surat
DESCRIPTION
suratTRANSCRIPT
No. 74, Taman Seri Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.
26 Januari 2015
Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau
Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di
sini sihat-sihat sahaja.
Sahabatku,
Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara
untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti?
Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi
peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari
pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.
Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang
sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan
segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.
Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas
tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran.
Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-
sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan
Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan
pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan
masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang
agak sukar dan bertukar-tukar nota.
Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya
berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti.
Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan
tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah
yang terpilih.
Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini.
Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.
Sahabatmu,
.............................
(Vellashene Subramaniam)