bab 8 sumbangan keranda erong dalam budaya

30
BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA TORAJA, ENREKANG DAN MAMASA 8.1 Kesimpulan Tentang Peranan Keranda Erong Hasil kajian yang dijalankan tentang budaya keranda Erong di kawasan Toraja, Enrekang dan Mamasa telah memberikan suatu gambaran dan pemahaman yang lebih komprehensif tentang pola taburan dan susun atur, jenis, bentuk, ragam hias, orientasi, pentarikhan, perkembangan, makna-makna yang berkaitan dengan simbol kepercayaan dan sosial, peranannya dalam sistem pengebumian dan pemukiman serta hubungannya dengan keranda kayu di kawasan Asia Tenggara dan China Selatan. Kajian ini melibatkan 53 tapak keranda Erong dengan 608 buah keranda Erong, iaitu: (1) sebanyak 19 tapak dengan 516 buah keranda Erong di kawasan Tana Toraja, (2) sebanyak tujuh tapak dengan 37 buah keranda Erong di kawasan Enrekang, dan (3) sebanyak 27 tapak dengan 55 buah keranda Erong di kawasan Mamasa. Taburan tapak keranda Erong di ketiga-tiga kawasan penyelidikan telah dijumpai di kawasan lembah dan aliran sungai seperti Sungai Sa’dan, Sungai Mata Allo, Sungai Masupu’ dan

Upload: dangngoc

Post on 13-Jan-2017

231 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

BAB 8

SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA TORAJA, ENREKANG DAN MAMASA

8.1 Kesimpulan Tentang Peranan Keranda Erong

Hasil kajian yang dijalankan tentang budaya keranda Erong di kawasan Toraja, Enrekang

dan Mamasa telah memberikan suatu gambaran dan pemahaman yang lebih komprehensif

tentang pola taburan dan susun atur, jenis, bentuk, ragam hias, orientasi, pentarikhan,

perkembangan, makna-makna yang berkaitan dengan simbol kepercayaan dan sosial, peranannya

dalam sistem pengebumian dan pemukiman serta hubungannya dengan keranda kayu di kawasan

Asia Tenggara dan China Selatan. Kajian ini melibatkan 53 tapak keranda Erong dengan 608

buah keranda Erong, iaitu: (1) sebanyak 19 tapak dengan 516 buah keranda Erong di kawasan

Tana Toraja, (2) sebanyak tujuh tapak dengan 37 buah keranda Erong di kawasan Enrekang, dan

(3) sebanyak 27 tapak dengan 55 buah keranda Erong di kawasan Mamasa.

Taburan tapak keranda Erong di ketiga-tiga kawasan penyelidikan telah dijumpai di

kawasan lembah dan aliran sungai seperti Sungai Sa’dan, Sungai Mata Allo, Sungai Masupu’

dan Sungai Mamasa. Lembah-lembah dan sungai-sungai tersebut memanjang dari arah utara ke

selatan menghala ke Selat Makassar, merupakan kawasan yang sangat subur dan sesuai untuk

pertanian. Jumpaan tapak-tapak keranda Erong yang terletak pada persekitaran fizikal

berdekatan dengan sumber alam yang sangat diperlukan oleh manusia untuk pertanian dan

penempatan. Contohnya adalah tanah yang mendatar dan subur, dekat dengan sumber air

(sungai) dan pada ketinggian di atas aras laut antara 400m hingga 1300m yang mempunyai cuaca

yang sejuk. Topografi yang sebegini secara ekologinya adalah sangat sesuai untuk menjalankan

kehidupan dengan cara bercucuk tanam. Adaptasi terhadap persekitaran fizikal membentuk suatu

Page 2: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

komuniti dengan corak budaya pertanian yang terdapat dalam sistem idea, sosial dan budaya,

terutamanya pada budaya fizikal seperti keranda Erong. Pemanfaatan alam sangat sesuai untuk

membentuk suatu komuniti yang bersifat pertanian. Kesuburan tanah pertanian dan pengetahuan

teknologi pertanian yang baik seperti penggunaan sistem pengairan dan sawah berteras

membantu menghasilkan hasil pertanian yang lebih banyak. Kelebihan hasil pertanian tersebut,

terutamanya bagi golongan bangsawan sebagai penguasa tanah, digunakan untuk membina status

sosial dan keagamaan. Simbol-simbol status sosial tersebut adalah seperti membina keranda

Erong dan Tongkonan yang mewah, menjalankan pelbagai ritual keagamaan khasnya ritual

kematian para bangsawan yang sangat mewah dan bernilai ekonomi tinggi, semuanya merupakan

suatu simbol untuk mempertahankan status quo para elit.

Jenis dan bentuk keranda Erong yang dijumpai di kawasan Tana Toraja terdiri dari jenis

perahu, kerbau dan babi manakala di kawasan Enrekang hanya terdapat jenis perahu dan di

kawasan Mamasa pula terdapat jenis perahu, kerbau, kuda dan bulat. Di ketiga-tiga kawasan

penyelidikan, dijumpai keranda Erong jenis perahu yang paling dominan. Jenis keranda Erong

yang lain, seperti kerbau, babi, kuda dan bulat, merupakn perbezaan jenis dan bentuk keranda

Erong antara tapak mahupun kawasan sebagai perkembangan tempatan masing-masing. Bentuk

keranda Erong di kawasan Tana Toraja berkembang dari bentuk yang sederhana ke bentuk yang

kompleks, seperti perkembangan dari bentuk perahu berpenutup rendah ke bentuk berpenutup

tinggi, malah ada yang menyerupai konstruksi Tongkonan. Perkembangan dari hujung keranda

berbentuk kepala kerbau dan babi ke bentuk keranda yang menyerupai bentuk kerbau dan babi

yang sempurna, manakala bentuk badan keranda adalah persegi dan bulat. Di kawasan Enrekang

tidak ada perkembangan bentuk badan yang berbeza, kecuali beberapa bentuk hiasan pada

hujung penutup yang berbeza, sedangkan bahagian badan semuanya berbentuk persegi. Di

Page 3: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

kawasan Mamasa pula, tidak kelihatan adanya perkembangan bentuk keranda Erong yang

berbeza, hanya beberapa bentuk perahu berpenutup rendah dengan bentuk badan bulat atau sisi

lapan, bentuk kerbau berkaki yang sempurna (memiliki kepala, tanduk, telinga dan kaki), bentuk

bulat yang sangat sederhana dan bentuk kepala kuda.

Susun atur keranda Erong yang dijumpai di beberapa tapak di ketiga-tiga kawasan

berkenaan menunjukkan adanya kesamaan pola iaitu, pola kedudukannya sering didapati di gua,

cerun dan tebing batu atau perbukitan yang letaknya tidak jauh dari perkampungan atau kawasan

sawah dan kebun. Tapak keranda Erong selalu berada pada arah selatan atau barat daya dari

perkampungan lama, dengan orientasi keranda Erong ke arah selatan atau barat. Susunan

keranda Erong di tapak Liang ada yang terletak di tebing pada bahagian atas yang tinggi,

bahagian tengah dan bahagian dasar tebing atau di dasar gua dan cerun, semuanya berhubungan

dengan status sosial sesuai dengan peraturan adat Aluk To dolo yang diamalkan oleh masyarakat.

Salah satu unsur yang penting pada keranda Erong adalah penggunaan pelbagai motif

ragam hias ukiran, seperti motif garis-garis geometri, tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam dan

antropomorfik. Keranda Erong berbentuk perahu yang besar, pada bahagian penutupnya terdapat

pelbagai motif ukiran dan yang paling dominan adalah motif ular, orang menarik ular dan

kerbau, Pa’doti Langi’, Pa’erong dan Pa’sekong. Bahagian badannya dipenuhi pelbagai motif

ukiran Toraja yang lain. Keranda Erong berbentuk kerbau dan babi, hanya sedikit yang berukir

dengan motif ukiran yang terbatas seperti motif ular, Pa’doti Langi’ dan beberapa motif ukiran

Toraja yang lain.

Motif ragam hias yang berkembang seawal (800-1200M) di kawasan Tana Toraja, adalah

motif-motif sederhana seperti hiasan kepala kerbau pada bahagian hujung keranda Erong, ukiran

Pa’sussuk dan motif ukiran geometri sederhana (garis-garis lurus). Pada tahun 1300-1600M,

Page 4: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

diperkenalkan ukiran yang lebih bervariasi seperti ukiran motif ular (Pa’ula’), garis-garis

geometri seperti garis silang, tulang ikan, gerigi, pintalan dan pintalan berganda (Pa’ba’ba

Gandang), anyaman (Pa’sekkong), belahan ketupat (Pa’doti Langi’) dan berliku-liku (Pa’erong).

Pada tahun 1700M, kawasan Toraja mulai mendapat banyak pengaruh budaya luar. Pada masa

ini, pelbagai motif ukiran yang sangat beraneka jenis dan kompleks, seperti motif-motif

geometri, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan alam. Motif ragam hias geometri, binatang dan

antropomorfik, merupakan lanjutan daripada motif ragam hias yang sudah terkenal sejak zaman

prasejarah. Motif ragam hias tersebut selain mengandungi makna sebagai simbol sosial, juga

mempunyai maksud pelbagai falsafah kehidupan, antaranya falsafah tentang kepercayaan,

kosmologi, gender, harapan-harapan, seni dan alam semesta.

Perbezaan jenis, bentuk, ukuran, bentuk penutup, ragam hias, susun atur dan orientasi,

sangat dipengaruhi oleh faktor kepercayaan, stratifikasi sosial, masa dan adaptasi terhadap

persekitaran fizikal. Kepercayaan berasaskan pada penghormatan arwah leluhur dan fahaman

kosmologi, terutamanya yang harus diamalkan oleh kelas sosial bangsawan yang disimbolkan

melalui penggunaan pelbagai bentuk keranda Erong. Sistem kepercayaan dan sistem sosial

bersumberkan ajaran Aluk To dolo, yang mengatur pelbagai aspek kehidupan masyarakat Toraja

masa dahulu. Keranda Erong dipercayai sebagai kenderaan yang digunakan nenek moyang

mereka dari pulau seberang hingga ke kawasan Tana Toraja. Ianya digunakan juga sebagai

kenderaan arwah leluhur mereka untuk perjalanan ke Puya. Keranda Erong jenis perahu

dipercayai sebagai simbol perahu arwah. Selain itu, perahu bagi masyarakat Toraja

mencerminkan suatu kehidupan yang harmoni dalam satu keluarga atau satu kelompok adat.

Keranda Erong jenis kerbau dan babi dipercayai sebagai haiwan yang dapat digunakan sebagai

bekalan kepada arwah leluhur. Malah, kerbau juga dianggap sebagai kiriman dewa dari langit.

Page 5: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

Keranda Erong digunakan oleh kelas sosial tinggi iaitu para bangsawan dan kerabatnya.

Namun, status setiap bangsawan tersebut juga berbeza sesuai dengan peranannya sebagai ketua

adat, para pembantu pemerintahan adat atau sebagai sebahagian keluarga. Semuanya

disimbolkan dengan penggunaan keranda Erong. Perbezaan juga dipengaruhi oleh faktor struktur

pemerintahan adat iaitu, pemerintahan adat Lembang, Bua’ dan Penanian. Masing-masing

mempunyai tapak keranda Erong yang berbeza, seperti perbezaan status Tongkonan. Bangsawan

yang berstatus tinggi selalunya disimbolkan dengan penggunaan keranda Erong berukuran besar

khasnya bentuk perahu dan kerbau. Pada bahagian penutup terdapat motif ukiran ular, orang

menarik ular dan kerbau, Pa’doti Langi, Pa’erong dan Pa’sekong. Pada bahagian badan penuh

dengan motif ukiran Toraja yang lain. Perbezaan yang lain adalah kedudukan keranda pada

tempat yang lebih tinggi, misalnya diletakkan dengan cara digantung di atas tebing atau syiling

cerun bukit.

Orientasi keranda Erong selalu diletakkan dengan menghala ke arah selatan dan barat.

Hal ini sangat erat kaitannya dengan kepercayaan dan status sosial kerana kedua-dua arah

tersebut dianggap sebagai arah para arwah leluhur bersemayam. Bangsawan biasa dipercayai

bersemayam di Puya, maka kerandanya diletakkan menghala ke arah selatan, sedangkan

bangsawan yang berasal daripada keturunan Tomanurun dari langit (akan kembali ke asalnya di

langit), maka kerandanya diletakkan menghala ke arah barat yang dipercayai sebagai jalan

menuju ke langit.

Perbezaan bentuk keranda Erong juga dipengaruhi oleh perkembangan dari semasa ke

semasa. Pada awal tahun 800M hingga 1200M, perkembangan keranda Erong jenis perahu

sederhana dengan bentuk penutup rendah, bentuk kepala kerbau sederhana tanpa kaki dan motif

ukiran sederhana seperti garis-garis geometri. Perkembangan bentuk keranda Erong pada

Page 6: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

awalnya dipercayai merupakan bentuk asal budaya yang dibawa oleh orang Toraja ketika mereka

mula mendiami di kawasan tersebut. Kelas sosial mereka hanya terdiri daripada dua iaitu, ketua

adat dan para pengikutnya. Ketua adat sebagai kelas sosial tinggi, ketika mati menggunakan

keranda Erong, manakala para pengikut sebagai masyarakat biasa hanya dikuburkan di celahan

batu.

Perkembangan kedua berlaku sekitar tahun 1200M hingga 1600M dengan keranda Erong

jenis perahu berpenutup tinggi mendatar dan sedikit melengkung ke atas, jenis kerbau tanpa kaki

atau sempurna, jenis keranda bulat dengan ragam hias sederhana seperti motif garis-garis

geometri, ular, manusia terkangkang dan topeng. Perkembangan bentuk keranda Erong pada

masa ini dipengaruhi oleh perubahan sistem kepercayaan dan sistem sosial. Sistem kepercayaan

berubah daripada kepercayaan yang berorientasikan arwah leluhur, kemudian berkembang

dengan masuknya unsur dewa-dewa yang terdiri daripada beberapa jenis dewa. Perubahan sistem

kepercayaan ini ditandai dengan munculnya aluk pitung sa’bu pitu ratu’ pitung pulo pitu (Aluk

7777) yang dibawa oleh Tangdilino dan Aluk Sanda Saratu’ yang dibawa oleh Tamborolangi’.

Sistem sosial juga mengalami perubahan daripada kekuasaan egalitarian kelompok adat (arruan)

ke kekuasaan monarki para bangsawan dalam suatu pemerintahan persekutuan (Lembang, seperti

Tallu Lembang). Kelas-kelas sosial semakin berkembang, terutamanya kelas sosial bangsawan

yang terdiri daripada bangsawan tinggi, menengah dan biasa, serta orang merdeka (masyarakat

biasa). Terjadi persaingan para bangsawan untuk merebut kekuasaan tertinggi, dimulakan dengan

munculnya mitologi Tomanurun untuk kesahihan status mereka. Perubahan sistem kepercayaan

dan sosial disebabkan oleh faktor pengaruh dari dalam dan dari luar. Pengaruh dari dalam adalah

untuk mengatasi terjadinya kekacauan yang berlangsung sekian lama, terutamanya peperangan

antara kelompok adat untuk perluasan kawasan kekuasaan, perkembangan sosial ekonomi yang

Page 7: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

semakin kompleks dan perbezaan dalam menjalankan peraturan adat. Sedangkan pengaruh dari

luar adalah terjadinya hubungan perniagaan dengan kerajaan Bugis di kawasan pantai. Mereka

memerlukan suatu kekuatan budaya dan politik untuk menghadapi kekuatan dari luar serta

kemasukan pengaruh unsur budaya Hindu.

Tahap ketiga berlangsung antara tahun 1600M hingga 1900M dengan berkembangnya

keranda Erong jenis perahu dengan penutup tinggi, pada kedua-dua hujung melengkung dan

menjulang tinggi menyerupai Tongkonan, jenis bulat, jenis kerbau dan babi yang sempurna

seperti keranda Erong jenis kerbau terdapat tanduk dan kaki, dan jenis kuda. Perkembangan

keranda Erong pada masa ini menggunakan pelbagai motif ragam hias ukiran khas Toraja.

Perkembangan tersebut banyak dipengaruhi oleh pengaruh dari luar, seperti pengaruh Bugis dan

Jawa pada abad ke-17M dan pengaruh Belanda pada abad ke-20M. Sistem kepercayaan dan

sistem sosial menjadi semakin kompleks. Para bangsawan mempertahankan legitimasi dan status

quo dengan menghubungkan geneologi mereka dengan penguasa langit (Tomanurun) dan

membina simbol-simbol sosial seperti Tongkonan, keranda Erong, Simbuang dan pesta kematian

yang mewah. Pengaruh budaya Hindu masuk ke dalam budaya Toraja dengan diperkenalkan

dewa tertinggi dan pelbagai jenis dewa, stratifikasi sosial yang terdiri dari bangsawan tinggi

(tana’ bulaan), bangsawan menengah (tana’ bassi), masyarakat biasa (tana’ karurung), dan

hamba sahaya (tana’ kua-kua). Demikian juga agama Kristian dan Islam telah mempengaruhi

budaya Toraja, iaitu diperkenalkan unsur yang esa atau tunggal yang dipanggil Puang Matua

sebagai unsur pencipta untuk menggantikan dewa tertinggi dalam ajaran kepercayaan Aluk To

dolo.

Secara umumnya, masa perkembangan budaya keranda Erong di kawasan etnik Toraja

bermula di kawasan Tana Toraja pada masa antara 1130±50BP atau sekitar tahun 800M hingga

Page 8: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

sekitar tahun 1960-an. Di kawasan Enrekang pada masa antara 790±50BP atau sekitar tahun

1200M hingga 570±40BP atau sekitar tahun 1600M. Di kawasan Mamasa pada masa antara

730±50BP atau sekitar tahun 1300M hingga sekitar tahun 1970-an. Di kawasan Tana Toraja dan

Mamasa, budaya penguburan keranda Erong diamalkan terus oleh masyarakat tempatan hingga

tahun 1970-an, kerana pengaruh agama Kristian dan Islam baru masuk pada akhir abad ke-20M.

Di kawasan Enrekang pengaruh agama Islam yang dibawa oleh orang Bugis sudah masuk pada

abad ke-17M menyebabkan budaya penguburan keranda Erong mulai ditinggalkan oleh

masyarakat sejak masa tersebut.

Hasil pentarikhan kronometrik yang berbeza menunjukkan bahawa terjadi persebaran

budaya keranda Erong di ketiga-tiga kawasan berkenaan iaitu, Tana Toraja, Enrekang dan

Mamasa. Masa awal perkembangan budaya keranda Erong adalah di kawasan Tana Toraja,

kemudian disusul kawasan Enrekang dan Mamasa. Menurut pendapat saya bahawa adanya

perbezaan masa awal tersebut disebabkan oleh tiga kemungkinan yang berlaku, (1) terjadi

perpindahan masyarakat pembawa budaya keranda Erong dari kawasan Tana Toraja ke kawasan

Enrekang dan Mamasa, (2) ada pertukaran idea antara komuniti di ketiga-tiga kawasan, dan (3)

kedatangan masyarakat pendukung budaya keranda Erong yang baru. Boleh juga berlaku

gabungan antara ketiga-tiga faktor tersebut.

Persoalannya adalah dari mana datangnya masyarakat pembawah budaya keranda Erong

di kawasan Tana Toraja sejak tahun 800M, bahkan kemungkinan pada masa yang lebih awal

lagi. Tentunya jawapannya bahawa tidak dengan melalui jalur penyebaran dari arah selatan atau

barat daya, iaitu dari kawasan Enrekang dan Mamasa. Jalur penyebaran budaya keranda Erong

tersebut, kemungkinannya adalah: (1) melalui jalur arah barat laut, iaitu dari Selat Makasar

masuk ke kawasan Kalumpang (Mamuju Utara) kemudian bergerak terus ke arah timur hingga

Page 9: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

ke kawasan Tana Toraja, (2) melalui jalur arah utara iaitu, dari kawasan Sulawesi Tengah

(Lembah Bada, Besowa, Napu dan Poso) ke arah selatan melalui kawasan Seko hingga ke

kawasan Tana Toraja, dan (3) melalui jalur arah timur iaitu, dari Teluk Bone melalui kawasan

Luwu’ ke arah barat melalui jalur Sungai Noling dan Sungai Rongkong hingga ke kawasan Tana

Toraja. Untuk mengetahui kemungkinan penyebaran melalui ketiga-tiga kawasan tersebut,

memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam, khasnya dengan kaedah pentarikhan pada

keranda Erong di kawasan tersebut.

Budaya keranda Erong merupakan salah satu budaya yang menjadi ciri khas masuarakat

Toraja yang telah berkembang sejak awal bersama dengan Tongkonan dan pelbagai ritual

keagamaan seperti yang tercermin dalam ritual Rambu Tuka’ atau Rambu Solo’. Jelaslah bahawa

ada perbezaan bentuk keranda Erong yang terdapat di kawasan Tana Toraja, Enrekang dan

Mamasa. Hal ini sebagai wujud daripada adaptasi terhadap alam persekitaran tempatan masing-

masing, sedangkan persamaan disebabkan oleh faktor idea atau gagasan yang sama iaitu,

bersumberkan pada ajaran Aluk To dolo. Perbezaan tersebut juga dapat dilihat dalam sistem

penempatan mereka.

Berasaskan pada jumlah jenis keranda Erong yang dijumpai di kawasan penyelidikan,

maka jelas bahawa keranda Erong jenis perahu yang paling dominan dan terdapat di semua tapak

yang ada. Hal ini menunjukkan bahawa keranda Erong jenis perahu merupakan asas dari bentuk

awal keranda Erong di kawasan penyelidikan. Bentuk perahu adalah penggambaran ideal dari

faham tentang kepercayaan sebagai simbol kenderaan (kenderaan leluhur dan arwah leluhur),

makna-makna sosial dan kosmologi yang mengandungi makna falsafah keharmonisan dan

keseimbangan. Jumpaan jenis keranda Erong yang lain, seperti jenis kerbau, babi, kuda dan

Page 10: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

bulat, merupakan perkembangan tempatan masing-masing, yang mengandungi juga makna-

makna tentang aspek kepercayan, sosial dan falsafah.

Tapak Liang dan keranda Erong merupakan pasangan daripada Tongkonan sebagai pusat

pemerintahan adat. Tapak Liang dan keranda Erong merupakan simbol alam ghaib atau alam

arwah (Puya) dan simbol fahaman kosmologi iaitu, keselarasan antara alam atas dengan alam

bawah, antara lelaki dengan perempuan, antara kehidupan dengan kematian dan kematian

bukanlah pengakhiran segalanya, tetapi kematian dipandang sebagai sumber kehidupan.

Pola penempatan masyarakat Toraja yang berasas pada Aluk To dolo, terdiri daripada tiga

komponen utama iaitu, Tongkonan, Rante dan Liang, di samping unsur yang lain seperti sawah

dan kebun. Tongkonan sebagai simbol alam duniawi (Lino). Rante sebagai simbol alam antara

dan Liang sebagai simbol alam arwah (Puya). Ketiga-tiganya bertindak sebagai pelengkap dan

merupakan suatu kesatuan simbolik yang bermula dengan kelahiran, kehidupan, kematian dan

menjadi roh yang akan kembali ke alam lain. Oleh yang demikian, keranda Erong yang

diletakkan di tapak Liang merupakan suatu simbol dari alam roh (Puya) yang merupakan

pasangan Tongkonan sebagai simbol alam kehidupan (Lino).

Unsur penempatan masyarakat Toraja adalah berupa Tongkonan, Rante dan Liang,

masing-masing mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza. Namun, terdapat hubungan yang

saling berkait rapat dan merupakan suatu kesatuan yang membentuk pemukiman Toraja yang

sesuai dan harmoni. Walaupun terdapat perbezaan keadaan alam dan budaya antara satu kawasan

dengan kawasan yang lain seperti antara kawasan budaya Tana Toraja dan Mamasa, namun

disebabkan oleh asas ideologi yang sama, menyebabkan pola-pola pemukiman mereka tetap

mempunyai persamaan. Walau bagaimanapun, tetap ada perbezaan kecil yang wujud sebagai

Page 11: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

adaptasi terhadap persekitaran tempatan. Tapak keranda Erong merupakan bahagian yang tidak

terpisah dari suatu pemukiman masyarakat Toraja, kewujudan, fungsi dan peranannya telah

diatur dalam Aluk To dolo.

Berasaskan pemahaman tersebut, maka bentuk-bentuk keranda Erong dapat

mencerminkan sistem ideologi dan sistem sosial. Sistem ideologi berkait dengan kepercayaan

masyarakat yang didasari oleh kepercayaan Aluk To dolo yang sudah ada sejak zaman megalitik

iaitu, suatu kepercayaan yang menyakini adanya pengaruh kuat daripada arwah leluhur demi

kejayaan dan kesejahteraan manusia. Dengan latar belakang ideologi tersebut, maka

kewujudannya dalam sistem sosial adalah dengan kemunculan peraturan atau kaedah yang harus

dijalankan, misalnya peraturan tentang cara perlakuan bagi orang yang telah mati dalam pelbagai

upacara ritual, hubungan di antara yang mati dengan yang hidup dan hubungan di antara dunia

fana (Lino) dengan dunia arwah (Puya). Sistem ideologi dan sistem sosial secara simboliknya

termanifestasi di dalam sistem penguburan dan teknologi keranda Erong. Oleh itu, jelaslah

bahawa peraturan-peraturan adat dalam budaya Toraja, didominasi oleh kelas sosial bangsawan

seperti yang tercermin pada keranda Erong. Kematian tidak membawa perubahan status sosial,

bangsawan dan orang terkemuka yang lain tetap sama statusnya di alam Puya.

8.2 Hipotesis Hubungan Keranda Erong Toraja Dengan Keranda Kayu di Kawasan China Selatan dan Asia Tenggara

Dalam bahagian ini, akan dibincangkan rekonstruksi hipotesis tentang penyebaran

budaya keranda kayu di kawasan Asia Tenggara dengan China Selatan berdasarkan persamaan

susun atur, bentuk dan pentarikhan yang terdapat pada taburan tapak di kawasan tersebut.

Persamaan keranda kayu yang terdapat di kawasan China Selatan, Thailand, Vietnam, Filipina,

Borneo dan Sulawesi, terutamanya pada susun atur di gua, cerun, tebing batu, bukit atau tapak

Page 12: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

yang sengaja ditinggikan, berada pada persekitaran fizik yang hampir sama seperti di kawasan

pedalaman dan bertopografi tinggi (pergunungan dan perbukitan). Persamaan yang lain adalah

mengandungi makna simbolik tentang kepercayaan kepada leluhur dan simbol sosial.

Pelbagai etnik di kawasan Asia Tenggara yang dianggap sebagai keturunan dari

masyarakat pengguna budaya keranda kayu, masih memahami dan menjalankan ritual-ritual

yang berhubungan dengan perahu sebagai simbol kematian (perahu arwah) (Szabo, 2010:162-6).

Persamaan-persamaan ini tidak dapat diabaikan begitu saja, kerana adanya kesamaan idea atau

gagasan menjadi suatu bukti adanya hubungan sejarah mereka pada masa lampau. Walaupun

kajian ini hanya tertumpu pada budaya keranda kayu, namun tidaklah meragukan untuk

membuat suatu kesimpulan, bahawa mereka mempunyai hubungan dan asal-usul budaya yang

sama. Perbezaan-perbezaan yang ada, tentunya merupakan suatu hal yang wajar, kerana adaptasi

pada persekitaran fizikal dan sosial, pengaruh budaya luar dan masa perkembangannya yang

berbeza juga.

Di kawasan Tana Toraja dan Mamasa, terdapat budaya penguburan keranda Erong

mahupun rumah tradisional Tongkonan yang menyerupai bentuk perahu. Sesungguhnya hal ini

mencerminkan tentang suatu masyarakat yang pada awalnya berkait rapat dengan kehidupan

maritim. Pada pendapat saya, hal ini kemungkinan mempunyai kaitan dengan asal-usul mereka

dari kawasan China Selatan tersebar ke pelbagai kawasan di Asia Tenggara dalam masa ribuan

tahun dahulu. Proses migrasi tersebut membentuk karakter budaya mereka yang mencirikan

budaya maritim, walaupun mereka tinggal di kawasan tinggi atau pergunungan. Pemilihan

kawasan dataran tinggi dan pergunungan, tidak lepas daripada kebiasaan nenek moyang mereka

di negeri asalnya, iaitu di kawasan China Selatan yang tinggal di kawasan lembah-lembah di

sepanjang aliran sungai besar, dataran tinggi dan pergunungan. Mereka juga telah membawa

Page 13: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

budaya pertanian berupa kebiasaan bercucuk tanam di sawah dan kebun, memelihara haiwan

ternakan seperti kerbau, babi anjing dan ayam. Sistem sosialnya terdiri daripada komuniti kecil

yang dipimpin oleh ketua adat yang sekali gus berperanan sebagai pemimpin keagamaan.

Perbezaan status dalam satu komuniti, disimbolkan dengan pelbagai ciri-ciri budaya. Antara

individu satu dengan yang lain terdapat kedudukan dan peranan yang jelas. Sistem

keagamaannya tertumpu pada kepercayaan pemujaan arwah leluhur, terutamanya pemujaan

kepada arwah leluhur yang berasal dari kelas sosial tinggi seperti ketua adat atau ketua etnik.

Mereka percaya bahawa hubungan harmoni antara roh leluhur dengan keturunannya, akan

menjaga keselamatan arwah leluhur dan kesejahteraan orang yang masih hidup. Oleh itu, lahirlah

pelbagai ritual dan perlakuan tertentu terhadap orang yang mati untuk menjaga kelangsungan

keharmonian tersebut seperti menjalankan upacara kematian Rapasan dan pembinaan keranda

Erong di kawasan Tana Toraja, Enrekang dan Mamasa.

Untuk menyelusuri asal-usul budaya keranda kayu di kawasan Asia Tenggara,

terutamanya keranda kayu di kawasan Tana Toraja, maka pentarikhan terhadap budaya tersebut

merupakan hal yang sangat penting. Di kawasan China Selatan dijumpai tapak-tapak keranda

kayu dengan pentarikhan pada masa antara 3000BP hingga 400BP (http://www.china.org.en). Di

kawasan Thailand dan Vietnam pada masa antara 2100BP hingga 1200BP (Treerayapiwat, 2005;

Coates, 2009:49; Grave, et.al., 1994; Wannasri, et.al., 2007:48; Schoocongdej, 2001; Bellwood,

et.al., 2007:2-20). Di kawasan Filipina pada masa antara 2000BP hingga 500BP (Tenazas, 1973;

Wannasri, 2007:49; http://www.letsgosago.net; http://www.1000kmedia.com) dan di kawasan

Sabah dan Sarawak pada masa antara 1170 hingga 840BP (Chia & Molijol, 2010:54-69; Chia &

Koon, 2003:35-43; Chia, 2012: 7-8). Hasil penyelidikan di kawasan Tana Toraja, Sulawesi,

Indonesia, diketahui pentarikhannya pada masa 1130BP dan masih diamalkan terus oleh

Page 14: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

penduduk tempatan hingga tahun 1970-an. Jika masa pentarikhan ini dijadikan suatu asas untuk

menentukan penyebaran budaya keranda kayu masa dahulu, maka tentunya kita tidak ragu untuk

membuat suatu kesimpulan bahawa budaya keranda kayu di kawasan Asia Tenggara berasal dari

kawasan China Selatan. Budaya penguburan keranda kayu tersebut tersebar ke kawasan

Thailand, Vietnam dan Filipina pada masa yang hampir sama, dan kemungkinan dari kawasan

Filipina atau China Selatan tersebar ke kawasan Borneo dan Sulawesi pada masa yang hampir

sama juga. Tentunya jaluran penyebaran tersebut perlu dikaji dengan lebih mendalam,

terutamanya dari aspek fizikal manusia dan unsur budaya yang lain.

Persoalannya adalah adakah penyebaran pada masa yang sama dari kawasan Filipina

terus ke kawasan Borneo dan Sulawesi pada garis yang terpisah pada masing-masing kawasan,

atau ke kawasan Borneo lebih dahulu barulah ke kawasan Sulawesi atau sebaliknya? Persoalan

ini tentunya tidak dapat dijawap dengan hanya berdasarkan pada data pentarikhan keranda kayu

yang terhad di kedua-dua kawasan tersebut yang menghasilkan masa yang hampir sama.

Persoalan dari mana asal-usul pendukung budaya penguburan keranda Erong di kawasan Tana

Toraja, adalah sama dengan persoalan dari mana asal-usul nenek moyang masyarakat Toraja,

sehingga kini, masih menjadi persoalan yang sukar untuk dijawap. Untuk itu, akan cuba

dijelaskan dengan menggunakan hujahan daripada penyelidikan bidang ilmu yang lain.

Ahli bahasa Mills (1975: 499-501), dalam penyelidikannya telah membandingkan

bahasa-bahasa masyarakat tempatan di Kalimantan dan Sulawesi Selatan, menunjukkan adanya

persamaan. Oleh itu, dianggap bahawa penduduk proto etnik di Sulawesi Selatan datang melalui

laut dari pulau yang lain, sebagaimana yang diceritakan dalam tradisi lisan orang Toraja (Kruyt,

1923; Tangdilintin, 1980; Nooy-Palm, 1979, 1986; Pakan, 1986; Abdul Azis, 2004; Sandarupa,

2000, 2004; Buijs, 2009). Hal tersebut berlangsung dalam beberapa gelombang perpindahan

Page 15: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

penduduk yang berterusan, yang dikatakan berasal dari pulau yang ada di sebelah utara atau

barat. Mereka pertama kali menghuni kawasan muara Sungai Sa’dan yang kemungkinan besar

berasal dari Kalimantan Timur. Sejak dahulu kedua-dua wilayah tersebut iaitu, Kalimantan

Timur dan Sulawesi bahagian barat mudah didatangi dengan perahu (Pelras, 2006: 45-46). Selain

itu, terdapat juga persamaan antara bahasa Tamanik di Kalimantan Barat bahagian timur laut

dengan bahasa Bugis dan Toraja (Adelaar, 1994: 1-42). Nenek moyang orang Tamanik dan proto

Sulawesi Selatan berasal atau hidup bersebelahan di Kalimantan bahagian tenggara. Nenek

moyang orang Tamanik berpindah ke arah barat dan nenek moyang orang proto Sulawesi Selatan

berpindah ke arah timur, menyeberang laut menuju ke kawasan Sulawesi (Mills, 1975: 207-214).

Perpindahan penduduk proto Sulawesi Selatan ke arah timur terutamanya ke pantai barat

Sulawesi, mungkin diawali dengan hubungan perniagaan. Hubungan perniagaan tersebut

kemungkinan bermula dengan kunjungan sekali setahun oleh para pedagang dari Kalimantan ke

Sulawesi. Mereka datang pada musim angin barat dan pulang pada musim angin timur. Muara

Sungai Sa’dan merupakan kawasan yang dapat digunakan untuk memperolehi sumber hasil

hutan, besi dan emas dari kawasan pergunungan. Kawasan lain yang mungkin turut dilalui

adalah sebuah jalan pintas dari Selat Makasar ke Teluk Bone, atau pada muara Sungai Karama

(Mamuju Utara) dimana patung gangsa Buddha Amaravati ditemui (Pelras, 2006: 47). Jalan ini

menghubungkan kawasan pengeluar biji besi di Seko (sempadan Provinsi Sulawesi Barat,

Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tengah). Kawasan lain yang mungkin dijadikan tapak perniagaan

adalah kawasan yang menghubungkan pantai barat (Selat Makasar) ke pantai timur (Teluk Bone)

Sulawesi Selatan, yang dihubungkan oleh Sungai Walanae, Sungai Cenrana, Tasik Sideanreng

dan Tasik Tempe, menuju ke Luwu’ untuk memperolehi biji emas, besi dan tembaga (Pelras,

2006: 47-48). Hubungan perniagaan ke pusat-pusat penghasilan logam merupakan suatu hal yang

Page 16: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

sangat penting. Logam-logam tersebut dihasilkan di Sulawesi Selatan, sedangkan orang Tamanik

di Kalimantan terkenal sebagai tukang perak, hidup berpindah-randah dan dapat mengolah emas

dan tembaga (King, 1993: 48).

Berdasarkan huraian hasil penyelidikan tentang perbandingan bahasa-bahasa etnik

tempatan di Kalimantan dan Sulawesi Selatan, jelaslah bahawa penutur bahasa-bahasa proto

Sulawesi Selatan dianggap berasal dari Kalimantan. Secara geografi, Kalimantan Selatan,

Kalimantan Timur dan kawasan timur Sabah, berhadapan terus dengan pantai barat Sulawesi. Ia

bagaikan dua sisi yang saling bersebelahan atau berhadapan yang hanya dipisahkan oleh Selat

Makassar.

Persamaan lain antara masyarakat Dayak di Kalimantan dengan masyarakat Toraja dan

Bugis pada masa awal iaitu, penggunaan keranda kayu sebagai bekas penguburan, baik dari segi

bentuk (perahu) ataupun kepercayaannya seperti upacara kematian dan peralatan yang

digunakan, mempunyai banyak persamaan. Sama-sama percaya pada arwah leluhur, upacara

kematian yang kompleks serta sistem dan bentuk penguburan yang hampir sama. Masyarakat

Dayak pada masa lampau juga mengenali penguburan dengan menggunakan keranda kayu yang

diletakkan di dalam gua, seperti yang terdapat pada tapak Gua Tengkorak di Kabupaten Tanah

Grogot, Kalimantan Timur dan Tapak Gua Malui di Kabupaten Tabalong, Kalimantan Selatan

(Hartatik, 2007:76). Di Sabah, terdapat tapak-tapak keranda kayu yang dijumpai di kawasan

Semporna dan Kinabatangan dengan pentarikhan antara 1100±40 BP hingga 640±40BP (Chia &

Molijol, 2010: 54-69; Chia & Koon, 2003: 35-43, Chia, 2012: 7-8). Ia menunjukkan adanya

persamaan susun atur, ragam hias dan masa pentarikhan dengan keranda Erong yang dijumpai di

kawasan Tana Toraja. Bellwood (2000: 121, 350) menganggap budaya keranda kayu di kawasan

Page 17: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

Sarawak dan Sabah, khasnya yang dijumpai di tapak Gua Niah, masa pentarikhannya tidak lebih

daripada 2000-1000BP.

Sebagai cadangan dapat disimpulkan bahawa budaya keranda Erong di kawasan Asia

Tenggara dibawa oleh manusia yang bermigrasi dari kawasan China Selatan ke kawasan

Thailand, Filipina, Borneo, dan Sulawesi. Persoalan yang belum dapat dijawap adalah budaya

keranda Erong di Sulawesi berasal dari Borneo atau Filipina? Masih perlu penyelidikan yang

lebih mendalam, walaupun ada sebahagian hasil penyelidikan daripada ahli bahasa telah

menyatakan bahawa bahasa-bahasa proto Sulawesi Selatan berasal dari Kalimantan. Jika kita

merujuk pada persamaan antara keranda kayu, kepercayaan dan upacara yang menyertainya di

kawasan Borneo-Kalimantan dengan kawasan Tana Toraja, maka dapat disimpulkan bahawa

budaya keranda kayu di kedua-dua kawasan tersebut sangat rapat kaitannya. Hanya saja masih

belum ada bukti yang kukuh untuk dibuat satu kesimpulan yang kukuh bahawa keranda kayu di

kawasan Tana Toraja berasal dari kawasan Borneo-Kalimantan atau sebaliknya, keranda kayu di

kawasan Borneo-Kalimantan berasal dari Sulawesi. Hal yang mungkin lebih jelas adalah bahawa

budaya penguburan keranda kayu di kawasan Borneo-Kalimantan dan Tana Toraja (Sulawesi)

tersebar melalui kawasan Filipina, kemudian ke kawasan Borneo dan Sulawesi.

Secara khasnya, keranda Erong di kawasan Tana Toraja (Sulawesi), mungkin berasal dari

kawasan Filipina tersebar masuk ke kawasan Sulawesi Utara kemudian ke arah selatan, ataupun

berasal dari kawasan Borneo-Kalimantan tersebar ke kawasan pantai barat Sulawesi.

Kemungkinan yang lain adalah berasal dari kedua-dua kawasan tersebut iaitu, dari kawasan

Filipina dan Borneo-Kalimantan, tersebar dan bertemu di kawasan Sulawesi bahagian tengah,

seperti di kawasan Tana Toraja. Hipotesis-hipotesis tersebut tentunya perlu penyelidikan dan

kajian yang lebih lanjut, mendalam dan komprehensif dengan melibatkan bidang ilmu lain yang

Page 18: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

berkait secara langsung, seperti antropologi, bahasa serta pembuktian dengan kaedah DNA dan

program pentarikhan kronometrik yang lebih luas dan teliti.

8.3 Cadangan Penyelidikan Masa Depan

Dalam bahagian ini akan dibincangkan secara ringkas tentang cara-cara untuk menguji

hipotesis berkaitan asal-usul, masalah adaptasi, ekologi dan penyelamatan budaya keranda Erong

di kawasan Tana Toraja. Ada beberapa hal yang dianggap penting untuk dibincangkan iaitu,

persoalan yang muncul dan belum dijawap dalam kajian ini dan perlu dijawap dalam kajian pada

masa hadapan. Persoalan tersebut seperti pengaruh alam persekitaran terhadap bentuk dan

teknologi keranda Erong di setiap kawasan, seperti Tana Toraja, Enrekang, Mamasa dan

kawasan lain. Hal ini dianggap perlu untuk lebih memahami pengaruh alam persekitaran

terhadap kewujudan keranda Erong di kawasan tersebut.

Secara metod, bahawa dalam penyelidikan keranda kayu di kawasan Tana Toraja,

terdapat persoalan yang berhubungan dengan pengambilan sampel keranda. Penduduk tempatan

tidak membenarkan untuk mengambil sampel di semua tapak. Hal ini disebabkan tapak-tapak

penguburan keranda Erong masih digunakan dan dianggap suci oleh penduduk tempatan.

Demikian juga bahawa tidak semua jumpaan keranda Erong di setiap tapak boleh diambil

sampelnya. Ia terhad kepada beberapa sampel yang dianggap mewakili masa yang paling awal

dari ratusan keranda yang terletak di dalam gua-gua, kerana memerlukan biaya yang mahal untuk

analisis radiokarbon di makmal. Jumlah sampel yang diambil dan dianalisis di makmal adalah

sebanyak 28 buah sampel. Demikian pula bahawa kemungkinan masih ada keranda Erong lain

yang lebih tua umurnya tetapi tidak diambil sebagai sampel untuk pentarikhan.

Persoalan yang lain adalah tentang asal-usul budaya keranda Erong, terutamanya jalur

migrasi yang dilalui sehingga sampai ke kawasan Tana Toraja. Persoalan ini dapat dijawap

Page 19: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

dengan memperluas kawasan kajian ke kawasan lain seperti Kalumpang di Kabupaten Mamuju,

Lembah Bada, Napu, Besowa dan Poso di Provinsi Sulawesi Tengah dan Luwu’, terutamanya

untuk mengambil sampel pentarikhan agar masa budaya keranda Erong di kawasan masing-

masing dapat diketahui untuk tujuan merekonstruksi penyebaran budaya keranda Erong di

kawasan Sulawesi. Dalam skala yang lebih luas, perlu kajian yang lebih saksama terhadap

keranda kayu di kawasan China Selatan dan kawasan Asia Tenggara yang lain untuk mengetahui

asal-usul dan penyebaran budaya penguburan keranda kayu di kedua-dua kawasan tersebut.

Pengambilan sampel pentarikhan dalam skala mikro untuk kawasan topografi dataran dan

pergunungan di kawasan Tana Toraja perlu dijalankan untuk menjawap persoalan kawasan mana

yang terlebih dahulu dihuni. Hal ini perlu dijalankan kerana dalam mitos masyarakat tempatan

selalu menyebutkan kawasan tinggi seperti puncak bukit atau gunung sebagai asal-usul

perkampungan nenek moyang mereka.

Persoalan kesan eksploitasi alam seperti eksploitasi terhadap jenis kayu uru, dapat

menyebabkan hakisan yang sangat tinggi sehingga danau-danau yang ada menjadi cetek dan

berubah menjadi sawah, tanah kering, perubahan aliran sungai, perubahan pengebumian daripada

menggunakan keranda Erong ke Liangpa’ dan Patane, serta kesannya terhadap sistem budaya

dan sistem sosial. Selain itu, penggunaan kayu uru untuk membina keranda Erong dan

Tongkonan perlu dikaji dari segi jenis, habitat dan umur kayu yang sesuai digunakan sebagai

bahan untuk membina keranda Erong mahupun Tongkonan.

Kajian terhadap keranda Erong di kawasan etnik Toraja, memerlukan suatu pendekatan

yang lain seperti berikut. (1) Pendekatan ekologi dan GIS (Global Information System) yang

diharapkan dapat mengkaji lebih mendalam tentang pengaruh variabel alam sekitar terhadap

perbezaan bentuk, susun atur dan makna-makna daripada budaya keranda Erong. Diharapkan

Page 20: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

pendekatan berkenaan akan dapat mengungkapkan hal-hal lain dan dapat memperkaya

pemahaman terhadap budaya penguburan keranda Erong yang terdapat di kawasan tersebut dan

kesan eksploitasi alam. (2) Pendekatan dengan menggunakan kajian analisis DNA iaitu, analisis

terhadap rangka-rangka yang terdapat di dalam keranda Erong untuk dapat mengetahui pelbagai

aspek biologi rangka-rangka tersebut. Pendekatan ini akan dapat menjawap pelbagai persoalan

seperti asal-usul keturunan, hubungan kekerabatan, jantina, umur dan penyakit. Hal yang paling

penting adalah perbandingan DNA dengan rangka-rangka yang terdapat pada budaya keranda

kayu di kawasan lain di Asia Tenggara, seperti di Borneo, Filipina, Thailand dan kawasan China

Selatan, untuk mengetahui adanya hubungan dan proses migrasi daripada manusia pendukung

budaya tersebut. (3) Pendekatan yang menggunakan kaedah analisis dendrokronologi, bertujuan

menjawab persoalan tarikh dan umur kayu ketika dibina sebagai keranda. Hal ini penting untuk

kalibrasi tarikh radiokarbon, supaya tarikh yang lebih tepat boleh diperolehi.

Tapak-tapak keranda Erong merupakan salah satu bentuk budaya yang unik dan sangat

berpotensi untuk dikembangkan oleh pemerintah tempatan menjadi destinasi pelancongan yang

menarik. Sungguh sayang jika pada satu masa nanti budaya tersebut lenyap. Oleh itu, diharapkan

agar pemerintah dan pemerhati budaya mengambil langkah-langkah yang tepat dan cepat untuk

menyelamatkan budaya tersebut. Penyelesaiannya adalah kesedaran tentang kepentingan

menjaga warisan tersebut dan pembinaan muzium demi untuk menyelamatkan warisan budaya

kita.

Kesedaran masyarakat tempatan, pelancong dan pemerintah juga sangat penting supaya

budaya dan keranda Erong dipelihara sehingga tidak mengalami kerosakan. Kerosakan yang

terjadi kini adalah sekitar 62 % (Jadual 3.38), baik yang diakibatkan oleh alam ataupun oleh

manusia. Kerosakan yang disebabkan oleh alam seperti terkena hujan, panas matahari, banjir dan

Page 21: BAB 8 SUMBANGAN KERANDA ERONG DALAM BUDAYA

ditumbuhi oleh lumut, semak-semak dan pokok kayu. Sedangkan kerosakan yang disebabkan

oleh manusia, seperti pencari harta karun, dibakar, dibuang dan diganti dengan pembangunan

moden.

Namun yang positif adalah pemerintah Indonesia dan Provinsi Sulawesi Selatan kini

sedang berusaha untuk meletakkan beberapa tapak pemukiman tradisional dan budaya Toraja

yang lain termasuk keranda Erong di dalam senarai tapak warisan dunia UNESCO. Hal ini

diharapkan boleh bantu memelihara warisan budaya tempatan untuk generasi yang akan datang.