teks ucapan penutupan seminar pendidikan jasmani dan sains sukan ipg kampus rajang
TRANSCRIPT
TEKS UCAPAN PENUTUPAN
Disempurnakan Oleh
YANG BERBAHAGIA EN RAYMON GAI PANTING @GAIE
Sempena
SEMINAR PENYELIDIKKAN PENDIDIKAN JASMANI DAN SAINS SUKAN 2011
Kelolaan
Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang
Bintangor,
Pada
1-2 OKTOBER 2011
di
IPG KAMPUS RAJANG
Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis,
Selamat pagi dan salam sejahtera,
Yang Berbahagia :
1. DR. CHEN CHEE KEONG
(Ketua Jabatan Sains Sukan, Universiti Sains Malaysia)
2. Yang Berbahagia :
DR. BALBIR SINGH A/L BHAGAWAN SINGH
(Unit Sukan Universiti Malaya; Bekas Pemain Hoki Kebangsaan; Jurulatih Hoki KL)
3. Yang Berbahagia :
PROF. MADYA DR. WEE ENG HOE
(Jabatan Sains & Matematik, Kolej Tunku Abdul Rahman; Penulis Buku PJ/Sains Sukan)
4. Yang Berbahagia :
PROF. MADYA DR. JABAR BIN JOHARI
(Konsultan Bidang Sains Sukan, OUM)
5. Yang Berbahagia :
5. REXY MAINAKY
(?????
Yang Berusaha; Encik Mat Kamal , Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Rajang
Yang Berusaha; Dr Ong Kong Swee, Penyelaras Seminar Merangkap Ketua Jabatan PJK
Yang Dihormati; Ketua-Ketua Jabatan dan Pensyarah Institut Perguruan Rajang,
serta peserta-peserta Seminar Sains Sukan yang dihormati sekalian.
Pertama sekali saya bersyukur kepada Tuhan kerana kita dapat bertemu dalam majlis ilmu yang sangat
bermanfaat ini. Saya juga merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada AJK Seminar khususnya
Penyelaras Seminar Merangkap Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Dr Ong Kong Swee kerana sudi
menjemput saya untuk hadir dan seterusnya menutup rasmi Seminar Penyelidikkan Pendidikan Jasmani dan Sains
Sukan Peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang 2011 pada pagi ini. Saya berasa amat gembira pada pagi ini
apabila melihat begitu ramai peserta yang terdiri daripada kalangan para pensyarah, guru-guru PGSR dan para pelajar
institut perguruan serta orang perseorangan yang berminat dalam perkembangan pembangunan sukan negara. Ini
menunjukkan petanda yang baik ke arah peningkatan mutu sukan negara kita. Harapan saya, agar semua peserta akan
beroleh pemahaman dalam seminar ini tentang bidang-bidang yang berkaitan dengan Pendidikan Jasmani dan Sains
Sukan seperti biomekanik, fisiologi, psikologi, sosiologi, perubatan sukan dan pembelajaran & pengajaran sukan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Walaupun kedudukan institusi dan sekolah di bahagian sini terletak di pedalaman dan jauh dari pusat bandar, saya
percaya kita tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak sama-sama mengambil bahagian yang aktif ke arah
peningkatan kecemerlangan profesionalime pendidik. Saya juga pasti, lokasi yang jauh dari bandar ini tidak akan
menyebabkan guru-guru hilang sifat profesionalismenya. Maka dengan itu Seminar yang diadakan ini amatlah bertepatan
dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang inginkan budaya penyelidikan menjadi satu budaya yang sentiasa
menjadi amalan untuk peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hanya dengan budaya penyelidikan
yang dijadikan sebahagian daripada tugas rutin seharian sahajalah yang akan dapat meningkatkan sekolah-sekolah di
pedalaman ke aras yang lebih tinggi dan setanding dengan sekolah-sekolah di bandar besar dari segi penguasaan ilmu
akademik yang tinggi, berketrampilan dan kemampuan untuk menjadi seorang pendidik yang cemerlang.
Saya difahamkan Seminar ini yang bertemakan _________________________________________________
adalah rentetan daripada Kursus Penyelidikan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang. Saya juga merakamkan ucapan SYABAS dan TAHNIAH kepada peserta
PISMP Pendidikan Jasmani Ambilan Januari 2008 kerana telah berjaya menamatkan pembentangan kajian tindakan
dengan jayanya. Semoga dengan input yang diberi semasa pembentangan dan pengalaman membuat penyelidikan
akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme guru-guru itu sendiri dan pada masa yang sama akan dapat
meningkatkan tahap pencapaian para pelajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang terbaik hasil
daripada dapatan kajian penyelidikan yang telah dibuat.
Penyelidikan yang berterusan akan membolehkan pendidik mengkaji secara sistematik kesesuaian dan
keberkesanan usaha pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan kualitinya. Hasil daripada penyelidikan perlu
disebarluaskan supaya dapat menyemarakkan lagi perkembangan dan kemajuan pendidikan, khususnya dalam aspek
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Para penyelidik perlu juga diberi galakan dan sokongan supaya budaya
penyelidik adalah satu wadah yang amat sesuai untuk mencapai hasrat ini. Seminar seeperti ini akan memberi peluang
kepada para penyelidik menyebar dan membincangkan hasil penyelidikan mereka secara profesional.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sains sukan semakin penting pada hari ini sebab ia adalah satu disiplin atau bidang ilmu yang mengkaji aplikasi
prinsip saintifik dan teknik dengan tujuan memperbaiki prestasi kesukanan. Dengan demikian, ia juga merangkumi
aspek-aspek pemakanan dan makanan seimbang. Sains sukan adalah untuk semua orang tidak kira usia, bangsa dan
latar masyarakat. Ia diperlukan dalam hidup manusia setiap hari kerana berkait rapat dengan pergerakan manusia. Ini
kerana sains sukan mengkaji pergerakan manusia dan bagaimana anggota tubuh badan manusia menghasilkan
pergerakan, kestabilan tubuh, daya dan imbangan yang optimum. Pergerakan begini disebut sebagai biomekanik dan ia
membolehkan kita menggunakan anggota tubuh dengan lebih cekap dan sempurna. Justeru, sains sukan menjadi
penting dalam bidang sukan kerana kemahiran dalam biomekanik bukan sahaja boleh menstabilkan tubuh anda untuk
memulakan pergerakan dengan lebih pantas dan mengelakkan kecederaan.
Hadirin hadirat sekalian,
Dari segi fisiologi, sains sukan mengkaji bagaimana tubuh kita menukarkan makanan kepada tenaga untuk
menampung setiap pergerakan kita. Pengetahuan tentang hal demikian akan membantu jurulatih-jurulatih sukan untuk
merancang pemakanan dan makanan yang seimbang untuk para atlit mereka. Dengan demikian, kita dapat memahami
bagaimana tubuh kita berfungsi dari segi biologi dan kimia, juga bagaimana tubuh kita memperoses oksigen untuk
menghasilkan tenaga. Contohnya, dengan mengamalkan dua atau tiga tarikan nafas (dan bukan satu seperti biasa), kita
akan dapat mempertingkatkan daya tahan kita. Ini adalah kerana lebih banyak udara akan ditarik ke dalam paru-paru.
Tempoh untuk oksigen diserap akan lebih panjang lagi kerana kita menarik nafas dua tiga kali sebelum menghembuskan
nafas kita. Mula-mula kita mungkin merasa agak ganjil, kita akan tertarik dengan cara ini apabila melihat kesannya nanti.
Kita perlu sentiasa ingat bahawa paru-paru kita kita memerlukan masa untuk menyerap oksigen! Sains ini adalah logik,
dan kita hanya perlu mencuba sesuatu yang baru untuk melihat kesannya. Itulah sebahagian dari sains sukan walaupun
pergerakan sedemikan dianggap agak mudah tetapi penting bagi kesihatan tubuh badan kita.
Para peserta seminar sekalian,
Mungkin saudara-saudari tidak dapat melihat kaitan psikologi dengan sains sukan. Tetapi hakikatnya ialah sains
sukan mengkaji faktor psikologi dan mental yang dialami oleh seseorang atlit dalam aktiviti sukan. Ini termasuklah
bagaimana memupuk keyakinan diri, bagaimana memupuk motivasi serta bagaimana menggunakan kaedah bayangan
untuk mempercekapkan pembelajaran sesuatu kemahiran.
Hadirin hadirat, tuan-tuan dan puan-puan,
Selain daripada aspek psikologi, satu lagi aspek yang penting dalam sains sukan iaitu aspek sosiologinya.
Maksudnya, sosiologi sukan cuba memberi penjelasan kepada fenomena ganjil dalam dunia sukan seperti mengapa atlit
kulit hitam Amerika Syarikat tidak pernah cemerlang dalam sukan renang tetapi lebih berjaya dalam acara olahraga dan
bola keranjang. Jawapannya, mungkin kerana kebanyakan keluarga berkulit hitam adalah miskin dan tidak mampu
menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai kolam renang. Mungkin mereka tidak mampu menjadi ahli kelab
renang. Mungkin mereka tidak mendapat latihan daripada jurulatih yang baik.....dan banyak kemungkinan lagi! Jadi,
mereka memberi tumpuan yang gigih kepada acara olahraga dan permainan bola keranjang yang murah dibiayai. Jika
pemain negara kita mempunyai penyokong yang ramai, mungkin sokongan daripada mereka akan menyuntik semangat
juang yang tinggi dan membolehkan mereka menang! Sebaliknya, keganasan penyokong juga akan sedikit sebanyak
mengganggu prestasi pasukan pemain jika keselamatan mereka terancam. Keadaan beginilah yang disebut sebagai
sosiologi sukan, yakni sebahagian daripada sains sukan – dan ia adalah penting sebagai penentu prestasi mana-mana
sukan di dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,
Dalam sains sukan memang kita tidak dapat lari daripada satu aspek lagi iaitu perubatan sukan. Aspek ini penting
kerana ia dapat membantu atlit pulih daripada kecederaan yang dialami. Bidang ini membekalkan jurulatih dan atlit
dengan pengetahuan yang boleh mengelakkan kecederaan. Walau bagaimanapun, perubatan sukan disalahgunakan
untuk mempertingkatkan prestasi sukan – contohnya, penggunaan hormon tiruan yang digelar sebagai steroid anabolik
untuk menambahkan saiz otot tubuh mereka dalam acara lari pecut, angkat berat, tinju, gusti, bina badan dan
sebagainya. Kesan daripada penggunaannya boleh menjadikan seseorang itu menjadi tidak siuman. Dari aspek itu,
sains perubatan bukan sahaja dapat memastikan para atlit tidak melakukan penipuan, tetapi memastikan atlit tidak
tercedera atau betul-betul pulih sebelum melanjutkan latihan dan menyertai pertandingan. Di sinilah terletaknya
kepentingan aspek perubatan kepada bidang sains sukan.
Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
Menyentuh tentang aspek teknologi dalam sains sukan pula, banyak kemudahan-kemudahan dan alat-alat sukan
telah direkacipta bagi tujuan meningkatkan lagi pencapaian prestasi sukan di samping mengurangkan kemungkinan
berlakunya kecederaan ketika bersukan. Kewujudan bidang kajian biodinamik iaitu cantuman prinsip-prinsip mekanik,
kejuruteraan, fisiologi senam, anatomi dan kinesiologi maka terhasillah satu kajian yang menumpukan latihan bercorak
saintifik dengan menggunakan bantuan alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi. Alat-alat mekanik dan elektronik
termasuk alat komputer dan radiotelemetrik telah digunakan bagi tujuan peningkatan prestasi lakuan motor dan juga
menganalisa setiap gerak laku tubuh badan agar ianya mengikut prinsip–prinsip lakuan yang betul.. Teknologi berkaitan
sains biomekanik telah mencipta mesin-mesin untuk tujuan latihan dan pemulihan. Mesin-mesin yang berkomputer
seperti alat electromyograph, dynamometer, time measurement device, Spirometer, motion analysis, whole body
reaction measuring equipment, three-dimentional movement analysis system, muscles stimulator, dan lain-lain
lagi telah memberi banyak pengetahuan tentang sistem lokomotor manusia bagi memudahkan latihan-latihan dijalankan
dengan pendekatan yang bersistematik. Alat-alat latihan isokinetik, isometrik dan isotonik telah banyak membantu atlit
meningkatkan daya fizikal mereka mengikut keperluan sukan masing-masing.
Setelah semua aspek berkaitan sains sukan berkenaan dikuasai dan dilaksanakan dalam pengurusan sukan
negara kita, maka sudah tentu akan memberi impak yang baik ke arah pembangunan sukan negara kita. Sebenarnya,
manfaat sukan kepada ekonomi dan negara adalah sama pentingnya dengan program pembangunan negara yang lain.
Di Amerika Syarikat contohnya, sektor sukan adalah penyumbang kedua terbesar kepada perolehan ekonominya. Begitu
juga halnya di negara China, Australia dan negara-negara maju lain memperuntukkan sejumlah wang yang banyak dalam
usaha penyelidikan dan pembangunan sukan mereka. Ini adalah kerana mereka menyedari akan potensi sukan dalam
menjana ekonomi negara.
Selain daripada itu, sukan juga berpotensi untuk meningkatkan imej dan potensi negara serta mempromosikan
negara di mata dunia. Sukan boleh menjana ekonomi daripada segi perspektif pelancongan sukan (sport tourism),
kemudahan dan perkhidmatan (service and facility), pusat sukan (sport centre), penajaan (sponsorship), hak penyiaran
(broadcasting right) dan banyak lagi yang biasanya melibatkan jalinan kerja yang bersifat kebangsaan dan antarabangsa.
Negara kita Malaysia sudah mula menyedari akan kepentingan sukan kepada pembangunan negara serta
sumbangannya kepada ekonomi secara keseluruhannya. Sukan juga telah terbukti berkesan dalam mempromosikan
negara ke persada dunia. Negara juga mula mengorak langkah dalam membangunkan bidang sains sukan di Malaysia
sebagai langkah kepada pembentukan para atlit negara yang boleh bersaing serta kompetitif di peringkat dunia. Oleh
yang demikian, usaha Institut Perguruan Rajang dalam menganjurkan seminar sains sukan ini adalah tepat pada
masanya dan menjadi pencetus dan pembakar semangat kepada para pendidik, pengurus, dan jurulatih ke arah
pembangunan sukan dari akar umbi untuk melahirkan atlit bertaraf dunia daripada negeri Sarawak dan negara amnya.
Tuan-tuan dan puan yang dihormati,
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya menyeru kepada para peserta seminar, agar pengetahuan sains
sukan diserapkan sama ada secara langsung atau tidak langsung ke dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di
sekolah atau semasa melatih mana-mana permainan. Guru-guru sekarang, ramai yang telah mempunyai kelayakan
dalam bidang sains sukan dan tahu bagaimana mengajar pelajar ke arah kecemerlangan dalam sukan. Ajarkanlah
prinsip-prinsip sains sukan dengan betul dan berkesan. Mudah-mudahan pendekatan baru melalui sains sukan akan
membawa manfaat yang baik dalam bidang sukan yang memerlukan gabungan pengetahuan dari semua bidang yang
relevan. Bertanyalah kepada penel-panel berpengalaman yang dijemput untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan
kemahiran dengan anda. Semoga anda berjaya membawa anjakan paradigma dalam bidang sukan negara.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam
menjayakan Seminar Penyelidikan Pendidikan ini, dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada panel-panel dan Saudara
Rexy kerana telah sudi hadir dalam menjayakan program ini.
“Jadikanlah budaya penyelidikan sebagai satu amalan”
Maka dengan ini, “Saya dengan sukacitanya menutup rasmi Seminar Penyelidikan Pendidikan Jasmani Institut
Pendidikan Guru Kampus Rajang 2011.”
Sekian,terima kasih