teks ucapan meg

Upload: eveline-elyn

Post on 15-Oct-2015

26 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

BBM3411

BBM3411KETRAMPILAN BAHASA

Teks Ucapan Majlis Perpisahan Guru

Terima kasih saudara Pengerusi Majlis.Yang Berusaha Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Puan Ainon Ahmad,Yang Dihormati Guru-guru Penolong Kanan,Guruguru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.

Selamat pagi, salam hormat dan salam satu Malaysia saya ucapkan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi saya peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata di dalam majlis yang amat bermakna bagi diri saya pada hari ini.

Hadirin sekalian,

Sudah menjadi lumrah alam bahawa setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Saya telah berkhidmat di sekolah ini hampir enam tahun. Begitu banyak kenangan pahit dan manis yang saya alami bersama guru-guru serta pelajar-pelajar yang pasti akan saya ingati serta kongsikan bersama anak-anak serta cucu-cucu di masa hadapan.

Para hadirin sekalian,

Sebenarnya, saya telah lama berniat untuk melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan kemajuan diri, lebih-lebih lagi pada zaman siber ini. Syukur kepada Tuhan, doa saya telah pun dimakbulkan. Maka dengan itu, mulai bulan hadapan saya akan bergelar mahasiswi semula dengan memulakan pengajian di peringkat sarjana selama 2 tahun di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selama berada di sekolah ini, saya telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia serta Pendidikan Moral. Ingin saya tekankan di sini bahawa saya berasa sungguh gembira kerana para pelajar memberikan tumpuan yang baik ketika saya mengajar. Pelajar juga sering berjumpa dengan saya jika mereka berhadapan dengan masalah dalam pembelajaran mereka. Hasilnya, mereka seringkali menunjukkan keputusan yang membanggakan dalam ujian serta peperiksaan akhir. Jesteru itu, saya menyeru kepada para pelajar sekalian untuk belajar dengan lebih tekun lagi dan sentiasa mempertingkatkan usaha bagi membolehkan diri memetik bintang kecemerlangan demi kejayaan pada masa akan datang.

Guru-guru serta pelajar-pelajar yang dikasihi,

Dalam kegembiraan untuk melanjutkan pelajaran, saya juga berasa sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru, pelajar-pelajar dan khususnya kepada sekolah ini. Seperti yang saya katakan tadi, terlalu banyak pengalaman telah saya tempuhi selama bertugas di sekolah ini. Pengalaman manis akan sentiasa diingati, tidak kurang juga dengan pengalaman yang kurang menyeronokkan yang sentiasa membuatkan saya berfikiran positif serta mematangkan saya dalam melakukan sesuatu tindakan. Segala pengalaman yang saya himpun ketika berkhidmat di sekolah ini juga akan saya jadikan sebagai obor dalam membantu saya menempuh perjalanan kehidupan selepas ini.

Hadirin Sekalian,

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan sekolah ini terutamanya kepada Tuan Guru Besar, Puan Ainon Ahmad, Guru-Guru Penolong Kanan dan guru-guru atas tunjuk ajar, kerjasama serta bantuan yang telah dihulurkan. Kepada para pelajar pula, terima kasih kerana memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang saya bertugas di sini. Sekali lagi ingin saya menyeru kepada pelajar-pelajar sekalian agar meneruskan usaha dalam pembelajaran serta kokurikulum demi kejayaan pada masa hadapan kerana menuntut ilmu itu tiada noktahnya.

Akhir kata, ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada pelajar-pelajar kelas Tahun 6 atas kesudian mereka mengadakan majlis perpisahan ini untuk saya. Saya tahu kamu semua telah bersusah payah di dalam persiapan majlis ini, saya sangat terharu. Saya juga berasa kagum bahawa kamu semua dapat bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan majlis pada hari ini dapat berjalan dengan lancar. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tingg terima kasih dan mendoakan yang terbaik bagi masa hadapan kamu semua.

Guru-guru serta pelajar-pelajar sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri, saya menyusun sepuluh jari meminta maaf atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah saya lakukan secara sedar atau tidak sedar sepanjang saya berkhidmat di sekolah ini.

Sekian dan terima kasih.

BIBLIOGRAFI

Halimah Abdul Rahman (2008). SPOT ON Contoh Karangan Terbaik Bahasa Malaysia SPM. Selangor Darul Ehsan : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kamarudin Hj. Husin ( 1988 ). Pedagogi Bahasa. Kuala Lumpur : Longman.

Mohd Khir Kassim dan Marzukhi Nyak Abdullah (2010). Panduan KBSM Karangan Gred A. Shah Alam: Cerdik Publications Sdn. Bhd.

2