ucapan perasmian yb dato’ sri rohani abdul · pdf filedengan program pekerti@remaja...
TRANSCRIPT
UCAPAN PERASMIAN
YB DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
PELANCARAN
PROGRAM PEMERKASAAN KELUARGA DAN KOMUNITI (FACE) FASA 2 #NEGARAKU_KASIHKITA_KPWKM
KOMPLEKS SUKAN ASAJAYA, SARAWAK
29 APRIL 2017 (SABTU)
1.30 PETANG
1
Salutasi
Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam NegaraKu
Terima Kasih Pengacara Majlis,
YB. Datuk Haji Abdul Karim Rahman Rahman Hamzah Ahli Dewan Undangan Negeri (N.15) Asajaya
merangkap Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan
Sukan Sarawak
YB. Puan Rubiah Wang Ahli Parlimen (P.197) Kota Samarahan
Tuan Haji Brahim Lumpu Residen Bahagian Samarahan
Tuan Habari Bakar Pegawai Daerah Asajaya
1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke-hadrat ALLAH S.W.T. kerana
dengan limpah kurnia dan inayahNya dapat kita bersama-sama
berkumpul pada petang ini, di Kompleks Sukan Asajaya dalam
2
Pelancaran Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) Fasa 2 iaitu di Kampung Asajaya, Samarahan Sarawak.
2. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan
puan-puan dan semua ahli keluarga komuniti Kampung Asajaya serta
penduduk sekitar kerana dapat meluangkan masa hadir bersama-sama
memeriahkan majlis pada petang ini.
Turun Belayar Puteri Santubong
Ikan Pais Jadi Santapan
Di Asajaya Kita Berkampung
Program FACE kita Jayakan.
3. Terima kasih dan tahniah juga kepada penganjur program iaitu
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),
agensi di bawah Kementerian saya dan Pejabat Daerah Asajaya. Tidak
ketinggalan ucapan terima kasih kepada pelbagai jabatan Kerajaan
Negeri dan Jabatan Kerajaan Persekutuan, NGO, pihak swasta serta
pemimpin tempatan, yang berganding bahu melalui Pendekatan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menjayakan Pelancaran
Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) Fasa 2 ini. Saya
menyokong sepenuhnya pendekatan begini iaitu kolaborasi banyak
pihak dalam membangunkan komuniti setempat melalui aktiviti berkaitan
bagi membantu memperkasa keluarga dan akhirnya membentuk
masyarakat sejahtera.
3
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
4. Institusi keluarga memainkan fungsinya yang tersendiri dalam
memastikan kestabilan dan keharmonian wujud dalam sesebuah
masyarakat. Institusi keluarga kita masa kini telah dilanda pelbagai
cabaran yang didominasi oleh faktor modenisasi, urbanisasi dan
globalisasi. Dalam mengharungi cabaran ini, keluarga yang mampu
untuk berfungsi dengan baik akan dapat memastikan kesejahteraan
keluarga mereka akan terus terpelihara. Namun, sebaliknya keluarga
yang gagal menjalankan fungsinya akan terdedah kepada kepincangan
yang dapat dilihat kesannya kepada ahli keluarga tersebut dan secara
tidak langsung akan memberi kesan kepada komuniti setempat.
5. Kepentingan bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus
sejahtera merupakan antara salah satu agenda utama prospek
pembangunan negara. Keutamaan ini dapat dilihat berdasarkan
komitmen kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke Sebelas (RMK-11)
yang mengangkat kepentingan institusi keluarga menerusi memperkasa
komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera.
Tuan-tuan dan puan-puan serta warga Asajaya yang dihormati sekalian.
6. Pada tahun 2016, LPPKN telah menjalankan Program FACE fasa
pertama yang diadakan di Kampung Beladin di Batang Lupar.
Pelancarannya telah diadakan pada 30 Oktober 2016 dan selepas
pelancarannya telah diadakan pelbagai aktiviti intervensi seperti Forum
Perdana Ehwal Islam, Gotong Royong, Hari Sukan Negara dan
sebagainya.
4
7. Pada tahun ini, Kampung Asajaya telah dipilih bagi pelaksanaan
Program FACE Fasa 2. Pemilihan dibuat berdasarkan terdapatnya
keperluan dalam memperkasakan komuniti di sini dalam beberapa
aspek seperti ekonomi, sosial dan pendidikan. Untuk makluman semua,
Kajian Pra Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) peringkat komuniti
Asajaya telah dilaksanakan pada 13 hingga 26 Mac 2017 yang lalu
meliputi 400 orang responden dalam kalangan ibu bapa penduduk
Kampung Asajaya Hulu, Tengah dan Laut.
Kajian ini mengukur tahap kesejahteraan keluarga semasa dengan
mengukur lapan (8) aspek atau domain iaitu:
I. Domain Hubungan Kekeluargaan;
ii. Domain Keluarga Dan Komuniti;
iii. Domain Ekonomi Keluarga;
iv. Domain Keselamatan Keluarga;
v. Domain Kesihatan Keluarga;
vi. Domain Keluarga Dan Agama/ Kerohanian;
vii. Domain Persekitaran Dan Perumahan; dan
viii. Domain Keluarga Dan Teknologi Komunikasi
8. Hasil kajian menunjukkan skor keseluruhan Indeks Kesejahteraan
Keluarga (IKK) bagi kampung ini adalah 7.21 daripada skala 10. Dua
domain yang terendah pula adalah domain perumahan dan persekitaran dan domain keluarga dan teknologi komunikasi.
9. Untuk makluman semua, IKK Nasional tahun 2016 mencatatkan
skor 7.33 daripada skala 10 dan skor negeri Sarawak mencatatkan 7.09
5
dengan dua domain yang terendah juga adalah domain perumahan dan
persekitaran dan domain keluarga dan teknologi komunikasi. Begitu
juga dengan skor bagi IKK di Beladin, mencatatkan skor terendah
adalah bagi domain perumahan dan persekitaran. Terdapat persamaan
dari segi domain yang rendah antara ketiga-tiga IKK yang dijalankan
iaitu IKK Nasional, komuniti Beladin dan komuniti Asajaya. Ini
menunjukkan aktiviti menjurus kepada aspek perumahan dan
persekitaran serta teknologi komunikasi perlu diberi penekanan yang
lebih.
10. Domain Kesihatan dan Domain Ekonomi Keluarga juga
mencatatkan skor yang rendah di komuniti Asajaya. Pejabat Kesihatan
mungkin boleh menjadikan Kampung Asajaya ini sebagai Komuniti
KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara), dan pihak Kawasan
Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan boleh
mengambil peranan dalam membangunkan ekonomi pertanian
masyarakat kawasan ini. Namun demikian, aktiviti bagi domain yang
lain juga perlu dilaksanakan supaya kesejahteraan yang kita usahakan
ini terus kekal dan mampu dipertingkatkan.
10. Penemuan Kajian IKK Komuniti Asajaya, juga mencatatkan tiga
isu sosial yang perlu diberi perhatian iaitu remaja merokok (43.5%),
ponteng sekolah (13%) dan perjudian (13%). Saya melihat ini sebagai
isu komuniti Asajaya yang perlu diambil cakna oleh agensi berwajib.
Antara lain pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) perlu menjalankan program berbentuk NBOS untuk
membantu mengurangkan gejala ponteng sekolah, remaja merokok dan
perjudian ini. Selain itu agensi seperti LPPKN boleh menyumbang
6
dengan program motivasi dengan menggunakan Modul Permata Kasih
dan Modul Mutiara Kasih.
11. Dari aspek keperluan setempat pula, tiga perkara yang
ditimbulkan adalah bekalan air bersih (26.5%), pungutan sampah
(16.8%), dan pengangkutan awam (13.5%). Saya kira perkara-perkara
berkaitan kemudahan ini juga perlu dipandang serius oleh pihak yang
berkenaan dan perlu ada tindakan susulan.
12. Saya percaya LPPKN telah mempunyai perancangan untuk
membangun dan memperkasakan komuniti ini. Saya dimaklumkan
bahawa seawal 21 April lalu mereka telah turun ke SMK Asajaya
dengan Program PEKERTI@Remaja dengan pengisian Modul Cakna
Diri Remaja, iaitu berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial
remaja. Manakala pada 27 April diadakan Tazkirah Maghrib di 3 buah
kampung (Kampung Asajaya Hulu, Kampung Asajaya Tengah dan
Kampung Asajaya Laut) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah
Malaysia (YADIM). Pada 28 April telah dijalankan Program Sukarelawan
Jiwa Malaysia dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) yang
melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak
dan Ahli KRT komuniti setempat. Terima kasih kepada semua agensi
yang berganding bahu untuk menjayakan aktiviti yang dirancang. Tanpa
sokongan semua pihak pastinya usaha murni ini akan tergendala.
13. Hari ini contohnya, saya melihat walaupun LPPKN merupakan
tunggak utama program ini, tetapi kerjasama yang cukup baik diterima
daripada agensi lain. Jika di luar dewan ini kita dapat melihat
kenderaan-kenderaan Perkhidmatan Mobile Community Transformation
7
Centre (MCTC) dan Pasar Tamu FACE, tidak kurang di sebelah dalam
dewan dengan Pameran Agensi, Pertandingan Gubahan, Urutan
Mamacare, Saringan Kesihatan PERCUMA, Ujian Pap Smear
PERCUMA, Suntikan Vaksinasi HPV PERCUMA, Pendaftaran
Mamogram, Art Therapy, Pemeriksaan Gigi dan Kempen Derma Darah.
14. Pada sebelah pagi tadi telah dijalankan Ceramah Interaktif
daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan dengan tajuk Kempen Go
Green; iaitu penerangan tentang pengurusan sisa makanan dan baja
kompos. Selain itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) turut menyampaikan Slot SmartPhone,
SmartParenting berkaitan kawalan penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan anak-anak.
15. Selepas majlis ini, saya akan mengabas balo ke tiga (3) buah
rumah klien Jabatan Kebajikan Masyarakat pula. LPPKN dengan
kerjasama JKM telah mengenalpasti klien yang perlu diberi perhatian.
Penutup
Akhir kata, semoga usaha murni membina keluarga bahagia masyarakat
sejahtera melalui Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti dapat
direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.
Dengan kata-kata itu dan dengan dengan lafaz mulia
Bismillahirrahminirrahim, saya melancarkan Program Pemerkasaan
Keluarga dan Komuniti (FACE) Fasa 2, komuniti Asajaya.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
8