kesetaraan gender dalam islam: satu analisis · isu-isu yang dilaung dan diperjuangkan itu...

12
49 KESETARAAN GENDER DALAM ISLAM: SATU ANALISIS AZLI FAIRUZ LAKI, SITI NOR FAZILLAH ABDULLAH, NORMADIAH DAUD & MOHD. BORHANUDDIN ZAKARIA Abstrak: Gerakan feminisme secara konsisten mendakwa wanita dalam Islam didiskriminasi dan diperlakukan secara tidak adil. Mereka mendakwa ulama traditionalis menafsir teks Islam secara bias yang mengakibatkan wanita terkongkong di bawah penguasaan lelaki dan menjadi mangsa ketidaksetaraan dan diskriminasi gender. Sebagai tindak balas, feminis mula melaungkan tuntutan kesetaraan gender. Isu ini menjadi polemik kerana tuntutan mereka menyentuh sistem, prinsip dan hukum-hakam Islam. Kajian ini bertujuan untuk memahami konsep kesetaraan gender, seterusnya diskriminasi dan bias gender yang didakwa berlaku dalam Islam. Kajian ini juga ingin melihat konsep kesetaraan gender dari sudut pandangan Islam. Metod yang digunapakai dalam kajian ini adalah pendekatan kualitatif dan menggunakan kaedah analisis dokumen iaitu dengan mengumpul dan menganalisis kandungan teks. Kajian menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf kesetaraan gender dalam sebahagian aspek hukum-hakamnya. Di samping itu, kajian juga membuktikan bahawa Islam lebih mengutamakan konsep keadilan gender berbanding kesetaraan gender secara mutlak yang mungkin tidak mendatangkan keadilan. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa Islam mendiskriminasi wanita adalah tidak benar. Kajian juga mencadangkan supaya perbezaan gender ini dilihat sebagai hubungan lengkap-melengkapi dan bukannya hubungan persaingan. Kata Kunci: Kesetaraan Gender, Feminisme, Islam. PENGENALAN Sejak hegemoni Barat menjengah masuk ke tanahair umat Islam, sedikit demi sedikit hukum-hakam dan ajaran dikecilkan dan beralih ke sudut peribadi. Seiring dengan kelesuan umat Islam dari segi jati diri, keilmuan dan politik, produk pemikiran Barat secara beransur-ansur semakin tersebar. Antara yang meresap masuk ke dalam masyarakat Islam ialah fahaman kesetaraan gender yang dibawa oleh gerakan feminisme. Aktivis gerakan feminisme secara konsisten mendakwa agama Islam melalui para ulama tradisionalis telah memonopoli tafsiran teks Islam terutama al-Qur`an, lalu menggubal hukum syariah secara tidak benar, bias gender, berkepentingan serta di bawah pengaruh warisan budaya patriarki. Stigma bahawa Islam tidak berlaku adil terhadap wanita mula diperjuangkan secara terbuka. Islam dianggap memasung kebebasan wanita dan menjadikannya sebagai manusia kelas bawah yang terkongkong di bawah penguasaan lelaki. Wanita di dalam Islam dilihat tidak mendapat hak yang sama seperti lelaki. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila aktivis-aktivis gerakan feminisme ini berbicara atas nama pembaharuan Islam. Kajian ini bertujuan untuk melihat konsep kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh gerakan feminisme. Kajian ini juga ingin melihat isu-isu diskriminasi gender yang didakwa berlaku dalam Islam. Seterusnya, kajian ini bertujuan memahami pendirian Islam tentang konsep kesetaraan gender. Metod yang diguna pakai dalam kajian ini adalah pendekatan penyelidikan kualitatif. Pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang diguna pakai bagi mengkaji fenomena yang tidak bergantung kepada statistik dan lebih menumpukan perkataan berbanding kuantifikasi. Pendekatan kualitatif membolehkan seseorang pengkaji mendekati, Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018 International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018 Penyunting: Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Hanif Md Lateh @ Junid, Tengku Fatimah Muliana Tengku Muda, Syh Noorul Madihah Syed Husin, Sharifah Norshah Bani Syed Bidin, Sumayyah Abdul Aziz, Nooraihan Ali, Kamaruddin Awang Mat, Azzyati Mohd Nazim, Nadhirah Nordin, Raja Hazirah Raja Sulaiman & Noorsafuan Che Noh © Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ISBN 978-967-0899-96-1 (2018), http: //www.fki.unisza.edu.my

Upload: others

Post on 26-Dec-2019

19 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

49

KESETARAAN GENDER DALAM ISLAM: SATU ANALISIS

AZLI FAIRUZ LAKI, SITI NOR FAZILLAH ABDULLAH, NORMADIAH DAUD

& MOHD. BORHANUDDIN ZAKARIA

Abstrak: Gerakan feminisme secara konsisten mendakwa wanita dalam Islam didiskriminasi dan

diperlakukan secara tidak adil. Mereka mendakwa ulama traditionalis menafsir teks Islam secara bias yang

mengakibatkan wanita terkongkong di bawah penguasaan lelaki dan menjadi mangsa ketidaksetaraan dan

diskriminasi gender. Sebagai tindak balas, feminis mula melaungkan tuntutan kesetaraan gender. Isu ini

menjadi polemik kerana tuntutan mereka menyentuh sistem, prinsip dan hukum-hakam Islam. Kajian ini

bertujuan untuk memahami konsep kesetaraan gender, seterusnya diskriminasi dan bias gender yang didakwa

berlaku dalam Islam. Kajian ini juga ingin melihat konsep kesetaraan gender dari sudut pandangan Islam.

Metod yang digunapakai dalam kajian ini adalah pendekatan kualitatif dan menggunakan kaedah analisis

dokumen iaitu dengan mengumpul dan menganalisis kandungan teks. Kajian menunjukkan bahawa Islam

mengiktiraf kesetaraan gender dalam sebahagian aspek hukum-hakamnya. Di samping itu, kajian juga

membuktikan bahawa Islam lebih mengutamakan konsep keadilan gender berbanding kesetaraan gender

secara mutlak yang mungkin tidak mendatangkan keadilan. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa Islam

mendiskriminasi wanita adalah tidak benar. Kajian juga mencadangkan supaya perbezaan gender ini dilihat

sebagai hubungan lengkap-melengkapi dan bukannya hubungan persaingan.

Kata Kunci: Kesetaraan Gender, Feminisme, Islam.

PENGENALAN

Sejak hegemoni Barat menjengah masuk ke tanahair umat Islam, sedikit demi sedikit

hukum-hakam dan ajaran dikecilkan dan beralih ke sudut peribadi. Seiring dengan

kelesuan umat Islam dari segi jati diri, keilmuan dan politik, produk pemikiran Barat

secara beransur-ansur semakin tersebar. Antara yang meresap masuk ke dalam masyarakat

Islam ialah fahaman kesetaraan gender yang dibawa oleh gerakan feminisme. Aktivis

gerakan feminisme secara konsisten mendakwa agama Islam melalui para ulama

tradisionalis telah memonopoli tafsiran teks Islam terutama al-Qur`an, lalu menggubal

hukum syariah secara tidak benar, bias gender, berkepentingan serta di bawah pengaruh

warisan budaya patriarki.

Stigma bahawa Islam tidak berlaku adil terhadap wanita mula diperjuangkan secara

terbuka. Islam dianggap memasung kebebasan wanita dan menjadikannya sebagai manusia

kelas bawah yang terkongkong di bawah penguasaan lelaki. Wanita di dalam Islam dilihat

tidak mendapat hak yang sama seperti lelaki. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila

aktivis-aktivis gerakan feminisme ini berbicara atas nama pembaharuan Islam.

Kajian ini bertujuan untuk melihat konsep kesetaraan gender yang diperjuangkan

oleh gerakan feminisme. Kajian ini juga ingin melihat isu-isu diskriminasi gender yang

didakwa berlaku dalam Islam. Seterusnya, kajian ini bertujuan memahami pendirian Islam

tentang konsep kesetaraan gender.

Metod yang diguna pakai dalam kajian ini adalah pendekatan penyelidikan kualitatif.

Pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang diguna pakai bagi mengkaji fenomena yang

tidak bergantung kepada statistik dan lebih menumpukan perkataan berbanding

kuantifikasi. Pendekatan kualitatif membolehkan seseorang pengkaji mendekati,

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018 Penyunting: Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Hanif Md Lateh @ Junid, Tengku Fatimah

Muliana Tengku Muda, Syh Noorul Madihah Syed Husin, Sharifah Norshah Bani Syed Bidin,

Sumayyah Abdul Aziz, Nooraihan Ali, Kamaruddin Awang Mat, Azzyati Mohd Nazim,

Nadhirah Nordin, Raja Hazirah Raja Sulaiman & Noorsafuan Che Noh

© Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

ISBN 978-967-0899-96-1 (2018), http: //www.fki.unisza.edu.my

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

50

memahami dan menjelaskan fenomena yang merangkumi isu-isu ekonomi, politik sosial

dan keagamaan. Kaedah utama kajian ini pula adalah analisis dokumen iaitu dengan

mengumpul dan menganalisis kandungan teks. Pengumpulan data melalui analisis

dokumen dapat memberikan maklumat yang relevan kepada isu dan masalah yang dikaji.

FEMINISME DAN KESETARAAN GENDER

Feminisme merupakan istilah yang seringkali digunakan untuk menghuraikan gerakan

wanita yang berhubung dengan politik, budaya atau ekonomi. Dalam sejarahnya, fahaman

feminisme yang muncul pada abad ke-18 digerakkan oleh sekumpulan aktivis wanita Barat

yang memperjuangkan hak-hak wanita yang tertindas.Suara mereka bermula di benua

Eropah pasca perang dunia apabila syarikat dan kilang perusahaan mula merekrut wanita

dan kanak-kanak untuk bekerja secara besar-besaran. Ini adalah kerana kilang perusahaan

kehilangan ramai pekerja lelaki disebabkan terlibat atau terbunuh dalam perang dunia.

Namun masalah timbul apabila kaum wanita merasa mereka didiskriminasi dan ditindas

oleh majikan apabila tidak mendapat bayaran upah yang setara dengan lelaki (Osborne,

2001).

Dalam perkembangannya, feminisme juga dikenali dengan fahaman kesetaraan

gender kerana matlamat utamanya adalah memperjuangkan kesaksamaan antara lelaki dan

wanita. Kesetaraan hak antara lelaki dan wanita ini merangkumi semua bidang termasuk

kemasyarakatan, pekerjaan, pendidikan, ekonomi, politik dan kesihatan (Harees, 2012).

GERAKAN FEMINISME DI MALAYSIA

Kemunculan feminisme sebagai gerakan dan ideologi bukanlah secara tiba-tiba dan

serentak di seluruh pelusuk dunia. Akan tetapi kemunculannya di serata dunia dilatari oleh

pelbagai faktor seperti agama, sosial, ekonomi, politik dan budaya. Di tanahair kita, telah

wujud banyak pertubuhan sukarela wanita yang aktif sama ada sebelum atau selepas

merdeka. Young Women Christian Association (1907), Women Teachers Union (1929)

dan Women Institute (1952) merupakan contoh-contoh pertubuhan sukarela wanita yang

telah wujud sebelum merdeka lagi. Pertubuhan-pertubuhan tersebut terus aktif dan

seterusnya bergabung di bawah satu payung pada 25 Oktober 1963 apabila Majlis

Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) ditubuhkan. NCWO telah

berkembang pesat apabila ahli gabungannya meningkat kepada hampir 250 buah

pertubuhan (NCWO, 2018).

Suara lantang pembebasan wanita menuntut hak kesetaraan gender mula kedengaran.

Golongan wanita Islam tanahair juga tidak ketinggalan melaungkan hak-hak mereka.

Secara umumnya, suara yang menuntut supaya diberikan hak mereka adalah suara yang

patut diangkat tinggi. Ini adalah kerana Allah s.w.t menyeru kita supaya menunaikan

amanah kepada empunya hak (Surah al-Nisa’: 58). Namun, yang meresahkan ialah apabila

isu-isu yang dilaung dan diperjuangkan itu menyentuh dan akan merombak sistem, prinsip

dan ketetapan hukum-hakam Islam.

Antara gerakan feminisme terkenal di tanahair ialah Sisters in Islam (SIS). Sejak dari

awal penubuhannya pada tahun 80-an, SIS dilihat sebagai gerakan feminisme yang paling

aktif dan vokal dalam memperjuang dan mempertahankan ideanya. Perjuangan SIS yang

mendaulatkan hak-hak asasi manusia, kesetaraan gender serta pendekatan agamanya yang

berasaskan tafsiran dari perspektif hak-hak kemanusiaan, telah menjadikannya sentiasa

dibayangi kontroversi.

Menurut salah seorang penggerak SIS, segalanya-galanya bertolak dari sebuah

persoalan iaitu “Kalau Allah itu Maha Adil atau kalau Islam itu adil, mengapakah ada

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

51

undang-undang dan polisi-polisi yang dibuat atas nama Islam tetapi mencetuskan

ketidakadilan?” (JAIS, 2011). SIS juga sering memulakan perbahasan dengan persoalan,

“Sekiranya keadilan dan kesamaan sebagai nilai intrinsik dalam Islam, mengapakah kaum

perempuan dilayan sebagai kelas kedua dalam teks perundangan Islam. Sekiranya

kesamaan menjadi inherent kepada konsep keadilan dalam dunia moden, mengapa ia tidak

terjelma dalam undang-undang keluarga di kebanyakan negara Islam yang mendakwa

sebagai moden dan dipimpin oleh Syariah?” (JAIS, 2011).

ISU-ISU ‘DISKRIMINASI GENDER’ DALAM ISLAM

Banyak isu-isu yang dimainkan oleh feminis dalam dakwaaan mereka Islam

mendiskriminasi wanita. Kajian ini hanya akan menyebut beberapa contoh sahaja isu yang

berkaitan institusi kekeluargaan dalam Islam.

Dalam Islam, perkahwinan yang diterima ialah perkahwinan di antara dua jantina

yang berbeza iaitu lelaki dengan wanita. Perkahwinan sedemikian dikira sah apabila cukup

syarat dan rukunnya. Namun, perkara ini dianggap sebagai satu diskriminasi dan

ketidakadilan gender oleh aktivis feminisme. Feminis berfahaman Islam Liberal pada

hakikatnya bukan sekadar mempersoalkan hukum-hakam yang berkait dengan institusi

kekeluargaan Islam, akan tetapi turut memperjuangkan hak untuk berhubungan antara

sesama sejenis atau lebih tepat hak homoseksual atau lesbian. Mereka meminta supaya

perkahwinan antara lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita juga mesti dianggap

sah.

Siti Musdah Mulia (2008) seorang feminis terkenal yang memperjuangkan konsep

kesetaraan gender di Indonesia dalam makalah ringkasnya yang berjudul “Islam Agama

Rahmat bagi Alam Semesta” menulis:

“Menurut hemat saya, yang dilarang dalam teks-teks suci tersebut lebih tertuju

kepada perilaku seksualnya, bukan pada orientasi seksualnya. Mengapa? sebab,

menjadi heteroseksual, homoseksual (gay dan lesbi), dan biseksual adalah

kodrati, sesuatu yang given atau dalam bahasa fikih disebut sunnatullah.

Sementara perilaku seksual bersifat kontruksi manusia. Jika hubungan sejenis

atau homo, baik gay atau lesbi sungguh-sungguh menjamin kepada

pencapaian-pencapaian tujuan dasar tadi maka hubungan demikian dapat

diterima.”

Atas alasan kesetaraan hak juga, feminis menuntut larangan berpoligami. Ini adalah

kerana poligami pada pandangan feminis merupakan satu diskriminasi dan ketidakadilan

kepada kaum wanita. Dalam satu kenyataan di laman web SIS bertarikh 8 Januari 2002,

mereka menulis antaranya:

“Sisters in Islam (SIS) ingin menegaskan bahawa Islam bukanlah mewujudkan

atau menggalakkan polygami. Poligami tanpa had pernah menjadi amalan sedia

ada di zaman sebelum al-Qur’an diwahyukan. Ayat-ayat al-Qur’an berhubung

dengan poligami dengan jelas bersifat menyekat dan bukannya menggalakkan.

Sejak abad ke sembilan belas, beberapa tokoh terkemuka ulama’ Islam,

misalnya Sheikh Muhammad Abduh, Mufti Besar di Mesir sehingga

kematiannya pada tahun 1905, telah menjelaskan bahawa poligami hanyalah

dibenarkan secara keberatan oleh ajaran Islam kerana keadaan yang sedia

wujud pada zaman penurunan wahyu al-Quran…dalam sesetengah kes, amalan

poligami mungkin telah menambah lagi masalah social di kalangan para remaja

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

52

iaitu mereka yang dibesarkan dalam keluarga yang terbiar kerana bapa

berpoligami. Oleh yang demikian, persoalan yang wajar dipertimbangkan

dalam masyarakat kita pada hari ini bukanlah sama ada poligami patut

dibenarkan semula bagi bukan Islam, tetapi sama ada poligami patut terus

dibenarkan di bawah undang-undang keluarga Islam… Sebenarnya, Kitab Suci

al-Qur’an adalah satu-satunya kitab suci yang mengandungi rangkaikata

“kahwinilah seorang sahaja”. Malah, masyarakat orang Islamlah yang

sepatutnya telah memimpin masyarakat lain dalam perjuangan menentang

poligami dan penyalahgunaannya.”

Dalam hal perceraian pula, berlandaskan asas kesetaraan hak, feminis menuntut

wanita sebagai isteri turut diberikan hak untuk menceraikan suami. Mereka mendakwa,

jika suami berhak menceraikan isterinya dengan suatu lafaz cerai, maka mengapa wanita

tidak boleh menceraikan suaminya secara langsung tanpa perlu membuat tuntutan cerai

melalui mahkamah syariah? (Muhammad Arifin, 2015).

Atas alasan ’kesetaraan gender’ juga, gerakan ini menuntut agar diubah hukum

perkahwinan berbeza agama, kerana perkahwinan berdasarkan agama menurut mereka

adalah bertentangan dengan asas kesetaraan hak. Demikian juga, ijab dan qabul

pernikahan bukan dilakukan oleh pihak lelaki sahaja, tetapi juga boleh dilakukan oleh

pihak perempuan. Dalam masyarakat muslim liberal di Lucknow, New Delhi, India,

pernah terjadi perkahwinan yang dilakukan oleh seorang jurunikah wanita merangkap wali

pengantin wanita dan saksi wanita. Akhbar tabloid Mail Today bertarikh 13 Ogos 2008

yang melaporkan berita tersebut turut memaparkan gambar kejadian. Feminis turut

mendakwa sistem pewarisan harta pusaka yang melibatkan keluarga Islam juga terpalit

dengan ketidaksetaraan gender kerana mendiskriminasi wanita.

ISLAM MEMULIAKAN WANITA

Sebelum kedatangan Islam, seluruh manusia memandang kaum wanita dengan pandangan

yang hina. Bukan sahaja tidak memuliakannya, mereka malah tidak menganggap wanita

sebagai manusia. Orang-orang Greek memandang wanita sebagai objek keseronokan

semata-mata. Orang-orang Rom memberikan hak kepada seorang ayah atau suami untuk

menjual anak perempuan atau isterinya. Orang Arab pula memberikan hak kepada seorang

anak untuk mengahwini isteri ayahnya. Wanita tidak mendapat hak waris dan tidak berhak

memiliki harta. Keadaan yang sama juga berlaku di Parsi dan India (Abdul Qadir, 2010).

Orang-orang Arab zaman jahiliah juga biasa membunuh anak perempuan. Mereka

membunuh dengan menguburkan anak-anak perempuan mereka hidup-hidup tanpa rasa

bersalah. Mereka berbuat demikian kerana malu mendapat anak perempuan. Perkara

tersebut dijelaskan dalam al-Quran:

ى وإذا بشر أحدهم بالنثى ظل وجهه مسودا وهو كظيم . يتوارى من القوم من سوء ما ب ه س شر به أي

ون هون أم يدسه في التراب أل ساء ما يح

Maksudnya: Dan apabila seseorang dari mereka diberitakan dengan (kelahiran)

anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah.

Dia menyembunyikan dirinya dari orang ramai disebabkan buruknya berita

yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan

menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-

hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu (An-

Nahl: 58).

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

53

Dalam menjelaskan ayat ini, Ibn ‘Asyur (4891) menjelaskan, “Mereka menguburkan

anak-anak perempuan mereka. Sebahagian mereka terus menguburkannya sebaik sahaja

dilahirkan. Sebahagian yang lain menguburkannya setelah anak tersebut mampu berjalan

dan berbicara, iaitu ketika anak-anak perempuan mereka sudah tidak boleh disembunyikan

lagi. Ini adalah antara perbuatan terburuk orang-orang jahiliah. Mereka terbiasa dengan

perbuatan ini dan menganggap hal tersebut sebagai hak seorang ayah. Oleh itu, seluruh

masyarakat tidak mengingkari perbuatannya.”

Setelah itu, diutuskan Nabi Muhammad s.a.w. membawa Islam yang memerangi

segala bentuk kezaliman dan penindasan. Islam menjamin hak setiap manusia tanpa

terkecuali. Bermula daripada saat itu, wanita dipandang hormat dan mendapat hak mereka

yang sewajarnya. Islam mengajar umatnya cara bergaul dengan wanita secara baik dan

terhormat. Sebagai contoh, lihat panduan Islam bagaimana seharusnya berinteraksi dengan

kaum wanita secara terhormat tanpa paksaan dan kekerasan. Allah s.w.t berfirman:

م أن ترثوا النساء كرها ول تعضوهن لتذهبوا ببعض وهن إل أن يا أيها الذين آمنوا ل يحل ل ما آتيت

وهن فعسى أ عروف فإن كرهت اشروهن بال فيه خيرا يأتين بفاحشة مبينة و رهوا شيئا ويجعل للا ن ت

كثيرا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu

mempusakai wanita secara paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka

kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu

berikan kepadanya, kecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata.

Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik. Kemudian, apabila

kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak

menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak

(Al- Nisa: 19).

Dalam banyak hadith, Nabi s.a.w sering mengingatkan umat Islam agar menghargai

dan memuliakan kaum wanita. Antaranya adalah sabda baginda s.a.w:

استوصوا بالنساء خيرا

Maksudnya: Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya berbuat baik kepada

para wanita. (Sahih Muslim, 2006: 3729)

Sabda baginda dalam hadith yang lain;

ي ه وأنا خيركم له خيركم خيركم له

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kelakuannya terhadap

isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku (Sunan al-Tirmizi,

1998: 3830).

Dalam mengulas lanjut hadis-hadis tersebut, Abdul Qadir Syaibah al-Hamd (2010)

menyatakan, “Begitulah kemudiannya dalam undang-undang Islam, wanita dihormati,

tidak boleh diwariskan (kepada orang lain) dan tidak halal ditahan secara paksa. Kaum

lelaki diperintahkan untuk berbuat baik kepada mereka. Para suami pula dituntut untuk

berinteraksi mereka dengan baik serta bersabar dengan akhlak mereka.”

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

54

KESETARAAN GENDER DALAM ISLAM

Terdapat beberapa bentuk kesetaraan gender melibatkan hukum-hakam syariat yang

diiktiraf oleh Islam. Hal ini merupakan manifestasi keadilan dalam syariat Islam kerana

tiada perbezaan signifikan dalam perkara tersebut yang boleh membawa kepada

ketidakadilan.

Antara bentuk kesetaraan gender yang diiktiraf dalam Islam ialah:

1. Kesetaraan dalam aspek ibadat dan pahala.

Lelaki dan wanita pada pandangan Allah s.w.t. adalah sama. Allah s.w.t yang Maha

Bijaksana tidak membezakan lelaki dan wanita dalam ibadat dan pahala. Ini adalah kerana

mereka masing-masing dibebankan dengan tanggungjawab tersebut. Ini jelas dalam

firmanNya dalam surah al-Zariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah Aku ciptakan

jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” Sebagai balasan, lelaki dan wanita

yang melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t akan mendapat ganjaran dan pahala yang

sama. Allah s.w.t berfirman:

ل صالحا من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فنحيينه حياة طيبة ولنجزينهم أجره ون من م بأحسن ما كانوا يع

Maksudnya: Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, dalam keadaan

dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang

baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang

lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan (Surah al-Nahl: 97).

Dalam ayat lain Allah s.w.t berfirman:

م من بعض م من ذكر أو أنثى بعض امل من ل أني ل أضيع

Maksudnya: Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang

yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana)

setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain (Surah A-li

Imran: 195).

Ayat-ayat al-Quran di atas secara jelas membuktikan bahawa konsep kesetaraan

gender diterapkan dalam aspek ibadat. Kesetaraan tersebut merangkumi pelaksanaan dan

ganjaran yang diberikan kerana ia satu bentuk keadilan. Walau bagaimanapun, dalam

sebahagian ibadat yang melibatkan aspek pelaksanaan, atas dasar dan prinsip keadilan,

syariat tidak mengamalkan konsep kesetaraan gender kerana ia tidak memberi keadilan

kepada pihak-pihak tertentu.

Sebagai contoh, wanita yang didatangi haid tidak diwajibkan bersolat dan berpuasa.

Lebih dari itu, solat-solat yang ditinggalkan oleh wanita ketika tempoh haid tidak dituntut

oleh syarak supaya menggantikannya semula kerana ia akan membebankan wanita.

Berbeza dengan lelaki, mereka diwajibkan qadha solat yang ditinggalkan kerana mereka

tidak didatangi haid. Begitu juga halnya dengan kewajipan berjihad fi sabilillah. Jihad

fisabilillah diwajibkan ke atas golongan lelaki kerana kekuatan yang ada pada mereka.

Jihad fisabilillah tidak diwajibkan ke atas wanita kerana kelemahan mereka dari segi

jasadiah. Jelas, ia satu bentuk ‘diskriminasi gender’ tetapi itulah keadilan yang sebenar-

benarnya.

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

55

2. Kesetaraan dalam aspek muamalat.

Wanita sama seperti lelaki dalam hukum-hakam muamalat yang berkaitan dengan hak

manusia. Wanita berhak melakukan sebarang transaksi kewangan menggunakan harta

miliknya. Suaminya tidak berhak menghalangnya. Wanita berhak berjual-beli, bersedekah

dan melaksanakan hibah jika tiada apa-apa halangan syar’ie seperti gila. Dalam satu hadith

ada disebut:

أن امرأة سألت النبي صى هللا يه وسم: أتجزئ الصدقة ى الزوج، وى أيتام في حجرها؟ فأجابها

لها أجران: أجر القرابة، وأجر الصدقة»رسول هللا صى هللا يه وسم بقوله:

Maksudnya: Seorang wanita bertanyakan Nabi s.a.w tentang keharusan seorang

wanita memberi sedekah kepada suaminya dan anak yatim yang dibelanya.

Nabi s.aw.menjawab: Boleh, bahkan dia mendapat dua bentuk pahala iaitu

pahala bersilaturrahim dan pahala bersedekah (Sahih al-Bukhari, 2002: 1373).

3. Kesetaraan dalam aspek kekeluargaan.

Islam sebagai agama yang adil memberikan hak dan tanggungjawab kepada suami dan

isteri. Sebagaimana suami dalam keluarga mempunyai hak dan tanggungjawabnya, wanita

juga mempunyai hak dan tanggungjawabnya sendiri. Allah s.w.t berfirman:

عروف يهن بال ولهن مثل الذي

Maksudnya: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan

yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya

(Surah al-Baqarah: 228).

Perlu difahami bahawa kesetaraan dari segi hak dan tanggungjawab ini bukanlah

kesetaraan mutlak dari sudut jenisnya, kerana perbezaan penciptaan secara jasadiah dan

ruhiah adalah berbeza. Yang dimaksudkan di sini adalah kategori tanggungjawab dan hak

bersama. Al-Raghib al-Asfahani (1999) dalam tafsirnya mengulas ayat ini dengan

mengatakan, “Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan suami isteri dalam satu keluarga

mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing. Masing-masing memikul beban

menunaikan tanggungjawab pernikahan mengikut kesesuaian fitrah penciptaannya. Hal-hal

seperti berusaha mendapat zuriat, mendidik anak-anak, bergaul dengan baik, memelihara

dan menguruskan rumahtangga serta melindungi semua ahli keluarga sepenuh daya adalah

tanggungjawab bersama suami isteri.” (Al-Raghib al-Asfahani, 1999)

Hal demikian selari dengan hadis Nabi s.a.w:

ها وولده ى بيت بع ية رأة را نهم، وال ى أهل بيته، وهو مسئول جل راع نهم والر ، وهي مسئولة

Maksudnya: Seorang suami dalam keluarganya adalah pemimpin dan dia akan

dipertanggungjawabkan atas orang yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah

pemimpin di dalam rumahtangga suami dan anaknya dan dia akan

dipertanggungjawabkan atas orang yang dipimpinnya (Sahih al-Bukhari, 2002:

2322)

Oleh yang demikian, sebagaimana wanita ada tanggungjawab kekeluargaannya,

wanita juga mempunyai hak kekeluargaan yang perlu ditunaikan oleh suami. Ayat ini

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

56

secara tidak langsung mengangkat martabat wanita dalam Islam, tidak seperti masyarakat

lain yang pernah merendahkan martabat wanita dengan tidak memberikan mereka sebarang

hak.

4. Kesetaraan dalam aspek jenayah dan dosa.

Lelaki dan wanita akan menerima hukuman yang sama jika mereka disabitkan dengan

pelakuan jenayah yang sama. Lelaki dan wanita juga akan mendapat dosa apabila mereka

melanggar hukum-hakam Allah s.w.t. Sebagai contoh, hukuman berkaitan jenayah zina

dan mencuri. Firman Allah s.w.t:

ا رأفة في دين هللا دة ول تأخذكم به ا مئة ج دوا كل واحد منه اني فاج انية والز إن كنتم تؤمنون با واليوم اخخر الز

ؤمنين ا طائفة من ال ذابه وليشهد

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-

tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh

perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika

benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman

seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman

(Surah al-Nur: 2).

Firman Allah s.w.t. berkait implikasi perbuatan mencuri:

يم زيز ح ال من هللا وهللا ا كسبا ن ا جزاء ب والسارق والسارقة فاقطعوا أيديه

Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang

mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan

dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman

pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

(Surah al-Maidah: 38).

5. Kesetaraan dalam aspek menuntut ilmu.

Islam memberikan hak yang sama kepada lelaki dan wanita untuk menuntut ilmu. Bukan

lagi rahsia bahawa di kalangan para sahabat Nabi s.a.w sendiri ada wanita yang diiktiraf

lebih berilmu berbanding kebanyakan lelaki lain seperti Ummul Mukminin Saidatina

Aisyah r.a. Ini semua adalah disebabkan galakan –bahkan perintah- Nabi s.a.w kepada

umatnya agar menuntut ilmu tanpa mengira gender. Sabda Nabi s.a.w:

طب العم فريضة ى كل مسم

Maskudnya: Menuntut ilmu merupakan kewajipan atas setiap orang Islam

(Sunan Ibn Majah, 2010: 220)

Berdasarkan huraian di atas, terdapat dua premis yang boleh difokuskan. Premis

pertama ialah Islam mengiktiraf dan mengamalkan kesetaraan gender pada perkara-perkara

tertentu. Premis yang kedua pula ialah Islam mengutamakan keadilan gender dalam

perkara yang melibatkan hukum-hakamnya.

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

57

KESETARAAN GENDER ATAU KEADILAN GENDER?

Telah disebutkan sebelum ini beberapa bentuk kesetaraan gender yang diiktiraf dalam

Islam. Namun, ada beberapa perkara dalam Islam, lelaki diberikan hak yang lebih

berbanding wanita. Antaranya adalah seperti isu-isu yang dimainkan oleh gerakan

feminisme sebelum ini. Contoh lain ialah seperti dalam pembahagian harta pusaka iaitu

bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan (Surah al-

Nisa’: 11). Lelaki juga diberikan hak untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya. Dalam kes

berkaitan muamalat misalnya, penyaksian seorang lelaki menyamai penyaksian dua orang

wanita (al-Baqarah: 282). Kaum lelaki juga bersifat ‘qawwam’ dan dianggap pemimpin

serta pelindung yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita (al-Nisa’: 34). Persoalan

yang timbul ialah mengapa Islam tidak mengamalkan kesetaraan gender dalam semua

perkara yang melibatkan sistem, prinsip dan hukum-hakamnya?

Perkataan kesetaraan (disebut dalam bahasa Arab sebagai al-musawat) adalah

perkataan ‘tersirat’ (implicit) yang memerlukan penjelasan yang lebih terperinci bagi

menentukan maksudnya. Keberkesanan dan implikasi pelaksanaannya juga mesti dilihat,

adakah kesetaraan tersebut bermanfaat kepada penerimanya? Ataupun hanya satu

pembaziran yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah? Adakah pelaksanaannya

membawa kestabilan ataupun mendatangkan huru-hara? Jika implikasinya negatif maka

tiada manfaat daripada perlaksanaannya kerana tidak mendatang kestabilan.

Perkataan keadilan pula (disebut dalam bahasa Arab sebagai al-‘adl atau al-‘adalah)

adalah perkataan ‘tersurat’ (explicit) yang membawa definisi yang jelas. Adil didefinisikan

sebagai meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya dan memberikan seseorang

haknya secara sempurna. Definisi ini menggambarkan bahawa keadilan bukan sahaja

merupakan tuntutan agama malah ia juga adalah satu tuntutan moral yang perlu ditunaikan.

Dalam Islam, keadilan adalah suatu yang perlu dipraktikkan oleh setiap Muslim. Allah

s.w.t berfirman yang bermaksud: ''Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan

manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil'' (al-Nisa: 58).

Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah suatu konsep yang diterima

pakai oleh manusia tanpa mengira bangsa dan agama serta warna kulit. Impak jika keadilan

ini dapat dipraktikkan, sudah tentu kehidupan di dunia ini akan menjadi bahagia. Negara

juga akan menjadi aman damai serta harmoni sepanjang masa. Sebenarnya, praktis

keadilanlah punca dan puncak kebahagian dan kestabilan Cuba bayangkan jika wanita

sebagai isteri diberikan kuasa memimpin rumahtangga sama seperti lelaki. Pasti akan rosak

bahtera rumahtangga kerana diketuai oleh dua orang nakhoda yang sama-sama berkuasa.

Berdasarkan huraian di atas, jelas bahawa Islam lebih mengutamakan keadilan

gender berbanding kesetaraan gender secara mutlak yang mungkin tidak mendatangkan

keadilan. Keadaan menjadi lebih parah jika implikasi kesetaraan gender ialah wujudnya

ketidakstabilan dalam masyarakat. Isu-isu yang diperjuangkan oleh feminis seperti yang

disebut sebelum ini, jika diberikan keserataan gender akan menyebabkan kekacauan dan

ketidakstabilan. Tambahan pula, kesetaraan gender dalam perkara tersebut dilihat

melanggar qudrat, fitrah, hukum dan prinsip Islam yang bersifat qat’ie dan ta’abbudiy.

Tidak dinafikan bahawa mengamalkan konsep kesetaraan dalam perkara yang sama

kategorinya adalah satu bentuk keadilan. Oleh kerana itu, sebagai contoh, syariat

mewajibkan suami yang berpoligami agar mengamalkan konsep kesetaraan dalam jumlah

giliran bermalam di rumah semua isterinya. Setiap isteri berhak mendapat jumlah malam

yang sama dengan madunya apabila tiba gilirannya. Kesetaraan dalam jumlah ‘bermalam’

ini adalah satu keadilan kerana ia dalam kategori yang sama.

Ibn Qudamah (1997) menyebut, “Tiada khilaf di kalangan ulama tentang kewajipan

suami menyamakan bilangan malam ketika bermalam di rumah isteri-isterinya.”

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

58

Bahkan Nabi s.a.w pernah memberi amaran keras kepada suami yang tidak berlaku

adil terhadap isteri-isterinya. Nabi s.a.w bersabda:

إذا كان ند الرجل امرأتان فم يعدل بينها جاء يوم القيامة وشقه ساقط

Maksudnya: Jika seorang lelaki memiliki dua isteri namun dia tidak berbuat

adil, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tubuhnya miring (Sunan

al-Tirmizi, 1998: 1060).

Sebaliknya, mengamalkan kesetaraan dalam perkara yang berbeza dan berlawanan

tidak boleh dianggap sebagai satu keadilan. Bahkan, dalam keadaan yang lebih buruk,

kesetaraan tersebut mungkin satu kezaliman terhadap satu pihak atau kedua-dua pihak

yang berbeza sekaligus. Oleh sebab itu Islam tidak mengiktiraf kesetaraan gender secara

mutlak dalam semua perkara. Mengamalkan kesetaraan gender secara mutlak dalam semua

perkara akan mendatangkan ketidakstabilan kerana ia melanggar kudrat dan fitrah

penciptaan manusia.

Antara ketetapan dalam syariat ialah tugas kepimpinan yang dikhususkan untuk

lelaki. Posisi strategik ini diberikan kepada lelaki kerana ia sesuai dengan kudrat dan tabiat

penciptaannya. Dalam rumahtangga, lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab

mengurus dan memelihara orang-orang yang berada di bawah kepemimpinannya seperti

isteri dan anak-anak. Tanggungjawab suami tidak terhad kepada urusan-urusan dunia

mereka sahaja tetapi juga dalam urusan agama mereka.

Wanita pula berdepan kitaran bulan, berperanan mengandung, melahir dan

menyusukan anak sesuai dengan kudrat dan fitrah penciptaan mereka. Adalah tidak adil

jika kita memaksa satu peranan yang tidak sesuai dengan tabiat dan kecenderungan fitrah

masing-masing. Hubungan antara dua gender yang berbeza ini bertujuan untuk saling

lengkap-melengkapi, bukan hubungan persaingan seperti yang dikehendaki Barat.

Al-Quran juga secara umumnya telah menyatakan perbezaan antara lelaki dan

wanita. Allah s.w.t berfirman:

وليس الذكر كالنثى

Maksudnya: Tidaklah sama (anak) perempuan dengan (anak) lelaki (A-li Imran: 36).

Imam al-Tabari (2001) menukilkan kata-kata al-Rabie’ yang mengulas ayat ini,

katanya, “Ketika Allah s.w.t mengabulkan doa isteri Imran yang memohon supaya

dikurniakan zuriat, isteri Imran berharap supaya dikurniakan anak lelaki. Ini adalah kerana,

pada perkiraan isteri Imran, lelaki lebih kuat dan berkemampuan untuk bekerja

menguruskan masjid (al-Aqsa). Lelaki juga tidak mengalami kitaran haid dan nifas seperti

perempuan.”

Oleh yang demikian, jika lelaki dan perempuan itu sama sifat dan sikapnya dari

segala segi, sudah tentu isteri Imran tidak perlu berharap supaya dikurniakan anak lelaki

untuk membantunya menguruskan sesuatu urusan.

HAK YANG LEBIH BESAR UNTUK WANITA

Walaupun Islam dikatakan memberikan banyak kelebihan kepada lelaki berbanding wanita

dalam banyak perkara, hakikatnya terdapat perkara yang wanita mendapat kelebihan yang

lebih besar berbanding lelaki. Antaranya ialah kewajipan nafkah. Islam meletakkan

tanggungjawab mencari dan memberi nafkah kepada isteri ke atas bahu suami. Isteri pula

International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018

59

hanya bertindak sebagai penerima nafkah dan tidak dibebankan dengan urusan mencari

nafkah. Begitu juga hukumnya dengan kewajipan berjihad fisabilillah yang hanya

dibebankan ke atas kaum lelaki. Di samping itu, dalam bab jenayah dalam Islam, apabila

sesuatu keluarga atau puak dikenakan diat, yang wajib bekerjasama membayar diat adalah

kaum lelaki. Kaum wanita tidak dibebankan dengan kewajipan membayar diat. Selain itu,

kaum ibu juga diberikan lebih hak dalam hal kasih sayang dan bakti anak-anak berbanding

kaum bapa. Perkara ini jelas dalam hadis Nabi s.a.w:

ن أبي هريرة رضي هللا نه: قال: جاء رجل إلى رسول هللا صى هللا يه وسم فقال: يا رسول هللا

من أحق الناس بحسن صحابتي؟ قال: أمك، قال: ثم من؟ قال: ثم أمك، قال ثم من؟ قال: ثم أمك، قال: ثم

من؟ قال: ثم أبوك

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a katanya, seorang lelaki datang

menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya, “Siapakah manusia yang paling

berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab, “Ibu

kamu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab,“Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ibu kamu.” Dia

bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Bapa kamu.” (Sahih al-

Bukhari, 2002: 5514)

KESIMPULAN

Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulkan secara jelas bahawa Islam mengiktiraf

kesetaraan gender dalam perkara-perkara tertentu sahaja dan bukan dalam semua hal dan

keadaan. Menyetarakan kedua-duanya dalam semua peranan, hak, tanggungjawab, status

sosial, pekerjaan dan kedudukan umpamanya adalah kezaliman. Keadaan ini jelas kerana

lelaki dan wanita dikurniakan kemampuan dan kudrat yang berbeza. Dari sudut biologi dan

kemampuan fizikal, lelaki dan wanita jelas berbeza. Sifat, sikap, pemikiran,

kecenderungan, emosi dan potensi masing-masing juga berbeza.

Kesimpulannya, dapat difahami secara konkrit bahawa Islam mengutamakan

keadilan gender berbanding kesetaraan gender secara mutlak. Pengamalan konsep keadilan

akan mendatangkan manfaat dan mampu memenuhi hak serta tanggungjawab semua pihak.

Sebaliknya, pengamalan kesetaraan gender secara mutlak dalam semua perkara tidak

menjamin hak dan tanggungjawab semua pihak dapat dilunaskan dengan baik. Ini kerana

wujudnya perbezaan-perbezaan yang mendasar dan hakiki antara mereka. Oleh yang

demikian, dakwaan bahawa Islam mengamalkan bias gender dan mendiskriminasi wanita

adalah tidak benar sama sekali. Tuduhan yang dilemparkan itu mungkin berpunca daripada

kurangnya pengetahuan yang sebenar tentang Islam, prinsip dan sistemnya. Hakikatnya,

Islamlah yang mengangkat martabat wanita dan membebaskan mereka daripada segala

bentuk penindasan dan kezaliman.

Rujukan

al-Quran al-Karim.

‘Abd al-Qadir Shaybah al-Hamd. (2010). Huquq al Mar`ah fi al-Islam. Riyadh: Maktabah al-Alukah.

Bakr ibn ‘Abd Allah, Abu Zayd. (2005). Hirasah al-Fadhilah. Riyadh: Dar al-‘Asimah.

al-Bukhari, Muhammad ibn Ismail. (2002). Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir.

Harees, L. (2012). The Mirage of Dignity on the Highways of Human ‘Progress’: The Bystanders’

Perspective. Bloomington: Author House.

Ibn ‘Asyur, Muhammad al-Tahir. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunisia: Dar al-Tunisiah.

Ibn Majah, Muhammad bin Yazid. (2010). Sunan Ibn Majah. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Araby.

Ibn Qudamah, Abdullah bin Ahmad. (1997). Al-Mughni. Beirut: Dar Alam al-Kitab.

Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018

60

Kontroversi mengenai Poligami. (2002, January 8). Diperolehi daripada

http://www.sistersinislam.org.my/news.php?item.1004.7

Majalah Tabligh. (2008, Mei). MTDK PP Muhammadiyah.

Muhammad Ariffin bin Ismail. (2015). Gerakan Feminisme, Persamaan Gender Dan Pemahaman Agama

(Bahagian II). Diperolehi daripada

http://muftiwp.gov.my/v4/index.php?option=com_content&view=article&id=2155&catid=128&Ite

mid=373&lang=ms)

Musdah mulia: halal menikah sesama jenis (Homoseksual/Lesbian). (2015, Oktober, 21). Diperolehi

daripada https://bataranews.com/2015/10/31/musdah-mulia-halal-menikah-sesama-jenis-

homoseksuallesbian/

Muslim, bin al-Hajjaj. (2006). Sahih Muslim. Riyadh: Dar Tayyibah.

National Council of Women's Organisations Malaysia (NCWO). (2018). About NCWO. Diperolehi daripada

https://ncwomalaysia.org/ncwo_wp/

Osborne, S. (2001). The Pocket Essential Feminism. Harpenden: Pocket Essentials.

al-Raghib al-Asfahani, Husain ibn Muhammad. (1999). Tafsir al-Raghib al-Asfahani, Tanta: Tanta

University.

Sisters In Islam: Wajah Gerakan Liberalisme Di Malaysia?. (2011). Jabatan Agama Islam Selangor:

Selangor.

Siti Musdah Mulia. (2008, April 10). Islam Agama Rahmat Bagi Alam Semesta. Diperolehi daripada

https://sitimusdahmulia.wordpress.com/2008/04/10/islam-agama-rahmat-bagi-alam-semesta-2/

al-Tabari, Muhammad ibn Jarir. (2001). Tafsir al-Tabari. Al.Jizah: Dar Hajr.

al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. (1998). Sunan Tirmizi. Beirut: Dar al-Gharb al-Islamy.