laporan program lawatan penanda aras
DESCRIPTION
bigTRANSCRIPT
LAPORAN PROGRAM LAWATAN PENANDA ARAS
SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI
Program ini adalah bagi memenuhi keperluan Latihan Perguruan dan setiap
peserta mestilah mengikuti Program Bina Insan Guru (BIG) ini sebelum tamat pengajian
dan wajib lulus sebagai syarat ditauliahkan Ijazah Perguruan Malaysia.
Pada 7 September 2014, seramai 4 orang guru Program Pensiswazahan Guru
dari Kumpulan MTE 7M (rujuk lampiran i - senarai peserta) telah mengadakan Lawatan
Penanda Aras (Bench Marking) Sekolah Berprestasi Tinggi di Sekolah Kebangsaan
Ibrahim, 08000 Sungai Petani, Kedah. Sekolah Kebangsaan Ibrahim yang telah
ditubuhkan pada 1919 dan semenjak itu, pelbagai pencapaian dan kejayaan telah diraih
oleh para guru, murid dan staf sekolah. Berikut merupakan tentatif program Lawatan
Penanda Aras (Bench Marking) di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.
TENTATIF PROGRAM LAWATAN PENANDA ARAS SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI
TARIKH MASA BUTIRAN
Ahad7 September 2014
8.00 pagi Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani Kedah.
8.30 pagi Ucapan alu-aluan oleh penguerusi majlis.
Ucapan Selamat Datang oleh En. Khairul Annuar b. Kassim Penolong Kanan Pentadbiran.
Ucapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Tuan Haji Rusli b. Md. Tahir.
Ucapan Wakil Pelajar PPG, En. Khairulnizam b. Abd Aziz
9.00 pagi Sesi soal jawab.10.00 pagi Lawatan ke bilik-bilik khas, Pusat Sumber
Sekolah dan kantin sekolah.12.30 tengah hari Jamuan makan tengah hari dan penyampaian
cenderahati .
Bertolak balik.
STRATEGI PELAKSANAAN
1.0 SEBELUM PROGRAM LAWATAN
Perjalanan Program Bina Insan Guru Fasa 4 bermula pada 16 Ogos 2014
apabila semua pelajar Program Pensiswazahan Guru Institut Pendidikan Guru Kampus
Sultan Abdul Halim, Sungai Petani telah dipanggil untuk satu taklimat mengenai
Program Bina Insan Guru Fasa 4 pada jam 2.00 petang bertempat di Dewan Muhsyi,
IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Kami telah diberikan satu taklimat mengenai
perjalanan Program Bina Insan Guru untuk semester ini. Taklimat telah disampaikan
oleh pensyarah-pensyarah dari Unit Kokurikulum, IPG Kampus Sultan Abdul Halim.
Sebelum program ini dilaksanakan kumpulan kami telah mengadakan mesyuarat
pada 23 Ogos 2014, untuk memilih ahli jawatankuasa dan menentukan tempat yang
hendak dituju. Setelah melantik ahli jawatankuasa kerja untuk Program Bina Insan Guru
Fasa 4 akhirnya kami sebulat suara bersepakat dan bersetuju untuk mengadakan
Lawatan Penanda Aras Sekolah Berprestasi Tinggi ke Sekolah Kebangsaan Ibrahim,
Sungai Petani, Kedah. Melalui tugasan kali ini, kerja-kerja dan tanggungjawab sebagai
setiausaha telah diserahkan kepada saya dan saya akui amat berat, namun ia banyak
mendedahkan saya dengan tugasan yang melibatkan pengurusan serta perancangan di
mana perkara-perkara seperti ini sendiri amat ditekankan dalam program Bina Insan
Guru Fasa 4. Saya bersama pengerusi program En. Khairulnizam b. Abd Aziz turut
melakukan perbincangan dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ibrahim pada 24
Ogos 2014 bagi menyatakan hasrat kami untuk melaksanakan program Bina Insan
Guru di Sekolah Kebangsaan Ibrahim dan persetujuan telah diperolehi iaitu tarikh
lawatan tersebut ialah pada 7 September 2014.
Jawatankuasa kerja yang telah dilantik (rujuk lampiran ii - Jawatankuasa BIG
Fasa 4/2014) telah menjalankan tugas masing-masing. Kertas kerja dan semua surat-
menyurat kepada pihak yang terlibat telah diuruskan dengan jayanya. Kami amat
bersyukur walaupun sibuk dengan tugas sebagai pendidik, segala persiapan bagi
menjayakan program lawatan penanda aras ini berjalan dengan lancar.
2.0 SEMASA PROGRAM LAWATAN
Pada 7 September 2014 (Ahad) saya dan rakan-rakan memulakan perjalanan
Program Bina Insan Guru Fasa 4 dengan penuh iltizam dan keazaman. Saya dan
rakan-rakan telah bertolak ke Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani Kedah pada
jam 7.30 pagi. Perjalanan ke sekolah tersebut mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Rombongan kami telah disambut dengan baik oleh pihak sekolah. Kami telah dibawa ke
bilik mesyuarat untuk sesi suai kenal. Sesi suai kenal dan ucapan alu-aluan telah
dipengerusikan oleh En. Amir Abdul Samad selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar
diikuti ucapan selamat datang oleh Enci Khairul Annuar b. Kassim iaitu Penolong Kanan
Pentadbiran.
Selepas itu kami berpeluang mendengar pula ucapan Tuan Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Ibrahim iaitu Tuan Haji Rusli b. Md. Tahir. Dalam ucapan itu, beliau
mengatakan bahawa lawatan ini lebih bersifat perkongsian ilmu iaitu berkongsi
kekuatan dan kelemahan. Setiap kekuatan itu hendaklah digunapakai mengikut
kesesuaian dan setiap kelemahan pula hendaklah dijadikan panduan dan dibuat
penambahbaikan.
Setelah itu pengerusi majlis telah menjemput wakil peserta program Bina Insan
Guru iaitu En. Khairulnizam b. Abd. Aziz untuk memberi ucapan. Dalam ucapan itu,
beliau mewakili semua peserta program Bina Insan Guru, Institut Pendidikan Guru
Kampus Sultan Abdul Halim mengucapkan ribuan terima kasih di atas sambutan yang
diberikan kepada rombongan kami. Semoga lawatan ini akan dapat memberi
pengalaman dan menambahkan pengetahuan para peserta program Bina Insan Guru.
Sesi suai kenal ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua pihak.
Saya dan rakan-rakan telah merancangkan tiga sesi sepanjang lawatan di
sekolah tersebut. Pada sesi pertama dan sesi kedua yang dijalankan di bilik
mesyuarat, sesi yang dijalankan lebih berbentuk taklimat penerangan daripada pihak
sekolah iaitu tentang aspek-aspek kepimpinan, pengurusan sekolah yang meliputi visi
dan misi sekolah serta cara sistematik yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sehingga
mendapat pengiktirafan yang tertinggi dalam pencapaian sesebuah sekolah setakat ini.
Selain itu, penerangan tentang iklim serta budaya sekolah turut menjadi isi penerangan
daripada pihak sekolah. Setelah mendengar penerangan daripada pihak guru rakan
sekolah maka sesi kami disusuli dengan sesi bersoal jawab di antara pihak pelajar
Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim dengan pihak sekolah.
Semasa saya dan rakan-rakan berada di Sekolah Kebangsaan Ibrahim ini, Kami
juga berpeluang melihat sesi pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh
guru matapelajaran Sains, Puan Noor Razifah bt. Zakari.
Akhir sekali saya dan rakan-rakan akhiri lawatan ini dengan sesi melawat sekitar
kawasan sekolah. Antara kawasan yang dilawati ialah Pusat Sumber Sekolah, bilik
Pendidikan Seni Visual, bilik Kemahiran Hidup, bilik tayangan, kawasan kantin dan Pra
Sekolah. Kami semua begitu kagum dengan suasana sekolah yang begitu menarik,
tersusun, cantik dan bersih. Terdapat pelbagai sudut pengajaran dan pembelajaran
yang dapat menarik minat pelajar untuk memperolehi ilmu yang berguna. Rombongan
kami juga dihidangkan dengan sedikit jamuan makan tengah hari. Saya dan rakan-
rakan bertolak pulang pada pukul 1.00 tengah hari.
3.0 SELEPAS PROGRAM LAWATAN
Setelah selesai program lawatan, saya bersama rakan-rakan berkumpul di
kediaman En. Khairulnizam b. Abd Aziz untuk berbincang mengenai penyusunan
tugasan laporan Bina Insan Guru. En. Khairulnizam b. Abd. Aziz telah memberikan
taklimat ringkas mengenai maklumat-maklumat untuk laporan Bina Insan Guru. Segala
maklumat terkini mengenai bahan-bahan untuk tugasan ini akan dihantar melalui email
masing-masing oleh En. Khairulnizam b. Abd. Aziz Dokumentasi tentang 3 program
Bina Insan Guru Fasa 4 bagi 2014 iaitu Program Lawatan Penanda Aras Sekolah
Berprestasi Tinggi, Lawatan Penanda Aras Pensyarah Cemerlang dan Latihan Dalam
Perkhidmatan (LADAP) yang telah dilaksanakan ini perlu diselaraskan. Beliau juga
menegaskan bahawa laporan BIG yang lengkap mestilah dihantar 23 September 2014
(dokumentasi program rujuk pada lampiran iv).