pemahaman maqasid syariah melalui teori fath al-umkeprints.umk.edu.my/6661/1/pemahaman maqasid...
TRANSCRIPT
Pemahaman Maqasid Syariah Melalui Teori Fath al-
Zarai’e Dalam Menanggapi Beberapa Isu Fiqh Di
Malaysia
oleh
Wan Ji bin Wan Hussin
Tesis ini dikemukakan sebagai memenuhi syarat memperolehi ijazah
Sarjana Sastera
Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah
UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN
2016
i
PENGESAHAN TESIS
Saya dengan ini mengesahkan bahawa kerja yang terkandung dalam tesis ini adalah
hasil penyelidikan yang asli dan tidak pernah dikemukakan untuk ijazah tinggi
kepada mana-mana Universiti atau Institusi.
TERBUKA Saya bersetuju bahawa tesis boleh didapati sebagai naskah
keras atau akses terbuka dalam talian (teks penuh)
SEKATAN Saya bersetuju bahwa tesis boleh didapati sebagai naskah
keras atau akses terbuka dalam talian (teks penuh) bagi
tempoh yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pengajian
Siswazah
Dari tarikh hingga
SULIT (Mengandungi maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi
1972)*
TERHAD (Mengandungi maklumat terhad yang ditetapkan oleh
organisasi di mana penyelidikan dijalankan)*
Saya mengakui bahawa Universiti Malaysia Kelantan mempunyai hak berikut.
1. Tesis adalah hak milik Universiti Malaysia Kelantan.
2. Perpustakaan Universiti Malaysia Kelantan mempunyai hak untuk membuat
salinan untuk tujuan pengajian sahaja.
3. Perpustakaan dibenarkan membuat Salinan tesis ini sebagai bahan pertukaran
antara institusi pengajian.
TANDATANGAN TANDATANGAN PENYELIA
No KP: 820112-03-5157 DR NIK YUSRI MUSA
Tarikh: 17 Ogos 2016 Tarikh:
ii
PENGHARGAAN
هلل دمحلا ن يذلا نه انك امو ,ذاهل اهدا ل و يدت ل ل ن ان ا ال اهدا هل لوا , صا م و ةل ل سا ل ي ا عل س الور ن مكلا ي ر هلا يلوع ,
به صح و ين ع جم ما : أ عد أ ب
Syukur kepada Tuhan yang memberikan rahmat dan kasih sayangNya menjadikan
kajian ini berjalan dengan lancar. Selawat dan salam terhadap junjungan mulia,
Rasulullah saw, ahli keluarga dan sahabat baginda saw yang diredhai oleh Allah swt.
Penghargaan kepada isteri, Puan Salmizatulakma binti Mohd Salleh dan anak-
anak tersayang, Wan Khaulah Faqihah, Wan Aisyah Faqihah, Wan Ammirah Faqihah
dan Wan Abdullah Azzam; tidak lupa terhadap ibu dan bapa tercinta, Tuan Haji Wan
Hussin bin Wan Hassan dan Puan Salmah binti Zakaria yang tidak pernah mengeluh
dengan keterbatasan penulis bersama keluarga dalam usaha menyiapkan kajian ini.
Penghargaan tidak terhingga buat Dr Nik Yusri bin Musa sebagai penyelia utama
yang tidak jemu melayan kerenah penulis dalam menyiapkan kajian ini. Penghargaan
juga diberikan kepada pemeriksa luar dan dalam, Dr Wan Zulkifli bin Wan Hassan
dan Dr Mohd Zain bin Mubarak di atas komen-komen dan tunjuk ajar yang diberikan.
Terima kasih juga kepada Fadzlul Rahimi Ahmad Bustami, Saiful Amri, Wan Fakeru
Firdaus, Hazwan Husin dan lain-lain kerana turut sama membantu penulis. Semua
usaha itu semoga dibalas dengan ganjaran yang setimpal di sisi Allah swt.
Moga-moga kajian ini dapat dimanfaatkan dalam mencapai bekalan akhirat
kelak. Amin, Ya Rab al-‘Alamin.
iii
ISI KANDUNGAN
MUKA SURAT
PENGESAHAN TESIS i
PENGHARGAAN ii
ISI KANDUNGAN iii
ABSTRAK vii
ABSTRACT viii
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Permasalahan Kajian 3
1.3 Persoalan Kajian 5
1.4 Objektif Kajian 5
1.5 Kepentingan Kajian 6
1.6 Skop Kajian 6
1.7 Kajian Lepas 7
1.8 Huraian Tajuk 8
1.9 Metodologi Kajian 10
1.9.1 Pengumpulan Data dan Fakta 10
1.9.2 Analisis Fakta 14
1.10 Sistematik Kajian 17
1.11 Jangkaan Hasil 19
BAB 2 PENGENALAN MAQASID SYARIAH
2.1 Pengenalan 20
2.2 Definisi Maqasid Syariah 21
2.3 Perkembangan Ilmu Maqasid Syariah 24
2.4 Sumber Maqasid Syariah 34
2.4.1 Dalil al-Quran dan al-sunnah yang jelas 35
2.4.2 Mengetahui maqasid melalui dalil tersirat 42
iv
2.4.3 Mengetahui maqasid melalui istiqra’ atau induktif terhadap
kebanyakan urusan syariah
44
2.4.4 Melihat pemahaman sahabat terhadap Al-Quran dan al-Sunnah 56
2.5 Pembahagian Maqasid Syariah 61
2.5.1 Maqasid Umum 61
2.5.2 Maqasid Khusus 63
2.5.3 Maqasid Juz’I 64
2.5.4 Maqasid Kulli 65
2.6 Maslahah dan mafsadah 67
2.6.1 Peranan Akal 72
2.6.2 Tidak Berasaskan Hawa Nafsu 76
2.6.3 Sangkaan (zan) yang kuat 78
2.6.4 Sokongan atau Qarinah 87
2.6.5 Bawah penjagaan kulliyat yang lima 89
2.6.6 Tidak Menyalahi Qatie Dilalah 96
2.6.7 Tidak Bercanggah dengan Qiyas 99
2.6.8 Tidak Sampai Terluput Maslahah Yang Lebih Besar 101
2.7 Fiqh Muwazanat 105
2.7.1 Darjat 106
2.7.2 Kadar 109
2.7.3 Keluasan 112
2.7.4 Masa 114
2.7.5 Jangkaan hati 115
2.7.6 Jenis 116
2.8 Kesimpulan 123
BAB 3 PENGAMALAN TEORI FATH AL-ZARAI’E
3.1 Pengenalan 126
3.2 Definisi Fath al-Zarai’e 127
3.3 Dalil-dalil Fath al-Zarai’e 132
3.3.1 Melihat tunang 132
v
3.3.2 Kisah Nabi Yusuf dan abang-abangnya 135
3.3.3 Keizinan berbohong 135
3.3.4 Keizinan menyebut kalimah kufur 137
3.3.5 Kaedah Fiqh 139
3.3.6 Fiqh Muwazanat 141
3.4 Perbahasan tentang al-Zarai’e 143
3.4.1 Pengamalan al-Zarai’e 143
3.4.2 Skop al-Zarai’e 154
3.5 Pandangan Ulama Terhadap Pengamalan Fath Al-Zarai’e 166
3.6 Perkaitan Fath al-Zarai’e 168
3.6.1 Ijtihad Tanzili atau Ijtihad Adaptasi 169
3.6.2 Al-Manat atau tambahan hukum 172
3.6.3 Wasail atau wahana 179
3.6.4 Maalat atau implikasi 184
3.6.5 Tadarruj atau bertahap-tahap 190
3.6.6 Perkaitan masa, tempat dan situasi 194
3.7 Perbezaan Antara Fath Al-Zarai’e Dengan Sad Al-Zarai’e 200
3.8 Dhawabit Teori Fath Al-Zarai’e 203
3.8.1 Tercapai maslahah secara pasti 204
3.8.2 Tidak sampai mendatangkan mafsadah yang lebih besar 205
3.8.3 Mafsadah yang boleh diatasi tidak boleh dihalang 206
3.8.4 Meletakkan syarat-syarat yang ketat 207
3.8.5 Perlu dilihat pada implikasi di samping niat juga perlu baik 207
3.8.6 Tidak digunakan untuk menghalalkan yang haram 208
3.9 Kesimpulan 210
BAB 4 APLIKASI TEORI FATH AL-ZARAI’E DENGAN ISU FIQH
DI MALAYSIA
4.1 Pendahuluan 213
4.2 Non Muslim Menjadi Pemimpin 213
4.2.1 Definisi politik 215
vi
4.2.2 Pendapat mengharamkan non Muslim sebagai pemimpin 219
4.2.3 Prinsip perlembagaan dan Malaysia 223
4.2.4 Pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin menurut
teori Fath al-Zarai’e 223
4.2.5 Syarat-syarat 235
4.3 Penglibatan Muslim Bekerja Di Kilang Arak 243
4.3.1 Hukum arak 244
4.3.2 Hukum bekerja di kilang arak serta syarat-syaratnya 246
4.4 Penglibatan Pendakwah Di Gereja 249
4.4.1 Muslim masuk gereja 250
4.4.2 Aplikasi teori Fath al-Zarai’e dan syarat-syaratnya 256
4.5 Perlantikan Perempuan Sebagai Hakim Syarie 258
4.5.1 Pendapat ulama yang melarang 260
4.5.2 Hakim perempuan dengan teori Fath al-Zarai’e 265
4.6 Ucapan Tahniah Dengan Perayaan Agama Lain 270
4.6.1 Pendapat yang melarang 270
4.6.2 Aplikasi Teori Fath al-Zarai’e 275
4.6.3 Pandangan semasa 277
4.7 Kesimpulan 284
BAB 5 RUMUSAN DAN CADANGAN
5.1 Pendahuluan 285
5.2 Rumusan Kajian 285
5.3 Cadangan 288
RUJUKAN 290
vii
Pemahaman Maqasid Syariah Melalui Teori Fath al-Zarai’e Dalam Menanggapi
Beberapa Isu Fiqh Di Malaysia
ABSTRAK
Kajian ini meneliti teori Fath al-Zarai’e yang merupakan salah satu kaedah
dalam disiplin Maqasid Syariah. Ia bertujuan untuk mengkaji asas-asas utama disiplin
ilmu maqasid syariah dan merungkai teori Fath al-Zarai’e sebagai kaedah
penyelesaian isu-isu semasa yang sering menjadi polemik di dalam konteks
Malaysia. Kajian ini berbentuk kepustakaan dan data dianalisis menggunakan metod
induktif dan komperatif. Dapatan kajian ini menonjolkan disiplin maqasid syariah
melalui teori Fath al-Zarai’e sebagai salah satu kaedah yang signifikan dalam
menawarkan penyelesaian yang membawa implikasi rahmat kepada isu-isu yang
berkaitan dengan sikap beragama dalam masyarakat. Kajian ini boleh menjadi
panduan dalam pembinaan hukum-hukum agama yang seharusnya dilihat secara
holistik dan komprehensif berdasarkan prinsip tercapainya maslahah kepada manusia.
viii
Understanding Maqasid Syariah According to The Theory of Fath al-Zarai’e in
Perceiving Several Fiqh Issues in Malaysia
ABSTRACT
This study focuses on the theory of Fath al-Zarai’e, which is one of the main
principles of Maqasid Syariah. It’s objective is to examine the fundamentals of
maqasid syariah and elaborate the theory of Fath al-Zarai’e as an alternative solution
for some polemical issues in the context of Malaysia. This study employs library
research method and the data was analysed through inductive and comparative
approaches. This study found that the principle of maqasid syariah through the theory
of Fath al-Zarai’e could be considered as a significant principle in offering solution
with considerate implication to issues related to religious attitudes among the public.
This study could offer a direction in regulating religious rulings that should be
contemplated holistically and comprehensively according to the principle of maslahah
for the mankind.
1
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1. Pengenalan
Syariah diturunkan oleh Allah SWT untuk memberi kebaikan kepada
manusia, sama ada secara segera ataupun bertangguh. Memberi kebaikan itu
kembali kepada lima tujuan asas penjagaan; iaitu penjagaan agama, nyawa,
akal, keturunan dan harta benda1. Ekoran itu, perbincangan maqasid al-
syariah semakin berkembang dalam dunia keilmuan dewasa ini. Dalam dunia
Islam sendiri, wacana tentang maqasid agak hebat dan semakin mendapat
perhatian para ilmuan Islam, demikian juga di dunia barat.
Perbincangan tentang maqasid al-syariah semakin menarik minat para
sarjana, khususnya dalam kalangan sarjana Islam yang berada di dalam dunia
pendidikan negara barat. Ini dapat dilihat dengan penulisan buku dan wacana-
wacana yang melibatkan tokoh-tokoh muslim di sana, seperti Dr Tariq
Ramadan dalam tulisan beliau berjudul Radical Reform: Islamic Ethics And
1 Maksud dengan maqasid yang berbentuk kulliyyah adalah penjagaan segala rangkuman syariah, iaitu ia terangkum terhadap
lima perkara utama yang merupakan roh bagi syariah, iaitu penjagaan terhadap agama, nyawa, keturunan, akal dan harta1. Dr
Said Ramadan al-Buti berkata, ”Setiap perkara yang terkandung penjagaan usul yang lima ini, maka ia adalah kemaslahah.
Setiap perkara yang boleh meluputkan perkara ini atau sebahagiannya, maka ia adalah kerosakan.” (Al-Buti, Muhammad Said Ramadan, Dhawabit al-Maslahah fi al-Syariah al-Islamiyyah, hlmn 131, Dar al-Fikr, Damsyiq. Tarikh : 2005)
2
Liberation2 (2009), Dr Jasser Auda menerusi buku beliau berjudul Maqasid
al-Shariah As Philosophy Of Islamic Law3 (2007) dan sebagainya.
Menariknya, ada sebilangan ulama menganggap bahawa maqasid al-
syariah ini seperti satu ilmu yang menyendiri, iaitu terkeluar dari kerangka
ilmu usul al-fiqh. Antara ulama yang menyatakan sedemikian adalah al-
Syaikh Muhammad Tahir bin ‘Asyur4 (1973 M) dalam kitabnya yang
bertajuk Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah5.
Dalam ilmu maqasid al-syariah itu sendiri, terdapat beberapa teori
yang telah dan sedang dibahaskan secara terperinci, seperti teori sad al-
zarai’e, wasail, maalat dan sebagainya. Namun, terdapat beberapa teori
maqasid syariah yang kurang dibahaskan dalam dunia Islam, khususnya di
Malaysia.
Antara teori yang dimaksudkan adalah teori fath al-zarai’e, iaitu
melakukan sesuatu perkara yang asalnya dihalang, atau bersifat mafsadah bagi
memastikan tercapai maslahah yang kuat atau berjaya menolak mafsadah
yang besar dengan disertakan syarat-syaratnya yang ketat. Teori ini
merupakan salah satu wasail atau elemen penghubung bagi mencapai
maslahah atau kebaikan kepada manusia dalam penjagaan lima perkara yang
telah disebut di atas.
2Dr Tariq Ramadan, Radical Reform : Islamic Ethics And Liberation, oxford University Press. Tarikh : 2009. 3 Jasser Auda, Maqasid al-Shariah As Philosophy Of Islamic Law, The International of Islamic Thought, London Washington.
Tarikh : 2007 4 Beliau dilahirkan pada 1879, dan wafat pada 1973. Mendapat pendidikan di Jamiah Zaitunah, Tunisia dan mengajar di situ.
Beliau ada menulis sebuah kitab tafsir yang amat berharga bertajuk tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir di samping sebuah kitab
maqasid yang popular, iaitu Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah. 5 Ibn ‘Asyur, Muhammad al-Tahir bin Muhammad bin Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur al-Tunisi, (2001 Masihi) Maqasid al- Syariah al-Islamiah. hlmn 111, Jordan: Dar al-Nafais.
3
Dalam tradisi ilmu ulama silam, pengamalan teori fath al-zarai’e ini
sebenarnya sudah berlaku secara tidak langsung. Namun, dari sudut istilah,
pemula kepada pengamalan teori ini adalah al-Imam al-Qarafi (684 H)6. Teori
ini, mempunyai implikasi yang sama dengan beberapa kaedah usul al-fiqh,
seperti teori istihsan, umum al-balwa, masalih mursalah, malah seiras dengan
beberapa kaedah fiqh. Ini termasuklah kaedah melakukan mudarat kecil demi
mengelak mudarat besar; atau kaedah apabila sesuatu urusan itu sempit,
wujud keluasan dan apabila wujud keluasan, maka disempitkan kembali; atau
kaedah tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara
tersebut, maka melakukan perkara tersebut juga adalah wajib dan sebagainya.
1.2. Permasalahan Kajian
Malaysia sebuah negara yang terdapat bilangan umat Islam hampir
setara dengan bilangan rakyat yang bukan beragama Islam. Malaysia juga
adalah sebuah negara yang boleh diklasifikasikan sebagai negara maju, sudah
pasti terkesan dengan perkembangan teknologi dan maklumat yang pesat.
Perubahan yang berlaku dalam kehidupan di Malaysia sudah pasti
memerlukan banyak kesedian fiqh dalam mentafsir dan menterjemah
6 Al-Imam al-Qarafi (684 H) menyatakan,”Sesungguhnya Zariah merupakan penghubung. Sebagaimana penghubung kepada
perkara haram, ia juga adalah haram. Maka begitu juga penghubung kepada yang wajib, ia juga adalah wajib.” (Al-Qarafi,
Abu al-Abbas Shihab al-Din Ahmad bin Idris bin Abd al-Rahman al-Maliki. (TT) Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, Saudi,
Dar ‘Alim al-Kutub), j. 3, h. 46
4
pandangan berasaskan ajaran Islam yang seiring dengan keperluan kehidupan
manusia masa kini.
Memandangkan perubahan beberapa hukum itu boleh berlaku
berdasarkan perubahan konteks, sama ada masa, tempat dan situasi7, sudah
pasti perubahan itu hendaklah berada dalam kerangka fiqh agar ia tidak
tersasar dari batasan dan ketetapan Allah SWT. Apatah lagi, dengan
perkembangan dan perubahan masyarakat Malaysia, pendekatan fiqh yang
cermat dan berhikmah adalah perlu untuk melahirkan kejayaan yang seiring
dengan kehendak maqasid syariah dalam masyarakat Malaysia.
Walaupun pendekatan maqasid syariah semakin digunakan dalam
menyelesaikan banyak isu fiqh di Malaysia, namun pendekatan teori Fath al-
Zarai’e agak kurang diamalkan. Kajian dalam bahasa Melayu tentang teori
Sad al-Zarai’e agak banyak didapati, tetapi kajian tentang teori Fath al-
Zarai’e dalam bahasa Melayu tidak diketahui kewujudannya.
Namun pada pandangan pengkaji, bagi negara sedang membangun dan
separa maju seperti Malaysia, teori Fath al-Zarai’e ini amat penting dan
pendedahan berkenaannya wajar disebarluaskan.
7Kaedah fiqh yang berbunyi, taghayyur Al-Ahkam bi taghayyur Al-Amkinah wa Al-Azminah yang bermaksud, .”perubahan
hukum itu berdasarkan perubahan tempat dan masa.”
5
1.3. Persoalan Kajian
Bagi menjelaskan perkara yang akan dikaji, pengkaji meletakkan
beberapa persoalan kajian untuk dijawab dalam kajian ini. Ia sebagaimana
berikut;
a) Apakah ilmu maqasid syariah, sejarah pertumbuhan dan pengamalannya?
b) Apakah konsep dan kedudukan teori Fath al-Zarai’e dalam ilmu maqasid
syariah?
c) Bagaimana mengamalkan teori Fath al-Zarai’e dalam beberapa isu-isu
fiqh di Malaysia?
1.4. Objektif Kajian
Antara objektif kepada kajian ini adalah seperti berikut;
a) Mengenal pasti ilmu maqasid syariah dari sudut definisi, pertumbuhan,
bahagian-bahagian dan sumber rujukannya.
b) Menjelaskan kedudukan teori Fath al-Zarai’e dalam ilmu maqasid
syariah dari semua sudut, seperti definisi, dalil-dalil, perbahasan dan cara
mengamalkannya dalam kalangan ulama, sama ada secara langsung atau
tidak langsung.
6
c) Menjelaskan penyelesaian beberapa isu fiqh di Malaysia dengan merujuk
kepada teori Fath al-Zarai’e berdasarkan ketetapan muktabar dalam ilmu
maqasid syariah.
1.5. Kepentingan Kajian
Kepentingan kajian yang dijalankan ini dapat disenaraikan kepada
beberapa perkara berikut;
a) Kajian ini adalah bagi menonjolkan teori Fath al-Zarai’e dalam pengajian
ilmu maqasid syariah serta membandingkan dengan teori Sad al-Zarai’e
yang banyak digunakan dalam pengamalan fiqh di Malaysia.
b) Melihat keberkesanan teori Fath al-Zarai’e dalam pengaplikasiannya
terhadap beberapa isu fiqh di Malaysia.
c) Menonjolkan sifat keanjalan yang merupakan antara asas tujuan syariah
diturunkan kepada manusia.
1.6. Skop Kajian
Bagi mengelakkan kajian ini tersasar dari objektifnya maka skop
kajian ini adalah seperti berikut;
7
a) Pengkaji akan meneliti menerusi kitab-kitab turath dan moden dalam
memberikan penjelasan berkenaan ilmu maqasid syariah serta kaitannya
dengan teori Fath al-Zarai’e.
b) Menampilkan teori-teori maqasid syariah yang merupakan asas bagi
kelahiran teori Fath al-Zarai’e, seperti teori Ijtihad Tanzili, al-Zarai’e, al-
Manat, al-Wasail, al-Maalat dan hukum-hukum yang berlegar pada
konteks masa, tempat dan situasi serta pengamalan teori Fath al-Zarai’e
dalam kalangan ilmuan Islam secara langsung dan tidak langusng.
c) Memfokuskan kepada beberapa fiqh yang pernah kontroversi dan
dibincangkan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dengan
membandingkan isu-isu itu dengan pengamalan teori Fath al-Zarai’e.
1.7. Kajian Lepas
Merujuk kepada kajian lepas adalah penting. Ini kerana, rujukan
terhadap kajian lepas dapat memastikan kajian ini tidak berulang di samping
dapat membantu untuk memastikan kajian ini tepat dan kemas dari sudut
penonjolan pandangan dengan teori yang dikemukakan.
Setakat pencarian pengkaji, kajian khusus berkenaan teori Fath al-
Zarai’e di Malaysia dan penulisan dalam Bahasa Melayu yang
membincangkan teori ini secara komprehensif agak kurang didapati. Namun,
di peringkat antarabangsa, terdapat tesis tentang teori ini dalam Bahasa Arab.
Antaranya ialah tesis Phd bertajuk Fath al-Zarai’e wa Asaruha fi al-Fiqh al-
8
Islami, kajian Muhammad Riyadh Fakhri dari Kuliah al-Syariah wa al-Qanun
di Universiti Islam Baghdad pada tahun 2008. Dalam tesis tersebut, dijelaskan
kupasan mendasar tentang teori Fath al-Zarai’e dan kesan-kesannya dalam
pengamalan fiqh lama.
Oleh itu, setakat ini kajian berkaitan mengadaptasi teori ini dalam
beberapa isu fiqh di Malaysia tidak pernah dijumpai oleh pengkaji.
1.8. Huraian Tajuk
Tajuk bagi kajian ini adalah maqasid syariah melalui teori Fath al-
Zarai’e dalam menanggapi beberapa isufiqhdi Malaysia. Huraian bagi
pengertian tajuk ini adalah sepertimana berikut;
Maqasid syariah adalah satu disiplin ilmu yang menjelaskan tujuan
tertinggi bagi penurunan syariah, iaitu memberi kebaikan kepada manusia
sama ada di dunia dan juga di akhirat.
Fath al-Zarai’e pula adalah salah satu teori maqasid syariah yang
telah digunakan sejak sekian lama. Tetapi, dari sudut istilah, ia mula
digunakan oleh Al-Imam Al-Qarafi (626-684 H). Ia termaktub dalam kitab
beliau yang bertajuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq.
9
Dalam kitab beliau, dinyatakan;
“Ketahuilah! Sesungguhnya, zari’ah (pintu-pintu haram)
sepertimana wajib ditutup, (ada kalanya) wajib dibuka (fath),
dimakruhkan, disunatkan dan diharuskan.8”
Penyelesaian beberapa isu fiqh ini adalah merujuk kepada sebilangan
isu semasa dan isu yang pernah berlaku pada zaman lalu. Dalam
menyelesaikan perkara ini, ia perlu kepada ijtihad yang diistilahkan oleh
sebilangan ulama semasa sebagai al-Ijtihad al-Insyai9.
Maksud dengan kajian konteks Malaysia pula adalah merujuk
bandingan hukum-hukum fiqh yang diambil dari kitab-kitab fiqh, dan dengan
menggunakan teori Fath al-Zarai’e, ia diadaptasikan dalam suasana Malaysia.
Tidak dinafikan, sebelum ini Dr Mahmood Zuhdi telah mencadangkan
penerapan fiqh Malaysia, tetapi kajian pada kali ini tidak berkait dengan
perbincangan tersebut, sebaliknya memberi fokus kepada teori Fath al-
Zarai’e sahaja.
8 Al-Qarafi, Abu al-Abbas Shihab al-Din Ahmad bin Idris bin Abd al-Rahman al-Maliki. Tanpa tarikh. Anwar al-Buruq fi Anwa’
al-Furuq, jld 3, hlmn 46, Saudi, Dar ‘Alim al-Kutub. 9 Yang dimaksudkan dengan ijtihad insyaie adalah mengistinbatkan hukum [baca : mengeluarkan hukum] dalam masalah baru
timbul. Ijtihad tersebut tidak pernah diungkapkan oleh mujtahid terdahulu sama ada masalah moden, ataupun ia sudah wujud
keperluan di zaman dahulu, tetapi tidak pernah diulas pada zaman tersebut. (lihat Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin
Muhammad al-Tusi, (505 H). 1413H/1993. Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul. Jld 1, hlmn 198, Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Al-
Amidi, Abu al-Hasan Syed al-Din ‘Ali bin Muhammad bin bin Salim al-Sa’labi (631 H). Tanpa Tarikh :al-Ihkam Fi Usul al-
Ahkam. Jld 1, hlmn 242, Bairut – Damsyik – Lubnan: Al-Maktab al-Islami) antara perkara yang terhasil dari ijtihad insyaie
adalah kewajipan zakat pendapatan yang telah diungkapkan kewajipannya oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab beliau, Fiqh
Az-Zakat yang disokong kuat salah seorang ilmuan di Malaysia, Dr Mahmood Zuhdi dalam buku beliau bertajuk Pengurusan
Zakat (lihat : Mahmood Zuhdi bin Hj. Abdul Majid, 2003, Pengurusan Zakat, hlmn 318, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur)
10
1.9. Metodologi Kajian
Dalam mengemukakan kajian tentang tajuk ini, pengkaji menggunakan
beberapa metod dan kaedah. Ia tidak tertumpu kepada satu metod atau kaedah
sahaja, bertujuan untuk menjamin capaian kajian yang berkualiti dan
memuaskan. Metod-metod tersebut diklasifikasikan kepada dua, iaitu metod
pengumpulan fakta, dan metod analisis fakta.
1.9.1. Pengumpulan Data dan Fakta
Dalam proses pengumpulan data dan fakta, pengkaji
menggunakan dua pendekatan, iaitu kajian perpustakaan dan
dokumentasi.
a) Kajian perpustakaan
Memandangkan kajian ini adalah berdasarkan analisis dan
mengenal pasti sesuatu teori, sudah pasti metod ini adalah melibatkan
kepada mencari dan menganalisis maklumat dari tulisan-tulisan, hasil
kajian yang lepas, buku, majalah, makalah serta sebarang penulisan
dan penerbitan yang berkaitan dengan skop kajian.
Kitab Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq karangan al-Imam al-
Qarafi merupakan rujukan utama dalam kajian ini. Terutama, kitab
11
tersebut merupakan kitab yang pertama mengungkapkan istilah Fath
al-Zarai’e, kerana sebelum ini istilahtersebut tidak pernah digunakan
walaupun sudut pengamalan terhadap kandungan Fath al-Zarai’e
sudah berlaku.
b) Dokumentasi
Tidak ketinggalan keperluan mendapatkan fakta dan maklumat
daripada dokumen-dokumen bertulis yang berkaitan dengan kajian ini,
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dokumen-dokumen
tersebut berupa buku, latihan ilmiah, kertas kerja, laporan, tesis, laman
web dan sebagainya.
Antara dokumen tersebut ialah seperti tulisan Ketua Bahagian
Pengajian Dan Kajian Di Perpustakaan Fatwa Dan Kementerian
Waqaf Dan Urusan Agama di Negara Oman, Aflah bin Ahmad al-
Khalili yang bertajuk Fath al-Zarai’e Adillatuh Wa Dhawabituh, serta
tulisan Muhammad Salim bin Abd al-Hay bin Dudu bertajuk al-Ijtihad
al-Maqasidi Manzilatuh wa Mahiyyatuh. Kedua-dua tulisan ini
diterbitkan al-Majlis ‘Ala li al-Syu’un al-Islamiyyah. Begitu juga
tulisan Pensyarah di Universiti Ummu al-Qura, Dr Khalid bin
Muhammad al-‘Arusi bertajuk Dilalah Al-Istiqra’ Bain Al-Usuliyin
Wa Al-Jadaliyin yang tidak dapat dipastikan penerbitnya.
12
Selain itu, terdapat penulisan tentang tajuk Fath al-Zarai’e
secara bab-bab kecil dalam kitab-kitab maqasid syariah dan kupasan
secara tidak langsung dalam kitab Usul al-Fiqh, seperti tulisan Dr
Ahmad al-Raisuni dalam kitab Muhadharat fi Maqasid al-Syariah dan
karya Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Usul al-Fiqh Islami. Tidak
ketinggalan juga, terdapat sedutan wacana ilmu maqasid syariah yang
disampaikan oleh Dr Jasser Auda yang boleh didapati dalam youtube.
Walaupun tanpa menggunakan istilah Fath al-Zarai’e, terdapat
pengamalan teori ini secara tidak langsung dalam menangani isu fiqh.
Ia termasuklah pandangan al-Qaradawi tentang keizinan perempuan
menjadi pemimpin10 dan pandangan Dr Tariq Ramadan yang
mencadangkan penangguhan terhadap pelaksanaan hukum hudud di
seluruh negara umat Islam dalam satu makalah bertajuk An
International Call for Moratorium on Corporal Punishment11.
Selain itu, fatwa Imam Abu Hanifah yang memberi keizinan
sementara waktu kepada orang Parsi yang baru sahaja memeluk Islam
menunaikan solat dengan membaca bacaan solat dalam Bahasa Parsi
ekoran kesukaran mereka menyebut sebutan Arab12dan sebagainya.
10 Dr Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam (terjemahan : Dr Juanda Jaya), hlmn 329 - 342 Maktabah al-Qardhawi,
Selangor, 1998.
11 http://tariqramadan.com/blog/2005/04/05/an-international-call-for-moratorium-on-corporal-punishment-stoning-and-the-
death-penalty-in-the-islamic-world/ : tarikh : 5 Mac 2005. 12 Al-Qaradawi, Yusuf. Al-Siyasah al-Syaiiyyah fi Dhau’ Nusus al-Syariah wa maqasidiha.hlmn 293, Kaherah: Maktabah Wahbah. Tarikh : 2005
13
Walaupun banyak kitab tidak menyebut tentang teori Fath al-
Zarai’e secara terang, tetapi terdapat beberapa buah kitab yang sudah
membicarakan tentang teori ini secara tidak langsung seperti kupasan
al-Buti tentang konsep maslahah yang menyenaraikan lima dhawabit
atau ketetapan dalam memastikan penilaian maslahah itu tepat dengan
kehendak syariat. Sebuah disertasi bertajuk Metod Penetapan Hukum
Islam (Membongkar konsep al-Istiqra’ al-Maknawi asy-Syatibi) (siri
Disertasi), karangan Duski Ibrahim sedikit sebanyak memberi
penjelasan tentang penetapan hukum menerusi konsep maqasid
syariah. Ia juga menjelaskan konsep rahmat dan raf’ al-haraj iaitu
menghilangkan sebarang kesukaran dalam syariah. Konsep ini, sudah
pasti merupakan konsep terpenting dalam penilaian teori Fath al-
Zarai’e13.
Dalam mengadaptasikan teori Fath al-Zarai’e dengan beberapa
isu fiqh di Malaysia, pengkaji mendapati sudah terdapat beberapa
fatwa ulama terkemuka yang membahaskan sesuatu isu berdasarkan
teori ini, walaupun tidak dinyatakan secara langsung tentang
penggunaan teori Fath al-Zarai’e. Contohnya, menggunapakai
pendapat al-Qaradawi oleh majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa-fatwa
dari negeri-negeri tertentu di Malaysia berkenaan keizinan perempuan
menjadi hakim dan keizinan mengucapkan tahniah dengan kehadiran
13 Duski Ibrahim. 2008. Metode Penetapan Hukum Islam (membongkar konsep al-Istiqra’ al-Maknawi asy-Syatibi). hlmn 184,
Jogjakarta:Al-Ruzz Media. Tarikh : 2008
14
perayaan agama selain Islam yang dikupas oleh beliau dalam kitabnya
yang terkenal iaitu Fatawa Maasarah. Pendapat beliau ini amat selaras
dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang
boleh didapati dalam laman web e-fatwa.
Semua kajian dan penulisan yang disebutkan membantu
pengkaji untuk mendapatkan gambaran tentang kajian ini. Pengkaji
berusaha untuk mempamerkan pengamalan teori ini dalam beberapa
isu tertentu yang berlaku di Malaysia agar dapat dimanfaatkan dalam
mempamerkan bentuk syariah yang bersifat rahmat dan memberikan
kemaslahatan kepada manusia. Ekoran itu, dalam tesis itu, ditonjolkan
perkara asas dan dasar bagi teori Fath al-Zarai’e di samping
memaparkan proses pengadaptasian teori terhadap beberapa isu fiqh
semasa dan dibandingkan dengan perbahasan fiqh turath.
1.9.2. Analisis Fakta
Segala fakta yang dikumpulan, akan diproses dan dianalisis
dengan teliti. Dalam usaha ini, pengkaji menggunakan dua metod,
iaitu analisis secara istidlal atau pendalilan dan analisis secara
komperatif.
15
a.) Istidlal atau pendalilan
Metodologi ini akan terhasil dengan menggunakan dua logik,
iaitu pendekatan mantiq istiqra atau logik induktif, kemudian mantiq
istinbati, atau logik deduktif. Dalam kamus bahasa Arab, istiqra’
diterjemah sebagai induktif14, iaitu menganalisa data dan fakta melalui
pola berfikir yang mencari pembuktian dari hal-hal yang bersifat
khusus dan terpisah untuk dihimpunkan dalam bentuk yang umum.
Metod ini memerlukan penelitian terhadap data-data dan maklumat
berkenaan bagi menjelas dan menghuraikan kajian.
Dalam sudut istilah, istiqra’ didefinisikan oleh Ibn Sina
sebagai berhukum pada sesuatu yang kulli atau keseluruhan
berdasarkan apa yang didapati pada setiap juz’i-juz’i yang banyak.15
Al-Ghazali pula mendefinisikan istiqra’ sebagai meneliti pada setiap
juz’i-juz’i yang banyak serta terdapat makna kulli hingga didapati
hukumnya pada semua juz’i itu.16 Contohnya disimpulkan hukum
umum bahawa setiap binatang akan menggerakkan geraham bawah
ketika makan, kerana melihat secara induktif berkenaan cara makan
manusia, binatang daratan dan burung17.
14Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Nazri Zainuddin, Mohd Fuad Mohd Isa, al-Miftah (kamus moden), al-Azhar Media, hlmn 148.
Tarikh : 2007 15 Kata Ibn Sina, ”Berhukum terhadap kulli berdasarkan apa yang didapati pada juzi-juzi yang banyak.” (Ibn Sina, al-Isyarat wa
al-Tanbihat Ma’a Syarh Nasir al-Din al-Tusi, jld 1, hlmn 418, Dar al-Ma’arif, Kaherah. Tarikh : 1960) 16 Kata Al-Ghazali, ”memalingkan juzu’-juzu’ yang banyak ke dalam makna kulli, hingga didapati hukum pada juzu’-juzu’ itu
dihukumkan kulli tersebut.” (al-Ghazali Abu Hamid Muhammad bin Muhammad (505 H), Mi’yar al-Ilmi Fi Fan al-Mantiq, Dar
al-Maarif, Mesir. Tarikh : 1961)
17 Kata Ibn Sina,”Berhukum terhadap kulli berdasarkan apa yang didapati pada juzi-juzi yang banyak.” (Ibn Sina, al-Isyarat wa
al-Tanbihat Ma’a Syarh Nasir al-Din al-Tusi, jld 1, hlmn 418, Dar al-Ma’arif, Kaherah. Tarikh : 1960)
16
Maksud istinbat pula dari sudut bahasa Arab adalah deduktif;
kesimpulan yang dibuat berdasarkan deduksi18. Sudut istilah pula,
istinbat didefinisikan sebagai perpindahan sesuatu pemahaman dari
sesuatu isu atau beberapa isu yang merupakan asas, kepada isu lain
yang merupakan natijah sesuai dengan kaedah logik19. Contohnya,
disimpulkan setiap yang memabukkan adalah haram. Justeru, setiap
minuman dalam apa jua jenis tetap dikira haram jika ia memabukkan.
Dalam kajian ini, dua mantiq digunakan secara bersusun, iaitu
mendahulukan pendekatan mantiq istiqra’, yang kemudian
menggunakan mantiq istinbati. Ini bermakna, ia menampilkan secara
induktif bagi kewujudan teori Fath al-Zarai’e terlebih dahulu, seperti
membahaskan maksud bagi maqasid syariah, maslahah, dan keperluan
bagi teori Fath al-Zarai’e, seperti teori ijtihad tanzili, manat, wasail,
maalat, tadarruj, dan hukum yang berkaitan dengan masa, tempat dan
situasi. Setelah mendapat penjelasan secara istiqra’, melahirkan
natijah pemahaman bagi maksud penggunaan teori Fath al-Zarai’e,
baru ditonjolkan perlaksanaan teori ini pada beberapa pengamalan
yang telah berlaku dalam kalangan ulama, sama ada secara langsung
dan secara tidak langsung, dan disertakan juga pengadaptasian teori ini
terhadap beberapa isu fiqh di Malaysia secara terpilih.
18Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Nazri Zainuddin, Mohd Fuad Mohd Isa, al-Miftah (kamus moden), al-Azhar Media, hlmn 152.
Tarikh : 2007 19 Majmak al-Lughah al-Arabiyyah, al-Mu’jam al-Falsafi, hlmn 12, kaherah, al-Hai’ah al-Ammah li al-Syu’un al-Matabi’ al-
Amiriyyah, tarikh : 1399