kosep pranombor matematik
TRANSCRIPT
1.0 Pengenalan
Pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang sangat penting dalam dunia
persekolahan kepada seseorang kanak-kanak. Pengalaman persekolahan dan
pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menggembirakan dapat menyediakan murid
untuk memasuki alam persekolahan formal dan pendidikan sepanjang hayat.
Kebelakangan ini kajian dalam bidang psikologi kognitif telah memainkan peranan yang
penting dalam mengkonsepkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal matematik
kepada kanak-kanak. Konsep pembelajaran matematik kini dikonsepkan sebagai sesuatu
proses dimana kanak-kanak membina dan membentuk ilmu di dalam bidang metematik
dengan memperkaitkan ilmu atau konsep yang baru diperolehi dengan ilmu atau konsep
yang sedia ada pada mereka.
Penguasaan matematik awal oleh murid prasekolah adalah penting kerana ianya
merupakan asas untuk membantu murid menguasai dan memahami konsep matematik
yang lebih tinggi. Mengikut Kohn (1998), kanak-kanak pada peringkat prasekolah ialah
individu yang aktif dan mengalami proses pembelajaran yang melibatkan perasaan ingin
tahu, bersifat egosentrik, belajar dengan cara meniru kelakuan orang lain dan ingin
memahami perkara yang baru dilihatnya.
Menurut Kamariah (2004), guru-guru prasekolah memainkan peranan yang amat penting
dalam aspek pembentukan tingkah laku dalam menangani pembelajaran. Maka guru-guru
perlulah berusaha untuk mengkaji teori-teori pembelajaran yang berkaitan demi lebih
memahami murid-murid mereka dan menjayakan proses pengajaran pembelajaran.
Misalnya, teori pembelajaran kognitif yang menekankan proses kognitif untuk
menghasilkan perubahan tingkah laku dalam pembelajaran. Komponen Perkembangan
Kognitif menjadi fokus utama dalam pendidikan awal kanak-kanak kerana keupayaan
kognitif mempengaruhi semua aktiviti pembelajaran. Komponen ini memberi penekanan
kepada pemupukan sikap positif terhadap pembelajaran matematik.
2.0 Penerangan Konsep Pra Nombor
Matematik selalunya didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian tentang corak
struktur, perubahan dan ruang, atau dengan kata lain, kajian mengenai nombor dan
gambar rajah (atas talian:http://ms.wikipedia.org/wiki/Matematik).
Menurut Nor’aini binti Tahir dalam bukunya, ‘Pembelajaran Kognitif dan Pembelajaran
Kanak-kanak’, matematik merupakan satu bidang yang melatih minda supaya berfikir
secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan. .Kebolehan matematik adalah asas kemahiran yang diperlukan bagi menjalani
kehidupan seharian (Nor Azlan, 1987). Asas perkembangan matematik kanak-kanak
bermula daripada pengalaman kanak-kanak berkaitan benda-benda konkrit atau objek
yang mengandungi kuantiti dan kualiti objek seperti warna, saiz dan bentuk yang
berbeza-beza serta memanipulasi nombor-nombor yang ada di sekeliling mereka.
Konsep Pranombor, Nombor Awal, Operasi Nombor, Pengukuran, Masa dan Ruang
perlulah diajar bersesuaian dengan peringkat perkembangan murid. Ia merupakan
komponen yang penting dalam pengajaran Matematik Awal di peringkat prasekolah.
Konsep pra nombor perlu diajar sebelum kanak-kanak boleh menggunakan konsep
nombor keseluruhannya dengan betul. Konsep ini adalah sangat penting untuk
membolehkan kanak-kanak memperolehi sebahagian gambaran yang berkesan tentang
nombor keseluruhannya. Konsep pra nombor disini termasuklah kebolehan mengelaskan
objek atau benda mengikut warna, bentuk dan saiz, kebolehan mengenal kuantiti melalui
perbandingan, misalnya banyak atau sedikit ; sama banyak atau tidak sama banyak dan
lebih atau kurang.
2.1 Konsep Pranombor bagi topik Nombor 0-10
Konsep nombor merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak
prasekolah. Nombor sangat penting dalam menguasai pembelajaran Matematik
prasekolah. Konsep nombor menggambarkan bilangan benda bagi sesuatu kumpulan iaitu
sifat kuantiti benda tersebut manakala angka adalah simbol atau tanda yang mewakili
serta menggambarkan konsep nombor. Sistem nombor yang digunakan hari ini
mempunyai empat ciri penting iaitu; nilai tempat yang menunjukkan kedudukan digit
mewakili nilai tertentu, asas sepuluh yang bermaksud koleksi sepuluh yang mempunyai
10 digit dari sifar ke sembilan, penggunaan sifar iaitu simbol untuk sifar yang
menyatakan sesuatu yang tidak wujud dan mempunyai nilai tambah.
Piaget telah bahagikan Tahap praoperasi kepada dua sub tahap iaitu Tahap Pro-
konseptual bagi budak yuang berumur dua hingga empat tahun dan Tahap Pra-operasi
bagi budak yang berumur empat hingga tujuh tahun. Di tahap pra-konseptual, kanak-
kanak belum lagi dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa
yang sama. Ini disebabkan mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam
pemikiran. Jadi, guru haruslah memastikan mired-murid sudah menguasai empat prinsip
membilang sebelum mereka dapat membilang secara rasional dan bukan secara hafalan.
Konsep pranombor yang perlu ditekankan di sini ialah prinsip padanan satu dengan satu,
di mana murid dapat memadankan satu objek dengan satu nama nombor. Padanan satu
dengan satu adalah hubungan perkaitan satu dengan satu antara objek yang sama atau
berbeza.
Selain itu, guru juga perlu memastikan cara membuat seriasi mengikut satu ciri diajar
dahulu pada mula-mula mengajar topik Nombor 0-10. Seriasi merupakan susunan lebih
daripada dua objek mengikut turutan berdasarkan kriteria yang jelas. Tujuannya adalah
untuk memastikan susunan turutan yang betul. Kebolehan menyusun dan menertib adalah
mengikut perkembangan konservasi dan pengelasan. Guru harus memastikan murid-
muridnya dapat membuat susunan nombor yang mengikut urutan, iaitu bermula dari 1, 2,
3,… dan seterusnya.
Kanak-kanak prasekolah biasanya berumur empat hingga enam tahun. Menurut Piaget,
kanak-kanak yang berumur dua hingga tujuh tahun berada pada tahap praoperasi. Dari
segi kualiti, pemikiran kanak-kanak masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan
orang dewasa. Contohnya, pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik di mana, di dunia
ini, keseluruhannya dilihat hanya dari perspektif mereka sahaja. Pada peringkat ini,
adalah penting bagi guru memperkenalkan konsep pra nombor dan nombor dan
membantu mereka mengaitkan konsep tersebut dengan pengalaman harian mereka.
Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak menjadi
lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asas yang berlaku iaitu perkembangan
kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti
kebolehan mengira, melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang
dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil dan
hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu
pengukuhan tingkah laku. Misalnya, kanak-kanak akan diajar untuk membilang nombor
berulang-ulang kali dengan pelbagai teknik dan pelbagai bahan konkrit supaya mereka
betul-betul mengenali nombor dan kemahiran mengira.
Menurut Piaget, pengetahuan kanak-kanak pada tahap praoperasi bahawa kuantiti adalah
tidak berhubung kait dengan susunan atau keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak
yang tidak memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang
sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah. Jadi, kanak-
kanak yang berada di tahap ini perlu diajar dengan konsep pra nombor supaya mereka
pandai memadamkan objek, membandingkan kuantiti objek, membuat seriasi mengikut
satu ciri dan mengecam corak berulang dan membina pola.
Bruner berpendapat kanak-kanak membentuk konsep dengan mengasingkan benda-benda
mengikut ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Ini adalah bertepatan dengan konsep
pranombor yang diajar dahulu sebelum konsep nombor dan konsep matematik yang lain
disampaikan. Selain itu, pengajaran adalah berdasarkan rangsangan murid tersebut
terhadap pengetahuan sedia ada mereka.
Bruner turut mengatakan bahawa pembelajaran Matematik akan menjadi lebih mudah
dengan penggunaan simbol untuk mewakili konsep-konsep yang berbentuk
abstrak. Misalnya, guru boleh mengajar konsep nombor dengan berbantukan bahan
konkrit seperti membilang pensel, menggunakan gambar atau melalui lukisan bentuk
nombor dan bukan semata-matanya dengan menggunakan kad nombor sahaja.
2.2 Konsep Pranombor bagi topik Operasi Tambah Dalam Lingkungan Sepuluh
Setelah kanak-kanak mengenali dan memahami konsep nombor, mereka akan didedahkan
dengan pembelajaran operasi nombor yang melibatkan konsep tambah (+) . Konsep asas
bagi operasi tambah ialah proses dua himpunan yang disatukan dan menjadi jumlah
tertentu.
Prasyarat sebelum mengajar operasi nombor adalah murid berupaya untuk membuat
perbandingan di antara dua kumpulan objek. Menurut Gibbs dan Castadena (1975),
perbandingan adalah proses mengaitkan antara dua benda menggunakan ciri tertentu
sebagai asas perbandingan. Perbandingan berlaku apabila kita membandingkan ciri-ciri
kuantitatif dan kualitatif dua objek. Tujuannya adalah untuk memastikan murid-murid
menguasai konsep yang selalu digunakan dalam perbandingan seperti lebih banyak, lebih
kurang dan lebih tinggi.Contohnya, sebelum mengajar konsep operasi tambah, guru harus
membimbing murid untuk membuat perbandingan di antara dua kumpulan benda iaitu
konsep banyak atau sedikit.
Menurut Asmah Bee Mohd Noor (2000), Piaget mengatakan bahawa operasi yang
berlaku mesti berasaskan pada tiga fenomena mental yang penting iaitu pengamatan,
ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak
memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula
ialah satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai
peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi
yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian
mental. Sebagai contoh, apabila mengajar operasi tambah, guru harus mendedahkan
murid mereka dengan makna operasi tambah dengan cara yang menarik. Seterusnya,
murid diberi aktiviti membina sendiri demi memahami konsep menambah dengan lebih
jelas. Akhir sekali, masalah akan dikemukakan demi mengukuhkan pembelajaran
mereka.
Bruner dan Kenny (pembantunya) telah membuat pemerhatian di dalam kelas Matematik
bagi mengkaji faktor-faktor yang terlibat dalam teori pembelajaran Matematik. Hasilnya
mereka telah berjaya membina empat teorem pembelajaran iaitu Teorem Pembinaan,
Teorem Tatatanda, Teorem Kontras dan Variasi dan Teorem Perhubungan. Teorem-
teorem ini mengemukakan bahawa cara paling berkesan bagi seseorang pelajar untuk
mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik adalah dengan membina perwakilan
untuk konsep, prinsip mahupun hukum Matematik tersebut. Kanak-kanak perlulah
menjalankan sendiri aktiviti-aktiviti konkrit agar mereka lebih memahami konsep
tersebut. Misalnya, semasa mengajar operasi tambah, pengalaman konkrit diberikan di
samping penggunaan yang betul bagi mewakili operasi dalam bentuk bergambar serta
bentuk simbol, contohnya menggunakan objek konkrit.
Tatatanda Matematik perlulah mengikut tahap perkembangan kognitif pelajar itu sendiri.
Ianya perlulah bermula dari mudah ke sukar mengikut tahap pemikiran pelajar pada
waktu itu. Konsep Matematik kebanyakkannya tidak memberikan makna kepada pelajar
jika mereka tidak dapat membezakan konsep yang lain. Konsep banyak dan sedikit perlu
dijelaskan dengan membandingkan sifat-sifat yang berbeza dalam kedua-dua kumpulan
objek tersebut. Konsep, prinsip dan kemahiran Matematik adalah saling berkaitan dengan
kemahiran yang lain. Di dalam proses pembelajaran, guru perlu bijak mengaitkan konsep
pranombor kepada pelajar sebelum isi yang lebih susah disampaikan.
Secara keseluruhannya, konsep pranombor dan kedua-dua teori pembelajaran kognitif
Jean Piaget dan Bruner banyak memberi sumbangan kepada pengalaman pembelajaran
matematik bagi kanak-kanak prasekolah. Dengan berbantukan pengajaran konsep
pranombor dan kedua-dua teori pembelajaran kognitif ini, pengajaran dan pembelajaran
akan menjadi lebih bermakna dan berkesan.
3.0 Cadangan pengajaran konsep pra nombor
Dalam pembelajaran matematik, pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna
merupakan pembelajaran yang memberi penekanan kepada minat dan semangat belajar
murid. Suasana yang kondusif untuk belajar dengan sendirinya memupuk semangat
cintakan ilmu pengetahuan yang akan menjadikan seseorang itu berfikiran luas dan
terbuka. Pembelajaran yang memberi penekanan kepada penglibatan murid secara aktif
dalam aktiviti sebenar akan membolehkan murid mengaitkan pembelajaran dengan
pengalaman kehidupan seharian. Usaha ini akan menghasilkan pembelajaran yang
berkesan dan bermakna.
3.1 Pengajaran Nombor 0 hingga 10
Bedasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, kanak-kanak yang berumur 4
tahun dikehendaki untuk menyebut nama nombor 1 hingga 10, memadankan angka 1
hingga 10 dengan nama nombor secara lisan, membilang objek 1 - 10, menggunakan
bentuk seperti titik untuk mewakili bilangan objek, memadankan angak 1 – 10 dengan
bilangan objek yang betul dan menyurih angka1 – 10. Manakala, kanak-kanak yang
berumur 5 tahun dikehendaki untuk membilang secara menaik 1 – 10 dan menurun 10 –
1, menulis nombor 1- 10 mengikut cara yang betul, menulis angka sifar, menyebut sifar
dan mengetahui maksud sifar.
Menurut Jean Piaget, setiap kanak-kanak normal berupaya memahami matematik dengan
baik apabila aktiviti dan kaedah yang diberikan menarik perhatian mereka. Kanak-kanak
berfikir secara konkrit, mereka mesti diberi peluang untuk mengalami perhubungan
matematik melalui manipulasi objek konkrit , mereka mesti bermain dengan benda atau
objek yang mereka boleh mengira dan menyusun. Oleh itu, pengajaran guru perlulah
dirancang dengan teliti demi menghasilkan pembelajaran ang berkesan.
Mengikut Bruner, guru perlu menggunakan set induksi untuk menimbulkan motivasi
yang berterusan kepada murid agar aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan
berkesan. Sebagai set induksi bagi topik ini, guru boleh mengedarkan beberapa biji gula-
gula kepada semua murid. Guru meminta murid membuat pengiraan bilangan gula-gula
yang ada di tangan masing-masing. Guru perlu mengalakkan murid untuk mengeluarkan
idea dan menunjukkan cara membilang yang dilakukan. Selepas itu, aktiviti padanan
boleh dijalankan. Murid-murid mencari pasangan rakan yang mempunyai bilangan gula-
gula yang sama dengannya.
Aktivit memadan juga boleh dijalankan dengan memadan bilangan objek dengan simbol
nombor. Semasa mengajar kanak-kanak mengenali nombor 0 – 10, guru perlu
menyediakan kad gambar 0 hingga 10 dan kad nombor 0 hingga 10. Guru menunjukkan
kad bergambar seperti berikut:
Guru meminta murid untuk menetapkan kad nombor selain di papan putih. Contohnya:
Guru menanya, "Berapa banyak kura-kura di sana?" Guru meminta murid untuk memilih
kad nombor yang betul dan lekatkan di papan putih bersama dengan kad gambar tadi.
Aktiviti akan diulangi sampai gambar kesepuluh. Melalui aktiviti ini, kemahiran murid
untuk memadan bilangan objek dengan symbol akan diperkukuhkan.
Guru juga boleh melibatkan semua murid dengan cara bermain sambil belajar. Misalnya,
guru menyuruh murid untuk membentukkan kumpulan yang terdiri daripada 11 murid.
Setiap murid dalam kumpulan akan diberikan satu kad nombor yang terdiri dari nombor
0, 1, 2, 3, hingga 10. Murid-muird di dalam kumpulan dikehendaki untuk membuat
seriasi mengikut satu ciri, iaitu menyusun nombor mengikut urutan, iaitu bermula dari 0,
1, 2, 3, dan seterusnya. Kumpulan yang berjaya menyusun nombor 0 hingga 10 mengikut
urutan akan diberi ganjaran.
Aktiviti menyusun nombor mengikut urutan juga boleh dijalankan berbantukan
komputer. Guru menyediakan tayangan Slide Show sebelum sesi pengajaran. Guru
memaparkan rangkaian gambar power point satu per satu tanpa mengikut urutan. Angka
akan dipaparkan selepas objek.
Guru mengemukakan soalan seperti “Berapa banyak kereta yang ada di gambar ini? Mari
kita hitung bersama-sama." Guru membimbing murid untuk menghitung satu per satu
secara berurutan. Kemudian arahkan ke angka dan menyebut nama nombor. Ulangi
dengan nombor yang berbeza dan objek yang berbeza dalam gambar yang dipaparkan
untuk menarik perhatian murid. Selepas semua nombor 0 hinggan 10 ditayangkan, guru
meminta murid untuk menyusunkan nombor-nombor tersebut mengikut urutan.Menurut
Bruner, pelbagai kaedah dan teknik mengajar perlu digunakan dan seimbang dengan
perkembangan kognitif murid pada waktu itu. Secara tidak langsung, ianya dapat
mempertingkatkan daya keupayaan mental kanak-kanak serta menghubungkaitkan
pengalaman baru dengan pengalaman lama. Dengan ini, keberkesanan pembelajaran
dapat ditingkatkan.
Jean Piaget menyarankan bahawa pembelajaran bermakna memerlukan masa ‘untuk
memainkannya’ dengan cara membuat sesuatu menerusi berbagai alternatif. Oleh itu
kanak-kanak memerlukan masa yang fleksibel dalam aktiviti main untuk mencapai
matlamatnya. Untuk menambah keseronokkan belajar nombor 0 – 10, guru boleh
membimbing murid untuk membina nombor dengan plastisin. Guru meminta murid
mengunting kad nombor yang disediakan. Kemudian, murid dikehendaki untuk
mengesan bentuk setiap nombor dan membina nombor dengan menggunakan plastisin di
atas lembaran kerja. Walaupun aktiviti ini memerlukan masa yang panjang, tetapi murid
akan berasa seronok sebab mereka dapat membina nombor mengikut kreativiti sendiri
dan ingatan yang lebih kekal akan wujud jika mereka merasakan aktiviti itu bermakna
dan seronok.
3.2 Pengajaran Operasi Tambah Dalam Lingkungan Sepuluh
Menurut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, kanak-kanak yang berumur 4
tahun belum mempelajari operasi tambah dalam lingkungan sepuluh. Topik ini hanya
akan dipelajari oleh kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Kanak-kanak dikehendaki untuk
menyatakan hasil tambah dua himpunan objek, menyatakan hasil tambah dengan
membilang terus dari suatu nombor sehingga nilai 10, menggunakan bahasa harianuntuk
menerangkan operasi tambah, menulis ayat matematik dengan menggunakan symbol
tambah (+) dan sama dengan(=), menyatakan ayat matematik operasi tambah secara lisan,
menyelesaikan masalah operasi tambah menggunakan objek konkrit dan menceritakan
situasi yang melibat operasi tambah dalam bahasa harian dengan bimbingan guru.
Jean Piaget (1952) menyatakan bahawa aktiviti dan permainan yang menarik, mampu
memberi pemahaman Matematik yang lebih berkesan kepada kanak-kanak normal. Bagi
kanak-kanak, adalah susah mereka untuk memahami konsep operasi tambah. Mereka
tidak tahu makna tambah atau tolak. Jadi untuk membantu kanak-kanak prasekolah untuk
memahami topik ini, guru haruslah merancang aktiviti yang lebih menarik dan bermakna.
Guru harus memulakan sesi pengajaran-pembelajaran dengan set induksi yang menarik.
Contohnya, guru tunjukkan sejumlah gula-gula seperti gambar di bawah:
Guru meminta murid membuat pemerhatian gula-gula yang ada di dalam dan di luar
bekas. Murid akan berbincang dalam kumpulan dan kemudian mereka menerangkan apa
yang dilihat. Dalam aktiviti ini, guru akan menerapkan konsep tambah secara tidak
langsung. Guru juga akan mengetahui pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Dengan
mengetahui pengetahuan sedia ada kanak-kanak, barulah aktiviti pembelajaran seterusnya
dapat dijalankan dengan lancar.
Bruner mencadangkan penggunaan kaedah inkuiri-penemuan sebagai strategi pengajaran-
pembelajaran untuk memberi kesempatan kepada kanak-kanak membuat kajian sendiri.
Dengan ini, mereka akan memperolehi kepuasan daripada dapatan kajiannya, demi
menghasilkan peneguhan positif yang diharapkan. Guru perlulah mengatur situasi
pembelajaran untuk kanak-kanak dalam mengenal pasti masalah yang ditimbulkan,
memahami dan menganalisisnya serta berusaha mencari alternative jawapan sendiri.
Misalnya, selepas fasa persediaan iaitu set induksi, guru haruslah masuk ke fasa
imaginanasi. Guru paparkan kepada murid dua keping kad gambar seperti contoh di
bawah:
Guru minta murid menjelaskan apa yang dilihat pada gambar. Murid sebutkan jumlah
buah yang terdapat di dalam setiap gambar. Selepas ini, guru harus membimbing murid
membuat perbandingan. Murid menyatakan mana satu gambar mempunyai buah yang
lebih banyak. Aktiviti ini akan diteruskan dengan beberapa kumpulan kad gambar yang
berlainan sehingga murid dapat memahami konsep banyak atau sedikit sebelum
mempelajari operasi tambah.
Bruner mencadangkan, penggunaan prinsip pengajaran daripada konkrit kepada abstrak.
Untuk memperkukuhkan kemahiran murid, kad gambar akan ditukar kepada kad imbasan
seperti contoh di bawah bagi pembelajaran yang seterusnya.
Aktiviti mengulang fakta asas tambahan secara spontan kombinasi dua nombor satu digit
pada kad imbasan akan dilakukan. Murid menyatakan fakta asas tambah secara lisan
dengan suara yang kuat dan jelas. Guru haruslah menekankan teknik latih tubi fakta asas
tambah secara spontan.
Prinsip struktur Bruner memberi keutamaan terhadap isi pelajaran yang sesuai dengan
bentuk pengajaran, dan apa jenis bentuk pengajaran yang sesuai digunakan kepada murid
itu sendiri. Penambahan juga boleh diperkenalkan melalui masalah cerita. Bagi kanak-
kanak prasekolah, situasi cerita pertama haruslah mudah. Berikut adalah contoh masalah:
“Shirley mempunyai dua bola. Ibunya membeli tiga bola lagi untuknya. Berapa banyak
bola Shirley sekarang?”
Pada tahap ini, kanak-kanak harus membuat perhubungan antara dunia sebenar dan
proses penambahan dengan menginterpretasikan sebuah cerita tambahan. Kanak-kanak
mesti membaca dan menulis persamaan yang menggambarkan proses mereka
menyelesaikan masalah. Guru harus memberi kebebasan kepada mereka untuk mereka
cerita sendiri dengan menggunakan hal-hal yang nyata atau objek konkrit. Pada masa
yang sama, mereka mesti membaca dan menulis persamaan dengan menggunakan kata-
kata umum, seperti "dan", "membuat", dan "sama". Kebebasan mereka cerita sendiri
adalah penting sebab Piaget mengesyorkan supaya kanak-kanak diberi kebebasan
memilih aktiviti permainan mereka sendiri. Kanak-kanak biasanya akan menumpu
kepada keperluan perkembangan mereka, ketika memilih aktiviti bermain. Hanya dengan
cara demikian kita dapat memastikan mereka memilih sesuatu aktiviti yang menarik dan
menggembirakan. .
Akhir kata, aktiviti pengajaran-pembelajaran hanya akan berkesan dan bermakna dengan
perancangan guru yang teliti dan sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak.
Tanpa perancangan awal, proses pengajaran-pembelajaran akan menjadi kurang
bermakna dan minat murid untuk mempelajari matematik juga akan dipengaruhi.
4.0 Implikasi teori pembelajaran kognitif
Pembelajaran kognitif menekankan bahawa pengalaman sedia ada kanak-kanak amat
membantu dalam proses pembelajaran. Pengetahuan yang dipelajari ketika di prasekolah
banyak mempengaruhi pembelajaran seterusnya.
Pada masa kini, isi-isi pelajaran telah disusun mengikut peringkat perkembangan kanak-
kanak. Mengikut Jean Piaget dalam teori pembelajaran kognitif, beliau telah mengelaskan
empat tahap perkembangan kognitif Piaget iaitu sensori motor, praoperasi, operasi
konkrit dan operasi formal. Oleh yang demikian, isi pelajaran yang di sampaikan dalam
proses pengajaran-pembelajaran mestilah mengikut peringkat perkembangan kanak-
kanak. Hal ini demikian kerana, pengetahuan dan kebolehan kanak-kanak berbeza
mengikut umur ataupun tahap masing-masing. Di sini, guru haruslah menyampaikan dan
menyusun isi-isi pelajaran mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak. Contohnya,
di prasekolah ia lebih kepada bermain sambil belajar serta cenderung kepada
pengetahuan asas tentang matematik iaitu konsep pra nombor. Jadi, guru hendaklah
mengajar murid-murid tersebut mengikut peringkat perkembangan mereka dan bukannya
mengajar mereka dengan menggunakan sukatan pelajaran sekolah rendah.
Teori pembelajaran kognitif membantu murid-murid mengingat semula dalam proses
pengajaran-pembelajaran. Ini disebabkan pembelajaran kognitif ini menekankan kepada
perubahan-perubahan yang berlaku dalam cara manusia berfikir dari peringkat bayi
sehingga dewasa. Jean Piaget memandang kanak-kanak sebagai pelajar yang aktif yang
berkelakuan seperti saintis muda dan akan memperkembangkan teori mereka masing-
masing. Dalam bilik darjah, murid-murid akan belajar sesuatu mengikut tahap atau pun
tingkat umur mereka. Guru harus sedar bahawa ada murid yang berada dalam mod
pembelajaran yang berbeza dan guru perlu bijak memainkan peranan dalam menguasai
proses pengajaran-pembelajaran. Sebagai contoh, jika terdapat murid yang tidak dapat
menumpukan perhatian semasa guru mengajar topik nombor 1-10, guru haruslah
berusaha untuk melibatkan muridnya dalam proses pembelajaran seperti aktiviti bermain
sambil belajar.
Guru seharusnya berperanan sebagai fasilitator dalam proses pengajaran-pembelajaran
yang bertugas sebagai penyusun maklumat yang hendak disampaikan bagi memudahkan
murid mengaitkan pelajaran baru dengan pelajaran lepas. Aktiviti dan alatan yang sesuai
perlu dibekalkan kepada murid-murid mengikut tahap kebolehan mereka. Guru perlu
sedar bahawa pada peringkat awal, kanak-kanak seperti di kelas tadika perlu didedahkan
kepada bahan-bahan pelajaran yang terdiri daripada objek-objek besar iaitu yang senang
dilihat dan disentuh. Misalnya, semasa mengajar kanak-kanak membilang 1-10, adalah
lebih baik untuk menyuruh mereka mengira bahan-bahan konkrit dan mengajar mereka
mengenali angka tersebut dengan menggunakan model angka yang konkrit.
Dalam buku 'Building Up Mathematics', Profesor Diens berpendapat bahawa setiap
konsep ( atau prinsip ) matematik boleh menjadi mudah difahami dengan tepat jika
konsep itu diperkenalkan kepada pelajar melalui beberapa contoh yang konkrit. Ini telah
menyokong teori pembelajaran Bruner yang menekankan bagaimana kanak-kanak
memperolehi pengetahuan mereka. Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu
guru perlu menyediakan peluang untuk murid-murid meneroka, memegang, mencium
dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna.
Contohnya, gambar, carta dan objek perlu digunakan bagi memudahkan kanak-kanak
prasekolah untuk mengenali konsep pra-nombor, mengenali nombor 1-10 atau
memahami operasi tambah.
Bruner juga menekankan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Ini bermakna guru
perlu memberi ganjaran dan pujian apabila sesuatu tingkahlaku yang diingini dilakukan.
Misalnya, apabila murid-murid berjaya membilang objek yang disediakan dengan tepat,
ganjaran dan pujian harus diberi agar murid tersebut akan terus berusaha untuk
mempelajari cara membilang dengan lebih teliti supaya jawapannya tepat setia kali.
Kesediaan belajar juga ditekankan oleh Bruner. Dengan itu, guru perlu mengambil kira
kesediaan belajar murid-murid ketika merancang proses pengajarannya. Contohnya, set
induksi yang menarik haruslah dirancang demi menyediakan murid-murid untuk
mempelajari isi pelajaran yang akan disampaikan seterusnya.
Pada keseluruhannya, teori pembelajaran Jean Piaget dan Bruner amat mempengaruhi
sesi pengajaran-pembelajaran. Guru haruslah memahami kedua-dua teori pembelajaran
ini demi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran-pembelajaran.