susurgalurkan perkembangan sosiopolitik malaysia yang merupakan kesan dari pengaruh british
TRANSCRIPT
1
SKSP 1033
EVOLUSI POLITIK MALAYSIA
SOALAN :
SOALAN 5: SUSURGALURKAN PERKEMBANGAN SOSIOPOLITIK MALAYSIA
YANG MERUPAKAN KESAN DARI PENGARUH BRITISH
PENSYARAH :
DR. JAMAIE BIN HAJI HAMIL
NAMA :
SHAH MOHD AKMAL BIN ABDUL HALIM (A149306)
TUTORIAL :
SELASA (12.00-1.00 PETANG)
2
1.0 ETIMOLOGI DAN EPISTEMOLOGI KOLONIALISME
Dalam konteks etimologi kata, kolonialisme berasal daripada bahasa Roman iaitu
colonia yang membawa maksud farm atau pertempatan dan merujuk kepada orang Roman
yang mendiami kawasan lain tetapi tetap mengekalkan kewarganegaraannya. Dalam aspek
umum pula, kolonialisme membawa maksud satu petempatan oleh sekumpulan orang di
sebuah kawasan lain dan membentuk sebuah komuniti yang tertakluk kepada, atau
berhubungan dengan negara asal mereka. Komuniti tersebut turut terdiri daripada penduduk
asal serta keturunan mereka dan pendatang selagi hubungan terhadap negara asal dikekalkan
atau dengan perkataan singkat serta mudah iaitu penaklukan dan penguasaan terhadap tanah
orang lain dan barangannya (Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 28 – 29). Dalam konteks
etimologi juga, kolonialisme tidak membawa maksud penjajahan tetapi hanya melibatkan
konotasi negatif yang berlaku akibat interaksi yang tidak seimbang antara pendatang baru
dengan penduduk asal (Ratna 2008, 20).
Dalam konteks epistemologi pula, terdapat pelbagai pendifinisian yang dibuat oleh
para sarjana dalam memperjelaskan pengertian makna kolonialisme. Kolonialisme sering kali
disamakan dengan imperialisme dan pelbagai sarjana yang memberi tafsiran mengenai
kolonialisme tidak kurang juga yang memberi pendifinisian dalam konteks perbezaan bagi
menunjukkan perbezaan antara kolonialisme dan imperialisme. Oleh itu, lihat pendifinisian
yang diberikan oleh Nadel dan Curtis yang membawa makna cukup luas:
…Bagi sebahagian orang, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti yang dilihat daripada
kaca mata penting penjajah ; malahan, semua kolonialisme difahamkan sebagai
perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme bererti
kolonialisme, dan ini tidak dapat dinafikan. Tetapi, ‘kolonialisme’ kini secara amnya
3
digunakan sebagai seerti dengan penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang
peribumi…
(Cheah Boon Kheng & A. Talib Ahmad 1990, 13)
Tarikfan turut diberikan oleh Syed Hussein Alatas mengenai kolonialisme dalam
konteks perbezaan antara kolonialisme dan imperialisme:
…Kolonialisme dan imperialisme disamakan maksudnya kecuali satu perbezaan bahawa
imperialisme ialah penguasaan wilayah-wilayah asing yang luas oleh satu negara sedangkan
kolonialisme boleh dirujuk kepada penguasaan terhadap sesebuah negara sahaja…
(Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 28)
Selain itu, turut dipetik adalah daripada Graham Evans dan Jeffrey Newham sebagai
berikut:
…Colonialism it involves the settlement of foreign territories, the maintance of rule over
subordinate population and the separation of the ruling from the subject population…
(Evans & Jeffrey 1998, 79)
Menurut ahli sejarah Jerman Jürgen Osterhammel, beliau mendifinisikan kolonialisme
seperti berikut:
…As a relationship between two collectives in which all important decisions concerning the
life of the colonised are made by a culturally different/alien minority of colonisers unwilling
to adapt to local customs. External interests (be the economic, political or ideological) are the
main criteria in such decision. Usually, ideological issues such as the alleged cultural
superiority of the colonisers echo in the nature of the relationship...
(Leonard 2006, 355)
4
Satu takrifan semasa yang berwibawa dikemukakan oleh Edward W. Said dalam
bentuk perbandingan antara imperialisme dan kolonialisme:
…as the practice, the theory, and the attitudes of a dominating metropolitan center ruling a
distant territory and colonialism, almost always a consequence of imperialism…
(Ostler 2004, 2)
Takrifan yang lebih sesuai dalam konteks Tanah Melayu boleh dilihat pentakrifan
yang dibuat oleh Cheah Boon Kheng & Abu Talib Ahmad:
…Kolonialisme atau penjajahan biasanya bererti satu keadaan buruk bagi jajahan, atau
‘eksploitasi jajahan’ oleh negara imperialis itu…
(Cheah Boon Kheng & A. Talib Ahmad 1990, 13)
Sebagai menggulung segala yang telah dirungkaikan di atas oleh para sarjana
mengenai definisi kolonialisme, maka boleh dilihat bahawa pendifinisian yang dibuat oleh
para sarjana tidak lari atau tetap berfokuskan terhadap ‘penguasaan’, ‘dominasi’ serta
‘kawalan’. Maka secara jelasnya imperialisme dan kolonialisme adalah dua perkara yang
berbeza. Sebagaimana pendifinisian yang dibuat oleh Nadel dan Curtis dan Syed Hussein
Alatas jelas menunjukkan perbezaan yang melibatkan kedua-dua medium penjajahan ini.
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa kolonialisme adalah penguasaan, dominasi, serta
kawalan oleh kuasa asing terhadap sesebuah negara dalam konteks politik, ekonomi dan latar
sosial masyarakat. Sebagaimana pendifinisian yang dibuat oleh Cheah Boon Kheng, Abu
Talib Ahmad, Nadel dan Curtis ada menyebut mengenai ‘eksploitasi’ dan apabila dipadankan
dengan keadaan Tanah Melayu ketika penjajahan British, jelas bahawa British melakukan
pelbagai eksploitasi dalam konteks Politik, Ekonomi dan Sosial masyarakat Tanah Melayu
pada ketika itu. Tidak perlu lihat jauh, lihat sahaja eksploitasi hasil bumi seperti bijih timah
5
yang berlaku secara berleluasa. Maka hal ini boleh diklasifikasikan sebagai ‘penindasan’
secara umumnya dan secara khususnya pula adalah penindasan dalam konteks ekonomi.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, penguasaan kuasa asing
sememangnya menjadi subjek utama dalam mengerakkan kolonialisme sebagaimana yang
dinyatakan oleh Jürgen Osterhammel bahawa segala keputusan penting dilakukan oleh
kumpulan minoriti penjajah yang lebih mengutamakan kepentingan luaran seperti ekonomi,
politik dan ideologi. Jika dilihat pendifinisian yang dibuat oleh Jürgen Osterhammel ini maka
secara jelasnya menunjukkan bahawa berlangsungnya ciri-ciri penindasan kerana segala
keputusan dibuat oleh British yang sedia maklum bukan berasal dari Tanah Melayu. Bukti
penindasan lain adalah dari segi keputusan yang dibuat ke atas Tanah Melayu yang
merangkap tiga kepentingan yang dinyatakan oleh Jürgen Osterhammel iaitu ekonomi, politik
dan ideologi. Maka ianya jelas sebagai satu bentuk penindasan ke atas masyarakat peribumi
Tanah Melayu.
Kolonialisme terjadi bukanlah tanpa objektif yang disasarkan tetapi ianya
dilangsungkan berteraskan beberapa perkara yang menjadi dorongan ataupun pemangkin
untuk menjayakan kolonialisme. Antara faktor umum yang menyebabkan kolonialisme
berlaku adalah disebabkan satu teori Darwin yang menjadi perangsang untuk negara-negara
barat untuk menjajah:
…Darwinian ideas, too, while they seemed to show that every word of Genesis need not be
taken as simple fact, at the same time convinced many people that the blacker a skin looked,
the nearer it was to sin and savagery: ape or angel, is how Disraeli interpreted the alternatives
of human origin, and it seemed only common sense that a negro was more a gorilla than a
Gabriel…
(Saleeh Rahamad, 2014, 30)
6
Teori Darwin ini membicarakan mengenai perjuangan manusia teragung sebagai
haiwan yang boleh membunuh dan memangsakan haiwan lain atas sifat semula jadinya untuk
melangsungkan hidup serta membiak. Seorang Darwinist juga digalakkan bersaing antara
manusia biarpun perlu melalui proses perperangan serta pembunuhan kejam kerana hanya
spesis manusia yang terkuat sahaja wajar mendapat tempat dalam dunia persaingan ini. Teori
ini lahir ketika penjajahan giat berlangsung lantas diambil kesempatan oleh orang Eropah
untuk mengabsahkan tindakan kolonialisme serta imperialisme mereka. Maka orang British
khususnya bertambah yakin bahawa mereka bangsa teragung dan berhak menguasai bangsa
kulit bewarna atas anggapan bahawa semakin gelap sesebuah kaum, semakin dekat mereka
dengan spesis beruk (Mohamad Saleeh Rahamad, 2014, 30 ; Azmi Arifin 2008, 20). Secara
tidak langsung, teori Darwin ini menjadi pemangkin untuk sesebuah negara Eropah
melaksanakan kolonialisme mereka ke atas negara-negara yang diinginkan. Lantas,
berlakunya tindakan-tindakan kolonial dan semakin berleluasa tanpa adanya batasan serta
halangan akibat kemunculan teori ini.
Dalam konteks kedatangan British ke Tanah Melayu, terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan kehadiran mereka. Antara faktor kedatangan mereka adalah disebabkan dasar
semangat nasionalisme sempit yang berkembang pesat di Britain pada abad ke 19. Mereka
dihantar ke Tanah Melayu dengan membawa persepsi yang sudah ditanam sejak awal iaitu
British adalah bangsa termaju manakala penduduk Tanah Melayu adalah bangsa yang
mundur, hidup secara liar, kejam dan ganas. Atas dasar ini, kedatangan mereka ke Tanah
Melayu bertujuan untuk mendapatkan bukti tentang kemunduran tersebut dan menggunakan
alasan ini untuk campur tangan yang lebih meluas di Tanah Melayu. Dengan berteraskan
konsep ini maka terjadilah kolonialisme di Tanah Melayu (Azmi Arifin 2008, 23).
7
2.0 PENGARUH TIMUR TENGAH
Kebangkitan perkembangan sosiopolitik Melayu telah tumbuh sejak awal abad ke-20
di mana mereka yang menuntut di Timur Tengah sama ada dari Mekah atau pun di Al-Azhar
memberi cetusan idea kepada Sosiopolitik Melayu memandangkan ramai pelajar Melayu di
Universiti Al-Azhar Mesir terpengaruh terhadap gerakan reformis Islam pimpinan
Muhammad Abduh (Cheah Boon Kheng 2003, 10 ; Jamaie 2005, 38). Selain Muhammad
Abduh, Jamalluddin al-Afghani turut bersama-sama Muhammad Abduh dalam mengerakkan
‘fahaman baru dalam agama islam’ di Universiti Al-Azhar. Kedua-dua tokoh ini menolak
sebarang unsur khurafat serta menentang sikap umat islam yang bertaqlid membuta tuli
sehingga mengenepikan langsung peranan akal (Abdullah Hassan 1982, 3). Gerakan reformis
ini pada awalnya bukanlah dilangsungkan atas dasar politik sebaliknya gerakan ini berkisar
tentang keperluan islam dalam konteks modenisasi yang menekankan soal keperluan islam
dalam dunia moden berkaitan dengan sains, matematik dan teknologi barat (Jamaie 2005,
38).
Maka dengan ini, fahaman ini telah merangsang pemikiran ulama-ulama seperti
Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabui, Syed Tahir Jalaluddin dan intelektual negeri selat
seperti Sayid Syeikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Taha dan Syeikh Muhammad Salim al-
Kalali, seorang saudagar Arab dari Aceh (Ahmat Adam 2013, 35). Individu yang berperanan
menyebarkan fahaman ini di Nusantara ialah Sheikh Tahir Jalalluddin dan Syed Sheikh al-
Hadi yang melalui akhbar al-Imam sekembalinya mereka dari Mesir (Abdullah Hassan 1982,
3). Maka, dengan ini wujudlah golongan kaum muda di Tanah Melayu yang
memperjuangkan fahaman yang dibawa dari Timur Tengah hasil daripada pengaruh yang
dibawa oleh Muhammad Abduh. Namun, perjuangan Kaum Muda ini turut ditentang oleh
Kaum Tua yang merupakan golongan agamawan sedia ada di Tanah Melayu.
8
2.1 Kaum Muda
Kaum muda merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan pemuda yang baru
pulang dari mendapatkan pendidikan formal Islam di Timur Tengah dan terpengaruh dengan
perjuangan Ikhwanul Muslimin yang menetang imperialis barat. Selain itu, kaum muda lahir
di Tanah Melayu bukan hanya disebabkan terpengaruh oleh perjuangan dari Timur Tengah
tetapi juga turut disebabkan oleh pengaruh perjuangan India dan Indonesia (Ishak Saat 2014,
25). Mereka muncul sebagai golongan intelektual yang bercita-cita tinggi dalam memperbaiki
keadaan sosiapolitik melayu khasnya aspek daya pemikiran di mana mereka menginginkan
daya pemikiran tinggi dengan percaturan moden, pembaharuan pendidikan yang lebih
mencabar dan beraneka serta membela agama Islam daripada pengaruh barat lantas
melindungi daya suntikan kepada muslimin di Tanah Melayu. Kaum Muda juga turut
berperanan dalam memperjuangkan untuk menentang penindasan yang dilakukan oleh Britsh
ke atas masyarakat Melayu pada ketika itu (Ishak Saat 2014, 25 ; Jamaie 2005, 38 – 39).
Justeru, kaum muda juga dikatakan sebagai satu gerakan islah yang berusaha dalam
memperjuangkan pembaharuan sosial dan ekonomi dalam masyarakat Melayu (Abdullah
Hassan 1982, 5 ; Roff 1975, 98).
Gerakan kaum muda tidak hanya berfokuskan terhadap kepentingan agama sahaja
tetapi juga turut membawa idea-idea untuk perubahan sosial. Hal ini dapat dilihat menerusi
Rencana Pengarang akhbar al-Imam yang ditulis oleh Shaykh Mohd. Salim Al-Kalali
mengenai tujuan mereka:
…to remind those who are forgetful, arouse those who sleep, guide those who stray, and give
a voice to those who speak wisdom…
(Abdullah Hassan 1982, 5).
9
Kaum muda turut bertindak lebih agresif dalam melaksanakan perubahan dalam
memberi kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat Melayu melalui akhbar dan
madrasah. Tindakan tersebut ditegaskan oleh Muhammad Redzuan Othman sebagai:
…Disebabkan Kaum Muda dinafikan peluang menyebarkan pemikiran mereka melalui
institusi agama yang rasmi, aktivis gerakan ini menyebarkan pemikiran mereka dengan
membuka madrasah dan menerbitkan akhbar…
(Ishak Saat 2014, 26 – 27)
Maka dengan ini, jelas bahawa medium yang digunakan oleh Kaum Muda dalam
menyedarkan masyarakat Melayu adalah melalui akhbar dan juga madrasah. Oleh itu, Kaum
Muda berperanan dalam membangunkan madrasah-madrasah moden bagi mengantikan
institusi pondok (Ishak Saat 2014, 27). Antara media cetak yang wujud pada ketika itu ialah
Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara, Majlis, Utusan Melayu, Warta Kinta, Neraca dan
Lembaga Melayu. Manakala dari Mesir pula wujud majalah seperti Seruan Islam/Seruan Al-
Azhar dan Pilihan Timur yang diusahakan oleh pelajar-pelajar Melayu dan Indonesia di
bawah persatuan Al-Jami’iah Al-Khairiah. Melalui medium cetakan ini, hal-hal politik dan
kebangsaan dapat dibicarakan dengan lebih bebas lagi. Malah, melalui penerbitan al-Imam
juga dapat menandakan bahawa berlangsungnya transformasi kewartawanan di Tanah
Melayu, dari perkara biasa beralih kepada isu-isu penting dan masalah yang dihadapi
penduduk Tanah Melayu (Adibah Sulaiman 2011, 8 ; Arena Wati & Wan 1969, 235 ; Jamaie
2005, 40 – 41 ).
2.2 Kaum Tua
Kaum Tua secara umumnya bersifat essentialism, yang merujuk kepada golongan
ulama tradisional yang enggan menerima ijtihad baharu daripada ulama progresif lulusan
10
Timur Tengah (Saleeh Rahamad, 2014, 96). Dalam konteks penilaian yang dibuat oleh Kaum
Muda, ternyata Kaum Tua lebih mementingkan hal keagamaan yang konvensional dan
ortodoks di mana mereka mengetepikan hal-hal keduniaan walhal ianya turut dituntut oleh
Islam (Jamaie 2005, 39). Realitinya, Kaum Tua ini merupakan satu golongan yang ingin
mengekalkan terus ajaran-ajaran Islam yang diwarisi sejak dahulu lagi lantas mendakwa
bahawa mereka adalah pengikut setia mazhab Shafie dan tidak mahu langsung terikat atau
menerima ajaran-ajaran dari mazhab lain (Abdullah Hassan 1982, 3 – 5). Buktinya dapat
dilihat dalam satu perdebatan antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Padang Indonesia (15
Julai 1919) mengenai isu pemakaian baju yang dibangkitkan oleh Kaum Tua yang
memperlihatkan penolakkan sepenuhnya oleh mereka terhadap pemakaian ala-barat kerana
mempunyai percanggahan dalam hukum Islam (Kaptein 2009, 184 – 185).
Maka secara jelasnya dapat dilihat bahawa Kaum Tua begitu sukar menerima arus
permodenan walhal dalam konteks pemakaian lelaki moden (kemeja,tie, dsb.) seperti orang
Eropah tidak menjadi kesalahan di dalam islam. Dengan ini juga boleh dinilai bahawa Kaum
Tua tidak boleh menerima perubahan atau modenisasi sebaliknya hanya ingin kekal dengan
konsep tradisional mereka.
2.3 Konflik antara Kaum Tua dan Kaum Muda
Asas pertentangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua adalah disebabkan soal
menentukan kebenaran dalam agama. Dalam hal ini, Kaum Muda menolak penerimaan
secara membuta tuli atau taklid dalam agama manakala Kaum Tua pula mengatakan bahawa
segala apa yang diputuskan ulama dan segala yang ditulis di dalam kitab perlu diterima
sahaja dengan alasan ulama terdahulu menulis dengan berhati-hati serta memahami apa yang
ditulisnya (Saleeh Rahamad, 2014, 96 – 97). Menurut Kaum Muda lagi, taklid yang
diamalkan Kaum Tua di mana hanya bergantung kepada pendapat dan tafsiran ulama
11
terdahulu untuk menyusun undang-undang Islam akan menyebabkan terabainya autoriti dari
sumber ilahi (Adibah Sulaiman 2011, 9). Kaum Muda turut mengatakan bahawa adalah wajib
dipercayai di dalam perkara agama itu ialah al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad
s.a.w. kerana tiada seorang pun yang ma’sum daripada kesalahan (Roff 1975, 98). Maka
Kaum Muda mengecam cara pemikiran Kaum Tua dan hal ini telah menyaksikan polemik
yang berpanjangan antara kedua pihak yang mana satu pihak berusaha mempertahankan
strategi klasik manakala satu pihak lagi cuba menyusun pendekatan baharu (Jamaie 2005,
39).
Di samping itu, pembaharuan serta pandangan Kaum Muda telah menimbulkan
pelbagai persepsi serta reaksi negatif dalam kalangan rakyat yang terikut-ikut dengan cara
ulama tradisional. Kaum Muda turut dituduh oleh Kaum Tua sebagai murtad kerana
membawa perkara yang bidaah ke dalam tradisi islam (Ishak Saat 2014, 27 ; Jamaie 2005,
39). Hal ini disusuli dengan pelbagai percanggahan pendapat antara Kaum Muda dan Kaum
Tua salah satunya adalah mengenai isu talkin dan keperluan membaca niat dalam berwudhuk.
Selain itu, Kaum Muda juga turut memperjuangkan dalam memperbetulkan perspektif
masyarakat Melayu mengenai faedah yang diterima melalui wang yang disimpan di pejabat
pos dan syarikat-syarikat kerjasama tidak dipandang sebagai riba (Roff 1975, 99).
2.4 Kemunculan Kaum Muda dalam Politik
Kemunculan Kaum Muda dalam politik ini mula kelihatan hanya dalam tahun-tahun
1920an walaupun implikasi-implikasi politik sudah jelas terdapat di dalam cita-cita
pembaharuan sebelumnya. Jika melihat akhbar-akbhar yang dihasilkan oleh Kaum Muda
ternyata kemuculan akhbar ini di Malaya menyuntik satu semangat politik baharu di mana
penulisan mereka berkisar tiga konsep utama iaitu Pan-Islamisma, Pan-Malaynisma dan
Nasionalisme anti Kolonial. Dalam tahun 1906, Sayyid Sheikh juga ada menulis mengenai
12
soal pemerintahan kolonial (Roff 1975, 109). Maka hal ini jelas menunjukkan bahawa Kaum
Muda sememangnya tidak bersetuju terhadap pemerintahan kolonial. Menerusi akhbar-
akhbar yang dihasilkan oleh Kaum Muda juga, jelas menunjukkan bahawa mereka
menyebarkan semangat nasionalisme dan membina sikap politik Melayu (Saleeh Rahamad
2014, 98).
Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa Kaum Muda bukan sahaja berperanan
dalam memperjuangkan islam tetapi juga terlibat sama dalam hal-hal berkaitan politik di
Tanah Melayu. Tanpa Kaum Muda, kesedaran nasionalisme di Tanah Melayu mungkin tidak
akan wujud secara drastik dan perkembangan sosiopolitik Melayu juga berkemungkinan akan
perlahan.
3.0 PENGARUH PENDIDIKAN INGGERIS MAKTAB MELAYU KUALA
KANGSAR (MMKK)
Selain golongan yang mendapat pendidikan dalam jurusan agama dan melahirkan
reformis agama, terdapat juga golongan yang mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris di
Tanah Melayu (Jamaie 2005, 41). Dalam konteks pendidikan Inggeris, antara institusi
Inggeris yang terkenal pada zaman kolonial ialah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK).
MMKK ditubuhkan pada 1905 atas cadangan daripada R.J Wilkinson selaku pegawai jajahan
pada ketika itu. Maktab ini dibina di atas Tanah Seluas 1.2 hektar dan mengambil masa
selama 4 tahun pembinaannya.
Penubuhan maktab ini adalah bertujuan untuk melahirkan anak-anak Melayu bagi
memasuki sesetengah bidang perkhidmatan kerajaan. Di MMKK anak-anak aristokrat
diberikan keistimewaan dengan dibantu oleh kolonial untuk menjaga status dan imej elit
Melayu. Pendidikan Inggeris diterapkan adalah dengan bertujuan untuk mengasingkan
mereka daripada ikatan solidariti di samping ingin menjadikan Melayu yang berjiwa Inggeris.
13
Namun, British tidak berjaya kerana graduan daripada maktab ini sendiri menentang British
apabila mereka menamatkan pengajian. Maka wujudnya pertubuhan-pertubuhan politik yang
menentang British yang terdiri daripada graduan Maktab ini (Jamaie 2005, 43 ; Ooi Keat Gin
2004, 826 ; Roff 1975, 125 – 127 ; Saleeh Rahamad 2014, 94 – 95 ; www.wikipedia.org).
4.0 PENGARUH PENDIDIKAN MELAYU
Merujuk kepada pendidikan Melayu pula, pelopor golongan ini kebanyakannya
mendapat pendidikan dari aliran Melayu dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Antara
tokoh yang lahir daripada pendidikan Melayu ialah Ibrahim Yaacob dan Ishak Hj.
Mohammad (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 203). Nama-nama besar lain yang turut
tercatat dalam sejarah MPSI juga seperti Pendeta Za’ba, Harun Aminurrashid, Abdul Rahim
Kajai, Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi yang lahir daripada kemasyhuran MPSI (Azam,
Hajjah Zainab, Che, Zahuri & Syed 2006, 1 – 2). Oleh itu, hal ini telah membuktikan bahawa
pendidikan Melayu menerusi MPSI telah memberikan kesedaran-kesedaran politik di Tanah
Melayu dengan lahirnya individu-individu berpengaruh dalam politik seperti Ibrahim
Yaa’cob.
Pada dasarnya, Maktab Perguruan Sultan Idris/ Maktab Latihan Sultan Idris
ditubuhkan pada 1922 yang mengambil masa selama tiga tahun proses pembinaannya dan
namanya diberi sempena menghormati Sultan Perak iaitu Sultan Idris Ibni Raja Iskandar.
Tenaga pengajar MPSI pada awal penubuhannya terdiri daripada empat orang Eropah (guru
besar, dua orang guru umum dan seorang mengajar dalam ilmu tanam-tanaman), sembilan
orang Melayu dan seorang dari Filipina (Roff 1975, 181).
Kewujudan MPSI banyak memberi impak dalam konteks pemikiran Melayu terhadap
perjuangan menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Dalam konteks ini, British
beranggapan bahawa guru-guru Melayu juga merupakan saluran penyebaran nilai serta idea
14
Inggeris kepada masyarakat Melayu tetapi di MPSI jugalah kesusasteraan Melayu mendapat
nafasnya apabila guru-guru yang terdedah pada kesusasteraan dari Indonesia bertindak
sebagai perantara dan katalis kepada gerakan nasionalisme melalui sastera (Saleeh Rahamad
2014, 95). MPSI juga berperanan dalam melahirkan ramai tokoh politik dan pertubuhan
politik radikal di Tanah Melayu (Ishak Saad 2014, 23). Maka dengan adanya MPSI lahirlah
individu-individu yang berpengaruh dalam Politik Tanah Melayu seperti Ibrahim Yaakob.
Lantas, individu-individu yang berpengaruh ini bertanggungjawab dalam mewujudkan
pertubuhan politik seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ingin memperjuangkan
‘Kemerdekaan Malaya dalam Linkungan Indonesia Raya’ (Arena Wati & Wan 1969, 234).
Oleh itu, kesinambungan antara pendidikan Melayu sememangnya jelas kelihatan dalam
konteks politik Tanah Melayu apabila terbentuknya KMM akibat pengaruh daripada MPSI
dan diikuti pula dengan pembentukan PKMM susulan daripada KMM.
4.1 Kesatuan Melayu Muda (KMM)
Kesatuan Melayu Muda (KMM) merupakan wadah sosiopolitik pertama yang muncul
di Tanah Melayu sebelum tercetusnya Perang dunia Kedua. Kewujudan KMM adalah susulan
daripada perjuangan Ikatan pemuda Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1929 oleh
IbrahimYaacob di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (Faidz, Jamaie,
Rizal & Rodzi 2011, 204). Kesatuan Melayu Muda (KMM) juga lahir ekoran penubuhan
Ikatan Pemuda Pelajar dan Ikatan Semenanjung Borneo yang dibentuk di MPSI serta bergiat
aktif (Ishak Saat 2014, 22). Persatuan ini dipimpin oleh Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, A.
Karim Rasyid, Isa Muhammad serta rakan-rakan mereka (Ibrahim Yaacob 1957, 24).
Dalam aspek tujuan serta objektif penubuhan KMM pula, terdapat beberapa sumber
yang mendedahkan tujuan pertubuhan ini:
15
…Menjelang tahun 1937, era perjuangan menentang British mula mencakupi bidang politik.
Tunjang perjuangan ialah menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beberapa persatuan
ditubuhkan antaranya ialah Kesatuan Melayu Malaya (KMM)…
(Berita Harian 2007, 5)
Penubuhan KMM juga bertujuan untuk mendapatkan kemerdekaan secara bersama
dengan Indonesia yakni dalam konteks ‘Indonesia Raya’ (Arena Wati & Wan 1969, 234). Hal
ini dapat dibuktikan menerusi kajian oleh al-marhum Rustam A. Sani yang menyatakan:
…yang konsekuen dengan perjuangan oleh nasionalisme aliran kiri Melayu ialah cita-cita
menentang penjajahan dan merealisasikan perwujudan ‘Melayu Raya’. Bagi Nasionalis kiri
Melayu itu, ‘Melayu Raya’ itu adalah sama dengan ‘Indonesia Raya’ yang diperjuangkan
oleh nasionalis Indonesia seperti Muhammad Yamin…
(Ahmat Adam 2013, 58)
Oleh itu, jelas bahawa tujuan utama KMM diwujudkan adalah untuk memikul
perjuangan dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Perjuangan KMM
lebih menekankan aspek kemerdekaan memandangkan kesedaran mereka terhadap
penindasan yang dilakukan oleh British yang disedarkan menerusi pendidikan Melayu di
mana majoriti individu berpengaruh dalam KMM merupakan bekas pelajar MPSI.
4.2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM merupakan parti politik pertama
Malaya yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 selepas Jepun menyerah kalah pada Ogos
1945. PKMM juga lahir dari ruang Jabatan Karang Mengarang dan Pentadbiran ‘Suara
Rakyat’ (Berita Minggu Jun 1971, 17). Terdahulu, ketika pengharaman KMM oleh pihak
Jepun dan British wujud Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan disebabkan
16
kegagalan KRIS maka satu pertubuhan baru yang merangkap parti politik ditubuhkan yang
diberi nama sebagai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) (Arena Wati & Wan 1969,
235 ; Ibrahim Yaacob 1957, 40). PKMM pada awal penubuhanya diketuai oleh
Mokhtaruddin Lasso serta dibantu Dr. Burhanuddin Helmy dan Ahmad Boestamam (Ishak
Saat 2010, 71 ; Jamaie 2005, 44). Mokhtaruddin merupakan warganegara Indonesia dan
orang kanan dalam Parti Komunis Indonesia (PKI). Beliau hadir di Tanah Melayu dengan
bertujuan mempengaruhi sosiopolitik Melayu dengan unsur-unsur komunisme (Jamaie 2005,
44).
PKMM bukanlah ditubuhkan tanpa peranan atau tujuan sebaliknya penubuhan
PKMM ini penuh dengan tujuan dan cita-cita yang mahu dicapai oleh barisan pemimpin-
pemimpin PKMM. Sebahagian besar orang kuat PKMM juga merupakan muka sama yang
membarisi kepimpinan KMM pada suatu ketika dahulu. Maka, PKMM ditubuhkan dengan
berteraskan beberapa tujuan yang ingin dicapai. Antara matlamat penubuhan PKMM adalah
untuk mencapai kemerdekaan secara penuh atau dalam istilah angka kemerdekaan 100%
(Berita Minggu Julai 1971, 12). PKMM telah menggariskan sebuah perjuangan untuk
menuntut kemerdekaan sepenuhnya dan berusaha mengusir penjajah British dari Tanah
Melayu. Matlamat ini termaktub di dalam Rang Undang-undang 1946 PKMM yang
diluluskan pada kongres pertama di Ipoh pada 30 November hingga 3 Disember 1945. Dalam
Rang Undang-undang itu juga tercatat dengan jelas TUJUAN: Kemerdekaan Bangsa dan
Tanah Air. Setiap kali bertemu dengan para pendukung PKMM, laungan merdeka dilafazkan
dengan garang sambil menggenggam lima jari dengan kuat dan diangkat hingga ke dada.
Laungan merdeka sambil menggenggam lima jari membawa pengertian berikut:
1. Merdeka berpolitik. Apabila kita merdeka maka apa yang kita mahu ialah politik negara
kita bebas mengikut acuan yang kita suka.
17
2. Merdeka ekonomi. Kita mahu ekonomi negara kita merdeka dari tekanan pihak luar negeri
atau penjajah kapitalis.
3. Merdeka beragama. Kita mahu negara kita bebas melaksanakan hukum dan undang-
undang Islam sepenuhnya tanpa dikongkong oleh penjajah.
4. Merdeka sosial. Pergaulan hidup tidak terbatas kepada satu-satu kaum sahaja atau kasta
yang sangat berbahaya itu.
5. Merdeka kebudayaan. Tiap-tiap bangsa di dalam dunia ini ada kebudayaan masing-masing.
Kita mahu bebas memilih kebudayaan yang berfaedah dan tidak bertentangan dengan agama
serta bebas pula membuang kebudayaan yang menyesatkan orang Islam.
(Ishak Saat 2010, 72 – 73)
Maka hal ini jelas menunjukkan bahawa PKMM ditubuhkan dengan bertujuan untuk
memerdekakan Tanah Melayu. Dalam konteks ini, apa yang mereka inginkan kesemuanya
berkait rapat soal kebebasan.
Dari segi tujuan perjuangan mereka lagi, jelas memperlihatkan bahawa PKMM
mementingkan hak-hak orang Melayu agar bebas dari kongkongan penjajah. Apa yang
dimahukan oleh PKMM adalah kebebasan untuk hidup dibumi sendiri. Dalam masa yang
sama, PKMM juga lebih cenderung untuk membaiki taraf hidup orang Melayu dalam konteks
politik, ekonomi dan masyarakat di mana mereka menekankan aspek kebebasan dalam semua
perkara.
Maka dapat disimpulkan bahawa PKMM banyak memberi impak dalam
perkembangan sosiopolitik Tanah Melayu pada ketika itu. PKMM yang berasal daripada
KMM dan ahli-ahlinya yang mempunyai latar pendidikan Melayu telah menjadi penggerak
kepada sosiopolitik era baru yang memperlihatkan pelbagai bentuk pembaharuan dibuat.
18
Sebagai contoh, PKMM cuba menonjolkan kuasa rakyat sebagai struktur dasar dalam
pemikiran politik partinya. Oleh itu, PKMM telah mengambil langkah salah iaitu dengan
menyokong Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu (Jamaie 2005, 44).
5.0 IDEA KESATUAN MALAYA (MALAYAN UNION)
Malayan Union secara rasmi digubal pada tahun 1943 dan telah diluluskan pada Mei
1944. Malayan Union telah diisytiharkan perlaksanaannya pada 1 April 1946 sebaik sahaja
British Military Administration (BMA) dibubarkan (Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani
2003, 72). Kerajaan Interim ini dibubarkan pada 1 Mac 1946 dan digantikan oleh Malayan
Union (Abdul Rahman 2014, 90). Dalam pada itu, G.P. Means ada menyebut:
…Thus the 1946 proposals for the Malayan Union Constitusion were based on the implicit
assumption that the left wing Chinese and western-educated non-Malay elites would be the
dominant forces in Malayan politics for many years…
(Alias Mohamed 1982, 8 – 9)
Berdasarkan pernyataan G. P. Means ini, British beranggapan bahawa sayap kiri Elit
bukan Melayu yang berpendidikan barat dan Cina akan menjadi golongan yang dominan
dalam Politik Tanah Melayu. Cadangan Perlembagaan Malayan Union juga dibuat
berdasarkan andaian ini.
Dalam aspek lain, Malayan Union ditubuhkan bertujuan untuk mengubah status-status
negeri Tanah Melayu yang berstatus dilindungi kepada tanah jajahan British yang jelas
berbeza. Menerusi Malayan Union, British mampu untuk berkuasa secara penuh di samping
menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kuasa undang-undang dan juga hubungan
luar akan diambil alih oleh Gabenor (Abdul Rahman 2014, 90). Maka hal ini akan
19
menyebabkan British terus berkuasa di Tanah Melayu lantas mengehadkann kuasa dan
kedudukan Raja-Raja Melayu. Begitu juga dengan pemberian kerakyatan kepada kaum
pendatang dengan mudah (Sivamurugan Pandian 2006, 20).
Atas dasar tidak puas hati terhadap Malayan Union serta timbulnya kesedaran ke atas
implikasi yang bakal diterima oleh penduduk peribumi maka wujud penentangan oleh
penduduk Tanah Melayu. Penentangan dibuat adalah kerana Malayan Union dengan
mudahnya memberi kerakyatan secara Jus Soli kepada warga asing selain Malayan Union
turut merampas kuasa politik bangsa Melayu serta kuasa Raja-Raja Melayu terpaksa
diserahkan kepada Raja-Raja Inggeris (Chamil 2004, 34). Oleh hal yang demikian, Raja-Raja
Melayu turut bertindak untuk tidak menyokong Malayan Union setelah terpedaya dengan tipu
helah untuk menandatangani perjanjian. Buktinya dapat dilihat apabila Raja-raja Melayu
telah mengambil tindakan untuk memboikot majlis pertabalan Gabenor Malayan Union, Sir
Edward Gent pada 1 April 1946 setelah didesak oleh rakyat (The Malaya Tribune April 1946,
4). Maka, susulan kewujudan Malayan Union wujudlah pertubuhan yang berperanan dalam
menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Tanah Melayu sekali gus
bersatu untuk menentang Malayan Union. Dengan ini, bermulalah gerakan kedua
nasionalisme di Tanah Melayu.
6.0 KEWUJUDAN NASIONALISME MELAYU
Semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Tanah Melayu semakin meningkat
setelah British mewujudkan gagasan Malayan Union pada 10 Oktober 1945. Hal ini telah
memperlihatkan bahawa buat pertama kalinya, kesemua pemimpin gerakan nasionalisme
Melayu telah mengenepikan sengketa dan perbezaan ideologi masing-masing untuk bersatu
menentang Malayan Union (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 206). Hal ini terbukti apabila
ramai golongan ulama menyertai UMNO, dan ketika Hizbul Muslimin pimpinan Abu Bakar
20
Bakir diharamkan British pada tahun 1948 maka ramai juga kumpulan ulama menganggotai
UMNO (Mohd Noor Yazid 2008, 289 – 290).
Dalam konteks ini, individu yang menjadi aktor penting dalam pencetus gerakan
nasionalisme untuk menentang Malayan Union ialah Dato’ Onn Jaafar. Dato’ Onn yang
merupakan seorang elit bangsawan Melayu Johor bersama rakannya seperti Hamzah
Abdullah dan Haji Wahab Tok muda telah berbincang untuk mengadakan kongres di Melaka.
Tetapi, kongres berkenaan sebaliknya diadakan di Kelab Sulaiman Kampung Baru, Kuala
Lumpur (Jamaie 2005, 45 ; Utusan Online 2006, ). Maka, Kongres Melayu Seluruh Tanah
Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) ini telah diadakan pada 11 Mac 1946 dan telah
berjaya mengumpulkan 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Malaya yang bertujuan untuk
memboikot majlis rasmi perlantikan gabenor Malayan Union. Kongres ini dipengerusikan
oleh Dato’ Onn (Abdul Rahman Abdul Aziz, 90 ; Aminjaya 2013, 84 ; Rizal Yaakop 2014,
6). Di dalam kongres ini, Dato’ Onn sempat meningkatkan semangat pemimpin-pemimpin
Melayu dengan ucapan beliau:
…Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana
belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk
nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati...
(Utusan Online 2006)
Di dalam kongres ini juga telah memperlihatkan tiga usul telah diluluskan:
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu;
2. Membantah pertubuhan Malayan Union; dan
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.
21
Hal ini secara tidak langsung telah melahirkan United Malay National Organisation
(UMNO) yang memperlihatkan Dato’ Onn dilantik sebagai yang Dipertua UMNO pertama
(Jamaie 2005, 49 ; www.wikipedia.org 2014). Senario ini telah membawa evolusi baru dalam
budaya politik Melayu. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada satu kongres se-
Malaya yang diadakan di Kuala Lumpur dengan disertai oleh 41 persatuan Melayu termaksud
wataniah (Faidz, Jamaie, Rizal & Rodzi 2011, 206).
UMNO telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pihak Inggeris. Dalam
semua siri perbincangan Dato’ Onn tetap bertegas untuk menolak Malayan Union dan beliau
berpendirian bahawa setiap undang-undang Tanah Melayu harus diluluskan oleh Federal
Council Tanah Melayu sahaja (Jamaie 2005, 49). Tentangan demi tentangan dibuat dan
akhirnya Penentangan orang-orang Melayu ini telah berjaya menggagalkan penubuhan
Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Dengan ini, kekuatan dan kedudukan bangsa Melayu jauh lebih baik daripada apa yang
terkandung dalam RancanganMalayan Union.
Maka, hal ini jelas menunjukkan bahawa UMNO memainkan peranan penting dalam
penggerak nasionlisme Tanah Melayu dalam menentang Malayan Union. Kemuafakatan serta
kerjasama masyarakat Melayu telah memberikan hasil yang cukup memberangsangkan.
Keputusan bijak yang dibuat untuk menggabungkan seluruh pertubuhan di Tanah Melayu
juga merupakan langkah kanan bagi mewujudkan suatu semangat besar dalam kalangan jiwa
masyarakat Melayu untuk menggagalkan Malayan Union yang jelas memberikan banyak
keburukan kepada masyarakat Melayu khasnya. Penglibatan secara kolektif pertubuhan
Melayu juga sebenarnya telah membolehkan gerakan ini berjaya membangkitkan semangat
nasionalisme dalam kalangan orang Melayu sehingga British terpaksa membatalkan hasrat
pembentukan Malayan Union.
22
7.0 KESIMPULAN
Menyingkap dari tahun ke tahun, pelbagai perjuangan yang berlaku dalam
sosiopolitik Melayu berkaitan dengan British. Dari zaman munculnya golongan yang
mendapat pendidikan Timur Tengah, Pendidikan Melayu dan Inggeris sehinggalah
penubuhan pertubuhan-pertubuhan politik semuanya susulan daripada kemunculan British di
Tanah melayu. Segala perjuangan dan gerakan adalah berpunca daripada British. Jika
ketiadaan British di Tanah Melayu, berkemungkinan besar landskap sosiopolitik Melayu
berbeza daripada hari ini. British sememangya memberikan pengaruh yang cukup besar
dalam sosiopolitik Melayu bahkan sehingga ke hari ini Malaysia masih mengekalkan serba-
serbi peninggalan British seperti Perlembagaan Persekutuan.
Melalui penilaian positif, kemasukkan British secara tidak langsung memberikan
pelbagai pengajaran dan juga pengalaman supaya perkara ini tidak berulang di masa hadapan.
Selain itu, kemasukkan British juga telah menyumbang sedikit sebanyak pengalaman mereka
dalam konteks pemerintahan negara yang membolehkan orang Melayu mempelajari daripada
mereka lantas mengaplikasikan ke atas negara dalam konteks pemerintahan sendiri oleh
orang peribumi. Walaupun dasar-dasarnya dilihat lebih mementingkan keperluan kolonial,
tetapi sedikit sebanyak orang Melayu dapat mempelajari daripada mereka terutamanya dalam
hal-hal berkaitan politik.
Maka secara keseluruhanya, jelas bahawa British amat berpengaruh dalam
perkembangan sosiopolitik Tanah Melayu. Tanpa adanya British, saya yakin dan percaya
bahawa sosiopolitik Malaysia akan berlainan daripada hari ini. Perjuangan-perjuangan
menentang British secara tidak langsung memberikan pelbagai idea sekaligus dapat
memperkembangkan sosiopolitik Tanah Melayu.
23
RUJUKAN
Abdullah bin Hassan. 1982. Haji Ahmad Amin, 1905-1971: Tokoh Kaum Muda Jasin. Dlm.
Cheah Boon Kheng (pnyt.). Tokoh-Tokoh Tempatan (Kumpulan Esei Sejarah
Malaysia oleh Pelajar-Pelajar USM) & Dokumen-Dokumen dalam Sejarah
Malaysia. hlm. 3-18. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Abdul Rahman Abdul Aziz. 2014. Isu-Isu Ketahanan Nasional Malaysia. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.
Adibah Sulaiman. 2011. Malay Society of the Late 19th and Early 20th Century: Blind
Imitation vs Independent Reasoning. Middle-East Journal of Scientific Research
7(7): 7-13.
Ahmad Boestamam. 1971. Tuntutan PKMM: Malaya Merdeka Sa-ratu Peratus. Berita
Minggu, 25 Julai: 12.
Ahmad Boestamam. 1971. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lahir di-ruang Jabatan
Pengarang Suara Ra’yat. Berita Minggu, 27 Jun: 17.
Ahmad Boestamam. 1972. Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. Kuala Lumpur:
Pustaka Kejora.
Ahmat Adam. 2013. Melayu, Nasionalisme, Radikal dan Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Alias Mohamed. 1982. Wasiat Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
Aminjaya. 2013. Masa: Merubah Hidup Kita. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku
Malaysia Berhad.
24
Anon. 2007. Penjajahan British dan Perjuangan Kemerdekaan. Berita Harian, 15 Ogos: 5.
Anon. 1946. Malays and Rulers Demonstrate Against Union Plan. The Malaya Tribune, 2
April: 4.
Azam, Hajjah Zainab, Che, Zahuri & Syed. 2006. JHEPA: Ke Arah Pembangunan Modal
Insan. Latihan Ilmiah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Azmi Arifin. 2008. Imperialisme Eropah dan Warisan Pemikiran tentang Nasionalisme
Melayu. Dlm. Abdul Rahman Haji Ismail, Azmi Arifin & Nazarudin Zainun (pnyt.).
Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah, hlm.
16-46. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Chamil Wariya. 2004. Abdullah Ahmad Badawi: Perjalanan PM ke-5. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Cheah Boon Kheng & Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dan Negara-
Negara Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Cheah Boon Kheng. 2003. Red Star Over Malaya: Resistance & Social Conflict During and
After The Japanese Occupation, 1941-1946. Singapore: NUS Publishing.
Fauziah Arof. 2006. Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan
Sulaiman. Utusan Online, 11 Mei
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2006&dt=0511&pub=utusan_malaysia&sec=laporan_khas&pg=lk_03.htm&arc=
hive [2 Dec 2014].
Ibrahim Yaacob. 1957. Malaya Merdeka. Jakarta: Kesatuan Malaya Merdeka Bhg.
Penerangan.
25
Ishak Saat .2010. Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 1945–48. Jurnal Kemanusiaan 17
(2010): 65-89.
Ishak Saat. 2014. Radikalisme Melayu Perak 1945 – 1970. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.
Jamaie Hj. Hamil. 2005. UMNO dalam Politik dan Perniagaan Melayu. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Kaptein, N. J. G. 2009. Southeast Asian Debates and Middle Eastern Inspiration: Europe
Dress in Minangkabau at the Beggining of The 20th Century. Dlm. Eric Tagliacozzo
(pnyt.) Southeast Asia and the Middle East: Islam, Movement, and the Lounge
Durée, hlm. 176-196).
Leonard T. M. 2006. Encyclopedia of The Developing World Volume 1. New York:
Routledge Taylor & Francis Group.
Mohamad Saleeh Rahamad. 2014. Oksidentalisme Dalam Sastera Melayu: Sebelum Merdeka
hingga Era Mahathir Mohamad. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia Berhad.
Mohd Faidz Mohd Zain ; Jamaie Hj. Hamil ; Mohd Rizal Mohd Yaakob & Mohamad Rodzi
Abd Razak. 2011. Pengaruh Nasionalisme Melayu Mewarnai Budaya Politik
Melayu Dalam Umno. Jurnal Melayu (7): 193-216.
Ooi Keat Gin. 2004. Southeast Asia: A Historical Encyclopedia from Angkor Wat to East
Timor. California: ABC-CLIO.
Ostler, J. 2004. The Plains Sioux and U.S Colonialism from Lewis and Clark to Wounded
Knee. New York: Cambridge University Press.
26
S. Pandian. 2006. Abdullah Ahmad Badawi: Jalan ke Puncak. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Rizal Yaakop. 2014. Kontrak Sosial Pelembagaan Persekutuan 1957 Pengikat Jati Diri
Bangsa Malaysia Merdeka. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
Berhad.
Roff, W. R. 1975. Nasionalisme Melayu. Ahmad Boestamam, terj. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya.
Wan Shamsudin & Arena Wati. 1969. Sejarah Tanah Melayu dan Sekitar-nya. Kuala
Lumpur: Pustaka Antara.
Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani. 2003. Pendidikan Negara Bangsa. Bentong: PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Wikipedia. 2014. Kolej Melayu Kuala Kangsar.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kolej_Melayu_Kuala_Kangsar [27 Nov 2014].