sidang dewan negeri pahang: pembatalan hutan …19_hb)_s… · katanya, muip telah mengadakan...
TRANSCRIPT
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PEMBATALAN HUTAN SIMPAN UNTUK
TINGKAT EKONOMI SETEMPAT
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Tindakan Kerajaan Negeri menerusi Pihak
Berkuasa Negeri (PBN) melakukan pembatalan Hutan Simpan Jengka di tanah
seluas 600 ekar bertujuan membolehkan pembangunan yang lebih baik dan
terancang dapat dilakukan di kawasan terlibat.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha
ini seterusnya diyakini dapat meningkatkan lagi aktiviti ekonomi setempat untuk
faedah penduduk tempatan termasuklah daerah Maran.
Beliau berkata, hutan terbabit melibatkan kawasan milik Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Pahang Kampus Jengka termasuklah kawasan hutan di belakang kampus
seluas 1,150.89 ekar dan tapak Econsave yang terletak di dalam Mukim Chenor.
“Pembatalan sebahagian Hutan Simpan Jengka melibatkan lot UiTM Kampus
Jengka dan kawasan sekitarnya telah dilakukan oleh PBN di bawah Seksyen 13,
Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Tindakan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan sebahagian Hutan Simpan
Jengka melibatkan kawasan yang dinyatakan telah dilakukan oleh PBN melalui
Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Disember 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Jengka,
YB. Encik Shahril Azman Abd Halim (PAS), berhubung status tanah di kawasan
Hutan Simpan Jengka pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri
Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Berdasarkan maklumat Hutan Simpan di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, status
kawasan yang dimaksudkan adalah bukan Hutan Simpan Kekal.
Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan, maklumat Pelan Warta 5357 menunjukkan
pengeluaran sebahagian kawasan Hutan Simpan Jengka berkeluasan 465.75
hektar. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN RM18 JUTA ATASI AIR
KERUH
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menerima peruntukan
pinjaman Kerajaan Pusat sebanyak RM18 juta bagi mengatasi isu masalah air keruh
di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai
Klau, Raub.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata,
peruntukan iitu diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja segera bagi semua LRA
terlibat.
“Skop kerja melibatkan skop kerja utama iaitu pembinaan Pre-Sedimentation Tank
serta kerja-kerja berkaitan pada tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Tras,
YB. Encik Chow Yu Hui (DAP), berhubung status projek menaik taraf bekalan air
oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KATS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, loji rawatan air hanya dapat merawat air
dengan kadar kekeruhan tidak melebihi 1000NTU sahaja.
Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut kerja naik taraf akan dilaksanakan segera
di mana ketiga-tiga projek kini berada di dalam peringkat tender dan kesemua projek
mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan.
Selain daripada projek-projek tersebut, kerajaan turut berusaha mengatasi masalah
keputusan bekalan air dan lambat menerima bekalan air apabila loji ditutup akibat
kekeruhan di kawasan perumahan.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)
telah meluluskan tiga projek.
Projek itu adalah Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Taman Bukit Koman,
Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Taman Lee Man dan Raub Utama dan
Kerja-kerja Penambahbaikan Bekalan Air di Kampung Ulu Atok.
Menerusi projek tersebut, kerajaan yakin akan dapat mengurangkan kadar
kekeruhan air yang berlaku di kawasan-kawasan terbabit. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq HakimSuhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: RM214.3 JUTA DIPERUNTUKAN BAGI
MELESTARIKAN TASIK BERA
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM214.3
juta bagi membangunkan Tasik Bera.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan
dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata,
pengurusan cadangan projek untuk Tasik Bera dibahagikan kepada lima zon iaitu
zon pengekalan, zon pemuliharaan (pertanian mampan), zon pembangunan
terkawal, koridor riparian dan projek pembangunan infrastruktur.
Beliau berkata, Majlis Daerah Bera juga telah menyediakan Rancangan Kawasan
Khas (RKK) Tasik Bera bagi mengenal pasti dan menyediakan cadangan pelan
pembangunan dan pengurusan di kawasan tersebut.
“Saya hendak maklumkan bahawa kita menyediakan cadangan pelan
pembangunan, jadi setiap kawasan pelancongan di Pahang ini, kita ada pelan
pembangunan yang tersendiri yang termasuk dalam Rancangan Kawasan Khas di
bawah Pelan Malaysia.
“Kita telah pecah-pecahkan kawasan di Tasik Bera ini kepada lima zon yang sangat
penting dalam melestarikan pembangunan di Tasik Bera sebagai destinasi
pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Triang,
YB. Cik Leong Yu Man (DAP), berhubung usaha kerajaan negeri membangunkan
Tasik Bera pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di
Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, zon pengekalan ini melibatkan Tapak RAMSAR Tasik Bera, Hutan Simpan
Kekal di Chini dan Hutan Simpan Kekal Chini (Tambahan) di mana kerajaan akan
mengekalkan kawasan terbabit.
Bagi zon pemulihan, kerajaan akan memberi fokus kepada pemulihan di kawasan
tersebut manakala zon pembangunan terkawal pula, kerajaan akan mengawal setiap
pembangunan yang dilaksanakan termasuklah laporan EIA dibuat supaya kawasan
tersebut dapat dilestarikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 30,150 pelancong berkunjung ke Bera pada
2019, namun jumlah itu merudum kepada 5,722 pelancong sehingga Jun 2020
ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang
penularan wabak Covid-19.
Daripada jumlah itu, seramai 14,212 pelancong berkunjung ke Tasik Bera pada
tahun 2019 manakala seramai 4,662 pada tahun 2020.
Bagi memenuhi permintaan pelancong yang tinggi, beliau berkata, kerajaan negeri
akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan seperti menambah bilangan
chalet dan tapak perkhemahan agar dapat menampung jumlah pelancong yang
datang pada satu-satu masa. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: 2,855 EKAR TANAH PERTANIAN DIAGIH
KEPADA PEKEBUN CAMERON HIGHLANDS
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Negeri mengagihkan seluas 2,855
ekar tanah pertanian kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands bagi fasa
pertama hingga fasa keempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Insdustri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri
Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, sehingga kini
kerajaan telah melaksanakan fasa 1 dan fasa 2 dengan agihan tanah seluas 2,086
ekar kepada pekebun-pekebun di kawasan tanah tinggi terbabit.
Katanya, daripada jumlah tersebut seluas 222 ekar melibatkan kawasan Mukim
Ringlet, 13 ekar bagi Mukim Tanah Rata dan 1,851 ekar bagi Mukim Ulu Telom.
“Sewaan yang dikenakan bagi setiap ekar ialah RM4,500 dan pekebun tidak boleh
memiliki tanah melebihi 3 ekar seorang dan mereka diberi pajakan dalam tempoh 10
tahun bagi membantu meyakinkan agensi kewangan menyediakan kemudahan
kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Tanah
Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong (DAP), berhubung sewaan tanah pertanian di
Cameron Highlands oleh Pahang Corporation Sdn Bhd pada Mesyuarat Ketiga
Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pertanian di Cameron Highlands pada tahun
2020 dianggarkan berjumlah RM4 juta dan pada 2021 pula dijangka anggaran hasil
yang bakal dikutip oleh kerajaan negeri adalah RM5.7 juta bagi keseluruhan mukim
Ringlet, Tanah Rata dan Ulu Telom bagi keempat-empat fasa.
Jelasnya, kerajaan negeri juga merancang untuk membelanjakan sebahagian hasil
kutipan tersebut untuk perlaksanaan pembangunan dan pengurusan daerah
Cameron Highlands. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG AGIH RM146.8 JUTA
ZAKAT KEPADA GOLONGAN SASARAN
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menerusi Majlis Ugama Islam
dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membuat agihan zakat berjumlah RM146.8
juta pada tahun 2019 dengan hasil kutipan sebanyak RM157.6 juta pada tahun
2019.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang,
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, menerusi agihan tersebut,
sebanyak RM74.8 juta diagihkan kepada golongan fisabilillah yang terdiri daripada
golongan pelajar, RM30.7 juta diagih kepada golongan miskin dan RM18.8 juta
kepada amil.
Katanya, MUIP telah mengadakan pelbagai program dan skim bantuan sebagai
kemudahan kepada golongan asnaf bagi mendapatkan sumbangan zakat.
Antaranya adalah bantuan bulanan, baucar barangan kepada 3,569 penerima,
bantuan hari raya kepada 25,482 penerima, bantuan am sara hidup termasuklah
bantuan khas COVID-19, bantuan pendidikan, bantuan rawatan dan alatan
perubatan kepada 533 penerima, bantuan baik pulih rumah kepada 80 penerima dan
bantuan kursus latihan dan kemahiran kepada 173 penerima.
“Menerusi agihan zakat kepada golongan-golongan penerima akan dapat
membasmi kemiskinan khususnya di negeri Pahang dengan pelbagai program dan
skim bantuan yang disediakan bagi membantu golongan asnaf ini dalam merungkai
permasalahan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Damak,
YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud (PAS), berhubung kutipan zakat di negeri Pahang
pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri
Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, MUIP juga aktif menghulurkan bantuan ketika pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memperuntukkan RM15.1 juta bagi
pelbagai bantuan khas bermula Mac hingga Jun 2020.
Beliau juga akan mempertimbangkan cadangan YB. Tuan Haji Zuridan agar MUIP
menyediakan kursus atau latihan khas kepada golongan asnaf bagi meningkatkan
kemahiran mereka dalam usaha mendidik mereka agar berdikari. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG GALAK
KERJASAMA PENDUDUK SETEMPAT PERANGI DENGGI
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang menggalakkan kerjasama
masyarakat setempat dalam usaha membasmi peningkatan kes demam denggi di
negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang,
YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan
Kesihatan Negeri (JKN) telah menganjurkan pelbagai program dan gotong-royong
bagi mengatasi peningkatan kes denggi di seluruh Pahang namun tidak mendapat
sambutan yang baik daripada penduduk.
“Apabila kita bahagikan jumlah kehadiran penduduk berbanding dengan bilangan
petugas kesihatan, jumlah yang mewakili penduduk hanyalah sedikit pada setiap
gotong-royong yang diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Triang,
YB. Cik Leong Yu Man (DAP), berhubung kes denggi di daerah Bera pada
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri
Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, terdapat lima daerah yang menunjukkan peningkatan kes iaitu di daerah
Kuantan, Pekan, Rompin, Lipis dan Maran.
“Kuantan mempunyai kes demam denggi yang tinggi berbanding daerah lain dengan
2,620 kes dilaporkan dan ini merupakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKN bersama agensi lain sering memberi
penekanan terhadap pendidikan, penguatkuasaan selain daripada rawatan
perubatan semata-mata.
Pelbagai usaha dilakukan termasuklah semburan kabus (fogging) ke beberapa
lokasi khusus di daerah Kuantan. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG TINGKAT
PEMBANGUNAN BELIA MENERUSI INSTITUT BERKAITAN
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang berusaha meningkatkan
kecekapan insitusi berkaitan pembangunan belia dengan menjalankan kajian dan
penyelidikan tentang pembangunan sumber manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan
Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, dasar
latihan sumber manusia sektor awam telah ditetapkan iaitu setiap anggota
perkhidmatan awam perlu melengkapkan diri dengan sikap, kemahiran dan
pengetahuan yang bersesuaian melalui program yang terancang berteraskan
pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan.
“Melalui teras strategik pembangunan sukan berteraskan blueprint negara bersukan
pula, institusi berkaitan seperti Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Rakan
Muda Sukan Air diperkasa dengan menaik taraf kemudahan sukan yang ada bagi
mewujudkan ekosistem sukan yang lebih kondusif dan lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Padang
Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long (BN), berhubung langkah kerajaan dalam
usaha pembangunan belia pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri
Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan kepada Kompleks Belia dan
Sukan Daerah Kuantan dalam memperkasa belia dan melengkapkan kemudahan
bagi perkembangan golongan itu.
Melalui Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik KBS 2010-2015, Institut Kemahiran
Belia Negara (IKBN) telah menghasilkan graduan yang dilatih dan dibekalkan
dengan kemahiran hidup dan ilmu yang diperlukan bagi memenuhi pasaran
pekerjaan dan 90 peratus daripadanya mempunyai faktor kebolehpasaran mendapat
pekerjaan.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkasa Jabatan Belia dan Sukan Negeri
serta memantapkan sistem penyampaian.
“Semua pihak dan agensi perlu terlibat dan bekerjasama berpandukan dasar
kerajaan yang digubal bagi menjadikan institusi yang berkaitan dengan
pembangunan belia dapat diperkasa,” katanya. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: RM13 JUTA BANGUNKAN PROJEK LUAR
BANDAR PADA 2019
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah
RM13 juta bagi melaksanakan sebanyak 223 projek kecil luar bandar pada tahun
2019 manakala RM24.4 juta pula diberikan bagi pelaksanaan 85 projek pada tahun
2018.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB.
Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, kesemua projek tersebut dilaksanakan oleh
Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri (PKN) Pahang
dengan melaksanakan projek-projek kecil di kawasan luar bandar melalui beberapa
program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.
“Program itu ialah Jalan Perhubungan Desa (JPD), Jalan Luar Bandar (JALB),
Program Ameniti Sosial (PAMS), Jalan Ladang, Bekalan Air Luar Bandar (BALB)
dan premis KEMAS,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri
Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang (PKR), berhubung projek pembangunan luar
bandar pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di
Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Daripada program pada 2019 tersebut, JPD menerima peruntukan sejumlah RM6.95
juta, RM3.94 juta bagi program PAMS, RM600,000 bagi projek sambungan JALB,
BALB dengan RM446,967.50 dan KEMAS menerima RM809,415 jumlah
peruntukan. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: TUBUH PASUKAN KHAS KEMBALIKAN
REPUTASI FELDA
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menubuhkan Pasukan Khas
bagi menangani isu Felda untuk merangka strategi mengembalikan reputasi FELDA
serta memastikan pembangunan sosio-ekonomi para peneroka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal
Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, strategi pertama ialah
FELDA berhasrat untuk menamatkan perjanjian dengan FELDA Global Ventures
(FGV) Holdings Berhad tuntutan 350,000 ekar tanah bersama dengan kilang-kilang
dengan impak kewangan berjumlah RM4.1 billion.
“Ini bermaksud, FELDA akan ambil semula tanah-tanah FELDA Plantation dulu yang
telah digadai kepada FELDA Global Ventures (FGV) Holdings Berhad.
“Nombor dua, kita merangka untuk pendapatan RM5,000 sebulan kepada peneroka-
peneroka dalam jangkaan 2025 dengan menukar unit baru kelapa sawit bagi
menghasilkan kuantiti keluaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Sungai
Lembing, YB. Dato’ Haji Md Sohaimi Haji Mohamed Shah (BN), berhubung
pendekatan baru FELDA pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri
Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Manakala rangka ketiga pula berkaitan pinjaman peneroka FELDA yang akan
diturunkan daripada 96 kepada 48 bulan dengan potongan 6.25 peratus keuntungan.
FELDA juga merangka satu strategi baru iaitu tanaman alternatif dengan memberi
pinjaman atau pun geran melalui Agro Bank untuk peneroka generasi pertama dan
kedua untuk penanaman nenas, kelapa, ruminan, cili, kunyit hitam, halia muda dan
ternakan ikan air tawar.
“Nombor lima, pasukan khas juga merangka untuk mewujudkan seramai 1,000
usahawan jutawan yang terdiri daripada anak-anak muda FELDA melibatkan
generasi kedua, ketiga dan keempat,” katanya.
Kesemua matlamat ini ditetapkan untuk dicapai secara berperingkat mengikut
keutamaan dalam tempoh satu hingga lima tahun bagi memastikan kelestarian
FELDA dan menjamin kesejahteraan warga peneroka. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
PEMUDA PAS PAHANG SIFATKAN BELANJAWAN 2021 BERI MANFAAT
UNTUK SEMUA
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Menteri Besar
Pahang, YAB. Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas pembentangan
Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ yang sangat
bermakna dan saksama untuk semua lapisan dan golongan rakyat di negeri ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, YB. Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad
Badarddin berkata, DPPNP melihat belanjawan ini yang mempunyai lebihan
RM5.332 juta sebagai satu belanjawan yang sangat seimbang dengan mengambil
kira situasi semasa ekonomi global, domestik dan juga kesejahteraan semasa rakyat
yang memerlukan sokongan serta suntikan bagi meneruskan kelangsungan
kehidupan dalam situasi pandemik COVID-19 ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Tahan berkata, bagi mewakili golongan belia,
DPPNP ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas
keprihatinan kerajaan negeri yang menyaksikan sekurang-kurang tiga peruntukan
khusus untuk golongan belia negeri ini termasuklah RM10 juta untuk golongan belia
memulakan perniagaan; RM470,000 untuk pembangunan belia negeri dan juga
insentif one-off kepada pasangan muda yang melangsungkan perkahwinan.
Selain itu menurutnya, pelbagai peruntukan dan insentif lain seperti Rumah PR1MA,
Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang serta bantuan untuk anak-anak yang
bakal memasuki tahun satu pada tahun hadapan sudah pasti akan memberi sedikit
kelegaan untuk beban golongan muda di negeri ini.
“Dengan jangkaan peningkatan hasil sebanyak 7.6 peratus pada tahun 2021, kami
yakin kerajaan Muafakat Nasional Negeri Pahang adalah sebuah kerajaan yang
stabil dan kukuh bagi terus menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat negeri
ini.
“DPPNP juga sangat menghargai kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan negeri
dengan turut melibatkan PAS sebagai salah satu kompenen kerajaan negeri dengan
penglibatan diperingkat Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejateraan Kampung
(JKKK) dan juga peruntukan terus kepada semua Ahli Dewan Negeri PAS bagi
menguruskan projek-projek kecil dalam Dewan Negeri yang diwakili. Satu
kepercayaan dan pengiktirafan besar buat kami yang akan kami jalankan dengan
penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu DPPNP turut mendoakan semoga kesejahteraan bumi Pahang terus
berpanjangan di bawah pentadbiran Kerajaan Muafakat Nasional negeri ini dengan
panduan dan suluhan wahyu daripada Ilahi.
“DPPNP juga menyatakan tekad untuk terus bersama mempertahankan kerajaan ini
bagi memastikan agenda perpaduan ummah terus diperkasa bagi memberi manfaat
buat semua rakyat di negara ini khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur. –
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LANTIK KONTRAKTOR BAHARU
SIAPKAN PPRM KUALA TAHAN
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri akan berusaha menghubungi
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melantik kontraktor
baharu bagi menyiapkan Projek Program Perumahan Rakyat Malaysia (PPRM)
Kuala Tahan di Jerantut yang sudah lama terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB.
Dato’ Abd Rahim Muda berkata, Projek PPRM di Kuala Tahan merupakan projek di
bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, JPN masih belum menyerahkan projek yang masih dalam pembinaan
tersebut kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang untuk diambil alih sebelum
dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri.
“Saya difahamkan kontraktor terdahulu tidak berupaya untuk melakukan kerja-kerja
perumahan ini dan saya akan berhubung dengan pihak KPKT bagi memastikan
kontraktor baru akan dilantik bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri Tahan,
YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS), berhubung pembinaan PPRM
Kuala Tahan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14
di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini. – PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fansurina Abdullah Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BANTU
RAKYAT HILANG PEKERJAAN
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan negeri melalui Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam
membantu rakyat Pahang yang terjejas dan kehilangan pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan
Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, antara
usaha ialah menaik taraf portal kerajaan atau MYFutureJobs, Hiring Incentive
Programme, karnival pekerjaan dan temuduga terbuka, Program Subsidi Upah dan
juga Sistem Insurans Pekerjaan.
“Melalui portal MYFutureJobs dan juga Job Fair Malaysia, sehingga 16 November
2020 terdapat sebanyak 1,527 majikan yang berdaftar dengan menawarkan 18,408
pelbagai jawatan kosong.
“Seramai 2,491 calon pekerja yang telah berdaftar dan 2,980 jawatan telah diisi.
Semua pendekatan ini diharap dapat memberi lebih manfaat kepada rakyat Pahang
dalam menguruskan ekonomi dalam mendepani kehidupan serba mencabar kini,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata melalui inisiatif pelaburan kerajaan negeri, sebanyak
9,045 ruang pekerjaan berjaya menampung kadar pengangguran di negeri ini
sebanyak 2.8 peratus sehingga pada suku ketiga tahun ini.
Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Mentakab, YB. Encik Woo Chee Wan
berkenaan penyediaan latihan kepada penganggur berpengalaman, Dato’ Sri Haji
Mohd Johari berkata di bawah Sistem Insuran Pekerjaan sebanyak RM220,600 telah
dibelanjakan untuk latihan dan telah membayar elaun sebanyak RM10,500.
Sementara itu, bagi tahun 2021 kerajaan negeri akan melaksanakan karnival
pekerjaan dan tiga temuduga terbuka secara bulanan di tiga buah PERKESO iaitu di
Kuantan, Temerloh dan Bentong.
“Secara keseluruhan bagi tahun 2021 dijangka sebanyak 37 program temuduga
terbuka akan diadakan termasuk Mini Job Fair,” katanya.
Ia menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura
Othman yang bertanyakan berkenaan perancangan Pahang Job Fair pada tahun
akan datang.
Sementara itu, menyentuh berkenaan pembangunan sukan negeri pula, beliau
berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang yang telah meluluskan
peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta yang merangkumi perbelanjaan
mengurus dan pembangunan Majlis Sukan Pahang bagi kerja-kerja kawalan
keselamatan, pembaikan bagi meningkatkan perkhidmatan infrastruktur dan
pengurusan.
“Pada masa ini pembangunan atlit tertumpu di beberapa daerah sahaja iaitu di
Pekan, Kuantan, Rompin dan Temerloh.
“Kita akan terus menghasilkan atlit berpotensi dalam sukan badminton, hoki,
badminton, bola jaring, golf, olahraga dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi
Badminton, Akademi Golf dan Akademi e-Sport Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
60 PERATUS PPS PAHANG TELAH DIJALANKAN SANITASI AWAM
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Pihak bomba telah melakukan proses sanitasi
awam terhadap hampir 60 peratus Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini
sebagai langkah awal menghadapi kejadian banjir akibat musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YH. Ir. Haji
Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata proses sanitasi ini telah bermula sejak
minggu lepas dan dijangka selesai pada minggu hadapan.
“Jabatan Bomba bermula pada minggu lepas lagi iaitu bermula selepas mesyuarat
Jawatankuasa Bencana Negeri, kita diminta untuk menjalankan sanitasi awam di
647 PPS di negeri ini.
“Jadi Jabatan Bomba dah menggerakkan sehingga hari ini hampir 60 peratus PPS
banjir ini di buat sanitasi awam dan kita akan terus jalankan sehingga selesai,”
katanya ketika sidang media berkaitan Persiapan dan Kesiapsiagaan JBPM Pahang
Sempena Menghadapi Musim Tengkujuh hari ini di Ibu Pejabat JBPM Pahang.
Beliau berkata proses sanitasi awam ini akan tetap diteruskan selepas pusat-pusat
PPS ini diaktifkan namun ia akan dilakukan oleh petugas di tempat tersebut.
“Cuma setelah diaktifkan PPS itu, proses sanitasi ini akan dilaksanakan oleh
petugas PPS yang ada namun di bawah bimbingan Jabatan Bomba.
“Sebab pada masa itu Jabatan Bomba mungkin tidak mempunyai kesempatan untuk
melakukan proses ini (sanitasi) kerana akan lebih memberikan tumpuan kepada
kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata pihak bomba juga telah membekukan cuti 953 anggota bomba di
negeri ini sebagai langkah menghadapi banjir.
“Kita telah bekukan cuti anggota kita yang terlibat dengan operasi berkaitan banjir
sebagai langkah untuk menyiapkan para petugas menghadapi banjir norma baharu
ini.
“Kita telah mengeluarkan surat kepada anggota terlibat di mana cuti mereka
dibekukan bermula daripada bulan ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu
selain akan dibantu oleh 129 bomba bantuan,” katanya.
Tambah beliau lagi, anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan untuk membuat
rondaan terutamanya di kawasan-kawasan yang sering dinaiki air supaya bantuan
dapat diberikan secepat mungkin.
“Macam balai di kawasan Pekan, Temerloh kita telah minta mereka buat rondaan
secara kerap terutamanya bila hujan tak berhenti sehari dua kerana kita nak bantuan
diberikan tanpa menunggu panggilan daripada mangsa terlibat.
“Semua balai di negeri ini juga telah melakukan latihan berkaitan penggunaan
peralatan dan kerja-kerja menyelamat bagi menyesuaikan diri mereka dengan
prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19,” katanya.
Menurut beliau, pasukan bomba juga akan dibantu oleh anggota Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah awal terutamanya melibatkan
pemindahan pesakit Covid-19 atau mereka yang dikuarantinkan.
“Dalam Mesyuarat Bencana Negeri kita telah dimaklumkan bahawa KKM akan turut
serta di dalam operasi yang akan dijalankan.
“Kita juga akan memastikan anggota memakai PPE ketika operasi menyelamat
selain memastikan penjarakan dan mengehadkan bilangan orang di dalam bot dan
trak penyelamat,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Ain Nadhirah Basha
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: TIGA STRATEGI PERKASA SEKTOR
PERTANIAN DI PAHANG
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Jabatan Pertanian Pahang telah menyusun tiga
strategi bagi memperkemaskan lagi pelaksanaan program di peringkat lapangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB.
Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, strategi pertama ialah
pembangunan agromakanan berorientasikan eksport dengan teknologi moden.
“Strategi pertama ini mengenal pasti beberapa tanaman yang akan diberi tumpuan
kerana faktor nilai tinggi seperti seperti durian D197 (Musang King) dan nangka
madu J33 dan lain-lain.
“Strategi lain ialah memperkasa modal insan dalam pembangunan agromakanan
serta amalan pertanian baik dan persijilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar di atas
peruntukan sebanyak RM5.5 juta kepada Jabatan Pertanian bagi memantapkan
sektor agromakanan terutamanya bagi peningkatan pengeluaran bahan makanan
seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, herba dan juga tanaman lain.
“Bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil bahan makanan di negeri Pahang, pihak
Pertanian menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM3.15 juta bagi
tahun 2021.
“Kita anggarkan 200 orang petani akan dapat dibantu bagi pembangunan tanaman
buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, herba, rempah ratus, kelapa serta
pemeliharaan lebah kelulut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pembangunan produk hiliran hasil tanaman industri
hasil tani akan digerakkan mengikut kluster agar hasil dapat ditambah nilai untuk
meningkatkan sumber pendapatan yang lebih tinggi kepada pengusaha.
“Peruntukan sebanyak RM450,000 disediakan tahun depan bagi membimbing
pengusaha produk hiliran,” katanya.
YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi dalam ucapannya berkata, pihak Agrobank
menyediakan pembiayaan bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas
akibat COVID-19.
“Sehingga 31 Oktober lalu, Agrobank Wilayah Pahang telah meluluskan pembiayaan
kepada 127 orang pelanggan dengan nilai RM22.81 juta, manakala di bawah
PENJANA sebanyak RM1.61 juta telah diluluskan kepada 177 peminjam
agromakanan.
“Pembiayaan bagi agromakanan ini masih dibuka dan boleh dipohon di mana-mana
cawangan Agrobank yang terdekat. Belia yang berminat untuk melibatkan diri juga
boleh memohon kepada bank serta Jabatan Pertanian, Veterinar dan Perikanan di
daerah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menerima aduan daripada 24 orang pengusaha melibat
397 petak sangkar ikan yang terjejas setakat ini melalui Pejabat Daerah.
“Mesyuarat telah diadakan dengan pengusaha serta Jabatan Perikanan supaya
dapat menimbang untuk beri saguhati atau pampasan kepada penternak berkaitan.
“Rundingan masih dilakukan dan saya juga berharap agar nasib penternak terlibat
mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: LAKSANA LANGKAH STRATEGIK GALAK
PERTUMBUHAN EKONOMI
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang melaksanakan langkah
strategik bagi jangka sederhana dan jangka panjang bagi merangsang pertumbuhan
ekonomi berdaya tahan dan kompetetif.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal
Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, Kerajaan
Persekutuan bersama kerajaan negeri telah pun mengumumkan beberapa inisiatif
untuk merangsang memantapkan sektor ekonomi negara dan negeri.
Katanya, bagi memperkukuhkan langkah-langkah ini serta menjamin asas ekonomi
yang lebih teguh, kerajaan negeri berusaha mengambil inisiatif untuk melaksanakan
langkah-langkah strategik pertumbuhan ekonomi untuk rakyat Pahang terutama
pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Antara langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah membenarkan
penjaja kecil mikro berniaga di kawasan perumahan tanpa perlu mengambil lesen.
“Kerajaan negeri lebih terkedepan berbanding Wilayah Persekutuan dalam memberi
kebenaran kepada peniaga berniaga tanpa lesen di kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga
Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, sehingga September 2020, seramai 1.67 juta pemohon bantuan di Negeri
Pahang telah menerima bantuan Penjana, Prihatin dan Prihatin TKS dengan nilai
bantuan sebanyak RM2.015 bilion bagi negeri Pahang.
Kerajaan juga melakukan pelbagai usaha bagi memastikan harga barang stabil dan
mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk negeri ini.
Berdasarkan rekod Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang, bekalan makanan adalah mencukupi bagi
memenuhi keperluan pengguna meskipun ketika negara dilanda wabak COVID-19.
Kerajaan negeri juga memberi tumpuan terhadap dua fokus utama pemerkasaan
ekonomi bagi menjayakan Projek Transformasi Ekonomi agar selaras dengan
agenda nasional.
“Fokus pertama adalah pembangunan modal insan dengan menitikberatkan
pembangunan kemahiran keusahawanan dan fokus kedua adalah memperhebatkan
program kemahiran usahawan,” katanya.
Malah pembangunan usahawan juga turut memberi fokus kepada generasi kedua
hingga keempat FELDA dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). –
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN MANTAPKAN LAGI
PENGURUSAN AGAMA
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Peruntukan yang disalurkan Kerajaan Pahang
dan Pusat pada setiap tahun dapat meningkatkan segala usaha yang dilakukan
dalam memantapkan lagi syiar Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’
Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peruntukan sebanyak RM128.35 juta
disalurkan pada tahun ini bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan Jabatan
Agama Islam Pahang (JAIP).
“Selain itu, kita turut menerima peruntukan dari Kerajaan Persekutuan melalui
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM39.59 juta bagi bayaran
elaun kepada 2628 orang guru KAFA, 3795 orang pegawai kariah masjid dan 405
orang guru tahmid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, pihak JAKIM juga telah
menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM743,200 bagi pembaikan dan
penyelenggaraan 18 buah SMAT.
“Selain itu, JAIP telah diluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta oleh Pejabat
Pembangunan Persekutuan bagi pembinaan dua buah masjid, RM3.85 juta bagi
pembinaan lima buah surau serta RM2.75 juta oleh ECER bagi penyelenggaraan
dan naiktaraf SMAT yang terletak di daerah Pekan, Rompin, Jerantut, Maran
Temerloh dan Bera,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi tahun 2021 pula, kerajaan negeri akan memperuntukkan
sebanyak RM129.26 juta bagi kedua-dua perbelanjaan mengurus dan
pembangunan JAIP.
“Ia merangkumi gaji, emolumen, bekalan dan perkhidmatan serta naik taraf dan
penyelenggaraan bangunan-bangunan JAIP termasuk Pejabat Agama Daerah dan
Sekolah-sekolah Agama Negeri.
“Kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan
syiar Islam melalui Bantuan Prihatin Pahang 2021,” katanya.
Menurutnya, antaranya ialah bayaran one-off sebanyak RM750 kepada 1032 orang
imam kariah, RM250 kepada 888 orang bilal dan 888 orang siak dan RM300 kepada
2628 orang guru KAFA di negeri ini.
“Turut tersenarai ialah bayaran RM300 kepada guru Al-Quran dan Fardhu Ain
asrama dan juga tambahan elaun sebanyak RM200 kepada 350 orang guru terlibat.
“Perolehan bantuan 16 buah kenderaan juga adalah bukti usaha murni daripada
YAB. Menteri Besar Pahang yang sentiasa memikirkan kebajikan dan kepentingan
urusan agama di negeri ini,” katanya. –PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG KOMITED ATASI ISU
PERUMAHAN RAKYAT
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang komited dalam membantu
rakyat negeri ini bagi mengatasi isu perumahan menerusi pelbagai program
perumahan bersesuaian dengan kemampuan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB.
Dato’ Abd Rahim Muda berkata, kerajaan telah menyediakan Perumahan Rakyat
1Malaysia (PR1MA) Pahang, Rumah Makmur dan Rumah Rakyat Pahang (RRP)
berdasarkan kelayakan dan kemampuan penduduk.
Jelasnya, kepada rakyat yang berkemampuan boleh membuat permohonan PR1MA
Pahang berharga RM150,000, manakala Rumah Makmur pula berharga RM80,000.
“Sekiranya pembeli tersenarai dengan E-Kasih, tidak mempunyai slip gaji dan tidak
berkemampuan untuk membeli rumah yang telah ditawarkan, mereka layak
menerima RRP yang diberikan secara percuma berjumlah 98 unit di seluruh negeri.
“Kaedah pemilihan dilaksanakan oleh pemimpin setempat dengan menilai penerima
yang benar-benar layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga
Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM290,000 bagi kerja
memperbaiki rumah daif dan rosak dengan bantuan maksimum RM10,000 bagi
sebuah rumah.
YB. Dato’ Abd. Rahim turut mengharapkan kerjasama orang ramai dalam usaha
memperkasakan kesejahteraan dan kelestarian di semua bandar di negeri ini.
Beliau turut berkongsi pencapaian Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Majlis
Perbandaran Bentong (MPB) yang diisytiharkan antara 10 bandar paling bahagia di
Malaysia.
MPK juga diiktiraf sebagai bandar mampan 2020 selepas Majlis Perbandaran Klang.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan, MPK akan jadi Majlis Bandaraya Kuantan dan
bagi tujuan itu, kita sangat mengharapkan kerjasama daripada penduduk Kuantan
untuk sama-sama memberi sokongan dalam usaha mencapai sasaran itu,” katanya.
Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan sejumlah RM3.2 juta menerusi
pengurangan bayaran sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) bagi bulan April
hingga Mei 2020 dalam membantu rakyat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan one-off kepada 1,108 petugas PBT yang
terlibat sepanjang PKP sebanyak RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah
RM221,600.
Selain itu, bagi meneruskan kelangsungan sektor perniagaan ketika PKP
dilaksanakan, kerajaan negeri menerusi PBT turut menggalakkan sistem
penghantaran ke rumah / pejabat dijalankan oleh peniaga-peniaga makanan.
“Saya juga bersyukur kerana kerajaan telah menyalurkan peruntukan pembangunan
PBT berjumlah RM92 juta bagi melahirkan bandar sejahtera dan lestari,” katanya. –
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PERUNTUKAN LEBIH RM2 JUTA TANDA
PENGHARGAAN KEPADA WANITA
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian
kepada golongan wanita di mana lebih RM2 juta disalurkan dalam pembentangan
Bajet Negeri Pahang 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat,
Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza
Shamsuddin berkata, sebanyak RM772,000 disalurkan bagi pembangunan wanita
dan RM1.5 juta melalui program Cakna Suri iaitu ujian mammogram secara percuma
yang akan melibatkan 6,000 orang wanita di negeri ini.
“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kaum wanita sejajar dengan
dasar wanita negara adalah untuk membangunkan potensi dan mendayaupayakan
wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam semua sektor sebagai agen
perubahan kepada masyarakat.
“Ini kerana wanita juga bertindak sebagai penyumbang kepada penyumbang
ekonomi dan sosial negara dan negeri khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu, menyentuh berkenaan kebajikan di negeri ini, YB. Dato’ Sri Hajah
Shahaniza berkata, semua golongan yang memerlukan telah diberi ‘sentuhan’ di
dalam bajet kali ini.
“Kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM3 juta kepada Kumpulan Wang
Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang di bawah kawalan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang melalui tahun 2021 iaitu peningkatan
sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu.
Kerajaan negeri juga telah selesai menyalurkan bantuan barangan ke 118 buah
pangkalan hadapan di seluruh negeri Pahang sebagai persediaan menghadapi
Monsun Timur Laut kali ini.
Penghargaan terus diberikan di atas keprihatinan YAB. Menteri Besar Pahang yang
turut menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang sebanyak RM250 kepada seramai 2054
orang warga emas berusia 80 tahun ke atas dengan jumlah keseluruhan
RM513,500.
“Bantuan one-off turut diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
melibatkan seramai 33973 orang dengan jumlah keseluruhan RM8,493,250.
Berdasarkan rekod JKM seramai 34,081 OKU telah berdaftar di negeri Pahang
sehingga 16 November 2020, manakala jumlah OKU yang menerima bantuan
bulanan adalah seramai 12,207 orang iaitu penerima elaun pekerja cacat (5,371
orang), bantuan penjagaan OKU sakit terlantar (2,103 orang) dan penerima bantuan
OKU tidak upaya bekerja (4,733 orang).
Menurutnya, JKM juga memberi saguhati sebanyak RM150 sebulan kepada 1,362
orang pelatih OKU yang mengikuti latihan pemulihan di PPDK.
YAB Menteri Besar Pahang juga telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 setiap
52 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan tujuan memberi latihan
kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan ia menjadi jumlah tertinggi berbanding
RM1,000 bagi setiap PDK sebelum ini. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PAHANG JADI DESTINASI PILIHAN
PERTAMA PELANCONG
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020: Keindahan dan keistimewaan alam semulajadi di
negeri ini menjadikannya destinasi pelancongan utama di kalangan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan
dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin
berkata, kenyataan tersebut disokong oleh kaji selidik yang telah dilakukan pada
tahun ini.
“Pahang adalah negeri pertama menjadi pilihan pelancong dari seluruh negeri di
Malaysia adalah sebanyak 30.2 peratus daripada 10,000 orang diikuti negeri
Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kesan COVID-19 telah menjejaskan jumlah kedatangan pelancong ke Pahang pada
tahun ini iaitu hanya 2.7 juta orang sahaja berbanding 6.3 juta orang dalam tempoh
sama tahun sebelumnya. Namun, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
(PKPP) bermula Jun hingga Oktober lalu, Pahang telah mendapat satu lonjakan
ketibaan pelancong iaitu sebanyak 5.4 juta orang” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal
Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, pada tahun lalu sektor
pelancongan negeri menerima peruntukan sebanyak RM 1.5 juta bagi 16 buah
projek penyediaan infrastruktur dan pelancongan negeri.
“Terima kasih juga kepada Kerajaan Pusat yang telah menyalurkan sebahagian
daripada cukai pelancongan iaitu sebanyak RM7.8,” katanya.
Beliau berkata, penghargaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang
kerana dalam bajet tahun ini telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada
Tourism Pahang bagi menggiatkan usaha mempromosi sektor pelancongan di
negeri Pahang bagi tahun 2021.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi mengurus dan
mentadbir Perbadanan Muzium Negeri Pahang termasuk menaik taraf muzium-
muzium dan kajian pembangunan artifak serta mewartakan beberapa kawasan
sebagai kawasan pelancongan negeri Pahang.
“Manakala sebanyak RM2 juta diberi sebagai peruntukan bagi membaik pulih
infrastruktur pelancongan yang dikenal pasti untuk memberi keselesaan kepada
pengunjung,” katanya. -PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fairus Mohd Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: PAHANG KEMUKA PERMOHONAN BINA
BANGUNAN BAHARU, PROJEK JALAN RM16.09 BILION TAHUN HADAPAN
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang telah mengemukakan
permohonan berkaitan pembinaan bangunan baharu dan projek jalan bernilai
RM16.09 bilion kepada Kementerian Kerja Raya bagi tujuan pembangunan di negeri
ini pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang,
YB. Dato' Sri Norolazali Sulaiman berkata Kerajaan Negeri juga turut memohon
peruntukan bernilai RM16.08 juta bagi tujuan sama kepada Kementerian
Pembangunan Luar Bandar.
"Bagi perancangan tahun 2021, sebanyak 24 cadangan projek baharu bangunan
serta 37 cadangan projek jalan telah dipohon kepada Kementerian Kerja Raya
dengan anggaran peruntukkan sebanyak RM16.09 bilion.
"Dan sebanyak 22 cadangan projek juga telah dipohon kepada Kementerian
Pembangunan Luar Bandar dengan anggaran sebanyak RM716.08 juta," katanya
ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri
Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata sepanjang tahun 2019 dan tahun ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)
Pahang telah menerima dan melaksanakan 47 projek dengan peruntukan bernilai
RM1.04 bilion.
"Sepanjang tahun 2019 hingga tahun 2020, pihak JKR Negeri telah menerima dan
melaksanakan sejumlah 47 projek dengan peruntukan sebanyak RM1.04 billion.
"Ini melibatkan 45 projek persekutuan bernilai RM608.2 juta dan dua projek negeri
dengan nilai sebanyak RM433.07 juta," katanya.
Tambah beliau lagi, peruntukan sebanyak RM3.8 bilion daripada Kerajaan
Persekutuan bagi pembinaan dua projek di negeri ini mampu memberi manfaat dan
pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat di negeri ini.
"Dua projek sangat besar iaitu projek Central Spine Road (CSR) yang dijangkakan
jajaran yang diluluskan ini adalah pakej keenam iaitu daripada Bentong ke Simpang
Pelangai sebanyak 47.5 kilometer dan projek ini telah dimasukkan dalam
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan anggaran kos sebanyak RM1.1 bilion.
Skop yang terlibat ialah membina baru dan menaik taraf jalan sedia ada berasaskan
empat lorong dua hala mengikut piawaian jalan JKR.
"Dengan pelaksanaan projek ini dapat memberi impak yang sangat positif, di mana
ia akan melengkapkan semua pakej projek jalan dari Kuala Krai, Kelantan ke
Simpang Pelangai, Pahang yang bertujuan bagi mengurangkan kesesakan trafik ke
Pantai Timur daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 ke Kelantan. Projek CSR ini pasti
akan memberikan impak kepada lima sektor utama membabitkan kawasan Pahang
Barat ini meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan
perlombongan, di samping sektor pelancongan sedia ada," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi mengurangkan kesesakan di jalan alternatif ke Pantai
Barat, Kerajaan Negeri sedang mengkaji cara untuk bekerjasama dengan Kerajaan
Negeri yang bersempadanan dengan kawasan tersebut untuk membina satu lagi
laluan masuk yang baharu.
"Bagi laluan ke Pantai Barat, kita selama ini terlalu bergantung kepada Lebuhraya
Karak yang kita tahu saban hujung minggu mengalami kesesakan. Pada tahun
lepas,
jalan alternatif yang digunakan iaitu jalan lama daripada Gombak ke Bentong, yang
sering kita gunakan apabila berlaku kesesakan telah mengalami kerosakan dan
ditutup.
"Jadi pihak jawatankuasa Kerajaan Negeri sedang mengkaji cara-cara cadangan
bagaimanakah Kerajaan Negeri Pahang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri-
negeri yang berjiran dengan kita untuk membina satu lagi laluan masuk," katanya. –
PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Ain Nadhirah Basha Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
(LIPUTAN BERGAMBAR)
SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI PERTINGKAT AKSES
INTERNET LUAR BANDAR
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memberi fokus utama
terhadap kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar dengan melaksanakan
beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih di kawasan
terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia
Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan
Negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) bakal menyediakan pusat internet komuniti di lokasi yang dikenal pasti
bersesuaian.
“Sehingga kini terdapat sebanyak 108 pusat internet telah disediakan oleh
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di seluruh Pahang.
“Inisiatif pusat internet komuniti ini disediakan untuk membantu para pelajar luar
bandar bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan capaian internet
yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga
Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Kerajaan Negeri bakal
mewujudkan Jawatankuasa Pelaksana Projek JENDELA Negeri Pahang yang
dianggotai oleh anggota SKMM, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Bahagian
Kerajaan Tempatan, Bahagian Teknologi Maklumat, PLANMalaysia, Pahang
Corporation Sdn. Bhd. dan beberapa agensi serta jabatan lain yang berkaitan.
Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan bertindak sebagai pemantau dan
pemudah cara bagi pembinaan infrastruktur telekomunikasi baharu.
Menyentuh aplikasi PahangGo, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata,
Kerajaan Negeri mensasarkan muat turun mencecah 500,000 menjelang 2022
dengan transaksi sebanyak RM2 juta setiap bulan.
Katanya, aplikasi PahangGo merupakan satu punca pendapatan baharu bagi
Kerajaan Negeri dan merupakan kejayaan kepada Pahang dalam usaha
mengukuhkan kedudukan aplikasi terbaik dengan pelbagai kemudahan digital
secara atas talian.
“Transaksi kini boleh dilakukan di hujung jari sahaja bagi pelbagai urusan seperti
pembayaran parkir, pembayaran kompaun, urusan kerajaan serta pembayaran
pelbagai cukai negeri,” katanya.
Sehingga kini katanya, seramai 134,000 telah memuat turun aplikasi PahangGo
sejak dilancarkan pada Oktober 2019 dengan transaksi mencecah RM800,000
sebulan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM7.9 juta
bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan supaya
dapat memastikan program teknologi dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Kerajaan Pahang turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur
komunikasi bagi membolehkan rakyat menikmati akses kepada perkhidmatan jalur
lebar berkualiti tinggi yang lebih baik.
Terdapat sebanyak 1,827 struktur komunikasi yang telah beroperasi dengan 1,466
struktur di atas tanah manakala 361 struktur di atas bangunan.
Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong aspirasi Kerajaan Pusat dalam
melaksanakan pelan pembangunan teknologi. - PAHANGMEDIA
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) #MajuTerusPahang #Pahang1st #KerajaanNegeriPahang #PahangGo Oleh: Fansurina Abdullah Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
(LIPUTAN BERGAMBAR)