi pelajar terhadap
penggunaan elemen-elemen multimedia yang terdapat dalam perisian
persembahan Microsoft Power Point bagi menjelaskan konsep abstrak dalam dua
topik subjek Fizik. Hasil kajian mendapati elemen-elemen mutimedia yang
diaplikasikan secara menyeluruh teleh berjaya menjelaskan konsep-konsep
abstrak yang sebelum ini sukar untuk dijelaskan dengan hanya menggunakan teks
dan grafik sahaja.
ii. Penggunaan Perisian Komputer Dan LCD Sebagai Bahan Bantu Mengajar
Dan Pemudahcara.
Kajian oleh : En.Abdul Razak Mat Wahie dari SMK Sultan Azlan Shah,
Lenggong.
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan perisian komputer dan LCD
sebagai bahan bantu mengajar dan pemudahcara untuk memberi kefahaman
kepada pelajar-pelajar mengenai kaedah merekod dokumen perniagaan yang
berkesan. Hasil kajian mendapati kaedah pengajaran dan pembelajaran
menggunakan bahan bantu mengajar dan pemudahcara perisian komputer serta
LCD amat membantu pelajar dalam mata pelajaran Prinsip Perakaunan.
iii. Aplikasi Teknologi Dalam Pengajaran Peringkat Sekolah Menengah :
Jangkaan Masa Depan.
Kajian oleh : Saedah Siraj dan Mohd Faris Bin Saleh (2003)
Kajian ini bertujuan mendapatkan maklum balas dari pakar terhadap teknologi
yang akan digunakan di sekolah-sekolah menengah pada masa depan dan
mendapatkan persetujuan pakar terhadap kesan aplikasi teknologi dalam
pengajaran – pembelajaran kepada guru dan pelajar. Pandangan pakar yang
diambil sebagai sampel bagi teknik Delphi untuk kajian ini memberi fokus kepada
tiga tema utama iaitu peralatan teknologi yang dijangkakan, kesan terhadap
bentuk pengajaran – pembelajaran dan kesan terhadap pelajar serta guru.
iv. Multimedia Dan Internet Dalam Peningkatan Pemikiran Pelajar.
Kajian oleh : Abtar Kaur dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (2000)
Kajian ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian teknologi multimedia
dan internet yang boleh menggalakkan kemahiran berfikir pelajar di dalam kelas.
Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan “smart school” penggunaan
teknologi seperti multimedia dan internet dapat membantu pelajar membuktikan
kemampuan berfikir. Pada masa kini pelajar tidak boleh lagi diberikan maklumat
sahaja tetapi mereka perlu belajar kemahiran untuk mendapatkan maklumat. Asas
kemahiran ini sangat penting yang merangkumi analisis, sintesis dan penilaian.
Secara keseluruhannya, kajian ini membincangkan konsep asa mengenai
pembelajaran, teknologi multimedia dan internet, pemikiran, teori pengajaran dan
teknologi maklumat dan pendidikan.
v. Penggunaan Kamera Video Bagi Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi
Dalam Pengajaran Bahasa Melayu.
Kajian oleh : Mahzan Arshad (2003)
Artikel ini membincangkan mengenai penyelidikan eskperimen iaitu penggunaan
kamera video dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah sekitar Selangor. Hasil
kajian mendapati kajian kamera video merupakan satu alat efektif untuk
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kumpulan
eksperimen. Sampel kajian terdiri daripada 104 orang pelajar sekolah menengah
rendah diuji menggunakan kamera video untuk meningkatkan komunikasi dan
kemahiran bahasa. Kajian ini menunjukkan kamera video membantu mereka
memperbaiki kemampuan mereka dalam membuat pembentangan, menggalakkan
pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu melibatkan diri dalam aktiviti
komunikasi dan memberikan motivasi kepada mereka untuk melibatkan diri
dalam perbincangan kumpulan. Maklum balas selepas penggunaan kamera video
itu, sampel kajian lebih yakin dalam membuat pembentangan, bekerjasama dalam
aktiviti kelas dan membuktikan kemampuan dalam penilaian kendiri.
3.0 Metadologi Kajian
3.1 Reka Bentuk Kajian
3.1.1 Perancangan Kajian
Tumpuan kajian kitaran pertama ini adalah untuk mengetahui
keberkesanan penggunaan power point sebagai salah satu alat bantu mengajar
dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Kemahiran Hidup. Fokus
kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan penggunaan power point dalam
membantu para pelajar untuk mengingati fakta-fakta yang penting yang terdapat
dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup berbanding kaedah “talk and chalk”.
Sebelum melaksan akan pengajaran tersebut, rancangan pengajaran perlu
disediakan terlebih dengan teliti supaya pengajaran yang akan dilaksanakan akan
tercapai objektifnya. Sesi pengajaran yang akan dijalankan adalah sebanyak dua
kali iaitu yang pertama menggunakan kaedah “talk and chalk” dan yang kedua
menggunakan kaedah power point.
3.1.2 Pelaksanaan Tindakan
1) Pemilihan Topik
Menentukan topik untuk kajian tindakan yang hendak kita jalankan.
Contoh topik adalah penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran,
suara/pendapat pelajar dalam kurikulum, anti-bias kurikulum.
Empat ciri yang perlu dititikberatkan dalam penentuan pemilihan topik adalah
seperti berikut:
a) Pengkaji berniat untuk meningkatkan atau mengubah sesuatu keadaan.
b) Meningkatkan amalan sosial – dengan menemui kaedah atau teknik
terbaru.
c) Cipta sesuatu ilmu pengetahuan yang baru tentang sesuatu amalan sosial.
d) Mengekalkan kerelevanan sesuatu perkara.
2) Bertanya Soalan
Daripada topik yang telah dipilih, pengkaji memikirkan tentang persoalan
kajian.
Contoh soalan bermula dengan “bagaimana” dan “adakah”.
Contoh topik adalah untuk memperbaiki hubungan dengan ibu bapa. Oleh itu,
persoalan yang timbul adalah bagaimana cara kita menghubungi mereka setiap
hari dan apakah perasaan kita terhadap mereka.
Fasa 2 : Merancang Untuk Perubahan
1) Memenuhi Keluarga Kajian Tindakan
Keluarga kajian tindakan menggambarkan hubungan antara perbezaan
pendekatan kepada kajian tindakan. Setiap pengkaji mempunyai pandangan
yang berbeza-beza dan yang manakah mampu memberikan kita panduan yang
betul di dalam kajian.
Setiap pendekatan dilakukan pada masa dan tempat yang berbeza.
Dua cawangan.
a) Kajian tindakan untuk perubahan professional – dijalankan secara individu atau
berkumpulan.
b) Kajian tindakan untuk perubahan sosial – dimulakan dengan individu dan
berakhir di dalam kumpulan.
2) Dalami Topik Melalui Kajian Yang Lepas
Belajar dengan lebih mendalam tentang topik kajian dengan merujuk kepada
kajian-kajian lepas yang telah dijalankan oleh pengkaji sebelum ini sama ada
ia berbentuk akademik ataupun tidak.
Menjana idea dan boleh memperbaiki kekurangan.
Beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam memilih kajian lepas adalah
seperti berikut:
a) Hadkan jumlah tahun kajian – contohnya: ambil kajian yang tebaru.
b) Hadkan jenis kajian – contoh : ambil artikel kajian tindakan secara online.
c) Hadkan jenis pembelajaran – contoh : cari kajian tindakan berkaitan
pelajar, guru dan lain-lain.
d) Hadkan perspketif teoritikal – Cuma cari kajian berasaskan teori sosial,
teori perspektif jantina.
3) Tanggungjawab Etika
Empat prinsip etika yang boleh membantu melaksanakan kajian:
Cari dan ikut etika yang sesuai untuk mengkaji di dalam “ kawasan” kita.
Kurangkan keburukan dan tingkatkan kebaikan.
Dalami tentang maklumat penting dan masukkan di dalam kajian tersebut.
Kekalkan keadaan asa, dan elakkan maklumat yang tanpa kebenaran.
4) Refleksi Dan Kritikal Refleksi
Pengkaji akan melakukan refleksi apabila beliau merasa pelik atau perasaan ingin
tahu terhadap sesuatu. Berfikir tentang apa yang dilakukan pada masa yang lalu dan
apa yang dilakukan hari ini untuk tujuan memperbaikinya.
5) Merancang Kajian Supaya Teliti Dan Sah
Kajian yang teliti dan sah boleh mengukur dan mengadili kualiti dan ketulenan
sesuatu kajian tersebut dan hasil pencarian kajian tersebut.
6) Mendapatkan Data Asas
Data-data yang penting perlu diperolehi untuk dijadikan bukti dan akan
menghasilkan kesimpulan di akhir kajian.
Data boleh berbentuk kualitatif ataupun kuantitatif.
Sumber data diperoleh melalui pemerhatian, interview, peroleh data dari
contoh kerja, portfolio dan gabung semua atau sebahagian daripadanya.
Orang yang kumpul data – guru, kanak-kanak, ibu bapa, rakan sebaya dan
lain-lain.
Tempat – kelas, rumah, kawasan komuniti.
Cara mendokumentasikan data: Nota bertulis, kamera, rekod audio, rekod video,
persembahan peserta, contoh kerja, jurnal peserta.
7) Cipta Perubahan Dan Kumpul Data Tentang Kesannya
Setiap perubahan yang dilakukan biasanya akan memberikan kesan sama ada
positif ataupun negatif.
Kumpul maklumat mengenai kesan-kesannya dan lakukan analisis terhadap
kesan tersebut.
8) Analisis Data
Empat bentuk menganalisis data:
Menyusun data untuk analisis – luangkan masa untuk menyusun data supaya
kita boleh review dengan lebih mudah. Setiap pengkaji menyusun data dengan
berlainan seperti membuat label, cek dengan peserta. Jadikan data dalam
bentuk yang mudah difahami.
Membuat kod data – contohnya ialah membuat nombor, warna dan simbol dan
semuanya mestilah konsisten. Contohnya dengan membuat label bagi jantina,
lokasi dan umur.
Tapis data – untuk mengenalpasti bentuk penyusunan. Untuk melihat pelbagai
kemungkinan yang timbul. Komponen yang boleh dilihat adalah idea, isu,
soalan, dilema, topik, keputusan, nilai.
9) Mendalami Secara Keseluruhan Data Tersebut
Empat teknik mendalami data secara keseluruhan:
Lakukan refleksi
Kritikal refleksi
Merujuk kepada kajian yang lepas
Fokus kepada maklumat utama sahaja
10) Pilih Topik/Isu Baru Untuk Diubah Atau Perbaiki Yang Boleh Membantu
Untuk Kajian Seterusnya
Kita akan memilih topik baru atau isu baru untuk diperbaiki. Ini bertujuan untuk
membantu kita dalam kajian seterusnya bagi membolehkan kajian seterusnya
memperolehi pencapaian yang lebih memberangsangkan.
Fasa 4 – Berkongsi Hasil kajian
11) Membuat Kesimpulan Daripada Analisis Data
Kita akan membuat kesimpulan daripada data dan analisis yang dilakukan dan
memerlukan kita membuat keputusan apa yang berubah dan apa yang tidak
berubah dari mula projek dijalankan dan terangkan kenapa dan akhir sekali adalah
apa yang dipelajari daripada kesan yang wujud.
12) Berkongsi Pengetahuan Mengenai Projek Yang Dijalankan
Laporan projek secara formal
Artikel akademik
Bab dalam buku
Artikel dalam majalah
Paparan dalam blog
Pembentangan formal seperti di persidangan
Pembentangan tidak formal seperti kepada rakan-rakan.
3.1.3 Proses Pelaksanaan
Pelaksanaan tindakan dilakukan terhadap dua kelas iaitu Tingkatan 2 Intelek dan
Tingkatan 2 Wira. Keterbatasan dalam menjalankan kajian ini adalah kerana
jumlah pelajar yang menjadi sasaran kajian adalah dalam kelompok yang kecil
kerana guru yang menjalankan kajian hanya melibatkan dua kelas sahaja bagi
Tingkatan 2.
Persediaan kajian dilakukan pada awalnya dengan menyediakan bahan
power point yang menarik yang dilengkapi dengan video dan gambar bab yang
akan diajar iaitu, Bab 1 Reka Bentuk Dan Penghasilan Projek dengan sub topik
Alatan Tangan Dan Mesin, Tingkatan 2 yang boleh menarik perhatian pelajar.
Selain itu, guru menyediakan borang soal selidik dan mencari bahan yang sesuai
untuk diajukan kepada pelajar. Pada waktu kelas, guru menunjukkan power point
kepada pelajar dan semasa proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung, guru
bertanyakan kepada pelajar sama ada pelajar faham mengenai apa yang diajar
oleh guru. Selepas habis pengajaran, guru menyediakan latihan pengukuhan untuk
menguji tahap kefahaman pelajar terhadap subtopik yang telah diajar.
Selepas latihan pengukuhan diberikan kepada pelajar, guru memberikan
soalan kaji selidik kepada pelajar. Hasil daripada kaji selidik yang diberikan guru
memanggil setiap pelajar pada masa yang bersesuaian untuk bertanyakan sebab
kenapa pelajar menyukai dan tidak menyukai proses pengajaran yang dilakukan
oleh guru. Hasil dapatan yang diperolehi melalui jawapan yang diberikan oleh
pelajar kami dapat membuat rumusan hasil daripada proses kajian yang telah
dilakukan.
3.1.4 Penilaian Dan Refleksi
Kebanyakan pelajar hanya dapat menguasai mata pelajaran Kemahiran
Hidup di dalam bengkel sahaja kerana subjek ini lebih kepada amali berbanding
dengan teori. Jika guru tidak dapat menghidupkan pengajaran dan pembelajaran
yang kreatif di dalam kelas, pelajar akan mudah berasa bosan dan mudah
mengantuk walaupun ketika berada di dalam bengkel. Berdasarkan hasil
penelitian, analisis dan perbincangan dapat disimpulkan bahawa keberkesanan
pelajar terhadap penggunaan kaedah pembelajaran menggunakan power point ini
dapat meningkatkan keaktifan pelajar dan menghilangkan rasa bosan pelajar. Ini
kerana mereka tidak berasa bosan malah dapat bermain sambil menjawab soalan
dan dapat berbincang dengan rakan-rakan yang lain. Ini juga mampu
meningkatkan kefahaman para pelajar itu sendiri.
Berdasarkan pengamatan yang dilakukan terhadap hasil kajian mendapati
pelajar sangat gemar melihat gambar-gambar yang ditunjukkan di dalam power
point. Ini sekaligus dapat meningkatkan pemahaman pelajar tentang sesuatu tajuk.
Power point yang disediakan dalam bentuk peta minda memudahkan pelajar
untuk mengingati setiap fungsi alatan tangan yang digunakan untuk menghasilkan
sesuatu projek. Video yang diselitkan di dalam power point juga begitu menarik
minat pelajar kerana video yang ditunjukkan berkaitan dengan pelajaran mereka
pada hari tersebut dan boleh membuka minda fikiran pelajar dan mengembangkan
pemikiran para pelajar agar mereka boleh berfikir mengenai video tersebut.
3.3 Alat Instrumen Kajian
Dalam penyelidikan yang telah dijalankan ini, data dikutip melalui tiga kaedah, iaitu:
3.3.1 Borang Soal Selidik
Kaedah pertama ialah melalui kajian menggunakan borang soal selidik yang
melibatkan 50 orang pelajar Tingkatan 2 Intelek dan Tingkatan 2 Wira di Sekolah
Menengah Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Pelajar ini dipilih
kerana pengkaji ingin mendapatkan bahan terus daripada pelajar bagi mengetahui
kefahaman pelajar berkaitan tajuk dengan menggunakan dua kaedah iaitu kaedah
“talk and chalk” dan kaedah menggunakan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran. Melalui kaedah ini, pelajar akan diberi peluang menyuarakan
pendapat mereka sekiranya kaedah menggunakan power point didapati berkesan
ataupun sebaliknya.
Keadaan ini juga dapat memperlihatkan kepada pengkaji bahawa bukan
semua pelajar mudah memahami tajuk menggunakan kaedah ICT tetapi ia
bergantung juga kepada kebijaksanaan guru ketika menyampaikan tajuk dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian yang
telah dilakukan, hanya 3 orang pelajar sahaja daripada 50 orang pelajar kurang
memahami cara pengajaran menggunakan power point sebagai ABM. Manakala,
majoriti pelajar lain sangat menyukai kaedah guru menggunakan ICT ketika
menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga dilihat lebih mudah
memahami dan mengingati teori dan amali yang terdapat dalam tajuk tersebut
kerana kaedah ICT yang digunakan telah menyelitkan pelbagai unsur bagi
meningkatkan minat pelajar bagi sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung.
Graf 4.1 di bawah menunjukkan peratusan pelajar yang menunjukkan respon
mengenai kaedah pengajaran menggunakan power point.
1st 2nd 3rd 4th0
10
20
30
40
50
60
70
80
90
100
Column1Pelajar yang kurang menyukai pengajaran guru
3.3.2 Latihan Pengukuhan
Kaedah yang seterusnya adalah melalui latihan pengukuhan selepas sesi
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ia dapat memperlihatkan kepada
pengkaji apakah tahap kefahaman pelajar sebagai refleksi kepada sesi pengajaran
dan pembelajaran pada hari tersebut berdasarkan kaedah pengajaran dan
pembelajaran bercorak tradisional dan yang menggunakan ICT. Oleh itu, dapat
dilihat di sini bahawa, pelajar lebih mudah menjawab latihan pengukuhan selepas
sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT kerana kaedah tersebut lebih
mudah difahami oleh pelajar. Manakala, pelajar sukar menjawab latihan
pengukuhan melalui sesi pengajaran dan pembelajaran tradisional kerana pelajar
mudah terkeliru dengan fakta yang banyak.
3.3.3 Ujian post
Ujian dibuat selama 20 minit kepada pelajar dan ujian dilakukan pada
masa yang berbeza untuk menguji tahap kefahaman pelajar mengenai subtopik
yang telah diajar oleh guru. Kertas ujian diberikan dalam bentuk Objektif dan
Struktur. Kaedah ini digunakan untuk mengkaji sama ada pengajaran guru yang
dibuat dalam power point dapat mengukuhkan lagi pemahaman pelajar dan dapat
meningkatkan tahap peratusan markah yang diperolehi oleh pelajar.
Hasil yang diperolehi melalui ujian yang dibuat oleh guru, seramai 44
orang yang pelajar daripada dua kelas ini mendapat peratusan gred A, manakala 6
orang pelajar lagi mendapat peratusan gred B. Perbandingan keputusan ujian yang
diperolehi oleh kedua-dua kelas melalui ujian selaras II yang telah diadakan
sebelum ini dengan ujian post yang dilakukan oleh guru dapat dilihat melalui
jadual di bawah.
Keputusan Ujian II Keputusan Ujian Post
28 orang pelajar A 36 orang pelajar A
3.3.4 Pemerhatian
Kaedah ini digunakan bagi melihat daya tumpuan pelajar ketika sepanjang sesi
pengajaran dan pembelajaran tradisional dan juga sesi pengajaran dan
pembelajaran yang menggunakan ICT berlansgsung. Kaedah pengajaran dan
pembelajaran tradisional dilihat hanya mampu menarik minat pelajar sepanjang
10 hingga 15 minit pertama sahaja dan selepas itu pelajar akan mula hilang
tumpuan kepada penyampaian guru kerana didapati pengajaran dan pembelajaran
kurang mencabar kemampuan mereka. Seterusnya pelajar akan menjadi cepat
bosan dan melakukan tugasan lain ataupun membuat bising yang boleh
mengganggu sesi pengajaran yang sedang berlangsung.
Lain pula keadaan ketika pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran
yang menggunakan ICT kerana mereka sentiasa terhibur dengan paparan power
point yang kreatif dan interaktif. Pelajar akan bersemangat dan seterusnya
tumpuan pelajar tetap tertumpu kepada pengajaran yang sedang berlangsung.
Oleh itu, kefahaman dan daya mengingati fakta dapat dipertingkatkan semasa sesi
pengajaran berlangsung. Selain itu, susunan power point yang teratur mengikut
kronologi peristiwa menyebabkan guru tidak akan terkeluar dari tajuk
pembelajaran.
4.0 Tinjauan Awal
4.1 Mengutip Data Awal
Kajian yang dijalankan adalah daripada dua kelas iaitu kelas 2 Intelek dan 2 Wira di
Sekolah Menengah Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Terdapat 25 orang
pelajar daripada kelas 2 Intelek dan 25 orang daripada kelas 2 Wira.
Saya telah memilih kelas 2 Intelek dan 2 Wira sebagai peserta kajian kerana kelas
tersebut mempunyai bilangan pelajar yang sederhana iaitu 25 orang dari setiap kelas.
Kelas ini juga merupakan kelas yang saya ajar sepanjang 4 bulan di sana. Oleh itu,
senang untuk saya mengutip data. Pelajar-pelajar ini mungkin menghadapi masalah
dalam memahami isi pengajaran Kemahiran Hidup dan amali-amali yang terdapat dalam
tajuk ini. Saya harap teknik penggunaan power point dalam pengajaran yang digunakan
oleh saya dapat membantu pelajar saya lebih memahami dan menguasai setiap topik yang
diajar dengan berkesan dan dapat membantu pelajar saya belajar sambil terhibur dengan
persembahan power point yang dupersembahkan oleh saya.
4.2 Analisis Data
Daripada soal selidik yang saya edarkan kepada setiap pelajar di kedua-dua kelas
selepas tamat proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), saya telah memperolehi
maklum balas yang berguna dengan penggunaan power point di dalam pengajaran subjek
Kemahiran Hidup. Daripada 50 orang pelajar dari kedua-dua kelas, 45 orang pelajar
menyatakan amat memahami topik yang dipelajari pada hari ini manakala hanya 5 orang
pelajar yang menyatakan kurang faham kerana terdapat banyak nama-nama alatan tangan
yang perlu diingati beserta dengan fungsi alatan tangan tersebut. Jumlah 45 orang pelajar
yang menyatakan memahami tajuk pelajaran pada hari ini menunjukkan penggunaan
power point boleh menarik minat dan memudahkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu
topic yang dipelajari.
Bagi soalan 2 dapatan mengenai tahap kesukaan pelajar terhadap penggunaan
power point di dalam proses P&P, didapati 45 orang pelajar amat menyukai penggunaan
power point di dalam P&P kerana mereka mengatakan dengan penggunaan power point
di dalam P&P, para pelajar lebih faham dan mudah mengingati. Mereka juga mengatakan
dengan penggunaan power point para pelajar tidak bosan, tidak mengantuk dan seronok
kerana paparan power point menggunakan gambar-gambar yang menarik serta video
yang amat menghiburkan.
Bagi soalan 3, sejumlah 45 orang pelajar mengatakan boleh menguasai dan
memahami topik yang dipelajari hari ini kerana penggunaan power point memaparkan
nota dalam bentuk peta minda. Penghasilan nota menggunakan peta minda memudahkan
lagi para pelajar memahami dan mengingati isi-isi penting yang telah dipelajari.
Bagi soalan 4, hanya 5 orang pelajar sahaja yang tidak menggemari penggunaan
power point di dalam P&P. mereka lebih menyukai dan menggemari kaedah perbahasan
dan lakonan di dalam P&P. mereka juga menyukai penggunaan video klip semasa P&P
kerana lebih menarik. Mereka menyatakan penggunaan video klip lebih menarik, seronok
dan terdapat pelbagai gambar. Para pelajar menyatakan kaedah “talk & chalk” yang
sering digunakan oleh guru di dalam kelas membuatkan mereka bisan dan mengantuk di
dalam kelas.
4.3 Analisis Pemerhatian Terhadap Pengajaran Guru
Hasil daripada temubual dan pemerhatian saya dengan para pelajar yang sukarela
memberi maklum balas kepada saya tentang keberkesanan teknik dan pendekatan yang
digunakan dalam pengajaran hari ini iaitu dengan menggunakan power point, didapati
bahawa pendekatan dan teknik yang digunakan amat berkesan dan dapat membantu
mereka. Mereka juga mengatakan bahawa pengajaran yang disampaikan oleh saya amat
menyeronokkan, mudah ingat, tidak mengantuk serta tidak bosan apabila berada di dalam
kelas.
Selain itu, mereja juga berpendapat bahawa penggunaan power point dan
pendekatan yang digunakan oleh saya dalam P&P tidak membosankan mereka dan
meningkatkan minat mereka terhadap mata pelajaran Kemahiran Hidup dan lebih mudah
difahami. Teknik tayangan video atau video klip membolehkan pelajar lebih faham dan
menyeronokkan dalam mempelajari subjek Kemahiran Hidup ini. Selain itu, pelajar juga
memberitahu saya dalam temubual bahawa penerangan saya dalam proses P&P dan
penggunaan peta minda membuatkan pelajar lebih faham dan dapat menguasai topik
dengan amat baik.
Perkara ini berlaku mungkin disebabkan penggunaan gambar-gambar yang
menarik, peta minda yang berwarna-warni dan video klip yang hebat. Walau
bagaimanapun, ini sebagai maklum balas dan saya perlulah mengubah dan membetulkan
amalan P&P sebelum ini yang banyak mengunakan kaedah “talk & chalk” di dalam
kelas. Dengan dapatan ini boleh membantu meningkatkan pencapaian para pelajar di
dalam subjek Kemahiran Hidup.
4.4 Analisis Hasil Dapatan Daripada Data Pemerhatian
Berdasarkan kajian dan dari pemerhatian yang dilakukan, didapati hampir keseluruhan
pelajar di dalam kelas amat meminati dan seronok dengan topik yang dipelajari pada hari
tersebut kerana guru menggunakan power point di dalam P&P. Kebanyakan pelajar rasa
seronok, tidak mengantuk dan memahami dengan lebih mudah kerana penggunaan peta
minda sebagai nota ringkas di dalam P&P.
Seperti kebiasaannya, subjek Kemahiran Hidup adalah satu subjek yang banyak
menggunakan amali di bengkel. Sekiranya guru pandai memikirkan cara yang berkesan
untuk menarik perhatian pelajar, pelajar akan berminat untuk mempelajari subjek tersebut
walaupun hanya belajar di dalam kelas. Pelajar yang mempunyai pencapaian yang biasa
amat menyukai suatu kelainan seperti tayangan video, manakala pelajar yang baik pula
boleh menguasai sesuatu topik walau dengan apa cara kaedah dan teknik pengajaran yang
digunakan oleh guru. Kajian tindakan ini memberikan kesedaran bahawa pentingnya
penggunaan ICT seperti power point dalam meningkatkan keberkesanan proses P&P.
4.5 Analisis Hasil Dapatan Daripada Soal Selidik Dengan Murid
Dapatan kajian dari soal selidik yang diedarkan kepada setiap pelajar dari kedua-dua
kelas menunjukkan sebahagian besar pelajar memahami topik yang dipelajari pada hari
tersebut dengan lebih jelas. Mereka lebih memahami topik yang diajar walaupun ada
yang mengatakan terdapat kesukaran di dalam mengingati nama alatan tangan yang
digunakan di dalam bengkel. Sebahagian besar pelajar menyukai kaedah pengajaran
menggunakan power point kerana terdapat gambar-gambar yang menarik, mudah untuk
mengingat kerana terdapat peta minda, tidak bosan dan tidak mengantuk.
Selain penggunaan power point, terdapat cadangan daripada pelajar supaya
menggunakan kaedah lakonan di dalam salah satu kaedah pengajaran Kemahiran Hidup.
Kaedah konvensional amat tidak disukai oleh pelajar kerana mereka menjadi mengantuk
dan bosan sepanjang P&P berjalan. Penggunaan video klip juga turut merangsang minat
pelajar semasa mempelajari topik Kemahiran Hidup.
4.6 Persoalan Kajian
Kajian ini adalah untuk memberi kesedaran kepada saya tentang situasi yang dihadapi
oleh para pelajar dalam memahami dan seterusnya memudahkan mereka mengingati
nama-nama alatan tangan yang digunakan di dalam bengkel. Dengan ini, munculnya
persoalan yang ingin dikaji akan memberi kesedaran dan pendedahan kepada para guru
Kemahiran Hidup mengenai kaedah penggunaan power point di dalam P&P akan
membantu meningkatkan pemahaman dan minat pelajar terhadap subjek Kemahiran
Hidup.
Melalui persoalan kajian yang ingin diperolehi ini dapat diketahui P&P terutama
penggunaan ICT di dalam pengajaran subjek Kemahiran Hidup membantu para pelajar
memahmi dan mempelajari subjek Kemahiran Hidup dengan lebih menyeronokkan.
Walaupun pengkaji mempunyai kekangan masa yang membataskan untuk menjalankan
kajian dengan sempurna dan dengan hanya dua kelas sebagai sampel, namun dengan
keinginan untuk membantu pelajar belajar subjek Kemahiran Hidup dengan lebih
seronok. Pengkaji juga ingin para pelajar lebih memahami topik yang dipelajari bukan
sahaja ketika di dalam bengkel, bahkan juga pengkaji ingin para pelajar lebih mengetahui
nama-nama alatan tersebut ketika pembelajran di dalam kelas terlebih dahulu
Persoalan kajian tindakan yang dijalankan mendatangkan hasil yang
memberangsangkan kerana saya akan dapat mengetahui kaedah P&P yang lebih diminati
dan disukai oleh pelajar semasa belajar Kemahiran Hidup. Penggunaan teknik yang
terkini di dalam P&P membantu pelajar menguasai topik pelajaran dan dapat
mempertingkatkan dan membantu mereka menguasai subjek Kemahiran Hidup dengan
lebih baik, sekaligus meningkatkan pencapaian dalam subjek Kemahiran Hidup.
5.0 KESIMPULAN
Kajian tindakan di dalam pendidikan umumnya melibatkan proses mengenalpasti masalah yang
berlaku tidak kira di mana sahaja contohnya seperti di dalam bilik darjah smaa ada melibatkan
dir para pelajar, suasana bilik darjahm mahupun pada diri guru sendiri. Setelah sesuatu masalah
dikenalpasti, maka penambahbaikan perlu dilakukan dengan cara merancang pelan tindakan bagi
mengatasi masalah tersebut dan dikukuhkan dengan pembinaan matlamat dan objektif yang jelas
sebagai garis panduan kepada kajian yang ingin dilakukan. Pelan tindakan yang dibentuk
hendaklah merangkumi aspek seperti langkah-langkah yang ingin diambil, perancangan untuk
mengumpul data mengenai permasalahan tersebut, cara untuk memantau semula perancangan
yang telah dibuat dan bagaimana untuk menilai semula sama ada apa yang dirancang tercapai
ataupun tidak.
Proses kajian tindakan yang dilakukan tidak hanya melibatkan proses mengenalpasti
masalah dan menacri jalan penyelesaian semata-mata. Ia juga turut melibatkan proses
mengumpul data-data, memantau perjalanan kajian sama ada berjalan seperti yang dirancang
ataupun tidak, ia juga menilai semula sama ada matlamat dan objektif kajian tercapai ataupun
tidak. Sesuatu kajian tindakan juga melibatkan proses pengulangan pemantauan dan penilaian
sepanjang kajian dilakukan bagi memastikan sebarang kekurangan di dalam kajian dapat
diperbaiki dan dikemas kini dari semasa ke semasa. Ini bertujuan untuk penambahbaikkan
sebarang fakta yang terdapat di dalam kajian, atau mungkin bagi memastikan tiada sebarang
kesalahan yang berlaku.
Penggunaan teknik media bantu mengajar power point memberi alternatif baru kepada
guru-guru Kemahiran Hidup dalam memudahkan penyampaian maklumat-maklumat berkaitan
dengan Kemahiran Hidup kepada para pelajar. Berdasarkan kepada penyelidikan yang telah
dijalankan telah menunjukkan hampir ke semua pelajar begitu tertarik kepada kaedah
penyampaian menggunakan power point. Ini adalah kerana kaedah pengajaran menggunakan
power point lebih interaktif dan dapat mengelakkan mereka daripada rasa mengantuk dan bosan.
Para pelajar lebih memahami teknik pengajaran dan pembelajaran menggunakan power point
berbanding “chalk & talk” kerana kaedah penyampaian lebih jelas melalui penggunaan gambar-
gambar yang dimasukkan ke dalam power point. Teknik ini memudahkan mereka untuk
memahami tajuk-tajuk pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Walaupun terdapat sebilangan
kecil pelajar yang tudak menggemari teknik ini kerana lebih gemar kepada teknik pengajaran dan
pembelajaran menggunakan kaedah lakonan tetapi tidaklah ramai.
Secara kesimpulannya dapat dirumuskan teknik penggunaan power point merupakan
dimensi baru dalam menghasilkan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Ini
adalah kerana kebolehan power point yang pelbagai dalam menyampaikan maklumat seperti
“hyperlink” kepada video dan audio, paparan gambar-gambar, graf, peta minda dan sebagainya.
Power point juga berupaya untuk menghasilkan soalan berbentuk interaktif dan menarik
berbanding kaedah tradisional yang menggunakan kertas untuk memberikan soalan atau
lembaran kerja kepada para pelajar.
6.0 BIBLIOGRAFI
Abdul Ghafar Md Din (2003). Prinsip dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur : Utusan
Publication & Distributor Sdn Bhd.
Abdul Rahim M.Ali (2001). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Kuala Lumpur : Utusan Publicayion
& Distributor Sdn Bhd.
Madniyah Md Jaafar, Muhammad Hussin, Choo Suet Lan, Hai Mohd Zubir Embong & Zakiah
Idris (1995). Modul Kajian Tindakan, Kuala Lumpur.
Mok Soon Sang (2003). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn
Bhd.
Norjiah Bt Sulaiman (1996). Kajian Tindakan : Penyelidikan Dalam Bilik Darjah, Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Othman bin Lebar. Modul Kursus Kajian Tindakan Dalam Pendidikan : Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Perak.
LAMPIRAN
Borang Soal Selidik:
Bil Soalan Ya Tidak
1. Adakah anda pernah menerima pengajaran guru
menggunakan teknologi power point?
2. Adakah anda suka guru mengajar menggunakan power
point?
3. Adakah anda lebih memahami pembelajaran Kemahiran
Hidup dengan menggunakan power point?
4. Adakah anda setuju dengan penggunaan power point
menimbulkan minat anda dalam pembelajaran?
5. Adakah anda setuju jika penggunaan power point ini
diteruskan pada masa akan datang dalam pengajaran guru?
6. Sekiranya anda kurang jelas mengenai pengajaran
menggunakan power point, apakah cara pembelajaran yang
diminati oleh anda? Nyatakan.
Perbahasan
Lakonan
Video klip