penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

23
PENGGUNAAN KAEDAH PERMAINAN BERDASARKAN RANCANGAN TELEVISYEN (PBT) UNTUK MENINGKATKAN MOTIVASI MURID TAHUN 6 MELIBATKAN DIRI BAGI TAJUK KEGIATAN EKONOMI DAN LOKASINYA oleh Siti Salwa Binti Samsudin, Kalisvaran a/l Narayanasamy, Man Ah Keow Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Antarabangsa Abstrak Kajian Tindakan ini bertujuan untuk menentukan sejauh manakah penggunaan kaedah Permainan Berdasarkan Rancangan Televisyen (PBT) berkesan dalam meningkatkan motivasi murid tahun 6 melibatkan diri bagi tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya. Sampel kajian adalah terdiri daripada 16 orang murid tahun 6 di sebuah sekolah di Bandar Country Homes, Rawang. Instrumen kajian melibatkan penggunaan borang soal selidik, borang pemerhatian, skedul temubual, dan catatan jurnal. Dua pelajaran yang berlainan dijalankan, satu dengan menggunakan kaedah PBT dan satu lagi menggunakan kaedah tradisonal. Hasil dapatan kajian menunjukkan murid tahun 6 lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam pembelajaran tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya, apabila kaedah PBT digunakan berbanding penggunaan kaedah tradisional. Murid juga didapati lebih memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. 1

Upload: salwa-samsudin

Post on 15-Apr-2017

494 views

Category:

Education


5 download

TRANSCRIPT

Page 1: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

PENGGUNAAN KAEDAH PERMAINAN BERDASARKAN RANCANGAN TELEVISYEN (PBT) UNTUK MENINGKATKAN MOTIVASI MURID

TAHUN 6 MELIBATKAN DIRI BAGI TAJUK KEGIATAN EKONOMI DAN LOKASINYA

oleh

Siti Salwa Binti Samsudin, Kalisvaran a/l Narayanasamy, Man Ah Keow

Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Antarabangsa

Abstrak

Kajian Tindakan ini bertujuan untuk menentukan sejauh manakah penggunaan kaedah Permainan Berdasarkan Rancangan Televisyen (PBT) berkesan dalam meningkatkan motivasi murid tahun 6 melibatkan diri bagi tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya. Sampel kajian adalah terdiri daripada 16 orang murid tahun 6 di sebuah sekolah di Bandar Country Homes, Rawang. Instrumen kajian melibatkan penggunaan borang soal selidik, borang pemerhatian, skedul temubual, dan catatan jurnal. Dua pelajaran yang berlainan dijalankan, satu dengan menggunakan kaedah PBT dan satu lagi menggunakan kaedah tradisonal. Hasil dapatan kajian menunjukkan murid tahun 6 lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam pembelajaran tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya, apabila kaedah PBT digunakan berbanding penggunaan kaedah tradisional. Murid juga didapati lebih memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengurusan bilik darjah menurut Noraini & Shuki (2009), melibatkan kemahiran guru untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mempunyai hubungan yang baik, pemupukan motivasi dan pengurusan disiplin yang baik di dalam kelas. Menurut Kamaruddin (2010), persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dapat menarik perhatian murid di dalam kelas. Berdasarkan Model Terapi Realiti oleh Williams Glasser, keperluan asas murid perlu dipenuhi terlebih dahulu untuk mengurus tingkah laku bermasalah (Khine et. al, 2005). Ini bertujuan meningkatkan tahap pembelajaran murid dengan cara memenuhi empat keperluan psikologi murid iaitu keperluan kasih sayang, mempunyai kuasa dan kawalan, kebebasan dan keperluan keseronokan (Haliza & Samuel, 2009).

Menurut Mohamed Sharif et. al (2006) menyatakan persekitaran bilik darjah yang menyeronokkan dapat membantu murid memberi fokus pada aktiviti yang dilakukan

1

Page 2: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

kerana murid cenderung melakukan sesuatu yang menyeronokan. Kaedah ini menegaskan pelaksanaan pengajaran yang lebih bersifat membimbing, dan tidak menggunakan jenis paksaan atau autokratik (Haliza & Samuel, 2009). Kajian oleh Zaleha (n.d) di empat buah sekolah di sekitar Jitra, Kedah menunjukkan bahawa bilik darjah yang kondusif mempengaruhi tingkah laku dan pembelajaran murid-murid. Oleh yang demikian, ini membuktikan bahawa guru-guru di Malaysia telah mengaplikasikan konsep psikologi dalam pembelajaran bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan bersifat motivasi.

Sejak kebelakangan ini, para pendidik telah mengaplikasikan pelbagai teknik permainan dalam proses pengajaran mereka sebagai satu usaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik dan memotivasikan murid (Karen,2010). Quinn & Iverson (2005) turut menyatakan bahawa murid seharusnya dilibatkan secara aktif dan didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang sebenar supaya mereka boleh berubah dari seorang yang pasif kepada murid yang aktif (seperti yang dinyatakan Pannesse & Carlesi, 2007 dalam kajian mereka). Berasaskan kepada asas permainan dan persaingan, murid berupaya mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah mereka sambil melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan (MacKenty, 2006; dan Harris, 2009). Malah kajian lepas oleh Schaller (2006) turut bersetuju dengan teknik permainan di aplikasikan dalam bilik darjah. Ia dipercayai mampu menarik minat murid terhadap subjek yang dipelajari selain mampu membina konsep kendiri yang baik terhadap dirinya (Biehler & Snowman, 2006).

Apakah Isu Kajian Saya?

Kajian ini memberikan fokus terhadap masalah persekitaran pembelajaran yang tidak bermotivasi sebagai isu kajian saya. Sepanjang tiga fasa berpraktikum di sekolah, saya dapat memerhatikan tingkah laku yang sering dilakukan murid ialah bercakap bersama rakan ketika guru mengajar di hadapan kelas. Walaupun guru berjaya menarik perhatian murid, namun perhatian mereka tidak dapat dikekalkan, dan sering meminta izin untuk keluar ke tandas. Hal ini jelas dapat dilihat ketika saya mengajar tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

Setiap kali saya mengajar, saya menyedari terdapat beberapa orang murid yang suka memandang ke luar tingkap. Mereka amat tertarik dengan murid-murid yang lalu lalang di luar kelas. Malah murid lelaki yang berada di barisan belakang kelas pula seringkali saya dapati menyembunyikan sesuatu di bawah meja. Apabila saya meminta mereka mengeluarkannya, mereka hanya diam dan tidak menghiraukan saya. Ini membuatkan saya terpaksa menghentikan sesi pengajaran dan pembelajaran seketika untuk menegur murid dan menarik balik perhatian mereka. Seringkali saya merasakan juga saya lebih banyak terpaksa menegur murid daripada memfokuskan terhadap pengajaran saya.

(Catatan Jurnal No:57, 06 Mac 2014)

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, murid sering menunjukkan ekspresi yang tidak berminat dan membosankan. Sedangkan sesi pengajaran dan

2

Page 3: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

pembelajaran yang saya harapkan sepatutnya sesi pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan memandangkan tajuk ini merupakan salah satu tajuk yang amat menarik. Melihat kepada respon murid ini saya bertanyakan “Adakah kamu berasa seronok belajar subjek Kajian Tempatan di kelas cikgu?” Berdasarkan respon yang diberikan murid melalui soal jawab yang dilakukan, ianya lebih mengecewakan saya apabila jawapan yang diperolehi ialah:

Murid A : ‘Saya malas la cikgu.’Murid B : ‘Seronok kot. Boleh la.’Murid C : ‘Bosan la cikgu, boleh tak kita belajar tajuk lain?’

Contoh soalan kedua yang saya ajukan ialah lanjutan untuk mengetahui sebab murid tidak berminat dengan tajuk berkenaan. Saya mengajukan persoalan “Mengapakah kamu mengatakan tidak seronok belajar Kajian Tempatan?” Dan jawapan yang saya perolehi dari soal jawab ini ialah:

Murid A : ‘Banyak sangat nak baca la cikgu.’Murid B : ‘Entah la. Tak seronok la.’Murid C : ‘Alah bukan masuk exam pun cikgu.’

Disini jelas dapat menunjukkan murid tidak bermotivasi sama sekali semasa belajar di dalam kelas kajian Tempatan. Jawapan yang diberikan murid juga menunjukkan mereka mengambil mudah subjek ini memandangkan ianya bukan subjek teras. Apa yang saya harapkan, murid sentiasa berasa berlumba-lumba untuk belajar dan bersaing bersama rakan kelas semasa proses pembelajaran.

Pada pendangan saya, antara punca murid tidak bermotivasi belajar subjek ini ialah pengajaran yang berpusatkan guru. Ini merujuk kepada guru yang memfokuskan kepada pengawalan kelas sahaja. Guru ingin mengawal kelas dengan berjaya sehingga melupakan penglibatan murid sepanjang proses pengajaran dan pembelajarannya. Tambahan pula guru tidak memberi peluang kepada murid untuk menerokai sendiri pembelajaran dan persekitaran mereka.

Selain itu, saya juga berpendapat guru menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang tidak sesuai. Pemberian bahan bacaan yang berjela untuk dibaca menyebabkan murid cepat berasa bosan. Kebiasaannya, kelas Kajian Tempatan adalah selepas rehat atau pada waktu tengahari, maka penggunaan bahan bacaan sahaja sememangnya membosankan tanpa disertai aktiviti berpusatkan murid. Perkara ini dibuktikan melalui catatan jurnal saya:

Sesi pengajaran hari ini kurang ceria disebabkan murid berasa malas dan mengantuk selepas waktu rehat. Saya mengambil tindakan dengan menyebut nama murid bagi menarik kembali perhatian mereka kepada saya dan meneruskan pembacaan mereka.

(Catatan Jurnal No. 35, 25 Ogos 2013)

3

Page 4: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Saya melihat masalah ini dengan serius berdasarkan persoalan saya yang ketiga “Pada pandangan kamu, bagaimanakah sesi pembelajaran yang menyeronokkan?” Inilah jawapan yang saya perolehi:

Murid A : ‘Kita main permainan cikgu!’Murid B : ‘Kita belajar kat makmal komputer.’Murid C : ‘Saya nak main kuiz.’

Satu sesi temu bual juga dijalankan bersama guru Kajian Tempatan tahun 6 yang turut mengalami masalah yang sama. Berdasarkan pengalaman En. Nasharul (bukan nama sebenar) yang berpengalaman mengajar selama 6 tahun, beliau mengakui murid-murid sememangnya kerap hilang tumpuan di dalam kelas terutamanya pada jam 10 pagi keatas iaitu selepas waktu rehat. Pada pandangan beliau, hal ini kerana persekitaran pembelajaran murid yang tidak bermotivasi menyebabkan murid cepat hilang tumpuan.

Apakah Objektif Kajian Saya?

Objektif kajian ini adalah untuk menentukan sejauh manakah penggunaan kaedah Permainan Berdasarkan Rancangan Televisyen (PBT) berkesan dalam meningkatkan motivasi murid tahun 6 melibatkan diri bagi tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

Siapakah Kumpulan Sasaran Saya?

Kajian ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Taman Desa 1, Bandar Country Homes, Rawang. Responden kajian saya terdiri daripada murid Tahun 6 Uranus. Kelas 6 Uranus merupakan kelas ke tujuh daripada lapan buah kelas dari satu darjah tersebut. Oleh yang demikian, tahap kognitif murid adalah sangat rendah dan lemah. Akan tetapi, bukan semua murid di dalam kelas tersebut akan terlibat dalam kajian ini. Saya mensasarkan bilangan responden saya seramai 16 orang yang terdiri daripada 3 orang murid perempuan dan 13 orang murid lelaki.

Semasa sesi P&P berjalan, saya kerap terganggu dengan murid-murid yang melakukan kerja lain atau off-task seperti bersembang, mengusik rakan mereka dan keluar ke tandas berulang kali. Perkara yang paling tidak menyenangkan saya ialah murid lelaki yang keluar ke tandas merupakan beberapa murid yang sama. Melihat kepada situasi ini, saya menyangka mereka sengaja keluar kelas untuk mengelak dari sesi pembelajaran. Oleh itu saya mengambil tindakan dengan tidak membenarkan murid yang sama keluar kelas lebih dari sekali.

(Catatan Jurnal No. 46, 20 April 2014)

Secara rumusannya, kumpulan murid dari kelas ini merupakan kumpulan yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berpendidikan. Selain itu mereka juga mempunyai masalah disiplin yang kurang baik serta pencapaian akademik yang lemah. Maka, pengaplikasian kaedah ini akan menguji

4

Page 5: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

sejauh mana keberkesanan PBT dapat meningkatkan motivasi murid melibatkan diri dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

Apakah Tindakan Saya?

Bagi menilai keberkesanan kaedah, saya telah menjalankan dua sesi pengajaran yang menggunakan kaedah yang berbeza. Kaedah pertama ialah kaedah tradisional, manakala kaedah kedua ialah kaedah PBT. Kaedah tradisional yang saya jalankan merupakan kaedah pengajaran yang sudah menjadi kebiasaan dilaksanakan di dalam kelas. Manakala bahan bantu mengajarnya seperti buku teks, kertas sebak, bahan maujud, lembaran kerja dan papan putih. Semasa pelaksanaan kaedah PBT, saya telah menggunakan elemen multimedia seperti persembahan slaid power point dan rakaman bunyi yang berasaskan permainan dalam rancangan televisyen. Di sini murid dikehendaki bersaing antara kumpulan bagi mengumpul markah setiap kumpulan. Saya juga telah meminta bantuan rakan sebagai pemerhati untuk menilai perubahan tingkah laku semasa menjalankan kedua-dua sesi pengajaran ini.

Pada minggu pertama pelaksanaan kajian, saya telah mengajar tajuk Kegiatan Perindustrian dan Lokasinya. Saya menjalankan set induksi dengan menggunakan bahan maujud yang mengkehendaki murid menyentuh, menghidu dan meneka bahan tersebut. Saya telah meletakkan bahan tersebut dalam sebuah bungkusan hitam dan menunjukkannya di hadapan kelas. Ternyata murid tertanya-tanya dan teruja untuk mengetahui isi di dalam bungkusan tersebut. Saya tidak terus mengeluarkan bahan tersebut, sebaliknya saya memilih beberapa orang murid untuk memasukkan tangan mereka ke dalam bungkusan tersebut dan memegang, menyentuh dan merasa bentuk bahan tersebut. Kemudian murid dikehendaki meneka bahan tersebut sebelum saya mengeluarkannya di hadapan kelas. Masa yang diperuntukkan bagi set induksi ialah lima minit.

Berdasarkan pemerhatian saya, murid amat teruja semasa saya menunjukkan sebuah bungkusan hitam dan meminta mereka menghidu, merasa, memegang dan meneka bahan yang terdapat dalam bungkusan tersebut. Ternyata mereka berminat untuk memberikan pendapat dan kesungguhan mereka amat jelas. Apabila saya mengeluarkan bahan tersebut dari bungkusan, murid yang meneka dengan betul menjerit kepuasan kerana berjaya meneka dengan betul. Saya berasa amat berpuas hati kerana mereka menunjukkan minat terhadap pengajaran saya.

(Catatan Jurnal No: 48, 10 Julai 2014)

Pada langkah pertama permulaan pengajaran, saya telah membahagikan murid kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan diberikan puzzle bergambar. Ahli setiap kumpulan dikehendaki menyusun puzzle tersebut sambil dibimbing oleh saya. Setelah murid menyelesaikan puzzle tersebut, murid diminta menyatakan jenis perindustrian tersebut berdasarkan buku teks. Kemudian, saya telah memberikan penerangan ringkas kepada murid berdasarkan buku teks tentang jenis perindustrian yang mereka nyatakan.

5

Page 6: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Saya juga menyoal beberapa orang murid secara rawak tentang isi pelajaran yang saya terangkan. Masa yang diperuntukkan untuk langkah ini ialah 15 minit.

Ketika menyusun puzzle di dalam kumpulan, mereka memberikan kerjasama dan menyusun bersama-sama kepingan puzzle yang telah diceraikan. Murid juga dapat membuat perkaitan antara gambar puzzle dengan jenis kegiatan ekonomi yang dijalankan. Kesimpulannya, mereka berjaya menyelesaikan puzzle tersebut.

(Catatan Jurnal No: 49, 10 Julai 2014)

Seterusnya pada langkah kedua, saya mengekalkan murid dalam kumpulan yang sama. Rasional saya membahagikan murid kepada beberapa kumpulan kerana menurut Slavin (1991, seperti yang dinyatakan oleh Jasmine, 2013), pembelajaran koperatif dapat menggalakkan murid untuk saling membantu dalam menguasai sesuatu kemahiran. Saya meminta murid membaca senyap dan meneliti kawasan perindustrian di Malaysia berdasarkan buku teks. Di samping itu, saya juga mengedarkan setiap kumpulan satu lembaran kertas sebak peta Malaysia gergasi. Saya menerangkan arahan kepada murid dan meminta mereka melabelkan kawasan perindustrian di peta Malaysia gergasi berdasarkan buku teks bersama-sama ahli kumpulan menggunakan kertas penanda yang telah di berikan. Setelah murid selesai melabelkan peta, hasil kerja murid telah dibincangkan bersama-sama. Saya bersoal jawab dengan jawapan yang diberikan murid dan menunjukkan jawapan yang betul di paparan slaid. Aktiviti ini mengambil masa selama 20 minit.

Semasa pelaksanaan aktiviti kumpulan, saya mendapati murid lebih berminat untuk melaksanakan tugasan yang diberikan berbanding melaksanakan tugasan secara individu. Ini diakui sendiri oleh murid, di mana mereka selesa bekerja dalam kumpulan kerana kerja menjadi lebih mudah. Tujuan saya membahagikan murid kepada kumpulan adalah supaya murid yang tidak menumpukan perhatian di dalam kelas dapat belajar daripada ahli kumpulan yang lain. Walaupun ada segelintir yang tidak mengendahkan tugasan yang diberikan dan tidak memberikan kerjasama kepada ahli kumpulan, namun saya masih bersyukur mereka tidak melakukan kerja lain atau mengganggu rakan lain.

(Catatan Jurnal No: 50, 10 Julai 2014)

Pada langkah ketiga pula, saya mengedarkan satu lembaran kerja individu kepada murid. Murid dikehendaki membaca dan membulatkan pilihan jawapan yang betul pada lembaran kerja tersebut. Murid juga telah dipantau dan dibimbing bagi menyiapkan tugasan tersebut. Setelah selesai, murid bersoal jawab bagi membincangkan jawapan yang betul. Namun hanya beberapa orang murid sahaja yang memberikan kerjasama ketika sesi perbincangan jawapan. Saya mendapati murid tidak memberikan perhatian kepada saya dan berasa malas.

Di akhir sesi penutup pengajaran, saya telah mengedarkan satu borang soal selidik kepada setiap murid. Murid diterangkan arahan dan cara menjawab soalan soal selidik tersebut. Mereka perlu menandakan skala yang berkenaan pada pernyataan item

6

Page 7: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

dalam borang tersebut. Borang tersebut dikutip kembali setelah selesai ditanda oleh murid. Masa yang diperuntukkan bagi langkah ini ialah 5 minit. Kemudian murid B, C, E, H, dan K yang fasih berbahasa Melayu dan diyakini boleh memberikan maklumat yang paling banyak dipilih untuk sesi temubual. Semua dapatan temu bual dengan murid-murid berkenaan direkodkan untuk tujuan analisis. Rajah 5 menunjukkan sesi temu bual yang dijalankan.

Pada minggu seterusnya, saya sekali lagi masuk ke kelas 6 Uranus untuk mengajar tajuk Kegiatan Pertanian dan Lokasinya. Aktiviti pengajaran di set induksi, langkah pertama, langkah kedua dan penutup dikekalkan sama seperti di kaedah pengajaran tradisional kerana saya tidak mahu aktiviti yang berlainan akan mempengaruhi keberkesanan kaedah PBT yang saya aplikasikan.

Semasa melaksanakan aktiviti melabel kawasan pertanian di peta Malaysia Gergasi ini, saya mendapati perbezaan yang ketara pada perubahan tingkah laku murid. Semasa di pelaksanaan pengajaran tradisional, murid kelihatan masih ragu-ragu dan kerap bertanya cara untuk melengkapkan tugasan ini. Berbanding semasa pelaksanaan pengajaran kedua, murid sudah mendapat pendedahan dan tidak lagi ragu-ragu untuk melengkapkan peta Malaysia Gergasi tersebut. Malah purata masa yang diambil oleh setiap kumpulan untuk menyelesaikannya juga lebih singkat berbanding di pengajaran tradisonal.

(Catatan Jurnal No: 54, 17 Julai 2014)

Seterusnya di langkah yang ketiga, saya telah menggantikan kaedah lembaran kerja individu kepada pengaplikasian kaedah PBT. Saya telah mengekalkan murid dalam kumpulan yang sama. Sebelum saya memulakan permainan kuiz ini, saya telah memberikan penerangan kepada murid terlebih dahulu cara untuk bermain.

Setiap kumpulan diberikan satu set kad pilihan jawapan. Murid telah ditayangkan satu paparan slaid permainan kuiz dan diterangkan cara serta arahan bermain permainan ini. Konsep permainan kuiz ini sebenarnya di adaptasi dari program rancangan televisyen yang popular iaitu rancangan ‘Who want’s to be a millionaire?’. Saya telah melakukan sedikit penambahbaikan mengikut kesesuaian pembelajaran namun masih mengekalkan konsep asal permainan ini. Setiap soalan juga mempunyai nilai mata, maka kumpulan yang berjaya menjawab soalan dengan betul akan memperoleh nilai mata bagi kumpulan mereka. Setiap nilai mata semakin meningkat pada setiap soalan. Bagi melihat soalan yang akan dipaparkan, saya perlu mengklik pada kotak soalan berwarna merah. Kemudian soalan akan dipaparkan.

Kemudian saya membacakan soalan dan pilihan jawapan seperti yang dipaparkan dalam slaid tersebut. Semasa slaid ini dipaparkan, terdapat juga unsur bunyi yang menggunakan tema rancangan ‘Who want’s to be a millionaire?’. Ini bertujuan untuk menyediakan murid satu situasi sebenar seperti di rancangan televisyen selain mewujudkan unsur mendebarkan. Sebelum menjawab soalan tersebut, murid dikehendaki berbincang terlebih dahulu bersama ahli kumpulan.

7

Page 8: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Di samping itu, saya juga memantau dan membimbing aktiviti murid. Setelah murid yakin dengan perbincangan kumpulan mereka dan telah mempunyai satu pilihan jawapan yang betul, mereka dikehendaki mengangkat kad jawapan yang mengandungi pilihan jawapan A, B, C atau D. Setiap kumpulan hanya dibenarkan mengangkat satu kad pilihan jawapan sahaja.

Setelah murid dari setiap kumpulan mengangkat pilihan jawapan, saya akan menekan pilihan jawapan berdasarkan pilihan jawapan yang diberikan murid. Bagi kumpulan yang dapat menjawab dengan betul, pilihan jawapan di slaid akan bertukar menjadi warna hijau (Rajah 1). Manakala sekiranya kotak pilihan jawapan bertukar menjadi warna merah, mereka telah memilih jawapan yang salah dan tiada mata akan dikumpul bagi kumpulan tersebut (Rajah 2).

Rajah 1. Satu paparan teks akan timbulmenunjukkan ‘Tahniah, jawapan anda betul’

Rajah 2. Satu paparan teks akan timbul menunjukkan ‘Maaf, jawapan anda salah’.

8

Page 9: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Sepanjang pemerhatian saya, murid kelihatan sangat seronok dan bermotivasi untuk mencuba menjawab soalan yang dipaparkan. Tambahan lagi dengan debaran bunyi yang dihasilkan dari lagu tema rancangan televisyen, ‘‘Who want’s to be a millionaire?’. Malah murid dalam setiap kumpulan bersorak keriangan dan bertepuk tangan ketika jawapan dari kumpulan mereka betul. Perkara ini telah mencipta satu situasi bilik darjah yang positif di mana semua murid menumpukan perhatian dan bersaing antara satu kumpulan untuk mengumpul mata bagi memenangi kuiz ini. Perubahan ketara yang saya lihat dan rasai, saya tidak lagi perlu menegur murid berulang kali atau memanggil nama mereka yang tidak menumpukan perhatian. Saya melihat perubahan ini sebagai sesuatu yang baik dan kaedah ini amat membantu meningkatkan motivasi murid 6 Uranus untuk melibatkan diri dalam pembelajaran tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

(Catatan Jurnal No: 53, 17 Julai 2014)

Di akhir sesi penutup pengajaran, saya mengedarkan sekali lagi satu borang soal selidik yang sama kepada setiap murid. Murid diterangkan arahan dan cara menjawab soalan soal selidik berdasarkan pembelajaran hari tersebut. Borang tersebut di kutip kembali setelah selesai ditanda oleh murid. Masa yang diperuntukkan bagi langkah ini ialah 5 minit.

Bagaimanakah Saya Mengumpul Data?

Saya telah menggunakan instrumen soal selidik, borang pemerhatian, skedul temu bual dan juga beberapa sokongan dari catatan jurnal semasa saya menjalankan praktikum dan internship di sekolah.

i. Soal Selidik

Sebelum murid menjawab soal selidik yang diberikan, saya telah memberikan sedikit penerangan kepada murid supaya mereka jelas dan faham item soal selidik yang diajukan bagi memudahkan murid memahami kehendak item soalan tersebut. Malah saya juga menegaskan item yang disoal bukan ujian dan tiada soalan perangkap, serta tiada jawapan yang betul atau salah. Mereka hanya perlu menandakan pernyataan yang benar tentang perasaan mereka. Menurut Barbara (2006), ini dapat mengurangkan perasaan bimbang murid untuk menandakan perkara yang betul mengenai diri mereka.

Saya juga menggunakan skala Likert 5 mata berdasarkan objektif kajian. Menurut Azizi (2006), kaedah penandaan skor skala likert dipercayai lebih mudah bagi menguji perubahan sikap dan tingkah laku. Item soal selidik yang telah dibina terdiri daripada tiga item positif dan dua item negatif. Penghasilan item soal selidik ini juga telah di rintis oleh panel penilai yang terdiri daripada Ketua Panitia Kajian Tempatan, guru Kajian Tempatan tahun 6 Uranus, pensyarah Penyelidikan Tindakan dan dua orang penyelia kertas Penyelidikan Tindakan saya. Bagi memudahkan pemahaman murid terhadap item soal selidik yang diberi, saya membacakan dan menerangkan maksud setiap item soalan agar mengurangkan salah faham atau kemusykilan dalam diri murid.

9

Page 10: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

ii. Borang Pemerhatian

Saya menggunakan borang pemerhatian ini pada kaedah pengajaran secara tradisional dan moden. Rasionalnya, saya ingin melihat perubahan tingkah laku murid semasa saya menggunakan kaedah pengajaran yang berbeza. Saya juga telah melantik seorang rakan sebagai pemerhati dan penilai semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Borang pemerhatian yang disediakan juga mengandungi beberapa kriteria yang perlu dinilai oleh pemerhati. Borang pemerhatian yang dihasilkan ini adalah hasil perbincangan bersama rakan dan penyelia kertas penyelidikan tindakan saya.

iii. Temu bual

Rasionalnya saya memilih instrumen ini ialah saya dapat memperoleh maklumat yang lebih banyak dan pelbagai dari pendapat dan perasaan responden. Temu bual ini saya jalankan dengan cara menemu bual murid yang terpilih secara individu di tempat yang selesa seperti di bilik perpustakaan. Reidenbach dan Geoke (2006, seperti yang dinyatakan oleh Jasmine, 2013), menjelaskan bahawa temu bual secara one-to-one dapat mengurangkan ketidakselesaan responden, seterusnya membolehkan mereka berkongsi secara terbuka dan memberi maklumat lanjut. Tempoh masa saya menjalankan sesi temu bual ini adalah selama 10 minit untuk kaedah pengajaran tradisional dan moden.

Semasa melaksanakan kajian, saya telah menggunakan soalan temu bual berstruktur yang telah mendapat pengesahan daripada panel penilai sebelum disoal kepada responden. Ini bertujuan memastikan maklumat yang diperolehi daripada responden menepati maklumat yang ingin dikutip (Schmidt & Zimmerman, 2004; seperti yang dinyatakan oleh Jasmine, 2013). Oleh yang demikian, saya telah menemu bual lima orang responden bagi mencungkil dengan lebih lanjut perasaan dan pandangan mereka terhadap proses pengajaran saya. Pemilihan persampelan bertujuan seperti ini adalah kerana saya ingin mendapatkan responden yang benar-benar akan membekalkan maklumat yang paling banyak sehingga jawapan yang diperolehi menjadi tepu.

iv. Catatan Jurnal

Catatan jurnal ini di tulis setiap kali selepas sesi pengajaran dan pembelajaran yang mencatatkan segala perubahan dan kejadian yang dialami dan difikirkan oleh pengkaji. Maka dengan adanya catatan jurnal ini, saya dapat melihat dengan lebih jelas kekurangan dan kelebihan saya sepanjang saya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran disamping dapat menentukan keberkesanan kaedah PBT dapat meningkatkan motivasi murid Tahun 6 Uranus melibatkan diri dalam pembelajaran tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

10

Page 11: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Apakah Keputusan Kajian Saya?

Min item telah dimasukkan ke dalam Jadual 1 seperti di bawah.

Jadual 1Perbandingan Skor Min bagi Kaedah Pengajaran Tradisional dan Kaedah PBT.Bil Item Min Beza Min

Kaedah Tradisional

KaedahPBT

1 Saya berasa berminat untuk mengikuti pelajaran Kajian Tempatan pada hari ini.

4.00 4.82 0.82

2 Saya melibatkan diri dalam pelajaran Kajian Tempatan pada hari ini.

3.18 4.50 1.32

3 Saya kurang bersemangat dengan pengajaran guru Kajian Tempatan pada hari ini.

2.31 1.25 - 1.06

4 Saya mengambil bahagian dalam aktiviti pelajaran Kajian Tempatan pada hari ini.

3.38 4.00 0.62

5 Saya berasa bosan dengan sesi soal jawab semasa pelajaran Kajian Tempatan pada hari ini.

2.88 1.13 - 1.75

Bagi item 1, skor min bagi kaedah tradisional ialah 4.0. Manakala skor min bagi kaedah PBT ialah 4.82. Skor min bagi kaedah PBT dicatatkan lebih tinggi berbanding skor min kaedah tradisonal iaitu sebanyak 0.82 perbezaan skor min. Ini menunjukkan bahawa pengaplikasian kaedah PBT telah meningkatkan minat murid untuk mengikuti pelajaran tajuk Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

Bagi item 2 pula, skor min bagi kaedah tradisional ialah 3.18 manakala min skor bagi kaedah PBT ialah 4.5. Ini menunjukkan bahawa penglibatan murid semasa kaedah pengajaran PBT lebih tinggi berbanding semasa pengajaran tradisional dengan perbezaan skor min sebanyak 1.32. Dapatan ini sejajar dengan dapatan dari item 1 yang menunjukkan bahawa peningkatan minat murid telah mendorong murid untuk melibatkan diri dalam pelajaran Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya.

Bagi item 3, skor min bagi kedua-dua kaedah tradisional dan kaedah PBT ialah 2.31 dan 1.25. Skor min bagi kaedah pengajaran PBT adalah lebih rendah berbanding skor min kaedah tradisional. Perbezaan skor min bagi kedua-dua kaedah ini mencatatkan sebanyak -1.06 rendah dari kaedah tradisional. Ini menunjukkan bahawa telah berlaku perubahan motivasi dalam diri murid amat bersemangat dengan pengajaran guru dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pembelajaran.

11

Page 12: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Bagi item 4, skor min bagi kaedah tradisional ialah sebanyak 3.38 manakala skor min bagi kaedah PBT pula ialah 4.0. Kaedah PBT telah mencatatkan skor min yang lebih tinggi iaitu sebanyak 0.62 berbanding skor min bagi kaedah tradisional. Peningkatan skor min dari kaedah tradisional ke kaedah PBT ini telah menunjukkan bahawa murid mengambil bahagian sepanjang aktiviti pelajaran dijalankan di dalam kelas.

Bagi item 5, kaedah tradisional telah mencatatkan skor min yang lebih tinggi berbanding skor min kaedah PBT iaitu sebanyak 2.88 berbanding 1.13. Perbezaan skor min menunjukkan perbezaan min sebanyak -1.75. Dapatan ini menunjukkan dengan pengaplikasian kaedah PBT telah membantu murid meningkatkan motivasi diri dan mengelakkan rasa bosan ketika sesi pembelajaran.

Untuk meneliti dan menilai dengan lebih lanjut keberkesanan kaedah PBT yang telah digunakan ini, saya telah menjalankan satu sesi temu bual bersama lima orang responden untuk menyokong dapatan saya. Apabila ditanya “Adakah anda berasa bersemangat untuk melibatkan diri dalam pembelajaran hari ini? Mengapa?” murid yang ditemu bual memberi respons yang berikut:

Murid B: ‘Saya rasa sangat bersemangat dan teruja untuk menjawab soalan kuiz yang cikgu tunjukkan di slaid, baru best ada bunyi. Cikgu lain tak buat macam ni.’

Murid C: ‘Saya rasa lagi seronok buat aktiviti kuiz secara berkumpulan dan boleh bincang. Nanti cikgu buat lagi ye kuiz macam ini. Boleh bincang sama-sama dalam kumpulan dan boleh kutip mata, siapa paling banyak mata, kumpulan dia menang. Kami pun tak bosan.’

Murid H: ‘Saya semangat sebab kerja berkumpulan ada semangat berpasukan. Kumpulan saya memang semangat nak menang. Tambah lagi cikgu ajar guna komputer, ada bunyi-bunyi, warna. Bila nak tunggu jawapan tu rasa berdebar je sebab bunyi dia mendebarkan. Saya rasa nak jawab semua betul. Saya memang berminat dengan cara cikgu mengajar, rasa senang je nak belajar subjek ni.’

Murid K: ‘Semasa kuiz dijalankan, saya berasa tidak sabar untuk mengetahui jawapan kami. Perasaan berdebar-debar tambahan lagi setiap soalan ada markah. Lagi-lagi jika dapat menjawab dengan betul, mesti rasa nak jerit sebab rasa puas. Baru la semangat cikgu!’

Berikut adalah catatan jurnal yang saya rekodkan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran yang juga selaras dengan dapatan temu bual di atas:

Semasa menyemak jawapan murid, saya mendapati bahawa rata-rata semua kumpulan dapat menyelesaikan hampir kesemua enam soalan dengan betul. Nampaknya, mereka lebih bermotivasi untuk mengikuti aktiviti pembelajaran dan sekaligus melibatkan diri semasa pengaplikasian

12

Page 13: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

kaedah PBT. Semua murid dalam kumpulan menunjukkan kesungguhan untuk berbincang bersama-sama bagi mendapatkan jawapan yang betul. Malah ada antara kumpulan yang menjerit kepuasan apabila jawapan yang diberikan mereka betul. Murid juga memberikan lebih tumpuan dan fokus ketika soalan kuiz di ujarkan kerana mereka menyedari kelalaian mereka akan menyebabkan kumpulan kehilangan markah. Persaingan sihat yang dapat diwujudkan berdasarkan kuiz permainan ini benar-benar membuatkan murid teruja dan berlumba-lumba untuk meneruskan pembelajaran. Ternyata mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing kerana boleh bekerja dalam satu pasukan dan mencapai objektif yang sama. Oleh yang demikian, keyakinan saya terhadap penggunaan kaedah PBT semakin bertambah.

(Catatan Jurnal No.55, 17 Julai 2013)

Saya turut menyertakan pemerhatian yang telah dilakukan bagi menguatkan sokongan dapatan kajian saya. Jadual 2 dibawah menunjukkan analisis data pemerhatian yang telah dijalankan.

Jadual 2Analisis Data Borang PemerhatianBil. Item Kaedah Beza

kekerapanTradisional

PBT

1. Murid bersemangat untuk bertanya soalan semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku.

2 5 3

2. Murid bersemangat untuk menjawab soalan semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku.

2 10 8

3. Murid melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran.

1 13 12

4. Murid kelihatan seronok dan tidak sabar untuk meneruskan pembelajaran.

5 14 9

5. Murid melibatkan diri semasa aktiviti kumpulan. 10 13 3

6. Murid kerap mengganggu rakan yang lain. 5 0 - 5

7. Murid membuat kerja lain. 3 0 - 3

Merujuk kepada Jadual 2 di atas, terdapat tujuh item yang telah digunakan dalam borang pemerhatian. Ia menunjukkan perbandingan kekerapan tingkah laku murid yang diperhatikan semasa pelaksanaan kaedah pengajaran tradisional dan PBT. Hasil analisis daripada borang pemerhatian telah menunjukkan respon murid terhadap penggunaan kaedah PBT adalah positif dan berkesan. Sebagai contoh, item 1, 2, 3, 4, dan 5 menunjukkan kekerapan yang lebih tinggi semasa pelaksanaan kaedah PBT.

13

Page 14: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Bagi item 1 dan 2, kekerapan yang dicatatkan bagi kaedah tradisional adalah 2 bagi kedua-dua item. Manakala bagi kaedah PBT, kekerapan yang dicatatkan adalah 5 dan 10. Perbezaan kekerapan yang dicatatkan ini menunjukkan dengan jelas, murid lebih bersemangat untuk bertanya dan menjawab soalan semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Hal ini kerana murid dari kelas lemah amat sukar untuk bersoal jawab terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi item 3, kekerapan yang dicatatkan pada kaedah tradisional adalah 1. Bagi kaedah PBT, kekerapan adalah 13. Ini telah menunjukkan penglibatan murid yang aktif dalam proses pembelajaran semasa kaedah PBT digunakan.

Bagi item 4, kekerapan yang dicatatkan adalah 5 bagi kaedah tradisional. Manakala bagi kaedah PBT, kekerapan adalah 14. Perbezaan kekerapan ini menunjukkan murid seronok dan tidak sabar untuk mengikuti pengajaran dengan kaedah PBT.

Bagi item 5, kekerapan bagi kaedah tradisional adalah 10 manakala kaedah PBT pula adalah 13. Ini menunjukkan murid melibatkan diri semasa aktiviti kumpulan dan saling bekerjasama. Menurut Kagan (1992) murid dalam satu kumpulan akan saling bergantung untuk menyelesaikan masalah dan mencapai satu matlamat yang sama. Catatan temu bual di bawah menunjukkan pendapat yang diberikan murid:

Murid K: “Saya lebih berminat untuk belajar dalam berkumpulan daripada seorang diri sebab kawan saya boleh bantu saya. Dan kami boleh dapatkan jawapan bersama. Barulah saya rasa lebih yakin”

Bagi item negatif iaitu item 6 dan 7, terdapat perbezaan kekerapan semasa kaedah tradisional dan kaedah PBT digunakan. Setelah melaksanakan kaedah pengajaran PBT, tiada lagi murid yang dicatatkan mengganggu rakan dan membuat kerja lain semasa proses pembelajaran berlaku.

Kesimpulannya, dapatan analisis ini menunjukkan matlamat kajian telah tercapai. Kaedah pengajaran PBT iaitu Kuiz Jutawan Ilmu telah membina semangat motivasi murid bagi merangsang mereka melibatkan diri dalam pembelajaran topik Kegiatan Ekonomi dan Lokasinya. Murid yang sebelum ini pasif dan tidak bermotivasi untuk mengikuti pembelajaran telah menunjukkan satu perubahan sikap yang positif dan membanggakan.

Perbincangan

Semasa kajian dijalankan, saya telah mendapati murid kelihatan teruja dan bersemangat untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Hal ini kerana kaedah PBT ini mempunyai pelbagai unsur multimedia interaktif seperti bunyi yang mendebarkan, animasi dan pelbagai warna yang menarik perhatian murid. Karen (2010) mengakui, kelebihan permainan berunsur interaktif ialah dapat meningkatkan keseronokan dan persaingan sihat serta membina motivasi diri murid, sekaligus meransang mereka untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Oleh itu, dalam

14

Page 15: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

masa yang sama juga, saya telah dapat mengurangkan masalah murid yang kerap mengganggu rakan dan melakukan kerja lain semasa pembelajaran.

Tambahan lagi, saya juga mendapati kaedah PBT telah membantu meningkatkan kerjasama murid di dalam sesebuah kumpulan. Berdasarkan dapatan kajian dari kaedah PBT, ia jelas menunjukkan teknik permainan telah membina penglibatan murid yang aktif di dalam bilik darjah. Menurut Franklin, Peat & Lewis (2003), permainan menggalakkan murid bekerjasama dalam satu kumpulan dan seperti biasa ia menyumbang kepada penglibatan aktif murid yang menghasilkan persekitaran pembelajaran yang berkesan. Ini amat bertepatan dengan objektif kajian saya yang mengkehendaki murid melibatkan diri secara aktif di dalam proses pembelajaran dan bukan hanya sebagai penerima pasif. Saya juga akui murid dalam kumpulan menunjukkan kerjasama yang erat disamping saling berkongsi idea dan pendapat, menyatakan ketidaksetujuan tentang sesuatu perkara dan seterusnya sepakat memilih satu keputusan yang dipersetujui bersama.

Selain itu, dalam kajian ini saya telah mempelajari satu kelebihan lain kaedah PBT ialah pengumpulan mata token bagi setiap kumpulan telah meningkatkan motivasi diri murid untuk bersaing dalam pembelajaran. Ini kerana murid akan berlumba-lumba untuk mendapatkan token bagi kumpulan mereka melalui jawapan kuiz yang tepat sekaligus memenangi Kuiz Jutawan Ilmu. Perkara ini amat jelas dilihat semasa murid berjaya menjawab dengan betul, murid secara spontan akan menjerit dan bertepuk tangan kegembiraan kerana berjaya memperoleh mata token bagi kumpulan mereka. Motivasi diri murid menjadi lebih bertambah apabila jumlah mata yang berjaya diperolehi lebih besar menerusi peringkat soalan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan semasa melaksanakan kaedah PBT. Salah satu perkara yang boleh menjejaskan keberkesanannya ialah kekurangan kemahiran menggunakan bahan IT dan multimedia akan menjadikan pengajaran menjadi sukar. Hal ini kerana kaedah PBT menggunakan bahan multimedia interaktif yang memerlukan seseorang guru menggunakan kemahiran IT untuk mengaplikasikannya. Situasi ini terjadi semasa kajian saya apabila slaid Kuiz Jutawan Ilmu yang digunakan saya tidak mengeluarkan bunyi pada permulaan permainan. Setelah diteliti, saya mendapati saya tidak menetapkan cara untuk mengeluarkan bunyi tersebut secara automatik. Oleh itu, jika guru ingin menggunakan kaedah PBT, guru perlu mempunyai kemahiran IT bagi mengatasi masalah kecil yang mungkin terjadi seperti dalam situasi kajian saya tidak berulang.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan satu cara penambahbaikan baru dengan menyediakan satu modul khas manual penggunaan bahan interaktif kaedah PBT dalam bentuk cakera padat (CD). Manual penggunaan ini akan menerangkan cara penggunaan slaid Kuiz Jutawan Ilmu tersebut dengan lebih terperinci. Rasional manual ini disediakan dalam bentuk CD juga adalah kerana saya ingin pengguna mendapat gambaran grafik yang sebenar cara mengendalikan slaid tersebut. Cara ini difikirkan dapat mengurangkan kegusaran guru yang kurang berkemahiran menggunakan IT. Tambahan pula, pada pendapat saya, sesuatu bahan pengajaran yang baik hendaklah bersifat mesra pengguna. Maka dengan adanya modul manual penggunaan ini, sudah

15

Page 16: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

pastinya guru tidak akan merasakan kaedah PBT menjadi kekangan untuk diaplikasikan dalam bilik darjah mereka.

Selain itu, saya turut mengesan dalam kumpulan yang dibina semasa kaedah PBT, terdapat beberapa orang murid yang kerap mendominasi perbincangan kumpulan tersebut. Memandangkan kaedah PBT dijalankan secara berkumpulan, saya telah mengesan segelintir murid yang sama mengangkat pilihan jawapan dan ingin mengetuai perbincangan. Hal ini telah menyebabkan beberapa ahli kumpulan yang lain tidak mendapat hak kesamarataan untuk menjawab dan mengangkat pilihan jawapan. Oleh itu, jika guru terus membiarkan perkara ini, ia akan menyebabkan ketidakpuasan hati ahli kumpulan dan pada masa akan datang akan menyebabkan perselisihan faham antara ahli.

Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan langkah penambahbaikan untuk gelungan kedua menggunakan strategi Numbered Head Together. Cara melaksanakannya ialah setiap ahli dalam kumpulan akan diberikan satu nombor yang berbeza, dan murid dikehendaki bekerjasama mencari jawapan daripada soalan yang diutarakan sebelum guru menyebut salah satu nombor secara rawak (Teacher Vision, 2014). Murid yang disebut nombornya perlu menyatakan jawapan bagi mewakili kumpulan mereka. Strategi ini akan diulangi lagi dengan menyebut nombor yang lain pada soalan seterusnya. Jesteru, peluang yang sama rata dapat diberikan kepada semua murid disamping mewujudkan rasa tanggungjawab setiap ahli dalam proses pembelajaran (Terenzini & Pascarella, 1994 seperti yang dinyatakan dalam Teacher Vision, 2014).

Selain daripada strategi Number Head Together bagi mengatasi masalah murid yang sama mendominasi sesebuah kumpulan tersebut, saya mencadangkan juga guru memecahkan kumpulan kepada bilangan yang lebih kecil agar setiap ahli dapat memainkan peranan yang penting. Ianya merujuk kepada teknik di mana murid melibatkan diri dengan meneroka, memproses dan menghasilkan maklumat baru daripada hanya menjadi kumpulan minoriti sahaja (Van De Bogart, 2009). Dengan cara ini, murid dalam kumpulan yang lebih kecil akan berusaha bersama-sama dan mempunyai peluang untuk menonjolkan diri.

Bukan itu sahaja, saya bercadang menambahbaik kaedah PBT dengan menerapkan elemen yang telah dicadangkan oleh Rotter (2004), guru mengajar muridnya menyediakan catatan nota untuk permainan Jeopardy! ke dalam kaedah PBT. Sebelum murid menjawab ‘Kuiz Jutawan Ilmu’, murid perlu menyediakan catatan nota terlebih dahulu bagi memperkukuh isi pembelajaran yang mereka perolehi. Dengan ini saya pasti dapat membantu murid yang kurang bersedia menghadapi kuiz tersebut dengan penyediaan nota ringkas yang akan meningkatkan lagi keseronokan dan motivasi dalam bilik darjah. Memandangkan persaingan semulajadi dihasilkan melalui permainan ini, saya percaya permainan ini akan lebih berjaya dengan adanya persediaan sebelum permainan dimulakan selain sebagai pengukuhan tambahan.

16

Page 17: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

SENARAI RUJUKAN

Azizi Hj. Yahya. (2006). Menguasai penyelidikan dalam pendidikan. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Barbara Prashnig. (2006). Learning styles and personalized teaching. London: Network Continuum Education.

Franklin, S., Peat, M., & Lewis, A. (2003). Nontradisional interventions to stimulate discussion: the use of games and puzzles. Journal of Biological Education, 37, 79-84.

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2009). Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Oxford Fajar Sdn. Bhd : Shah Alam, Selangor.

Harris, C. (2009). Meet the new school board: Board games are back-and they’re exactly what your curriculum needs. School Library Journal, 55, 24-26.

Jasmine Low Hui Jean. (2013). Keberkesanan penggunaan garisan dalam meningkatkan kebolehan murid tahun 4 mendarab nombor dua digit dengan dua digit. Tesis ijazah sarjana muda tidak diterbitkan, IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, Malaysia.

Kagan, S. (1992). Cooperative learning. San Juan Capistrano: Kagan Cooperative Learning.

Kamaruddin Hj. Husin. (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Karen, A., Milczynski,. (2010). Literature review: Effectiveness of gaming in the classroom. Diperoleh pada Januari 23, 2014 dari https://www.msu.edu/

MacKenty, B. (2006). All play and ni work. School Library Journal, 52, 46-48.

Mohamed Sharif b. Mustafa., Roslee b. Ahmad, dan Hamdan Abd. Kadir (2006). Teori dan praktis kaunseling kelompok kontemporari. Johor Bharu: Cetak Ratu Sdn. Bhd.

Myint Swe Khine., A. Lourdusamy., Quek Choon Lang., and Angela F.L Wong (2005). Classroom management faciliting teaching and learning. Singapore: Prentice Hall.

Noraini Idris dan Shuki Osman (2009). Pengajaran dan Pembelajaran, Teori dan Praktis. Malaysia: Mc Graw Hill Education

17

Page 18: Penggunaan kaedah permainan berdasarkan rancangan televisyen meningkatkan motivasi murid

Pannese, L. & Carlesi, M. (2007). Games and learning come together to maximize effectiveness: The challenge of bridging the gap. British Journal of Educational Technology, 38(3), 438-454.

Robert F. Biehler., and Jack Snowman. (2006). Psychology Applied to Teaching, Teaching in Action Guide 11th ed. Houghton Mifflin

Rotter, K. (2004). Modifying “Jeopardy!” Games to benefit all students, Teaching Exceptional children, 36, 58-62.

Schaller, D. (2006). What makes a learning games?. Diperoleh pada Jan 22, 2014 dari http://www.eduweb.com/schaller-games.pdf

Teacher Vision. (2014). Numbered head together cooperative learning strategy. Diperoleh pada 07 September, 2014 dari https://www.teachervision.com/

Van De Bogart, W. (2009). Developing a Pedagogy for Active Learning (PAL) Part I. Diperoleh pada 07 September, 2014 dari http://www.earthportals.com/Portal

Zaleha Sulaiman (n.d). Pengurusan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah di luar bandar: kes empat buah sekolah menengah di negeri Kedah Darul Aman. Tesis siswazah Pendidikan, Universiti Utara Malaysia: Kedah.

18