sains 6040
TRANSCRIPT
TAJUK
PENDIDIKAN SAINS(SASARAN 60:40, MENGAPA BELUM TERCAPAI)
HAINI BINTI ISMAIL(P 17204)
GC 6033 : ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIAIJAZAH SARJANA PENDIDIKAN 2000/2001
DISEDIAKAN UNTUKDR. HJ. MOHAMMED SANI BIN HJ. IBRAHIM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIABANGI, 2001
ABSTRAK
Pendidikan sains adalah satu agenda semasa yang sering diperkatakan. Kepentingannya tidak dapat dinafikan. Malahan dalam setiap Rancangan Malaysia, Rukun Negara dan DEB, pendidikan sains diberi penekanan PENTING. Sains dan teknologi adalah prasyarat untuk mencapai kemajuan. Melalui pendidikan sains, masyarakat yang celik sains serta progresif dapat dibina. Isu terkini adalah sasaran 60% sains dan 40% sastera yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi 1967. Isu ini menjadi penting walaupun sudah tiga dekad berlalu kerana sasaran yang ditetapkan tidak pernah dicapai. Kegagalan mencapai sasaran tersebut seolah-olah tidak mendukung Wawasan 2020, ke arah pembentukan negara perindustrian baru dan bertaraf maju. Melalui dasar, strategi dan perlaksanaan, KPM telah berusaha meningkatkan enrolmen pelajar dalam aliran sains tetapi gagal. Esei ini akan membincangkan tentang kepentingan sains dan teknologi hubungannya dengan keperluan sumber manusia dan seterusnya ke arah mencapai Wawasan 2020. Perbincangan juga merangkumi masalah-masalah yang menyebabkan sasaran tidak dicapai misalnya setiap tahun didapati lebih kurang 40% pelajar yang layak ke aliran sains tetapi menolaknya, tinjauan literatur, cadangan-cadangan yang dikemukakan, langkah-langkah untuk mencapai sasaran dan akhir sekali implikasi.
KANDUNGAN
Halaman
ABSTRAK
1.0 PENGENALAN 1
2.0 DASAR, STRATEGI DAN PERLAKSANAAN KPM 4
3.0 ISU YANG DIBANGKITKAN 8
4.0 MASALAH YANG TIMBUL 8
5.0 TINJAUAN LITERATUR 11
6.0 CADANGAN YANG DIKEMUKAKAN 15
7.0 LANGKAH/TINDAKAN UNTUK MENCAPAI 24
DASAR 60:40
7.1 Pekeliling/Surat Pemberitahuan 24
7.2 Membina infrastruktur segera 25
7.3 Mengukuhkan Program Bimbingan 26
Kerjaya di Sekolah
7.4 Meningkatkan Kualiti profesionalisme 26
perguruan
7.5 Kelas rancangan khas untuk pelajar 27
berpencapaian tinggi
7.6 Mempelbagaikan strategi P & P 28
7.7 Mengamalkan pembelajaran konstektual 29
8.0 IMPLIKASI 29
9.0 PENUTUP 31
RUJUKAN
LAMPIRAN PEMBENTANGAN
1.0 PENGENALAN
Kepentingan pendidikan sains dan teknologi di Malaysia, sememangnya telah
diakui dan diterima oleh semua pihak. Sejak dahulu lagi, dalam semua
Rancangan Malaysia pendidikan sains dan teknologi telah diberi penekanan
PENTING; justeru itu sains dan teknologi diberi penegasan dalam setiap dasar
dan jentera pembangunan negara. Rukun Negara, DEB dan Rancangan Lima
Tahun Malaysia, semuanya menekankan keperluan sains dan teknologi sebagai
prasyarat mencapai kemajuan.
Begitu juga yang tercatat dalam Dokumen Wawasan 2020 yang dengan jelas
menunjukkan halatuju masyarakat Malaysia yang ingin dibentuk pada masa
hadapan iaitu masyarakat yang bersifat sains serta progresif, berdaya cipta dan
berpandangan jauh ke hari muka. Masyarakat yang dibentuk bukan sahaja dapat
memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang kepada
peradaban sains dan teknologi masa depan.
Peranan pendidikan sains kini menjadi semakin penting dalam membantu
negara mencapai status negara maju yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir
dalam bidang itu. Penguasaan sains dan teknologi akan membolehkan Malaysia
membina kekuatan untuk berdaya saing dengan negara-negara maju. Bagi
negara-negara yang jauh kehadapan di bidang Sains dan Teknologi seperti
5
Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Jepun, usaha untuk menguasai
sains dan teknologi bukan sahaja terus dipergiatkan tetapi ia juga sering menjadi
agenda utama dalam belanjawan sektor pendidikan negara masing-masing.
Negara-negara berkenaan sedar, penguasaan sains dan teknologi akan
membolehkan mereka menerokai, menjelajahi, menguasai, malah kadang-kadang
memonopoli pelbagai disiplin ilmu dan kekayaan alam. Mereka juga sedar,
penguasaan sains dan teknologi dapat menghasilkan pulangan yang besar kepada
banyak aspek kehidupan, umpamanya dalam persaingan menguasai angkasa
lepas. Malah dalam era ledakan maklumat, kehidupan canggih lagi mencabar dan
dunia tanpa sempadan ini, penguasaan di bidang sains dan teknologi seringkali
menjadi kayu ukur ketinggian martabat sesuatu negara bangsa (Azmi Zakaria,
1999).
Dunia telahpun menyaksikan perkembangan sains dan teknologi yang begitu
pesat pada abad ke-20, khususnya dalam masa dua pertiga terakhir abad
berkenaan. Dijangka perkembangan ini akan menjadi lebih hebat lagi pada abad
ke-21 ini. Sekarang ini pun, bahang kepesatan perkembangannya telah pun mula
dirasai, malah mula dialami. Misalnya terdapat banyak ciptaan baru dan inovasi
dalam aspek bahan termaju, teknik termaju, nanoteknologi, bioteknologi,
mikroelektrik dan robotik.
6
Kemajuan-kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang membolehkan
manusia menerokai alam sejagat-dunia, lautan dan angkasa lepas. Pelbagai aspek
kehidupan juga dimajukan-pembangunan material, ekonomi,kesihatan, pertanian
dan komunikasi.
Dalam konteks ini, Malaysia tidak mahu ketinggalan. Pembangunan prasarana
yang pesat dan perlaksanaan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah dua
bukti yang nyata. Sasaran telah ditetapkan, menjelang tahun 2020 nanti, Malaysia
akan menjadi negara maju mengikut acuannya sendiri dalam semua aspek-
ekonomi, politik, sosial, rohani, psikologi dan budaya.
Untuk mencapai status negara maju yang berorientasikan perindustrian,
Malaysia bukan sahaja perlu banyak bergantung kepada sumber modal dan
pembangunan teknologinya. Malahan kuantiti dan kualiti tenaga manusia yang
menguasai dan boleh menyesuaikan diri dengan sains dan teknologi terkini perlu
dititikberatkan.
Dari segi gunatenaga, seramai 83,590 jurutera (awam, elektrik dan elektronik,
kimia dan lain-lain) diperlukan pada tahun 2000. Manakala pembantu jurutera
pula seramai 151,844 orang dalam pelbagai bidang (RM7). Malaysia juga
kekurangan tenaga profesional dalam bidang R & D. Dalam tahun 1990, terdapat
7
13,600 tenaga penyelidik di Malaysia dan pada tahun 1995 bertambah 8,300 iaitu
pada nisbah 400 saintis penyelidik setiap sejuta penduduk.Nisbah ini lebih rendah
berbanding dengan negara perindustrian baru seperti Taiwan dan Korea Selatan
yang mencapai tahap 2000 saintis bagi sejuta penduduk ( H. Osman-Rani, 2000).
Sehubungan dengan itu, kurikulum sains hendaklah bersifat futuristik dan
‘global context’, matapelajaran bersifat rekacipta, teknikal dan R & D
diperbanyakkan,manakala aspek penyertaan dan pencapaian dipertingkatkan
dengan giatnya. Kementerian Pendidikan perlu sedar dan sentiasa proaktif
terhdap segala aspek berkaitan pendidikan sains dan teknologi, disamping
merancang strategi-strategi untuk masa sekarang dan tahun-tahun mendatang.
Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, tradisi kecemerlangan perlu
dibina. Ini bermakna setiap individu, masyarakat dan warganegara Malaysia
termasuk golongan pendidik, perlu berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang
setinggi-tingginya. Dengan adanya ‘passion for excelence’, negara bangsa kita
akan terus ‘strive for excelence’ dalam segenap fungsi dan bidang yang
dilakukan.
2.0 DASAR, STRATEGI DAN PERLAKSANAAN KPM.
8
Sains dan teknologi di Malaysia telah diberi penekanan penting sejak tiga
dekad yang lalu. Sejak tahun 1965 lagi, sains dan matematik dijadikan mata
pelajaran teras di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah. Manakala
diperingkat menengah atas, aliran sains tulen telah diperkenalkan. Dengan ini
pelajar dapat menguasai sains secara lebih khusus dan mendalam.
Sekolah dilengkapi segala kemudahan dan keperluan pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik. Antaranya termasuklah alat dan bahan, buku
teks, sumber rujukan dan makmal. Sekolah-sekolah sains dan teknik dibina,
kursus-kursus sains dan matematik untuk guru dijalankan, malah sains dan
matematik sering dijadikan prasyarat bagi pemilihan pelbagai kerjaya selepas
peringkat menengah khususnya di IPT.
Sepanjang tahun 19880an hingga sekarang, beberapa strategi lagi
dilaksanakan. Ia bertujuan bagi mengemaskinikan dan memantapkan lagi
pendidikan sains agar sesuai denga keperluan dan kehendak semasa negara,
mahupun masa hadapan.
Misalnya Falsafah dan Misi Pendidikan Sains digubal. Dengan ini matlamat
dan hala tuju pendidikan sains menjadi lebih jelas. Negara ingin melahirkan
masyarakat Malaysia yang celik sains dan teknologi untuk membangunkan
9
sumber manusia yang terlatih, dinamik dan produktif, serta menyumbang kepada
pencapaian taraf negara maju menjelang tahun 2020.
KBSM diperkenalkan. Perlaksanaannya telah membawa banyak perubahan
kepada isi, pendekatan dan matlamat pendidikan sains dan matematik.
Jawatankuasa Sains Kementerian Pendidikan ditubuhkan. Ia bertujuan untuk
mengkaji dan membuat perakuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan sains.
Usaha-usaha ini telah membawa banyak inovasi dalam pendidikan sains dan
matematik. Sebagai contoh, proses P & P dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik KBSM menekankan penglibatan pelajar secara aktif, kreatif dan
produktif. Kaedah pembelajaran melalui inkuiri amat digalakkan seperti
melakukan eksperimen, kajian kes, kerja projek, tunjuk cara dan simulasi.
Kaedah-kaedah ini dapat mengasuh dan membimbing pelajar supaya menjadi
lebih kritis, analitis, kreatif dan sistematik sebagai langkah memupuk dan
mengembangkan kemahiran saintifik pelajar. Kemahiran saintifik amat penting
kerana kemahiran yang dipelajari akan kekal berbanding fakta yang boleh
menjadi lapuk atau dilupai (Wellington, 1989 dan Screen 1986).
10
Mata pelajaran-mata pelajaran baru yang berunsur sains dan teknikal seperti
Reka-Cipta dan Lukisan Kejuruteraan diperkenalkan. Tujuannya ialah untuk
memenuhi keperluan pembangunan dan gunatenaga masa depan. Pendidikan
keusahawanan juga diajar di peringkat menengah. Selain dapat mendedahkan
pelajar kepada dunia perniagaan, pendidikan ini dapat memberi peluang dan
menggalakkan mereka berusaha mencipta produk baru dengan menggunakan
pengetahuan sains dan teknologi (Chryll Noll,1993).
Usaha-usaha juga diambil melengkapkan sekolah dengan komputer. Ia selaras
dengan perkembangan era teknologi maklumat serta kepentingan komputer itu
sendiri dalam membantu pelajar menguasai konsep dan proses kemahiran sains
melalui simulasi, makmal, pengkalan mikro komputer dan pengkalan data (Fraser
dan Walberg,1995).
Akta Pendidikan juga digubal.melibatkan Rang Undang-Undang Pendidikan
(RUP) 1995 yang telah menggantikan Akta Pendidikan 1961, pindaan Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU,1971) serta penggubalan 2 akta baru iaitu
Rang Undang-Undang Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN, 1996) dan Rang
Undang-Undang Institiut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS, 1996)(Abd.
Ghafar,1998). Penggubalan ini telah membawa dimensi baru dalam dasar dan
perancangan pendidikan negara bermula dari pendidikan pra-sekolah sehingga
11
pendidikan tinggi. Langkah ini diambil supaya memenuhi keperluan tenaga
manusia dalam bidang sains dan teknologi ke arah Wawasan 2020 sebagai sebuah
negara perindustrian baru.
Seterusnya, Program Kesedaran Sains selama 3 tahun (1998-2000) di bawah
aktivtiti Pembangunan Staf Kementerian Pendidikan dilaksanakan. Ia merupakan
program khas bagi guru-guru termasuk penolong kanan, gurubesar, pengetua,
pegawai-pegawai Jabatan Pendidik Negeri dan pensyarah maktab perguruan.
Mereka merupakan kumpulan yang terlibat secara langsung dalam P & P Sains
dan Matematik di sekolah, maktab perguruan atau pengurus S dan M di Jabatan
Pendidkan Negeri. Tujuan program ini ialah untuk meningkatkan lagi kualiti dan
akses dalam pendidikan sains supaya misi dan matlamat pendidikan berkenaan
tercapai.
Sepanjang 3 tahun, 6 komponen program/kursus telah dilaksanakan.
Program/kursus yang dimaksudkan ialah Kursus Jangka Pendek SEAMED-
RESSAM, Kursus Sandaran/Rekakhas UPM, Kursus In Country, Khidmat Pakar,
Kajian Tindakan dan Kajian Program Sains. Anggaran peserta adalah seramai
4,365 orang guru dan melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta dari
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Diharapkan usaha dan strategi-
strategi yang dijalankan akan menampakkan hasil dan kemajuan dalam
12
pendidikan Sains dan Matematik, P & P diharapkan lebih berkesan dan menarik
manakala minat dan budaya sains dan teknologi dapat dipupuk kepada pelajar.
Kementerian Pendidikan adalah pihak yang perlu peka dan bertanggungjawab ke
arah merealisasikan dan menjayakan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat
yang meguasai sains, teknologi dan informasi.
3.0 ISU YANG DIBANGKITKAN; SASARAN 60:40, MENGAPA
BELUM TERCAPAI?
Laporan Penyata Jawatankuasa Perancang Pelajaran Tinggi 1967
mengesyorkan supaya unjuran murid peringkat menengah atas di Malaysia
ditetapkan pada nisbah 60% Sains dan Teknikal dan 40% Sains Sosial (60:40).
Selama tiga dekad, pelbagai usaha telah dijalankan untuk mencapai nisbah ini,
walau bagaimanapun sehingga kini, sasaran masih belum dicapai.
4.0 MASALAH YANG TIMBUL
Definisi murid Sains dan Teknologi yang digunakan oleh Kementerian
Pendidikan dalam analisis penyertaan murid dalam aliran Sains dan Teknologi
ialah :
13
‘Murid yang mengambil sekurang-kurangnya dua mata pelajaran
Sains dan Teknologi digolongkan sebagai murid Sains dan
Teknologi.’
Dua kumpulan mata pelajaran itu ialah mata pelajaran teras (sains teras) dan mata
pelajaran elektif (kumpulan Vokasional dan Teknik, Kumpulan Sains dan
Teknologi Maklumat).
Setiap tahun terdapat lebih kurang 40% murid yang layak menyertai aliran
Sains dan Teknologi di menengah atas tetapi memilih tidak menyertai aliran Sains
dan Teknologi. Ini termasuklah mereka yang menunjukkan pencapaian yang
cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik PMR.
Mengikut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Abd. Shukor Abdullah
(Berita Harian, 1999), kecenderungan pelajar untuk memasuki aliran Sains
diperingkat Menengah atas masih rendah sejak 1970an lagi. Bagaimanapun
bilangannya meningkat kepada 34.8% pada tahun 2000. Namun masih jauh
berbanding dari sasaran 60:40.
Jadual 1 di bawah menunjukkan enrolmen murid Sains dan Teknologi Tingkatan 4 & 5
dari tahun 1981 sehingga 2000.
Tahun Bilangan Pelajar S & T % Pelajar S & T1981 87426 32.3
14
1982 79169 30.861983 85335 28.011984 93548 28.821985 101457 31.041986 101457 31.181987 102585 29.241988 99606 27.721989 94614 26.381990 90196 24.951991 79686 21.931992 74437 19.341993 93108 19.681994 87524 20.111995 92960 19.811996 105495 21.31997 131614 231998 Tiada maklumat1999 234201 34.82000 242467 34.8
Nota : * Sumber perangkaan adalah dari BPPDP, Kementerian
Pendidikan .
* Maklumat dijadual 1 merangkumi perangkaan di
sekolah kerajaan sahaja (PPK,2000)
Perangkaan menunjukkan enrolmen murid Sains dan Teknologi menurun dari
tahun 1980an ke 1990an. Walau bagaimanapun bila lebih banyak mata pelajaran
yang berorientasikan Sains dan Teknologi ditawarkan di sekolah biasa, enrolmen
Sains dan Teknologi pada tahun 2000 mulai meningkat.
15
Jadual 2 memberi maklumat tentang enrolmen murid Sains dan Teknologi
Tingkatan 4 di setiap negeri untuk tahun 1999 dan 2000.
Jadual 2 : Enrolmen Murid S & T Tingkatan 4 setiap negeri tahun 1999 – 2000
Negeri Enrolmen murid S & T1999 2000
Terengganu 8129(49.30%) 8180(44.77%)
Perak 19229(47.68%) 18121(46.68%)
Selangor 19127(41.69%) 18690(41.30%)
P.Pinang 9778 (46.45%) 8430 (43.91%)
W.Persekutuan 7525 (36.85%) 7315 (37.87%)
N.Sembilan 6286 (35.43%) 5426 (33.88%)
Melaka 4055 (32.69%) 3760 (31.95%)
Kelantan 6547 (28.13%) 8388 (31.59%)
Johor 12948(31.31%) 12867(31.12%)
Pahang 6589 (29.87%) 12867(31.12%)
Kedah 7605 (28.15%) 7011 (26.24%)
Perlis 995 (24.25%) 1160 (24.89%)
Sabah 7141 (25.81%) 7375 (24.75%)
Sarawak 6608 (23.54%) 6521 (22.99%)
JUMLAH 122562(35.23%) 119905(34.34%)
16
Sumber : BPPDP, Kementerian Pendidikan (PPK, 2000)
Semua negeri menunjukkan angka yang jauh daripada sasaran. Malahan beberapa
negeri seperti Pahang, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak adalah bawah daripada
30%. Jumlah keseluruhannya adalah sekitar 34.34% pada tahun 2000. Mengapa
nisbah ini sukar dicapai?
5.0 TINJAUAN LITERATUR
Dr. Ibrahim Bajunid (MM 2000), literasi Sains di negara Malaysia tidak
cemerlang kerana budaya umum seperti filem dan drama tidak menyokong
budaya ilmiah yang dipupuk di sekolah. Di negara lain, budaya ilmiahnya
disokong oleh budaya umum dari segi imaginasi dan dari segi sains fiksyen.
Di samping itu masyarakat Malaysia mempunyai 3 budaya umum iaitu normatif,
imperikal dan estatik. Budaya normatif paling banyak iaitu budaya buat ini salah,
jangan buat ini, itu betul, itu salah dan sebagainya. Budaya ini tidak
menggalakkan penilaian rasional. Masyarakat Malaysia kaya dengan budaya
estatik.
17
Mengikut Syed Yusainee (1997) ; isu kekurangan pelajar sains disebabkan
oleh beberapa faktor yang begitu tradisional dengan masyarakat.
a) Pelajar khasnya di luar bandar telah begitu lama berhadapan dengan
masalah kurangnya pendedahan terhadap bidang sains. Pelajar yang
berumur awal 20an kebanyakannya mempunyai keluarga yang kurang
menekankan ‘Scientific Thinking’. Mereka kurang berpeluang untuk
mendapat pendedahan awal atau penerangan tentang ‘keindahan sains’
di depan mata mereka sendiri pada waktu kanak-kanak. Tambahan
lagi apabila kanak-kanak di asuh dalam persekitaran yang mengekang
kebolehan untuk berfikir secara saintifik dan menggunakan logik yang
diperlukan. Misalnya tegahan memotong kuku pada hari malam.
Anak-anak tidak diberi jwapan yang sebenar yang saintifik mengapa
perbuatan itu dilarang. Selain itu terdapat golongan yang mempunyai
tanggapan yang salah tentang sains. Umpamanya sains sering
dikaitkan dengan keganasan, ateis, antiagama, tidak sesuai dengan
kehendak Islam dan sebagainya. Apabila kanak-kanak meningkat
remaja, mereka terpaksa pula belajar sendirian untuk memakai konsep-
konsep asas sains dan matematik yang begitu abstrak.
b) Kegagalan menggabungkan antara pemaham teori di dalam kelas
18
dengan kemampuan untuk menjalankan uji kaji di makmal bagi
melihat kesan sebenar dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif. Ini
disebabkan oleh faktor ralat atau radas yang tidak cekap kerana usang
dan kekurangan kelengkapan makmal.
c) Kegersangan unsur glamour dalam bidang sains, maka orang-orang
sains sendiri menolak unsur-unsur yang tidak begitu sesuai dalam
sains sehingga menghilangkan ciri-ciri kerja mereka sendiri, kurang
pendedahan kerjaya sebagai pegawai penyelidik dan tidak nenonjolkan
sumbangan yang diberikan.
d) Dari segi material, perbezaan gaji antara graduan sains tulen dengan
graduan jurusan kemanusian adalah amat jauh sekali di sektor awam
dan swasta. Selain di bidang kejuruteraan, perubatan dan senibina,
kerjaya di bidang lain seperti fizik kimia dan sebagainya masih tidak
menonjol. Kebanyakan tokoh yang berjaya dalam politik dan dunia
korporat jarang berasal dari bidang sains. Tidak hairan sekurangnya
pelajar-pelajar hari ini lebih mengejar kejayaan dalam kerjaya seperti
perakaunan, ekonomi dan perniagaan kerana habuan yang besar dan
peluang yang ditawarkan adalah amat banyak.
19
e) Peluang-peluang pekerjaan yang terbuka luas dalam sektor
perindustrian terutama untuk lepasan jurusan sains yang mendapat
pangkat 2 minima mempunyai pasaran kerja yang begitu tinggi
sebagai juruteknik pelatih di kilang-kilang seluruh negara. Dengan
pendapatan RM800-1000 belia-belia terutama di luar bandar rasa
berpuashati dan boleh memiliki apa yang mereka kehendaki tanpa
perlu berusaha di peringkat yang lebih tinggi.
f) Kelonggaran dan kerapuhan metodologi pendidikan menyebabkan
sains dikaitkan dengan elemen kesukaran, kebosanan dan pelbagai
faktor yang menakutkan pelajar.
g) Sistem penilaian yang diamalkan selama ini sebahagian besar
menguji teori dan tidak pada pratikalnya. Hanya sebilangan kecil
pelajar-pelajar sahaja yang bijak mampu memahami konsep-konsep
abstrak dan dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih
tinggi.
20
Ramli Ismail 1995 mengatakan tiada ‘role model’ pelajar bumiputera
khususnya yang berkebolehan menurut beliau, sebab-sebab pencapaian rendah
dalam sains ialah :
a) kaedah mengajar sains yang berpusatkan guru
b) tidak semua guru sains terlatih
c) beban tugas guru sains berat
d) aktiviti amali yang sedikit atau kurang berkesan.
Spencer (Abu Bakar Nordin, 1994), ilmu yang terpenting ialah ilmu yang
dapat menjamin survival individu dan kumpulan. Dalam tahun 1990an dan
dekad-dekad awal tahun 2000 pandangan Spencer itu diperkukuhkan dengan
adanya persaingan untuk menjadi negara maju di mana ilmu yang berkaitan
dengan sains, teknologi dan pengurusan dianggap sebagai prasyarat kepada
kejayaan hidup. Ilmu lain-lain berkaitan dengan individu seperti kemasyarakatan,
estetika, kerohanian dan pemikiran hanya tinggal ilmu hiasan. Oleh itu
kepentingan sains dan teknologi tidak boleh dinafikan.
6.0 CADANGAN-CADANGAN YANG DIKEMUKAKAN
6.1 Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (B.H., 1999) –
21
Memperkenalkan kaedah persediaan teknikal (Technoprep) yang
digunakan dalam pendidikan sains dan teknologi di sekolah-
sekolah teknik dan vokasional di seluruh negara. Kaedah ini juga
akan diperkenalkan ke sekolah-sekolah biasa di seluruh negara
secepat mungkin supaya pelajar sederhana berpeluang mengikuti
pengajian sains dan teknologi.
6.2 Prof Dr Saholhamid Abu Bakar (1999) Pembantu Rektor
UiTM mengatakan UiTM telah mewujudkan satu Unit Penggerak
Sains Negara untuk memberi galakan sains. Unit ini bekerjasama
dengan Yayasan Negeri untuk menyebarkan kepentingan sains dan
kerjaya dalam sains di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah
di negeri-negeri masing-masing. Taklimat juga diberi kepada guru
kaunseling untuk memberi dorongan dan menggalakan lebih ramai
pelajar mengambil jurusan sains. UiTM juga mengadakan
program pra-sains iaitu program peluang kedua untuk pelajar sains
yang gagal mendapat keputusan yang baik semasa S.P.M. dan
tidak mendapat tawaran di mana-mana IPTA. Program ini dibuka
bukan sahaja untuk pelajar jurusan sains tetapi pelajar aliran agama
dan sastera juga boleh mengikutinya.
22
6.3 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (UM, 2000) – Sistem
pendidikan negara ini perlu dinilai semula bagi mewujudkan lebih
ramai tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi. Dalam proses penilaian semula itu
penekanan harus diberi ke atas aspek kecemerlangan dalam
pendidikan tinggi khususnya bidang sains dan teknologi.
6.4 Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Prof. Dr. Hassan
Said(UM, 2000) mencadangkan :
a) Supaya kelas bimbingan khas kepada pelajar lemah
diwujudkan. Kelas itu boleh digunakan untuk meningkatkan
penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris, Sains dan
Matematik
b) Kementerian Pendidikan perlu membaiki nisbah guru dan
pelajar kerana nisbah sekarang terlalu besar. Statistik 1999
menunjukkan nisbah guru di sekolah menengah biasa ialah
19.5% atau sebanyak 95,782 orang guru untuk mengajar 1.87
juta pelajar. Sementara itu, nisbah guru di sekolah berasrama
penuh pula 9.2% atau 2,595 orang guru mengajar 23,944
pelajar.
23
c) Memupuk budaya belajar yang sihat dan memberi khidmat
motivasi serta kaunseling supaya dapat menyerapkan semangat
daya saing yang kuat di kalangan mereka. Ini perlu dilakukan
oleh semua pihak.
d) Kesedaran dan minat dalam sains perlu dilaksanakan pada
peringkat awal melalui pameran, media, permainan dan
aktivitit-aktiviti kegemaran kanak-kanak di sekolah.
e) Aktiviti-aktiviti untuk menonjolkan saintis negara sebagai
model di kalangan remaja juga perlu dilakukan. Ia boleh
menyemai dan meggalakkan pelajar mengikut jejak langkah
saintis berkenaan.
f) Kemudahan peralatan sains yang sesuai perlu digunakan bagi
menarik minat murid di sekolah rendah.
g) Pelajar perlu didedahkan dengan panduan atau peluang kerjaya
dalam bidang sains dan teknologiMewujudkan lebih banyak
instiusi teknikal berbentuk hands-on misalnya penubuhan
universiti teknikal yang memberi laluan kepada lepasan pelajar
aliran vokasional, politeknik dan institusi kemahiran agar dapat
melahirkan jurutera berkemahiran.
24
6.5 Mengikut Pusat Perkembangan Kurikulum, 2000 keputusan
Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri
Pendidikan pada 14hb. September 2000, telah menetapkan sasaran
60:40 berdasarkan peningkatan penglibatan dan pencapaian
prestasi murid.
6.5.1 Peningkatan Penglibatan
Untuk mencapai 60% murid S & T dalam jangka masa
sepuluh tahun, bilangan kelas S & T di setiap negeri perlu
ditambahkan secara beransur-ansur dan sistematik.
Penambahan yang munasabah adalah 3% dari tahun 2000 ke
2005 dan 2% dari tahun 2006 ke 2010. Murid-murid yang
mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam Sains dan
Metamatik PMR digalakkan untuk menyertai aliran S & T.
Jadual 3 (a) dan 3 (b) menunjukkan bilangan kelas, guru dan
makmal yang perlu ditambah di seluruh negara. Jadual 4
memberi maklumat tentang bilangan kelas yang perlu
ditambah untuk setiap negeri mengikut nisbah bilangan
sekolah di setiap negeri. Anggapan yang dibuat mengikut
kaedah ini adalah terdapat murid yang mencukupi untuk
25
mengisi kelas S & T yang akan dibuka. Bilangan kelas S &
T yang ditambah termasuk kelas di Sekolah Berasrama
Penuh dan Sekolah Menengah Teknik.
Jadual 3(a) : Unjuran peratus dan bilangan pelajar aliran S&T Tingkatan 4
perlu ditambah dari tahun 2001 ke 2004
26
Jadual 3 (b): Unjuran peratus dan bilangan pelajar aliran S & T
tingkatan 4 yang perlu ditambah dari tahun 2005 ke 2010
27
Nota :Jumlah murid tingkatan 4 pada tahun 2000 adalah perangkaan yang sebenar. Jumlah murid tingktan 4 dari tahun 2001 ke 2008 dianggarkan dari data enrolmen murid pada tingkatan dan tahun yang lebih rendah.Sumber perangkaan adalah daripada data BPPDP sehingga 30 Jun 2000 . Jumlah murid tingkatan 4 pada tahun 2009 dan 2010 dianggarkan berdasarkan peningkatan +5% setiap tahun.* Enrolmen murid tingkatan 4 pada tahun 2005 adalah lebih rendah daripada tahun 2004, maka mengikut pengiraan, pada tahun ini tiada penambahan kelas S&T diperlukan.
6.5.2 Sasaran Peningkatan Prestasi
Peningkatan peratus murid yang memperolehi gred tertentu
dalam Sains dan Matematik UPSR dan PMR yang
dicadangkan adalah peningkatan sebanyak 5% daripada
jumlah % gred A pada tahun yang sebelumnya, 10%
daripada jumlah % gred B pada tahun yang sebelumnya
dan 5% daripada jumlah % gred C pada tahun yang
sebelumnya.
Jadual 5 memberi maklumat tentang sasaran jangka
pendek untuk setiap tahun dari tahun 1999 ke 2004. Jika
penempatan pentadbiran diamalkan, iaitu semua murid
yang mendapat sekurang-kurangnya C dalam sains dan
28
matematik PMR ditempatkan di aliran S & T, sasaran
jangka panjang, iaitu 60% murid S & T akan dicapai pada
tahun 2004. Adalah dicadangkan setiap negeri berdasarkan
prinsip penigkatan prestasi di Jadual 5 dan prestasi
pencapaian masing-masing menetapkan sasaran
peningkatan prestasi setiap tahun. Negeri yang mempunyai
prestasi pencapaian sains dan matematik yang lebih rendah
mungkin memerlukan lonjakan berganda agar mecapai
60% murid S & T.
Jadual 5 : Penambahan peratus murid mengikut sasaran peningkatan perstasi
Dari tahun 2000 ke 2004
29
30
6.6 Cadangan-cadangan lain adalah seperti yang disarankan oleh
kerajaan iaitu menubuhkan satu pertubhan untuk saintis-saintis
senior ataupun yang telah bersara agar mereka dapat terus
menyumbang kepada pembangunan sains negara (UM, 2001)
Menteri Pendidikan Malaysia , Tan Sri Musa Mohamad, juga
mencadangkan mata pelajaran Sains diperkenalkan kepada murid
tahun satu mulai 2002 bertujuan menarik lebih ramai pelajar
meminati dan mengambil bidang Sains dan Teknikal di peringkat
Universiti. Beliau mengulas lanjut, pengenalan mata pelajaran
31
Sains harus dilakukan diperingkat awal persekolahan bagi
merealisasikan matlamat Kementerian Pendidikan untuk mencapai
nisbah pelajar sains berbanding sastera pada kadar 60:40 (UM,
2001)
7.0 LANGKAH/TINDAKAN UTNUK MENCAPAI DASAR 60:40
7.1 Pekeliling/Surat Pemberitahuan
Selain daripada usaha meningkatkan mutu pelajaran dan pembelajaran sains
untuk menarik minat murid menyertai aliran S & T, pelbagai surat
pemberitahuan dan surat pekelliling telah dihantar ke sekolah sebagai panduan
pentadbiran dan profesional ke arah mencapai dasar 60:40. Pekeliling dan
surat pemberitahuan ini seharusnya telahpun dikuatkuasakan di peringkat
negeri.
7.1.1 Petadbiran
Pekeliling berikut telah dihantar ke sekolah.
KP(BS/MEN)8510/05/013/Jld.3(10) bertarikh 20 Januari,
2000 bertajuk Pemilihan Pakej Pengkhususan Mata
Pelajaran Elektif di Tingkatan Empat
32
KP(PPK)018/10/Jld.9 (32) bertarikh 28 Disember, 1999
bertajuk: Pemilihan Mata Pelajaran Elektif Sekolah
Menengah Atas.
KP(BPPP)4?189 Jld. II (1) bertarikh 19 Mac 1997 bertajuk:
Dasar Peningkatan Pelajar Sains dan Teknikal di Sekolah
Menengah
7.1.2 Profesional
Pekeliling berikut telah dihantar ke sekolah:
KP(BS) 8591/Jilid XVI(12) bertarikh 28 Julai 2000
bertajuk: Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.: 12/2000 Lawatan
Pendidikan Murid di Hari Persekolahan.
KP(BS) 8591/Jld.XIV (11) bertarikh 14 Mei 1998 bertajuk:
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/1998: Pelaksanaan
Penggunaan Peralatan Antara Muka Berkomputer dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Sains Sekolah Menengah.
7.2 Membina infrastruktur segera
Maklumbalas daripada sekolah dan kajian yang dikendalikan oleh Universiti
Sains Malaysia (1985) menunjukkan sebilangan besar sekolah bandar
33
menghadapi masalah terlalu ramai murid yang ingin menyertai aliran S & T.
Sekolah ini terpaksa menolak sebilangan murid yang memohon memasuki
kelas S & T kerana kekurangan kelas dan kemudahan menjalankan
eksperimen. Keadaan yang terbalik berlaku di sekolah luar bandar yang
menghadapi masalah kekurangan murid S & T. Adalah dicadangkan makmal
cepat siap dibina di sekolah bandar yang berkenaan supaya lebih banyak kelas
S & T boleh dibuka.
7.3 Mengukuhkan Program Bimbingan Kerjaya Di Sekolah.
Kajian Universiti Sains Malaysia (1995) menunjukkan pelajar tidak sedar
tentang peluang melanjutkan pendidikan dan kerjaya dalam bidang S & T.
Bimbingan kerjaya dalam bidang yang berasaskan S & T perlu
dipertingkatkan. Ke arah itu, pengetahuan guru kaunseling dalam kerjaya S &
T hendaklah dipertingkatkan.
Guru S & T pula perlu diberi kursus dalam bidang kaunseling supaya
mereka turut serta memberi bimbingan kerjaya. Guru-guru kaunseling dan S
& T ini perlu mengikuti perkembangan semasa dalam bidang kerjaya S & T
untuk memberi bimbingan kerjaya yang berkesan. Program Bimbingan
Kerjaya seelok-eloknya dimulakan daripada sekolah rendah lagi dan
dirancangkan secara sistematik melibatkan kerja sama daripada semua pihak.
34
Profesional seperti jurutera atau doktor harus dijemput untuk memberi
ceramah tentang kerjaya masing-masing kepada pelajar.
7.4 Meningkatkan kualiti profesionalisme perguruan
Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengajaran dan
pembelajaran. Selain daripada sebagai penyampai penngetahuan dan pakar
rujuk dalam bidang pengajarannya, guru juga merupakan perancang pelajaran,
penyedia bahan pengajaran dan pembelajaran, fasilitator dan penasihat kepada
murid. Seorang guru perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif dan mampu mengeluarkan idea yang inovatif. Guru perlu mempunyai
kepakaran yang mencukupi untuk menjalankan tugas beliau secara efisien,
kualiti profesionalisme guru perlu dipertingkatkan. Selain daripada kursus
perguruan pra –perkhidmatan, satu program latihan guru dalam perkhidmatan
jangka panjang dan bersistem perlu dirancangkan, guru perlu diberi latihan
dalam perkhidmatan secara berkala. Selain daripada Bahagian Pendidikan
Guru, Jabatan Pendidikan Negeri juga digalakkan membuat perancangan
jangka panjang dan latihan dalam perkhidmatan ini.
7.5 Kelas rancangan khas untuk pelajar berpencapaian tinggi
35
Setiap tahun masih terdapat sebilangan murid lepasan Tahun Enam Sekolah
Rendah yang berpencapaian tinggi tetapi tidak dapat diterima ke Tingkatan
Satu di sekolah berasrama penuh kerana tempatnya terhad. Golongan murid
ini perlu diberi bimbingan khas agar mereka meneruskan usaha untuk
mengekalkan kecemerlangan akademik yang telah ditunjukkan oleh mereka.
Pada masa ini, golongan murid ini dikumpulkan untuk belajar di sekolah
pusat yang dikenal pasti. Sekolah pusat ini akan membekalkan kemudahan
berasrama kepada murid ini. Program khas juga dirancang untuk golongan
murid ini. Rancangan khas ini perlu diperuaskan dan diperkukuhkan lagi.
Lebih banyak sekolah sedemikian perlu diwujudkan dan rancangan khas ini
perlu dikembangkan kepada murid dalam bandar atau pinggir bandar yang
berpontensi agar potensi mereka dapat dioptimumkan.
7.6 Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Peningkatan pencapaian murid dalam UPSR dan PMR memerlukan
perancangan yang rapi dan strategi yang konkrit bagi memastikan pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan. Strategi pengajaran dan pembelajaran
memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan minat murid terhadap
sains dan matematik serta mengukuhkan mutu pendidikan sains dan matematik
negara. Pelajaran sains dan matematik yang tidak menarik akan membosankan
36
murid dan seterusnya mempengaruhi pencapaian murid dalam mata-mata
pelajaran yang berkenaan.
Pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran perlu digunakan untuk murid
yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan serta untuk konsep yang
berlainan. Pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran juga mengurangkan
monotoni dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi seperti
antara muka berkomputer juga mampu meningkatkan minat dan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran.
Kejayaan strategi pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada guru
yang merancang dan mengelolakan pelajaran berkenaan. Maka, guru perlu
diberi latihan pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan tentang pedagogi
yang berkesan dan menarik. Pihak pentadbiran sekolah juga perlu memberi
sokongan profesional kepada guru. Bahan sokongan dan bahan bantuan
mengajar yang boleh merangsangkan pelajar perlu disediakan.
7.7 Mengamalkan pembelajaran kontekstual
Penbelajaran kontekstual adalah pembelajaran yang dikaitkan dengan
kehidupan harian murid. Pendekatan kontekstual digunakan di mana murid
balajar secara menyiasat seperti dalam pendekatan inkuiri penemuan. Dalam
pembelajaran kontekstual, kaitan di antara bahan yang diajar dengan
37
kehidupan harian dieksplisitkan. Dalam konteks ini, murid tidak belajar
secara teori sahaja tetapi dapat mengahayati kerelevanan pembelajaran sains
dan matematik dengan kehidupan mereka. Pembelajaran sedemikian lebih
membawa makna kepada murid. Pembelajaran yang bermakna meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya mampu
meningkatkan pencapaian murid dalam mata-mata pelajaran yang berkaitan.
8.0 IMPLIKASI
Penambahan bilangan kelas S & T bermaksud guru sains dan matematik,
bilangan makmal dan jumlah peralatan dan bahan sains perlu ditambah.
Ini juga membawa implikasi keperluan perbelanjaan yang lebih tinggi
juga. Jadual 6 dan Jadual 7 memberi maklumat tentang bilangan guru
Fizik atau Kimia atau Biologi serta bilangan makmal yang perlu ditambah
di setiap negeri dari tahun 2001 ke 2010 ke arah mencapai dasar 60:40.
38
9.0 PENUTUP
39
Matlamat dasar sains dan teknologi ialah untuk memastikan pembangunan
saintifik bagi menyokong dan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang
tinggi, mempercepat pembangunan perindustrian secara menyeluruh dan
menyediakan asas bagi mewujudkan masyarakat yang maju dari segi sains dan
teknologi menjelang tahun 2020.
Sains dan teknologi akan dibangunkan sehingga berupaya memberi
sumbangan positif yang lebih besar dan bernilai tambah kepada pertumbuhan
pembangunan yang berasaskan produktiviti. Secara perlahan industri dan
perkhidmatan berintensifkan modal dan teknologi akan menjadi teras penting
kepada strategi pembangunan untuk mengekalkan kadar pertumbuhan yang pesat
dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sains dan teknologi akan menjadi tunjang kemajuan ekonomi dan daya saing
terutamanya diperingkat antarabangsa. Tanggung jawab mempersiapkan negara
khususya mempersiapkan kaum bumiputera dalam arus kemajuan sains
sememangnya agenda yang mencabar. Minda pelajar-pelajar mesti dibina dengan
menggembar-gemburkan bahawa sains itu mudah dan menarik, dan sains itu
penting demi pembangunan negara pada zaman sains dan teknologi ini.
40
41
RUJUKAN
Abd. .Ghafar Ismail dan Md. Zyadi Md. Tahir. 1998. Makroekonomi
Malaysia: Perspektif Dasar. UKM, Bangi.
Azmi Zakaria, 1999. Ucapan penutup. Prosiding Seminar Pengajaran
Sains dan Matematik, halaman 6-15
Berita harian. 1999. Jurusan Sains masih kurang sambutan.
25 November
Chryll Noll (1993) dalam … Azmi Zakaria. 1999
Fraser dan Walberg (1995) dalam…. Azmi Zakaria. 1999
H. Osman – Rani. 2000.dalam….Negara, Pasaran dan Pemodenan
Malaysia. UKM, Bangi.
Mingguan Malaysia (MM). 2000. Tekankan literasi sains. 31 Disember : 7
Malaysia. 1996. Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996 - 2000
Pusat Perkembangan Kurikulum. 2000. Kementerian
Pendidikan
42
Spencer dalam… Abu Bakar Nordin (Pnyt). (1994). Reformasi Pendidikan
dalam menghadapi menghadapi cabaran 2020. Kuala Lumpur : Nurin
Enterprise.
Saholhamid Abu Bakar. 1999. Pelajar Melayu pintar sains dan bukan
lemah sains. Dewan Masyarakat, Disember: 26-28
Syed Yusainee Syed Yahya. 1997. Mengapa pelajar Sains masih kurang.
Dewan Masyarakat , Mac : 20-22
Utusan Melayu, 2000. Pelajar Melayu perlu tingkatkan prestasi segera.
24 Ogos : 3
Utusan Malaysia. 2000 . Sistem pendidikan perlu dikaji semula. 28 Ogos
Mingguan Malaysia (MM). 2000. Tekankan literasi sains. 31 Disember : 7
Utusan Malaysia. 2001. Sains akan diperkenalkan kepada murid tahun
satu. 11 Januari : 3
Utusan Malaysia. 2001. Kerajaan cadang tubuh pertubuhan saintis
senior. 11 Januari
Wellington (1989) dalam… Azmi Zakaria. 1999
43