komponen penyeliaan pengajaran guru-guru … · 2013-07-19 · komponen penyeliaan pengajaran...
TRANSCRIPT
KOMPONEN PENYELIAAN PENGAJARAN GURU-GURU
TEKNIKAL DI MALAYSIA
Dr. Hjh Sarimah Ismail
Fakulti Pendidikan, 81310 UTM Johor Bahru
[email protected] dan [email protected]
Chia Peggie
Fakulti Pendidikan, 81310 UTM Johor Bahru
Dr. Rohana Hamzah
Fakulti Pendidikan, 81310 UTM Johor Bahru
Abstrak: Dapatan kajian kualitatif keatas guru-guru sekolah menunjukkan pengetua
jarang menyelia pengajaran mereka. Semasa peyeliaan, pengetua pula hanya menyemak
buku persediaan mengajar dan lebih menekankan penyediaan dan penggunaan alat
bantu mengajar. Hal ini telah menimbulkan perasaan cemas dan keresahan dalam
kalangan guru kerana penyelia tidak mengaplikasi kriteria penyeliaan yang sepatutnya
semasa menyelia dan kurang memberi bantuan dalam membimbing guru yang diselia.
Oleh itu kajian tinjauan ini dijalankan untuk mengenalpasti criteria atau komponen
penyeliaan P&P keatas guru-guru teknikal. Borang soal selidik yang lengkap diisi telah
dikumpul daripada 162 orang guru yang mengajar mata pelajaran teknikal di 4 buah
sekolah menengah teknik di Malaysia. Nilai pekali kebolehpercayaan Alpha Cronbach
bagi instrumen kajian ialah 0.9. Perisian Statistical Package For Social Sciences
(SPSS) versi 16.0 digunakan untuk menganalisis semua data yang dikumpul. Dapatan
kajian menunjukkan purata penyeliaan yang dijalankan mengikut komponen P&P
penguasaan isi pelajaran, penglibatan pelajar, hasil kerja pelajar, persediaan guru,
kaedah penyampaian, kemahiran komunikasi berkesan, amalan profesion keguruan,
penggunaan sumber pendidikan, penilaian, teknik penyoalan dan pengurusan kelas
keatas guru-guru teknikal berada pada tahap tinggi (min=4.15). Kajian ini
mencadangkan agar model penyeliaan P&P dibangunkan sebagai panduan penyeliaan
proses P&P dalam bilik darjah bagi menjamin keberkesanan penyeliaan P&P yang
dijalankan di sekolah, di samping dapat membantu mengenalpasti ciri-ciri penyeliaan
yang baik, diingini dan boleh diterima oleh semua pihak.
Kata kunci: penyeliaan, pengajaran dan pembelajaran
1.1 Pengenalan
Penyeliaan adalah proses pembangunan dan usaha kerjasama kearah mengesan dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Penyeliaan yang melibatkan pihak pengurusan sekolah dan
guru ialah kunci kepada keberkesanan proses P&P dalam bilik darjah (Tanner dan Tanner, 1987).
Penyeliaan penting bagi membantu orang yang dinilai meningkatkan kemahiran dan kebolehan
mereka dalam bidang yang diceburi Christenson et al., (1982).
Di antara tujuan penyeliaan adalah untuk meningkatkan daya profesionalisme Pengetua/Guru
Besar dan guru dalam melaksanakan kurikulum sekolah melalui proses P&P sejajar dengan falsafah,
matlamat dan objektif sistem pendidikan Negara; berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman
Pengetua/Guru Besar untuk memperbaiki proses P&P di sekolahnya. Sumber maklumat ini boleh
digunakan oleh Pengetua/Guru Besar sebagai asas untuk menilai seseorang guru bagi tujuan tertentu;
memupuk, memelihara dan mengukuhkan hubungan professional dan interaksi yang positif antara
Pengetua/Guru Besar dengan guru-guru, antara guru dengan guru dan antara guru dengan murid; dan
membantu guru-guru menjalankan tugas harian dengan lebih berkesan dan membentuk sikap guru ke
arah yang lebih positif (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987).
Penyeliaan dalam pendidikan bertujuan membantu guru dalam menyelesai masalah
yang dihadapi terutamanya pengajaran dan pembelajaran (P&P) (Mohd Salleh, 1998).
Penyeliaan yang berkesan dapat memastikan pembelajaran dan perkembangan guru secara
berterusan (Sufean, 2005) dan membantu guru-guru memperbaiki proses pengajaran mereka
bagi mencapai matlamat yang telah dirancang (Mohd Hamsam, 2002). Pengurusan P&P
Sekolah Menengah Negeri Johor telah menetapkan guru-guru yang mengajar di sekolah
menengah Negeri Johor diselia minimum dua kali setahun berpandukan Borang Pencerapan
Pengajaran & Pembelajaran bersesuaian dengan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
(SKPM) (Pengurusan Sekolah Kualiti MS ISO 9001: 2008).
Penyeliaan P&P dalam sistem pengurusan sekolah wujud daripada arahan
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menerusi Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3/1987.
Walaupun penyeliaan ke atas P&P guru-guru merupakan tanggungjawab penuh Pengetua
atau Guru Besar, akan tetapi Penolong Kanan (PK) dan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP)
juga boleh membantu Pengetua atau Guru Besar dalam melaksanakan tugas penyeliaan
(Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti MS ISO 9001: 2008). Pengetua sepatutnya
menggunakan 25%-30% daripada masanya untuk tujuan penyeliaan pengajaran guru kerana
beban tugas pengetua sebagai pemimpin pengajaran dan pentadbiran menyebabkan masa
yang diperuntukkan untuk melaksanakan penyeliaan pengajaran menjadi terhad (Boardman
et al., 1953 dan Mohd Selleh, 2000). Kajian yang dijalankan oleh Mohd Hamsam (2002) ke
atas 150 orang guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di 18 buah
sekolah menengah, mendapati hanya 23.33% responden diselia oleh pengetua manakala
76.67% responden yang lain diselia oleh Ketua Bidang dan Ketua Panitia. Dapatan kajian
Hashim (2000) juga menunjukkan pengetua jarang menyelia keberkesanan pengajaran guru
dalam bilik darjah. Kajian yang dijalankan keatas 146 orang guru oleh Sharifah dan Azizah
(1988) pula menunjukkan 44 peratus guru tidak bersetuju diselia oleh pengetua kerana tidak
yakin dan meragui sistem penyeliaan pengajaran, sifat profesionalisme pengetua sebagai
penyelia dan berasa status mereka terancam semasa diselia sementara proses penyeliaan itu
sendiri tidak dapat membantu proses P&P guru dalam meningkatkan prestasi pelajar. Kajian
Sergit Singh (1974) mengenai persepsi guru terhadap peranan nazir dalam penyeliaan
pengajaran di sekolah mendapati sebahagian besar guru beranggapan penyeliaan tersebut
tidak berkesan dan tidak mencapai matlamat sebenar.
1.2 Latar Belakang Masalah
Penyeliaan pengajaran telah menjadi aspek penting dalam pengurusan dan
pentadbiran di semua institusi pengajian seperti di sekolah, politeknik, maktab, pusat
pengajian tinggi dan sebagainya bukan sahaja kerana arahan daripada Kementerian
Pendidikan seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1987 KP
(BS)8591/Jld.11(77) bertarikh 11 November 1987, tetapi kerana kesannya yang positif.
Malangnya, dapatan kajian oleh Bahagian Perancanagn dan Penyelidikan Pendidikan,
Kementerian Pelajaran Malaysia (1987) menunjukkan aspek penyeliaan pengajaran paling
kurang dilakukan oleh pengetua kerana member tumpuan lebih kepada kerja-kerja
pentadbiran. Penyataan ini telah disokong oleh responden-responden dari dua buah sekolah
Menengah Teknik yang terlibat dalam kajian ini:
“Pengetua sentiasa perlu menghadiri mesyuarat di merata tempat. Kerja-
kerja menyelia P&P guru biasanya dijalankan oleh penolong kanan, ketua
bidang dan ketua panitia sekolah” (RA)
“Penyeliaan pengajaran yang dijalankan di sekolah kami berdasarkan
sistem hieraki. Biasanya pengetua menyelia penolong kanan dan guru
kanan matapelajaran. Penolong kanan pula menyelia ketua panitia
manakala guru-guru biasa akan diselia oleh ketua panitia, rakan sekerja
ataupun penolong kanan” (RB)
Bagi guru-guru yang diselia oleh pengetua pula berpendapat penyeliaan yang
dijalankan tidak memberi manfaat dan kurang meningkatkan profesionalisme mereka (Abdul
Shukor, 1988) kerana pengetua hanya menyemak buku persediaan mengajar dan lebih
menekankan persediaan alat bantu mengajar (Sapon, 2001) dan ini menimbulkan salah
tanggapan antara guru dan pengetua. Pengetua berpendapat tugas penyeliaan telah
menambahkan beban kerja mereka manakala guru pula beranggapan pelaksanaan penyeliaan
pengajaran telah memberi peluang kepada pengetua untuk mencari kelemahan dan kesalahan
mereka. Walau bagaimanapun, dapatan ini bertentangan dengan hasil temubual bersama
guru-guru di beberapa buah sekolah menengah teknik di Malaysia. Mereka berpendapat
penyeliaan pengajaran telah membawa kesan yang positif kepada mereka.
“penyeliaan ni sangat berkesan, ia dapat membantu saya meningkatkan
kemahiran menyampaikan isi pelajaran yang dirancangkan dan masalah
lain dalam proses P&P”(G1)
“dengan adanya penyeliaan pengajaran dapat mambantu saya
menyelesaikan masalah di dalam bilik darjah dan juga meningkatkan
pencapaian pelajar. Penyelia pula seorang yang berfikiran terbuka, beliau
sentiasa meminta pandangan daripada saya dan menerima cadangan
saya” (G2)
“saya suka penyeliaan P&P dijalankan....ia dapat merapatkan hubungan
saya dengan pihak pentadbiran.”(G3)
Berdasarkan dapatan temubual kumpulan fokus bersama guru-guru teknikal, didapati
terdapat konflik dalam proses penyeliaan P&P di sekolah yang memberi gambaran
ketidakselarasan komponen yang diselia sehingga wujudnya prasangka guru-guru terhadap
pengetua yang dianggap mencari kesalahan dan kesilapan pengajaran guru dan tugas
penyeliaan yang sepatutnya dilaksanakan oleh pengetua tetapi telah diserahkan kepada guru
penolong kanan (GPK) yang juga diragui kemampuan dan kemahiran meraka dari aspek
pendekatan dan komponen yang dinilai. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti
komponen penyeliaan proses P&P yang dijalankan keatas guru-guru.
2.0 METOOLOGI KAJIAN
Malaysia mempunyai 19 buah Sekolah Menengah Teknik. Bagi kajian kuantitatif ini
hanya empat buah sahaja telah dipilih sebagai lokasi kajian berdasarkan kriteria ditadbir oleh
pengetua cemerlang (Jadual 2) dengan anggapan pengetua cemerlang ini mengaplikasi
semua komponen penyeliaan yang ditetapkan semasa menyelia proses P&P guru-guru
teknikal di sekolah mereka.
Jadual 2: Populasi Guru Teknikal di Sekolah Menengah Teknik Malaysia yang ditadbir
oleh Pengetua Cemerlang
Bil Sekolah Menengah Teknik Bilangan
Populasi
Bilangan
sampel
1. Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur 61 35
2. Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru 63 37
3. Sekolah Menengah Teknik (Perdagangan) Johor Bahru 82 47
4. Sekolah Menengah Teknik Bachok 74 43
Jumlah 280 162
Sumber: Bahagian Pendidikan Tenik dan Vokasional, KPM (2011).
Sampel kajian dipilih mengikut persampelan rawak mudah yang memberi makna
semua sampel mempunyai peluang yang yang sama untuk dipilih menjadi sampel kajian
(Leary, 2009).
Formula saiz sampel untuk saiz populasi yang dikenali:
S = x ² NP (1-P) ÷ d ² (N-1) + x ²
Di mana:
S = saiz sampel yang diperlukan
x ² = nilai jadual khi-kuasa dua untuk 1 darjah kebebasan pada tahap keyakinan
yang dikehendaki (3,841)
N = saiz populasi
P = perkadaran populasi (diandaikan menjadi 0,50 kerana ini akan memberi saiz
sampel maksimum)
d = darjah ketepatan yang dinyatakan sebagai nisbah (0.05).
Kajian rintis dijalankan keatas 14 orang guru teknikal di salah sebuah sekolah
menengah teknik di Melaka. Nilai kebolehpercayaan pekali alpha Cronbach, instrumen
kajian yang mengandungi 86 item yang adalah 0.9. Pembolehubah komponen penyeliaan
yang dikaji adalah penglibatan pelajar, penguasaan pembelajaran pelajar, hasil kerja pelajar,
perancangan dan persediaan guru, kaedah penyampaian, kemahiran komunikasi, penggunaan
sumber pendidikan, penilaian, teknik penyoalan, penguasaan isi kandungan, pengurusan
kelas dan amalan profesionalisme keguruan.
3.0 DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Dapatan kajian ini dibincangkan mengikut tahap penyeliaan pengetua ke atas
pembolehubah bagi komponen penyeliaan proses P&P dikaji iaitu penglibatan pelajar,
penguasaan pembelajaran pelajar, hasil kerja pelajar, perancangan dan persediaan guru,
kaedah penyampaian, kemahiran komunikasi, penggunaan sumber pendidikan, penilaian,
teknik penyoalan, penguasaan isi kandungan, pengurusan kelas dan amalan profesionalisme
keguruan (rujuk Jadual 3).
Jadual 3: Ringkasan Dapatan Kajian
3.1 Penyeliaan Penglibatan Pelajar Dapatan kajian bagi pembolehubah ini menunjukkan penyelia memberi penekanan
yang tinggi keatas penglibatan pelajar. Ini dibuktikan dengan nilai purata 4.25 dan sisihan
piawai 0.58 bagi subpembolehubah yang dikaji. Enam item menunjukkan nilai min yang
juga berada pada tahap tinggi seperti menggalakkan penglibatan aktif semua pelajar
(min=4.32), meminta pelajar memberi pandangan dan cadangan (min=4.18), menggalakkan
pelajar bekerjasama, berinteraksi antara satu sama lain (min=4.18), menyediakan aktiviti
P&P untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik (min=4.26), melibatkan pelajar
Pembolehubah Kajian
(Komponen Penyeliaan P&P)
ATS
1
TS
2
TP
3
S
4
SS
5
Min
Sisihan
Piawai
Tahap
Min f / % f / % f / % f / % f / %
Penglibatan Pelajar 0.33
0.20
0.33
0.20
9.33
5.73
101.30
62.57
50.83
31.28
4.25
0.58
Tinggi
Penguasaan Pembelajaran Murid 0.00
0.00
0.33
0.20
19.83
12.23
100.67
61.17
41.17
25.40
4.13
0.61
Tinggi
Hasil Kerja Murid 0.29
0.17
1.43
0.89
18.86
11.66
96.86
58.90
44.57
27.51
4.14
0.63
Tinggi
Perancangan dan Persediaan Guru 1.64
1.02
0.00
0.00
19.00
16.81
96.82
59.75
44.55
27.48
4.13
0.65
Tinggi
Kaedah Penyampaian 0.00
0.00
4.36
2.70
8.91
5.50
105.27
64.97
43.45
26.82
4.16
0.62
Tinggi
Kemahiran Komunikasi Berkesan 0.00
0.00
0.00
0.00
16.75
10.35
104.00
64.20
41.25
35.79
4.15
0.57
Tinggi
Penggunaan Sumber Pendidikan 0.00
0.00
2.50
1.53
32.25
19.90
84.00
51.85
51.13
26.48
4.04
0.71
Tinggi
Penilaian 0.00
0.00
0.00
0.00
12.00
7.40
107.60
66.42
42.40
26.16
4.19
0.55
Tinggi
Teknik Penyoalan 0.00
0.00 1.50
0.93
12.67
7.81
104.50
64.50
43.33
26.73
4.17
0.59
Tinggi
Isi Kandungan 0.00
0.00 0.25
0.15
13.13
8.11
103.13
63.66
45.5
28.09
4.20
0.57
Tinggi
Pengurusan Kelas 1.00
0.63
3.25
2.00
18.38
11.34
100.00
61.66
39.38
24.30
4.08
0.70
Tinggi
Amalan Profesionalisme Keguruan 0.00
0.00
0.00
0.00
10.55
6.37
105.44
57.73
45.88
28.33
4.22
0.54
Tinggi
Purata
4.15
0.61
Tinggi
dalam aktiviti P&P bagi mewujudkan komunikasi berkesan antara guru dengan pelajar
(min=4.27) dan memberi peluang kepada semua pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti
P&P (min=4.27).
Dapatan kajian ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik bagi komponen
penyeliaan yang dikaji berbanding dapatan kajian tinjauan Jemaah Nazir Sekolah (1996)
yang mendapati 40%-70% guru mempunyai prestasi pengajaran ditahap sederhana manakala
10%-25% kurang berkemahiran, kefahaman dan pengetahuan dalam isi pelajaran yang
disampaikan disebabkan kurang penyeliaan ke atas proses P&P (Syed Alwi, 1989). Dapatan
kajian ini juga menunjukkan penyelia memastikan guru-guru yang dinilai mempelbagaikan
aktiviti P&P supaya dapat menggalakkan penglibatan aktif semua pelajar. Dapatan kajian ini
selaras dengan pendapat Mok (1995) yang menyatakan penglibatan pelajar dalam aktiviti
P&P memberi peluang kepada mereka berinteraksi di antara satu sama lain bagi
memudahkan mereka menjalankan aktiviti berkumpulan.
3.2 Penyeliaan Penguasaan Pembelajaran Murid
Dapatan kajian menunjukkan purata bagi tahap penyeliaan ke atas penguasaan
pembelajaran murid adalah tinggi dengan nilai min 4.13 dan sisihan piawai 0.61. Terdapat 6
item yang mengukur pembolehubah kajian ini. Semua sub pembolehubah bagi item-item ini
menunjukkan nilai min yang juga berada pada tahap tinggi iaitu bagi meminta pelajar
membuat rumusan pembelajaran (min=4.18), memastikan semua pelajar telah menguasai
sesuatu isi pelajaran sebelum berpindah ke isi pelajaran seterusnya (min=4.11), menilai tahap
kefahaman pelajar melalui latihan (min=4.15), pelajar dapat menguasai pembelajaran dari
segi pemikiran kritis (min=4.06), pelajar dapat menghubungkaitkan pengetahuan yang
pelajari dengan aktiviti harian mereka (min=4.08) dan pelajar dapat menyelesaikan masalah
berdasarkan situasi yang diberi (min=4.19).
3.3 Penyeliaan Hasil Kerja Murid
Dapatan kajian bagi pembolehubah tahap penyeliaan keatas hasil kerja murid pula
menunjukkan penyelia memberi penekanan kepada hasil kerja pelajar semasa penyeliaan
P&P dijalankan, dengan nilai purata min 4.14 dan sisihan piawai 0.63.
Terdapat 6 item yang mengukur pembolehubah kajian ini. Semua sub pembolehubah
bagi item-item ini menunjukkan nilai min yang juga berada pada tahap tinggi iaitu memberi
tugasan kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran (min=4.26), memberi tugasan
yang sesuai dengan tahap kefahaman pelajar (min=4.26), memberi beban kerja yang
berpatutan kepada pelajar (min= 3.88), memastikan pelajar menyiapkan tugasan dalam masa
yang tetapkan (min=4.14), tugasan yang diberikan dapat menarik minat pelajar (min=4.13),
tugasan yang berperingkat iaitu dari mudah kepada yang sukar (min=4.07) dan tugasan yang
berikan dapat mengaitkan isi kandungan pelajaran dengan aktiviti harian pelajar (min=4.21).
Dapatan kajian ini menunjukkan penyelia menggalakkan guru-guru memberi beban
kerja yang berpatutan kepada pelajar untuk mencapai objektif pengajaran dan memastikan
pelajar menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan. Ini bertepatan dengan dapatan
kajian Shamsudin dan Kamarul (2011) berhubung dengan tugas seorang guru iaitu
memeriksa kerja bertulis pelajar dari segi kuantiti dan kualiti sama ada guru memberi latihan
yang mencukupi, berkualiti dan bersesuaian dengan tahap kemampuan pelajar.
3.4 Penyeliaan Perancangan dan Persediaan Guru
Dapatan kajian bagi tahap penyeliaan keatas perancangan dan persediaan guru adalah
tinggi dengan nilai min 4.13 dan sisihan piawai 0.65. Sebelas item yang mengukur
pembolehubah kajian ini menunjukkan nilai min yang juga berada pada tahap tinggi iaitu
objektif pengajaran mengandungi perlakuan yang boleh diukur (min=4.20), isi pelajaran
yang disediakan mengandungi konsep dan kemahiran yang sesuai dengan keupayaan
kognitif pelajar (min=4.16), objektif pengajaran boleh dicapai dalam masa yang
diperuntukkan (min=4.07), objektif pengajaran disediakan mengikut turutan dari mudah
kepada sukar (min=4.20), pengenalan atau set induksi yang sediakan bersesuaian dengan
tajuk pengajaran (min=4.15), aktiviti pelajar melibatkan semua pelajar secara aktif
(min=4.27), susunan penyampaian isi pelajaran yang disediakan mempunyai kesinambungan
antara satu dengan yang lain (min=4.12), alat bantu mengajar yang disediakan dapat
meningkatkan kefahaman pelajar (min=4.25), alat bantu mengajar yang disediakan sesuai
untuk semua pelajar (min=3.90), guru dapat mengaitkan isi pelajaran yang hendak
disampaikan dengan pelajaran yang lepas (min=4.25) dan memastikan alat bantu mengajar
yang disediakan selamat digunakan (min=3.84).
Dapatan kajian ini menunjukkan penyelia memastikan guru membuat perancangan
dan persediaan yang baik sebelum proses P&P dijalankan dan ini selaras dengan Rosini dan
Ramlah (1998) yang berpendapat penyediaan rancangan yang teratur khususnya dalam
menentukan objektif, isi pelajaran dan kemahiran yang hendak diajar adalah penting bagi
pengajaran seorang guru bagi mengelakkan mereka menyeleweng daripada tajuk yang
hendak disampaikan dan mengurangkan pembaziran masa. Hawabi (1998) juga mempunyai
pandangan yang sama, iaitu melalui penyeliaan, pengetua dapat membantu guru-guru
membina kemahiran dalam merancang pengajaran mereka dengan baik.
Walau bagaimanapun dapatan kajian Subaidah (2001) mendapati ramai guru yang
menampakkan kelemahan yang ketara dalam perancangan dan kaedah pengajaran mereka
seperti teknik dan strategi digunakan untuk menyampaikan isi pelajaran, kurang melibatkan
pelajar secara aktif dan membimbing mereka kearah perkembangan intelek.
3.5 Penyeliaan Kaedah Penyampaian Dapatan bagi pembolehubah kajian ini menunjukkan penyelia memberi penekanan
yang tinggi kepada kaedah penyampaian guru semasa P&P dijalankan dengan nilai min 4.16
dan sisihan piawai 0.62. Sebelas item dibawah pembolehubah ini menunjukkan nilai min
berada pada tahap tinggi adalah penyelia memastikan guru menggunakan kaedah pengajaran
bersesuaian dengan objektif pengajaran (min=4.27), menggalakkan kreativiti dalam
pengajaran (min=4.19), menggalakkan guru mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi
menarik minat pelajar (min=4.28), memastikan kaedah penyampaian mengikut hiraki dari
yang konkrit kepada abstrak (min=4.24), menggalakkan inovasi dalam kaedah pengajaran
(min=4.20), memastikan interaksi guru dengan pelajar berlaku dua hala (min=4.22), sesuai
dengan tahap penguasaan pelajar (min=4.14), idea dan konsep isi pelajaran disampaikan
dengan jelas dan mudah difahami (min=4.25), menggabungkan isi pelajaran dengan
pengalaman hidup pelajar, masyarakat dan alam pekerjaan (min=4.07), menggunakan papan
tulis secara sistematik (min=3.82) dan memastikan penyampaian pengajaran memudahkan
kefahaman pelajar (min=4.12).
Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat perubahan yang jelas bagi ciri-ciri yang
baik dalam kaedah penyampaian pengajaran dalam bilik darjah pada masa kini berbanding
penyampaian pengajaran pada tahun 80an. Contohnya, Fatimah (1980) mendapati
sebahagian besar guru-guru masih menggunakan kaedah tradisional iaitu menggunakan
kapur dan papan hitam sahaja dalam proses P&P. Fonseka (1987) pula mengatakan terlalu
kurang guru-guru menggunakan media eletronik dalam proses P&P.
3.6 Penyeliaan Kemahiran Komunikasi Berkesan Dapatan kajian bagi pembolehubah ini menunjukkan penyelia memberi penekanan
yang tinggi kepada kemahiran komunikasi guru dalam P&P. Nilai min bagi pembolehubah
ini ialah 4.15 dan nilai sisihan piawai adalah 0.55. Semua sub pembolehubah yang dikaji
menunjukkan nilai min yang juga berada pada tahap tinggi seperti menggunakan "body
language" dalam penyampaikan isi pelajaran (min=4.02), menggalakkan guru mempunyai
hubungan yang mesra dengan pelajar (4.20), menggalakkan guru menggunakan bahasa,
suara dan intonasi yang sesuai (min=4.25) dan memastikan tulisan guru kemas (min=4.14).
Land (1987) mengatakan pengajaran guru dianggap berkesan apabila mereka menggunakan
bahasa yang jelas dan mudah difahami pelajar. Subaidah (2001) juga mengakui yang
kemahiran ini penting kepada guru-guru kerana papan tulis adalah antara alat bantu mengajar
yang penting, mudah didapati dan paling banyak digunakan oleh guru-guru. Dapatan kajian
Hamidah (1991) juga menunjukkan alat bantu mengajar yang paling banyak digunakan ialah
papan tulis. Oleh itu, penggunaan papan tulis dengan cara yang betul dapat membantu guru-
guru menyampaikan pengajaran dengan teratur, tepat, pantas dan secara tidak langsung
mewujudkan komunikasi berkesan antara guru dengan pelajar (Musa, 1992).
3.7 Penyeliaan Penggunaan Sumber Pendidikan Hasil kajian ini mendapati penyelia memastikan guru menggunakan sumber
pendidikan yang sesuai dan berkesan untuk menarik perhatian pelajar dan menimbulkan rasa
minat mereka untuk belajar. Ini dapat dibuktikan melalui purata bagi pembolehubah ini yang
berada di tahap tinggi dengan nilai 4.06 dan sisihan piawai 0.71. Item-item tersebut seperti
penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat membantu mencapai objektif pengajaran
(min=4.05), penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat meningkatkan kefahaman pelajar
(min=4.17), penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat menarik perhatian pelajar
(min=4.09) dan menggalakkan guru memaksimakan penggunaan pusat sumber dan bengkel
sekolah (min=3.83). Dapatan kajian ini selaras dengan dapatan kajian Rosini dan Ramlah
(1998) yang telah membuktikan bahawa penggunaan alat bantu mengajar yang berkesan
dapat meningkatkan hasil pembelajaran kerana penggunaan alat bantu mengajar melibatkan
banyak deria yang secara langsung boleh meningkatkan kefahaman dan maklumat yang
diperolehi akan lebih kekal dalam ingatan mereka.
3.8 Penyeliaan Penilaian
Tahap penyeliaan pembolehubah kajian ini adalah tinggi dengan nilai min 4.19 dan
sisihan piawai ialah 0.55 yang menunjukkan penyelia memberi penekanan kepada penilaian
guru keatas pelajar semasa proses P&P dijalankan. Lima item yang menunjukkan nilai min
yang juga berada pada tahap tinggi ialah guru mengenalpasti tahap penguasaan pembelajaran
setiap pelajar (min=4.15), membuat penilaian keatas pelajar dari semasa ke semasa bagi
mengenalpasti tahap kefahaman mereka (min=4.19), membuat penilaian yang adil keatas
semua pelajar (min=4.24), mengenalpasti kelemahan pelajar melalui tugasan yang diberi
(min=4.19) dan menilai keberkesanan P&P melalui tugasan yang diberi kepada pelajar
(min=4.18). Shamsudin dan Kamarul, (2011) telah menyenaraikan ciri-ciri guru yang baik
yang di antaranya ialah membuat penilaian dalam pengajarannya bagi mengukur setakat
mana pelajar dapat menerima, memahami, dan mempraktikkan isi pelajaran yang telah guru
sampaikan.
3.9 Penyeliaan Teknik Menyoal Dapatan kajian bagi pembolehubah ini menunjukkan penyelia memberi penekanan
yang tinggi kepada cara guru menyoal semasa proses P&P dijalankan dengan nilai min 4.17
dan sisihan piawai 0.60. Enam item yang mengukur pembolehubah kajian ini juga berada
pada tahap tinggi iaitu kepelbagaikan teknik menyoal (min=4.12), soalan berperingkat dari
mudah kepada yang sukar (min=4.12), soalan yang berkaitan dengan topik pelajaran
(min=4.21), mengemukakan soalan untuk menilai tahap kefahaman pelajar (min=4.18),
soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran (min=4.25) dan soalan sesuai dengan tahap
kefahaman pelajar (min=4.14). Musa (1992) mengatakan menyoal adalah cara yang penting
untuk merangsangkan pembelajaran dan pemikiran pelajar. Oleh itu, penyeliaan pengetua
penting untuk memastikan guru-guru berusaha mengaplikasikan teknik penyoalan yang betul
sebagai pendekatan penilaian dalam pengajaran mereka.
3.10 Penyeliaan Penguasaan Isi Kandungan
Dapatan kajian menunjukkan penyelia memberi penekanan yang tinggi kepada guru
dalam menguasai isi kandungan dengan nilai min 4.20 dan sisihan piawai 0.57. Lapan item
yang mengukur pembolehubah kajian ini juga menunjukkan nilai min berada pada tahap
tinggi bagi penguasaan isi kandungan pelajaran (min=4.19), P&P yang sampaikan
berhubung kait dengan isi pelajaran (min=4.25), dapat menyampaikan isi pelajaran dalam
masa yang ditentukan (min=4.13), isi pelajaran yang disampaikan mengikut perancangan
mengajar (min=4.22), isi pelajaran yang sampaikan dapat menarik perhatian pelajar
(min=4.17), menggunakan alat bantu mengajar yang bersesuaian dengan isi pelajaran yang
disampaikan (min=4.27), isi pelajaran disampaikan dari mudah kepada yang sukar
(min=4.12) dan memastikan isi pelajaran yang disampaikan sesuai dengan tahap penguasaan
pelajar (min=4.23). Dapatan kajian ini bertepatan dengan pendapat Yoakam dan Simpson
(1957) yang mengatakan seseorang guru tidak akan dapat mengambarkan unit yang diajar
dengan baik jika tidak memahami benar-benar bidang pelajaran yang diajarnya. Manakala
bagi guru yang memahami bidang pelajaran yang akan diajar, dapat melaksanakan tugas
mereka dengan berkesan.
3.11 Penyeliaan Pengurusan Kelas
Dapatan bagi pembolehubah kajian ini juga menunjukkan penyelia memberi
penekanan yang tinggi kepada pengurusan kelas oleh guru-guru yang diselia dengan nilai
min 4.08 dan sisihan piawai 0.70. Lapan item yang mengukur pembolehubah kajian ini juga
berada pada tahap tinggi iaitu menjaga keselamatan pelajar dalam bilik darjah (min=4.19),
mencatat kehadiran pelajar (min=4.12), mewujudkan keadaan bilik darjah yang selesa
(min=4.27), mengawal tingkah laku pelajar (min=4.20), memastikan pelajar mematuhi
peraturan bilik darjah (min=4.02), menjaga kelengkapan dalam bilik darjah supaya berada
dalam keadaan yang baik (min=3.93), mengarah pelajar menjalankan tugas harian
(min=4.01) dan menjaga ruang bilik darjah dalam keadaan yang kemas (min=3.93). Dapatan
kajian ini menyokong pernyataan Mohd Salleh (2000) yang menjelaskan melalui penyeliaan
pengajaran dapat membantu guru mengawal tingkah laku pelajar dan dapat membantu guru
mengurus bilik darjah dengan cekap.
3.12 Penyeliaan Amalan Profesionalisme Keguruan Dapatan kajian bagi pembolehubah penyeliaan amalan profesionalisme keguruan
menunjukkan penyelia memberi penekanan yang tinggi keatas pembolehubah ini semasa
penyeliaan P&P guru-guru teknikal dijalankan dengan nilai min 4.22 dan sisihan piawai
0.54.
Semua sub pembolehubah bagi 9 item yang disediakan menunjukkan nilai min yang
juga berada pada tahap tinggi iaitu menerima perbezaan tahap pembelajaran setiap pelajar
(min=4.20), sentiasa bersifat matang (min=4.14), mengamalkan tingkah laku yang baik
supaya menjadi teladan kepada pelajar (min=4.12), mengembangankan potensi pelajar dari
segi JERI (min=4.22), bersikap jujur dalam menjalankan semua tugas (min= 4.21), bersikap
adil terhadap semua pelajar (min=4.24), bertutur dengan sopan (min=4.25), memotivasikan
pelajar untuk berjaya dalam pelajaran (min=4.32) dan berpakaian kemas (min=4.17). Mok
(1995) mengatakan guru-guru yang mempunyai tingkah laku yang baik dan pertuturan yang
sopan berjaya memotivasikan pelajar-pelajar dan dapat menarik perhatian mereka untuk
bersedia mengikuti pengajaran guru dengan penuh minat. Selain itu, penyeliaan yang
berkesan dapat membantu guru membentuk sikap yang sihat tentang pembanguna
profesional berterusan (Abu Bakar, 1995).
4.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan penekanan yang tinggi
diberikan keatas semua kriteria atau komponen penyeliaan yang dijalankan oleh pengetua
sekolah sepanjang proses P&P guru-guru teknikal dalam bilik darjah. Ini bercanggah dengan
latarbelakang masalah yang menunjukkan kebanyakkan penyeliaan P&P guru-guru
dilakukan oleh guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sementara komponen
P&P yang diselia pula tidak menyeluruh, lebih menumpu kepada penulisan buku persediaan
mengajar dan penyediaan alat bantu mengajar. Ini mungkin ada kaitan dengan sifat komited
yang ditunjukkan pengetua di sekolah teknik yang dikaji selaras dengan anugerah yang
disandang sebagai pengetua cemerlang bagi melahirkan sekolah teknik cemerlang menerusi
guru yang cemerlang.
5.0 CADANGAN
Di antara cadangan berdasarkan dapatan kajian ini ialah:
i. Model penyeliaan P&P perlu disediakan untuk membuat kawalan, arahan, penyeliaan dan
penilaian keatas proses P&P bagi menjamin keberkesanan penyeliaan P&P di sekolah di
samping dapat membantu mengenalpasti ciri-ciri penyeliaan yang baik dan boleh diterima
dengan mudah oleh semua pihak.
ii. Pengetua sekolah perlu menyediakan perancangan yang sistematik supaya penyeliaan ke
atas pengajaran semua guru-guru dapat dijalankan secara berterusan. Oleh itu, pengetua
harus bijak dalam pengurusan dan penggunaan masa supaya dapat memberi tumpuan
kepada pelaksanaan kurikulum dalam proses P&P.
iii. Seseorang penyelia itu perlu berusaha memiliki pengetahuan, kemahiran interpersonal
dan kemahiran teknikal yang tinggi di samping mempunyai pengalaman sebelum bersedia
untuk menjadi seorang penyelia pengajaran.
iv. Guru-guru juga perlu diberi pendedahan tentang konsep dan objektif penyeliaan melalui
kursus, seminar dan bengkel agar dapat memberikan kerjasama dan bersifat terbuka
kepada pengetua sebagai penyelia agar dapat mengatasi kelemahan pengajaran mereka
dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan baik antara pengetua dan guru-guru.
RUJUKAN Abdul Shukur Abdullah. (1988). Pengurusan Penyeliaan Dalam Suasana Sekolah- Isu Dan Strategi.
Jurnal kementerian pendidikan, 32 (7); 33-39.
Christenson . C, Johnson. T.W dan Stinson. J.E. (1982). Supervising. Addison-Wesley Publishing
Company.
Habawi Hashim (1998). Persepsi Guru-guru Maktab Rendah Sains Mara Terhadap Tingkah Laku
Kepimpinan Pengajaran Pengetua. Tesis Sarjana Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Salleh Lebar (1998). Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah Dan Pendidikan. Petaling Jaya:
Thinker’s Library And Bhd.
Mohd Salleh Lebar (2000). Pentadbiran Pendidikan dan Pendidikan Di Malaysia. Petaling
Jaya : Addison Wesley Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Sapon Ibrahim (2001). Persepsi Pensyarah Politeknik Di Semanjung Malaysia Terhadap Amalan
Penyeliaan. UTM: Kertas Kerja Seminar Pendidikan.
Sergit Singh sb Gur Baksh Singh (1974). The Leadership Role In Education Of Federal Inspector Of
School. Tesis Sarjana Pendidikan: Universiti Malaya.
Sharifah Md. Nor dan Azizah Abd. Rahman (1989). Penyeliaan Pengajaran Sebagai Satu Ciri
Kepimpinan Profesional. Jurnal Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. 33.20.39.
Shamsudin Mohamad dan Kamarul Azmi (2011). Penyeliaan Guru Dalam Pengajaran &
Pembelajaran. Penerbit UTM Press.
Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti MS ISO 9001: 2008
Subaidah Haleed (2001). Persepsi Guru-Guru Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru Terhadap
Kesan Penyeliaan Pengetua Keatas Peningkatan Kualiti Pengajaran Guru. Tesis
Sufean Husin. (2005). Pentadbiran Dalam Pembangunan Pendidikan. Universiti Malaya : PTS
Professional.
Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3/1987. Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam Kelas
Oleh Pengetua / Guru Besar. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Syed Alwi Al- Junid (1989). Konsep dan Peranan Guru Dalam Pencerapan. Jurnal Maktab
Perguruan Sri Pinang.8.30-36.