komsas

Upload: wan-amir-iskandar-ismadi

Post on 09-Oct-2015

86 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

sastera PBS

TRANSCRIPT

KEPENTINGAN KOMPONEN KESUSASTERAAN (KOMSAS)

Komponen Kesusasteraan (KOMSAS) memberi impak yang positif kepada murid-murid dalam pelbagai aspek. Komponen Kesusasteraan (KOMSAS) merupakan salah satu komponen yang ditekankan dalam subjek Bahasa Melayu sama ada di sekolah menengah ataupun di sekolah rendah. Komponen ini amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah kerana komponen ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri.

Kepentingan pertama pembelajaran dan pengajaran Komponen Kesusateraan (KOMSAS) di sekolah adalah pentingnya bahan sastera bagi penggubal soalan untuk diserapkan dalam soalan-soalan peperiksaan terutamanya peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Kandungan yang sering dimasukkan dalam soalan-soalan peperiksaan tersebut adalah berkaitan dengan prosa tradisional dan juga puisi. Melalui kedua-dua komponen tersebut pelabagai persoalan boleh dicipta seperti maksud rangkai kata atau perkataan-perkataan tertentu. Solan lain seperti murid-murid diminta untuk membina ayat berdasarkan perkataan-perkataan tertentu yang didapati daripada prosa atau puisi tersebut.

Yang kedua ialah pengajaran KOMSAS ini dapat melatih murid supaya menguasai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kemahiran ini dapat diterapkan melalui teks-teks sastera yang terkandung dalam KOMSAS itu sendiri. Hal ini kerana teks-teks sastera tersebut menggunakan bahasa-bahasa sastera yang tinggi nilai estetikanya. Oleh itu, murid perlu berfikir secara kritis dan kreatif bagi mendapatkan isi atau kandungan yang cuba disampaikan melalui teks-teks sastera tersebut. secara tidak langsung, murid-murid akan cuba untuk memahami nilai-nilai estetika yang terkandung dalam sesebuah teks sastera tersebut.Selain itu, kepentingan KOMSAS di sekolah yang dapat dikenalpasti adalah murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan, menyuburkan emosi, membina moral dan pengajaran, meningkatkan unsur kemasyarakatan dan nilai kemanusian dan estetika dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu terdapat pelbagai gubahan yang menerapkan nilai budaya. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu dapat membantu murid menghayati nilai-nilai murni dengan lebih mendalam. Keadaan ini akan dapat mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan murid kerana nilai-nilai yang terdapat dalam bahan-bahan kesusasteraan membina nilai dan memupuk jati diri dalam diri murid-murid.

Kepentingan lain ialah pengajaran KOMSAS di sekolah dikatakan dapat memupuk minat murid-murid mengenai kesusasteraan sejak dari bangku sekolah lagi. Pepatah melayu ada mengatakan Melentur buluh biar dari rebungnya sesuai untuk menggambarkan kepentingan KOMSAS ini. Tambahan pula, KOMSAS juga akan dipelajari ketika di sekolah menengah. Pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di peringkat sekolah rendah akan dapat menyediakan murid-murid di sekolah rendah mengenai KOMSAS sebelum mempelajari komponen tersebut di peringkat yang lebih tinggi di sekolah menengah kelak. Kesannya, murid-murid akan lebih bersedia dan tidak menolak KOMSAS ketika berada di sekolah menengah kelak.

Di samping itu, KOMSAS merupakan komponen yang berkait rapat dengan kemahiran membaca. Oleh itu, amalan membaca yang tinggi dalam kalangan murid dapat ditingkatkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran KOMSAS sama ada secara langsung atau tidak langsung. Murid-murid perlu membaca teks-teks sastera secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum dapat membuat analisis dan mendapatkan maklumat yang dikehendaki melalui teks-teks sastera tersebut. Secara tidak langsung, murid-murid akan menjadi murid yang gemar membaca bahan bacaan yang bermanfaat.Kepentingan yang terakhir bagi pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah adalah penguasaan murid-murid dalam subjek Bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Hal ini disebabkan oleh puisi tradisional atau novel meliputi penggunaan kosa kata dan peribahasa yang menarik. Kebanyakkan karya tersebut dicipta oleh penulis-penulis tersohor yang berpendidikan tinggi dalam bidang pelajaran Bahasa Melayu. Tambahan pula, karya-karya tersebut juga mengandungi bahasa-bahasa yang indah. Hal ini dapat menambahkan kosa kata yang dapat digunakan dalam penulisan karangan. Murid-murid juga dapat menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan baik. Murid yang menguasai ilmu mengenai kosa kata yang tinggi akan dapat menambah variasi bahasa dalam pelbagai bidang dan situasi. Contohnya, murid-murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang dialek sesuatu tempat. Tambahan pula, mereka dapat mengetahui citra bangsa melalui gaya bahasa dan kosa kata tersebut.

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa komponen kesusateraan ini banyak memberi kelebihan dan kepentingan kepada murid-murid di sekolah. kepentingan-kepentingan tersebut merupakan input-input positif yang diperoleh oleh murid melalui pembelajaran KOMSAS di sekolah. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah amat relevan kerana komponen tersebut banyak memberi impak yang positif kepada pelajar.

SOAL SELIDIK RESPONDEN PENTADBIRANi. Adakah proses pengajaran dan pembelajaran KOMSAS berlaku dalam pdp Bahasa Melayu?

YATIDAK

ii. Adakah KOMSAS diberikan penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu? YATIDAK

iii. Adakah pihak pentadbiran menyediakan peruntukan khas bagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan KOMSAS?

YATIDAK

SOAL SELIDIK RESPONDEN GURUi. Adakah guru menjalankan aktiviti berkaitan dengan KOMSAS dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu?

YATIDAK

ii. Adakah terdapat sebarang masalah yang timbul ketika menjalani aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan KOMSAS? YATIDAK

iii. Adakah terdapat pendekatan-pendekatan tertentu yang digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan KOMSAS?

YATIDAK

iv. Adakah terdapat langkah-langkah atau insiatif yang diambil oleh guru bagi menjalankan aktiviti-aktiviti KOMSAS di sekolah?

YATIDAK

SOAL SELIDIKRESPONDEN MURIDi. Adakah murid faham mengenai konsep KOMSAS?

YATIDAK

ii. Adakah murid dapat menguasai KOMSAS yang diajar oleh guru-guru? YATIDAK

iii. Adakah guru kerap melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan KOMSAS di kelas?

YATIDAK

iv. Adakah terdapat penggunaan sebarang bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran KOMSAS?

YATIDAK

ANALISIS SOAL SELIDIK

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan, didapati bahawa KOMSAS turut terkandung dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Namun begitu, aspek KOMSAS ini tidak diberi penekanan secara keseluruhannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Menurut salah seorang responden iaitu seorang guru Bahasa Melayu, aspek KOMSAS ini tidak diberi penumpuan secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Aspek KOMSAS diterapkan hanya secara tidak langsung dan diajar komponen-komponen asas sahaja. Perincian mengenai aspek-aspek yang terkandung dalam KOMSAS tidak didedahkan kepada para pelajar sekolah rendah. Hasil daripada responden murid-murid pula selari dengan perkara yang dinyatakan oleh responden para guru. Ternyata guru-guru tidak memfokuskan KOMSAS dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Penggunaan bahan bantu juga amat kurang digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan KOMSAS tersebut. Namun begitu, murid-murid tetap memahami dan tahu mengenai kandungan asas KOMSAS seperti watak, nilai dan pengajaran yang terkandung dalam sesebuah teks sastera yang diberikan.

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU YANG BERKESAN

Guru bahasa Melayu yang profesional bermaksud guru yang mempunyai kemahiran dan kebolehan yang memuaskan untuk mengajar bahasa Melayu. Guru bahasa Melayu profesional adalah guru yang berkesan menguasai matapelajaran yang diajar dan mengambil berat hal pelajarnya dan seterusnya dapat menghasilkan pelajar yang berkesan dan menghasilkan keputusan yang baik. Ciri tersebut terkandung dalam komponen kecekapan guru dalam tugas dari segi komitmen, latihan, pelaksanaan pengajaran, penguasaan kurikulum, penguasaan ilmu bahasa dan penguasaan komputer dan teknologi maklumat. Semua ini selari dengan pendapat Tucman (1995) melihat komponen profesional seorang guru terletak kepada kecekapan guru dari segi sikap dan kepercayaan, kecekapan kelakuan mengajar, dan pengetahuan matapelajaran. Manakala Brown (1994) menyentuh mengenai aspek pengetahuan teknikal, kemahiran pedagogi, kemahiran interpersonal, dan kualiti peribadi.

Antara strategi p&p Bahasa Melayu yang berkesan ialah guru bahasa Melayu seharusnya dapat menguasai kemahiran mengajar bahasa sepenuhnya. Guru perlu melengkapkan diri dengan berbagai-bagai teknik pengajaran. Mereka perlu mengetahui teknik kemahiran membuat perancangan pengajaran dan menentukan objektif kerana mereka perlu memastikan hala tuju pelajar pada hujung tiap-tiap pelajaran. Menurut Yahya Othman (2006) aspek pedagogi dianggap penting dalam pendidikan bahasa Melayu. Kemampuan guru mengendalikan pengajaran dan pemelajaran banyak dipengaruhi oleh seni pengajarannya di bilik darjah. Guru perlu menggunakan teknik pengajaran yang mampu menarik perhatian pelajar dan bukanya melaksanakannya cecara rutin yang dapat membosankan pelajar. Guru bahasa Melayu perlu menguasai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa bagi mencapai objektif pengajaran tersebut. Seharusnya guru bahasa Melayu perlu memahami maksud konsep strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa yang mampu dilaksanakan dalam bilik darjah. Secara tidak langsung aktiviti pengajaran dapat dilaksanakan secara sistematik, langkah demi langkah iaitu dari peringkat permulaan diikuti peringkat perkembangan konsep dengan penggunaan ilmu pengetahuan serta kemahiran dan diakhiri dengan aktiviti peneguhan dan pengukuhan setelah guru bahasa Melayu dapat menguasai pedagogi pengajaran dan ini akan dapat meningkatkan keterampilan profesional guru bahasa Melayu tersebut.

Selain itu, penggunaan komputer dan teknologi maklumat(TMK) dalam p&p juga ialah salah satu strategi yang berkesan. Menurut Zakaria Kasa dan Aida Suraya Yunus (2001), bahan sokongan dalam bentuk pengajaran individu boleh dilaksanakan menerusi komputer. Ini juga membolehkan pelajar belajar pada kadar berbeza, mampu menentukan arah pembelajaran sendiri dan belajar mengikut kemampuan sendiri. Menurut Yahya Othman (2006), keperluan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan penting dalam mencorakkan pendidikan bahasa Melayu. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa merupakan alat yang mampu menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Aplikasi yang melibatkan mutimedia dalam menyampaikan pelajaran mampu menarik perhatian pelajar. Pembinaan bahan pemelajaran berasaskan aplikasi komputer secara intraktif pula membantu pelajar memahami kandungan dengan lebih mudah lagi. Dengan ini, apabila guru menggunakan bahan TMK semasa p&p ia mampu menarik minat murid lalu suatu p&p itu tidak akan membosankan. Kita perlu tahu bahawa murid tidak bosan semasa p&p dijalankan kerana apabila murid bosan, mereka akan mula tidak menumpukan perhatian dan mula membuat aktiviti lain.

Dalam mempersembahkan pengajaran, guru hendaklah dapat mengawal gerak geri mereka. Selain itu, guru perlu dapat mengolah isi pelajaran dan berhujah, memberi penerangan yang jelas dan contoh yang sesuai dalam menyampaikan pelajaran kepada pelajar mereka. Guru hendaklah menguasai teknik kemahiran menyoal, membuat peneguhan, analisis dan penilaian, mendapat maklum balas, mengawal kelas dan menggunakan bahan bantu mengajar dengan betul untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mereka . Mereka perlu mewujudkan suasana yang sesuai dalam kegiatan pembelajaran. Dalam soal ini, mereka boleh menggunakan teknik kemahiran bercerita disulami dengan jenaka dan membuat saranan. Pelajar juga harus diberi persediaan untuk menghadapi pengajaran guru. Minat pelajar perlu diwujudkan dan dipertingkatkan dengan mengubah strategi dan menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Guru perlu membuat rumusan dan penilaian terhadap pengajaran mereka. Oleh itu, guru hendaklah dapat menguasai kemahiran asas dan membina tapak yang kukuh dalam pengajarannya. Mereka hendaklah dapat memeriksa kemahiran-kemahiran itu dengan memisahkannya antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan dapat mengkaji secara berasingan tiap-tiap kemahiran itu dengan lebih jelas lagi

Laporan Tentang Aktiviti-Aktiviti Komponen Kesusasteraan (KOMSAS)

Salah seorang peserta bercerita tahun 5Sepanjang tahun 2014 ini, terdapat pelbagai aktiviti berunsurkan sastera yang telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Mahkota Sari, Gerik ini. Walaupun pengajaran sastera di sekolah rendah tidaklah terperinci seperti di sekolah menengah, masih ada juga usaha kerajaan untuk menerapkannya secara tidak langsung di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Baik di dalam bilik darjah atau pun di luar bilik darjah. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan bercerita. Pertandingan ini terbuka pada kesemua murid dari darjah satu hinggalah ke darjah 6. Murid-murid bebas untuk memilih cerita apa yang diingini. Penilaian yang dijalankan adalah dari segi bahasa yang digunakan, intonasi dan bahasa badan yang digunakan ketika bercerita. Penyertaan dan perlibatan yang diterima daripada para murid amat memberangsangkan. Selain itu, pertandingan bercerita di sekolah ini juga dijalankan bersempena Maulidur Rasul, Kemerdekaan dan sebagainya. Boleh dikatakan, sepanjang tahun 2014 ini, terdapat banyak kali pertandingan bercertia ini dijalankan.

Guru Besar beri ucapan perasmian Bulan BahasaAktiviti yang dijalankan dalam memupuk unsur sastera di sekolah adalah dengan adanya Bulan Bahasa Melayu pada bulan Jun yang lalu. Di dalam Bulan Bahasa ini terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan dan ada sebahagiannya menerapkan nilai sastera secara tidak langsung. Contoh aktiviti yang dijalankan adalah pesta pantun. Disamping pesta pantun ini diadakan untuk memenuhi keperluan aktiviti dalam Bulan Bahasa, pertandingan ini juga bertujuan untuk memilih wakil sekolah yang akan mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam pertandingan pantun. Pertandingan pesta pantun ini berlangsung selama 2 hari. Kesemua guru Panitia Bahasa Melayu terlibat secara langsung dalam menjayakan pertandingan ini.

Dua orang peserta sedang menyampaikan sajakAktiviti seterusnya adalah pertandingan bersajak. Pertandingan ini juga dijalankan pada Bulan Bahasa. Pertandingan sajak ini dijalankan di dataran perhimpunan dan ada guru-guru yang mengadili mereka. pertandingan ini berlangsung dengan jayanya.

Guru juga tidak ketinggalan untuk bersajakDi samping itu, pihak sekolah juga telah menjalankan pertandingan bicara berirama. Bicara beirama ini seperti Action Song. Para pelajar akan bercerita dalam kumpulan sambil menyampaikannya dalam bentuk penyampaian yang berirama seperti Choral Speaking, Kalam Jamaie dan sebagainya. Pasukan bicara irama Sekolah Kebangsaan Mahkota Sari telah berjaya melangkah ke peringkat daerah. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan.

Pasukan Bicara Berirama SK mahkota Sari

Analisis Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Bagi Tahun 3 KSSR Dalam analisis ini saya telah memilih dokumen standard tahun 3 KSSR. Dapat dilihat dalam standard kandungan ini terdapat bahagian Kemahiran Seni Bahasa yang menekakan kepada aspek KOMSAS. Jika dilihat aspek KOMSAS ini terbahagi kepada banyak cabang iaitu tidak tertumpu kepada memahami karya sastera sahaja. Namun Kemahiran Seni Bahasa ini juga menekankan apresiasi karya sastera seperti menghasilkan karya fiksyen dan puisi secara terancang, tertib dan menarik seterusnya mempersembahkan karya prosa dan puisi dalam pelbagai bentuk secara kreatif. Bagi Dokumen Standard KSSR ini mempunyai aspek kemahiran seni bahasa jika dibandingkan dengan Huraian Sukatan Pelajaran KBSR yang tidak menumpukan pada aspek kemahiran seni bahasa.

KONSEPAspek seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap dan mengapresiasi keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui pembelajaran yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian aktiviti secara didik hibur. Murid juga dapat menggunakan kreativiti mereka dalam melahirkan idea melalui penulisan dan lisan. Seni bahasa memberi menekankan kepada keindahan bahasa yang dipelajari oleh murid melalui teknik penyampaian yang menarik dan menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon dan berpuisi. Pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personafikasi yang terdapat dalam puisi dan penulisan kreatif juga menampakkan keindahan dan seni dalam bahasa Melayu. Keindahan bahasa yang digunakan semasa aktiviti seni bahasa dalam proses P&P dilakukan dapat membantu murid memantapkan lagi kemahiran berbahasa mereka.

OBJEKTIF SENI BAHASAObjektif Aspek Seni Bahasa adalah untuk memastikan murid mengetahui dan berkeupayaan: menyebut, memahami dan menyatakan mesej daripada lirik lagu dalam nyanyian secara didik hibur; menyebut dan memahami diksi serta lirik lagu dalam nyanyian secara didik hibur; mengujarkan ayat tentang sesuatu perkara dengan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul serta menggunakan mimik muka yang sesuai untuk menyatakan mesej melalui penceritaan secara didik hibur; mengujarkan dialog tentang sesuatu perkara dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas untuk menyatakan mesej serta menggunakan bahasa badan yang sesuai untuk mengenali watak melalui lakonan secara didik hibur; dan melafazkan pantun dua kerat dengan intonasi yang betul dan memahami maksud pantun yang dilafaz menggunakan bahasa yang indah secara didik hibur.Melalui objektif yang telah ditetapkan ini saya dapati bahawa aspek KOMSAS yang ditekankan dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah adalah melalui lisan dan penulisan iaitu melafazkan pantun empat kerat dengan intonasi yang betul. Pendekatan yang digunakan oleh guru dalam menyampaikan pengajaran kepada murid adalah melalui didik hibur.

Dalam analisis Dokumen Standard KSSR Tahun 3 ini bidang KOMSAS yang ditekankan ialah berkaitan dengan Memahami dan melafazkan atau mengisyaratkan pantun empat kerat secara komunikasi seluruh dengan menggunakan bahasa yang indah secara didik hibur. Membina pantun empat kerat secara berpandu dan melafazkannya secara komunikasi seluruh yang betul dan jelas secara didik hibur. Guru-guru Bahasa Melayu di sekolah menerangkan bahawa mereka menyelitkan unsur-unsur sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu melalui teknik didik hibur. Teknik ini memudahkan guru untuk menyampaikan isi pembelajaran sastera kerana bidang KOMSAS ini bukan merupakan satu subjek yang mempunyai jam pembelajarannya yang tersendiri seperti subjek Matematik, Sains dan lain-lain. Ianya hanya diajar di bawah subjek Bahasa Melayu dan pengisian KOMSAS diselitkan bagi memperkenalkan murid dalam bidang karya sastera.

Laporan Pengurusan Dan Aktiviti Panitia Bahasa Melayu

Kebanyakkan guru disekolah ini menggunakan pendekatan sastera di dalam membantu dan menarikkan sesi pengajaran di dalam kelas. Bukan sahaja guru Bahasa Melayu, tetapi guru-guru mata pelajaran lain juga turut menggunakan pendekatan sastera dalam pengajaran. Sebagai contoh, guru banyak menggunakan kaedah bersajak ketika set induksi di dalam sesi pengajaran. Ini juga merupakan satu cara yang tidak langsung dapat menerapkan nilai keususasteraan pada murid itu sendiri. Ini merupakan antara usaha Panitia Bahasa Melayu dalam memperkenalkan kesusasteraan kepada murid. Guru-guru digalakkan untuk menggunakan aktiviti-aktiviti bersastera di dalam kelas. Hasil daripada temu bual saya dengan salah seorang guru Bahasa Melayu, unsur sastera hanya diperkenalkan kepada murid. Sebagai contoh, guru membaca satu sajak dan murid akan cuba meniru gaya pembacaan guru. Setelah itu, guru akan memperkenalkan bahawa sajak ini bentuknya begini, dan sebagainya. Secara tidak langsung, murid dapat membezakan bentuk pantun dan bentuk sajak serta sebagainya. Saya kira, usaha ini berkesan kerana disamping pelajar belajar di dalam kelas, mereka juga dapat di dedahkan dengan kesusasteraan secara tidak langsung di dalam kelas tersebut. Sastera ini bukan hanya terikat dengan mata pelajaran Bahasa Melayu, malah mata pelajaran lain juga boleh diterapkan dengan unsur sastera. Contohnya, lagu pecahan yang telah dicipta oleh seorang guru juga merupakan satu unsur sastera di dalam pengajaran Matematik sekolah rendah.

Banyak aktiviti yang berbentuk sastera telah dianjurkan di sekolah. Sebagai contohnya pertandingan pantun di peringkat sekolah. Di dalam pertandingan ini, kesemua guru mata pelajaraan Bahasa Melayu terlibat secara langsung sebagai urus setia di dalam pertandingan tersebut. Pertandingan pantun ini terbuka kepada kesemua murid tahap satu iaitu tahun satu hingga tahun tiga. Di dalam masa yang sama, pertandingan sajak juga diadakan untuk murid tahap 2 iaitu tahun empat hingga tahun enam. Secara keseluruhannya aktiviti tersebut berjalan lancar dan hadiah telah disampaikan ketika perhimpunan.

Pasukan Bicara Berirama membuat persembahanAktiviti yang seterusnya adalah aktiviti bicara beirama. Bicara berirama ini merupakan satu kumpulan pelajar menyampaikan cerita beramai-ramai dalam bentuk berlagu. Atau boleh juga dipanggil Action Song. Aktiviti ini sebenarnya julung kalinya diadakan di Sekolah Kebangsaan Mahkota Sari. Apa yang membanggakan pihak sekolah adalah, kumpulan Bicara Berirama sekolah ini telah berjaya melonjak ke peringkat daerah walaupun baru ditubuhkan. Dengan berbekalkan latihan yang diberikan oleh guru-guru dan sokongan daripada pihak sekolah, kumpulan ini akan terus mengukir nama di dalam negeri Perak ini. Kumpulan Bicara Beirama sekolah Kebangsaan mahkota Sari ini terdiri daripada 25 orang pelajar dan 5 orang guru pembimbing. Setiap minggu kumpulan Bicara Berirama ini akan mengadakan latihan. Melalui Bicara Berirama ini, pendekatan sastera dapat disampaikan kepada murid dan dapat didedahkan kepada murid tentang bentuk prosa, sajak, puisi dan pantun. Selain itu, pelajar juga dapat pelajari tentang nada, intonasi, jeda dan sebagainya. Walupun tidaklah sedalam pengkaji sastera, sekurang-kurangnya mereka dapat mengenalnya.

Panitia Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Mahkota Sari juga telah menanam nilai kesusasteraan di dalam diri pelajar melalui pembacaan. Di sekitar kaki lima dan laluan bangunan sekolah, telah tergantung berbagai kata-kata hikmah dan juga pantun nasihat. Ini juga dikira sebagai satu usaha pihak Panitia Bahasa Melayu dalam memperkembangkan sastera kepada murid melalui pembacaan tidak langsung ketika berjalan. Walaupun kesannya tidak boleh terpampang tetapi secara halusnya kesan itu boleh dilihat ketika penghasilan karangan. Usaha ini merupakan usaha yang membina pengalaman bermakna kepada murid, apabila murid berulang kali melihat perkataan tersebut.

Pantun di tampal diluar kelas

CADANGAN BERNAS

Sebagaimana yang kita sedia maklum, mata pelajaran Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang wajib dikuasai oleh semua pelajar. Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan menjadi bahasa komunikasi dalam kehidupan seharian kita. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diwujudkan kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Jadi, bahasa Melayu adalah medium bahasa yang sesuai memainkan peranannya dalam menjadi bahasa penyatu rakyat Malaysia. Kerajaan telah merancangkan pembinaan bahasa Melayu dengan tujuan supaya bahasa Melayu berkembang dan maju peranannya yang utama sebagai asas kebudayaan masyarakat.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah. Salah satu cara untuk tingkatkan mata pelajaran ini ialah menggunakan pendekatan koperatif dalam mata pelajaran ini. Di dalam sebuah kelas, pasti ada murid yang ketinggalan bagi mata pelajaran bahasa Melayu ataupun subjek-subjek lain. Bilangan murid yang terlalu ramai memungkinkan fokus murid terhadap pengajaran guru akan hilang. Oleh itu, guru hendaklah bijak dalam merancang pembelajaran murid di dalam kelas. Pembelajaran koperatif adalah amat sesuai dilakukan kerana murid akan dapat bertukar-tukar pendapat dan saling berkongsi ilmu antara satu sama lain.

Selain itu, mata pelajaran bahasa Melayu adalah meluas dan banyak aktiviti yang boleh dilakukan berkaitan dengan mata pelajaran ini. Salah satu cara yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah dalam meningkatkan mata pelajaran bahasa Melayu adalah memperbanyak aktiviti luar bilik darjah yang berkaitan dengan subjek bahasa Melayu. Pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan bakat mereka. Pertandingan seperti menulis karangan dan mencipta sajak adalah bersesuaian dengan subjek bahasa Melayu yang boleh meningkatkan kefahaman mereka di samping dapat memantapkan penguasaan mereka dalam subjek bahasa Melayu.

Kadar pelajar yang buta huruf semakin hari berkurangan di Malaysia. Peranan guru itu sendiri adalah penting dalam memastikan kadar ini berkurangan dari hari ke hari. Mata pelajaran bahasa Melayu perlu ditekankan dengan lebih meluas supaya rakyat di negara kita bebas daripada buta huruf. Cadangan yang sesuai untuk memantapkan subjek ini ialah, guru hendaklah mengasingkan pelajar yang lemah dalam subjek ini dan memberi penekanan kepada pelajar yang tidak tahu membaca. Kelas pemulihan yang telah dilakukan oleh kebanyakan sekolah di Malaysia telah dapat mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan pelajar. Ujian dalam mengasingkan pelajar yang lemah perlu dilakukan dengan lebih teliti agar pelajar yang lemah tidak terlepas daripada kelas pemulihan ini.

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah satu cara yang baik dalam meningkatkan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah. Pada zaman ini, murid-murid terdedah dengan kemajuan ICT . Mereka akan lebih fokus terhadap pengajaran guru yang menggunakan ICT di dalam kelas. Penggunaan ICT akan dapat membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta potensi pelajar sekaligus dapat menanam rasa cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan cemerlang berminda kelas pertama sebagaimana yang digarapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Yang terakhir ialah, guru hendaklah menyoal pelajar secara kerap semasa pengajaran bahasa Melayu. Kepelbagaian teknik menyoal juga memainkan peranan agar pengajaran dapat disampaikan dengan berkesan, menarik dan memberangsangkan murid untuk terus belajar. Tujuan guru menyoal adalah untuk membantu murid-murid meningkatkan kefahaman isi-isi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, tujuan guru menyoal juga adalah untuk membimbing dan menggalakkan murid berinteraksi antara satu sama lain dengan guru dan dengan bahan. Penyoalan juga akan dapat memenuhi kehendak murid yang berlainan tahap pencapaian.