pengenalan sejarah

13
Pengenalan. Sejarah dan sejarawan mempunyai hubung kait yang tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Umpama isi dengan kuku yang saling perlu memerlukan serta saling bergantungan, atau dalam ertikata lain sekiranya kurang salah satu daripadanya maka akan cacatlah ia. Walau bagaimanapun dalam bidang sejarah, sejarawan memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan karya dan penulisannya, sama ada ianya dapat bertahan lama atau tidak, dapat diterima atau di kritik oleh orang lain, bergantung kepada kemunasabahan dan kesabaran berlandaskan bukti-bukti penulisan yang dimiliki oleh sejarawan tersebut. Sejarah yang menggambarkan pelbagai takrifan yang bebas dan luas seperti yang diutarakan oleh ahli-ahli sejarawan yang masing-masing mempelopori kegemilangan sezamannya, secara umumnya mempunyai persamaan dan perbezaan. Pandangan dan pendapat yang dapat diterima sama ada oleh pengkaji, ahli- ahli sejarah lain, yang meminati sejarah tidak menghadapi masalah, malah menjadi satu garis panduan dalam penulisan, penghasilan dan menjiwai ilmu sejarah. Tetapi yang menjadi isu dan hangat diperdebatkan, menjadi asas utama perbincangan dalam kertas kerja atau tajuk seminar saya ialah tentang pertembungan idea atau pendapat yang bercangah dalam penghasilan dan pengkajian sejarah oleh beberapa ahli sejarawan. Percangahan dan perbezaan pandangan dari sudut kajian sejarah tersebut telah membawa perubahan yang besar terhadap ahli sejarawan dalam pengkajian dan penulisan sejarah. Dalam pada masa tersebut telah mewujudkan beberapa golongan yang masing-masing mempertahankan kebenaran masing- masing dengan beberapa alasan dan bukti yang relivan, dan tidak kurang fakta yang boleh dipertikaikan yang telah menerima pelbagai kritikan. Bertitik tolak daripada itu, sejarawan seterusnya, ahli-ahli pengkaji sejarah, yang meminati dan masyarakat pembaca telah mengambil iktibar, garis panduan dan menjana idea masing-masing untuk meneliti, memahami, menganalisis dan menilai kebenaran kenyataan yang diutarakan oleh sejarawan tersebut.

Upload: muhammad-faiz-rahim

Post on 14-May-2017

223 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Pengenalan Sejarah

Pengenalan.

Sejarah dan sejarawan mempunyai hubung kait yang tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Umpama isi dengan kuku yang saling perlu memerlukan serta saling bergantungan, atau dalam ertikata lain sekiranya kurang salah satu daripadanya maka akan cacatlah ia. Walau bagaimanapun dalam bidang sejarah, sejarawan memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan karya dan penulisannya, sama ada ianya dapat bertahan lama atau tidak, dapat diterima atau di kritik oleh orang lain, bergantung kepada kemunasabahan dan kesabaran berlandaskan bukti-bukti penulisan yang dimiliki oleh sejarawan tersebut.

Sejarah yang menggambarkan pelbagai takrifan yang bebas dan luas seperti yang diutarakan oleh ahli-ahli sejarawan yang masing-masing mempelopori kegemilangan sezamannya, secara umumnya mempunyai persamaan dan perbezaan. Pandangan dan pendapat yang dapat diterima sama ada oleh pengkaji, ahli-ahli sejarah lain, yang meminati sejarah tidak menghadapi masalah, malah menjadi satu garis panduan dalam penulisan, penghasilan dan menjiwai ilmu sejarah. Tetapi yang menjadi isu dan hangat diperdebatkan, menjadi asas utama perbincangan dalam kertas kerja atau tajuk seminar saya ialah tentang pertembungan idea atau pendapat yang bercangah dalam penghasilan dan pengkajian sejarah oleh beberapa ahli sejarawan. Percangahan dan perbezaan pandangan dari sudut kajian sejarah tersebut telah membawa perubahan yang besar terhadap ahli sejarawan dalam pengkajian dan penulisan sejarah. Dalam pada masa tersebut telah mewujudkan beberapa golongan yang masing-masing mempertahankan kebenaran masing-masing dengan beberapa alasan dan bukti yang relivan, dan tidak kurang fakta yang boleh dipertikaikan yang telah menerima pelbagai kritikan. Bertitik tolak daripada itu, sejarawan seterusnya, ahli-ahli pengkaji sejarah, yang meminati dan masyarakat pembaca telah mengambil iktibar, garis panduan dan menjana idea masing-masing untuk meneliti, memahami, menganalisis dan menilai kebenaran kenyataan yang diutarakan oleh sejarawan tersebut.

Dalam melaksana dan menyelesaikan tugasan ini, saya berlandaskan kepada pemahaman dan pandangan melalui beberapa bahan rujukan (buku) yang berkaitan dengan bidang kajian. Idea-idea dan pandangan yang diluahkan dalam tugasan ini dapat diyakini melalui pendirian saya yang diperolehi daripada buku-buku rujukan yang telah dibaca, dan juga bahan kuliah yang menjadi pelengkap maklumat daripada pensyarah dalam bidang ini.

Sejarah ringkas Leopold von Ranke.

Sebelum saya meneruskan penghujahan dan pendirian saya dalam seminar atau kerja kursus ini, adalah munasabah dan lebih elok untuk mengimbas kembali sejarah ringkas mengenai sejarawan Leopold von Ranke, di mana kenyataan beliau bahawa sejarah heruslah dikaji "seperti sebenarnya ia berlaku" menjadi asas kepada bahan penghuraian saya.

Leopold von Ranke merupakan seorang sejarawan dari Jerman yang memainkan peranan yang penting dalam perkembangan pensejarahan moden di Barat pada pertengahan kurun

Page 2: Pengenalan Sejarah

ke sembilan belas. Pada abad itu, ilmu sejarah dianggap suatu bidang pengajian atau disiplin yang tersendiri. Sumbangannya dalam pemikiran sejarah sangat bermakna sehingga beliau dianggap sebagai pengasas dalam era ini. Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahya ada menyunting satu rangkap petikan popular Leopold von Ranke yang menggambarkan bentuk pensejarahan yang didokong oleh sejarawan tersebut. Petikan itu adalah seperti berikut:

Kepada sejarah telah pun diberikan tugas untuk mengadili masa lalu,

Untuk mendidik masa kini demi kepentingan zaman-zaman yang akan

datang. (Tetapi) penulisan ini tidaklah bertujuan untuk memenuhi cita-cita

yang membumbung itu. Ia hanyalah bertujuan untuk menunjukkan apakah

yang sebenarnya berlaku (wie es eigenthlich gewesen).

Leopold von Ranke dalam Sejarah Bangsa Latin dan Teutonic.

Ungkapan wie es eigenthlich gewesen merupakan satu tonggak pensejarahan von Ranke sehingga ada pengikut-pengikutnya menggangap bahawa ungkapan tersebut merupakan tuntutan yang mutlak bagi pengkaji sejarah.

Keunggulan beliau sebagai seorang sejarawan memang jelas dan boleh dikatakan semua sejarawan Eropah yang terpenting pada kurun awal kedua puluh ini tidak dapat lari dari memperkatakan teori dan sumbangan beliau, sama ada mempersetujuinya ataupun di sebaliknya.

Leopold von Ranke dilahirkan pada 21 Disember 1795 di daerah Wieche, Saxony (Jerman). Semasa di Universiti Leipsis, beliau membuat pengkhususan dalam bidang teologi dan ilmu-ilmu dari dunia klasik (Zaman Yunani dan Rumawi) dengan tumpuan khas dalam bidang ilmu bahasa (filologi) dan juga penterjemahan serta penghuraian terhadap teks-teks lama. Bidang inilah yang telah menjadi pendorong untuk beliau menceburkan diri dalam bidang sejarah. Beliau tertarik dengan sejarah bukan kerana minat sahaja tetapi telah terpengaruh dengan penulisan sejarawan lain, terutamanya Niebuhr, Walter Scott dan Herder yang mengaitkan sejarah dengan kemajuan manusia. Selain daripada itu, beliau juga dipengaruhi oleh unsure keagamaan; dan pernah menganggap sesuatu peristiwa sejarah adalah sesuatu yang dibentuk oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa. Justeru itu seajarah haruslah dikaji dengan teliti dan objektif.

Karya pensejarahannya yang pertama berjudul Sejarah Bangsa-Bangsa Latin dan Teutonic: 1494 – 1514 (Geschichte de romanischen und germanischen Volker 1494 bis 1514) telah diterbitkan pada tahun 1824. Dianggarkan bahawa beliau telah menghasilkan sebanyak 63 jilid penulisan sejarah. Karya beliau yang terakhir berjudul "Sejarah Dunia" mengandungi sembilan jilid dan ditulis ketika beliau berusia lapan puluh dua tahun. Penulisan ini telah memenuhi cita-citanya sejak beliau masih muda lagi, iaitu untuk

Page 3: Pengenalan Sejarah

menulis sejarah dunia. Pada 23 Mei 1886 beliau meninggal dunia di Berlin Semasa berusia sembilan puluh satu tahun.

Penyebaran Pengaruh Leopold von Ranke

Fahaman von Ranke mengenai pensejarahan telah mempengaruhi ramai sejarawan pada masa itu, khususnya di dunia Barat. Walau bagaimanapun skop perluasan yang tepat berkaitan dengan pengaruhnya tidaklah dapat dikenalpasti. Kegigihan dan pencapaiannya berkaitan dengan bidang sejarah telah membolehkan beliau dianggap sebagai sejarawan yang terulung di Eropah. Malahan dia telah dilantik menjadi Penolong Profesor di Universiti Berlin sebagai penghargaan ke atas terbitan karya pensejarahannya yang pertama pada tahun 1824 berjudul Sejarah Bangsa-Bangsa Latin dan Teutonic: 1494 – 1514. Pada tahun 1841, beliau telah dilantik dengan rasminya sebagai ‘Sejarawan Rasmi’ bagi negaranya, Prussia. Pada tahun 1884, beliau telah dilantik sebagai ahli kehormat yang terulung bagi Persatuan Sejarah Amerika Syarikat yang telah ditubuhkan pada tahun berkenaan. Pada waktu itu pengaruh serta konsep pensejarahannay "seperti sebenaynya berlaku" telah tersebar dengan meluasnya ke seluruh Eropah termasuklah England. Pengaruh dan tradisi pensejarahan beliau terbukti dan diperkuatkan lagi dengan lahirnya lebih ramai sejarawan yang telah mengikuti dan meneruskan konsep pensejarahan beliau.

Di Jerman, antara penuntutnya yang terkenal ialah George Waitz, Wilhelm von Sybel. Di England, pengikut setianya ialah Lord Acton dan J.B. Bury. Di Amerika Syarikat pula, ialah seperti William Westmore dan George Bancroft, walaupun tidak pernah mengikuti kuliahnya namun mereka mempelajari dan menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan.

Dari apa yang telah dipaparkan, ternyata sekali bahawa sedikit sebanyak pengaruh von Ranke telah merebak ke seluruh pelusuk dunia terutama dari segi kaedah penyelidikannya yang kritis. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa sumbangan pensejarahannya yang amat penting yang diterima dan dikekalkan hingga ke hari ini dan beliau diterima seperti tokoh-tokoh sejarawan terkenal yang lain iaitu Herodotus, Thucydides, Ssu-ma Chein, Ibn Khaldun dan Raja Ali Haji.

 

 

 

Karya-Karya Pensejarahan Von Ranke Yang Berkonsepkan "Seperti Sebenarnya Ia Berlaku."

Sejauhmanakah pandangan beliau tersebut dapat diterima? Apakah konsep yang dipelopori oleh beliau tersebut memberikan bukti-bukti yang jelas dan justeru itu meyakinkan ahli-ahli pengkaji sejarah atau yang meminati ilmu sejarah? Atau ditolak

Page 4: Pengenalan Sejarah

bulat-bulat oleh pengkritik sejarah dengan adanya kemunculan sejarawan-sejarawan dalam penemuan kaedah-kaedah baru yang lebih reliven dan praktik?

Soalan dan persoalan yang hangat diperkatakan dalam isu pensejarahan tersebut, sedikit sebanyak telah dijawab dan diberi gambaran secara umum dalam menghuraikan latarbelakang dan sumbangan terhadap pensejarahan sejarawan Leopold von Ranke di atas. Penjanaan minda ini mungkin lebih jelas dan tepat lagi jika dihuraikan satu persatu.

Konsep "seperti sebenarnya ia berlaku" adalah aliran pemikiran yang berbentuk objektif. Munculnya pemikiran sebegini adalah berdasarkan kepada tradisi empirisme John Locke dan juga positivisme Auguste Comte. Abdul Rahman Hj. Abdullah dalam bukunya Pengantar Ilmu Sejarah (Siri Pendidikan Jarak Jauh) ada mengatakan bahawa:

Tradisi inilah yang menjadi asas kepada aliran sejarah objektif yang diperjuangkan oleh Leopold von Ranke (1795-1886). Bagi Ranke, matlamat pengajian sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian-kejadian "sebagaimana sebenarnya berlaku" (wie es eigenthlich gewesen), yang memberikan fakta-fakta sejarah bercakap dengan sendirinya tanpa penglibatan sejarawan.

Tokoh sejarawan Jerman ini telah bertanggungjawab menjadikan sejarah sebagai satu disiplin pengajian yang khusus di samping menekankan kepentingan penggunaan sumber asli dalam penyelidikan serta menguatkan kebenaran dan menjunjung tinggi pendekatan kritis von Ranke dalam penulisan dan pentafsiran sejarah. Penglibatannya dalam menghasilkan karya-karya sejarah yang tinggi nilai kesejarahannya amatlah mengkagumkan. Dianggarkan bahawa beliau telah menghasilkan 63 jilid penulisan sejarah. Karyanya yang terawal berjudul Sejarah Bangsa-bangsa Latin dan Teutonic: 1494 – 1514. Antara pertengahan tahun 1830-an sehingga 1840-an beliau juga telah menghasilkan dua karya panjang yang terbaik, terdiri dari beberapa jilid: Sejarah Paus-Paus (3 jilid), Sejarah England (3 jilid) dan penulisannya yang terakhir Sejarah Dunia (9 jilid). Kenapakah corak karyanya bersifat panjang-lebar? Hakikatnya ialah untuk menunjukkan hasratnya yang bersungguh-sungguh untuk memuatkan seberapa banyak perincian supaya sesuatu peristiwa yang dikajinya itu akan menyerupai seperti apa yang berlaku pada suatu ketika dahulu.

Sikapnya yang kritis terhadap penghasilan sesebuah sejarah telah dapat dikesan dari buku terbitan pertamanya pada tahun 1824. Beliau menunjukkan bahawa sumber-sumber sejarah, seperti teks-teks lama bagi sesuatu zaman haruslah dikaji dengan kritis dan sebelum ia boleh diterima dan digunakan sebagai sumber-sumber kajian. Pada pendapat beliau bahawa ini merupakan tugas asas bagi sejarawan. Dengan berbuat demikian, maka, seseorang itu akan dapat menentukan ketulinan atau kepalsuan sesuatu sumber. Bagi beliau tujuan paling utama mengkaji ialah untuk mewujudkan sesuatu peristiwa yang dikaji iaitu seperti sebenarnya ia berlaku dan bukanlah bertujuan seperti untuk mengadili masa lalu ataupun kepentingan zaman-zaman akan datang.

Dalam mempertahankan konsep asasnya bagi mendapatkan kebenaran sejarah, beliau memperkenalkan kaedah penyelidikan. Menurut beliau pengkajian sejarah haruslah berteraskan penyelidikan terhadap sumber-sumber yang boleh digunakan bagi mentafsir ataupun mempaparkan kembali peristiwa-peristiwa masa lalu. Bagi beliau sumber utama

Page 5: Pengenalan Sejarah

(asli) sama ada dalam bentuk dokumen atau benda-benda lain adalah lebih penting dari sumber kedua. Dengan merujuk dokumen-dokumen yang asli itu, seseorang sejarawan akan dapat melihat apakah sebenarnya berlaku pada suatu masa yang lalu. Penulisan berdasarkan sumber-sumber utama ini boleh dianggap sebagai telah mencerminkan peristiwa-peristiwa masa lalu itu dengan sebenarnya.

Di samping menekankan kepentingan dokumen-dokumen sebagai sumber-sumber sejarah, beliau menitik beratkan juga betapa perlunya seseorang sejarawan itu bersikap kritis terhadap jenis-jenis dokumen yang digunakan dalam penyelidikannya. Sebab utama perkara ini diberi perhatian yang khusus kerana sesuatu peristiwa sejarah itu adalah benar, maka dokumen-dokumen yang digunakan untuk mengkajinya haruslah dalam bentuk tulain dan ada kaitan. Justeru itu, sejarawan mestilah melakukan pemilihan terhadap dokumen-dokumen untuk menentukan keaslian, kepentingan dan perkaitan sesuatu dokumen agar dapat mempaparkan peristiwa yang sebenarnya.

Untuk menyokong kaedah penggunaan yang kritis terhadap penggunaan dokumen-dokumen, von Ranke telah memperkenalkan kaedah seminar yang diistilahkannya sebagai Quellinkritik. Muhd. Yusof Ibrahim menyatakan:

Quellinkritik iaitu yang merupakan usaha atau kajian dan penilaian yang kritis

terhadap sumber-sumber sejarah.

Tujuan utama beliau memperkenalkan dan memperluaskan kaedah seminar melalui Quellinkritik adalah dengan harapan untuk menghasilkan karya pensejarahan yang mengandungi peristiwa-peristiwa "seperti sebenarnya ia berlaku."

Konsep wei es eigenthlich gewesen diertikan dengan "seperti sebenarnya ia berlaku" merupakan satu konsep yang paling penting dan bertenaga yang pernah disuarakan di Eropah pada pertengahan kurun kesembilan belas. Ia merupakan satu titik tolak yang baru dalam pengkajian sejarah. Berlandaskan ungkapan inilah sejarah tidak dicampuradukkan denang dongeng, mitos, legenda ataupun pandangan-pandangan peribadi, yang mungkin palsu, dari penulisannya seperti mana sering berlaku dalam karya-karya pensejarahan tradisi. Sejarah menurut pandangan beliau, haruslah didasarkan kepada sumber-sumber yang maujud dan pembuktian yang kritis sehingga ia tidak lagi menimbulkan kesangsian mengenai kebenarannya. Beliau juga mambantah perbuatan mencampuradukkan sejarah dengan karya-karya sastera seperti yang dilakukan oleh Goethe. Ahli-ahli falsafah seperti Hegel, turut dikritikkannya kerana melihat sejarah melalui model-model falsafah atau metafizika yang tertetu dan mungkin tidak dapat dibuktikan kesejarahannya.

Konsep sejarah yang dikemukakan oleh von Ranke secara tidak langsung menyebabkan konsep pensejarahan yang dikenali sebagai sejarah yang saintifik. Ungkapan "seperti sebenarnya ia berlaku" juga telah diertikan sebagai sesuatu yang sebenarnya dituntut dari sejarawan, iaitu sesuatu kemuncak yang boleh dicapai oleh seseorang sejarawan. Pada penghujung kurun kesembilan belas, Lord Acton, seorang sejarawan Inggeris dan pengikut setia von Ranke, telah menyatakan dengan optimisnya bahawa sejarah yang

Page 6: Pengenalan Sejarah

lengkap bagi setiap negara di dunia ini akan dapat dilaksanakan dalam sedikit masa lagi. Apa yang diperlukan hanyalah menghimpunkan fakta-faktanya dengan merujuk kepada dokumen-dokumen yang asli seperti yang dilakukan oleh von Ranke dan kemudiannya membuat kesimpulan.

Perkembangan dalam bidang arkeologi juga telah dengan secara tidak langsung menyebabkan ungkapan von Ranke lebih kukuh dan layak di samakan dengan tuntutan dalam bidang kajian sains tulen, yang boleh juga mewujudkan "seperti sebenarnya berlaku" melalui pengkajian saintifik. Sehubungan dengan perkembangan ini maka pada tahun 1902, J. B. Bury, seorang profesor sejarah di University Cambridge, dengan tegasnya menyatakan bahawa " sejarah itu adalah sains, tidak kurang dan tidak lebih." Penegasan ini merupakan kemuncak bagi tradisi pensejarahan Eropah yang berasaskan von Ranke dan berkembang semasa dan selepas beliau.

Sejajar dengan sikap sejarah yang sintifik itu, von Ranke menuntut agar sejarawan bersikap objektif semasa menyelidik dan menulis sejarah. Ini membawa makna bahawa seseorang sejarawan itu haruslah menghindarkan perasaan, sentimen, emosi, kesukaan dan kebenciannya supaya tidak terlibat dalam usaha-usahanya menjalankan penyelidikan dan menulis sesuatu peristiwa sejarah. Sejarawan juga seperti ahli sains yang menganalisakan sesuatu perkara tanpa perlu melibatkan perasaan kemanusiaan dan sikap memihak kepada sesuatu kumpulan dan sebagainya. Seperti suatu penemuan sains, kebenarannya boleh dibuktikan dengan mengulangi semula proses ujikajinya dengan menggunakan sumber-sumber dan kaedah yang sama. Dengan berpegang kepada prinsip-prinsip ini maka penghasilannya ialah sesuatu karya sejarah yang sebenar "seperti sebenarnya ia berlaku."

Kelemahan dan Kritikan Terhadap Konsep Pensejarahan Leopold von Ranke.

Kesempurnaan manusia yang dianugrahkan oleh Tuhan, hanya lebih baik daripada makhluk lain. Ini bererti kekuatan, kelebihan dan kelemahan dimiliki oleh manusia biasa yang dapat dipertikaikan oleh sesama. Begitu jugalah dengan kewibawaan dan ketokohan sejarawan von Ranke, yang diagung-agungkan dan dianggap sebagai tokoh yang unggul pada zamannya, jika dipandang dari segi sumbangan pensejarahannya tidak dapat dipertikaikan lagi kebenaran dan praktiknya. Namun penelitian dan penilaian yang lebih luas oleh sejarawan dan pengkaji sejarah bahawa usaha-usaha dan kreativiti von Ranke bukanlah mudah diterima dengan begitu sahaja.

Walaupun konsep pensejarahan von Ranke popular semasa pertengahan kurun kesembilan belas hingga awal kurun kedua puluh, namun kelunturan pengaruhnya mula jelas kelihatan menjelang tahun1930-an. Beberapa orang sejarawan lain telah menyatakan kesangsian mereka terhadap penulisan sejarah yang tepat, yang muncul dari konsep agung von Ranke. Satu kelemahan pensejarahan beliau yang ketara sekali ialah tidak dapat menghasilkan sesuatu bentuk falsafah sejarah yang menggambarkan kefahamannya yang mendalam mengenai hakikat sejarah yang sebenarnya. minatnya hanya tertumpu kepada penghasilan penulisan yang berbentuk straight history dan bukannya penulisan-

Page 7: Pengenalan Sejarah

penulisan yang berbentuk falsafah sejarah. Walaupun beliau telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan dan membuktikan ideanya tetapi beliau tetap gagal.

Usaha pengikut stianya J. B. Bury, menghalusi konsep sejarahnya itu dengan menjadikan sejarah sebagai sains telah merumitkan lagi proses penerimaan pensejarahan sebagai "seperti sebenarnya ia berlaku." Dalam hal ini Burchahardt, seorang sejarawan yang pernah hadir di kuliah von Ranke, telah mengkritik serta menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak wajar. Bagi beliau "sejarah itu adalah suatu bidang ilmu yang paling tidak saintifik; namun begitu banyak perkara yang wajar diketahui."

Dari pelbagai pandangan, kritikan dan penolakan, maka H. E. Barnes telah dapat merumuskan empat kelemahan dan kekurangan von Ranke:

1. kegagalan menggunakan keseluruhan sumber-sumber yang boleh didapati bagi sesuatu kajiannya;

2. terlalu menekankan soal-soal politik dan tokoh-tokoh;3. ketaatan keagamaan yang menyebabkan ia memihak kepada teori sejarahnya yang

berbentuk keTuhanan;4. terlalu gairah untuk menuliskan sejarah mengenai Luther, keluarga Hohenzollern

dan Prussia.

Pencabar kuat von Ranke di awal kurun kedua puluh ialah Benedetto Croce, seorang sejarawan Itali yang mengatakan bahawa "semua sejarah adalah sejarah masa kini," yang membawa maksud bahawa sejarah adalah merupakan kajian dan pemikiran sejarawan masa kini terhadap masa lalu. Justeru itu apa yang dituliskan oleh sejarawan bukanlah masa lalu "seperti sebenarnya ia berlaku," tetapi adalah masa lalu "seperti yang telah digambarkan" oleh pengkajinya melalui sumber-sumber yang didapatinya. Antara sejarawan lain yang turut menolak konsep von Ranke ialah James Harvey Robinson, Charles A. Beard, R. G. Collingwood dan E. H. Carr.

Pada hakikatnya penolakan utama terhadap konsep von Ranke ialah oleh sifat idealnya yang akhirnya membawa kepada anggapan bahawa sejarah itu adalah satu bidang sains. Sejarah "seperti sebenarnya ia berlaku" tidaklah dapat dituliskan sepenuhnya. Di samping perkara mustahil untuk menuliskan semula keseluruhan masa lalu itu, tidaklah pula keseluruhan masa lalu itu perlu ataupun mustahak dituliskan ataupun diingati. Sungguhpun manusia mempunyai akal fikiran yang mampu mengingati seribu satu macam peristiwa namun terdapat kelemahan dan kelalaian yang tidak dapat dielakkan. Justeru itu, sudah pasti ingatan yang kekal dalam fikiran manusia ialah hanyalah perkara-perkara yang memberi kesan dan bermakna sahaja daripada timbunan masa lalu yang penting untuk dikaji dan diingat atau disebaliknya.

Implikasi kepada penolakan dan kritikan-kritikan itu, ialah munculnya aliran-aliran baru dalam perkembangan pensejarahan moden di Eropah. Sejarah tidak lagi berkisar atas konsep wie es eigenthlich gewesen selari dengan maksud "seperti sebenarnya ia berlaku" tetapi sebagai satu disiplin keilmuan yang mempunyai bidang-bidang ataupun jurusannya

Page 8: Pengenalan Sejarah

yang tersendiri seperti politik dan diplomasi, ekonomi, sosial, intelek, budaya dan lain-lain, malahan sejarah dan pensejarahan itu sendiri.

Kesimpulan.

Berdasarkan penghuraian saya di atas, melalui beberapa buah buku rujukan dan berdasarkan kepada pemahaman serta pandangan peribadi, saya bolehlah menyimpulkan segala dapatan dan tugasan ini memilih pendirian bahawa mempersetujui kenyataan dan konsep yang pernah dipraktikkan oleh sejarawan Leopold von Ranke, sejarah haruslah dikaji "seperti sebenarnya ia berlaku." Sungguhpun penolakan dan pelbagai kritikan yang munasabah, kuat dan kukuh, namun harus diingat bahawa sejarawan tersebut merupakan perangsang, membawa perubahan positif dalam bidang pensejarahan moden di Eropah terutama sekali dalam mengemukakan fakta-fakta dan keilmuan sejarah yang dapat memberikan keyakinan serta dapat diterima oleh pencinta sejarah sejagat.

Ungkapan unggulnya wie es eigenthlich gewesen sinonim kepada "seperti sebenarnya ia berlaku" masih menghantui dan memperingati serta menghalang sesiapa yang cuba untuk menghasilkan penulisan sejarah yang palsu atau mencampuradukkan sejarah dengan fiksyen. Sumbangan beliau dalam pensejarahan tidak boleh dipandang atau ditolak dengan mudah. Walaupun zaman kelunturan pengaruhnya hampir menutupi zaman kegemilangannya, namun ungkapan wie es eigenthlich gewesen tetap menyinar walaupun samar, tapi masih sukar ditelan zaman, malah jika dapat digilap dan dapat dipraktik seperti apa yang dinyatakan oleh beliau alangkah baik, kerana dapat bertahan lama untuk dipertontonkan serta diwarisi oleh jenerasi seterusnya, dan bukanlah suatu perkara yang mustahil pada zaman ini kerana adanya kemajuan sains dan teknologi yang tinggi dan canggih dapat mempermudahkan kenyataan beliau, sama ada dalam bentuk penyelidikan dan penyimpanan sumber-sumber dalam bentuk bercetak, dokumentri, audio visual yang lebih nyata dan menarik

Page 9: Pengenalan Sejarah