objektif pend seni sek men
TRANSCRIPT
TAJUK: PERSEPSI GURU SENI TERHADAP PERLAKSANAAN OBJEKTIF
PENDIDIKAN SENI VISUAL SEKOLAH MENENGAH DI KAWASAN
MERLIMAU, MELAKA.
1. Pengenalan
Objektif kurikulum ditentukan dengan berdasarkan kepada beberapa kriteria yang
dikira dapat mewujudkan suatu kurikulum yang bermanfaat kepada pelajar. Antara kriteria-
kriteria yang digunakan untuk menentukan kurikulum sekolah ialah matlamat individu,
masyarakat, dunia dan sarwajagat.
Objektif sesuatu kurikulum digubal berdasarkan matlamat kurikulum, dan matlamat
kurikulum pula telah disediakan berdasarkan tujuan. Maka tujuan, matlamat dan seterusnya
objektif saling berhubungkait dan perlu difahami oleh pendidik dengan jelas sebelum
merancang sesuatu pengajaran.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual (KBSM) telah dirancang
dengan teratur, kemas dan berubah mengikut keperluan semasa atas usaha Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Negara. Sukatan Pelajaran Pendidikan
Seni Visual ini mengandungi Matlamat, Objektif, Organisasi Kurikulum dan Kandungan.
(Rujuk Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Pendidikan Seni Visual,
2000).
2. Latar belakang masalah
Keberkesanan pengajaran dan pembelajran boleh ditingkatkan sekiranya guru dapat
memahami kemampuan dan persepsi diri terhadap objektif yang terkandung dalam sukatan
pelajaran. Maklumat yang diperolehi boleh digunakan untuk memperbaiki pengajaran diri
dan seterusnya berjaya mencapai hasrat negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang
tahun 2020.
Angelo dan Cross (1993) menyatakan bahawa terdapat pelbagai kaedah yang boleh
digunakan oleh penyelidik untuk mendapatkan maklumat dari subjek kajian. Antara kaedah
yang boleh digunakan untuk memperolehi maklum balas ialah temu bual, soal selidik dan
pemerhatian. Dalam kajian ini penyelidik telah menggubah satu set soal selidik berdasarkan
sukatan pelajaran pendidikan seni visual untuk mengukur domain persepsi guru seni terhadap
objektif pendidikan seni visual sekolah menengah. Selain daripada itu, kaedah temu bual dan
pemerhatian turut digunakan untuk mendapat maklumat yang lebih kukuh dan tepat.
3. Pernyataan Masalah
1. Apakah persepsi guru-guru seni terhadap kefahaman objektif Pendidikan Seni Visual?
2. Sejauh manakah objektif Pendidikan Seni Visual dilaksanakan semasa P&P?
3. Adakah pencapaian akedemik, pengalaman mengajar dan kekerapan menghadiri
kursus seni mempengaruhi kefahaman objektif?
4. Bagaimana sesuatu objektif boleh menjelaskan matlamat dalam membentuk insan
yang seimbang dan harmonis dari segi JERI?
4. Hipotesis kajian
1. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kefahaman objektif dengan
pencapaian akademik guru seni.
2. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kefahaman objektif dengan
pengalaman mengajar dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
3. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kefahaman objektif dengan
kekerapan menghadiri kursus seni.
5. Kepentingan kajian
Kajian yang dijalankan ini sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pelaksanaan
objektif Pendidikan Seni Visual di sekolah-sekolah kawasan Merlimau. Dapatan kajian dapat
memberi makluman kepada Kementerian Pendidikan dan pentadbiran sekolah menilai tahap
perlaksanaan objektif di sekolah supaya tindakan susulan boleh diadakan.
6. Skop kajian
Merlimau merupakan kawasan yang terletak di bahagian selatan negeri Melaka. Di
sini terdapat empat buah sekolah menengah kebangsaan iaitu SMK Seri Makota, SMK Dang
Anum, SMK Dato Abdul Rahman Yakub dan SMK Sungai Rambai. Jumlah bilangan guru
yang mengajar mata pelajaran seni visual adalah 15 orang iaitu 11 (73.3%) orang guru lelaki
dan 4 (26.7%) orang guru perempuan. Kesemua guru adalah berbangsa Melayu. Pencapaian
akademik bagi sampel guru dapat dikategorikan kepada 2 kumpulan iaitu Diploma 6 (40%)
orang dan Sarjana Muda 9 (60%) orang. Pengalaman mengajar guru seni di kawasan
Merlimau adalah berbeza-beza iaitu kurang dari 2 tahun 3 (20%) orang, 2-5 tahun 3 (20%)
orang, 6 – 10 tahun 1 (6.7%) orang, manakala pengalaman mengajar lebih dari 10 tahun 8
(53.3%) orang. (Rujuk lampiran 3)
7. Definisi Istilah
7.1 Objektif
Objektif ialah perkara-perkara yang jelas tentang tingkah laku yang dapat dibuat oleh
murid-murid untuk menunjukkan sesuatu yang telah dapat dipelajari. Ia merupakan hasil
pengajaran yang dijangkakan dan bukan prosesnya. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1989)
dalam bukunya yang bertajuk Pedagogi 3 telah menerangkan bahawa objektif mengandungi
tiga unsur yang penting. Pertama, ia menekankan perlakuan yang dikehendaki daripada
murid-murid sebelum berakhirnya pelajaran. Kedua, syarat-syarat yang diperlukan bagi
perlakuan itu dan ketiga, peringkat pencapaian minimum yang harus diperolehi.
7.2 Perbezaan di antara Tujuan, Matlamat, Objektif
Menurut I.K. Davies (1976) dalam Objectives in Curriculum Design, definisi
‘Tujuan’ ialah “kenyataan am yang cuba memberi bentuk dan arahan kepada kehendak-
kehendak yang lebih terperinci pada masa akan datang… Tujuan adalah titik permulaan. Ia
merupakan satu idea, suatu cita-cita, dan suatu arah untuk dituju.”
Dalam pendidikan, perkataan ‘matlamat’ kadang-kadang disamakan dengan objektif
am. Jika perkataan tujuan di atas ialah tujuk arah, perkataan matlamat pula akan memberi
penerangan mengenai arah itu. Oleh kerana tujuan merupakan satu idea, maka matlamat
merupakan pecahan-pecahan mengenai idea itu. Menurut C.D. Cavert (1974) dalam An
Approach to the Design of Mediated Instruction, definisi ‘matlamat’ ialah “matlamat ialah
kategori dan peringkat am tingkah laku yang telah dipelajari dalam satu bahagian
pembelajaran. Objektif ialah penyataan spesifik mengenai gerak balas (response) penuntut
(iaitu tingkalaku) yang telah dirancangkan. Matlamat memberi pemerian tentang tingkah laku
penuntut secara am.” Dengan itu, matlamat ialah peringkat am tingkahlaku, manakala
objektif ialah peringkat khusus tingkah laku. Objektif ialah satu kenyataan berkenaan dengan
apa yang boleh dilakukan oleh murid-murid hasil daripada pengajaran dan pembelajaran. Ia
boleh dikategorikan ke dalam beberapa jenis antaranya ialah implisit, eksplisit, tingkah laku
dan ekspresif.
Apabila seseorang guru membuat keputusan untuk mengajar, dia perlulah
memutuskan beberapa isu penting. Guru berkenaan perlu memilih isi pelajaran yang
berkaitan, kaedah pengajaran yang sesuai dan prosedur penilaian yang berkaitan dengan
objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Apa yang dilakukan oleh guru adalah untuk
mencipta satu persekitaraan ,yang bertujuan untuk menghasilkan perubahan tingkah laku
yang diharapkan. Ini dilakukan melalui interaksi antara guru dengan murid secara individu
atau kumpulan, menggalakan interaksi sesama murid, atau menggalakan interaksi murid
dengan bahan pengajaran. Mengikut Krathwohl (1971), proses pendidikan bermakna
mengadakan satu siri persekitaran yang membolehkan murid untuk mempelajari tingkah laku
baru, memperbaiki atau menghapuskan tingkah laku semasa, dan melatih tingkah laku ini
hingga ke tahap dia berupaya mempamerkannya ke satu paras yang memuaskan di bawah
keadaan tertentu. Pernyataan objektif pengajaran merupakan satu perihalan tingkah laku, iaitu
pelajar diharap dapat mempamerkannya dengan agak tekal. Oleh sebab peranan objektif
pengajaran amat penting dalam proses pengajaran, perhatian serius perlulah diberikan.
7.3 Persepsi
Persepsi merupakan tanggapan seseorang tentang sesuatu perkara setelah orang itu
mengalami perkara yang dimaksudkan. Setelah membuat analisis sama ada secara spontan
atau sebaliknya, satu idea terbentuk di dalam pemikirannya tentang perkara berkenaan.
Persepsi tidak semestinya betul atau salah secara mutlak. Baird (1986) menganggap
perbezaan persepsi adalah sesuatu yang dijangkakan. Persepsi adalah satu proses kognitif
yang dilakukan oleh seorang individu untuk memberi makna kepada persekitarannya.
7.4 Guru
Page (1977) dalam International Dictionary of Dictionary of Education telah
mendefinisikan guru sebagai seseorang yang mengajar, terutamanya seseorang yang diupah
oleh sesebuah sekolah untuk mengajar. Good (1959) mentakrifkan guru sebagai seseorang
yang telah mengikuti kurikulum profesional di sesebuah institusi rasmi dengan tujuan unuk
membimbing, mengarah pengalaman pembelajaran pelajar dalam institusi pendidikan, sama
ada kerajaan ataupun swasta.
8. Matlamat dan objektif Pendidikan Seni Visual
Matlamat Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah adalah untuk membentuk
keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetik yang tinggi,
imaginatif, kritis, kreatif, inovatif. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid
meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran,
keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri,
keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat FPK.
Tokoh-tokoh Pendidikan Seni seperti Efland (1977) telah menghuraikan 3 komponen
utama yang dijadikan matlamat dan objektif Pendidikan Seni, iaitu yang melibatkan
perkembangan individu, warisan budaya dan seni dalam masyarakat. Mcfee (1961)
mengatakan objektif Pendidikan Seni untuk membentuk tingkah laku dan meningkatkan
kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Feldman (1972) mengariskan objektif Pendidikan
Seni sebagai mengenal dunia sekitar, belajar bahasa seni tampak, mengkaji kepelbagaian
bahasa seni tampak dan menguasai teknik-teknik pendidikan seni.
Kesemua objektif yang dikemukakan mempunyai perbezaan dan persamaan, namun
apa yang terpenting ialah ia dirancang berdasarkan matlamat dan berkeupayaan membentuk
generasi yang sejajar dengan hasrat pembangunan negara.
9. Kepentingan objektif dalam mata pelajaran pendidikan seni visual
Objektif penting dan berfaedah kepada pembinaan ujian sebagai panduan untuk
menentukan isi dan arah yang perlu ditekankan.
Objektif melewati kandungan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, ini bukan
bermakna kandungan tidak penting, tetapi sekadar kandungan tidak menjadi matlamat akhir.
Kandungan merupakan cara atau landasan untuk menulis objektif pengajaran. Berdasarkan
objektif yang ditulis, guru dapat merancang kaedah dan peralatan yang releven dan sesuai
untuk keperluan pelajar.
Popham (1969) mengemukakan pendapatnya tentang kepentingan kenyataan objektif
dalam pengajaran. Menurut beliau mutu pengajaran tidak akan meningkat tanpa penggunaan
objektif tingkah laku. Pendapat ini disokong oleh Mager (1971).
10. Objektif Pendidikan Seni dalam beberapa domain
Matlamat Kurikulum Pendidikan Seni Visual sejajar dengan kehendak FPK dalam
aspek interlek, emosi, jasmani dan rohani, maka sekurang-kurangnya terdapat empat jenis
objektif tingkah laku yang tertera dalam kesemua (sepuluh) objektif. Keempat jenis objektif
tingkah laku ialah Kognitif, Afektif, Psikomotor dan Rohaniah. Pendekatan ini juga
diperkenalkan sebagai pendekatan perkembangan menyeluruh. Menurut Keneeth M. Lansing
(1971), terdapat tiga domain utama dan menjadikan fokus dalam mata pelajaran seni visual
iaitu:
i. Domain Kognitif: Ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan
aplisiasi, estetika serta seni dalam kehidupan (dalam Iberahim Hassan 2001). B.S. Bloom
(1965) telah menemukakan taksonomi objektif kognitif yang merangkumi pengetahuan,
kefhaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Ia mementingkan perkembangan potensi
pelajar dari segi interlek. Mazlan Mohamad (1997) dalam bukunya yang bertajuk Pendidikan
Seni 2: Kurikulum Pendidikan Seni telah menerangkan buku Planning Art Education – in the
Middle/ secondary School of Ohio, yang dikeluarkan oleh State of Ohio Department of
Education 1977, mengambarkan hubungan antara tujuan, matlamat, objektif, pendekatan dan
aktiviti. Aras pencapaian objektif dipadukan daripada taksonomi domain kognitif, ia bukan
sahaja merupakan alat pengukur terhadap pencapaian pelajar tetapi boleh dijadikan sebagai
aras berbicara.
ii. Domain Afektif: Suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat,
keperihatinan, pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. (dalam
Iberahim Hassan 2001). Manakala D. R. Krathwohl (1965) mengatakan domain ini
mementingkan perkembangan emosi dan perasaan.
iii. Domain Psikomator: Memupuk kepada pertumbuhan kemahiran dalam
pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata, tangan , otot dan mental. (dalam
Iberahim Hassan 2001). Objektif ini dikemukakan oleh Simpson (Kapfer, 1965) ia
mementingkan perkembangan dan memelihara kecergasan diri, bersedia menjalankan amalan
menggunakan masa lapang secara berfaedah, memperolehi kemahiran-kemahiran asas praktik
dalam kehidupan seharian; dan mempunyai asas kemahiran vokasional.
iv. Domain Rohaniah: Turut diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah yang bermatlamat memperkukuhkan kepercayaan beragama; memperkembangkan
keyakinan terhadap pencipta; peka kepada nilai dan norma masyarakat; dan membentuk
perlakuan dan peribadi yang berlandaskan nilai murni.
Maka kesemua objektif dalam Pendidikan Seni Visual di sekolah menengah dapat
dianalisa berdasarkan domein seperti berikut:
Objektif Domain1 Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan. Afektif
2 Memupuk budaya penyelidik dalam proses penghasilan karya seni visual.
Kognitif dan
Psikomator
3 Meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, displin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Kognitif dan
Psikomator
4 Menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk mereka cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti.
Kognitif
5 Membuat diskripsi, snalisis, interpretasi dan penilaian terhadap karya seni visual.
Kognitif
6 Mendapat nilai tambah dalam displin sains, teknologi dan mata pelajaran lain.
Kognitif dan
Afektif
7 Menghargai sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh seni visual dalam konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan antarabangsa.
Afektif
8 Menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya. Afektif
9 Menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan kaitan dengan keselesaan hidup.
Afektif
10 Membina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa. Afektif
11. Rekabentuk kajian
Rekabentuk kajian ini bersifat kualitatif dan kuantitatif. Satu set soal selidik berbentuk
skala likert telah disediakan untuk mengumpul data. (rujuk lampiran 1) Jacobs dan Ary
(1990) , Mohd. Majid Konting (1990) berpendapat bahawa kebaikan menggunakan soal
selidik ialah ianya boleh melibatkan responden yang lebih ramai, sacara lebih luas dan
menyeluruh. (kajian ini walaupun hanya 15 responden, ia merupakan latihan penulisan ilmiah
bertujuan menambah pengetahuan dan pengalaman).
Temu bual digunakan sebagai alat pengumpulan data untuk memperoleh maklumat
tentang fakta, perasaan, kepercayaan dan lain-lin secara langsung. Seramai 5 orang guru
ditemu bual dalam kawasan Merlimau.
Selain daripada itu, kaedah pemerhatian turut diplaktiskan. Penyelidik dapat
mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah – pemboleh ubah yang
telah dikenal pasti.
Data-data yang diperoleh dianalisis menggunakan bantuan komputer. Program yang
digunakan ialah Statistical Package for the Social Science (SPSS). Subprogram yang
digunakan ialah ujian-t, ANOVA sehala, Pearson Correlation. Menurut Mohd Majid Konting
(1990) penganalisisan data berstatistik menggunakan perisisan pengaturcaraan SPSS dapat
menghasilkan pengiraan yang tepat dan bebas daripada ralat.
12. Dapatan kajian
Tinjauan terhadap persepsi sebahagian guru seni terhadap pemahaman objektif
kurikulum pendidikan seni visual
Berdasarkan data yang dikumpul didapati bahawa hampir kesemua sampel kajian iaitu
seramai 14 (93.3%) orang guru seni mengatakan bahawa mereka memahami objektif
pendidikan seni visual sekolah menengah dengan baik. Hanya seorang guru sahaja yang tidak
memahami objektif Pendidikan Seni Visual dengan sepenuhnya. (rujuk lampiran 3) Ini adalah
kemungkinan disebabkan kebanyakan subjek terdiri daripada guru yang berpengalaman dan
antaranya telah lama menjadi jurulatih utama. Walaupun terdapat subjek yang mempunyai
pengalaman mengajar yang kurang dari 2 tahun, tetapi mereka merupakan generasi muda
yang menerima ilmu pengetahuan yang kukuh dari universiti pendidikan seperti UPSI. UPSI
telah mendidik dan memberi konsep baru dalam beberapa pendekatan yang dikenalpasti
sesuai dengan suasana pendidikan di negara kita antaranya DBAE yang ditaja oleh Yayasan
Getty, Model Efland, Lansing dan lain-lain.
Kaedah pemerhatian terhadap pelaksanaan objektif pendidikan seni semasa
pengajaran dan pembelajaran
Dengan izin pihak pentadbir sekolah dan bantuan pengetua sekolah lain di kawasan
Merlimau, penyelidik telah berpeluang memerhati beberapa orang guru seni menjalankan
aktiviti P&P. Pengkaji telah memilih objektif 2 iaitu memupuk budaya penyelidik dalam
proses penghasilan karya seni sebagai dasar menentukan pelaksanaan objektif dalam P&P.
Dapatan data ialah kelima-lima orang guru seni telah mengamalkan objektif ini dalam P&P,
sebagai contoh 1: Dalam mengajar unsur-unsur seni seperti garisan: Pelajar diminta mengkaji
dan menyelidik garisan yang terdapat di sekeliling bilik darjah dan mengkaji fungsi setiap
jenis garisan dalam masa 160 minit. Contoh 2: Dalam unit catan: Pelajar diminta
bandingbezakan antara 2 jenis catan yang berlainan teknik, menyelidik aliran kedua catan
tersebut, pelajar terpaksa membuat rujukan perpustakaan untuk mengumpul maklumat dan
seterusnya membuat laporan. Pendekatan pengumpulan dan penyusunan data-data membantu
pelajar membuat penyelidikan secara saintifik mengenai seni. Pelajar dilatih secara ilmiah
supaya dapat mengenali ciri-ciri teperinci bagi sesuatu aliran seni. Walaupun guru seni
tersebut telah mengambil masa 2 minggu untuk mengajar sebahagian kecil dalam unit catan
tetapi hasilnya amat memerangsangkan. Menurut Tuckman (1978), penyelidikan ialah suatu
usaha yang sistematik untuk mendapat jawapan kepada sesuatu masalah. Ia bertujuan untuk
mencari kebenaran dan menambah ilmu pengetahuan. Walaupun keesahan dan
kebolehpercayaan kaedah ini rendah tetapi rumusannya ialah tidak 100% objektif yang
dilaksanakan merujuk kepada matlamat FPK tetapi sebahagian objektif pasti dilaksanakan
oleh guru seni yang berpengalaman.
Hubungan antara pencapaian akedemik, kekerapan menghadiri kursus seni dan
pengalaman mengajar dengan kebolehan memahami objektif
Bagi menjawab hipotesis 1 iaitu: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara
kefahaman objektif dengan pencapaian akademik guru seni. Penyelidik telah menggunakan
analisis ujian t program SPSS. Ujian t menunjukkan t (13) = -.806, p = 0.435 adalah tidak
signifikan. Hipotesis nol diterima. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap
pencapaian akademik dengan kefahaman objektif. (rujuk jadual 1)
Jadual 1T-Test
Group Statisticspencapaian akademik
N Mean Std. Deviation
Std. Error Mean
OBJEKTIFDiploma 6 10.0000 .0000 .0000
Sarjana Muda
9 10.8889 2.6667 .8889
Independent Samples TestLevene's Test for
Equality of Variances
t-test for Equality of Means
F Sig. t df Sig. (2-tailed)
OBJEKTIFEqual
variances assumed
3.396 .088 -.806 13 .435
Equal variances
not assumed
-1.000 8.000 .347
Bagi menjawab hipotesis 2 iaitu: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara
kefahaman objektif dengan kekerapan menghadiri kursus seni. Ujian ANOVA sehala
menunjukkan nilai F (2 , 12) = 0.72, p = .507 , adalah tidak signifekan. Hipotesis nol
diterima. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap kefahaman objektif antara
kekerapan menghadiri kursus seni. Ini kemungkinan disebabkan guru yang tidak menghadiri
kursus dapat ‘inhouse traning’ dari guru yang telah menghadiri kursus. (rujuk lampiran 2)
Jadual 2Oneway ANOVA
OBJEKTIF Sum of
Squaresdf Mean
SquareF Sig.
Between Groups
6.400 2 3.200 .720 .507
Within 53.333 12 4.444
GroupsTotal 59.733 14
Post Hoc TestMultiple ComparisonsDependent Variable: OBJEKTIF Tukey HSD
Mean Difference
(I-J)
Std. Error
Sig. 95% Confidence
Interval(I) kekerapan kursus(J) kekerapan
kursusLower Bound
Upper Bound
tak pernah2 - 4 kali setahun
.0000 1.4142 1.000 -3.7729 3.7729
5 - 8 kali setahun
-1.3333 1.2766 .564 -4.7391 2.0724
2 – 4 kali setahun
tak pernah .0000 1.4142 1.000 -3.7729 3.7729
5 - 8 kali setahun
-1.3333 1.3608 .603 -4.9639 2.2972
5 – 8 kali setahun
tak pernah 1.3333 1.2766 .564 -2.0724 4.7391
2 - 4 kali setahun
1.3333 1.3608 .603 -2.2972 4.9639
Bagi menjawab hipotesis 3 iaitu: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara
kefahaman objektif dengan pengalaman mengajar dalam mata pelajaran Pendidikan Seni
Visual. Ujian kolerasi menunjukkan r = 0.23 , p = 0.408 adalah tidak signifikan. Tidak
terdapat hubungan yang signifikan antara kefahaman objektif (min = 10.53 , sd = 2.06)
dengan pengalaman mengajar (min = 2.93 , sd = 1.27). nilai pekali kolerasi yang ditunjukkan
adalah sangat rendah.(rujuk jadual 3)
Jadual 3Kolerasi
Descriptive StatisticsMean Std. DeviationN
OBJEKTIF10.5333 2.0656 15
Pengalaman mengajar
2.9333 1.2799 15
CorrelationsOBJEKTIF pengalaman
mengajar
OBJEKTIFPearson
Correlation1.000 .231
Sig. (2-tailed) . .408
N 15 15
Pengalaman mengajar
Pearson Correlation
.231 1.000
Sig. (2-tailed) .408 .
N 15 15
Ujian kolerasi menunjukkan r = 0.23 , p = 0.408 adalah tidak signifikan. Tidak
terdapat hubungan yang signifikan antara kefahaman objektif (min = 10.53 , sd = 2.06)
dengan pengalaman mengajar (min = 2.93 , sd = 1.27). nilai pekali kolerasi yang ditunjukkan
adalah sangat rendah.
Dari dapatan data didapati bahawa 60% guru tidak dapat menyenaraikan kandungan
seni visual dengan tepat. Secara tidak langsung ia telah menyokong penulisan yang pernah
ditulis oleh Iberahim Hassan (2001) dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pendidikan Seni Di
Malaysia antara Harapan dengan Realiti telah mempersoalkan sejauh mana penguasaan ilmu
dikalangan kita (guru seni) yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran ini? Setelah
mengadakan temubual bersama tiga orang guru seni yang berpengalaman (pengalaman
mengajar seni lebih dari 10 tahun dan telah menjadi JU Seni lebih daripada 5 tahun), apa
yang mereka memberi penjelasan ialah walaupun guru seni tidak dapat menyenaraikan
kandungan dengan tepat tetapi apa yang mereka jelas ialah unit-unit yang terkandung dalam
setiap kandungan. Ini menunjukan bahawa guru seni lebih fokus kepada apa yang perlu
pelajar mempelajari dan guru seni kurang sensitif terhadap perubahan mata pelajaran seni
visual.
Selain daripada itu, dari dapatan data juga menunjukkan bahawa sebanyak 26.7 % (4
orang) guru seni merujuk sukatan setiap kali sebelum merancang P&P; 40% (6 orang) guru
merujuk seminggu sekali; 26.7% (4 orang) juga yang merujuk sebulan sekali dan hanya 6.7%
(1 orang) guru sahaja yang merujuk sukatan setahun sekali. Kekerapan merujuk sukatan
pelajaran akan membantu dan memastikan guru dapat merancang sesuatu pelajaran dengan
tepat.
13. Perbincangan dan cadangan
Keputusan kajian menunjukkan bahawa persepsi guru seni terhadap kefahaman
objektif seni visual adalah sangat baik. Namun, aktiviti yang dirancangkan oleh guru
bertujuan untuk mencapai objektif sesuatu topik / unit atau ia benar-benar dirancang untuk
mencapai objektif sukatan dan seterusnya mencapai matlamat mata pelajaran pendidikan seni
visual, masih perlu kajian selanjutnya.
Berdasarkan temubual yang telah dijalankan di beberapa buah sekolah menengah
kawasan Merlimau, beberapa cadangan telah diperolehi dalam usaha mempertingkatkan
kefahaman dan pelaksanaan kehendak objektif yang sebenarnya dalam penagajaran dan
pembelajaran antaranya;
1. Dalam satu minggu pelajar belajar seni visual hanya antara 160 - 240 minit. Dengan
masa yang terhad ini dan dengan perkembangan pengetahuan yang amat pesat, guru
harus memilih objektif pengajaran dengan sebaiknya. Objektif yang dipilih mestilah
objektif yang mengandungi isi, kemahiran, dan pengalaman yang dianggap terpenting
dan sesuai dengan peringkat pelajar.
2. Pendapat Ground (1970) mengenai 5 aspek memilih objektif pengajaran dengan baik
boleh dijadikan sebagai pandauan dan ingatan iaitu:
Adakah objektif itu menyatakan hasil pembelajaran yang sesuai dengan bidang
pelajaran seni visual?
Adakah objektif itu mengambarkan perkembangan yang logikal dengan bidang
seni visual?
Adakah kategori tatatingkat objektif itu sesuai dengan kebolehan pelajar?
Adakah objektif itu selaras dengan fsalsafah pendidikan?
Adakah objektif itu selari dengan keperluan masa depan pelajar dan masyarakat?
3. Bagi setiap sekolah seharusnya mempunyai bilik seni khas untuk menjalankan aktiviti
P&P. Ruang bilik seni tersebut perlu disusun dengan selesa dan sudut-sudut khas agar
dapat memberi inspirasi kepada pelajar apabila melakukan aktiviti penyelidikan.
4. Kursus seperti semakan semula perlu diadakan sekurang-kurangnya 2 kali dalam
sepenggal. Kursus ini bukan setakat kandungan mata pelajaran yang perlu disemak
tetapi juga pencapaian / pelaksanaan objektif turut dibincangkan agar pendidik benar-
benar faham kehendak matlamat Pendidikan Seni Visual dan seterusnya mencapai
kehendak FPK.
5. Pastikan guru seni yang mengajar berpandukan modul pengajaran yang disediakan
oleh Jabatan Pendidikan Melaka. Hasil modul pengajaran tersebut adalah atas usaha-
usaha jurulatih-jurulatih utama yang penuh pengalaman dan pengetahuan dalam
bidang seni.
6. Kaedah-kaedah pengajaran yang disyorkan oleh PPK seperti pembelajaran masteri,
pembelajaran kontekstual, kajian masa depan, penggunaan ICT dan lain-lain perlu
difahami dengan baik oleh setiap guru seni kerana jika kenyataan objektif ditulis
dengan jelas dan tepat tetapi kaedah / strategi penyampaian ilmu kurang baik, hasil
pembelajaran turut mengecewakan.
7. Guru seni perlu membuat bacaan awal agar dapat mendalami serta menghayati topik
yang akan disampaikan. P&P yang dijalankan dapat merangsang dan mencabar
intelek pelajar. Guru perlu jelas apa yang harus dipelajari oleh pelajar dalam topik
berkenaan.
8. Kunjungan dan lawatan ke galeri, studio-studio seniman, IPTA, IPTS dan pusat-pusat
kraftangan amat digalakkan. Ia bukan setakat memberi ilmu pengetahuan tetapi juga
dapat menyedari pelajar mengenai prospek kerjaya yang berkaitan dengan bidang
seni. Objektif pengajaran untuk satu unit akan berkembang dan menjurus ke arah
pembangunan negara.
Kesimpulan
Objektif Pendidikan Seni Visual yang ada sekarang lebih menyeluruh kepada domain
kognitif, afektif dan psikomotor jika dibandingkan sebelum ia disemak oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum. Sebelum tahun 2000, bilangan objektif yang ada dalam sukatan
pelajaran ialah 12. Menurut kajian yang telah dibuat oleh Iberahim Hassan (2000), objektif 1,
2, 3 dan 4 ialah domain kognitif, objektif empat sehingga dua belas ialah domain afektif.
Jelas dilihat domain psikomotor kurang difokuskan pada masa itu. Manakala sukatan baru
hanya terdapat sepuluh objektif sahaja. Antaranya objektif 2, 3, 4, 5 dan 6 boleh dikategori
dalam domain kognitif. Objektif 1, 7, 8 dan 9 adalah domain afektif. Objektif 2, 3 dan 4
adalah domain psikomotor. Objektif 10 dikategori sebagai domaian rohaniah.
Guru faham akan kesemua objektif dengan jelas tetapi belum pasti mereka menulis
kenyataan objektif rujuk kepada matlamat dan FPK. Walaupun terdapat guru yang sentiasa
melakukan unsur penyelidikan dalam P&P tetapi tidak semua objektif dapat dilaksanakan
kerana beberapa masalah yang wujud sebagai penghalang seperti kekangan masa, kekangan
peperiksaan, pentadbir dan juga kelemahan guru seni sendiri.
‘Pendidikan Seni Visual sebagai tunggak pendidikan’ hasrat sebegini oleh
kebanyakkan pencinta seni akan tercapai sekiranya pendidik seni memahami dan dapat
mentafsir dengan tepat hubungan antara FPK, matlamat, objektif, organisasi kurikulum dan
kandungan yang tercatat dalam Sukatan Pelajaran KBSM Pendidikan Seni Visual.
Bibliografi
Ahmed Ghazie Ibrahim. (2000). Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Seni Di Sekolah: Dulu, Kini Dan Masa Hadapan. Proseding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. Balai Seni Lukis Negara.
Edmund Burke Feldman. (1996) Philosophy of Art Education. New Jersey: Upper Saddle River.
Efland, Arthur (1977), Planing Art Education in the Middle/ secondary School of Ohio, Ohio, USA: State of Department of Education.
Gary W. Moore (1983). Developing and Evaluating Educational Research. Toronto: Little, Brown and Company.
Iberahim Hassan. (2000). Matlamat Dan Objektif Pendidikan Seni Visual Untuk Sekolah Menengah: Perlu Kajian Semula. Proseding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. Balai Seni Lukis Negara.
Iberahim Hassan. (2001). Pendidikan Seni Di Malaysia: Antara Harapan Dan Kenyataan dalam Seminar Pedagogi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim, UPSI.
Isahak Harun, Koh Boh Boon. Asas-asas Dalam Amalan Pedagogi. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Kamarudin Hj. Husin. (1989). Pedagogi 3. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.
Mazlan Mohamad. (1997). Pendidikan Seni 2: Kurikulum Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Md. Nasir Iberahim, Prof. Madya Iberahim Hassan. (2003). Pendidikan Seni Untuk Maktab & Universiti. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mohd. Majid Konting (1993). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mokhtar Ismail. (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Othman Mohamed. (2001). Penulisan Tesis Dalam Bidang Sains Sosial Terapan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Sidek Mohd Noah (2002). Reka Bentuk Penyelidikan : Falsafah, Teori dan Praktis. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Sulaiman Ngah razali. (1997). Pedagogi Teori dan Praktik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Walter R. Borg & Meredith Damien Gall (1983). Education Research An Introduction. New York & London: Longman.