ucapan kppa sempena majlis perasmian hari inovasi … · inovasi seumpama ini akan diteruskan agar...
TRANSCRIPT
UCAPAN
YANG BERBAHAGIA TAN SRI
MOHAMAD ZABIDI ZAINAL
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN HARI INOVASI
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
11 NOVEMBER 2014, 9.00 PAGI
AUDITORIUM
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
2
Assalamualaikum Warrahmatullahi
Wabarakatuh, Salam Transformasi dan
Salam “1Malaysia: Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan”.
Yang Dihormati Saudara/Saudari
Pengacara Majlis
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Madinah
binti Mohamad
Ketua Setiausaha Kementerian
Pendidikan Malaysia
Yang Berbahagia Profesor Dato’ Seri Dr.
Md. Salleh bin Yaapar
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan
Bahasa dan Pustaka
3
Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Awang
bin Sariyan
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka
Yang Berbahagia Profesor Dr. Zaharani
bin Ahmad
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)
Dewan Bahasa dan Pustaka
Yang Berbahagia Encik Kamarul Zaman
bin Shaharudin
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Dewan Bahasa dan Pustaka
Ahli-ahli Lembaga Pengelola Dewan
Bahasa dan Pustaka
4
Pengarah-pengarah Jabatan
Pengarah-pengarah Cawangan dan
Wilayah
Ketua-ketua Bahagian
Tuan-tuan dan Puan-puan Warga Dewan
Bahasa dan Pustaka yang saya kasihi
sekalian
Terlebih dahulu marilah kita bersama-
sama memanjatkan rasa syukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas
limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, maka
kita telah diberikan kesempatan untuk
bersama-sama berada di dalam Majlis
5
Perasmian Hari Inovasi Dewan Bahasa
dan Pustaka atau DBP. Sesungguhnya
majlis pada hari ini merupakan
manifestasi DBP menyahut seruan
Kerajaan untuk menjulang dan
memartabatkan budaya inovasi dalam
kalangan agensi Kerajaan.
2. Saya ingin mengambil kesempatan
di sini untuk merakamkan penghargaan
dan terima kasih kepada DBP atas
jemputan menyempurnakan majlis yang
mengimarahkan inovasi di organisasi
ini.
6
3. Hari Inovasi DBP yang kita raikan
pada hari ini merupakan kemuncak
cerminan iltizam semua warga DBP
dalam menggalakkan budaya inovasi.
Hari Inovasi juga merupakan platform
bagi penjawat awam mencari kaedah
baharu untuk merungkai ‘simpulan
permasalahan’ dan ‘tali kekusutan’ yang
wujud di dalam proses kerja seharian
atau apa sahaja isu yang dikaji. Saya
percaya bahawa warga kerja DBP
amnya dan Kumpulan Inovatif dan
Kreatif atau KIK yang telah dibentuk
khususnya, telah berjaya
mengaplikasikan teknik-teknik
penyelesaian masalah dalam
7
melahirkan ‘produk inovasi’ masing-
masing.
INOVASI, DI MANA KEDUDUKAN
MALAYSIA DI MATA DUNIA?
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan hadirin
sekalian,
4. Hasrat Kerajaan untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara pencipta,
perintis dan pelopor idea perlu disambut
dan didakap kemas oleh segenap
lapisan masyarakat. Dalam perlumbaan
menggarap dan menterjemahkan idea
ke dalam bentuk produk atau
perkhidmatan yang terbilang, perkara
8
utama yang perlu kita ingat ialah
kejayaan kita pada hari ini bukan sahaja
diukur daripada kejayaan menjulang
trofi dan mengungguli anugerah di liga
tempatan malahan kita juga perlu
memetakan nama Malaysia di persada
antarabangsa.
5. Saya sama sekali tidak menafikan
atau menghalang sebarang bentuk
usaha untuk mengejar dan memburu
pengiktirafan di liga tempatan. Namun,
usaha kita mengorak langkah dan
mengukir kejayaan di peringkat global
juga perlu dipastikan sama beratnya di
atas neraca timbang tara kita.
9
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan hadirin
sekalian,
6. Baru-baru ini Global Innovation
Index atau GII yang diumumkan bagi
tahun 2014 telah mengejutkan kita
daripada lena yang panjang. GII 2014
telah meletakkan Malaysia di tangga ke-
34 daripada 143 buah negara.
Kedudukan ini ternyata menunjukkan
Malaysia tergelincir dari landasan yang
digariskan di mana bagi tahun 2012 dan
2013, Malaysia mengekalkan
kedudukannya di tangga ke-32.
10
Pertambahan nilai angka ini sama sekali
bukanlah indikator yang baik untuk
Malaysia. Jika kedudukan ini diterima
dengan berlapang dada, maka usaha
untuk memacu Malaysia mencapai
Wawasan 2020 akan terus kabur.
7. Lantaran itu, kedudukan Malaysia
dalam Global Innovation Index 2014
tersebut haruslah dijadikan sebagai
iktibar agar kita tidak terus leka diulit
mimpi-mimpi indah, malah kita harus
terus pantas bangkit untuk memperbaiki
kedudukan. Ini bukan suatu perkara
yang mustahil kerana kita pernah
11
mendengar “kejayaan bukan warisan,
kegagalan bukan tradisi”.
PEMARTABATAN BAHASA MELAYU DI
PERSADA GLOBAL
8. Menelusuri sejarah abad ke-14,
semasa zaman Kesultanan Melayu
Melaka, bahasa Melayu telah
berperanan sebagai bahasa perantara
atau lingua franca dan dituturkan oleh
penduduk tempatan dan pedagang yang
mengunjungi Melaka. Bagi meneruskan
kegemilangan bahasa Melayu, usaha-
usaha pengantarabangsaan Bahasa
Melayu telah giat dilaksanakan
menerusi kerjasama dengan agensi dan
12
institusi luar khususnya dari negara
seperti China, Thailand, Vietnam,
Indonesia, Korea Selatan, Sweden,
Australia, United Kingdom, Jerman,
Belanda dan beberapa negara lain.
9. Usaha mengantarabangsakan
bahasa Melayu ini amat penting bagi
mencapai wawasan untuk menjadikan
bahasa Melayu sebagai salah satu
bahasa utama dunia. Menurut The
United Nations Educational, Scientific
and Cultural Organisation (UNESCO),
bahasa yang sering dipertuturkan di
peringkat global ialah Bahasa Mandarin,
Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol,
13
Bahasa Hindi, Bahasa Arab, Bengali,
Portugis, Jepun, Jerman dan Perancis.
Bahasa Melayu tidak terdapat dalam
senarai ini. Saya berpandangan, usaha
gigih perlu diterus dan diperluaskan
untuk menyebarkan Bahasa Melayu ke
negara-negara lain. Dalam hal ini, DBP
perlu meningkatkan kerjasama strategik
yang mampu mengangkat nama
organisasi di mercu kegemilangan dan
seterusnya mengharumkan nama
negara di persada global.
INOVASI : PENANDA ARAS BAHARU
PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Hadirin yang dikasihi sekalian,
14
10. Globalisasi tidak hanya membawa
natijah positif dari aspek ekonomi
semata-mata malah turut memberikan
impak besar dari sudut sosio-budaya
dan bahasa. Bagi memastikan usaha
memartabatkan bahasa Melayu dan
pembentukan jati diri bangsa terus
kekal relevan, DBP perlu menerapkan
nilai dan budaya inovasi dalam
penghasilan setiap produk dan
perkhidmatan.
11. Pelaksanaan inovasi menuntut
warga kerja DBP untuk berfikiran lebih
terbuka dan sentiasa dinamik dalam
memperlengkap diri dengan ilmu
15
pengetahuan. Pemilikan ilmu diperlukan
untuk merangsang pemikiran bagi
mencerna isu dan mencari jalan
penyelesaian dalam melakukan
pembaharuan, khususnya dalam usaha
pembinaan dan pengembangan bahasa
Melayu.
12. DBP juga tidak terkecuali daripada
meletakkan inovasi sebagai penanda
aras baharu dalam penyampaian
perkhidmatannya kepada seluruh agensi
Perkhidmatan Awam, pihak swasta
mahupun kepada masyarakat umum.
Bagi memastikan DBP sentiasa bersedia
menyahut cabaran dan keperluan
16
pelanggan yang sentiasa meningkat dan
berubah secara dinamik, warga kerja
DBP hendaklah sentiasa memberikan
keutamaan kepada pengukuhan tahap
intelektual dan penyuburan budaya ilmu
dalam organisasi. Penguasaan
pengetahuan baharu dalam bidang-
bidang terkini yang selaras dengan
perkembangan dan cabaran dunia akan
membolehkan warga DBP berfikir
secara kreatif untuk menjana idea-idea
baharu dalam memenuhi kehendak dan
keperluan rakyat serta pemegang
kepentingan.
PEMBANGUNAN INOVASI DAN
PENGKOMERSILAN
17
Hadirin yang dihormati sekalian,
13. Yang Amat Berhormat Dato’ Sri
Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan
Bajet 2015 baru-baru ini ada menyentuh
mengenai pembangunan inovasi dan
pengkomersilan.
14. Di bawah usaha tersebut, Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri telah
menyatakan sasaran 360 produk inovasi
berimpak tinggi yang dikomersialkan
dalam tempoh lima (5) tahun akan
datang.
18
15. Dalam hubungan ini, suka saya
menyeru warga DBP untuk turut sama
menyumbang kepada angka yang
disasarkan ini. Kita tidak boleh
beranggapan bahawa keluaran atau
hasil inovasi yang boleh dikomersialkan
hanya berbentuk produk semata-mata.
Dengan berfikiran kreatif dan inovatif,
Bahasa Melayu itu sendiri boleh
dikomersialkan. Sebagai contoh, pada
tahun 2012, 3224 buah projek
perumahan dibangunkan. Projek
perumahan ini sudah semestinya
memerlukan nama-nama komersial
untuk dipasarkan. Di sini, DBP boleh
19
memainkan peranannya dengan
menyediakan pangkalan kosa kata
bahasa Melayu untuk digunakan sebagai
nama-nama taman dan jalan baharu.
INOVASI SOSIAL: MEMANFAATKAN
RAKYAT
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya
kasihi sekalian,
16. Dalam mendepani usaha
mendaulatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara, DBP perlu
sentiasa mengorak langkah dan
meneroka wadah baharu dalam
kegiatan pembinaan dan pengembangan
bahasa Melayu. Justeru, telah tiba masa
20
dan ketikanya DBP menyahut seruan
YAB Perdana Menteri Malaysia agar
setiap agensi Kerajaan mewujudkan
makmal inovasi bagi membolehkan
agensi Kerajaan mengadaptasi inisiatif
baharu untuk faedah rakyat dan
pelanggan.
17. DBP juga perlu memberikan
tumpuan kepada pendekatan inovasi
sosial sebagaimana yang disarankan
oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Inovasi sosial boleh diterjemahkan
menerusi dua kaedah, iaitu pendekatan
eksperimen dan perluasan saluran dan
21
akses rakyat sebagai pengguna
perkhidmatan.
18. Pendekatan melalui kaedah
eksperimen melibatkan penciptaan
idea-idea baharu yang melibatkan
proses penciptaan prototaip, uji cuba
dan projek perintis. Melalui kaedah
eksperimen, idea baharu yang dicipta ini
perlu melalui beberapa proses uji cuba
bagi mendapatkan hasil terbaik. Melalui
kaedah kedua pula, agensi Kerajaan
perlu memperluas saluran dan akses
kepada rakyat sebagai pengguna
perkhidmatan untuk menyatakan
kehendak serta jangkaan mereka
22
terhadap penyampaian perkhidmatan
kerajaan.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
19. Dalam usaha DBP mengembangkan
Bahasa Melayu, DBP sewajarnya
mencontohi pembaharuan dan inovasi
yang telah dilaksanakan oleh agensi-
agensi lain dalam usaha pengembangan
Bahasa. Sebagai contoh, Persatuan
Kebudayaan Han telah memperkenalkan
Ujian Kecekapan Bahasa Mandarin yang
menggunakan sistem audio dan visual.
Kaedah ini boleh diterapkan sebagai
salah satu medium pembelajaran
23
Bahasa Melayu khususnya bagi penutur
asing yang ingin mempelajari bahasa
Melayu.
20. DBP juga perlu memanfaatkan
media sosial dengan lebih ekstensif lagi
bagi mendapatkan reaksi dan maklum
balas daripada masyarakat dan
pelanggan tentang perkhidmatan yang
diperlukan. Ini bermakna, DBP bukan
sahaja perlu menyediakan perkhidmatan
berdasarkan Pelan Tindakan Strategik
yang telah digariskan malah DBP
hendaklah memperluas sumbangan dan
peranannya dalam memenuhi keperluan
24
dan kehendak sebenar masyarakat dan
pelanggan.
21. Berdasarkan pengamatan saya,
DBP telah pun mengorak langkah
inovasi melalui pewujudan
perkhidmatan dalam talian seperti
Khidmat Nasihat Bahasa, portal Pusat
Rujukan Persuratan Melayu (PRPM),
khususnya untuk para penyelidik dan
Gerbang Kata bagi memudahkan
masyarakat untuk turut menyumbang
dalam usaha pembinaan Bahasa Melayu.
Syabas dan tahniah saya ucapkan.
Namun begitu, usaha-usaha inovasi
sosial perlu diteruskan dan diperluas
25
lagi, dan DBP perlu memanfaatkan
sepenuhnya kecanggihan teknologi
yang ada pada zaman ini untuk
mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
22. Sebagai usaha menyemarakkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan, Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) yang merupakan pihak yang
paling banyak berurusan dengan
masyarakat terutamanya golongan
peniaga dalam urusan penggunaan
bahasa pada papan tanda dan tunjuk
arah, perlu diberi perhatian utama.
Peranan PBT dalam mendaulatkan
bahasa tidak boleh dipandang sepi.
26
Peranan PBT dalam meletakkan bahasa
Melayu di aras tertinggi merupakan
refleksi usaha memartabatkan bahasa
kebangsaan di peringkat negara secara
keseluruhan.
23. Sebagai langkah strategik
pengembangan bahasa, suka saya
mencadangkan agar diwujudkan
jaringan kerjasama DBP dan PBT untuk
memartabatkan bahasa Melayu selaras
dengan Falsafah Lautan Biru
Kebangsaan.
PENUTUP
27
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan hadirin
sekalian,
24. Saya berharap sambutan Hari
Inovasi seumpama ini akan diteruskan
agar menjadi testimoni lambang
kesungguhan DBP sebagai institusi yang
menjunjung dan menjulang kreativiti
dan inovasi. Sesungguhnya, inovasi
merupakan pemacu utama ke arah
mencapai kecemerlangan negara dan
seterusnya memartabatkan Bahasa
Melayu di persada keterbilangan.
25. Akhir kalam, saya menyeru agar
kita terus memegang ikrar untuk
28
memperkukuh dan
mengarusperdanakan inovasi dalam
perkhidmatan awam selari dengan
hasrat Kerajaan untuk memberikan
perkhidmatan yang terbaik kepada
rakyat dan menyumbang kepada
kesejahteraan negara.
26. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir
Rahim saya dengan ini merasmikan Hari
Inovasi DBP tahun 2014.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah
wassalamu alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.