refleksi bina insan guru fasa 6 lawatan penanda arasan

Upload: muhammad-izuddin

Post on 13-Oct-2015

51 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

refleksi

TRANSCRIPT

REFLEKSI PROGRAM BINA INSAN GURU FASA 6 (MUHAMMAD IZUDDIN BIN SULAIMAN)

Pada 5 Julai 2013, saya bersama rakan-rakan kelas T3 MT1 dan T3 MT2 telah membuat lawatan penanda arasan di SK Methodist yang bertempat di Parit Buntar, Perak dari jam 6.30 pagi sehingga jam 3 petang. Lawatan ini telah diiringi oleh tutor kami iaitu En. Abdul Jaleel B. Abdul Hakeem dan tutor kelas MT2 iaitu En. Hong Kim Guan. Pada semester ini, sekolah yang perlu kami lawati ialah sekolah yang mempunyai guru cemerlang dalam pengkhususan subjek major kami iaitu Matematik dan mendapat anugerah Sekolah Harapan ataupun Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kami perlu mendapatkan maklumat mengenai inovasi pedagogi guru cemerlang, amalan pengajaran dan pembelajaran guru cemerlang dan ciri-ciri profesionalisme dan komitmen guru cemerlang di sekolah. Lawatan ini akan membuka mata kami semua mengenai hala tuju atau cabang yang boleh dilalui apabila kami menceburkan diri di dalam bidang pendidikan pada masa hadapan kelak. Kami juga akan menghadiri satu lagi ceramah yang disampaikan oleh pensyarah cemerlang En. Roslan dan En. Jamal serta majlis penutupan yang turut disertai oleh semua tutor pelajar guru semester 6.

Sebelum lawatan dijalankan, satu perbincangan telah dijalankan bagi memilih sekolah yang ingin dilawati dan tarikh yang sesuai. Memandangkan saya dilantik sebagai pengerusi, jadi saya bersama ahli jawatankuasa yang lain giat mencari sekolah yang mendapat status Sekolah Harapan atau SBT dan mempunyai guru cemerlang Matematik. Memandangkan kami akan berpraktikum dalam masa beberapa minggu saja lagi, maka saya dan rakan-rakan terpaksa melaksanakan lawatan ini secepat mungkin agar ia dapat diselesaikan sebelum praktikum 2 kami bermula. Sungguhpun begitu, kami akhirnya berjaya memdapatkan sekolah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.Semasa lawatan berlangsung pula, kami telah bergerak ke sekolah dengan menaiki bas maktab. Ketibaan kami telah disambut oleh Guru Besar, GPK 1, GPK Kokurikulum dan guru cemerlang yang menjadi perhatian kami iaitu Pn Zaiton dan Pn. Sheila. Namun, apa yang menatik perhatian saya ialah kedatangan kami turut disambut oleh pegawai daripada Jabatan Pendidikan Daerah Parit Buntar merangkap ayah angkat kepada SK Methodist. Seterusnya, kami telah dibawa ke kantin unutk menikmati sedikit jamuan yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Kami berasa sangat terkejut kerana kami tidak merancang aktiviti ini namun sambutan yang diberikan oleh pihak sekolah sangat di luar jangkaan sehingga menyediakan jamuan untuk kami semua. Selepas itu, kami telah dibawa untuk ke bilik mesyuarat bagi mengikuti taklimat dan ceramah mengenai pengisian yang telah kami tetapkan di dalam tentatif program. Program berjalan dengan sangat lancar dan pelbagai input dan pengalaman baru yang berjaya saya perolehi. Lawatan telah berlangsung dengan jayanya dan kerjasama yang sangat baik telah ditunjukkan oleh pihak sekolah.

Selepas lawatan dilaksanakan, kami dikehendaki mengumpul semua maklumat yang berkaitan dengan tugasan lawatan semester ini. Memandangkan ini adalah Program Bina Insan Guru yang terakhir, maka kami dikehendaki untuk mengendalikan satu majlis penutupan yang turut akan disertakan dengan ceramah daripada pensyarah cemerlang IPG Kampus Pulau Pinang, Majlis ini akan disertai oleh semua tutor dan pelajar guru semester 6. Selepas itu, kami juga dikehendaki untuk membuat laporan bertulis mengikut kelas dan refleksi individu yang wajib disiapkan oleh semua pelajar guru. Sepanjang kedua-dua program berjalan, pelbagai kekuatan dan kelemahan yang berjaya saya perolehi dan boleh dijadikan sebagai panduan bagi saya meningkatkan keupayaan dan kredibiliti sebagai seorang guru kelak.

Kekuatan utama yang berjaya saya perolehi ialah inovasi pedagogi yang telah diilhamkan dan digunakan oleh Ketua Guru Cemerlang Matematik Perak iaitu Pn Zaiton yang menggunakan Multipurpose Table (MPT) dan Carta Penambahan dan Penolakan di sekolah tersebut. Seperti mana yang kita tahu, murid di sekolah pasti mengalami kesukaran untuk menghafal sifir dan menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang melibatkan sifir. Jadi, dengan penggunaan MPT, ia dapat mengurangkan beban murid untuk menghafal sifir sebaliknya hanya perlu membina jadual yang sangat ringkas dan mudah serta sangat berguna bagi menyelesaikan soalan Matematik. Beliau turut menunjukkan demonstrasi cara menggunakan MPT di dalam kelas dan idea ini boleh digunakan oleh kami semua semasa berpraktikum nanti. Hasil yang diperolehi sangat memberangsangkan apabila keputusan subjek Matematik semakin meningkat setiap tahun dan murid-murid turut memberi respons yang positif setelah menggunakan MPT di dalam peperiksaan. Jadi, saya pasti akan mencuba idea pedagogi ini di dalam kelas Matematik semasa berpraktikum nanti.

Kekuatan seterusnya pula ialah kami semua telah didedahkan dengan apa yang dimaksudkan dengan guru cemerlang dan bagaimana seseorang guru boleh mendapat kelayakan untuk menjadi seorang guru cemerlang. Sesuatu kejayaan tidak akan dating bergolek tanpa usaha yang berterusan. Begitulah juga pengalaman dan kisah Pn. Zaiton yang diceritakan kepada kami. Pelbagai rentetan peristiwa, halangan, masalah dan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh beliau untuk menjadi seorang guru cemerlang. Berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh beliau, saya dapat merasakan bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang guru yang benar-benar komited dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas untuk mendidik anak bangsa kita sendiri. Namun, semangat serta dorongan yang ditiup ke dalam hati dan sanubari kami semua membuatkan kami sedar dan tidak boleh berputus asa dalam apa jua bidang atau tugas yang perlu kita pikul. Semangat yang kuat serta keikhlasan dalam menjalankan tugas menjadi kunci utama bagi seorang guru untuk meningkatkan keupayaan diri dan menjadi contoh tauladan yang berguna kepada rakan seperjuangan guru yang lain untuk tutur berjaya seperti kita.Kekuatan ketiga ialah Pn. Zaiton telah menyedarkan kami mengenai ciri-ciri profesionalisme dan komitmen guru cemerlang. Sesungguhnya, pangkat yang diperolehi oleh seseorang pasti di susuli dengan beban tugas dan tanggungjawab yang lebih berat. Sebagai seorang guru cemerlang, beliau banyak terlibat dengan aktiviti luar sekolah seperti memberi ceramah, menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Ini menyebabkan beliau banyak meninggalkan kelas yang perlu diajar di sekolah dan sekiranya seorang guru gagal merancang jadual dengan baik, maka pasti akan memberi kesan negatif kepada murid-murid. Jadi, saya sedar bahawa bukan pangkat yang menjadi fokus utama tetapi sejauh mana kita dapat memikul tanggungjawab yang akan diberikan kepada kita nanti. Persiapan yang baik dari segi fizikal dan mental sangat penting bagi mengharungi tugas sebagai guru cemerlang. Kita perlu bijak dalam merancang pelbagai aktiviti pengajaran di samping tetap memberikan komitmen kepada aktiviti luar dan tugasan-tugasan lain sebagai seorang guru cemerlang. Jadi, saya perlu meningkatkan kebolehan dan keupayaan diri dari sekarang bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa hadapan kelak.

Kekuatan terakhir ialah lawatan ini telah berjaya mendekatkan lagi diri kami dengan suasana di sekolah memandangkan kami akan berpraktikum tidak lama lagi. Ini sangat penting dalam membina keyakinan diri dan meningkatkan persiapan sebelum ke sekolah. Guru di sekolah SK Methodist bukan sahaja mahir dalam mengajar murid-murid, tetapi mereka turut mesra dan ramah dalam melayan kunjungan kami di sana. Perkara ini mengingatkan saya agar dapat menyesuaikan diri dengan iklim dan suasana baru di sekolah dengan segera. Sekolah tersebut juga mempunyai sorakan mereka tersendiri. Kami sangat kagum dengan kesungguhan mereka dan saya boleh melaksanakannya di dalam kelas nanti. Ini dapat membantu saya dalam membina hubungan yang lebih rapat dengan murid-murid di dalam kelas. Perkara ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kemahiran mengawal kelas dan memastikan suasana pembelajaran dalam keadaan yang lancar dan berkesan.

Sepanjang program ini berlansung, terdapat juga kelemahan yang berlaku. Kelemahan yang paling ketara ialah masalah kekangan masa dan masalah dalam menguruskan kertas kerja. Disebabkan kami mempunyai 12 kelas yang perlu membuat lawatan, maka setiap kelas terpaksa merancang dan memilih tarikh secepat mungkin bagi mengelakkan berlakunya pertindihan aktiviti pada tarikh tersebut. Kertas kerja yang telah disiapkan pula perlu mendapat kebenaran daripada pihak atasan dan proses ini telah membuatkan program lawatan tergendala disebabkan kelewatan dalam menguruskan kertas kerja. Masalah juga timbul apabila pihak maktab tidak menghantar surat rasmi sebagai pemberitahuan mengenai kedatangan pelajar guru ke sekolah mereka. ini telah menimbulkan kekeliruan kepada pihak sekolah mengenai tarikh kedantangan kami ke sana. Jadi ini adalah kelemahan yang sangat ketara bukan sahaja kepada kelas kami, tetapi kepada kelas-kelas yang lain.

Jadi, cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah semua wakil kelas perlu dikumpulan bersama-sama dan merancang kertas kerja pada masa yang sama. Ini dapat mengelakkan berlakunya masalah kepada kertas kerja dan pembetulan boleh dilaksanakan dengan segera. Perbincangan mengenai sekolah yang akan dilawati dan tarikh lawatan juga boleh diselesaikan dengan mudah dan menjimatkan masa. Ia juga lebih sistematik dan lebih adil kepada semua. Apabila semua wakil kelas selesai membina kertas kerja, maka proses untuk mendapatkan kebenaran boleh dijalankan serentak dan ini lebih memudahkan pihak pengurusan kerana tidak perlu membuat kerja berulang kali, sebaliknya menguruskan kertas kerja untuk semua kelas sekali gus. Saya harap pihak maktab dapat mempertimbangkan cadangan ini bagi melancarkan lagi perjalanan program yang akan dijalankan.

Kesimpulannya, pelbagai input baru yang berjaya saya perolehi sepanjang mengikuti program Bina Isan Guru Fasa 6. Bukan mudah untuk menjadi seorang guru yang hebat dalam segenap aspek tetapi ruang untuk memperbaiki kelemahan diri sangat luas dan peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Sikap tidak mudah putus asa dan mudah mengalah perlu disemai di dalam sanubari kita kerana tugas seorang guru pada masa kini tidak semudah seperti yang disangkakan. Cabaran dan tanggungjawab seorang guru sangat berat dan saya perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental dalam memastikan murid-murid mendapat hasil yang terbaik sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang guru. Jadi, saya sangat bersyukur kerana diberi peluang dan dapat meningkatkan keupayaan diri selepas mengikuti semua program bagi Bina Insan Guru Fasa Keenam. Program seperti ini perlu diteruskan pada masa hadapan keranan banyak memberikan manfaat kepada saya dan rakan-rakan yang lain.

GAMBAR AKTIVITI

GAMBAR AKTIVITI

GAMBAR AKTIVITI

GAMBAR AKTIVITI